Wednesday, November 28, 2007

19. Makanan pelengkap bayi selepas enam bulan


MEMBERI bayi pelbagai jenis makanan secara tidak langsung mengajarnya kepelbagaian rasa dan warna

"SAYA selalu didesak keluarga memberi makanan pelengkap kepada anak saya yang baru berusia tiga bulan. Setahu saya, bayi hanya boleh diberi makanan kecuali susu selepas berusia enam bulan. Oleh kerana ada ahli keluarga lain yang mempunyai anak sebaya dengan anak saya berbuat demikin, saya dianggap tidak kasihankan anak. Malah, ada ahli keluarga yang memberi anak mereka makanan sejak dalam pantang. Siapa yang betul? Saya atau mereka?"

Anda biasa berhadapan dengan dilema ini? Tentu lebih merimaskan jika keluarga yang mendesak itu adalah keluarga sebelah suami.

Apapun alasan yang mereka beri, anda perlu tahu makanan pelengkap jangan diberi terlalu awal (kurang daripada enam bulan) dan jangan pula terlalu lewat daripada itu.

Mengapa tidak digalakkan memberi makanan pelengkap sebelum usia anak enam bulan?

Sistem pencernaan dan penyerapan bayi yang berusia kurang enam bulan belum matang.

Susu ibu adalah makanan utama untuk bayi. Pemberian makanan pepejal terlalu awal boleh mengurangkan pengambilan susu oleh bayi kerana mereka mudah kenyang dengan makanan pejal.

Makanan yang diberikan sebagai gantian susu ibu selalunya bubur yang cair dan sup. Makanan ini mengenyangkan tetapi kurang nutrisi berbanding susu ibu. Justeru, keperluan bayi itu tidak dipenuhi.

Bahan makanan lain mengurangkan penyerapan nutrisi dalam susu ibu seperti zat besi.

Bayi mudah mendapat alahan.

Mengapa ia perlu diberi ketika usia enam bulan ke atas?

Menambah bekalan tenaga anak

Membekalkannya dengan zat makanan

Memperkenalkan anak dengan pelbagai jenis makanan dan rasanya

Memenuhi keperluan proses perkembangan dan kematangannya

Bagaimana memberi makanan pelengkap kepada anak?

Berikan susu terlebih dahulu sebelum memberi bayi makanan pelengkap. Ini akan membolehkan ibu menghasilkan cukup susu bagi jangka masa yang lebih lama.

Sediakan hidangan yang seimbang. Hidangan seimbang perlu mengandungi makanan daripada lima kumpulan makanan iaitu bijirin dan ubi, daging dan telur, sayur dan buah, minyak dan lemak selain ikan.

Pelbagaikan makanan bayi. Berikan pelbagai jenis makanan dengan pelbagai jenis zat. Ia juga secara tidak langsung mengajar bayi kepelbagaian rasa dan warna.

Tambahkan minyak dan lemak dalam makanannya. Bayi perlukan tenaga untuk tumbesaran. Minyak atau lemak seperti mentega dapat menambah kandungan tenaga dalam hidangan.

Tidak perlu tambah garam, gula dan bahan perasa dalam makanannya. Beri dia peluang menikmati rasa semula jadi makanan.

Sediakan makanan mengikut tekstur yang sesuai usianya. Ia juga perlu mengikut kebolehan bayi. Misalnya bagi bayi berusia enam bulan makanan perlu dikisar halus manakala bayi tujuh hingga sembilan bulan, makanan mungkin hanya perlu dilenyek manakala bayi berusia 10 hingga 12 bulan, makanan hanya perlu dicincang.

Mulakan dengan sedikit dan tambah kuantitinya secara beransur-ansur mengikut usia.

Jadikan masa makanan sebagai masa yang menyeronokkan. Jangan paksa bayi makan jika belum bersedia atau tidak mahu makan.

Bagaimana mengetahui pengambilan makanan itu mencukupi?

Pastikan berat anak ditimbang selalu mengikut jadual temu janji dengan pakar pediatrik. Catatkan jumlah berat anak pada carta tumbesarannya.

Dengan makanan yang cukup dan bermutu, hala tumbesaran anak akan naik selaras dengan garis rujukan pada kad tumbesaran. Carta ini adalah satu cara mengajar ibu mengetahui keberkesanan makanan yang diberikan pada

18. Ujian darah penting pada awal kehamilan


WANITA hamil akanmenjalani ujian darah pada peringkat awal kehamilan.

Keguguran spontan, kandungan luar rahim boleh berlaku jika antigen ibu tidak sama dengan bayi

APA yang anda tahu mengenai masalah rhesus? Atau tahukah anda apa yang dirujuk sebagai rhesus? Secara ringkas, rhesus (Rh) bermaksud antigen atau secara spesifik ialah protein yang wujud pada permukaan sel darah merah.

Sekiranya rhesus darah ibu tidak sama dengan rhesus darah janin, beberapa masalah akan terjadi. Antaranya membabitkan masalah keguguran spontan, keguguran yang terpaksa dilakukan dan kandungan luar rahim (kandungan ektopik).

Bagi sesetengah wanita hamil, mereka tidak langsung tahu mengenai rhesus atau kumpulan darah. Oleh itu, apabila pergi ke klinik kerana kehamilan buat kali pertama, ibu hamil akan membuat ujian darah. Ada yang tahu dan ada yang tidak tahu kepentingan ujian ini dibuat.

Sebenarnya, darah diambil untuk memastikan kumpulan darah dan juga faktor rhesus. Seperti yang anda tahu, ada empat kategori umum darah: A, B, O, dan AB yang mana setiap jenis darah dilabelkan sebagai positif atau negatif merujuk pada faktor rhesus dalam darah.

Kumpulan dengan faktor rhesus bermaksud mereka memiliki antigen dalam darah dilabelkan sebagai RH-positif. Jadi, jika seseorang itu memiliki darah jenis A dan memiliki faktor rhesus, dia dirujuk sebagai A positif.

Kumpulan yang tidak memiliki antigen dalam darah atau kekurangan faktor rhesus dilabel sebagai Rh negatif. Bagaimanapun, kekurangan faktor Rh tidak bermaksud ia akan menjejaskan kesihatan.

Kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai Rh positif. Di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebagai contoh, kurang daripada satu peratus mempunyai darah Rh negatif dan kebanyakannya berbangsa Melayu.

Bila faktor Rh memberikan kemudaratan?

Faktor Rh ada kalanya menimbulkan kemudaratan kepada bayi. Masalah berlaku apabila darah ibu tidak mempunyai faktor Rh manakala darah janin mempunyai faktor Rh. Permasalahan faktor Rh ketika mengandung berlaku apabila seorang wanita yang negatif mempunyai pasangan rhesus positif.

Dalam kes ini, ada 50 peratus kemungkinan yang anak dalam kandungan itu positif. Perlu diketahui yang ibu tidak akan mendapat apa-apa reaksi daripada sensitasi (tindak balas tubuh terhadap kehadiran bendasing dalam badan) yang berlaku.

Jika janin dalam kandungan yang pertama positif, sel darahnya dapat bercampur dengan darah ibu terutama ketika bersalin. Sel ini, walaupun sedikit akan menimbulkan rangsangan dalam badan ibu dan membentuk antibodi yang memusnahkan sel darah rhesus positif bayi.

Sebagai contoh, ibu hamil tidak mempunyai faktor Rh, dilabelkan sebagai rhesus negatif, kandungannya pula Rh positif. Darah janin ini akan memasuki darah ibu dan menyebabkan sensitasi berlaku.

Ibu menghasilkan antibodi yang akan menyerang faktor Rh janin, sebagaimana antibodi melawan bendasing atau kuman yang memasuki badan. Jenis darah bapa juga perlu diketahui dan sekiranya bapa tidak mempunyai faktor Rh, janin juga tidak mempunyai faktor Rh, semuanya rhesus negatif. Bagaimanapun, jika bapa mempunyai faktor Rh, janin akan menjadi rhesus positif. Masalah sensitasi timbul sebab ibu memiliki rhesus negatif.

Anda perlu tahu, ketika mengandung ibu dan janin tidak berkongsi sistem darah. Bagaimanapun, sedikit darah daripada janin boleh menyeberangi plasenta (uri) dan memasuki sistem darah ibu. Sensitasi yang berlaku ini merangsang pembentukan antibodi terhadap faktor Rh pada sel darah anak. Ia menyerang sel merah darah anak dan kemusnahan berlaku.

Janin akan mendapat anemia (kekurangan darah), banyak penyakit susulan timbul, otak boleh musnah, kematian juga boleh berlaku sekiranya rawatan tidak diberikan.

Kandungan pertama lazimnya selamat daripada masalah ini kerana ibu tidak sempat mengeluarkan banyak antibodi yang boleh mencetuskan kemusnahan. Bagaimanapun, kandungan berikutnya akan terjejas. Semakin jumlah kandungan bertambah, semakin teruk keadaan ini berlaku.

Wanita hamil di Malaysia dianggap bernasib baik kerana sistem darah mereka akan diuji pada setiap kali mereka mengandung.

Bagaimana masalah boleh dicegah?

Lazimnya untuk saringan, darah diuji untuk jenis kumpulan darah dan juga faktor rhesus. Ujian saringan antibodi dilakukan sekiranya didapati ibu sudah pun terdedah dengan darah yang tidak mempunyai faktor Rh.

Sensitasi pada ibu dikurangkan dengan penggunaan ubat Immunoglobulin Rh (Rh IgG). Ubat ini dihasilkan daripada rawatan darah secara berkawal. Ia digunakan untuk menghalang ibu yang tidak mempunyai faktor Rh daripada disensitasikan. Dengan kata lain, ia menghalang badan ibu daripada berinteraksi dan bertindak balas. Sekiranya ibu sudah disensitasikan, penggunaan ubat ini mungkin tidak berkesan pada dos yang biasa digunakan. Ujian lanjutan seperti ‘titer’ kehadiran antibodi dan juga jumlah sebenar kehadiran darah bayi di dalam darah ibu perlu diketahui supaya jumlah Immunoglobulin yang diberikan dapat mengatasi sensitasi yang mungkin berlaku.

Ubat Rh IgG ini diberikan secara suntikan di bahu atau punggung. Ia akan diberikan ketika hamil dan selepas kehamilan.

Sekiranya ibu yang Rh negatif belum lagi disensitasikan, ubat ini boleh diberikan pada minggu ke 28 dan juga minggu 34 mengandung. Ia bertujuan untuk menghalang sensitasi yang mungkin berlaku pada sesetengah ibu pada tiga bulan terakhir kehamilan.

Lazimnya dos akan diulang sekiranya ibu masih belum melahirkan anak selepas 12 minggu daripada ubat mula disuntik. Ubat ini hanya berada di dalam sistem darah ibu untuk tempoh enam minggu saja.

Selepas kelahiran, dos perlu diberikan sekali lagi untuk mengelakkan ibu menghasilkan antibodi terhadap faktor Rh sel darah merah janin ketika mengandung dan juga ketika kelahiran. Sekiranya diperlukan, darah ibu juga diambil untuk penentuan antibodi yang sudah terhasil supaya pemberian ubat Rh IgG dapat diopitimakan mengikut rangsangan. Ubat yang diberikan ini hanya dapat mencegah komplikasi mengandung semasa, ubat perlu diulang pada setiap kandungan.

Bagaimanapun, ubat tidak diberikan sekiranya bayi tidak mempunyai faktor rhesus di sel darah merahnya.

Walaupun ibu yang memiliki rhesus negatif tidak mahu lagi mengandung pada masa hadapan atau akan melakukan langkah pencegahan kehamilan kekal seperti pengikatan kedua-dua tiub falopian, ubat Rh IgG ini masih lagi perlu diberikan kerana;

Pada masa hadapan mungkin wanita mengubah fikiran dan berhasrat untuk membuka kembali pengikatan yang dilakukan (pembalikan ini sukar dan memakan masa selain memerlukan pembedahan kaedah mikro).

Melahirkan anak secara kaedah makmal (fertilisasi in vitro - IVF).

Kegagalan langkah pencegahan (pengikatan kedua-dua tiub falopian), kebarangkaliannya kecil saja.

Justeru, rawatan yang diberikan mungkin dapat mencegah pembentukan antibodi sekiranya terjadi keadaan yang memerlukan wanita melakukan pemindahan darah pada masa hadapan. Kehadiran antibodi menyebabkan ujian kesaksamaan darah menjadi sukar.

Sebab-sebab lain mengapa ubat suntikan Rh IgG diberikan

Ibu yang memiliki rhesus negatif perlu diberi suntikan segera sekiranya berlaku pencampuran di antara darah janin dengan ibu. Keadaan ini boleh berlaku ketika keguguran dan juga pengguguran yang dipaksakan dan kandungan luar rahim.

Melakukan prosedur diagnosa pra natal seperti (external cephalic version). Suntikan ubat Rh IgG perlu supaya dapat mencegah kemungkinan ibu menghasilkan antibodi yang akan menyerang janin rhesus positif pada masa hadapan.

Kelahiran trauma, kelahiran secara pembedahan dan juga proses pengeluaran uri ketika kelahiran juga mendedahkan wanita pada darah janin.

Apa akan berlaku sekiranya antibodi sudah terbentuk?

Ibu perlu membuat ujian lanjut bagi melihat tindak balas sistem darahnya terhadap sensitasi yang sudah berlaku. Ini bagi memastikan risiko yang bakal dihadapi janin.

Jika pembentukan antibodi itu sudah keterlaluan, janin yang kekurangan darah mungkin terpaksa dilahirkan awal atau mungkin terpaksa menerima pemindahan darah ketika masih lagi dalam kandungan.

Jika pembentukan itu tidak keterlaluan, bayi boleh dilahirkan pada masa yang normal dan selepas kelahiran, bayi akan diuji darahnya. Mungkin pemindahan darah akan dilakukan untuk menggantikan darah bayi yang mengalami kerosakan akibat serangan daripada antibodi ibu.

FAKTA:

Pendedahan faktor darah anak ke dalam sistem darah ibu menyebabkan

Keguguran spontan

Keguguran yang terpaksa dilakukan

Kandungan luar rahim (kandungan ektopik)

Pendarahan ketika hamil

17. Jerawat perkara biasa mencecah usia akil baligh

JIKA anak perempuan anda menjerit mengenai jerawat pada wajahnya, anda patut tahu ia adalah sebahagian perkara biasa mencecah usia akil baligh.

Jerawat adalah radang pada kulit yang menyebabkan bintik hitam, bintik putih dan kadangkala kutil-kutil kemerahan. Jenis jerawat yang paling biasa ialah ‘acne vulgaris’ (vulgaris bermaksud biasa).

Radang kulit ini selalunya tumbuh pada muka dan kadangkala dada, belakang serta lengan. Jerawat menjejaskan sekitar 90 peratus remaja selain antara 20 hingga 30 peratus individu berusia antara 20 hingga 40 tahun. Malah, jerawat adalah penyebab utama kebanyakan orang yang mengalaminya bertemu pakar kulit.

Apabila anak perempuan anda menjerit mengenai jerawat pada wajahnya, tenangkan dia kerana jerawat bukanlah masalah mengancam nyawa. Ia hanya sedikit mengecewakan selain jerawat mungkin boleh membawa kepada parut kekal.

Selain itu, anda juga perlu tahu, kecenderungan untuk berhadapan dengan masalah jerawat dikaitkan dengan faktor genetik. Justeru, masalah jerawat lebih biasa ditemui di kalangan bangsa Eropah berbanding Asia atau keturunan Afrika.

Sebab Terjadinya Jerawat

a) Kelenjar mengeluarkan minyak

Jerawat terjadi kerana kelenjar mengeluarkan minyak menjadi terlalu aktif. Kelenjar ini biasanya menghasilkan hanya sejumlah kecil minyak (sebum) yang juga adalah satu campuran mintak dan sel kulit. Apabila seseorang itu ada jerawat, kelenjar ini akan menghasilkan sebum dengan lebih banyak untuk menyekat bakteria.

b) Pengaruh hormon

Hormon juga boleh menyebabkan jerawat atau menambah jumlah jerawat sedia ada. Hormon yang aktif ketika anak akil baligh juga mensasarkan kelenjar pengeluaran minyak (kelenjar sebaceous) untuk menghasilkan lebih banyak sebum. Hormon yang bertindak dengan kelenjar minyak adalah hormon androgen. Lelaki dan wanita memiliki hormon ini, tetapi lelaki memilikinya dengan lebih banyak.

Bagi anak gadis, hormon ini juga boleh menyebabkan jerawat terutama ketika pusingan haid. Ini kerana wanita jarang mengalami masalah jerawat hingga dewasa. Kadangkala hormon yang menjadi sebahagian kandungan pil perancang kehamilan juga boleh menyebabkan jerawat.

c) Makanan ringan

Memakan makanan ringan dan coklat selalunya tiada kaitan dengan jerawat. Bagaimanapun, dalam kes-kes tertentu, ada sesetengah makanan yang boleh menyebabkan jerawat. Kulit yang berminyak juga tidak merangsang jerawat tumbuh. Ia tanda kelenjar yang terlebih aktif. Ada kajian mendapati tekanan akan memburukkan lagi keadaan.

Selain itu, ada juga faktor lain yang menyebabkan jerawat antaranya mengesat atau menggosok muka dengan pakaian yang tidak bersih, penggunaan kosmetik tertentu dan pendedahan kulit pada suhu yang ekstrem.

Bagaimana mencegah dan merawat jerawat?

Basuh wajah tidak lebih daripada dua kali sehari dengan pembersih muka

Jangan picit jerawat

Elak menggosok muka dengan kuat atau menggunakan pembersih muka yang mengeringkan wajah

Jangan guna sabun anti bakteria - ia tidak membantu mencegah jerawat

Gunakan tuala yang sesuai dan bersih untuk mengeringkan wajah

Hati-hati dengan penggunaan barangan kosmetik

Jangan biar tubuh basah dengan peluh dan berminyak-minyak terlalu lama

15. Bimbing anak perubahan baligh, elak kes seksual

DALAM mendidik anak, adalah kurang bijak jika anda membuat perbandingan antara zaman anda dan anak anda membesar. Persekitaran hari ini banyak berubah. Mahu atau tidak kita harus akui kanak-kanak hari ini membesar dalam persekitaran yang sangat mencabar.

Jika dulu, anda boleh berjalan kaki sendirian pada waktu malam untuk mengaji al-Quran di rumah jiran, tetapi hari ini adakah anda bersedia melepaskan anak anda melakukan perkara yang sama? Apa yang pasti, anda akan menghantar dan menjemputnya.

Hari ini, soal keselamatan anak tiada kompromi. Walaupun anda mudah membuat tanggapan anak kecil tidak memahami ketakutan atau kerisauan anda berhubung keselamatan mereka, tetapi pernahkah anda memberinya peluang untuk memahami perasaan itu?

Pernahkah anda cuba memberitahunya mengenai ketakutan anda pada jenayah seksual terhadap kanak-kanak? Jika anda merasakan dia belum bersedia, anda perlu memikirkannya sekali lagi.

Mengambil data daripada Jabatan Keadilan Amerika, 67 peratus mangsa serangan seksual adalah kanak-kanak manakala kajian pada 2000 oleh National Center for Victims of Crime menunjukkan 33 peratus anak gadis dan 16 peratus budak lelaki didera secara seksual sebelum berusia 18 tahun.

Di Malaysia, mungkin tiada statistik khusus untuk jumlah mangsa deraan seksual membabitkan kanak-kanak, tetapi mengambil kira kes yang menimpa Nurin Jazlin Jazimin, 8, dan Nurul Huda Abdul Ghani, 10, dan pelbagai lagi kes kematian tragis membabitkan anak kecil, angkanya mungkin menggerunkan.

Ia seterusnya menjadi keperluan untuk ibu bapa jangan mengambil mudah mengenai keselamatan anak. Ajar anak untuk bertindak jika berhadapan dengan mereka yang mencurigakan dan cuba mengeksploitasi secara seksual.

Kadangkala mereka yang melakukan deraan seksual kepada anak anda mungkin mereka yang anda kenali dan anda percayai. Mereka juga rapat dengan anak anda membuatkan anak takut untuk memberitahu sesiapa.

Ada juga kes penderaan seksual dilakukan oleh mereka yang anak anda kenali. Ada kalanya dilakukan oleh orang asing. Ada juga kes, mereka didera secara seksual oleh kanak-kanak lain yang lebih tua daripada mereka. Dia mungkin ahli keluarga atau jiran tetangga.

Membincangkan soal seksualiti atau penderaan seksual dengan anak mungkin sesuatu yang tidak selesa. Bagaimanapun, ia mesti dilakukan untuk kebaikan anak anda. Oleh itu lakukan dengan baik antaranya:

Rancang masa yang baik untuk anda duduk berbual dengannya.

Jelaskan kepada mereka Allah menciptakan tubuh badan mereka dengan segala keistimewaan. Bagaimanapun, keistimewaan itu adalah sangat peribadi dan hanya untuk dirinya sendiri.

Jelaskan kepadanya bahagian anatomi yang bersifat sulit dan peribadi. Jika anak masih kecil, jelaskan keadaan ini ketika mandi. Jika dia gemar mandi di kolam renang, katakan kepadanya bahagian yang dilindungi pakaian renang adalah sulit dan peribadi.

Beritahu padanya tidak ada seorang pun boleh menyentuh bahagian peribadinya walau apa pun alasannya. Katakan kepadanya, anda akan sentiasa melindunginya dan beritahu jika ada sesiapa cuba menyentuh bahagian itu.

Elakkan menjawab terlalu banyak soalan.

Yakinkan dia anda menyayanginya dan sentiasa akan melindunginya.

Jika anak anda memberitahu dia didera penting untuk anda:

Percaya padanya - biasanya kanak-kanak tidak akan berbohong mengenai penderaan

Biarkan dia bercakap - tetapi jangan paksa dia memberikan data terperinci jika dia tidak mahu

Jelaskan padanya apa yang berlaku adalah salah pendera dan dia tidak bersalah

Katakan padanya dia membuat perkara yang betul dengan memberitahu anda dan dia selamat sekarang

Dapatkan bantuan profesional seperti polis dan doktor

Dapatkan sokongan untuk diri anda sendiri - bercakap dengan ahli keluarga atau kawan yang anda percaya dan dapatkan bantuan profesional mengenai perasaan anda. ~ BBC Health.

FAKTA: antara simptom anak alami penderaan seksual

Ketika berbual, uji reaksinya jika ada orang dewasa yang memintanya menyimpan rahsia

Menggunakan perkataan berbau seks yang tidak sepadan dengan usianya

Dia mengasingkan diri dan murung tanpa sebab yang kukuh

Mengadu mengenai kesakitan atau bengkak pada bahagian sulit

Jika dia tidak kencing malam, dia akan mula kencing malam atau tidurnya terganggu

Tidak mahu ke sekolah

Bersikap agresif

Menyakitkan diri sendiri

Tidak mahu menghampiri seseorang yang dulunya dia senangi.

Tidak mahu bersendirian dengan orang dewasa

Takut pada orang dewasa atau mereka yang lebih tua daripadanya.

14. Persekitaran kondusif bentuk kebijaksanaan anak

BAGAIMANA mengukur kebijaksanaan anak? Anda tentu sukar menjawabnya. Ini kerana ada kanak-kanak yang bijak dalam pengajian dan ada yang pandai dalam ilmu kemahiran.

Ada kanak-kanak menunjukkan kebijaksanaan dengan membina blok-blok mainan menjadi menara menjulang tinggi, ada juga yang menunjukkan kepintaran menerusi lukisan cantik dan puisi puitis. Ada yang suka menjadi ketua kelas, ada yang lebih selesa menjadi kanak-kanak biasa.

Prof Dr Linda S Gottfredson dari University Delaware, Newark, berkata kebijaksanaan memperlihatkan kebolehan umum seseorang itu memproses maklumat, hasil daripada pembelajaran, pemahaman dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Disebabkan setiap anak itu unik, tidak wajar untuk anda saling membandingkan antara mereka. Apa yang ibu bapa perlu lakukan, merangsang anak supaya mengeluarkan segala yang terbaik dalam diri mereka, mengenal potensi diri dan berusaha menjadi cemerlang.

Genetik atau persekitaran?

Hampir 80 peratus kebijaksanaan orang dewasa dikaitkan dengan genetik. Bagaimanapun, tanpa persekitaran yang kondusif, kebijaksanaan tidak akan ke mana.

Genetik kerap kali mendapat ‘kredit’ atas sumbangan faktor persekitaran. Jika diambil kira faktor genetik, orang kaya akan bertambah kaya, orang miskin akan bertambah miskin. Ini kerana anak yang lahir dalam keluarga bijak dan kaya akan berpeluang untuk melanjutkan pengajian sehingga ke tahap terbaik.

Persekitaran yang kondusif berperanan dalam membentuk kebijaksanaan anak. Bukan semua kanak-kanak memiliki kadar IQ yang membolehkan mereka bergelar genius. Bagaimanapun, dengan dorongan dan sokongan ibu bapa, persekitaran yang menggalakkan mereka belajar dan bersaing secara sihat, mereka masih mampu menjadi bijak.

Makanan untuk otak

Makan dengan bijak untuk kesihatan otak bermula sejak dalam rahim. Selepas dilahirkan, menu ini berterusan dengan susu ibu.

Ajar anak untuk menyukai semua makanan yang sihat dan sedap sebaik saja dia tidak lagi menyusu badan. Ajar anak untuk mencuba semua jenis makanan dan mereka boleh memilih apa yang mereka suka dan tidak suka selepas itu.

Kanak-kanak memerlukan lima atau enam kali hidangan makanan dan buah-buahan, dua atau tiga kali hidangan daging, ikan atau telur dan tiga atau dua kali susu. Jika anak gemarkan makanan bergaram atau manis, cuba anda tambah sedikit rempah ratus dalam menunya. Kanak-kanak juga perlu mengambil vitamin dan mineral dalam diet mereka.

Dalam satu kajian didapati, kanak-kanak yang mengambil vitamin dan mineral mengikut jadual sepatutnya dalam masa tiga bulan, berupaya mempelajari 14 subjek akademik dua kali ganda berbanding kanak-kanak lain. Dalam sejuta kanak-kanak yang diberi sarapan pagi dan makan tengah hari di sekolah, pencapaian akademik mereka meningkat 16 peratus manakala 76,000 lagi tidak boleh diklasifikasi sebagai kurang bijak.

Bina otot mental

Dr Ingegerd Carlsson dari Universiti Lund, Sweden, berkata untuk melatih minda muda anak anda, baca sesuatu untuk mereka setiap malam. Stimulasi minat anak dan kecurigaannya dan galakkan dia bermain muzik.

Bagaimanapun, muzik klasik seperti gubahan Mozart yang dikatakan boleh memperbaiki skor IQ tertentu disifatkan sebagai berlebih-lebihan.

"Bayi, kanak-kanak dan kanak-kanak pra sekolah yang membesar di rumah tetapi sering digalakkan berbual, mendengar dan membaca cenderung memiliki IQ lebih tinggi dan berjaya di sekolah," kata Prof Frances P Glascoe dari Universiti Vanderbilt, di Timur Berlin.

Justeru, Dr Thomas Darvill dari Universiti Oswego State University di New York menggalakkan pelbagai mainan lembut yang variasi warna, bunyinya dan menarik dalam bentuk dan tekstur. Selain itu, luangkan banyak masa dengan anak pada tahun pertama usianya bagi merapatkan ikatan anak-ibu atau anak-bapa dan merangsang pertumbuhan mentalnya.

"Kanak-kanak yang dibiarkan sendiri menonton televisyen atau bermain video tidak boleh menjadi bijak," kata Dr Shawn K Acheson, dari Universiti Western Carolina di Cullowhee.

Katanya, galakkan anak belajar secara aktif dan bertukar-tukar idea. Apabila mereka membesar, anak memerlukan masa dan kebebasan untuk bermain dan menjelajah. Justeru, jangan sekat mereka untuk belajar apa yang perlu mereka belajar.

Bersukan, bermain muzik adalah contoh aktiviti yang memerlukan kanak-kanak fokus, disiplin dan menstimulasi pembangunan mental tetapi jangan sesekali memaksa mereka melakukannya atas minat anda sebagai ibu bapa. Dengan kata mudah, jika anda gemarkan bola sepak, jangan paksa anak untuk turut menyukainya sedangkan dia lebih berminat bermain hoki.

Minat dan strategi pembelajaran setiap anak adalah unik. Untuk membangunkan kebijaksanaan dalam diri mereka, jangan abaikan cita-cita dan minat mereka. Ini boleh menyumbang kepada kejayaan mereka. Paling penting, jangan pula anda lupa mengajarnya untuk belajar mencapai cita-cita.

"Hanya segelintir saja manusia yang bekerja mengikut potensi yang ada dalam diri mereka. Sebahagian lagi langsung tidak mengenal dan menyedari mengenai potensi diri.

"Jika kita mengambil kira bagaimana anak berfikir, kita sebagai ibu bapa boleh memperbaiki pencapaiannya," katanya.

Pupuk rasa cintakan ilmu

Latihan untuk menjadi bijak sebenarnya usaha berterusan. Ditambah dengan diet sihat dan seimbang, anak boleh mencapai kejayaan yang diidamkan.

Satu teori mengatakan, jika anda menambah keupayaan anak untuk belajar walaupun sekejap, pengetahuan itu akan kekal bersamanya untuk tempoh antara 20 hingga 30 tahun akan datang. Malah, sesetengah kemahiran akan kekal seumur hidup. Ibu bapa secara tidak sedar boleh mempengaruhi kejayaan kerjaya anak dan pendapatannya walaupun mereka mungkin tidak boleh mengubah skor IQ anak.

Menurut teori 'Flynn effect' yang dirintis Dr James R Flynn dari Universiti Otago, New Zealand, purata IQ setiap populasi sebenarnya meningkat setiap generasi. Justeru, katanya, hadiah terbaik daripada ibu bapa kepada anak adalah rasa cinta untuk belajar.

"Jika anda memupuk rasa cintakan ilmu kepadanya, tidak perlu bimbang mengenai IQ," katanya.

13. Rotavirus ancam nyawa bayi


ROTAVIRUS mudah berjangkit

ROTAVIRUS menyebabkan kanak-kanak diserang demam

ANAK anda sering muntah dalam tempoh beberapa jam yang lalu. Episod muntah adalah tindak balas badan kita mengeluarkan toksin daripada perut. Biasanya muntah bukanlah satu keadaan yang serius dan kebanyakan kes berhenti dalam tempoh beberapa jam.

Bagaimanapun, anda perlu berasa bimbang apabila suhu badan anak anda mula meningkat dan kemudian dia mengalami cirit-birit.

Muntah-muntah dan cirit-birit kerap berlaku di kalangan kanak-kanak. Walaupun kebanyakan kes muntah dan cirit-birit disebabkan oleh keracunan makanan, sakit perut atau meningitis, ada juga kes yang sering dialami kanak-kanak dan bayi disebabkan jangkitan virus dikenali sebagai gastroenteritis akut.

Gastroenteritis adalah masalah radang perut dan usus. Walaupun tidak begitu serius kepada kanak-kanak, ia boleh membahayakan dan dalam sesetengah kes boleh mengancam nyawa bayi. Penyebab utama gastroenteritis ialah sejenis virus yang dipanggil rotavirus.

Mengenali rotavirus

Rotavirus adalah sejenis virus yang amat mudah berjangkit dan menyebabkan jangkitan pada usus. Ia sering dikesan dalam najis kanak-kanak yang sudah dijangkiti dan disebarkan melalui sentuhan.


ROTAVIRUS mudah berjangkit.

Hal ini sering berlaku apabila kanak-kanak tidak mencuci tangan selepas masuk ke tandas atau sebelum makan. Penyebaran virus boleh berlaku daripada seorang kanak kepada kanak-kanak lain di pusat jagaan anak dan nurseri. Ia juga boleh merebak melalui orang dewasa yang sudah berjangkit atau yang menguruskan bayi yang sudah dijangkiti.

Rotavirus mampu bertahan selama beberapa jam di tangan manusia serta berhari-hari di permukaan yang keras dan kering. Ini bermaksud ia mudah merebak melalui air atau makanan yang tercemar atau apabila kanak-kanak menyentuh objek atau permukaan yang dijangkiti lalu tangannya dimasukkan dalam mulut.

Risiko terhadap kanak-kanak

Di Malaysia, 38 peratus kanak-kanak yang masuk hospital kerana gastroenteritis akut disebabkan oleh rotavirus. Kebanyakan kanak-kanak akan dijangkiti virus ini sebelum berusia lima tahun.

Jangkitan rotavirus kepada kanak-kanak yang lebih besar (dari segi usia) tidak begitu berbahaya, namun amat berbahaya kepada kanak-kanak yang berusia dua tahun ke bawah. Bagi bayi pula, mereka menghadapi masalah yang paling serius kerana serangan rotavirus boleh menyebabkan dehidrasi (kekurangan cecair dalam tubuh badan) kesan daripada muntah dan cirit-birit yang teruk. Selain berhadapan dengan masalah dehidrasi, terdapat juga risiko mengalami masalah menghadam laktosa yang disebabkan oleh cirit-birit berterusan.

Apa akan terjadi jika kanak-kanak dijangkiti rotavirus?

Pada peringkat awal kanak-kanak yang dijangkiti rotavirus akan mengalami demam dan muntah-muntah, diikuti dengan cirit-birit yang teruk dengan najis berair. Dalam kebanyakan kes, demam dan muntah selama dua hingga tiga hari manakala cirit-birit pula berlarutan hingga seminggu. Gejala lain termasuk kurang selera makan, sakit badan, air kencing yang berkurangan dan tidak bermaya.

Sekiranya anak anda menunjukkan tanda-tanda awal jangkitan rotavirus atau dehidrasi, anda perlu:

Beri anak anda minum satu hingga 1.5 liter cecair sehari seperti cecair garam rehidrasi atau isotonik. Jika anak anda muntah, pastikan dia kerap mengambil cecair atau susu dalam jumlah yang kecil setiap jam atau setengah jam.
Bubur juga boleh diberikan dalam jumlah yang kecil bagi memastikan anak anda menerima khasiat yang mencukupi. Elakkan daripada memberi makanan atau minuman dalam jumlah yang banyak jika dia muntah-muntah.
Beri ubat parasetamol untuk menurunkan suhu badannya.
Pastikan diri anda, anak anda dan orang lain mencuci tangan selepas menggunakan tandas dan sebelum makan.
Untuk bayi yang berusia di antara 6 hingga 24 bulan, muntah dan cirit-birit yang serius boleh menyebabkan dehidrasi (kehilangan air) sekali gus menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang atau kerosakan otak. Jika dijangkiti, anak anda perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera untuk menggantikan air yang hilang melalui cecair intravena. Jika tidak dirawat, dehidrasi akan bertambah teruk dan boleh membawa maut.

Adakah jangkitan rotavirus boleh dielakkan?

Antara langkah pencegahan yang boleh diambil termasuk menyusukan anak anda dengan susu badan serta menggalakkan setiap ahli keluarga mengamalkan kebersihan yang baik di rumah.
Pastikan semua peralatan makanan bersih dengan mencuci pinggan mangkuk, botol, sudu dan garfu menggunakan air panas.
Mengambil berat mengenai kebersihan apabila menyediakan makanan untuk keluarga
Jangan menyimpan makanan yang sudah masak di dalam peti ais lebih daripada dua hari
Pastikan semua makanan sudah dipanaskan semula dengan baik sebelum dimakan.

Walaupun kesemua langkah pencegahan ini diamalkan manakala rotavirus adalah sejenis virus yang mudah berjangkit, penyusuan ibu serta kebersihan yang sempurna tidak mampu melindungi anak anda sepenuhnya. Satu cara yang berkesan adalah dengan mengambil suntikan vaksin untuk virus ini.

Vaksin rotavirus

Vaksin rotavirus amat berkesan jika diambil pada peringkat awal. Ia boleh diberi secara oral. Matlamat vaksin ini untuk merangsang sistem imun badan daripada usia yang muda supaya apabila anak anda dijangkiti rotavirus untuk kali pertama, dia hanya mengalami jangkitan yang sederhana atau tanpa gejala-gejala yang serius. Jika dia dijangkiti lagi, anak anda akan mendapat perlindungan kecil.

12.Vaksin MMR tangani masalah beguk


BEGUK boleh dicegah dengan suntikan MMR.
Imunisasi lengkap mampu cegah jangkitan paramyxovirus menerusi air liur, bersin

SATU ketika dulu, mungkin ibu bapa anda pernah menyapukan nila bercampur cuka di leher ketika zaman kanak-kanak anda untuk mengurangkan beguk yang dikenali sebagai bengkak cantik. Sebenarnya, anda tidak perlu berbuat perkara sama terhadap anak anda pada hari ini.

Beguk adalah antara masalah biasa dialami kanak-kanak yang berpunca daripada jangkitan virus beguk, iaitu ‘paramyxovirus’. Beguk disebarkan secara terus oleh pesakit menerusi air liur atau bersin.

Pakar Kanak-Kanak, Hospital Pusrawi Sdn Bhd, Dr Kamaruddin Ahmad, berkata satu ketika dulu beguk dianggap sebagai penyakit kanak-kanak yang tidak boleh dielakkan.

Bagaimanapun, katanya sejak vaksin beguk ditemui pada 1967, jumlah pesakitnya semakin berkurangan.

"Beguk adalah jangkitan virus kepada kelenjar air liur (kelenjar parotid). Kelenjar ini terletak di bawah telinga dan melepasi tulang rahang.

"Beguk tidak akan menjadi masalah jika ibu bapa melengkapkan jadual imunisasi anak. Ini kerana beguk boleh ditangani dengan vaksin MMR (beguk, campak dan rubela)," katanya.

Beliau berkata, berbanding kanak-kanak, orang dewasa akan lebih menderita jika diserang beguk.

"Beguk di kalangan remaja dan dewasa lelaki misalnya, mungkin boleh juga menyebabkan 'orchitis' atau radang pada buah zakar.

"Selalunya salah satu buah zakar akan membengkak dan sakit antara tujuh hingga 10 hari selepas kelenjar parotid bengkak. Ini diikuti dengan demam yang tinggi, menggigil, sakit kepala, sakit perut dan muntah," katanya.

Dr Kamaruddin berkata, selepas tiga atau tujuh hari, kesakitan, bengkak pada buah zakar dan demam akan hilang

"Ada juga kes, kedua-dua buah zakar membengkak. Kadangkala beguk boleh juga menjejaskan pankreas. Bagi wanita, beguk menyebabkan ovari dan sebahagian tempat di abdomen akan berasa sakit," katanya.

Beguk merebak menerusi air liur atau puing-puing kecil cecair apabila seseorang itu batuk atau bersin. Apabila berjangkit, seseorang itu hanya akan mengetahuinya selepas melalui proses inkubasi antara tujuh hari sebelum atau 10 hari selepas kelenjar pertama membengkak.

Simptom

Simptom muncul selepas 14 atau 24 hari selepas pendedahan kepada virus. Ia akan dimulai dengan demam, keletihan, tubuh menggigil dan kelenjar parotid yang membengkak serta sakit. Selalunya hanya satu kelenjar saja akan membengkak dan kadangkala kedua-duanya.

Kelenjar yang bengkak menyukarkan pesakit untuk membuka mulut, bercakap, makan dan minum. Biasanya bengkak pada kelenjar itu sama saja di antara pesakit menyebabkan ia mudah dikenali. Kanak-kanak mungkin akan mengadu susah untuk makan dan minum, gatal telinga dan kadangkala sakit perut.

Ada kalanya simptom yang minimum menyebabkan jangkitan yang berlaku tidak disedari.

Komplikasi beguk bermula seminggu selepas simptom muncul. Data yang diperoleh dari Britain mendapati tanpa vaksin MMR (beguk, campak dan rubela), satu daripada 10 kes boleh berhadapan dengan komplikasi meningitis manakala satu dalam 5,000 berhadapan dengan radang otak.

Simptom lain termasuk:

Sakit kepala

Tengkuk yang terasa tegang

Muntah dan tidak suka melihat cahaya

Hilang pendengaran mungkin juga satu simptom tetapi ia biasanya membabitkan sebelah telinga saja dan bersifat sementara.

Dengan semua simptom dan komplikasi, kebanyakan kanak-kanak yang pulih sepenuhnya daripada beguk tidak akan berhadapan dengan masalah jangka panjang.

Rawatan

Mungkin ibu bapa percaya campuran nila dan cuka boleh mengubati beguk. Sebenarnya, ia bukan kaedah terbaik kerana nila bercampur cuka tidak berupaya menghilangkan bengkak, ia sekadar menyejukkan tubuh yang panas. Justeru, penting untuk membawa anak berjumpa doktor untuk mengesahkan diagnosis.

Disebabkan beguk adalah jangkitan virus, antibiotik tidak banyak membantu, sebaliknya kanak-kanak mungkin boleh dirawat di rumah dengan ubat pengurang sakit.

Beri mereka banyak minum air tetapi elakkan jus buah-buah kerana ia boleh menstimulasi kelenjar parotid menghasilkan lebih banyak air liur, selain menambah kesakitan anak.

Bengkak pada kelenjar parotid akan membesar dalam tempoh dua atau tiga hari tetapi akan surut selepas itu dan suhu badan yang panas juga akan turun. Selalunya ubat tahan sakit akan membantu mengurangkan ketegangan otot dan mengurangkan kesakitan yang disebabkan kelenjar parotid yang bengkak.

Rujuk anak segera kepada doktor jika terjadinya simptom meningitis atau radang otak.

Bagaimana mengelak beguk?

Tentu saja mematuhi jadual imunisasi anak anda. Selalunya ia diberi ketika anak berusia setahun dan dos tambahan (booster) akan diberi pada usia anak tiga dan lima tahun. Vaksin memberi perlindungan sepanjang usia.

Vaksin beguk

Beberapa jenis vaksin beguk mula digunakan sejak 1949 manakala 10 'strains' sudah digunakan pada 2006.

Vaksin pertama yang disifatkan berupaya ‘membunuh’ virus beguk dihasilkan pada 1948. Ia digunakan di Amerika dari 1950 hingga 1978. Vaksin ini dikatakan menghasilkan memori imun yang sedikit.

Hari ini di pasaran ada pelbagai jenis vaksin beguk diperkenalkan. Sebagai contoh di Amerika, vaksin beguk adalah vaksin campuran manakala di Britain, ramai yang lebih suka mengambil vaksin beguk sebagai satu imunisasi.

11. Lelaki lebih mudah warisi buta warna

SEMUA sel dan laluan saraf pada mata dan otak terbentuk sejak lahir. Justeru, kanak-kanak kecil boleh mengetahui perbezaan warna. Mungkin pada peringkat awal mereka tidak boleh melihat warna dengan jelas tetapi akan cepat menyukainya terutama warna cerah.

Bagaimanapun kanak-kanak di bawah usia empat tahun mungkin tidak faham warna hijau sebiji bola sama dengan warna rumput. Bagaimanapun pada usia itu mereka boleh mengenal dan menamakan jenis warna.

Banyak perkara yang kita buat setiap hari bergantung pada keupayaan melakukan pemisahan warna. Jika seseorang itu tidak berupaya melihat perbezaan warna, mereka terpaksa bergantung pada lain-lain perbezaan yang sukar dipilih.

Sebagai contoh ada orang yang hanya boleh mengetahui warna lampu isyarat dengan mengetahui kedudukan warna itu. Mungkin pada siang hari, ia mudah dilakukan tetapi pada waktu malam, suasana yang basah dan gelap menyebabkan sukar untuk membezakan.

Mengenali buta warna

Terdapat dua jenis sel dalam retina, sel rod dan sel kon. Kedua-duanya bertindak balas dengan cahaya berbeza.

Sel rod sangat sensitif kepada lampu dan boleh bertindak balas dengan cahaya yang sedikit seperti cahaya bintang di langit yang suram. Bagaimanapun ia tidak dapat melihat perbezaan warna. Dengan sel rod kita boleh melihat persekitaran pada waktu malam dalam bentuk bayang-bayang berwarna hitam, kelabu dan putih.

Sel kon bertindak balas dengan lampu yang cerah dan ia membantu kita melihat perincian objek. Terdapat tiga jenis sel kon, satu memerangkap lampu merah, manakala yang lain hijau dan biru. Dengan menggabungkan mesej daripada setiap sel kon, kita memperoleh kumpulan warna besar yang selalu dilihat.

Mereka yang buta warna selalunya kurang satu atau lebih sel kon jenis ini. Buta pada warna merah dan hijau selalunya diwarisi secara genetik. Ia terjadi pada lapan peratus lelaki dan hanya 0.4 peratus perempuan. Ia disebabkan gen dalam sel kon tidak sama dalam setiap kromosom. Gen yang membawa kepada buta warna merah dan hijau selalunya wujud pada kromosom X.

Jika ibu adalah pembawa gen buta warna merah dan hijau, dia mungkin tidak berhadapan dengan buta warna. Begitupun, hampir 50 peratus anak lelaki daripada wanita yang begini akan buta warna.

Anak perempuan selalunya tidak akan buta warna merah dan hijau kecuali ibunya pembawa manakala ayahnya buta warna. Begitupun hampir 50 peratus anak perempuan wanita yang begini akan juga membawa genetik ini.

Hanya lima peratus mereka yang buta warna berhadapan dengan buta warna biru dan ia sama jumlahnya antara lelaki dan perempuan. Buta warna juga boleh terjadi kerana perubahan dalam kromosom ketika dalam proses pembentukan. Ia tidak selalunya diwarisi.

FAKTA

Buta warna

Semua kanak-kanak lelaki perlu mendapatkan ujian penglihatan jika ada ahli keluarganya yang lain buta warna. Jika ia membabitkan kedua-dua belah keluarga ibu dan ayahnya, anak perempuan juga perlu melakukan ujian itu.

Dalam sekumpulan 20 budak lelaki, seorang atau lebih buta warna.

Jelaskan mengapa mereka berhadapan dengan masalah itu. Mungkin mereka akan berasa ‘bodoh’ kerana perbezaan itu

10. G6PD penyakit kurang enzim

'GLUCOSE 6 Phosphate Dehydrogenase deficiency' atau lebih dikenali sebagai G6PD adalah sejenis penyakit yang kerap berlaku. Dianggarkan 400 juta penduduk dunia mengalami masalah itu. G6PD sejenis penyakit yang dikaitkan dengan kromosom X, justeru masalah ini lazimnya berlaku kepada lelaki.

Dalam kes G6PD, enzim penting untuk melindungi sel darah merah pecah disebabkan proses oksidasi (proses menghasilkan oksigen dengan menggabungkan oksigen atau menyingkirkan hidrogen).

Justeru, kekurangan enzim berkenaan menyebabkan sel darah merah mudah pecah. Tahap keseriusan penyakit G6PD ini bergantung kepada tahap kekurangan enzim itu.



Bagaimana masalah ini dikesan?

Penyakit ini dapat dikesan melalui ujian darah sebaik saja seorang bayi itu dilahirkan. Ujian darah itu akan mengesan keberkesanan enzim berkenaan. Melakukan ujian darah sebaik saja dilahirkan sudah diamalkan di Malaysia sejak sekian lama. Ini kerana masalah G6PD kerap berlaku di Malaysia dan boleh menyebabkan masalah di kalangan bayi baru lahir.

Antara masalah yang mungkin timbul di kalangan bayi baru lahir adalah jaundis. Disebabkan kekurangan enzim itu, sel darah merah bayi mudah pecah. Ini menghasilkan kandungan bilirubin yang tinggi.

Kandungan bilirubin yang terlalu tinggi boleh menyebabkan keadaan toksik kepada otak. Jika tidak diubati boleh menyebabkan kecacatan kepada bayi.

Oleh kerana kemungkinan masalah besar yang mungkin timbul kepada bayi yang mengalami G6PD, kebanyakan institusi perubatan akan menahan bayi berkenaan di wad sekurang-kurangnya lima hari sebelum dibenarkan pulang.

Selain itu, bayi G6PD ini juga boleh berhadapan keadaan dinamakan “acute hemolysis”, iaitu keadaan wujudnya sel darah merah pecah pada kuantiti terlalu banyak. Ini menyebabkan bayi itu berasa penat dan kelihatan pucat dengan tiba tiba. Simptom lain yang mungkin dialami adalah sakit perut, jaundis, kencing bertukar berwarna gelap dan sakit pinggang.

Keadaan ini berlaku disebabkan jangkitan, memakan kacang parang jenis “fava beans” ataupun memakan ubatan yang boleh meninggikan proses oksidasi. Bukan semua jenis jangkitan akan menyebabkan masalah itu. Sebaliknya jangkitan yang selalu dikaitkan dengan acute hemolysis adalah jangkitan oleh bakteria.

Banyak ubat-ubatan yang tidak dapat diambil oleh mereka yang mengalami masalah G6PD. Senarai ubatan ini panjang dan apa yang perlu dilakukan adalah selalu memberitahu doktor yang merawat anak mengenai masalah anak anda yang mengalami G6PD. Ini dapat mengelakkan mereka menggunakan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan komplikasi.

Di antara ubat-ubatan yang boleh membawa komplikasi

Ubat-ubatan penyakit malaria dan antibiotik yang mengandungi kandungan sulfur. Selain daripada ubat, kacang parang jenis “fava beans “ juga boleh menyebabkan oksidasi sel darah merah. Selain itu juga komplikasi G6PD juga dikaitkan dengan penggunaan ubat serangga.

Rawatan

Cara rawatan yang utama adalah mengelakkan daripada perkara yang boleh menyebabkan acute hemolysis seperti yang dinyatakan di atas. Kadangkala sel darah merah yang pecah secara keterlaluan menyebabkan bayi itu pucat. Ini mungkin memerlukan pemindahan darah. Perlu diingatkan juga, masalah G6PD ini disebabkan kekurangan penghasilan enzim dan ini adalah masalah yang akan kekal buat selamanya.

9. Vaksin bina sistem imuniti kanak-kanak

Imuniti penting untuk hasilkan antibodi melawan virus, bakteria bawa penyakit

APAKAH vaksin masih relevan untuk kanak-kanak? Dalam dunia moden dengan seribu satu macam ubat di pasaran, masihkah vaksin perlu dipertimbangkan?

Di Malaysia kes batuk kokol (pertusis) meningkat daripada 27 kes 2003 kepada 42 kes (termasuk empat kematian) pada 2004 manakala 65 kes dicatatkan pada 2005 termasuk satu kematian.



Malah secara umum, pada 2001 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan 2 juta kematian kanak-kanak seluruh dunia disebabkan penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin.

Justeru, WHO menyarankan vaksin yang sudah dibangunkan bagi mencegah pelbagai jenis penyakit yang boleh mengancam nyawa diberikan kepada kanak-kanak. Walaupun di satu pihak lain, pemberian vaksin dilihat sebagai kontroversi tetapi bagi WHO ia adalah cara yang terbukti boleh mengawal penyakit.

Pakar Pediatrik dan Neonatal, Hospital Pakar Damansara, Dr Musa Mohd Nordin, berkata vaksin penting untuk kanak-kanak kerana mereka tidak memiliki imuniti yang diperlukan dan antibodi menentang penyakit.

“Kanak-kanak yang mendapat imunisasi membantu melindungi kesihatan komunitinya terutama mereka yang tidak mendapat imuniti. Selain itu, imunisasi juga boleh memperlahankan atau menghentikan wabak penyakit,” katanya.

Sebagai contoh, polio misalnya satu ketika dulu penyakit paling ditakuti di Amerika menyebabkan kematian dan lumpuh. Mangsa polio terkenal tentu saja Presiden Amerika, Franklin Roossevelt.

Selepas polio diperkenalkan pada 1955, polio bukan lagi masalah kesihatan yang mengancam nyawa. Di Malaysia, kes terakhir polio dicatatkan pada pertengahan 1980an. Kemudian, negara bebas polio melalui pemberian imunisasi yang diwajibkan menerusi jadual pemberian vaksin kebangsaan. Hanya pada awal 1990an, tiga kes polio dicatatkan di Malaysia. Bagaimanapun semua kes itu membabitkan warga asing.

Dr Musa berkata, di sesetengah negara apabila sesuatu penyakit itu tidak lagi menjadi kebiasaan masyarakat mula mempersoalkan kewajaran pemberian vaksin itu. Antaranya pertikaian dan desakan antara orang awam di United Kingdom (UK) dengan kementerian kesihatannya mengenai pemberian vaksin batuk kokol pada 1970an.

Berikutan desakan awam, UK menghentikan pemberian vaksin pencegah batuk kokol. Hanya dalam tempoh beberapa tahun, epidemik batuk kokol muncul semula dengan membabitkan 100,000 kes termasuk 36 kematian.

Mengapa vaksin untuk kanak-kanak sangat penting?

a) Bayi yang baru lahir imun terhadap banyak jenis penyakit kerana antibodi yang diperoleh daripada ibu mereka. Bagaimanapun, durasi imuniti ini hanya bertahan antara sebulan hingga setahun. Apatah lagi kanak-kanak tidak memiliki imuniti ‘maternal’ melawan sesetengah penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin seperti batuk kokol.

b) Jika kanak-kanak tidak menerima imunisasi dan terdedah kepada bakteria membawa penyakit, tubuhnya mungkin tidak cukup kuat untuk melawan penyakit. Sebelum adanya vaksin, kebanyakan kanak-kanak meninggal dunia disebabkan penyakit seperti batuk kokol, campak dan polio. Walaupun penyakit itu masih wujud hingga kini, ia sudah boleh ditangani dengan vaksin.

Bagaimana vaksin melindungi kanak-kanak dari penyakit?

Setiap kanak-kanak lahir dengan sistem imun yang terdiri daripada sel, kelenjar, organ dan cecair yang terletak di seluruh tubuhnya dan berupaya melawan bakteria dan virus.

Sistem imun yang sihat dan normal memiliki keupayaan menghasilkan berjuta-juta antibodi untuk menentang serangan bakteria setiap hari. Banyak antibodi akan ‘hilang’ selepas ia memusnahkan sel asing tetapi sel yang terbabit dalam penghasilan antibodi (disebut memori sel) akan kekal.

Sel ini akan mengingati antigen (sebatian luar yang merangsang penghasilan antibodi) asal dan akan mempertahankan sistem tubuh jika ia cuba menyerang lagi. Perlindungan itu dinamakan imuniti.

Vaksin memiliki antigen yang sama atau sebahagian antigen yang menyebabkan penyakit tetapi antigen dalam vaksin adalah sama ada yang sudah dilemahkan atau sudah dimatikan. Apabila ia disuntik dalam tisu lemak atau otot, antigen vaksin tidak cukup kuat untuk menghasilkan simptom dan tanda penyakit tetapi cukup kuat untuk sistem imun menghasilkan antibodi menentangnya.

Memori sel yang ada mencegah jangkitan sekali lagi jika ia berlaku pada masa depan. Justeru melalui vaksinasi, kanak-kanak membina imuniti tanpa menderita penyakit sebenar.

Contoh paling mudah yang diberikan Dr Musa adalah demam pelentung. Ali mengambil vaksin manakala Ah Chong menderita demam pelentung. Ali tidak diserang pelentung begitu juga Ah Chong tetapi imuniti yang dibina Ah Chong perlu dibayar dengan harga kesakitan dan kesengsaraan manakala harga vaksin Ali mungkin kurang daripada RM100 saja.

8. Hepatitis B lebih mudah berjangkit


WANITA hamil perlu mengambil ujian hepatitis B.











TANPA rawatan, bayi baru lahir juga berisiko tinggi untuk menjadi pembawa HBV.

JANGAN culas jika sepanjang kehamilan, anda perlu melalui pemeriksaan setiap bulan. Jangan berkira mengenai masa yang perlu diperuntukkan jika terpaksa membuat pelbagai ujian tertentu sepanjang kehamilan itu.

Ujian seperti ini bukan saja mengesahkan keadaan kesihatan anda tetapi juga mempengaruhi janin. Misalnya bagi seorang wanita hamil yang dijangkiti virus hepatitis B, wujud risiko ia akan berjangkit pada fetus.

Sama ada bayi akan dijangkiti virus, bergantung pada bila jangkitan terjadi. Jika jangkitan berlaku pada awal kehamilan, risiko jangkitan kurang daripada 10 peratus untuk bayi mendapat virus. Jika pada akhir kehamilan, risiko itu meningkat hingga 90 peratus.

Pakar Perunding Hepatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Rosmawati Mohamed, berkata hepatitis serius pada bayi hingga boleh mengancam nyawa. Malah, bayi mungkin berisiko alami masalah kesihatan yang lebih serius.

Beliau berkata, tanpa rawatan, bayi baru lahir juga berisiko tinggi untuk menjadi pembawa. Justeru, bayi boleh menyebarkannya kepada orang lain. Apabila mereka membesar, 25 peratus pembawa berisiko untuk meninggal dunia disebabkan barah hati.

"Hepatitis B selalunya tidak mendatangkan masalah ketika kehamilan. Bagaimanapun, virus boleh disebarkan kepada bayi ketika proses kelahiran, sama ada kelahiran itu normal atau pembedahan," katanya.

Bayi baru lahir yang tidak menerima vaksin hepatitis B mula menunjukkan simptom jangkitan yang akut dalam tempoh sebulan atau empat bulan selepas dijangkiti. Bagi kebanyakan kes, mereka mula menunjukkan jangkitan antara empat hingga enam bulan. Tidak seperti orang dewasa, bayi yang diserang hepatitis B selalunya kronik.

"Oleh itu wanita hamil perlu mengambil ujian hepatitis B. Doktor akan memberi bayi vaksin dalam tempoh sehari selepas dilahirkan," katanya.

Secara umum, hepatitis B yang kronik adalah masalah kesihatan global yang serius. Ia berada dalam kedudukan ke 10 penyebab utama kematian. Disebabkan virus hepatitis B (HBV) yang menyerang sel hati, hepatitis B kronik boleh menyebabkan parut pada hati (cirrhosis), barah hati, kegagalan hati dan kematian.

Justeru, ia menjejaskan kesihatan sekitar 350 juta orang dan bertanggungjawab pada 1.2 juta kematian setiap tahun. Antara 15 hingga 25 peratus mereka yang terjejas secara kronik akan mati disebabkan komplikasi jangkitan HBV seperti cirrhosis dan barah hati.

Prof Dr Rosmawati berkata, jika jangkitan berlaku lebih daripada enam bulan, ia dianggap sebagai jangkitan yang kronik dan selalunya akan kekal sepanjang hayat. Ada kalanya pesakit tidak mengalami sebarang simptom tetapi ada yang mengalami jaundis, sakit perut, hilang selera makan, muntah dan sakit sendi.

Dianggarkan hampir 78 peratus kes hepatitis B yang kronik terjadi di Asia dan dianggarkan 360,000 kematian disebabkan hepatitis B terjadi setiap tahun membabitkan populasi Asia Timur saja. Di Malaysia, kelaziman kadar hepatitis B di kalangan populasinya adalah 5.24 peratus iaitu sekitar 1.3 juta penduduk.

"Ramai orang tidak tahu bahawa HBV mudah berjangkit antara 50 hingga 100 kali berbanding HIV. Di kawasan ia menjadi endemik, kebanyakan populasinya dijangkiti sejak bayi atau kanak-kanak," katanya.

Malah, jangkitan atau pindahan HBV paling kerap terjadi antara ibu dan anak ketika proses bersalin. Ini kerana ibu tidak menyedari dia adalah pembawa atau pesakit hepatitis B yang kronik.

Selain itu, HBV juga tersebar melalui pemindahan darah, berkongsi atau menggunakan semula jarum (seperti proses bertatu) atau seks tidak selamat. HBV tidak tersebar melalui minuman atau makanan, berkongsi tandas, menyusukan bayi, berpeluk atau berkucup atau bersin dan batuk.

Beliau berkata, kebanyakan mereka yang dijangkiti HBV tidak menunjukkan sebarang simptom. Malah, mereka mungkin mendapati ujian darah untuk fungsi hati adalah normal. Secara umum, HBV tidak menunjukkan simptom yang spesifik dan pesakit tidak menyedari risiko barah hati sehingga ia menyerang pada tahap sangat serius.

"Barah hati selalunya membawa kematian kerana ketika barah itu masih pada tahap awal, tiada simptom ditunjukkan. Ini menyebabkan diagnosis barah hati selalunya pada tahap yang lewat," katanya.

Berbanding wanita, lelaki lebih kerap diserang barah hati apatah lagi jika memiliki sejarah keluarga yang berhadapan dengan masalah yang sama. Lazimnya, barah hati akan terjadi pada usia antara 35 hingga 65 tahun.

Rawatan

Mendapatkan vaksin adalah langkah terbaik mencegah hepatitis B. Sebanyak 116 negara melaksanakan program imunisasi HBV manakala hanya 10 peratus saja kanak-kanak sihat yang menerima vaksin ini gagal membina antibodi mencegah HBV.

Anda perlu tahu vaksin tidak bermanfaat untuk mereka yang sudah dijangkiti HBV. Di Malaysia, suntikan melindungi daripada HBV sudah dimasukkan dalam program imunisasi kebangsaan sejak 2002. Bagaimanapun, untuk kanak-kanak yang lahir sebelum 2002, mendapatkan vaksin hepatitis B adalah antara agenda yang perlu diberi pertimbangan.

Suntikan ini penting kerana kanak-kanak yang dijangkiti HBV selalunya akan berhadapan dengan jangkitan yang kronik. Malah, tanpa vaksin, sebanyak 90 peratus bayi dijangkiti HBV pada tahun pertama kehidupannya. Sementara antara 30 hingga 50 peratus kanak-kanak yang dijangkiti pada usia antara satu hingga empat tahun juga akan dijangkiti HBV kronik.

Risiko kematian disebabkan barah hati dianggarkan 25 peratus pada mereka yang dijangkiti HBV kronik ketika kanak-kanak.

Ada pelbagai vaksin mencegah jangkitan HBV di pasaran, antara yang terbaru ialah Sebivo yang dibangunkan Novartis.

FAKTA : Bagaimana HBV merebak?

HBV lebih mudah berjangkit antara 50 hingga 100 kali berbanding HIV

Virusnya boleh ditemui dalam dalam darah, air liur, air mani dan cecair vagina.

HBV tidak merebak melalui udara, makanan, air, susu ibu, berpelukan, bercium, batuk, bersin atau berkongsi gelas minuman atau makanan.

Penyebaran HBV daripada emak kepada anak berlaku ketika bersalin sama ada proses bersalin itu melalui saluran peranakan atau pembedahan.

Sebanyak 90 peratus bayi yang dijangkiti ketika lahir jika tidak menerima rawatan akan alami HBV lebih kronik.

Kebanyakan warga Asia dan Afrika dijangkiti HBV ketika kanak-kanak atau ketika dilahirkan.

Kebanyakan warga Eropah dan Amerika pula dijangkiti HBV ketika remaja menerusi aktiviti seksual dan penggunaan dadah.

Lebih daripada 2/3 kes HBV tidak menunjukkan sebarang simptom.

Kadangkala jika simptom muncul, ia selalu disalah tafsir sebagai influenza, demam, letih, sakit sendi, sakit otot, hilang selera makan, pening dan muntah.

7. Bersenam, diet kombinasi terbaik kurangkan berat bad

KTIA berjumpa lagi minggu ini dan di harap anda sudah dapat memahami prinsip yang perlu diamalkan di dalam cara pemakanan yang sihat. Minggu ini adalah sambungan di mana ada beberapa perkara yang perlu anda ketahui dan perlu diletakkan di dalam menu harian anda. Kali ini saya ingin menekankan tiga cara asas mengurangkan berat badan.

Galian

Galian adalah bahan bukan organik yang diperlukan badan untuk membentuk tulang, gigi dan sel darah. Galian juga diperlukan untuk membantu dalam tindak balas kimia sel, dan untuk mengawal bendalir badan.

Badan hanya memerlukan amaun kecil galian penting tetapi disebabkan badan tidak dapat menghasilkannya secara semula jadi, anda mesti mendapatkannya daripada sajian harian atau daripada galian tambahan. Setiap orang memerlukan segala galian penting, tetapi amaun yang diperlukan berbeza mengikut umur dan keadaan lain seperti kehamilan.

Penting untuk menyedari bahawa kelebihan mana-mana galian tertentu boleh memudaratkan hati, pankreas dan jantung anda. Ia juga boleh mengganggu fungsi galian yang lain. Elakkan daripada mengambil galian tambahan melainkan jika doktor mendiagnosis kekurangan sesuatu galian.

Air

Air adalah sebahagian penting sajian yang seimbang. Air dikehendaki bagi segala fungsi badan dan untuk mengawal suhu badan. Nasi dan pasta yang dimasak terdiri daripada kira-kira 70 peratus air manakala roti mempunyai kandungan air kira-kira 35 peratus. Sebagai perbandingan, kira-kira 75 peratus daripada tubuh manusia terdiri daripada air.

Air dalam tubuh manusia mesti diganti terus. Enam hingga lapan gelas air sehari sebagai tambahan kepada air yang diperoleh daripada makanan dianggap mencukupi bagi maksud itu. Bagaimanapun, anda bebas minum lebih banyak lagi air kalau hendak. Anda tidak perlu risau terminum terlalu banyak air kerana buah pinggang akan mengeluarkan air yang berlebihan selepas keperluan badan dipenuhi. Berat badan anda tidak akan bertambah dengan minum lebih banyak air kerana air tidak mengandungi sebarang kalori, berbanding dengan bendalir lain, khususnya minuman ringan, minuman buah-buahan dan susu kocak yang berkalori tinggi.

Walaupun badan biasanya sangat cekap dalam mengimbangkan keperluan kandungan airnya, ada masanya anda perlu menambah pengambilan bendalir anda dengan sengaja. Sebagai contoh, jika anda demam dengan suhu yang tinggi atau duduk dalam keadaan cuaca yang lebih panas atau lebih kering. Ahli sukan juga patut minum dua atau tiga kali lebih banyak air berbanding orang biasa. Penyahhidratan boleh menambah kadar denyutan jantung dan suhu badan, yang mengakibatkan kelesuan dan prestasi yang berkurangan. Jika anda mengawasi kecekapan anda menggantikan kehilangan air dalam tubuh anda, lama-kelamaan anda akan belajar untuk meminum air yang secukupnya secara automatik.

Kalori dan Berat Badan

Nilai tenaga makanan lazimnya diperihalkan dalam kiraan 'kalori'. Walaupun kita makan beratus-ratus jenis makanan yang disediakan dengan pelbagai cara, segala makanan boleh difikirkan sebagai amaun tenaga yang dibebaskan olehnya bila makanan itu akhirnya digunakan untuk tenaga oleh sel badan.

Nilai tenaga makanan berbeza daripada sejenis makanan ke jenis makanan lain terutama dalam nilai kalori. Lemak menghasilkan kalori yang terbanyak berbanding beratnya: sembilan kalori setiap gram sementara protein dan karbohidrat menghasilkan kira-kira empat kalori setiap gram.

Mengurangkan Berat Badan

Pada asasnya terdapat tiga cara untuk mengurangkan berat badan.

Berdiet, Bersenam dan Gabungan Berdiet dan Bersenam

Namun mengurangkan berat badan berlainan daripada mengurangkan lemak. Jikalau anda tersilap langkah, apa yang anda ingat adalah pengurangan berat badan hanyalah pengurangan air dan tisu tanpa lemak, yang sesungguhnya anda tidak ingin mengurangkannya. Lemak itu tetap berkekalan. Inilah sebabnya orang mendapati bahawa diet mereka tidak berjaya dan berat yang dikurangkan itu kembali ke asalnya dalam masa singkat.

Oleh itu sebelum anda memilih mana-mana kaedah mengurangkan berat badan, anda sepatutnya tahu jenis berat badan yang akan dikurangkan olehnya.

Berdiet saja

Berdiet adalah cara paling lazim dan sering disalah faham dan disalahgunakan untuk mengurangkan berat badan. Terlalu ramai di kalangan kita menilai keberkesanan sesuatu diet semata-mata berasaskan kepantasan diet itu menghapuskan kilogram tambahan itu. Pengurangan berat badan yang agak ketara biasanya berlaku pada permulaan mana-mana diet kerana simpanan glikogen (gula) badan sedang dikurangkan dan sebahagian daripada air badan dikurangkan. Selepas itu, sesuatu diet yang sihat akan mengurangkan berat badan pada kadar beransur-ansur.

Piawaian yang sihat diterima adalah pengurangan pada kadar kira-kira 0.5 kg (1.1 paun) seminggu. Ini dicapai dengan memotong 500 kalori sehari daripada diet biasa. Apabila dicampurkan, ini adalah suatu pengurangan sebanyak 3,500 kalori seminggu, yakni bilangan kalori dalam 0.5 kg (1.1 paun) lemak.

Kajian menunjukkan kira-kira 70 peratus daripada pengurangan berat badan itu adalah lemak dan yang bakinya tisu tanpa lemak. Berdiet dengan cara yang betul akan memastikan kebanyakan berat badan yang dikurangkan itu adalah lemak tetapi ia tidak dapat menghalang kehilangan sedikit tisu tanpa lemak.

Bersenam saja

Senaman seperti berjoging, berjalan, berenang dan mengayuh basikal dapat mengurangkan berat badan dengan membakar kalori berlebihan. Kajian menunjukkan kebanyakan pengurangan adalah perlahan. Sebagai contoh, jika anda mula berjoging untuk mengurangkan berat badan, anda boleh menjangka dapat mengurangkan kira-kira 2.2 kg (4.8 paun) dalam kira-kira 10 minggu

Berdiet dan Bersenam

Ini cara paling selamat dan berkesan mengurangkan berat badan. Berdiet dan bersenam pada masa yang sama dapat menghasilkan pengurangan berat kira-kira 0.7 kg (1.5 paun) seminggu di mana 0.5 kg (1.1 paun) daripadanya adalah daripada berdiet dan pengurangan itu adalah pengurangan dalam lemak kerana senaman dapat menambahkan tisu tanpa lemak yang akan menurunkan peratusan lemak badan anda melebihi pengurangan berat badan yang ditunjukkan.

Jadi perlu diingatkan bahawa sekiranya anda ingin mengamalkan diet yang selamat, jangan lupa untuk memasuki jenis bahan makanan yang disenaraikan di atas di dalam menu harian anda. Di samping itu, pada tahap ini saya menganggap anda sudah memahami bahawa berdiet serta melakukan senaman adalah cara paling berkesan mengurangkan berat badan.

Sampai setakat ini hari ini sehingga kita berjumpa lagi pada artikel yang akan datang.

Penulis adalah Doktor perubatan lulusdan Universiti Malaya dan London University. Bekas Pengarah Sains Sukan MSN. Pengasas Terapi Air RxWater dan bekas pesakit kanser darah.

6. Pembedahan katarak: Apa yang patut anda ketahui

Oleh: DR. YEOH PHEE LIANG (Advance Vision Eye Specialist Centre Pl.yeoh@advancevision.net.my)

BERIBU-RIBU rakyat Malaysia telah menjalani pembedahan katarak. Ia adalah satu prosedur yang ringkas dan biasa. Meskipun pembedahan ini membawa sedikit risiko, ia tidak mendatangkan masalah yang benar-benar membahayakan.

Namun demikian, masih terdapat perkara dan isu yang patut disedari dan diberikan pertimbangan sebelum anda menjalani pembedahan katarak.

Apakah yang dikatakan katarak?

Katarak berlaku apabila kanta mata menjadi kabur disebabkan oleh pengumpulan protein dalam kanta mata. Tahap keseriusannya boleh diklasifikasikan mengikut usia, peringkat, jenis dan puncanya.

Bagaimanakah pembedahan katarak dilakukan?

Kebanyakan pembedahan katarak dilakukan dalam dua cara:

1- Pembedahan lebihan kapsul. Insisi/torehan berukuran kira-kira 6mm dibuat di sekeliling kornea dan kanta kabur dikeluarkan daripada mata.

Kanta tiruan kemudiannya dimasukkan ke dalam beg kapsul (beg kapsul kekal dalam keadaan asal selepas pengumpulan protein dibuang). Luka kemudian ditutup dengan jahitan halus.

2- Fakomulsifikasi. Ini adalah kaedah yang digunakan untuk membuang katarak menerusi insisi tanpa jahitan.

Satu jarum titanium halus yang bergetar pada frekuensi ultrasound (kira-kira 40,000cps) digunakan untuk menanggalkan nukleus kanta, yang dikeluarkan menerusi jarum yang sama.

Kanta tiruan dimasukkan ke dalam beg kapsul tanpa memerlukan jahitan. Kanta yang digunakan adalah sebegitu lembut hinggakan ia boleh dilipat dan dimasukkan menerusi insisi halus.

Kanta itu kemudiannya dikembangkan hingga saiz penuh di dalam beg kapsul yang tersangat getas dan tidak terusik.

Pembedahan bentuk ini dinamakan pembedahan laser tetapi pada hakikatnya ia menggunakan tenaga ultrasound.

Fakomulsifikasi mempunyai beberapa kelebihan berbanding pembedahan lebihan kapsul.

Oleh kerana luka dalam pembedahan fakomulsifikasi adalah lebih kecil, pesakit akan pulih dengan lebih cepat. Lagipun, kemungkinan mendapat jangkitan adalah lebih rendah.

Jika dilakukan oleh pakar, pembedahan ini boleh disempurnakan dalam tempoh lebih kurang sepuluh minit manakala pembedahan lebihan kapsul mengambil masa lebih dua hingga tiga kali ganda. Bagaimanapun, pembedahan fakomulsifikasi lebih sukar dilakukan jika kanta terlalu tebal.

Bilakah seseorang memerlukan pembedahan katarak?

Seseorang tidak seharusnya dipaksa menjalani pembedahan katarak. Keputusan untuk menjalani pembedahan katarak hendaklah ditentukan oleh keperluan gaya hidup pesakit dan bukan oleh doktor.

Ia bergantung kepada tahap kemerosotan penglihatan yang dialami oleh pesakit. Sebagai contoh, seorang nenek mungkin berpuas hati dengan kejelasan penglihatan sebanyak tujuh puluh peratus kerana tuntutan gaya hidupnya hanya memerlukan dia bermain dengan cucu dan membuat sedikit kerja rumah.

Sedangkan bagi seseorang yang memerlukan penglihatan yang sempurna untuk memandu dan membuat kerja halus, kekaburan penglihatan walaupun sedikit, boleh mendatangkan masalah.

Patutkah saya mempercayai kemahiran doktor atau mesin berteknologi tinggi?

Penggabungan peralatan moden dengan rekod yang terbukti dengan kemahiran doktor adalah kombinasi yang terbaik. Bagaimanapun, dengan kemajuan teknologi yang berterusan, seseorang mesti berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan dakwaan teknologi canggih dan mesin baru.

Biarpun ringkas, pembedahan katarak masih berisiko. Penilaian secara teliti dan penjelasan yang lengkap mesti diberi oleh doktor.

Anda juga seharusnya menyiasat latar belakang kakitangan yang melayani anda - adakah mereka mewakili pelabur swasta yang mengharapkan pulangan lebih tinggi daripada pelaburan mereka?

Atau, adakah mereka benar-benar pakar oftalmologi? Adakah anda lebih suka menerima nasihat daripada seorang doktor atau pakar bedah yang akan menjalankan pembedahan anda atau pasukan jualan yang cuba mengagumkan anda dengan pakej paling mahal?

Ingatlah, jurujual bukanlah orang yang akan menjalankan pembedahan anda. Bidang ubat-ubatan tidak boleh diperkenalkan semata-mata untuk mencari keuntungan.

Ia bukan komoditi dan anda seharusnya berwaspada terhadap mereka yang mungkin menggunakan industri perubatan semata- mata untuk kepentingan dan keuntungan mereka sendiri.

Kerana itulah Kementerian Kesihatan berusaha untuk membanteras pelabur yang menggunakan doktor sebagai proksi.

Apakah implan kanta yang harus saya pilih untuk pembedahan katarak?

Selepas katarak dibuang, kanta tiruan dimasukkan ke dalam beg kapsul yang tinggal. Ketepatan kuasa kanta yang dimasukkan dikira sebelum pembedahan.

Kuasa tersebut boleh memulihkan penglihatan mata pesakit kepada 20/20 atau membetulkan rabun dekat atau rabun jauh. Astigmatisme tidak boleh diperbetulkan dengan kanta konvensional tersebut.

Contohnya, sebelum pembedahan, cermin mata yang dipakai mungkin rabun jauh dioptre -3.00, astigmatisme dioptre -0.75. Selepas pembedahan, pesakit mungkin hanya mempunyai kuasa astigmatisme dioptre -0.75.

Pergantungan terhadap cermin mata sebanyak 100 peratus sebelum pembedahan telah berkurangan dan anda boleh melakukan tugas harian tanpa memakai cermin mata.

Tetapi, pencapaian terbaru kini?

Alangkah bagusnya jika ada kanta tiruan yang memperbetulkan kedua-dua jenis kerabunan - jarak jauh dan jarak dekat - tanpa perlu bergantung kepada cermin mata.

Kini, syarikat kanta tiruan yang terkenal seperti Alcon dan AMO telah melancarkan kanta multifokal (berbilang fokus) di pasaran.

Sebagaimana yang diarahkan oleh syarikat ini, garis panduan yang ketat dan pemilihan pesakit dengan betul sangat penting untuk memastikan kejayaan kanta ini.

Penilaian sebelum pembedahan mesti memastikan pesakit mempunyai hanya sedikit atau tiada langsung astigmatik dan selepas pembedahan, pesakit tersebut hampir tidak memerlukan cermin mata langsung.

Malangnya, doktor dan individu yang terlalu ghairah telah menyebabkan kekesalan di kalangan pesakit yang tidak puas hati dengan kanta baru ini.

Terdapat sekumpulan pesakit yang diberi janji palsu dan akibatnya, mengadu penglihatan yang kabur bagi jarak dekat dan jarak jauh selepas pembedahan.

Saya telah meneliti kes ramai pesakit yang melalui pengalaman yang menakutkan dan kesilapan astimatik yang tinggi.

Lebih menakutkan, sesetengah pesakit yang muda yang masih tidak mengalami sebarang kekaburan dipujuk supaya menjalani pembedahan implan kanta multifokal.

Memburukkan lagi keadaan, adalah sukar untuk mengeluarkan kanta sedemikian tanpa menjejaskan keutuhan kapsul yang meletakkan kanta dalam kedudukan yang betul.

Di samping itu, seseorang mesti melakukan pembedahan bilateral untuk memperolehi kesan-kesan kanta multifokal sepenuhnya.

Justeru, pesakit menghadapi dilema kerana kanta terlekat dalam beg dan dia keberatan untuk menjalani pembedahan bagi mata yang sebelah lagi dengan kanta yang serupa.

Adakah saya seorang calon yang sesuai untuk pembedahan katarak dan implan kanta multifokal (fokal berbilang)?

Pembedahan diharuskan apabila masalah katarak menjejaskan gaya hidup anda. Semua jenis pembedahan, baik pembedahan katarak, laser mata atau sebarang pembedahan khusus yang lain, mempunyai risikonya.

Oleh yang demikian, semua pembedahan hanya patut dikendalikan oleh doktor yang pakar.

Seseorang tidak harus membiarkan jurujual memujuk mereka supaya menjalani pembedahan. Aspek perniagaan tidak boleh sama sekali melebihi kepentingan pesakit.

Jika anda digalakkan menjalani sebarang pembedahan seperti implan kanta multifokal, sekurang-kurangnya tanya doktor pakar sama ada dia boleh menjanjikan penglihatan jarah jauh dan jarak dekat yang jelas.

2C. Mungkinkah anda menghidap diabetes?

HARI ini, lebih 240 juta manusia di seluruh dunia hidup dengan diabetes. Dalam tempoh 20 tahun akan datang, angka ini dijangka akan meningkat kepada 380 juta.

Kanak-kanak sekalipun tidak terlepas daripada wabak yang membawa kepada komplikasi-komplikasi yang begitu menakutkan serta mengancam nyawa ini.

Diabetes menyebabkan kira-kira 5 peratus semua kematian dunia setiap tahun. Tanpa tindakan segera, kematian akibat diabetes mungkin akan meningkat sebanyak lebih 50 peratus dalam masa 10 tahun akan datang.

Diabetes ialah penyakit kronik yang muncul apabila pankreas tidak dapat mengeluarkan insulin dengan mencukupi, atau apabila badan tidak dapat menggunakan insulin yang dikeluarkan itu secara berkesan.

Insulin ialah sejenis hormon yang diperlukan untuk menukar gula, kanji dan makanan lain menjadi tenaga untuk keperluan harian.

Hiperglikemia, atau peningkatan gula darah, merupakan kesan biasa penyakit diabetes yang tidak terkawal dan lama-kelamaan ia akan membawa kepada kerosakan yang serius kepada beberapa sistem badan, terutama sekali sistem saraf dan saluran darah.

Sekiranya komplikasi berkaitan diabetes ini tidak boleh dikurangkan, maka salah satu jalan untuk mencegah penyakit kronik ini ialah dengan mendidik diri sendiri.

Dengan mengetahui tanda dan gejala biasa penyakit ini di samping melakukan ujian glukosa darah yang sewajarnya, kita mungkin dapat membasmi gejala penyakit ini dari awal lagi.

Tanda-tanda dan gejala biasa

Kerap mengunjungi bilik air: Adakah anda terlampau kerap mengunjungi bilik air kebelakangan ini? Adakah anda berasa seperti mahu kencing sepanjang hari?

Kencing menjadi lebih kerap apabila terdapat terlampau banyak glukosa dalam darah.

Jika insulin tidak wujud ataupun tidak berkesan, maka buah pinggang anda tidak dapat menapis glukosa untuk mengembalikannya semula ke dalam darah.

Oleh yang demikian, buah pinggang akan dipenuhi glukosa dan ia cuba menarik lebih banyak air keluar daripada darah untuk mencairkan glukosa.

Ini menyebabkan pundi air kencing anda sentiasa penuh dan membuatkan anda selalu berlari ke bilik air.

Kehausan Yang Tidak Dapat Dipuaskan: Sekiranya anda sentiasa tidak puas minum dan minum lebih dari biasa, ini mungkin suatu tanda diabetes, terutamanya jika ia datang dengan kencing yang kerap.

Jika badan anda menarik lebih banyak air keluar daripada darah dan anda lebih kerap ke bilik air, anda akan mengalami penghidratan, maka lebih banyak lagi anda perlu minum untuk menggantikan air yang telah hilang itu.

Berat Badan Turun Tanpa Diusahakan: Gejala ini nampak lebih jelas pada diabetes jenis 1.

Dalam diabetes jenis 1, pankreas berhenti membuat insulin, kemungkinan disebabkan oleh serangan virus terhadap sel-sel pankreas ataupun kerana sesuatu tindakbalas autoimun yang membuatkan badan menyerang sel-sel yang mengeluarkan insulin.

Badan dengan nekad akan mencari sumber tenaga lain kerana sel-sel tidak memperolehi bekalan glukosa. Ia mula memecah-mecahkan tisu otot dan lemak untuk mendapatkan sumber tenaga.

Diabetes jenis 2 berlaku secara beransur-ansur dengan penentangan insulin semakin meningkat; oleh itu kehilangan berat badan tidaklah begitu terserlah dalam diabetes jenis ini.

Kelemahan dan Keletihan: Glukosa daripada makanan yang kita makan bergerak masuk ke dalam aliran darah di mana insulin akan membantu memudahkannya masuk ke dalam sel-sel badan kita.

Sel akan menggunakannya untuk mengeluarkan tenaga yang kita perlu untuk hidup.

Apabila insulin tiada di situ ataupun jika sel-sel tidak lagi bertindakbalas dengannya, maka glukosa akan terus berada di luar sel-sel dalam aliran darah. Sel-sel akan mengalami kekurangan tenaga dan anda akan berasa letih dan lemah.

Denyutan atau Kekebasan pada Tangan, Betis atau Kaki: Gejala ini dikenali sebagai neuropati. Ia berlaku secara beransur-ansur dalam masa yang panjang kerana kandungan glukosa yang tinggi secara konsisten dalam darah akan merosakkan sistem saraf, khususnya di tangan dan kaki.

Diabetes jenis 2 muncul secara beransur-ansur, dan ramai orang seringkali tidak menyedari bahawa mereka menghidapinya.

Oleh itu, gula darah mungkin sudahpun berada pada tahap yang tinggi buat beberapa tahun lamanya sebelum pengesahan diabetes dilakukan.

Kerosakan saraf boleh menular tanpa disedari. Keadaan neuropati kerap kali boleh diperbaiki apabila kawalan glukosa darah diperketatkan.

Tanda-tanda dan gejala lain yang boleh berlaku: Penglihatan yang kabur, kulit kering dan gatal-gatal, selalu mendapat jangkitan, atau luka dan lebam yang mengambil masa yang lama untuk sembuh, semua ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.

Apabila tanda-tanda ini dikaitkan dengan diabetes, ia merupakan hasil daripada paras glukosa yang tinggi dalam badan.

Sekiranya anda ternampak mana-mana tanda tersebut, sila jumpa doktor secepat mungkin. Doktor dapat mengesahkan sama ada anda sedang berhadapan dengan masalah diabetes.

Suplemen-suplemen nutrisi untuk para pesakit diabetes dan pradiabetes

Membekalkan pesakit diabetes dan pradiabetes dengan nutrien-nutrien penting telah terbukti dapat memperbaiki pengawalan gula darah di samping mencegah atau mengurangkan perkembangan komplikasi utama diabetes.

Nutrien-nutrien penting yang diperlukan pesakit diabetes dan pradiabetes dalam jumlah yang lebih tinggi berbanding daripada yang boleh didapati dalam formula multivitamin dan mineral harian biasa ialah – Vanadil Sulfat, Kromium, Biotin, Vitamin B1, B6, B12, Niacinamide, Vitamin C, Vitamin E, Mangan, Zink, dan Selenium.

Vanadil Sulfat mungkin dapat memperbaiki kawalan glukosa bagi penghidap diabetes jenis 2. Telah dibuktikan bahawa Vanadil Sulfat dapat meningkatkan kesensitifan insulin.

Disebabkan terdapat kesan-kesan seumpama insulin pada Vanadil Sulfat, maka jumlah mineral surih yang tidak mencukupi ini seharusnya dielakkan oleh penghidap masalah ketidaknormalan gula darah.

Kromium membantu pesakit diabetes dan pradiabetes untuk merangsang kesensitifan insulin mereka dengan meningkatkan kedua-dua bilangan reseptor insulin pada sel- sel dan juga kegiatan reseptor tersebut.

Mengambil suplemen kromium akan mewujudkan pengawalan yang lebih baik terhadap gula dengan mengurangkan insulin.

Suplemen Biotin akan meningkatkan kesensitifan insulin serta menggiatkan aktiviti enzim glukokinase yang bertanggungjawab terhadap langkah pertama dalam penggunaan glukosa oleh hati.

Konsentrasi glukokinase pada penghidap diabetes adalah sangat rendah. Oleh itu, menambahkan suplemen Biotin dalam pemakanan akan memperbaiki kegiatan glukokinase dengan itu membantu menurunkan paras gula darah.

Asid Alfa Lipoik (ALA) telah pun digunakan selama lebih 30 tahun di Eropah (terutamanya di Jerman) untuk menentang kerosakan saraf pada mereka yang menghidapi diabetes (jenis 1 dan 2).

Asid Alfa Lipoik merupakan sejenis antioksida sejagat yang unggul dan amat berkuasa kerana ia larut air dan juga larut lemak.

Di samping menjadi antioksida yang amat berkuasa, ALA membantu badan dalam penggunaan glukosa, dengan itu berpotensi untuk memainkan peranan dalam memperbaiki pengawalan gula darah.

ALA akan mengurangkan komplikasi akibat daripada pemakanan gula yang tinggi.

Oleh itu, mengetahui tanda dan gejala biasa seperti di atas amat bermanfaat kerana seseorang itu dapat melakukan sesuatu untuk membetulkan keadaan sebaik sahaja gejala seperti ini muncul.

Langkah pertama ialah melakukan perubahan gaya hidup – mengamalkan pemakanan yang sihat serta bersenam dengan kerap merupakan gaya hidup yang berhemat.

* Khas untuk para pembaca Mingguan Malaysia

3. Dialisis Peritoneal - Alternatif rawatan buah pinggang

Dialisis Peritoneal - Alternatif rawatan buah pinggang



PESAKIT terpaksa menanti dalam waktu yang lama untuk mencari buah pinggang sesuai untuk prosedur pemindahan.
--------------------------------------------------------------------------------


DALAM tempoh lebih 20 tahun, jumlah pesakit yang memerlukan dialisis di negara ini telah meningkat dengan begitu ketara.

Saban tahun, lebih 2,500 pesakit disahkan menghidap kegagalan buah pinggang tahap lewat atau akhir (ESRF), bersamaan dengan kira-kira 100 orang bagi setiap sejuta penduduk.

Kadar ini terus meningkat dari 43 orang pesakit yang diterima menjalani dialisis pada tahun 1980 kepada 3,152 orang pada tahun 2006.

Pakar Runding Nefrologi, Datuk Dr. Zaki Morad Mohamad Zaher berkata, keadaan ini sebahagiannya berpunca daripada peningkatan kadar diabetes dan hipertensi (darah tinggi).

“Kira-kira 57 peratus daripada kes kegagalan buah pinggang lanjutan disebabkan oleh diabetes melitus.

“Adalah penting bagi seseorang individu untuk merawat dan menguruskan penyakit buah pinggang seawal yang mungkin terutamanya jika mereka berada dalam kategori berisiko tinggi (diabetes dan darah tinggi).

“Jika tidak dikesan dan dirawat secara berkesan, ia boleh mengancam nyawa,’’ ujar beliau pada majlis mengumumkan pemenang peraduan Dreamcatcher yang dianjurkan oleh firma farmaseutikal Baxter Healthcare Malaysia buat julung kalinya, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

(Minggu hadapan, jangan lupa untuk berkongsi pengalaman finalis Dreamcatcher yang menderitai penyakit buah pinggang serta pilihan rawatan mereka)

Ia dikhaskan untuk semua pesakit buah pinggang di seluruh negara yang menjalani rawatan dialisis peritoneal (PD), iaitu salah satu pilihan rawatan bagi pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang.

Mnurutnya, buah pinggang memainkan peranan penting menapis keluar kotoran di dalam darah dan mengeluarkan air yang berlebihan di dalam badan.

Di samping itu, ia turut membantu mengimbang tekanan darah, menghasilkan hormon untuk membantu tulang sum-sum menghasilkan sel-sel darah merah serta memelihara tulang yang sihat.

Apabila buah pinggang gagal berfungsi

* Kotoran terhasil di dalam darah membuatkan badan terasa gatal, hilang selera makan, diikuti dengan rasa mual dan muntah-muntah

* Air yang berlebihan yang terhasil di dalam badan mengakibatkan bengkak pada muka dan kaki. Ia juga boleh mengakibatkan sesak nafas

* Kekurangan hormon untuk membantu tulang sum-sum menghasilkan sel-sel darah merah boleh mengakibatkan kita kelihatan pucat dan sering terasa letih

* Kekurangan hormon untuk memelihara tulang boleh mengakibatkan penyakit yang ada kaitan dengan tulang seperti tulang reput

* Kekurangan hormon untuk mengimbangkan tekanan darah boleh mengakibatkan tekanan darah yang tidak terkawal (darah tinggi)

Dr. Zaki Morad yang juga seorang profesor dalam bidang perubatan dalaman berkata, penyakit buah pinggang kronik (CKD) berlaku apabila buah pinggang secara beransur-ansur kehilangan keupayaannya untuk berfungsi.

‘‘Ia merupakan penyakit senyap dan selalunya gagal dikesan kerana gejala-gejalanya mungkin tidak dirasai.

‘‘Bagaimanapun, tanda-tanda awal masalah buah pinggang boleh dikesan dengan ujian rutin air kencing dan darah serta pemeriksaan tekanan darah yang ringkas dan mudah,’’ katanya.

Berita baiknya lagi, CKD boleh ditangguhkan dan dicegah melalui ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup sebaik sahaja masalah ini dapat dipastikan.

Pengesanan dan rawatan awal CKD dapat memperlahankan perkembangan pesakit memasuki tahap ESRF dan memerlukan dialisis.

Para pesakit yang didiagnosis dengan ESRF mempunyai tiga pilihan rawatan iaitu pemindahan buah pinggang, hemodialisis dan PD, kata Dr. Zaki Morad.

‘‘Dialisis ialah rawatan perubatan yang membantu pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang untuk mengeluarkan bendalir dan bahan buangan daripada darah.

‘‘Hemodialisis ialah jenis dialisis yang membersihkan darah anda dengan mengalirkan darah keluar daripada badan dan membersihkannya menerusi penapis yang dinamakan dialyzer (buah pinggang tiruan),’’ jelasnya.

Sebaliknya, PD dilakukan di dalam badan anda. Selaput nipis yang dinamakan membran peritoneum melapisi abdomen. Membran ini juga meliputi kesemua organ dalam rongga abdomen.

Ia separa telap, maksudnya hanya bahan tertentu boleh melalui selaput tersebut. PD menggunakan membran ini untuk menapis darah semasa dialisis.

Bagaimana proses PD berlaku?

Pertama sekali, tiub lembut yang dinamakan kateter dimasukkan secara pembedahan melalui dinding abdomen ke dalam rongga peritoneum.

Bergantung kepada jenis kateter yang diletakkan, sambungan kekal ini biasanya boleh digunakan untuk terapi dialisis peritoneum 10 hingga 14 hari selepas prosedur.

Kawasan di mana kateter itu dikeluarkan dari abdomen dipanggil exit site.

Kateter ini membolehkan larutan dialisis memasuki rongga peritoneum. Rongga peritoneum kemudian diisi dengan 2 hingga 3 liter cecair, yang boleg ditampung dengan selesa oleh orang dewasa.

Apabila larutan dialisis dimasukkan ke dalam rongga peritoneum, hasil buangan akan ditapis daripada aliran darah menerusi membran peritoneum ke dalam larutan dialisis.

Dari situ, bahan buangan akan dikeluarkan dari badan anda. Ini dinamakan fasa pengantaraan dalam pertukaran PD dan proses ini berlaku dalam tempoh beberapa jam setiap kali.

Kemudian, larutan dialisis yang telah digunakan disalurkan keluar dari rongga peritoneum dan digantikan dengan larutan baru. Penyaluran keluar dan penggantian larutan dialisis dinamakan pertukaran atau kitaran.

Jenis PD dan preskripsi rawatan yang dipilih akan menentukan bilangan pertukaran atau kitaran yang diperlukan sehari. Anda boleh memilih sama ada dialisis peritoneal ambulatori berterusan (CAPD) atau dialisis peritoneal automatik (APD).

CAPD – 4 hingga 5 tukaran sehari, yang disesuaikan dengan gaya hidup anda

Sebagai permulaan, kateter PD disambungkan kepada set tiub. Larutan yang berada dalam abdomen pada pertukaran sebelumnya, mesti disalur keluar dari rongga peritoneum ke dalam beg yang sudah tersambung.

Apabila cecair telah dikeluarkan sepenuhnya daripada rongga peritoneal, larutan dialisis baru disalur masuk melalui kateter, mengisi rongga peritoneum dengan jumlah cecair baru yang ditetapkan.

Beg dan set tiub kemudian ditanggalkan dan dibuang. Dalam fasa pengantaraan ini, apabila cecair berada dalam rongga peritoneum barulah dialisis sebenar atau penapisan bahan buangan dan cecair berlaku.

Kini, anda bebas menjalankan kegiatan harian sambil dialisis berlaku dalam rongga peritoneum anda.

Setiap pertukaran mengambil masa 30 minit dan dilakukan setiap 4 hingga 6 jam. Pertukaran malam terakhir kekal atau disimpan di dalam rongga peritoneum semalaman ketika anda tidur.

CAPD memberikan anda kebebasan untuk melakukan dialisis di rumah, tempat kerja malah semasa bercuti.

Anda boleh terus menikmati kehidupan tidak kira sama ada anda bekerja, bersekolah, mengembara mahupun melakukan hobi atau kegiatan lain seperti yang anda lakukan sebelum memulakan dialisis.

APD – Mesin dialisis waktu tidur, 10 jam sepanjang malam

Di sini, pertukaran atau kitaran larutan dialisis dilakukan oleh mesin semasa anda tidur. Sebelum tidur, kateter anda disambungkan kepada mesin APD. Mesin dan larutan diletakkan berhampiran katil.

Apabila anda tidur, mesin APD mengawal ketiga-tiga fasa kitaran, menyalur keluar larutan terpakai, mengisi larutan baru dan mengawasi masa larutan kekal dalam rongga peritoneum – masa penghantaran.

Pada waktu pagi, mesin melakukan isian terakhir bagi kebanyakan pesakit. Ini bermakna, larutan yang dimasukkan kekal dalam rongga peritoneum sehingga waktu tidur atau pertukaran seterusnya.

Apabila anda menanggalkan sambungan, anda bebas melakukan kegiatan harian seperti biasa.

Dalam kedua-dua kes, anda dan Unit Perubatan Buah Pinggang anda boleh membincangkan pilihan yang paling sesuai dengan keperluan anda.

Sunday, November 18, 2007

2A. Diabetes, nasi lemak & teh tarik

NASI lemak secara tidak rasminya sudah menjadi hidangan wajib bagi rakyat Malaysia.

Tiada yang boleh mengatasi keenakan nasi putih yang wangi baunya, dimasak dengan santan kelapa dan dibungkus dalam daun pisang serta diperlazatkan lagi dengan sambal ikan bilis, kacang goreng, telur dan timun yang menyelerakan.

Setelah itu ia disudahi dengan tegukan segelas teh tarik – teh yang manis bersusu. Teh tarik juga secara kebetulan menjadi minuman tidak rasmi bagi rakyat Malaysia.

Tetapi malangnya, mengambil nasi lemak dan teh tarik untuk sarapan pagi setiap hari bukan suatu pilihan yang terbaik dari segi kesihatan. Bacalah seterusnya...

Apa yang terjadi kepada nasi putih dalam badan kita?

Sebaik sahaja ia dimakan, nasi putih akan ditukarkan menjadi glukosa dan akan diserap dengan cepatnya ke saluran darah.

Sebarang peningkatan gula darah akan memberi isyarat kepada pankreas untuk mengeluar dan melepaskan insulin. Hormon ini akan mengarahkan sel-sel untuk mengusap glukosa.

Tanpa insulin, glukosa akan hanyut terapung-apung di sekitar aliran darah, tidak dapat memasuki ke dalam sel-sel yang memerlukannya.

Diabetes akan muncul apabila badan tidak dapat mengeluarkan insulin dengan cukup atau tidak dapat menggunakannya dengan baik.

Nasi putih mengandungi apa yang dikenali sebagai Indeks Glisemik (GI) yang tinggi. Ini bermakna ia akan menyebabkan peningkatan paras gula darah dan insulin secara berlanjutan.

Karbohidrat yang tidak begitu mudah dihadamkan akan menyebabkan peningkatan gula darah dan insulin yang lebih rendah dan lebih perlahan.

Dengan itu, ia memberi kurang tekanan terhadap jentera pembuat insulin dalam badan kita serta membantu mencegah diabetes jenis 2.

Makanan-makanan seperti ini dikatakan mempunyai Indeks Glisemik yang rendah. Contohnya termasuklah gandum asli lengkap, beras perang, lain-lain jenis bijirin yang lengkap, dan kebanyakan kacang dan kekacang.

Sel-sel kita bergantung kepada satu gula tunggal ringkas iaitu glukosa, yang sebahagian besar diperlukan oleh sel-sel berkenaan untuk membina tenaga.

Itulah sebabnya mengapa badan kita mempunyai mekanisme yang rumit untuk memastikan paras glukosa dalam aliran darah tidak menurun terlampau rendah atau melambung naik terlampau tinggi.

Glukosa datangnya daripada pencernaan sukrosa (gula biasa) dan juga daripada karbohidrat seperti nasi, roti, ubi kentang, roti canai, dan lain-lain.

Jenis-jenis diabetes yang berlainan

Satu bentuk diabetes akan berlaku apabila sistem imun menyerang dan melumpuhkan buat selama-lamanya sel-sel pembuat insulin dalam pankreas.

Ini dikenali sebagai diabetes jenis 1 yang pada suatu ketika dahulu dikenali sebagai permulaan juvana (juvenile onset) ataupun diabetes bergantung insulin.

Satu bentuk lagi suka menjalar dalam badan manusia, dan ia mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang menjadi penyakit diabetes sepenuhnya.

Ia bermula apabila otot dan sel-sel lain berhenti memberi tindak balas terhadap isyarat buka pintu untuk glukosa yang diberikan oleh insulin.

Badan bertindak balas dengan membuat lebih banyak lagi insulin, sebenarnya ia cuba menggasak dan memaksa gula darah ke dalam sel-sel.

Akhirnya, sel-sel pembuat insulin menjadi lemah dan mengalami kegagalan. Ini dikenali sebagai diabetes jenis 2.

Mereka yang menghidapi pradiabetes mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi daripada normal tetapi tidak cukup tinggi untuk disahkan sebagai pesakit diabetes sepenuhnya.

Penghidap pradiabetes mempunyai glukosa semasa berpuasa yang terjejas (6.1 hingga kurang daripada 7mmol/l).

Pada paras ini ia mengisyaratkan wujud risiko tinggi untuk menghidapi diabetes jenis 2 dalam masa 10 tahun yang berikutnya.

Sama ada pradiabetes akan berkembang menjadi diabetes jenis 2 sepenuhnya, sebahagian besarnya bergantung kepada individu itu sendiri yang seharusnya mengambil perhatian terhadap berat badan dan kegiatan senaman.

Cara pemakanan bukan sahaja dapat mencegah pradiabetes daripada menjadi diabetes, tetapi juga dapat mengembalikan semula paras glukosa darah ke julat yang normal.

Langkah-langkah yang mudah

Dengan melakukan beberapa perubahan boleh mengurangkan secara mendadak kemungkinan untuk menghidapi diabetes jenis 2. Contoh-contohnya termasuklah:

Kawal berat badan anda. Berat badan berlebihan merupakan satu penyebab yang paling penting bagi diabetes jenis 2.

Mempunyai berat badan berlebihan akan meningkatkan tujuh kali ganda kemungkinan untuk menghidapi diabetes jenis 2.

Berbadan gemuk akan membuatkan anda 20 hingga 40 kali lebih berkemungkinan untuk menghidapi diabetes berbanding dengan mempunyai berat badan yang sihat.

Mengurangkan berat badan boleh membantu sekiranya berat badan anda berada di atas paras berat badan yang sihat.

Mengurangkan 7 hingga 10 peratus daripada berat badan anda sekarang dapat menurunkan separuh kemungkinan untuk anda menghidapi diabetes jenis 2.

Bertindak sekarang. Ketidakaktifan menggalakkan diabetes jenis 2.

Bagi setiap dua jam anda duduk menonton TV selain daripada melakukan kegiatan aktif lain, akan meningkatkan kemungkinan untuk menghidapi diabetes sebanyak 14 peratus.

Menggiatkan otot-otot anda dengan kerap dan membuatkannya bekerja lebih keras akan meningkatkan keupayaannya untuk menggunakan insulin dan menyerap glukosa.

Ini akan mengurangkan tekanan ke atas sel-sel pembuat insulin anda.

Perbaiki cara pemakanan anda. Perubahan terhadap cara pemakanan boleh mendatangkan kesan yang besar terhadap risiko diabetes jenis 2.

Pilihlah produk yang berbijirin lengkap berbanding karbohidrat yang diproses seperti nasi putih, roti putih, roti canai, kuih-muih, dan lain-lain.

Makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Lagi banyak warna lagi baik.

Adalah penting juga untuk mengurangkan pengambilan gula yang bertapis (gula putih). Apabila minum teh tarik, minta kurangkan gula atau kurangkan minum teh tarik.

Suplemen-suplemen nutrisi. Membekalkan pesakit diabetes dan pradiabetes dengan nutrien-nutrien penting terbukti dapat memperbaiki pengawalan gula di samping mencegah atau mengurangkan perkembangan komplikasi-komplikasi diabetes.

Contoh khusus nutrien-nutrien penting yang diperlukan oleh pesakit diabetes dan pradiabetes dengan jumlah yang lebih tinggi daripada yang terdapat dalam formula multivitamin dan mineral harian biasa – Vanadil Sulfat, Kromium, Biotin, vitamin B1, B6, B12, Niacinamide, vitamin C, vitamin E, Mangan, Zink dan Selenium.

Asid Alfa Lipoik (ALA) juga telah pun terbukti dapat memberi manfaat kepada pesakit diabetes, demikian juga kepada pesakit pradiabetes.

ALA telah digunakan lebih 30 tahun di Jerman untuk menentang kerosakan saraf termasuk retinopati (kerosakan retina) bagi mereka yang menderita diabetes (jenis 1 dan 2).

Kajian-kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa ALA mencegah diabetes bagi mereka yang berbadan gemuk dengan mengurangkan pengumpulan lipid dalam tisu lemak.