Sunday, November 29, 2009

Kanser mulut

BERSESUAIAN dengan perlaksanaan Minggu Kesedaran Kanser Mulut yang diadakan setiap tahun dan pada tahun ini bagi peringkat negeri Kelantan diadakan pada 15 November hingga 21 November, artikel saya pada minggu ini adalah berkaitan dengan bahayanya kanser mulut.

Sehingga sekarang, tidak terdapat perangkaan yang tepat terhadap data kes-kes kanser mungkin kerana kekurangan pembiayaan kewangan dan juga tenaga manusia.

Malah masih lagi terdapat kurangnya pengetahuan masyarakat tentang tanda-tanda awal kanser mulut (precancerous).

Namun, mempunyai pengetahuan bagi mengenal pasti tanda-tanda awal dan faktor-faktor risiko yang menyebabkan kejadian kanser mulut boleh membantu menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kecacatan akibat pembedahan.

Walaupun langkah-langkah pencegahan telah dijalankan oleh Bahagian Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia - seperti program saringan kanser oral, program televesyen dan radio, tetapi kes-kes yang hadir untuk mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia masih lagi kebanyakannya terdiri daripada kes-kes yang agak lewat seperti pada tahap 3 dan 4.

Rawatan seperti pembedahan terhadap kes-kes seperti ini menyebabkan pengudungan (mutilation) atau deformasi muka, kualiti hidup yang terjejas terutama fungsi penguyahan, penelanan dan percakapan dan peratusan kejayaan pembedahan juga menurun.

Kombinasi rawatan Radioterapi dan Kemoterapi diperlukan untuk kebanyakan kes-kes yang lewat dan rawatan ini juga mendatangkan komplikasi-komplikasi tertentu.

Oleh itu, biar apapun rawatan kepakaran yang boleh membantu, mengenali tanda-tanda awal kanser mulut memberi peluang terbaik untuk rawatan.

Dibantu dengan kepakaran Klinik Onkologi yang terdiri daripada pakar Oral & Maksilofasial, Pakar ENT, Klinikal Onkologi, Pakar rekonstruktif dan lain-lain kepakaran, termasuklah rehabilitasi, boleh meningkatkan kualiti hidup pesakit yang menerima rawatan.

Saringan pra kanser

dan kanser mulut

Tujuan pemeriksaan

1. Mengesan awal keadaan pada mereka yang berisiko - berdasarkan faktor umur, cara hidup dan tabiat harian

2. Mengesan awal keadaan yang berisiko tinggi menjadi kanser mulut

3. Mengesan awal keadaan kanser yang masih kecil dan tidak bergejala

Pemeriksaan didapati positif apabila terdapatnya keadaan seperti kanser mulut, leukoplakia (tompok putih yang bukan disebabkan oleh jangkitan, reaksi terhadap bahan tertentu dan sebagainya), erythroplakia atau erythroleukoplakia dan submucous fibrosis.

Gejala klinikal dan tanda

kanser mulut

Pada peringkat awal, ianya tidak sakit dan kadang-kala cuma rasa pedih yang berpanjangan, terdapat tompok-tompok merah, putih atau indurasi, bengkak dan lempuh (ulser).

Pada peringkat yang agak lewat, ia akan berasa sakit, mengganggu fungsi mulut seperti pergerakan lidah atau rahang, mengunyah dan menelan.

Kawasan mulut yang biasanya terjadi kanser mulut bagi pesakit di Malaysia, khususnya di HUSM ialah mukosa pipi (mungkin akibat pengunyahan tembakau dan sireh pinang), seterusnya di ikuti oleh bahagian tepi lidah, lantai mulut dan rahang bawah.

Faktor risiko kanser mulut

Sehingga ke hari ini banyak kajian terhadap tisu kanser bagi mengenal pasti struktur turutan genetik, mengenalpasti struktur khusus permukaan sel (surface cell marker) dan juga kajian terhadap alatan-alatan bagi membantu diagnosis kanser sedang dijalankan di seluruh pusat kanser dalam dan luar negara bagi membantu rawatan dan pengesanan awal kanser, termasuk kanser mulut.

Oleh kerana sehingga ke hari ini masih belum di ketahui punca sebenar penyebab kanser mulut, langkah pencegahan perlu ditekankan.

Ini termasuk menjauhi diri dari faktor-faktor risiko terhadap kanser mulut seperti merokok, mengunyah tembakau, makan sireh pinang yang disapu kapur, ketagih alkohol, siflis, keadaan prakanser, jangkitan (seperti virus tertentu), keadaan trauma berpanjangan akibat penggunaan gigi palsu yang longgar, radiasi dan kekurangan sumber antioksidan dalam diet seperti vitamin C, E dan beta keroten.

Jika terdapat sebarang keadaan atau gejala seperti dibincangkan di atas, hendaklah segera berjumpa doktor gigi di klinik atau di hospital bagi mendapatkan rawatan seterusnya.

Di hospital, keadaan berisiko akan dikenal pasti dan rawatan bersesuaian akan diberikan sekiranya terdapat punca keadaan tersebut - seperti jangkitan kulat, keadaan gigi yang tajam dan sesi kaunseling diberikan jika terdapat tabiat yang berisiko.

Jika masih lagi belum pulih, sedikit tisu akan diambil dan dihantarkan ke makmal patologi untuk mendapatkan diagnosis lebih tepat.

Rawatan kanser mulut

Sehingga ke hari ini, rawatan untuk kanser mulut hanyalah pembedahan. Ini kerana keadaan muka yang kompleks menyukarkan pembuangan tisu kanser secara berkesan, tambahan pula terdapat penyaliran limfa dari bahagian kepala ke leher sebelum memasuki aliran vena.

Sel-sel kanser akan menduduki sistem limfa di leher dan sistem limfa ini terpaksa dibuang bersama dengan tisu kanser semasa pembedahan.

Bayangkan tisu kanser di bahagian mulut pada peringkat tahap 3 dan 4 iaitu yang mempunyai saiz melebihi 4 sentimeter (cm).

Bahagian yang terpaksa dibuang adalah sekurang-kurangnya 7 cm bagi memastikan ianya bebas dari kanser dan ini mengakibatkan deformasi yang teruk dan mengganggu fungsi menelan, mengunyah, percakapan dan kecacatan muka yang akan mengganggu emosi seseorang.

Pembedahan, jika dilakukan pada peringkat awal seperti tahap 1 dan 2, mampu memberi peratusan kejayaan tinggi di samping kecacatan yang sedikit.

Walaupun begitu, dengan adanya kepakaran unit surgeri Rekonstruktif , pemindahan tisu dari bahagian badan yang lain bagi menampal kecacatan akibat dari pembedahan kanser mulut dapat dilakukan kini.

Ini sedikit sebanyak dapat merawat emosi dan mengembalikan keyakinan diri pesakit kanser mulut.

Akhirnya, kerjasama dari pelbagai pihak yang terlibat seperti pihak kerajaan, unit rawatan kanser, masyarakat, media dan badan-badan bukan kerajaan boleh membantu program-program kesedaran dalam pengesanan awal kanser khususnya kanser mulut bagi kejayaan rawatan.

Kerjasama ini juga sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kes kanser mulut di tahap 3 dan 4 jika kanser tersebut dapat dikesan dari peringkat awal lagi.

Petua menghadapi diabetes

KEBANYAKAN mereka yang didiagnosis mengalami diabetes atau pra diabetes, sentiasa dimaklumkan mengenai komplikasi jangka panjang akibat diabetes yang boleh menyebabkan serangan jantung dan strok, buta, sakit buah pinggang dan pemotongan anggota badan.

Malangnya, hanya sebilangan sahaja yang diberitahu kesemua komplikasi tersebut umumnya boleh dicegah melalui perubahan gaya hidup yang disyorkan seperti diet, makanan tambahan, kerap bersenam dan mengambil perhatian kepada ujian perubatan seperti HbA1c, pemeriksaan mata yang kerap dan sebagainya. Kebanyakan penghidap diabetes boleh mencegah atau melambatkan kebangkitan komplikasi itu.

Menurut Laporan oleh USA Today keluaran April 2009, walaupun ujian HbA1c mudah diperolehi, terdapat kurang daripada 42 peratus penghidap diabetes telah melakukannya atau memahami makna kesimpulan yang dicapai.

Di bawah ini merupakan beberapa cara yang mudah namun penting untuk mencegah terjadinya komplikasi yang berkaitan dengan takat gula darah tinggi:

Perubahan gaya hidup yang merangkumi:

1. Diet

Walaupun anda mengalami pra-diabetes atau diabetes, ini tidak bermakna anda tidak boleh menikmati pelbagai makanan. Matlamatnya ialah mempelajari pengambilan makanan seimbang dalam jumlah yang betul. Di sini terdapat beberapa petua mengenai pemilihan makanan berkhasiat bagi anda sekeluarga:

"Makan banyak sayuran dan buahan. Cuba pilih dari warna yang berlainan agar kepelbagaian dimaksimumkan.

"Makan sayuran yang tidak berkanji seperti bayam, lobak merah, brokoli atau kekacang hijau.

"Pilih makanan bijirin penuh dan bukan makanan bijirin yang diproses. Makan nasi beras perang, bukan nasi putih serta pilih roti perang dan bukan roti putih.

"Keluarkan kulit daripada sebarang jenis daging seperti ayam, daging lembu dan sebagainya..

"Minum air dan minuman "diet" tanpa kalori dan bukan minuman soda biasa, teh yang manis dan lain-lain minuman yang dimaniskan dengan gula.

"Kurangkan makanan ringan berkalori tinggi dan pembasuh mulut seperti keropok, biskut, kek, dan ais krim lemak penuh.

2. Kerap bersenam

Senaman adalah sebahagian daripada gaya hidup sihat bagi semua orang terutamanya penting bagi mereka yang mengalami pra diabetes dan diabetes. Tetapi, senaman bukan bermaksud berlari marathon atau menekan tubi 300 kali. Matlamatnya adalah untuk menjadi aktif dan kekal aktif dengan melakukan perkara yang anda gemari seperti berkebun atau bersiar-siar.

3. Pemeriksaan perubatan tetap terutamanya:

a) Ujian Darah HbA1c

HbA1c (hemoglobin A1c, haemoglobin A1c terglikosilat, glikohemoglobin A1c atau ujian A1c) merupakan ujian makmal yang mengemukakan purata glukosa darah untuk jangkamasa merangkumi dua hingga tiga bulan.

Secara khusus, ia mengukur bilangan molekul glukosa yang terikat kepada hemoglobin, suatu bahan dalam sel darah merah. Orang yang tidak mengalami diabetes biasanya mempunyai takat HbA1c kurang daripada 6 peratus. Ini bermakna kurang daripada 6 peratus molekul hemoglobin terikat secara kekal kepada glukosa.

Berdasarkan kepada hasil kajian seperti Percubaan Pengawalan dan Komplikasi Diabetes (DCCT), yang menunjukkan kawalan ketat glukosa darah boleh mengurangkan risiko mata, buah pinggang dan penyakit saraf akibat diabetes, Persatuan Diabetes Amerika mengesyorkan supaya penghidap diabetes cuba mengawal takat HbA1c di bawah 7 peratus.

b) Pemeriksaan mata

Jika anda menghidap diabetes, dapatkan pemeriksaan mata menyeluruh sekurang- kurangnya sekali setahun dan jika anda mempunyai diabetes retinopati, anda mungkin memerlukan pemeriksaan mata lebih kerap. Orang yang mempunyai retinopati proliferatif boleh mengurangkan risiko mereka menjadi buta sebanyak 95 peratus dengan mendapatkan rawatan tepat pada masa dan rawatan susulan yang betul.

4. Suplemen nutrien

Suplemen multivitamin dan mineral berpotensi tinggi dirumus untuk menyokong keperluan nutrien khas bagi golongan yang mempunyai paras gula darah yang tinggi, termasuk diabetes. Pembekalan nutrien utama tambahan kepada mereka yang mengalami pra diabetes dan diabetes telah menunjukkan pengawalan gula yang lebih baik dan juga mencegah atau mengurangkan perkembangan komplikasi utama diabetes.

Contoh khusus nutrien utama yang diperlukan oleh pesakit diabetes dalam jumlah yang lebih tinggi daripada kandungan dalam formula multivitamin dan mineral harian yang biasa adalah Asid Alfa Lipoik, Vanadium Sulfate dan Kromium. Pesakit diabetes memerlukan lebih banyak Asid Alfa Lipoik, sejenis antioksidan "sejagat" yang boleh berfungsi dalam sel berair dan berlemak.

Sekumpulan badan penyelidikan telah menemui sejenis vitamin B12 yang bersifat aktif secara neurologi dikenali sebagai mecobalamin (atau methylcobalamin) yang boleh membantu dalam menumbuhkan kembali saraf yang rosak, iaitu komplikasi paling umum yang berkaitan dengan takat glukosa darah tinggi.

Mecobalamin

Saintis Jepun telah mengetahui bahawa Mecobalamin memberi perlindungan terhadap penyakit neurologi (saraf) dan penuaan melalui mekanisma yang berbeza daripada terapi masa kini. Beberapa gangguan yang mungkin boleh dicegah atau dirawat dengan terapi vitamin semulajadi ini termasuk neuropati periferal.

Perkataan neuropati berasal daripada dua bahagian: "neuro" merujuk kepada saraf dan "pati" menunjukkan penyakit. Nueropati periferal adalah sejenis keadaan yang melibatkan saraf-saraf di luar sistem saraf pusat terutamanya pada lengan dan kaki.

Saraf merupakan laluan komunikasi badan. Isyarat elektrik dari otak bergerak melalui saraf dan memberi arahan kepada pelbagai bahagian badan. Badan menerima maklumat daripada persekitaran melalui deria dan menghantar maklumat tersebut ke otak melalui saraf.

Kebanyakan saraf periferal bertanggungjawab untuk keupayaan perasaan yang anda perolehi seperti sentuhan, kesakitan dan suhu. Terdapat jutaan penghujung saraf tersebut di jejari anda, tangan, jari kaki dan kaki yang direka untuk melindungi anda daripada bahaya dan menjauhi perkara-perkara yang panas, sejuk, tajam dan sebagainya.

Gejala-gejala neuropati periferal mungkin merangkumi:

"Kekebasan atau tidak sensitif terhadap kesakitan atau suhu

"Rasa berdenyut-denyut, panas membahang atau rasa menyucuk

"Rasa sakit menusuk atau kekejangan

"Terlalu sensitif terhadap sentuhan, sekalipun sentuhan yang lembut

"Hilang keseimbangan dan koordinasi

Membeli suplemen

Pesakit diabetes berada pada tahap risiko lebih tinggi terhadap jangkitan dan penyembuhan luka yang lambat. Kajian menunjukkan pesakit diabetes yang mengambil suplemen harian selama setahun telah mengalami kadar jatuh sakit dan jangkitan yang berkurangan jika dibandingkan dengan subjek kajian yang mengambil plasebo.

Jika anda adalah seorang pesakit pra-diabetes atau diabetes, keperluan pemakanan anda adalah berbeza. Dengan itu, anda harus beringat untuk mendapatkan suplemen multivitamin dan mineral harian yang mengandungi kesemua bahan kandungan tersebut di atas yang didapati dalam potensi lebih tinggi. Ambillah jenis yang dirumus khas untuk pesakit diabetes dan pra diabetes untuk membantu dalam penjagaan optimum kesihatan dan mencegah penyakit.

Walaupun betapa pentingnya suplemen, multivitamin dan mineral harian yang baik perlu dipilih bagi mereka yang mengalami paras gula darah tinggi. Gabungan vitamin B12 dan mecobalamin yang aktif secara neurologi adalah disyorkan kerana keupayaannya untuk membantu dalam pencegahan dan penyembuhan kembali saraf yang rosak - sejenis komplikasi umum yang dialami oleh mereka yang mempunyai takat gula darah tinggi.

AIDS : Anjakan rawat dan cegah

PENYEBARAN virus HIV melalui hubungan seks mungkin menjadi antara punca utama peningkatan kesa baru di kalangan wanita.


MULA dikesan di Malaysia pada 1986, sebanyak 86,127 kes jangkitan HIV telah dicatatkan Kementerian Kesihatan sehingga 30 Jun 2009. Dari jumlah itu, 14,955 pesakit telah menghidap AIDS dan 11,549 kematian berkaitan AIDS direkodkan.

Namun, catatan kes AIDS mengikut tahun telah menunjukkan penurunan mendadak bilangan pesakit baru, mahupun kematian akibat AIDS berikutan penemuan ubat-ubat baru.

Mula diluluskan Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) pada penghujung 1980-an, aplikasi ubat antiretroviral telah menyebabkan penurunan mendadak kematian global akibat AIDS sejak pertengahan 1990-an.

Terapi percuma

Sehingga kini, hampir 10,000 individu yang dijangkiti HIV di Malaysia telah menyertai program rawatan HAART (Highly Active Anti-Retroviral Therapy), termasuklah golongan penagih dadah.

Aplikasi HAART bukan sahaja bertujuan mengawal penularan dan perkembangan virus HIV pada individu, malahan kepada masyarakat umum.

Presiden Persatuan Perubatan HIV Malaysia (PPHIVM), Dr. Christopher Lee Kwok Choong memaklumkan ubat antiretroviral mengawal penambahan partikel virus di dalam badan dengan menghalang pembentukan virus-virus baru.

"Dengan menghalang proses virus HIV menceroboh, membunuh dan membiak dari sel sistem imun badan, sistem imuniti dapat terus berfungsi secara normal - dalam melindungi diri dari penyakit dan jangkitan.

"Ini bukan sahaja dapat mengelak atau melengahkan perkembangan kepada AIDS, malahan dapat mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain (hasil pengurangan partikel virus dalam badan pesakit)," katanya.

Walaupun risiko jangkitan dikurangkan hasil penggunaan ubat antiretroviral, beliau menegaskan individu yang dijangkiti HIV masih boleh menyebarkannya kepada individu lain melalui aktiviti-aktiviti berisiko (melalui darah, seks rambang, perkongsian jarum).

Dengan adanya bermacam pilihan ubat kini, individu yang dijangkiti HIV telah diberikan peluang kedua untuk hidup secara normal, selagi mereka kekal mematuhi aturan pengambilan ubat.

Dr. Lee menjelaskan aplikasi HAART bersama metadon juga membolehkan golongan penagih mendapat rawatan dan mengelakkan penularan virus HIV di dalam badan mereka.

"Pengambilan metadon membolehkan penagih dadah menjalani hidup lebih teratur. Ini penting kerana mereka perlu terus mengambil ubat untuk HIV setiap hari jika memulakan program HAART.

"Ini bukan sekadar untuk memastikan jumlah virus HIV dalam badan penagih terkawal, lebih penting lagi bagi memastikan virus tersebut tidak membentuk rintangan terhadap ubat akibat mengambil ubat secara lewa," tegasnya.

Buat masa ini, individu dengan HIV di Malaysia boleh mendapatkan ubat antiretroviral 'baris pertama' secara percuma dari hospital kerajaan.

Namun, jika virus tersebut membentuk rintangan akibat kegagalan mematuhi arahan pengambilan ubat, pesakit terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membeli ubat 'baris kedua' atau 'baris ketiga' yang jauh lebih mahal dan hanya diberikan sebahagian subsidi oleh kerjaan.

"Lebih membimbangkan, virus yang membentuk rintangan terhadap ubat antiretroviral baris pertama boleh disebarkan kepada individu lain melalui aktiviti berisiko.

"Individu yang dijangkiti dengan virus yang lebih kuat ini juga tidak dapat dirawat menggunakan ubat baris pertama dan perlu membeli sendiri ubat yang lebih mahal untuk rawatan mereka," ujar Dr. Lee.

Kelas ubat

Bagi mengelakkan pertambahan virus HIV yang membentuk rintangan terhadap ubat antiretroviral baris pertama, pesakit perlu mematuhi jadual dan arahan pengambilan ubat dari doktor.

"Manfaat dari segi pengawalan jumlah virus dalam badan melalui HAART bukan sahaja untuk perlindungan diri sendiri, malahan untuk ahli keluarga dan juga masyarakat umum.

"Mereka yang mendapat rawatan percuma ini perlu menggunakannya sebaik mungkin supaya ubat baris pertama HAART dapat digunakan selama mungkin," kata Dr. Lee.

Beliau menyatakan rawatan HIV juga semakin maju dengan penemuan kelas terbaru ubat dikenali sebagai 'integrase inhibitor'.

Kelas terbaru ubat antiretroviral ini merupakan yang keempat selepas reverse transcriptase inhibitor, fusion/entry inhibitor dan protease inhibitor.

"Dari empat kelas ubat ini, kita akan menggabungkan sekurang-kurangnya dua jenis untuk mengawal penularan HIV dalam badan pesakit.

"Tetapi, kebiasaannya kita akan gunakan kombinasi tiga kelas ubat bagi memastikan rawatan paling berkesan diberikan dari mula lagi."

Walaupun ubat-ubat baru yang ditemui lebih berkesan, Dr. Lee memaklumkan ia tidak dapat menggantikan ubat sedia ada, atas faktor kos.

Bagi memastikan seramai mungkin individu yang dijangkiti HIV dapat dirawat, ubat baris pertama yang sama masih digunakan.

"Sememangnya ubat yang paling mujarab, berkesan dan kurang kesan sampingan menjadi pilihan. Namun, keutamaan kini adalah jumlah pesakit yang dapat dirawat.

"Oleh itu, ubat yang lebih murah tetapi cukup berkesan dalam mengawal virus HIV terus digunakan," jelasnya.

Dengan kerjasama dari syarikat pengeluar, Dr. Lee berharap ia dapat membantu mengurangkan harganya ubat-ubat baru kelak.

Sementara harga ubat tersebut turun, beliau menegaskan pesakit sekurang-kurangnya mempunyai alternatif jika ubat baris pertama sudah gagal berfungsi untuk mereka.

"Integrase inhibitor buat masa ini digunakan sebagai ubat baris kedua dan ketiga. Jika harganya dapat dikurangkan, tidak mustahil ubat kelas baru ini dapat digunakan sebagai rawatan baris pertama.

"Ubat baris pertama sedia ada juga dahulunya jauh lebih mahal. Kini, ia sudah cukup murah untuk diberikan kepada pesakit secara percuma," katanya.

Dr. Lee juga ingin menekankan supaya umum memahami jangkitan HIV kini ada ubat dan rawatannya.

"Pencegahan adalah langkah terbaik menentang penyakit ini tetapi jika dijangkiti, pengesanan awal amat penting untuk mengawalnya. Jika anda syak atau ragu-ragu dijangkiti virus tersebut, lakukan ujian saringan.

"Rawatan awal dapat mengelakkan pesakit menyebarkannya atau diserang penyakit lain pula. Jika sakit teruk dan ditahan wad, bukan sahaja sukar dirawat malahan untuk bekerja atau hidup juga susah," katanya.

Persepsi umum

Dr. Lee menyatakan pandangan umum terhadap HIV/AIDS dan mereka yang menghidapinya juga semakin baik berbanding dahulu.

Namun, beliau menegaskan penerimaan dan pemahaman terhadap penyakit ini perlu terus dipupuk bagi mengelak dan mengurangkan stigma dan diskriminasi ahli masyarakat.

"Seperti dadah dan seks, HIV/AIDS merupakan sesuatu yang tabu dan jarang dibincang atau diceritakan secara terbuka.

"Oleh itu, situasi sebenar penerimaan dan persepsi terhadap penghidap HIV/AIDS masih samar berikutan ramai pesakit menyembunyikan atau tidak menceritakan kisah mereka," ujarnya.

Walaupun generasi muda dilihat lebih mudah menerima dan memahami situasi mangsa HIV/AIDS, Dr. Lee berharap stigma dan diskriminasi dapat terus ditangani, bermula dari kakitangan kesihatan sendiri.

Menurutnya, doktor dan jururawat menjadi antara baris hadapan yang berhubung terus bersama pesakit dan oleh itu perlu mengelakkan sebarang diskriminasi.

"Kita cuma mahu pesakit diberikan peluang! Peluang untuk hidup secara normal, bekerja dan menjalani hidup harian tanpa diskriminasi.

"Dengan bantuan ubat sedia ada dan penerimaan masyarakat umum, individu dengan HIV dapat terus hidup secara produktif, untuk diri sendiri dan juga untuk ekonomi negara!"

Jangkitan

Tahun 2002 mencatatkan kemuncak kes baru jangkitan HIV di negara ini. Bagaimanapun, 2002 juga menjadi detik permulaan penurunan bilangan kes baru selama tujuh tahun berturut-turut.

Secara keseluruhan, jumlah jangkitan HIV menunjukkan 78,926 (90.9 peratus) terdiri daripada golongan lelaki sementara 7,801 (9.1 peratus) lagi perempuan.

Bagaimanapun, pecahan mengikut tahun menunjukkan peratusan kes baru bagi lelaki semakin menurun. Ini secara mudahnya menunjukkan peratusan bagi kes baru meningkat di kalangan wanita.

"Walaupun rawatan sedia ada semakin baik, langkah pencegahan tidak boleh diabaikan.

"Trend peningkatan peratusan kes baru wanita dijangkiti HIV bukan sahaja membahayakan nyawa wanita, malahan nyawa anak yang dikandung mereka," tegas Dr. Lee.

Mengikut catatan rekod kes HIV/ AIDS yang diterima Pusat Sumber Majlis AIDS Malaysia, dua kes pertama jangkitan HIV pada wanita dikesan pada 1988 sementara penghidap AIDS wanita pertama direkodkan pada 1991.

Rekod menunjukkan peratusan jangkitan HIV di kalangan wanita hanya 1.5 peratus pada 1989 dan terus meningkat sehingga mencapai 16.38 peratus pada 2007. Sepanjang enam bulan pertama 2008, peratusan ini berada pada 18.57 peratus dan semakin meningkat menghampiri garisan 20 peratus pada pertengahan 2009.

"Sejajar dengan peningkatan peratusan kes baru di kalangan wanita, dapat dilihat juga peningkatan cara jangkitan HIV melalui hubungan seksual.

"Walaupun kes baru paling banyak melibatkan lelaki dan melalui perkongsian jarum, peningkatan penyebaran HIV melalui hubungan seksual kini telah mencecah 18.6 peratus."

Tegas Dr. Lee, hubungan seksual bukan sahaja melibatkan secara heteroseksual (lelaki-wanita), malahan MSM (homoseksual atau biseksual) dan juga lesbian (wanita-wanita).

Beliau mendedahkan, rekod kes baru menunjukkan ada lelaki normal yang sudah berkahwin tetapi masih mengadakan hubungan seks MSM dengan lelaki lain dari masa ke semasa. Ini bukan sahaja mendedahkan diri mereka kepada HIV, malahan isteri dan mungkin juga anak jika isteri mereka mengandung.

Rekod menunjukkan perkongsian jarum dadah menjadi punca utama penyebaran HIV (secara keseluruhan) di negara ini. Hubungan seks pula menjadi punca kedua utama.

Sebanyak 76.9 peratus kes jangkitan HIV juga berlaku di kalangan remaja dan golongan muda berusia antara 20 hingga 39 tahun. Ini mungkin boleh dikaitkan dengan bermacam gejala sosial seperti pengambilan dadah, alkohol dan juga seks rambang yang semakin meningkat.

"Kita juga dapat melihat ada perubahan gaya pengambilan dadah dari jenis yang disuntik kepada jenis pil seperti syabu (juga dikenali sebagai methamphetamine, Crystal, Speed, Crank, Ice, Glass, Tick-Tick, whiz).

"Walaupun mengelakkan risiko jangkitan HIV melalui jarum suntikan, penggunaan syabu menggalakkan penggunanya membentuk 'sikap ingin mengambil risiko'," jelas Dr. Lee.

Jelasnya, seperti orang yang mabuk, pengguna syabu akan hilang kewarasan akal dan lebih mudah terjebak dalam aktiviti berisiko seperti seks rambang - terutamanya tanpa perlindungan (kondom).

Mereka juga tidak akan tahu diri sendiri telah dijangkiti HIV selagi tidak menjalani pemeriksaan darah. Malangnya, kebanyakan daripada mereka hanya akan mendapatkan pemeriksaan selepas mula jatuh sakit.

Memandangkan jangkitan HIV mengambil masa untuk memberi kesan, individu yang dijangkiti itu mungkin telah menjangkiti lebih ramai orang melalui aktiviti seks rambang, seks bersama pasangan, cucukan jarum (sengaja atau tidak) dan juga pemindahan darah.

HIV, dadah dan seks merupakan sesuatu yang sukar dibincangkan dalam masyarakat Timur, dan kaitan antara hubungan seks dan peningkatan kes baru HIV di kalangan wanita masih belum jelas.

Namun, pendidikan berterusan, pemahaman moral, ajaran agama dan langkah pencegahan bersama diharap dapat melindungi seramai mungkin dari benca HIV/AIDS.

Perlu difahami, wanita yang dijangkiti HIV sebenarnya menjejaskan dua hidup - wanita itu sendiri dan anak yang mungkin dikandung. Walaupun bilangan wanita yang telah dijangkiti masih rendah, jangan pula dibiarkan statistik terus meningkat. Setiap satu dari statistik itu bukan menunjukkan harta atau objek, tetapi nyawa manusia yang terpaksa hidup dengan segala bebanan HIV/AIDS - derita, stigma dan diskriminasi.

Wednesday, November 11, 2009

Women with bigger breasts found to be smarter

A STUDY conducted in the United States showed that women with big breasts are not necessarily less intelligent than those who are less endowed.

Quoting a Singapore newspaper article, Sin Chew Daily said women with bigger breasts were found to be smarter instead.

It said the study was conducted in Chicago to find out whether the size of a woman’s bust affected her brain power.

The study, involving 1,200 women, was conducted by a female researcher. The subjects were divided into five groups, from extra small to extra big.

The report said it was possible such women were smarter due to the higher level of female hormones that could result in better development in the brain.

Monday, November 2, 2009

Jantung & vaksin Influenza

PERHATIAN kepada semua pesakit jantung! Suntikan influenza bermusim bukan sahaja boleh melindungi anda daripada influenza bermusim - ia juga boleh mencegah serangan jantung. Anda mungkin telah tahu bahawa penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu di seluruh dunia.

Tetapi, anda mungkin tidak tahu bahawa:

*Penyakit jantung juga merupakan pembunuh nombor satu di kalangan mereka yang menghidapi keadaan kronik yang telah dijangkiti selesema (data US Mayo Clinic).

*Selesema (flu) mengakibatkan sehingga 9,200 kematian setahun di Amerika Syarikat (AS), ini kerana ia mencetuskan serangan jantung yang membawa maut (Kajian Mohammad Madjid et al, Eur Heart J, 2007). Menurut Persatuan Jantung Amerika, jumlah serangan jantung membawa maut di AS pada tahun 2005 adalah lebih kurang 150,000.

*Risiko kematian akibat serangan jantung akan meningkat apabila kadar jangkitan selesema bertambah. Satu kajian pada 2007 menunjukkan ia telah meningkat sebanyak sepertiga semasa wabak selesema bermusim sementara satu kajian British pada 2009 menunjukkan peningkatan sebanyak 50 peratus (Charlotte Warren-Gash et al, Lancet Infectious Diseases, seperti yang dilaporkan Reuters pada 22 September lalu).

Pemvaksinan

Pesakit jantung sememangnya bernasib baik kerana terdapat cara mudah untuk mengurangkan bahaya ini - vaksinasi influenza.

Kita sememangnya telah biasa dengan idea mendapatkan vaksinasi mencegah jangkitan seperti tuberkulosis (batuk kering), campak atau cacar air, tetapi mungkin tidak biasa dengan idea mendapatkan vaksinasi untuk mencegah keadaan seperti penyakit jantung.

Contohnya, vaksin kanser serviks (pangkal rahim) sebenarnya mensasarkan satu bentuk jangkitan virus - papillomavirus manusia (HPV).

Keselamatan dan keberkesanan kos vaksinasi influenza sebagai satu kaedah perlindungan masalah kardiovaskular juga telah terbukti dan didokumenkan dengan baik.

Yayasan Jantung Malaysia dengan itu mengesyorkan mereka yang mengalami masalah jantung supaya diberi suntikan vaksin influenza, hasil pelbagai kajian termasuk kajian oleh Persatuan Jantung Amerika serta Kolej Kardiologi Amerika.

Kaitan influenza dan jantung

Bagaimanakah virus influenza boleh mengakibatkan kejadian kardiovaskular? Terdapat dua pendapat yang boleh menerangkannya.

Menurut pendapat pertama, virus influenza mencetuskan suatu tindak balas keradangan yang mengarahkan antibodi untuk membentuk plak dalam saluran darah.

Dalam kata lain, kehadiran virus ini mengakibatkan sistem imun tubuh bertindak balas secara keterlaluan dan menyerang mendapan lemak di dalam arteri pesakit jantung.

Apabila diserang, ianya akan menjadi `panas, merah dan keradangan’, dan mungkin akan pecah.

Jika plak yang pecah ini menyumbat arteri koronari, maka pesakit akan mengalami serangan jantung.

Satu lagi hipotesis mencadangkan bahawa virus influenza akan terus menyerang dinding saluran darah dan mencetuskan tindak balas imuniti yang sama seperti suatu kejadian trombosis (di mana terbentuknya darah beku yang akan bergerak serta menyumbat arteri koronari).

Mengapa kita perlu mendapatkan vaksinasi? Kajian oleh Madjid dan rakan-rakan sekerja beliau pada 2004 turut menunjukkan bahawa vaksinasi influenza akan mengurangkan kira-kira separuh kejadian kardiovaskular.

Kajian tersebut telah mengkaji semula pelbagai kajian terdahulu yang menunjukkan pengurangan kadar serangan jantung antara 49 peratus hingga 67 peratus di dalam kumpulan berbeza.

Selain ianya berkesan, vaksinasi juga agak murah berbanding ubatan dan pembedahan jantung serta mudah diberikan kepada pesakit.

Kos untuk vaksin ini adalah kurang daripada RM100. Mungkin, antara RM40 hingga RM60, bergantung kepada jenamanya.

Satu suntikan akan memberi perlindungan dan berkesan selama 365 hari. Jika anda diberikan aspirin, pil tekanan darah dan pil kolesterol, maka anda perlu menelan kesemuanya setiap hari selama 365 hari. Vaksin ini bagaimanapun hanya memerlukan satu suntikan, dan anda tidak perlu berbuat apa lagi.

Selain daripada pakar geriatrik, pediatrik dan pengamal perubatan, pakar kardiologi turut digesa untuk menyimpan stok dan memberi vaksin influenza kepada pesakit mereka.

Jika anda tidak menyimpan stok, bagaimana anda boleh memberi suntikan kepada pesakit anda? Ini akan memutuskan rantaian yang sedia ada.

Pesakit jantung juga perlu menjadi lebih proaktif. Jika doktor tidak membangkitkan tentang vaksin ini, maka anda sendiri boleh memintanya. Sudah tiba masanya untuk anda bertanggung jawab ke atas kesihatan diri sendiri.

Perlindungan LcS terhadap jangkitan virus influenza

SERINGKALI, ramai yang menjangkakan bahawa selesema biasa dan influenza adalah perkara yang sama. Sebenarnya, terdapat banyak perbezaan termasuklah tanda-tanda jangkitan dan jenis virus yang menjadi penyebabnya.

Selesema biasa menyebabkan tanda-tanda jangkitan yang bersifat tempatan, maksudnya terhad di bahagian tertentu badan, biasanya tekak dan hidung. Tanda-tanda selesema biasa selalunya agak sederhana dan demam biasanya berlaku dengan suhu sekitar 36 hingga 38 darjah Celsius di samping sakit kepala, sakit sendi atau otot dan menggigil yang semuanya agak sederhana.

Virus yang menyebabkan selesema biasa adalah pelbagai dan terdiri daripada kategori rhinovirus, coronavirus, adenovirus, parainfluenza virus dan enterovirus.

Manakala bagi influenza, ia memberi kesan sistemik, bermaksud pada sistem badan keseluruhannya. Tanda-tandanya berlaku dengan cepat, menyebabkan demam panas lebih kurang 40 darjah Celsius. Sakit kepala, sakit sendi atau otot dan menggigil yang serius. Virus yang menjadi puncanya ialah virus influenza, sama ada jenis A, B atau C.

Pensyarah Sekolah Siswazah Pertanian, Universiti Shinshu, Nagano, Jepun, Prof. Hisako Yasui berkata, virus influenza jenis B dan C kerap menjangkiti kanak-kanak dan bayi secara amnya. Influenza virus A boleh menjangkiti semua manusia. Oleh itu, ia lebih berbahaya dari segi potensi untuk menyebabkan pandemik.

Virus baru

"Virus baru influenza juga sering muncul dari semasa ke semasa tanpa disangka-sangka. Ini juga mencetuskan pandemik.

''Pandemik yang pernah tercetus sebelum ini dan telah pun berlalu ialah Influenza 'Sepanyol' (H1N1: Jenis A) yang berlaku pada 1918; Influenza'Asia' (H2N2:Jenis A) - 1957; Influenza 'Hong Kong' (H3N2: Jenis A) - 1968 dan Influenza 'Soviet' (H1N1: Jenis A) - 1977.

''Manakala yang masih peringkat pandemik ialah virus selesema burung (H5N1) yang muncul pada tahun 2003 di China dengan kadar kematian sebanyak 60 peratus manakala virus selesema babi baru (H1N1) yang muncul di Mexico dengan kadar kematian sebanyak 0.5 peratus dan virus influenza bermusim (biasa) dengan kadar kematian kurang 0.1 peratus,'' katanya ketika menyampaikan ceramah mengenai Fungsi Perlindungan Lactobacillus casei strain Shirota (LcS) terhadap Jangkitan Virus Influenza di Kyoto, Jepun, baru-baru ini.

Menurut Yasui, setiap virus berbeza dari segi mudah berjangkit dan kadar kematian apabila dijangkiti. Paling digeruni tentulah virus yang mudah berjangkit dan menyebabkan kadar kematian yang tinggi.

Walaupun terdapat ubat yang boleh mengubati influenza setelah dijangkiti, namun ubatan itu hanya mengurangkan jangkitan dan perlu diambil dalam jangkamasa terdekat sebaik dijangkiti bagi memberikan kesan. Ada kebimbangan virus itu telah kebal terhadap ubat-ubatan itu.

Justeru, menurut Yasui, pencegahannya perlu diutamakan daripada mengubatinya. Dalam kes influenza, ia dicegah oleh sistem imun badan.

''Badan mempunyai dua jenis imuniti - imuniti inate (tidak spesifik) dan imuniti adaptif (spesifik). Di sini, pencegahan hanya perlu diberi perhatian kepada imuniti inate. Ini kerana imuniti adaptif (melibatkan antibodi) hanya akan diaktifkan selepas dijangkiti, jatuh sakit atau melalui vaksin,'' katanya.

Jelasnya, penggunaan LcS adalah pilihan yang tepat bagi mengoptimumkan imuniti inate. Ini berdasarkan kajian-kajian sebelum ini terhadap manusia dan haiwan yang menunjukkan bakteria LcS mempunyai kesan anti-tumor dan anti-jangkitan bakteria.

''Jadi, berdasarkan penemuan tersebut, saya dan kumpulan penyelidik dari Universiti Shinshu menjalankan kajian untuk menyiasat sama ada LcS mempunyai kesan terhadap jangkitan virus influenza, kerana jangkitan virus ini boleh dikurangkan dengan menguatkan imuniti inate kita,'' ujarnya.

Kajian ke atas tikus

Dalam kajian pertama, Prof. Yasui telah memasukkan LcS dalam bentuk cecair terus ke dalam hidung tikus yang telah dijangkiti dengan virus influenza H1N1.

Selang tiga minggu, LcS sekali lagi dituang ke dalam hidung tikus tersebut. Perkara yang sama dilakukan pada sekumpulan tikus lain tanpa menuangkan LcS.

Tujuannya bagi membuat perbandingan tahap aktiviti imuniti inate tikus, virus yang dikesan di kawasan hidung tikus dan akhirnya kadar kematian.

Daripada keputusan, mendapati LcS berjaya meningkatkan imuniti inate di sekitar organ pernafasan dan melindunginya daripada jangkitan influenza.

Kajian selanjutnya ke atas tikus berusia dan bayi tikus bagi mengetahui sama ada LcS berkesan kepada warga tua dan bayi. Ini kerana warga tua mempunyai fungsi imun yang rendah dan bayi dengan sistem imun yang belum matang, mereka ialah kumpulan berisiko tinggi dijangkiti influenza.

Terbukti melalui kajian ini, tikus berusia yang diberi makan LcS telah diperkuatkan imuniti inate mereka dan terdapat kesan perlindungan daripada jangkitan virus influenza.

Begitu juga kajian ke atas bayi tikus, mendapati pengambilan LcS telah mempercepatkan kadar matang imuniti inate dalam salur pernafasan dan dengan itu mungkin dapat membantu melindungi bayi dan kanak-kanak dari pelbagai jangkitan salur pernafasan.

LsS elak jangkitan salur pernafasan

Sebagai kesimpulannya, Dr. Yasui berpendapat, LcS mungkin berguna untuk mengelakkan jangkitan salur pernafasan untuk individu berusia yang biasanya mempunyai fungsi imun yang rendah dan juga bagi bayi dan kanak-kanak yang biasanya mempunyai sistem imun yang belum matang.

Di pasaran, LcS boleh didapati dalam bentuk minuman susu kultur dan telah diminum oleh berjuta-juta orang selama lebih 70 tahun yang lalu. Salah satu jenama yang mengandungi LcS ialah Yakult.

Sehingga hari ini, Yakult telah dipasarkan di lebih 32 buah negara merentasi benua Amerika Selatan, Eropah dan Asia termasuk Malaysia dengan jualan sebanyak 16 juta botol sehari.

Tidak cukup dengan itu, produk-produk minuman Yakult kini telah mendapat pengesahan Food of Specified for Health Uses (FOSHU), iaitu badan di bawah Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun yang memberi pengesahan kepada produk makanan dan minuman mengandungi kesihatan di negara itu.

Kesihatan mental kurang perhatian




KIRA-KIRA 450 juta orang di seluruh dunia mengalami gangguan mental tertentu seperti kemurungan, skizofrenia dan gangguan bipolar tetapi kurang separuh daripada mereka menerima rawatan yang diperlukan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO menganggarkan bahawa menjelang 2020, penyakit mental kemungkinan mewakili 15 peratus daripada penyakit global.

Gangguan kesihatan mental adalah lebih lazim daripada apa yang anda fikirkan. Tahun lepas sahaja 400,227 pesakit di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital-hospital kerajaan, satu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding 346,196 pesakit pada 2007.

Tinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi Ketiga pada 2006 menunjukkan masalah kesihatan mental di kalangan remaja semakin meningkat.

Kaum hawa lebih cenderung menghadapi masalah kesihatan mental dengan peratusan mereka yang terbabit mencatatkan 12.1 peratus berbanding 10.4 peratus bagi lelaki.

Lima daripada 10 punca utama kecacatan adalah berkaitan dengan penyakit mental. Kemurungan dijangka menjadi punca utama kedua kecacatan menjelang 2020.

Kurang diagnosis

Walaupun ia masalah biasa dan serius, penyakit mental masih tidak diterima dengan meluas sebagai masalah kesihatan yang kritikal dan seringkali tidak didiagnosis dengan lengkap oleh para pakar penjagaan kesihatan.

Presiden Persekutuan ASEAN bagi Psikiatri dan Kesihatan Mental (AFPMH), Professor Dr. Mohamad Hussain Habil beranggapan ini sebahagian besarnya berpunca kerana dua faktor.

Pertama kurangnya pengetahuan atau persefahaman dalam mendiagnosis atau merawat penyakit itu sementara faktor kedua berkaitan langsung dengan pandangan serong ataupun stigma akibat gangguan mental yang turut membabitkan kalangan pengamal perubatan.

Pengesanan awal penyakit ini dalam masyarakat oleh pakar-pakar perubatan boleh membawa pelbagai manfaat berkaitan dengan kos dan produktiviti, dan dalam kes-kes tertentu menghalang masalah itu daripada menjadi masalah kesihatan yang besar.

Menurut laporan Majlis Penasihat Kebangsaan Kesihatan Mental, hasil daripada rawatan bagi mereka dengan penyakit mental paling serius boleh dibandingkan dengan rawatan bagi penyakit kronik lain.

Kadar kejayaan rawatan awal bagi penyakit mental adalah 60-80 peratus, melampaui kadar kejayaan 40 hingga 60 peratus bagi rawatan pembedahan biasa seperti penyakit jantung.

Bagi individu dengan masalah kesihatan mental, ketiadaan bantuan yang mereka perlukan boleh mencetuskan tekanan sosial dan pemulauan selain menyebabkan bebanan kewangan kerana mereka akan terus mencari nasihat perubatan, selain daripada kehilangan pekerjaan kerana produktiviti yang berkurang.

Keadaan ini juga menjejaskan kualiti kehidupan pesakit dan penjaga mereka. Lebih buruk lagi, kekurangan diagnosis lengkap boleh menyebabkan tragedi khasnya apabila pesakit membunuh diri.

Peranan penjagaan

AFPMH dan Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) meraikan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2009 pada 9 Oktober dengan mensasarkan kepada peranan penting pakar-pakar perubatan utama dalam mengenalpasti dan merawat gangguan psikiatri.

Tema tahun ini ialah 'Kesihatan Mental Dalam Penjagaan Utama; Mempertingkat Rawatan dan Menggalakkan Kesihatan Mental'.

Ramai yang tidak akan menimbangkan untuk menemui ahli psikiatri apalagi kebanyakan tidak akan menerima hakikat yang mereka mempunyai masalah kesihatan mental.

Dan mereka malu untuk berjumpa dengan pakar kesihatan mental dan seringkali rasa lebih selesa untuk bertemu dengan doktor di kejiranan mereka.

"Pakar-pakar penjagaan utama ini berada di barisan hadapan sistem penjagaan kesihatan awam dan lebih mengetahui sejarah kesihatan pesakit mereka.

"Oleh itu perlu ada kemampuan untuk mengenalpasti simptom selain pengetahuan psikiatri untuk melaksanakan rawatan,"kata Profesor Dr. Mohamad Hussain semasa satu persidangan berita baru-baru ini.

Profesor Dr. Mohamad Hussain, yang juga Pakar Rawatan Ketagihan dan Perunding Psikiatri di Jabatan Perubatan Psikologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, berkata pengesanan awal serta diagnosis yang wajar membolehkan pesakit menerima rawatan yang sesuai.

Ia juga mencegah gangguan mental yang lebih buruk lagi dan akhirnya membolehkan pesakit untuk meneruskan kehidupan dengan normal bersama masyarakat semasa menjalani rawatan, katanya.

Professor Dr Mohamad Hussain juga berkata, hanya terdapat lebih kurang 200 ahli psikiatri di Malaysia sedangkan bilangan yang ideal ialah seramai 2000 orang.

"Satu pendekatan bersepadu membabitkan pakar-pakar utama dalam penjagaan kesihatan akan mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh ahli psikiatri, dan akan banyak membantu mereka daripada kumpulan berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan yang mampu.

"Pendekatan ini memastikan bahawa pesakit tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan ubat-ubatan daripada ahli psikiatri, yang banyak mengurangkan beban kepada mereka yang menjaga pesakit mental," katanya.

Stigma

Stigma yang wujud di kalangan umum dan sehinggakan pakar-pakar penjagaan kesihatan merupakan punca utama kes-kes psikiatri gagal dikesan dan dirawat dari awal lagi.

"Bidang psikiatri telah banyak berkembang. Ubat-ubatan terbaru membolehkan gangguan mental dirawat. Bagaimanapun, ramai yang tidak mahu mendapatkan bantuan profesional kerana beranggapan mereka akan dicemuh sebagai 'gila' ataupun akan didiskriminasi jika didiagnosis dengan gangguan mental," kata Presiden MPA Dr Yen Tech Hoe.

Isu ini diburukkan lagi oleh tanggapan salah di kalangan pakar perubatan iaitu masalah kesihatan mental merupakan komponen kurang penting dalam profesyen perubatan.

Ramai daripada pakar perubatan tidak menyedari yang kebanyakan daripada penyakit psikiatri ini muncul dalam bentuk simptom fizikal dan oleh itu mereka lazimnya merawat simptom ini tanpa pemeriksaan lanjut.

-- BERNAMA