Friday, December 4, 2009

Pesakit AIDS meningkat

Sarawak : Peratusan jumlah wanita di negeri ini yang dijangkiti HIV/AIDS meningkat daripada 23 peratus pada 1998 kepada 32 peratus pada 2008.

Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, daripada jumlah itu, golongan suri rumah dikenalpasti antara golongan yang paling banyak dijangkiti penyakit yang boleh membawa maut itu.

Menurutnya, kebanyakan kes jangkitan di kalangan wanita itu berpunca daripada suami dan hanya mengetahui bahawa mereka telah menghidap penyakit itu pada peringkat akhir jangkitan penyakit tersebut.

‘‘Di Malaysia, terdapat dua wanita berbanding lapan lelaki dilaporkan mendapat HIV/AIDS pada 2008 berbanding satu wanita bagi setiap 13 lelaki pada 2000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Hari AIDS Sedunia 2009 peringkat negeri di Pusat Penerangan Islam di sini semalam.

Soon Koh memberitahu, trend jangkitan HIV/AIDS di negeri ini mula berubah kepada penduduk tempatan tidak seperti sewaktu penyakit ini mula ditemui iaitu kebanyakannya berlaku pada warga asing.

Katanya, sebanyak 1,056 kes HIV dilaporkan berlaku di Sarawak sejak 1989 hingga Oktober tahun ini dengan 568 disahkan menghidap AIDS manakala 224 lagi meninggal dunia.

Beliau menjelaskan, kumpulan teramai mendapat HIV/AIDS adalah pada usia 20-39 tahun dengan 65 peratus daripada jumlah keseluruhan kes HIV.

‘‘Di Sarawak, jangkitan HIV berlaku disebabkan hubungan hubungan heteroseksual iaitu 68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Sementara itu, Soon Koh berkata, masyarakat berbilang kaum di negeri ini adalah dinasihatkan supaya menekankan aspek kesihatan dan kebersihan dalam kehidupan seharian

Utusan Malaysia 4/12/09