Wednesday, February 24, 2010

Fobia objek dan situasi




KETAKUTAN melampau atau fobia yang dialami oleh seseorang tidak sama dengan orang lain. Kadang-kadang fobia yang dialami oleh seseorang itu nampak remeh sehingga tidak difahami oleh orang lain mengapa orang itu terlalu takutkan sesuatu objek atau situasi itu.

Ia mungkin telah wujud sejak kanak-kanak lagi sehingga terbawa-bawa sehingga dewasa. Contohnya, takutkan haiwan seperti ular, lipas, cacing, katak, anjing dan sebagainya.

Ada juga yang takutkan situasi seperti berada dalam bilik doktor gigi, dalam kegelapan, di tempat yang besar, kosong dan lapang atau di tempat yang kecil dan sempit seperti di dalam lif. Ketakutan seperti ini mungkin berlarutan sehingga boleh menyebabkan seseorang itu berpeluh-peluh.

Ikuti perkongsian kisah fobia daripada ZulfazliSuhadi, Belina Abdul Hamid, Hurraini Ismail dan Nadia Mohd. Danish Haniff.

Belina Abdul Hamid

Ketakutan atau fobia seorang suri rumah, Belina Abdul Hamid pada ulat gonggok dan binatang berkaki banyak seperti lipan serta ulat bulu bermula semasa dia berumur tujuh tahun.

''Masa itu saya sedang tidur. Bila hampir pagi, saya terasa macam ada benda yang melekat pada bahagian dalam kaki seluar tidur saya. Saya raba-raba dan terpegang satu benda yang licin dan bergulung. Gelinya. Apa lagi saya pun menjerit dan melompat-lompat dalam bilik sehingga ke ruang tamu.

''Abang yang mendengar jeritan saya cepat-cepat datang dan bertanya kenapa. Saya kata ada ulat dalam seluar tidur saya. Dia pun ambil dan terus campak keluar,'' kata Belina yang masih geli-geleman walaupun kini dia sudah berusia 25 tahun dan berumah tangga.

Kata Belina, takutnya pada ulat gonggok sukar diceritakan sehinggakan hendak menyapu atau menolak ulat gonggok menggunakan kayu pun dia seperti dapat merasakan badan binatang itu yang lembik dan bergulung bila disentuh.

Peristiwa lain yang masih segar dalam ingatan Belina ialah semasa berumur 14 tahun, seekor kala jengking telah melekat pada bahunya semasa dia sedang tidur.

Entah berapa lama kala jengking itu berada di bahunya Belina sendiri tidak tahu. Cuma bila pagi semasa dia hendak bergerak, bahunya terasa berat. Dia memegang bahunya dan terasa ada benda licin dan kerana terperanjat, terus ditepisnya dan terpelanting ke kaki. Bila lampu dibuka, dia terlihat kala jengking dan terus terjerit-jerit sehingga abangnya masuk ke bilik dan membunuh kala jengking tersebut.

Nadia Mohd. Danish Haniff

Ramai wanita yang terlalu takutkan lipas termasuk seorang model, Nadia Mohd. Danish Haniff ini. Kadang-kadang kita tidak faham mengapa orang takut sangat pada lipas kerana serangga itu bukannya menggigit atau berbadan lembut seperti ulat bulu atau cacing.

Kata Nadia, dia tidak boleh langsung melihat lipas setelah sekali dia terpijak serangga tersebut yang kemudian terbang pula ke badannya.

''Gelinya. Pada saya, rupa lipas memang menakutkan. Saya geli apa lagi kalau ia terbang. Memang saya lari terus masuk bilik,'' katanya yang juga takutkan kumbang besar.

Nadia berkata, walaupun dia amat takutkan lipas namun jika berhadapan dengan serangga itu, dia akan segera menyemburnya dengan racun serangga. Setelah mati, dia akan menyapu lipas tersebut dan membuangnya ke dalam tong sampah.

Zulfazli Suhadi

Jurusolek artis terkenal, Zulfazli Suhadi ini pula fobia memandu laju setelah mengalami peristiwa belakang kereta yang dinaikinya dilanggar oleh kereta lain dengan kuat.

''Peristiwa ini berlaku kira-kira 10 tahun lalu. Kami berlima di dalam kereta setelah habis penggambaran di Port Dickson. Akibat pelanggaran itu, pemandu tercedera agak teruk dan dimasukkan ke hospital serta perlu memakai alat sokongan leher.

''Nasib baik yang lain-lain termasuk saya tidak cedera. Kami cuma luka-luka ringan tetapi badan saya sakit-sakit. Sehingga ke hari ini, saya tidak pernah memandu laju. Kalau dekat lebuh raya pun saya akan pandu setakat 80 atau 90 kilometer sejam. Jika ada lori atau bas di lorong sebelah yang bawa laju, saya mula terasa seram. Saya akan bagi mereka jalan dulu.

''Kawan-kawan yang naik satu kereta dengan saya akan kata saya ni bawa kereta macam pak cik-pak cik,'' katanya.

Menurut Zulfazli, fobianya bukan setakat itu. Malah dia tidak boleh melihat gambar atau membaca surat khabar yang menyiarkan kisah-kisah kemalangan yang mengakibatkan badan hancur, kepala putus, kaki digilis dan macam-macam lagi.

''Saya tak boleh terima tajuk atau gambar-gambar macam itu. Ia hanya membuatkan saya teringat-ingat dan sukar tidur. Kalau boleh, janganlah siarkan gambar-gambar yang mengerikan itu,'' ujarnya lagi.

Hurraini Ismail

Kisah Hurraini Ismail, 22, mahasiswa jurusan Sains Ternakan, Universiti Putra Malaysia (UPM) ini agak lucu juga. Walaupun pengajian yang diikuti memerlukannya 'berdamping' dengan pelbagai jenis haiwan namun rupa-rupanya dia sendiri fobia dengan katak.

Menurut Hurraini, fobia terhadap katak dialaminya sejak kecil. Bukan sahaja tidak boleh melihat gambar malah jika ada yang menyebut perkataan katak itu sendiri sudah membuatkannya geli-geleman dan bahunya mula ternaik-naik tanda geli. Gelinya pula bukan sekejap, lama baru hilang dan reda.

Menceritakan bagaimana dia mula geli dan fobia terhadap katak, kata Hurraini, masa itu dia sedang mencari barang. Tiba-tiba dia terpegang satu benda yang sejuk, lembik dan berair. Terus dilepaskannya dan menjerit-jerit serta lari sekeliling rumah.

Kawan-kawan yang mengetahui Hurraini geli dengan katak pernah mengusiknya dengan menghadiahkannya patung katak. Bila kotak hadiah dibuka, Hurraini tidak ingat malu lagi dan terus mencampakkan patung katak tersebut.

Ditanya bagaimana jika dia perlu membuat post mortem ke atas katak, jawabnya, dia akan meminta pensyarahnya menukarkan pada kucing, tikus atau binatang lain. Pokoknya, bukan katak.

Bebaskan diri daripada tekanan




TEKANAN atau stres berpunca daripada sifat semula jadi yang tidak stabil seperti terlalu inginkan kemenangan, bersikap terlalu mementingkan kesempurnaan, suka mendesak, risau keterlaluan, tidak mahu menerima teguran, berprasangka buruk dan berdendam.

Bagi menghindarkan diri daripada keadaan ini, kita perlu menanganinya dengan bijak.

Jika tidak boleh dihilangkan sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita dapat mengawal perasaan tersebut agar tidak terus mengganggu kehidupan seharian.

Cabaran hidup sekarang mendedahkan setiap individu kepada pelbagai bentuk tekanan dan cara menghadapinya banyak bergantung kepada ketahanan diri.

Mereka yang berjaya menangani tekanan akan berjaya menguruskan diri dengan baik.

Hakikatnya, tekanan adalah perkara lumrah selagi kita bergelar manusia. Ujian yang mendatang sama ada dalam bentuk yang kita suka atau sebaliknya ada kalanya menjadikan seseorang itu lebih kuat.

Namun, tidak kurang yang terjebak dalam perkara negatif kerana gagal menangani tekanan seperti bergantung hidup kepada pengaruh dadah, membiarkan diri tidak terurus serta meneruskan hidup dalam tekanan.

Antara punca tekanan ialah sifat terlalu mengharap yang terbaik, tidak dapat menerima teguran orang lain, cemburu dengan kejayaan orang lain, kerja yang membosankan dan pelbagai sebab lagi bergantung kepada bagaimana seseorang itu melihat sesuatu keadaan.

Punca tekanan boleh dikenal pasti melalui perubahan emosi seperti cepat marah, mudah menangis dan sentiasa bersedih, kecewa, hampa, mudah mengamuk, prestasi merosot, kekeringan idea, sukar tidur dan hilang selera makan.

Di bawah terdapat beberapa kaedah yang boleh mengurangkan atau mengatasi tekanan dalam menghadapi dugaan hidup.

lSenyumKebanyakan kita bila berhadapan dengan masalah pasti akan bermasam muka. Paling tak pun kita akan mengeluh atau mengomel sendirian? Apa kata bila kita hadapi tekanan seperti ini kita senyum dahulu. Bila kita senyum, pasti sedikit tekanan akan reda.Cubalah, pasti merasai kelainan.

lBersendirianAda sesetengah orang suka bersendirian, memencil diri untuk mencari ketenangan seketika. Renungkan kembali apa yang berlaku dan ambi iktibar dari sudut yang positif setiap perkara yang terjadi itu kemudian perbaiki pada keadaan yang lebih baik.

lBertenangJanganlah serabutkan lagi keadaan yang sedia ada. Tarik nafas dalam-dalam dan hembuskan secara perlahan-lahan. Cuba elakkan diri daripada membuat sebarang keputusan dalam keadaan tertekan. Ini kerana keputusan itu mungkin bersandarkan pada emosi anda semata-mata. Bukan itu sahaja malahan jika tiada perincian yang dibuat dalam keputusan tersebut takut sebarang kemudaratan akan berlaku nanti. Berbuat baiklah pada insan. Cuba kurangkan perbuatan dari menyakiti hati orang di sekeliling.Jadilah insan yang berhati luhur dan pemaaf. Bunyi memang senang tapi bila kita hendak melakukannya mungkin agak sukar. Tapi itulah yang harus anda lakukannya. Hanya dengan cara inilah pasti hati kita akan berlapang dada tekanan yang di hadapi juga akan berkurang.

lPeluk sesuatuAnda pasti akan rasa lebih tenang dan damai di dalam hati jika dapat memeluk makhluk lain. Maksud di sini jika anda mempunyai teman baik perempuan sama perempuan anda peluklah dia, dengan cara ini ia dapat meredakan sedikit tekanan atau kemarahan anda.

lLavenderBagi yang suka pada aroma terapi minyak pati lavender amat sesuai sekali untuk meredakan tahap tekanan anda. Ini kerana minyak Lavender dikenali sebagai herba penenang yang boleh mengurangkan tekanan.

lKasih sayangTerapi yang mudah kita dapat melalui kawan-kawan, anak-anak atau pasangan (yang berkahwin), anak saudara, ibu bapa. Kasih sayang daripada mereka adalah sumber kekuatan anda dan sebenarnya anda tidak berseorangan di dunia ini.

lAllahIkutilah perintah dan suruhan Allah serta tinggalkan perkara yang dilarang. Hayatilah suruhan Allah nescaya anda tidak akan rugi walau sesaat. Dekatkan diari terhadap-Nya.

lCeriaJanganlah bebankan fikiran dengan semua perkara yang ada di sekeliling anda setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kita hidup di dunia ini hanya untuk sementara jadi, nikmatilah hari ini dengan seadanya.