Sunday, July 31, 2011

Masyarakat Malaysia tidak endah bahaya Hepatitis B, C

Tiada kesakitan punca ramai enggan buat pemeriksaan

LAPORAN Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan dua bilion penduduk dunia dijangkiti virus Hepatitis B, manakala 130 juta pada tahap kritikal jangkitan Hepatitis C. Disebabkan kedua-dua virus itu, 350,000 pesakit dijangka meninggal dunia setiap tahun di seluruh dunia. Sukar mengenal pasti sama ada kita pembawa virus atau tidak jika tidak melalui pemeriksaan pengesan yang kini boleh dilakukan di hospital kerajaan atau swasta. Pembawa virus tidak sedar mereka ialah pembawa sehingga mendapat tanda status serangan virus pada tahap kritikal dan proses ini sebenarnya berlaku dalam masa puluhan tahun. Agak membimbangkan tahap kesedaran orang ramai yang kebanyakannya tidak sedar kepentingan menjalani ujian hepatitis.

Hakikatnya, kebanyakan rakyat negara ini tidak mengamalkan gaya hidup sihat.
Pesakit mula merasai kesakitan dan kesengsaraan apabila hepatitis pada tahap kritikal dan kebiasaannya sudah menjadi barah. Umum pasti sedar, hepatitis ialah penyakit hati dan tidak asing kepada masyarakat Asia. Mungkin kerana penyakit ini tidak menunjukkan tanda menyakitkan punca ramai tidak mengendahkannya, apatah lagi melakukan pemeriksaan untuk memastikan diri bebas virus itu.

Dua bilion penduduk dunia dijangkiti Hepatitis B dan antara 300 hingga 400 juta pesakit pada tahap kronik. Lebih membimbangkan apabila 75 peratus daripada jumlah itu ialah penduduk Asia dengan 25 peratus (satu daripada empat pesakit) ialah mereka yang terdedah kepada kesan jangkitan untuk tempoh lama.

Mereka yang dijangkiti juga berisiko tinggi mengalami kerosakan hati serius seperti sirosis, kegagalan fungsi hati dan barah hati. Kebanyakan virus hepatitis adalah jangkitan tersembunyi dan ia tidak memberi petanda mahupun kesan sampingan bertahun-tahun kepada pesakit sehingga ia sudah tidak berfungsi.
Kebanyakan pesakit hanya sedar dijangkiti hepatitis selepas pemeriksaan doktor, namun dalam kebanyakan kes, pesakit berada pada tahap kritikal (barah) dan peluang untuk sembuh tipis Perunding Hematologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Rosmawati Mohamed, berkata pesakit dijangkiti virus hepatitis kebiasaannya tidak menampakkan kesakitan atau menderita.

Katanya, hepatitis terbahagi kepada A, B, C, D dan E. WHO setakat ini menggariskan jenis B dan C yang perlu diberi penekanan kerana angka jangkitan meningkat saban tahun dan dikelaskan antara ancaman terbaru dunia.

“Penularan jangkitan virus secara meluas berlaku di negara ini sebelum 1990-an kerana Malaysia mula menguatkuasakan pemeriksaan ke atas setiap bekalan darah yang diterima baik daripada individu mahupun organisasi hanya selepas itu,” katanya yang mengharapkan kesedaran orang ramai untuk segera melakukan pemeriksaan.

Jangkitan virus hepatitis mengambil masa 30 hingga 50 tahun sebelum merosakkan sepenuhnya hati. Ia melalui beberapa peringkat bermula daripada jangkitan dengan pesakit tidak merasakan perubahan. Peringkat kedua iaitu jangkitan kronik dan kemudian membentuk sirosis (garisan atau kerosakan hati) dan akhirnya ia berakhir dengan barah hati yang agak dirawat.

“Punca mahupun agen utama masalah jangkitan virus hepatitis ialah kepada golongan perokok. Tembakau antara punca yang boleh menyebabkan pengguna mengalami jangkitan. Mereka yang mengambil minuman keras berlebihan juga mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti hepatitis B.

Hepatitis B boleh merebak menerusi sentuhan darah, cecair utama badan termasuk air mani dan bendalir faraj. Hepatitis C boleh tersebar dengan hubungan terus antara darah yang dijangkiti, namun agak jarang merebak menerusi bendalir dalam tubuh.

“Hepatitis C pula penularan begitu meluas di seluruh dunia dan angkanya mencecah sehingga 170 juta. Daripada angka itu, lebih 90,000 penduduk Asia.
Lebih 30 peratus pesakit dijangkiti virus ini berdepan masalah sirosis atau barah hati sepanjang usia mereka kecuali jika mendapatkan rawatan,” katanya.

Jangkitan Hepatitis C antara satu hingga empat peratus di Malaysia. Penularan penyakit ini hanya berada pada dua peratus (53 hingga 3,540 pesakit). Tiga peratus atau 11 daripada 363 kes berpunca daripada penderma darah dan 85 peratus (162 hingga 190) adalah dalam kalangan penagih dadah.

Kedua-dua virus ini juga boleh merebak melalui hubungan seks, luka terkena darah pesakit, perkongsian pisau cukur, berus gigi, bertindik, tatu, kongsi jarum akupuntur dan jangkitan terus ibu kepada bayi dalam dikandung iaitu antara punca jangkitan Hepatitis B yang biasa di rantau Asia Pasifik