Tuesday, November 11, 2008

BARAH PAYU DARA : Periksa sendiri payu dara

RAMAI wanita sedar bahawa mereka boleh memeriksa sendiri payu dara masing-masing sebagai langkah awal untuk mengesan sebarang perubahan atau benjolan yang berkemungkinan adalah tanda amaran bagi penyakit barah payu dara.

Malangnya, tidak ramai yang mengambil berat berkaitan perkara itu dan jangan terkejut jika ada yang memberitahu bahawa dia tidak pernah melakukan pemeriksaan sendiri payu dara sepanjang hidupnya.

Pakar Perunding Perubatan Onkologi, Hospital Kanser NCI (NCICH) Nilai, Negeri Sembilan, Dr. R. Kananathan berkata, pemeriksaan sendiri itu sebenarnya amat penting agar barah yang dihidapi pesakit dapat dikesan lebih awal bukannya setelah berada pada peringkat teruk sehingga terpaksa membuang terus payu dara yang diserang barah.

‘‘Dengan pemeriksaan itu, wanita boleh mengenalpasti perubahan pada payu dara mereka iaitu daripada segi bentuk, saiz dan tekstur kulit termasuk jika adanya benjolan atau ketumbuhan.

‘‘Malah, wanita berusia 40 tahun ke atas turut digalakkan melakukan rutin pemeriksaan kesihatan dengan menjalani ujian mamogram setahun sekali atau lima tahun sekali sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program kesedaran barah payu dara, Pink Care di pusat membeli-belah One Utama, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program anjuran NCICH bersama syarikat pakaian dalam, Skiva diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang penyakit barah terutamanya barah payu dara dan bagaimana ia mampu memberi kesan kepada pesakit dan mereka yang disayangi.

Kananathan berkata, wanita jangan sesekali mengambil mudah tentang pemeriksaan awal ini kerana barah payu dara merupakan pembunuh nombor satu mereka. Di Malaysia, sepanjang tiga tahun daripada 2003 hingga 2006, dianggarkan seramai 66,000 pesakit barah dikesan dengan 11,952 adalah barah payu dara.

Jelasnya, wanita Cina paling banyak menghidapi barah payu dara dengan pecahan satu daripada 16 adalah kaum Cina, satu daripada 17 adalah India dan satu daripada 28 merupakan wanita Melayu.

Dalam program Pink Care yang berlangsung selama empat hari berakhir 2 November lalu, pelbagai aktiviti telah dianjurkan antaranya, pertunjukan fesyen Skiva, melukis wajah, pertandingan mencipta pakaian Halloween untuk kanak-kanak dan pertunjukan silap mata.

Pada masa yang sama sepanjang kempen tersebut, sebanyak 30 peratus hasil jualan pakaian dalam Skiva akan disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA).

No comments: