Tuesday, March 25, 2008

Mencegah penyakit gusi

GIGI dan gusi adalah seperti isi dan kuku di mana kedua-duanya berkait rapat dan tahap kesihatan gusi pasti memberi kesan kepada gigi.

Seperti gigi, gusi juga terdedah kepada ancaman daripada pembentukan plak.
Sekiranya plak tidak ditanggalkan secara kerap, termasuk di kawasan di bawah garisan gusi, ia akan merengsakan gusi seterusnya mengakibatkan penyakit gusi.

Penyakit gusi bukan sahaja menyebabkan kesakitan dan pendarahan gusi tetapi juga akan melemahkan sokongan terhadap gigi.

Memberus dan membersihkan gigi secara kerap adalah penting untuk mencegah penyakit gusi.
Bagaimanakah plak menyebabkan penyakit gusi?

Sekiranya dibiarkan, bakteria akan menghasilkan toksin yang akan merengsakan gusi dan merosakkan gigi. Peringkat paling awal kerosakan gusi ialah gingivitis.

Ia adalah keradangan gusi yang boleh menyebabkan gusi menjadi bengkak, lembut dan berdarah ketika memberus atau memflos.

Siapakah yang terdedah kepada penyakit gusi?

Penyakit gusi boleh menjangkiti semua peringkat umur, termasuk kanak-kanak. Bagaimanapun, ia sering menjangkiti golongan dewasa.

Malah, tiga daripada empat orang dewasa melebihi umur 35 tahun kini didapati mempunyai penyakit gusi.

Risiko untuk mendapat penyakit gusi juga bertambah sekiranya anda merokok atau mempunyai penyakit tertentu.

Maka adalah penting untuk memaklumkan doktor gigi tentang keadaan kesihatan semasa anda supaya rawatan yang bersesuaian dapat diberikan.

Apa yang perlu saya lakukan sekiranya saya menghidapi gingivitis?

Penjagaan gigi setiap hari dan kunjungan ke doktor gigi boleh mencegah gingiviti daripada berlaku.

Ia lebih baik dicegah dan dalam kebanyakan kes, penyakit ini dapat disembuhkan dengan segera jika mengamalkan rutin menanggalkan plak setiap hari.

Ini dapat dicapai dengan dua langkah iaitu memberus gigi menggunakan berus gigi yang lembut dan membersihkan celahan gigi menggunakan flos atau alat pergigian yang sesuai.

Kedua-dua langkah ini juga dapat membantu mencegah pembentukan plak pada permukaan gigi dan di bawah garisan gusi.

Gingivitis bukannya satu keadaan yang berkekalan kerana tiada kerosakan kekal berlaku pada tulang yang menyokong gigi.

Bagaimanapun, jika pesakit tidak berusaha mendapatkan rawatan bersesuaian atau tidak menjaga kebersihan gigi dan gusi, masalah ini mungkin melarat kepada kerosakan kekal struktur gusi dan gigi.

Apa itu periodontitis?

Sekiranya tidak dirawat, gingivitis boleh menyebabkan kerosakan gusi yang lebih teruk dipanggil periodontitis atau juga dikenali sebagai penyakit periodontal.

Periodontitis bukan sahaja merosakkan gusi, malahan tulang yang menyokong gigi kedudukan gigi.

Apabila ini berlaku, kerosakannya adalah kekal dan hanya rawatan profesional dan peningkatan terhadap penjagaan gigi di rumah dapat mengelaknya daripada menjadi lebih teruk.

Sekiranya anda mempunyai periodontitis, doktor gigi anda akan memberikan program khusus untuk anda menjaga gigi dan gusi bagi menghalang penyakit itu menjadi lebih teruk.

Apakah gejala yang perlu diperhatikan?

Periodontitis mungkin bermula tanpa sebarang tanda yang jelas.

Oleh itu, pemeriksaan gigi secara berkala adalah penting dan cara terbaik untuk diagnosis dan rawatan awal.

Gejala biasa penyakit ini ialah gusi yang merah dan membengkak serta kelihatan mula melekang dari gigi dan seterusnya menghasilkan satu ruang kosong.

Masalah ini juga sering dikaitkan dengan gigi sensitif, perasaan tekanan tinggi pada celahan gigi dan pendarahan sewaktu memberus atau memflos.

Pada peringkat seterusnya, anda mungkin menghadapi penyusutan gusi, pereputan akar, nanah di celah gigi dan gusi, serta kehilangan gigi.

Bagaimanakah cara untuk mencegah periodontitis daripada berlaku?

Periodontitis boleh dielakkan dengan mengamalkan rutin penjagaan gigi yang baik setiap hari.
Ini dapat dilakukan dengan beberapa cara seperti:

* Memberus dengan teliti, dua kali sehari sebaik-baiknya pada waktu pagi dan sebelum tidur, dengan menggunakan berus gigi yang lembut dan ubat gigi berflourida.

* Bersihkan celahan gigi sekurang-kurangnya sekali setiap hari bagi menanggalkan plak dari kawasan yang tidak tercapai oleh berus gigi.

* Kunjungi doktor gigi dengan kerap, sekurang-kurangnya dua kali setahun atau setiap enam bulan untuk pemeriksaan dan pembersihan gigi.

* Elakkan daripada merokok atau menggunakan tembakau.

* Doktor gigi menyarankan agar berus gigi ditukar setiap tiga bulan atau lebih awal sekiranya ia kelihatan haus kerana kajian menunjukkan berus gigi baru mampu menanggalkan lebih banyak plak berbanding berus gigi berusia lebih tiga bulan.

Monday, March 24, 2008

Kanak-kanak pekak boleh belajar bertutur


Alat bantuan pendengaran, tunjuk ajar pakar terapi atau pembedahan boleh atasi masalah UJIAN pendengaran adalah antara pemeriksaan yang perlu dibuat sebaik saja bayi dilahirkan. Jika bayi dilahirkan pekak dan lambat dikesan, kebolehannya untuk belajar bahasa serta membentuk kemahiran komunikasi mungkin terjejas.
Secara umum, kanak-kanak pada usia tiga tahun mungkin mempunyai sekitar 700 patah perkataan dalam koleksi tata bahasanya. Bagaimanapun, bagi kanak-kanak pekak yang sebaya, dia mungkin hanya tahu 25 patah perkataan.

Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Pakar Perdana Kota Bharu, Kelantan, Dr Mazidah Abdul Rasid, berkata pekak adalah satu daripada kecacatan kongenital yang sering terjadi pada bayi yang baru lahir. Beliau berkata, sebagai contoh di United Kingdom (UK), statistik Persatuan Kanak-Kanak Pekak UK, menunjukkan 840 bayi yang dilahirkan setiap tahun mengalami masalah hilang pendengaran kekal.
“Separuh daripadanya tidak didiagnos hingga usianya mencecah 18 bulan. Suku daripada jumlah itu pula dikesan mengalami masalah pendengaran pada usia tiga tahun setengah,” katanya.

Dr Mazidah berkata, penyaringan tahap pendengaran boleh dilakukan selepas bayi dilahirkan. Ia dilakukan sebelum bayi dibenarkan keluar dari hospital dengan menjalani ujian sensitiviti pendengaran menggunakan mikrofon mini yang dimasukkan ke dalam salur telinga.
“Ia bagi memastikan sama ada organ pendengaran (koklea) berfungsi secara normal atau tidak. Ujian ini dikenali sebagai ‘automated transient evoked otoacoustic emission’. “Jika tiada tindak balas pada tahap saringan ini, bayi akan diperiksa menggunakan kaedah audiometri gerak balas batang otak (automated auditory brainstem response),” katanya.
Beliau berkata, rawatan dan pemeriksaan lanjut akan dilakukan sekiranya ia tidak memberi keputusan yang baik sebelum diperiksa sekali lagi selepas sebulan. Saringan dan susulan rapi ini selalunya dilakukan kepada bayi yang berisiko tinggi.

Secara umum, katanya ada tiga jenis pekak yang setiap satu mempunyai sebab dan implikasi yang berbeza, iaitu pekak konduktif (conductive deafness) bermaksud bunyi tidak boleh melepasi telinga luar (outer) dan telinga tengah ke koklear dan saraf auditori.
Pekak saraf (sensorineural) ia bermaksud koklear tidak memproses bunyi dengan efektif. Masalah pekak bercampur adalah gabungan antara konduktif dan sensorineural. “Tahap pendengaran yang teruk selalunya menunjukkan ia adalah jenis sensorineuro atau campuran. Prevalen tahap teruk diukur (60 hingga 80 dB ) dan sangat teruk ( > 85 dB) adalah dengan kadar lebih kurang seorang pada setiap 1000 kelahiran. Kanak-kanak seperti ini kemungkinan tidak boleh bertutur,” katanya. Dr Mazidah berkata, biasanya bagi bayi yang dilahirkan pekak, ia mungkin daripada jenis sensorineural.
Maksudnya, ia disebabkan oleh penyakit dalam koklea, saraf auditori (pendengaran) atau otak. Sebenarnya, ibu boleh mengenali bayi yang dilahirkan berkemungkinan pekak sekiranya mempunyai beberapa tanda pada bayi berkenaan. Bayi ini dilahirkan dengan telinga yang berbentuk tidak sempurna, saluran telinga yang tidak terbuka, ada lebihan daging atau kulit, lubang atau saluran halus di tepi telinga harus diberi perhatian,.
“Kadangkala tanda-tanda ini mungkin berkait rapat dengan kecacatan pendengaran. Malah, ia juga mungkin berkait dengan setengah sindrom. Bagaimanapun, dalam 80 peratus bayi yang baru dilahirkan mempunyai kecacatan yang tersendiri,” katanya. Selain itu, katanya bayi yang tidak mencapai perkembangan pertuturan atau tindak balas yang tertentu mengikut umur perkembangannya juga harus diberikan perhatian.
Ini kerana ia mungkin tanda-tanda awal bayi itu mengalami masalah pendengaran. Pengesanan awal masalah pendengaran amat penting dalam menghasilkan pertuturan bahasa yang optima. Bayi yang pekak masih boleh senyum, membuat ayat penyataan seruan tanda hairan (coo) atau bercakap dalam bahasa sendiri (babble) tapi akan senyap selepas lapan bulan. Jika ini berlaku, pemeriksaan lanjut untuk mengetahui tahap pendengaran perlu dilaksanakan dengan segera.
Dr Mazidah berkata, pemeriksaan lanjut untuk mengetahui tahap pendengaran perlu dilaksanakan dengan segera sekiranya didapati bayi tidak mencapai tahap aktiviti dan penguasaan bahasa seperti di bawah. 1) Pada umur 2 bulan yang pertama bayi tidak terkejut dengan bunyi yang kuat, atau mengeluarkan bunyi “ooo” atau “ aaa” 2) Pada umur 3 sehingga 6 bulan, tidak senyum atau menoleh ke arah bunyi-bunyian, tidak membuat bunyi “ba-ba” atau “ma-ma”. 3)
Pada umur 12 bulan ke atas tidak boleh menggunakan satu patah perkataan atau bertindak balas pada bunyi yang menarik atau meniru pertuturan. Ibu bapa tidak perlu risau kerana kanak-kanak pekak masih boleh belajar bertutur kerana minda mereka normal seperti kanak-kanak biasa. Bagaimanapun, pengesanan awal perlu dilakukan bagi membantu memantapkan kemahiran sosial selain membantunya berkomunikasi dan memiliki kestabilan emosi. Cara rawatan berbeza kerana ia bergantung pada tahap pendengarannya.
Antaranya penggunaan alat bantuan pendengaran dan tunjuk ajar pakar terapi pertuturan atau pembedahan konstuktif atau implan koklea. Apa yang penting perlu ada sokongan dalam proses pendidikan dan pemulihan sebelum masuk ke alam persekolahan. Punca cacat pendengaran Dr Mazidah menjelaskan, selalunya pekak yang terjadi ketika lahir dikaitkan dengan jangkitan kuman ketika hamil. Antaranya rubela, penyakit kelamin seperti siplis dan herpes.
Justeru, pemeriksaan fizikal ujian darah ketika hamil perlu dibuat bagi menghalang masalah itu boleh menjejaskan janin.
“Jika ibu hamil dijangkiti rubela pada usia kandungan kurang daripada tiga bulan, risiko janin berhadapan dengan jangkitan rubela konjenital adalah 30 peratus. Jika kandungan itu berusia lebih tiga bulan, risikonya menurun 20 peratus. Jangkitan ini bukan saja menyebabkan bayi berhadapan dengan masalah pendengaran malah jantung berlubang.
Selain itu, Dr Mazidah berkata, virus rubela juga boleh menyebabkan kemerosotan perkembangan sel, pemusnahan sel (sitolisisis), bengkak pada uri, kerosakan berterusan pada sel saraf tertentu boleh menyebabkan pekak, bengkak pada jantung, paru-paru dan hati. Oleh itu, penting untuk wanita termasuk kanak-kanak perempuan mendapatkan suntikan rubela.
Di Kementerian Kesihatan, suntikan rubela diberikan percuma menerusi program imunisasi kebangsaan di klinik kerajaan. Vaksin rubela dicantumkan dengan vaksin campak dan beguk (MMR) yang diberi pada bayi berusia 12 bulan.
Dr Mazidah berkata, jangkitan virus semasa pada bayi dalam kandungan juga boleh menyebabkan jangkitan yang kronik atau berpanjangan sejak dalam kandungan sehinggalah berbulan-bulan selepas bersalin. Pengambilan makanan tertentu tidak boleh dianggap sebagai penyebab bayi yang dikandung menjadi pekak.
FAKTA: Punca kecacatan pendengaran sejak lahir

Jangkitan semasa kandungan seperti rubela dan siplis.

Pengambilan ubat tertentu seperti ‘gentamisin’ yang selalu digunakan dalam rawatan bayi selepas lahir.

Ibu mengalami darah tinggi yang berlebihan (preeklampsia) ketika melahirkan bayi.

Bayi yang pramatang atau tidak cukup berat badan (kurang dari 1.5 kilogram)

Bayi yang dilahirkan lemas dan bayi yang memerlukan alat pernafasan selepas lahir.

Meningitis atau jangkitan kuman di otak selepas lahir.

Bayi yang mengalami kekuningan (jaundice) yang teruk sehingga tahap memerlukan pertukaran darah.

Bayi yang dilahirkan dengan pembentukan muka yang abnormal seperti sumbing.

Ada sejarah di dalam ahli keluarga yang mengalami masalah pendengaran seperti sindrom Waardenburg, Treacher Collins dan Alport Syndrome.
INFO:
dB - Desibel adalah unit piawaian kenyaringan. Satu desible boleh ditakrifkan sebagai kenyaringan yang paling rendah yang boleh didengar oleh telinga manusia.

Sunday, March 23, 2008

Tuberkulosis tegar dan masih bertahan

IMBASAN sinar-X dada pesakit merupakan antara kaedah yang boleh menunjukkan tahap kerosakan paru-paru akibat jangkitan tibi.

AZMI mengalami batuk berpanjangan sejak dua minggu lalu dan hilang selera makan. Doktor yang ditemuinya pula hanya memeriksa menggunakan stetoskop dan kemudian memberikan ubat batuk, ubat demam dan antibiotik.

Azmi bagaimanapun masih batuk selepas seminggu mengambil ubat dan berat badannya turun sebanyak tiga kilogram. Secara tiba-tiba Azmi mula batuk berdarah menyebabkan isteri dan bapa mentuanya bertambah risau melihatkan keadaan Azmi yang semakin teruk.

Bapa mentua Azmi menyatakan kemungkinan dia telah disantau orang dengki terhadapnya dan mengajak Azmi berjumpa bomoh. Bomoh yang ditemui itu pula menyokong kemungkinan Azmi disantau dan melakukan upacara untuk mengeluarkan santau di samping memberi air jampi dan herba akar untuk rawatan.

Namun, keadaan Azmi semakin teruk selepas sebulan sementara rawatan dari doktor dan bomoh berkenaan tidak menampakkan sebarang kesan kepada Azmi. Akhirnya, Azmi dibawa ke hospital untuk rawatan. Selepas pemeriksaan sinar-X dan kahak, dia didapati telah dijangkiti kuman tuberculosis (tibi).

Imej imbasan sinar-X Azmi menunjukkan keadaannya sangat teruk sementara kahaknya pula didapati mempunyai kuman tibi yang banyak di samping mudah menjangkiti orang terdekat. Imbasan sinar-X ke atas keluarga Azmi mengesahkan isterinya turut dijangkiti tibi tetapi pada peringkat awal.

Azmi dimasukkan ke wad dan diberi ubat untuk membunuh bakteria tibi. Selepas dua minggu, keadaannya semakin pulih dan cukup kuat untuk berjalan sebelum dibenarkan keluar dari hospital. Doktor menasihatkan Azmi supaya menyambung rawatan berkenaan selama enam bulan.

Isteri Azmi pula hanya menerima rawatan pesakit luar memandangkan jangkitan padanya lebih mudah dirawat. Selain isterinya, terdapat kemungkinan besar anak Azmi juga dijangkiti kuman tetapi belum menunjukkan sebarang gejala.

Ini adalah satu senario di mana pesakit tibi lewat mendapatkan rawatan sewajarnya sehingga menyebabkan ahli keluarga dijangkiti.

Pengalaman semasa bertugas di Kuala Terengganu dan lawatan ke hospital-hospital di Kelantan telah mengenalkan saya kepada begitu banyak senario seperti Azmi yang menyedihkan kerana penyakit tibi adalah penyakit yang boleh dirawat. Rawatan awal boleh mengelakkan kerosakan teruk kepada paru-paru dan mengelakkan orang-orang terdekat daripada dijangkiti.

Seperti Azmi, ramai di kalangan masyarakat kita yang masih percaya pada perbuatan santau dan akibatnya banyak penyakit yang boleh dirawat pada peringkat awal tidak dapat dikesan atau gagal dirawat dengan efektif.

Pada zaman moden ini, penyakit tibi boleh dikesan pada peringkat awal dengan adanya alatan yang serba canggih sementara rawatan pula dapat diberikan dengan lebih cepat.

Namun, ada juga pesakit yang telah terbukti dijangkiti tibi melalui imbasan sinar-X dan ujian ke atas kahak tetapi masih enggan menerima rawatan kerana kepercayaan kuat terhadap santau dan ‘buatan orang’.

Sejarah tibi

Penyakit tibi telah dikesan pada tulang mumia dari zaman Firaun merupakan antara punca kematian utama di Eropah pada kurun ke-16 dan ke-17. Pada zaman itu, masyarakat Eropah juga berpendapat penyakit ini berpunca daripada perbuatan syaitan.

Hanya pada 1882, seorang saintis, Dr. Robert Koch dari Jerman telah menemui kuman tibi, Mycobacterium tuberculosis. Walaupun bakteria ini telah dikenal pasti, rawatan tibi tidak ditemui sehingga ubat suntikan Streptomycin diperkenalkan Salman Walksman pada 1943.
Ini diikuti suntikan BCG yang dimulakan oleh Calmette dan Geurin. Dengan adanya ubat-ubat baru, rawatan tibi sekarang hanya mengambil masa selama enam bulan. Ubat yang sama telah digunakan untuk rawatan tibi sejak 60 tahun lalu di seluruh dunia sementara ubat-ubat baru masih dalam peringkat kajian yang mungkin membolehkan rawatan tibi dikurangkan kepada empat atau dua bulan sahaja.

Kuman tibi, selalunya masuk ke badan pesakit melalui udara dan seterusnya ke dalam paru-paru. Dari sini, kuman tibi boleh merebak ke seluruh badan melalui saluran darah atau saluran limfatik dan boleh mengakibatkan tibi di seluruh badan.

Akibat penyebaran kuman tibi, terdapat tibi kelenjar, tibi selaput otak, tibi tulang, tibi jantung dan tibi organ-organ lain. Untuk mengesan kuman tibi di anggota-anggota berkenaan, doktor perlu mengambil sampel biopsi organ tersebut.

Di Malaysia, 85 peratus kes tibi melibatkan paru-paru sementara 15 peratus lagi melibatkan tibi pada anggota badan lain.

Tanda-tanda tibi

Antara tanda tibi adalah batuk berlarutan (lebih dua minggu), demam berpanjangan, badan berpeluh pada waktu malam, susut berat badan, selera berkurangan dan batuk berdarah.

Dalam satu kajian yang saya jalankan di Hospital Pulau Pinang, hanya 20 peratus pesakit yang mengalami gejala-gejala tersebut dalam tempoh kurang dua minggu menerima rawatan awal menyebabkan ada pesakit yang hanya dikesan selepas batuk selama lebih satu tahun.

Lebih lambat penyakit tibi pesakit dikesan, lebih ramai yang akan dijangkiti kuman tibi.

Seorang pesakit tibi yang gagal dikesan boleh menjangkiti 20 individu lain setiap tahun.

Sesiapa yang mempunyai tanda-tanda yang dinyatakan perlu menjalani ujian kahak dan imbasan sinar-X dengan segera.

Pemeriksaan dada biasa mungkin tidak menunjukkan sesuatu yang luar biasa kerana penyakit tibi di peringkat awal agak sukar dikesan melalui pemeriksaan fizikal sahaja.

Kebanyakan doktor gagal mengesan tibi kerana tidak mempunyai kemudahan mesin imbasan sinar-X dan juga makmal untuk pemeriksaan kahak.

Diagnosis tibi

Pada 1882, Dr. Robert Koch mengesan kuman tibi dengan menggunakan mikroskop dan kaedah ini masih digunakan dalam pemeriksaan kahak kerana ia sangat berkesan dan murah. Dengan mikroskop yang semakin canggih, kuman tibi juga boleh dikesan dengan lebih pantas, sekitar 30 minit sahaja.

Ujian Mantoux adalah satu lagi kaedah yang boleh dilakukan untuk mengesan jangkitan kuman tibi dengan memberikan suntikan cecair Mantoux pada lengan kiri pesakit. Reaksi suntikan ini boleh dibaca selepas tiga hari dengan melihat kepada kehadiran pembengkakan pada tempat suntikan sebesar 10 milimeter.

Jika ujian Mantoux ini positif, doktor akan melakukan imbasan sinar-X pada dada pesakit dan juga pemeriksaan kahak (jika batuk berkahak). Ujian positif Mantoux menunjukkan kuman tibi telah memasuki badan pesakit tetapi belum aktif.

Kuman tibi akan menunggu masa untuk menjadi aktif dan ini boleh memakan masa antara satu bulan hinggalah berpuluh tahun lamanya, bergantung kepada jumlah bakteria tibi dan daya tahan (imuniti) badan pesakit.

Di dalam senario Azmi, anak-anak Azmi berkemungkinan besar mempunyai ujian Mantoux positif memandangkan keadaan penyakit Azmi yang teruk ketika didiagnosis.

Imbasan sinar-X pula merupakan cara yang mudah dan cepat untuk mengesan jangkitan kuman terhadap paru-paru. Jika imej yang diperoleh didapati tidak normal, kahak perlu diperiksa selama tiga hari berturut-turut untuk mengesan kuman tibi.

Ujian darah untuk mengesan kuman tibi adalah sangat mahal dan hanya dilakukan untuk kes-kes tertentu sahaja.

DOT dan rawatan tibi

Bakteria tibi mempunyai dinding sel yang tebal dan amat sukar untuk dibunuh menggunakan antibiotik. Kuman ini juga boleh hidup di dalam sel-sel darah dan di dalam tisu anggota badan lain.

Oleh itu, rawatan tibi perlu terus diberikan selama enam bulan supaya semua kuman di dalam dan di luar sel dapat dibunuh sepenuhnya.

Cara rawatan adalah dengan memberikan empat jenis antibiotik sekaligus kepada pesakit. Ini adalah untuk mengelakkan kuman tibi menjadi kebal kepada ubat (multidrug resistance TB). Pesakit perlu mengambil ubat-ubat ini setiap hari bagi dua bulan pertama, sehinggalah pemeriksaan doktor dijalankan.

Sekiranya pemeriksaan doktor menunjukkan kemajuan dari segi simptom, imej imbasan sinar-X dan pemeriksaan kahak, cara pengambilan ubat akan diubah kepada dua kali seminggu untuk empat bulan seterusnya. Imbasan sinar-X dan ujian kahak perlulah dijalankan setiap dua bulan sepanjang tempoh rawatan, sehinggalah pesakit didapati sembuh sepenuhnya (selalunya hanya dalam tempoh enam bulan).

Seperti antibiotik lain, ubat-ubat untuk tibi juga mempunyai kesan sampingan seperti loya, muntah, rasa gatal badan dan letih. Adalah sangat penting pesakit memaklumkan doktor atau jururawat jika terjadi sebarang kesan sampingan yang teruk.

Bagi memastikan pesakit mengambil ubat seperti yang diarahkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memperkenalkan kaedah rawatan ‘Directly Observed Treatment’ (DOT) pada awal tahun 1990-an. Kaedah DOT memerlukan semua pesakit mengambil ubat di hadapan kakitangan kesihatan (doktor, jururawat atau penolong pegawai perubatan) bagi memastikan ubat dimakan setiap hari seperti yang ditentukan.

Ini juga akan memudahkan pesakit memaklumkan sebarang kesan sampingan yang dialami ketika permulaan rawatan. Kaedah ini telah dibuktikan berkesan di banyak negara, di mana peratusan kes sembuh tibi meningkat sementara kadar kematian semakin berkurangan dan turut mengurangkan kejadian kuman tibi menjadi kebal kepada ubat.

Kejadian kuman tibi yang kebal kini didapati meningkat di beberapa negara di rantau Asia.

Kuman jenis ini amat sukar dihapuskan dan kadar kematian pesakit akibat jangkitan kuman tibi kebal adalah setinggi 80 peratus.

Bagi mengelakkan keadaan ini, adalah amat penting bagi semua pesakit untuk mengambil ubat sambil diawasi oleh kakitangan kesihatan.

Kaitan Tibi, HIV dan Diabetes

Dalam kajian saya di Hospital Kuala Terengganu dan Hospital Pulau Pinang, sebanyak 20 peratus (satu daripada lima) pesakit tibi yang dikesan turut menghidap penyakit diabetes mellitus (kencing manis).

Ini bermakna, semua pesakit diabetes yang diserang batuk berpanjangan atau simptom lain yang telah dinyatakan perlu menjalani pemeriksaan kahak.

Kajian saya juga menunjukkan kuman tibi lebih senang menyerang paru-paru pesakit yang gagal mengawal diabetes.

HIV dan tibi pula adalah dua penyakit yang sukar dipisahkan. Kebanyakan kematian di kalangan pesakit HIV adalah disebabkan oleh jangkitan kuman tibi.

Memandangkan HIV menyebabkan sistem imuniti badan menjadi lemah, kuman tibi amat mudah menjangkiti setiap anggota badan pesakit HIV, selain dari paru-paru.

Sejak 20 tahun kebelakangan ini, bilangan penyakit tibi juga didapati meningkat sejajar dengan peningkatan jangkitan HIV.

Ini membawa kepada satu polisi baru dalam sistem kesihatan kita di mana semua pesakit HIV perlu diperiksa untuk tibi dan semua pesakit tibi perlu menjalani pemeriksaan HIV.

Hari Tibi Sedunia 2008

Tarikh 24 Mac diumumkan sebagai Hari Tibi Sedunia bersempena tarikh Dr. Robert Koch menemui kuman tibi pada 1882. Tema Hari Tibi Sedunia 2008 adalah ‘I am stopping TB’ sesuai dengan usaha semua orang untuk menghentikan penyakit zaman purba ini dari terus merebak.

Bagi pesakit tibi, tema ini bermakna mereka perlu mengambil ubat seperti diarahkan doktor supaya penyakit ini dapat disembuhkan di samping mengelakkan jangkitan kepada orang lain.

Setiap anggota kesihatan pula perlu memastikan pengesanan penyakit ini dapat dibuat pada peringkat awal dan secara tidak langsung dapat mengelakkan jangkitan kepada orang lain.

Bagi pihak kerajaan, tema ini bermakna setiap ahli politik dan kementerian yang terlibat perlu memberi sokongan kewangan dan pendedahan sewajarnya supaya usaha menghentikan tibi dapat dijalankan dengan berkesan.

Orang awam juga boleh memainkan peranan dengan menolong pesakit tibi mendapatkan dan meneruskan rawatan mereka dan mengambil inisiatif membawa pesakit yang disyaki mempunyai tanda-tanda tibi ke hospital terdekat untuk ujian lanjut.

“I am stopping TB” adalah satu mesej yang cuba ditampilkan supaya setiap individu pelbagai peringkat memainkan peranan masing-masing dalam menghentikan penularan penyakit tibi.
Perlu diingat, seorang pesakit mati akibat tibi setiap saat di seluruh dunia sementara satu pertiga penduduk dunia kini dijangkiti kuman tibi. Dengan wujudnya penyakit HIV dan kuman tibi kebal, penyakit ini berkemungkinan menjadi pembunuh utama kelak. Oleh itu, doktor di sektor swasta atau kerajaan, ahli politik, pengamal perubatan tradisional dan masyarakat perlu bekerjasama menentang ancaman kesihatan ini. Sama-samalah kita hentikan TB.


Bersama hentikan wabak tibi

JANGKITAN tibi yang belum menunjukkan gejala tertentu boleh dikesan melalui ujian Mantoux yang dapat memberikan keputusan selepas tiga hari

PENYAKIT tuberkulosis (tibi) telah menyerang manusia sejak zaman Firaun dan dipercayai merupakan punca utama kematian di Eropah pada kurun ke-16 dan 17.
Bagaimanapun, kuman tibi hanya berjaya dikesan oleh Dr. Robert Koch di Berlin, Jerman pada 24 Mac 1882.

Sempena dengan penemuan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan tarikh tersebut sebagai Hari Tibi Sedunia dengan harapan dapat meningkatkan kesedaran tentang gejala, diagnosis dan rawatan serta kepentingan kawalan tibi yang berkesan.

Tahun ini tema “Saya mahu menghentikan tibi” dipilih sebagai usaha semua pihak untuk menyekat wabak purba ini daripada terus tersebar.

Dalam erti kata lain, setiap orang tidak kira pesakit, keluarga, rakan-rakan dan juga masyarakat harus bersama-sama dalam mengekang wabak ini daripada terus menular.
Tibi sebenarnya adalah sejenis penyakit sebaran udara yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis berbentuk rod panjang. Penyakit ini bagaimanapun boleh dicegah dan diubati.
Kuman tibi disebarkan melalui titisan udara setiap kali seseorang pesakit yang telah dijangkiti kuman ini bersin, batuk, bercakap dan sebagainya.

Pada dasarnya, penyebaran kuman ini berlaku melalui sebarang cara di mana lembapan dilepaskan daripada seseorang, ke udara dan kemudiannya dihirup masuk orang lain.
Menurut Pakar Perubatan dari Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, kebiasaannya tibi menyerang penduduk di negara dunia ketiga dan berpendapatan rendah berdasarkan beberapa faktor.

Antaranya disebabkan kekurangan nutrisi yang menyumbang kepada lemahnya sistem imunisasi badan sesetengah individu dalam menentang penyakit.

“Boleh dikatakan kebanyakan daripada kita mempunyai kuman tibi di dalam paru-paru. Namun, kuman ini tidak bertindak disebabkan sistem imunisasi yang kuat,” katanya.

Selain itu faktor kepadatan sesuatu kawasan penempatan juga menyumbang kepada penyebaran kuman tibi dengan mudah.

Menurut beliau, simptom mereka yang dijangkiti tibi termasuk batuk yang berlanjutan lebih dua hingga tiga minggu, menghasilkan kahak apabila batuk dan mengalami penurunan berat badan akibat hilang selera makan.

Lain-lain gejala adalah sakit dada, kahak berdarah, demam dan berpeluh pada waktu malam.
Kata Dr. Abdul Malik, secara lazimnya kuman tibi menjangkiti paru-paru (tibi pulmonari) tetapi ia juga boleh menjangkiti bahagian-bahagian badan yang lain misalnya nodus limfa, tulang belakang, serviks, malahan di mana-mana sahaja bahagian dalam tubuh badan.

“Pernah berlaku satu kes di mana pesakit mengalami jangkitan tibi pada serviks yang menyebabkan ia terpaksa dibuang,” jelasnya.

Walau bagaimanapun beliau positif dengan proses penyembuhan tibi seandainya pesakit mengikut rejim rawatan yang sepatutnya, mengikut arahan doktor.

Bergantung kepada di bahagian mana yang dijangkiti, simptomnya juga mungkin berbeza.
Bagi pesakit tibi serviks, simptom yang biasa berlaku adalah pendarahan dan sakit ketika melakukan hubungan seks. Bagi pesakit tibi usus pula, mungkin berlaku masalah kembung perut dan cirit-birit.

Beliau turut mengaitkan pesakit tibi di kalangan mereka yang dijangkiti virus HIV.
“Pesakit yang HIV positif lebih mudah dijangkiti tibi disebabkan kurangnya daya tahan badan melawan penyakit. Namun keadaan ini jarang berlaku di Malaysia,” katanya.
Biasanya pesakit tibi pulmonari memerlukan masa antara enam hingga sembilan bulan untuk sembuh.
Manakala pesakit tibi bahagian lain mengambil masa yang lebih lama sehingga dua tahun untuk proses rawatan selesai.

Ketahanan tibi

Kata Dr. Abdul Malik, terdapat juga keadaan di mana pesakit mengalami tibi tahan ubat yang dikelaskan sebagai MDR-tibi (Multi Drug Resistant) dan XDR-tibi yang lebih teruk.
Perkara ini menurutnya berlaku apabila pesakit yang dirawat dengan ubat tibi biasa gagal sembuh disebabkan pesakit tidak mematuhi peraturan atau badan pesakit itu sendiri menentang ubat yang diberi.

“MDR-tibi berlaku disebabkan kuman tibi kebal kepada satu jenis ubat daripada beberapa jenis yang diberi manakala XDR-tibi pula adalah kekebalan kuman tersebut sebelum dirawat lagi iaitu ketahanan terhadap semua jenis ubat yang digunakan,” jelasnya.

Namun katanya lagi, di Malaysia keadaan MDR-tibi dan XDR-tibi amat jarang berlaku dan penularan wabak ini masih terkawal.

Terkawal

“Di Malaysia wabak tibi masih terkawal. Masalah tibi tahan ubat biasanya hanya berlaku di kalangan pendatang asing seperti yang datang dari India, Indo-China dan Afrika disebabkan taraf hidup dan juga persekitaran kediaman mereka yang sesak,” ujarnya.

Fakta ini turut disokong laporan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) yang mencatatkan 60 peratus kes tibi di AS berlaku di kalangan warga asing yang dilahirkan di Mexico, Filipina, India dan Vietnam.

Kadar kejadian tibi di kalangan warga asing ini juga dikatakan 9.7 kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang lahir di AS.

Dr. Abdul Malik menasihatkan semua pihak agar mengambil langkah untuk mengelak penyakit ini dengan melakukan pemeriksaan kesihatan dengan kerap.

“Jika kita sihat, peluang untuk dijangkiti tibi amat rendah,” katanya.
Selain itu, pengudaraan yang baik di rumah dan pejabat juga amat penting bagi mengelakkan jangkitan tibi.
Bagi mereka yang menziarahi pesakit tibi pula, perlulah memakai topeng bagi mengelak menghirup udara yang tercemar dengan kuman tibi.

Ini katanya berikutan ketahanan kuman tibi membolehkannya terampai di udara selama enam jam.

Bagi pesakit tibi, mereka perlu mematuhi peraturan dan arahan yang diberikan doktor.
Pengambilan ubat amatlah penting sehinggalah doktor mengesahkan pesakit telah betul-betul sembuh.

Walaupun ada kalanya berlaku kesan sampingan terhadap pengambilan ubat seperti loya, muntah, jaundis dan sebagainya, pesakit perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat dan melaporkan tindak balas ubat berkenaan.

“Jangan berhenti mengambil ubat, pesakit perlu berjumpa semula dengan doktor untuk mendapatkan pandangan.

“Perlu diingat, ubat-ubatan bagi merawat MDR-tibi dan XDR-tibi jauh lebih mahal berbanding tibi biasa. Jika pesakit mengikut peraturan yang sewajarnya, insya-Allah tibi boleh dirawat 100 peratus,” katanya.

Antarabangsa

Menurut kenyataan WHO yang dikeluarkan melalui ibu pejabat rantau pasifik Barat di Manila, Filipina baru-baru ini, kemudahan makmal yang tidak mencukupi di negara-negara Asia dan rantau Pasifik yang miskin menyumbang kepada penyebaran wabak MDR-tibi dan XDR-tibi.

Kebanyakan negara tersebut kekurangan keperluan asas makmal untuk memantau dan menguruskan kedua-dua bentuk penyakit tibi ini.

Kurang dari satu peratus penyakit MDR-tibi dan XDR-tibi disahkan oleh makmal dan dilaporkan secara rasmi di rantau ini.

Sepanjang 2006, hanya 600 daripada kira-kira 150,000 kes MDR-tibi di Asia Timur dan Asia Pasifik dikenal pasti secara rasmi oleh makmal.

Tanpa pengesanan dan rawatan, pesakit tibi boleh menjangkiti 10 hingga 15 orang setiap tahun hanya dengan batuk atau bersin dan penyakit ini boleh disebarkan oleh penumpang di dalam kapal terbang.

Penyebaran tibi tahan ubat adalah sangat berbahaya. Satu kes boleh mengambil masa hingga dua tahun untuk dirawat dengan ubat bersesuaian tetapi ubat berkenaan mempunyai kesan sampingan serius dan melibatkan kos 100 kali lebih tinggi berbanding rejimen ubat biasa.

Kata Pengarah WHO rantau ini, Shigeru Omi, wabak tibi tahan ubat sebenarnya sedang merebak tanpa disedari.

“Kami risau wabak senyap ini boleh kembali menjadi seperti beberapa tahun terdahulu. Ia boleh menggagalkan usaha yang kami jalankan akhir- akhir ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Laporan terbaru WHO berdasarkan kajian daripada 81 buah negara mendapati tibi tahan ubat merebak dengan pantas dan lebih meluas berbanding apa yang dipercayai sebelum ini.

Di Kemboja dan Filipina contohnya, setiap negara ini hanya mempunyai tiga makmal yang mampu mendiagnosis tibi tahan ubat.

Apa yang diperlukan adalah meningkatkan kemampuan setiap makmal untuk mengesan penyakit ini dan ini memerlukan dana yang tinggi.

Hampir setengah juta kes baru tibi tahan ubat berlaku setiap tahun di seluruh dunia atau sekitar lima peratus daripada sembilan juta kes baru secara keseluruhan.

WHO juga baru-baru ini mengeluarkan amaran bahawa lebih banyak kes baru tibi gagal dikesan oleh pihak bertanggungjawab kerana kegagalan negara itu sendiri mengenal pasti peningkatan bilangan kes tibi yang berlaku.

Dianggarkan hanya 61 peratus kes tibi seluruh dunia yang didaftarkan. Tahun lalu, sebanyak 6.2 juta kes tibi dikesan berbanding 9.1 juta pada 2005.

Antara 2001 hingga 2005, kadar pengesanan meningkat sebanyak enam peratus setiap tahun, namun pada 2006, jumlah ini menurun sebanyak tiga peratus.

Pertubuhan itu juga memberi penekanan terhadap angka pesakit HIV yang dijangkiti. Pada 2006. sebanyak 700,000 kes pesakit baru HIV yang dijangkiti tibi dikesan.

Tahun 2006 juga menyaksikan 200,000 kematian pesakit tibi di kalangan mereka yang dijangkiti virus HIV. Laporan WHO itu menunjukkan hubungan rapat antara HIV dan tibi.

Kadar paling tinggi MDR- tibi yang direkodkan adalah di Baku, ibu negara Azerbaijan, di mana 22 peratus daripada semua kes baru tibi yang dilaporkan merupakan jenis tibi tahan ubat.

WHO menganggarkan AS$4.8 bilion (RM15.24 bilion) diperlukan untuk usaha mengawal tibi di negara-negara seluruh dunia sepanjang 2008.

Walaupun jarang kelihatan pesakit tibi yang menunjukkan gejala-gejala penyakit itu, dianggarkan satu pertiga penduduk dunia telah dijangkiti kuman berkenaan yang mungkin hanya menunggu masa untuk menyebabkan masalah kesihatan serius kepada pesakit.

Oleh itu, jangan diambil mudah sesuatu keadaan kesihatan yang telah lama berpanjangan memandangkan batuk berpanjangan juga boleh menjadi petanda kepada penyakit serius seperti tibi.
Perhatikan juga orang di sekitar anda yang mungkin mempunyai gejala tibi dan nasihatkan mereka untuk menjalani ujian lanjut dan mendapatkan nasihat doktor.

Bagi pihak berkuasa pula, tidak kira yang bertanggungjawab ke atas kesihatan umum ataupun imigresen, pastikan penyakit seperti tibi, hepatitis dan HIV/AIDS tidak dibawa masuk pendatang asing, dan lebih penting lagi tidak disebarkan kepada rakyat negara ini.

Mainkan peranan anda, bantulah negara menghapuskan tibi dan apa jua penyakit yang boleh dicegah dengan mudah melalui diagnosis dan rawatan awal.

Maklumat lanjut dan terkini mengenai tibi boleh diperoleh dengan melayari laman web CDC www.cdc.gov/tb/ atau menghubungi mana-mana hospital utama di seluruh Malaysia.

Wednesday, March 19, 2008

Sindrom Carpal Tunnel

SINDROM Carpal Tunnel terjadi apabila saraf median pada pergelangan tangan tersepit.Ini disebabkan oleh terowong yang berada di bahagian tapak tangan sendi pergelangan tangan menjadi semakin sempit.

Terowong ini memberi laluan dan perlindungan kepada saraf median ke bahagian tangan dan sembilan tendon lain yang menggerakkan bahagian tangan.

Tekanan pada saraf median ini akan menyebabkannya tidak berfungsi dengan normal serta menimbulkan rasa sakit dan kebas, seterusnya melemahkan bahagian tangan.

Simptom Sindrom Carpal Tunnel bermula secara perlahan-lahan dengan rasa sakit pada bahagian pergelangan tangan yang boleh melarat ke bahagian tangan dan lengan.

Antara simptom yang biasanya terjadi adalah:

1. Kebas - pada bahagian tangan dan jari-jari tangan terutamanya ibu jari, jari telunjuk, jari hantu dan jari manis tetapi tidak pula berlaku pada jari kecil. Rasa kebas ini akan menjadi lebih kuat terutamanya semasa memandu, semasa memegang objek seperti telefon atau surat khabar atau semasa bangun dari tidur. Kebanyakan pesakit akan menggoyangkan tangan mereka untuk mengurangkan simptom tersebut.

2. Kesakitan - yang terjadi pada sendi pergelangan tangan sehingga ke lengan atas, bahu atau ke tapak tangan dan jari, terutamanya selepas menggunakan tangan secara berterusan atau menggunakan tangan dengan kuat.

3. Rasa lemah pada bahagian tangan dan boleh menyebabkan objek yang dipegang akan jatuh.
Mereka yang berisiko menghidap sindrom ini adalah golongan mengalami tekanan pada tangan atau penggunaan tangan yang berlebihan dalam pekerjaan, terutamanya melibatkan penggunaan tangan atau pergelangan tangan secara berlebihan, berulangulang dan dengan kuat.

Contoh pekerjaan yang melibatkan pergerakan seperti di atas adalah seperti bekerja di kilang pemasangan yang menggunakan jentera berat.

Walaupun penggunaan komputer yang berlebihan turut dikaitkan dengan Sindrom Carpal Tunnel namun belum ada bukti saintifik yang boleh mengaitkannya setakat ini.

Sindrom ini berpunca daripada tekanan pada saraf median di bahagian pergelangan tangan.

Punca tekanan pada saraf median ini tidak dapat dipastikan dengan tepat, tetapi ia mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti:

1. Penyakit lain yang melibatkan gangguan hormon seperti diabetes, gangguan tiroid dan menopaus atau keadaan yang menyebabkan takungan cecair badan seperti wanita hamil dan amyloid.

2. Penggunaan tangan yang berulang-ulang secara berpanjangan atau kecederaan pada bahagian pergelangan tangan.

Faktor-faktor lain yang meningkatkan risiko menghidap sindrom ini adalah:

* Jantina: Wanita mengalami tiga kali lebih risiko berbanding dengan lelaki. Kebanyakannya berlaku selepas menopaus.

* Keturunan: Ini berkaitan sekiranya ada di kalangan saudara-mara yang mengalami keadaan fizikal yang sama, seperti bentuk pergelangan yang sama.

* Keadaan kesihatan tertentu: Perubahan hormon seperti pada pesakit yang mengalami gangguan tiroid, obesiti, diabetes, wanita yang hamil dan mereka yang menggunakan pil perancang keluarga. Sindrom Carpal Tunnel yang berlaku semasa hamil biasanya akan hilang selepas melahirkan anak.

* Mereka yang merokok juga akan mengalami simptom Sindrom Carpal Tunnel yang lebih teruk berbanding mereka yang tidak merokok.

Diagnosis

Sekiranya ada simptom dan tanda Sindrom Carpal Tunnel, doktor akan mencadangkan untuk melakukan beberapa ujian seperti:

1. Elektromygram: Untuk menentukan bahawa kerosakan otot pada bahagian tangan sudah berlaku atau tidak.

2. Nerve conduction study: Untuk melihat sama ada impuls elektrik saraf menjadi perlahan atau tidak.

Saraf median yang menyebabkan terjadinya simptom Sindrom Carpal Tunne tidak memberikan perubahan deria rasa pada jari kecil tangan.

Tanda lain seseorang menghidap sindrom ini adalah masa berlakunya simptom tersebut.
Masa simptom Sindrom Carpal Tunnel timbul adalah semasa memegang objek seperti telefon, surat khabar, memegang stereng ketika memandu atau ketika bangun dari tidur pada waktu pagi.

Doktor juga akan memeriksa deria rasa pada jari dan kekuatan otot-otot pada tangan.

Dengan menekan tangan secara membongkokkan pergelangan tangan (phalen’s sign) atau mengetuk pada bahagian pergelangan tangan (tinel’s sign) turut akan menyebabkan simptom Sindrom Carpal Tunnel semakin jelas dan teruk.

Pesakit yang mendapatkan rawatan perlu memastikan dan memaklumkan doktor tempat di mana simptom dan tanda-tanda Sindrom Carpal Tunnel berlaku sekitar bahagian tangan.

Rawatan

Pesakit yang mengalami simptom yang tidak teruk boleh mengurangkan rasa sakit dan kebas dengan mengambil lebih banyak masa untuk merehatkan tangan atau membuat “cold packs” (ais) untuk mengurangkan bengkak pada tangan.

Terdapat juga kaedah rawatan lain yang melibatkan pembedahan atau tanpa bedah (non-surgical).

Kaedah tanpa pembedahan melibatkan:

* wrist splinting: Splinting (anduh) yang mengurangkan pergerakan pada pergelangan tangan akan mengurangkan simptom terutamanya pada waktu malam.

* non-steroidal anti-inlammatory drug (NSAIDs): Menggunakan ubat mengurangkan bengkak untuk mengurangkan rasa sakit terutamanya mereka yang mengalami kesakitan disebabkan oleh keadaan yang berkaitan dengan pembengkakan bahagian tangan.

* steroid: Suntikan ubat jenis steroid ke dalam bahagian Carpal Tunnel boleh mengurangkan kesakitan. Pengambilan steroid secara oral pula mungkin tidak dapat mengurangkan simptom.
Kaedah pembedahan pula mungkin terpaksa dilakukan dalam keadaan di mana simptom tidak dapat dirawat menggunakan cara lain atau simptom terus berlarutan dan bertambah teruk.
Pembedahan boleh dilakukan dengan cara endoskop atau dengan membuat pembedahan kecil di bahagian pergelangan tangan.

Doktor akan membuat hirisan pada ligamen carpal yang memberi tekanan pada saraf median.
Pembedahan boleh memberi perubahan yang ketara pada simptom Sindrom Carpal Tunnel tetapi kadangkala kesan seperti kebas, lemah tangan dan kesakitan mungkin akan berlarutan untuk satu tempoh masa tertentu.

Kira-kira 70 peratus pesakit yang menjalani pembedahan akan menyatakan bahawa simptom hilang sepenuhnya.

Namun, pesakit yang merokok dan mereka yang sering minum alkohol mungkin akan terus mengalami kesan simptom Sindrom Carpal Tunnel.

Pesakit yang mengalami Sindrom Carpal Tunnel akibat daripada penyakit rheumatoid arthritis pula dinasihat mendapatkan rawatan untuk penyakit berkenaan terlebih dahulu.

Pelbagai punca sakit dada

SAKIT dada, sakit jantung. Ini telah menjadi satu pemahaman dan ketakutan di kalangan masyarakat negara ini sehinggakan banyak drama atau filem di negara ini menjadikannya satu klise untuk menunjukkan bencana dan tragedi keluarga.

Setelah bertahun-tahun masyarakat didedahkan kepada ‘kefahaman’ ini, tidak hairanlah ramai yang bergegas mencari doktor apabila mengalami sakit dada kerana khuatir diserang sakit jantung.

Tidak boleh disangkal bahawa penyakit jantung menjadi pembunuh utama di negara ini dan banyak negara lain lagi. Memandangkan semakin ramai golongan muda yang diserang sakit jantung, tidak menghairankan juga golongan yang cemas ini terdiri daripada semua peringkat umur.

Namun, orang ramai perlu pandai membezakan antara serangan jantung dengan penyakit lain supaya perasaan cemas ketika mengalami sakit dada tidak membawa kepada kemudaratan lain.

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh menjelaskan, serangan jantung biasanya menyebabkan kesakitan pada bahagian kiri atau tengah dada tetapi kadangkala boleh berlaku pada bahagian kanan dada juga.

“Rasa sakit ini seperti dada ditindih (ditekan), berat atau dibelit (sempit), dan boleh merebak dari dada ke leher, rahang atau lengan kiri

“Selain itu, rasa sakit akibat serangan jantung turut dikaitkan dengan simptom lain seperti berpeluh, rasa mual, sesak nafas dan rasa berdebar-debar (palpitation),” jelas beliau.

Kata beliau, rasa sakit ini juga datang dan pergi dan cuma bertahan untuk beberapa saat atau beberapa minit sahaja, serta dapat dikurangkan dengan berehat.

Tambahnya, serangan jantung juga dikaitkan dengan aktiviti fizikal berat seperti senaman terlalu kuat, mengangkat barang yang berat atau naik banyak anak tangga. Jika stres ditambah dengan perasaan marah yang membuak-buak, terdapat juga kemungkinan serangan jantung berlaku secara mendadak.

Jantung vs reflux

Perkara pertama dalam mengelakkan kekeliruan dan rasa cemas akibat sakit dada adalah mengenali simptom ketika berlakunya serangan jantung. Perasaan cemas adalah normal jika kesakitan timbul di tempat yang sebelum ini tidak pernah berasa sakit.

Tetapi jangan terlalu risau atau cemas sehingga memudaratkan lagi keadaan dan menyebabkan rasa sakit itu semakin kuat.

Antara punca sakit dada bukan akibat serangan jantung yang biasa ditemui adalah masalah reflux asid perut yang menyebabkan radang dan bengkak kepada esofagus serta rasa pedih hulu hati.

“Sistem badan manusia telah diatur untuk berfungsi dengan elok, dari atas turun ke bawah, yang mengalir pula dalam satu arah. Jika fungsi sistem badan terganggu sehingga menjadi songsong, itu mungkin tanda hadirnya penyakit tertentu dan rasa sakit itu pula sebagai petanda daripada badan, memaklumkan terdapat kepincangan dalam fungsi sistem berkenaan,” kata Dr. Ahmad Shukri.

Penyakit yang dikenali Reflux Gastroesophageal (GERD) ini merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh reflux asid dari perut yang menghakis struktur salur penghadaman.

Dr. Ahmad Shukri menjelaskan, rasa pedih hulu hati yang berhampiran dengan kedudukan jantung ini mungkin menyebabkan kekeliruan di kalangan orang ramai.

“Selalunya reflux berlaku selepas makan terutama bila individu berkenaan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak,” kata beliau.

Beliau menyatakan reflux juga menyebabkan rasa mual, rasa asid (masam) di dalam mulut dan tidak melibatkan simptom seperti serangan jantung (sesak nafas, rasa berdebar) serta tidak dikaitkan dengan aktiviti fizikal.

Tambahnya, reflux juga boleh menyebabkan simptom batuk yang kering pada waktu malam, serangan asma (lelah) disebabkan kekejangan bronkiol atau menyebabkan pesakit bangun mengejut pada waktu malam akibat sakit di bahagian dada.

Rasa pedih hulu hati berbeza dengan sakit jantung kerana melibatkan perasaan seperti terbakar (heart burn) yang berpanjangan. Makanan pedas atau berlemak boleh menyebabkan simptom ini berlaku atau menjadi bertambah teruk.

Saringan dan rawatan

Selain simptom, perlu juga diketahui ujian saringan bagi menentukan keadaan kesihatan anda serta menentukan rasa sakit pada dada berpunca daripada masalah jantung atau sebaliknya. Bukan sahaja ujian saringan, malahan cara rawatan untuk serangan jantung dan reflux juga berbeza.

Menurut Dr. Ahmad Shukri, doktor akan menjalankan ujian elektrikal kardiogram (ECG) jika pesakit disyaki mempunyai masalah jantung atau mengalami serangan jantung.

“Selain ECG, ujian darah juga dijalankan untuk menentukan kandungan kolesterol dan gula di dalam darah.

“Doktor juga akan mengambil tekanan darah pesakit dan menguji kehadiran enzim jantung yang dikeluarkan jika jantung mengalami kecederaan,” kata beliau.

Jika ECG adalah normal tetapi masih disyaki masalah jantung, Dr. Ahmad Shukri memaklumkan doktor akan melakukan ujian ECG tekanan (stres) yang memerlukan pesakit berlari di atas mesin treadmill bagi menguji kesannya terhadap jantung.

Beliau menjelaskan jantung akan memerlukan lebih banyak oksigen ketika menghadapi tekanan atau berlari dan perubahan pada bacaan ECG akan berlaku jika terdapat salur darah yang tersumbat.

Bagaimanapun, ujian ECG tekanan tidak memberikan bacaan yang 100 peratus tepat dan kadangkala boleh memberikan bacaan positif atau negatif yang salah. Ini merupakan antara batasan terhadap ujian saringan ini yang kadangkala boleh menunjukkan pesakit yang mempunyai masalah jantung sebagai sihat.

Dr. Ahmad Shukri memaklumkan pesakit boleh menjalani ujian koronari angiogram jika ujian stres ECG juga normal sedangkan doktor masih mengsyaki masalah jantung.

“Ujian koronari angiogram boleh menunjukkan bilangan dan tahap salur darah koronari jantung yang tersumbat dengan lebih tepat. Selain angiogram, pesakit juga boleh menjalani ujian angiogram MultiSlice Computer Tomography (MSCT) yang hanya memerlukan suntikan di tangan dan lebih cepat,” jelas beliau.

Selain itu, beliau turut menyatakan rawatan masalah jantung berbeza mengikut keadaan dan tidak semestinya memerlukan pembedahan besar.

Sekiranya doktor mengesan tanda positif pada ECG, Stres ECG atau MSCT, maka kaedah seterusnya yang terbaik adalah koronari angiogram yang membolehkan rawatan dilakukan pada saluran darah yang tersumbat melalui belon angioplasti dan stenting. Pembedahan pintasan jantung mungkin perlu dilakukan sekiranya bilangan dan tahap saluran koronari tersumbat terlalu serius. Selain itu, pesakit juga perlu meneruskan rawatan yang melibatkan penggunaan ubat bagi mengelakkan serangan jantung berulang.

Dalam pada itu, Dr. Ahmad Shukri memaklumkan masalah reflux pula dapat ditentukan dengan ujian endoskopi (OGDS) bagi menentukan sama ada terdapat radang atau luka di saluran penghadaman esofagus, atau hiatal hernia yang menjadi punca masalah berkenaan.

“Ujian lain untuk masalah reflux adalah kajian pH saluran penghadaman esofagus selama 24 hingga 48 jam.

“Rawatan untuk masalah reflux pula lebih mudah dengan bertumpu kepada mengurangkan penghasilan asid perut,” jelas beliau.

Menurut Dr. Ahmad Shukri, penghasilan asid perut boleh dikawal menggunakan ubat tertentu yang perlu diambil secara berkala oleh pesakit.

Dr. Ahmad Shukri menasihatkan sesiapa yang menghadapi sakit dada untuk berjumpa dengan doktor untuk menjalani ujian lanjut dan juga untuk dirujuk kepada doktor pakar perut, jantung atau paru-paru mengikut penyakit yang disyaki.

“Perlu diingat sakit dada itu bukan hanya petanda sakit jantung tetapi mungkin juga melibatkan masalah kesihatan lain yang perlu dikenalpasti dengan segera untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin.

“Jangan ambil mudah walaupun jika bukan disyaki serangan jantung dan dapatkan nasihat serta pandangan doktor anda dengan segera,” tegas beliau.

Sebarang pertanyaan mengenai sakit dada boleh diajukan kepada Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh melalui e-mel ashukris@yahoo.co.uk

Risiko dan pencegahan

Terdapat dua jenis faktor risiko serangan jantung iaitu faktor tidak boleh ubah dan boleh ubah. Faktor tidak boleh ubah termasuk umur lebih 40 tahun, jantina lelaki dan mempunyai sejarah keluarga sakit jantung pada usia muda.

Faktor boleh ubah pula lebih melibatkan gaya hidup yang boleh dikawal seperti merokok, kolesterol tinggi, darah tinggi, diabetes, obesiti dan stres.

Serangan jantung juga boleh berlaku seawal usia 20-an akibat amalan pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.

Bagi mereka yang aktif dalam sukan dan boleh berlari dalam jarak dua kilometer dengan mudah, rasa sakit dada berkemungkinan bukan akibat serangan jantung. Namun bagi mereka yang bermain sukan kurang tekanan seperti golf, sakit dada berkemungkinan menandakan serangan jantung terutamanya jika mereka kurang berjalan dan banyak menaiki kereta buggy sepanjang bermain golf. Senaman, diet rendah lemak dan tidak merokok menjadi antara kaedah utama yang dicadangkan untuk mengurangkan risiko dan mengelak mengalami serangan jantung.

Antara kumpulan yang berisiko menghidap reflux asid pula adalah perokok, berat badan berlebihan, mempunyai masalah hiatal hernia dan kuat minum kopi. Merokok dan tabiat sering minum kopi boleh melemahkan cerut atau spinkter esofagus dan akan memudahkan asid perut naik ke dalam saluran esofagus.

Pesakit yang menghidap reflux perlu menjaga pemakanan dan mengamalkan pengambilan makanan dalam hidangan kecil dengan kekerapan lebih tinggi, atau makan sedikit-sedikit, banyak kali setiap hari.

Punca-punca lain sakit dada

Aneurisme aorta yang bocor atau pecah
Masalah ini melibatkan salur darah yang membengkak dan lebih berbahaya daripada serangan jantung kerana boleh menyebabkan kematian mengejut pesakit. Masalah ini biasanya berlaku di kalangan mereka yang sudah lanjut usia dan antara punca utamanya adalah tekanan darah tinggi. Selain itu, pesakit yang dijangkiti kuman siflis ketika masih muda juga menghadapi risiko aneurisme yang lebih tinggi selepas melewati umur 50 tahun.

* Pleuritis

Masalah ini melibatkan radang pada lapisan pleura iaitu membran yang melitupi paru-paru. Pesakit biasanya berasa sakit ketika menarik nafas akibat paru-paru yang mengembang menyentuh lapisan pleura. Pleuritis mungkin berlaku akibat jangkitan kuman dan cara rawatannya adalah dengan merawat jangkitan tersebut.

* Costochondritis (Sindrom Tietze)

Masalah ini melibatkan keradangan dan bengkak pada satu atau lebih tulang rawan costal pada tulang rusuk pesakit. Antara puncanya adalah trauma atau batuk yang berpanjangan. Kesakitan akibat masalah ini turut melibatkan tulang rusuk dan pesakit akan berasa lebih sakit jika kawasan terbabit ditekan. Rasa sakit pada dada akibat masalah ini juga berpanjangan dan boleh mencecah berhari-hari lamanya.

Selain tulang rusuk dan rawan costal, kesakitan pada otot dada juga diletakkan di bawah kumpulan ini. Antara punca kepada masalah ini adalah senaman keras atau terlalu berat yang mencederakan struktur tulang, otot atau rawan pada dada. Kebanyakan pesakit yang mengalami masalah ini menyangkakan mereka, mengalami serangan jantung tetapi costochondritis mudah dibezakan dengan sakit jantung atau reflux asid memandangkan kedua-dua keadaan berkenaan tidak menyebabkan kesakitan bertambah jika dada ditekan.

Pesakit selalunya hanya perlu mengambil ubat penahan sakit untuk masalah ini dan akan pulih selepas satu masa tertentu, bergantung kepada punca masalah berkenaan.

* Tekanan pada saraf

Masalah ini berpunca daripada tekanan pada saraf tunjang akibat dihimpit tulang belakang ‘cervical’ yang semakin rapat. Kesakitan yang mulanya dirasakan pada leher boleh beralih ke dada dan boleh berlaku kepada golongan muda ataupun yang berusia. Walaupun jarang berlaku, masalah ini mungkin dihadapi mereka yang mengalami kecederaan teruk pada leher.

Masalah ini boleh dikesan melalui imbasan Sinar-X atau imbasan MRI (Magnetic resonance imaging) ke atas tulang belakang pesakit. Rawatan untuk masalah ini biasanya melibatkan ubat dan fisioterapi tetapi pembedahan mungkin diperlukan untuk pesakit dengan masalah yang lebih serius.

Monday, March 17, 2008

Penyakit kronik ancaman baru

Diramalkan dalam tempoh 10 tahun, 72 peratus kematian akan disebabkan penyakit kritikal seperti kegagalan buah pinggang, kardiovaskular dan diabetes

PENYAKIT kronik tidak berjangkit seperti kardiovaskular, tekanan darah tinggi, diabetes mellitus dan penyakit kronik buah pinggang (CKD) kini mengambil tempat penyakit berjangkit sebagai ancaman utama kepada kesihatan umum dan bajet kesihatan seluruh dunia.

Ketika kematian disebabkan penyakit berjangkit dijangka menurun sebanyak 3 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang, penyakit kronik tidak berjangkit pula dianggarkan meningkat 17 peratus dengan menyebabkan 72 peratus kematian terutama di kalangan mereka yang berumur 30 tahun ke atas.

Contoh, masalah buah pinggang yang sebelum ini tidak mendapat perhatian kini muncul sebagai unsur kritikal dalam usaha pencegahan penyakit. Penyakit itu menjadi komplikasi yang menyebabkan kematian di kalangan pesakit diabetes dan tekanan darah tinggi serta mampu menjadi indikator perkembangan kejadian kardiovaskular.

Ketua Perkhidmatan Nefrologi, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Rozina Ghazalli, berkata masalah dalam fungsi buah pinggang juga menandakan masalah dalam sistem vaskular. Justeru, katanya ia boleh menyumbang kepada pengesanan awal penyakit lebih serius seperti strok, vaskular periferi, masalah jantung koronari dan kegagalan fungsi buah pinggang (ESRF).

“CKD wujud apabila perkumuhan albumin dalam air kencing seseorang individu meningkat. Penurunan fungsi buah pinggang atau kadar filtrasi glomerular (GFR) yang banyak juga menandakan wujudnya penyakit ini,” katanya.

Beliau berkata, ini menyebabkan wujud komplikasi lain seperti tekanan darah tinggi, masalah kurang darah (anemia), penyakit jantung dan masalah salur darah lain.

Di seluruh dunia, katanya terdapat lebih daripada 500 juta individu atau seorang daripada 10 orang populasi menghidap penyakit buah pinggang dalam tahap yang berbeza. Punca utama penyakit buah pinggang adalah masalah nefron atau radang pada buah pinggang, jangkitan, halangan salur kencing serta penyakit keturunan seperti penyakit buah pinggang polisistik.

“Di negara maju dan membangun, puncanya pula dikaitkan dengan diabetes dan tekanan darah tinggi. Penyakit ini juga punca paling biasa penyakit kardiovaskular,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mensasarkan untuk menurunkan kadar kematian disebabkan penyakit kronik sebanyak dua peratus setahun untuk 10 tahun akan datang iaitu bersamaan dengan 36 juta kematian. Justeru, usaha WHO itu harus diselarikan dengan perancangan kesihatan di seluruh dunia.

Satu daripadanya sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia yang dirai bagi menyebarkan mesej CKD adalah masalah kronik yang kerap berlaku, berbahaya tetapi boleh dirawat. Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Hari Buah Pinggang Sedunia 2008, Dr Goh Bak Leong, berkata sambutan tahun ini menggabungkan kerjasama antara Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Persatuan Nefrologi Malaysia.

“Kempen itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai masalah penyakit buah pinggang, kepentingan pengesanan awal dan pencegahan penyakit buah pinggang di kalangan kanak-kanak, selain lapisan masyarakat yang lain.

“Ia membabitkan sesi ceramah umum dan pemeriksaan kesihatan buah pinggang oleh unit bergerak Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan,” katanya.

FAKTA

Penyakit kronik buah pinggang

CKD adalah isu kesihatan global dan dihidapi oleh lebih daripada 500 juta penduduk dunia.
Pengesanan awal CKD boleh dibuat dengan ujian makmal yang mudah atas sampel darah dan air kencing.

Kebanyakan individu yang menghidap penyakit CKD pada tahap awal tidak dapat dikesan terutama di negara membangun.

Pengesanan awal masalah fungsi buah pinggang amat penting kerana ia membolehkan rawatan sesuai diberi sebelum kerosakan buah pinggang atau kewujudan komplikasi lain.

Pemeriksaan buah pinggang harus menjadi keutamaan untuk individu yang mempunyai risiko tinggi seperti pesakit diabetes mellitus dan tekanan darah tinggi, individu obes dan merokok, berusia lebih 50 tahun, individu dengan sejarah keluarga diabetes mellitus, tekanan darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Vaginitis kena jalani ujian makmal



Jangkitan vagina boleh melarat hingga membawa kepada penyakit keradangan pelvis (PID), berpotensi jejaskan kesuburan dan kehamilan luar rahim
JANGKITAN vagina atau dikenali sebagai vaginitis adalah masalah yang biasa dialami wanita, tetapi tidak semua mendapat rawatan yang betul sehingga menyebabkan masalah itu berterusan bertahun-tahun.
Vaginitis adalah radang pada vagina yang menyebabkan lelehan (discharge), kegatalan, rasa sakit selain seperti terbakar ketika hubungan intim.
Selalunya punca vaginitis disebabkan perubahan dalam keseimbangan bakteria normal vagina atau mungkin juga disebabkan jangkitan.

Secara lazimnya, selain jangkitan dan bakteria, ia mungkin disebabkan protozoa dan fungus atau jangkitan campuran atau serentak dengan sekurang-kurangnya dua daripada tiga patogen itu.
Vaginitis juga boleh terjadi apabila tahap estrogen merosot selepas putus haid. Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan dan Perbidanan Fetal, Dr S Raman, berkata dianggarkan seorang dalam setiap lima wanita berjumpa pakar sakit puan kerana masalah vaginitis.
Bagaimanapun, kebanyakan mereka tidak tahu punca jangkitan. "Sungguhpun vaginitis masalah ginekologi yang biasa, ia sukar disahkan kerana terlalu banyak punca yang boleh menyebabkannya.
"Tambahan pula gejala vaginitis agak mengelirukan selain sikap sesetengah doktor yang tidak melakukan diagnosis dengan sempurna seperti mengambil contoh lelehan vaginitis untuk analisis makmal," katanya. Lelehan daripada vagina adalah masalah biasa terutama apabila berlaku perubahan hormon atau pada waktu subur.
Bagaimanapun, apabila jumlahnya banyak, berwarna kelabu, hijau atau seakan keju yang likat, disertai pula rasa pedih dan sakit, ia bukan normal.
Oleh kerana malu, selain vaginitis tidak menyebabkan kematian, ramai wanita hanya mendiamkan diri. Jika vaginitis berpunca daripada bakteria, ia boleh melarat hingga membawa kepada penyakit keradangan pelvis (PID) yang seterusnya berpotensi menjejaskan kesuburan dan menyebabkan kehamilan luar rahim.
Malah, jika puncanya adalah gabungan antara bakteria dan trikomoniasis (bakteria yang berada dalam usus) ia boleh menjejaskan kehamilan hingga menimbulkan masalah kelahiran tidak cukup bulan dan bayi lahir dengan masalah kurang berat badan.

Dr Raman berkata, dari sudut yang lain pula, punca vaginitis tidak boleh ditentukan atau dikenal pasti secara tepat berasaskan gejala atau pemeriksaan fizikal saja. Diagnosis vaginitis katanya, memerlukan pemeriksaan contoh lelehan vagina menggunakan mikroskop.
"Keberkesanan ujian bukan saja berbeza dan sentiasa tepat kerana diagnosis sedemikian mengambil masa dan boleh meningkatkan kos kepada pesakit secara keseluruhan.
Bagi wanita yang mengalaminya akan terus berasa tidak selesa dan ada kalanya jangkitan semakin teruk," katanya Dr Raman berkata, wanita yang mengalami vaginitis boleh menuntut doktor yang merawat mengambil sampel lelehan vaginitis untuk ujian makmal.
Berdasarkan keputusan itu, ubat yang bersesuaian dengan faktor jangkitan akan diberikan. Di pasaran, Bayer Schering Pharma memperkenalkan terapi campuran yang mudah untuk diguna, tidak kira apa jua punca vaginitis atau diagnosisnya.
Gejala dan simptom

Perubahan dalam warna, bau atau jumlah lelehan yang keluar daripada vagina
Vagina seperti terbakar dan gatal
Sakit ketika hubungan intim
Sakit ketika membuang air kecil
Vagina yang mengalami sedikit pendarahan
Punca vaginitis
Bakteria
Ia punca biasa vaginitis di kalangan wanita yang subur untuk melahirkan anak. Biasanya ditandai dengan lelehan vagina yang tidak normal dan berbau hanyir. Malah, baunya lebih kuat selepas hubungan kelamin.
Trikomoniasis
Biasanya ia jangkitan saluran usus. Lelehan vagina berwarna kuning kehijauan atau kelabu secara keterlaluan. Jangkitan trikomoniasis juga menyebabkan ketidakselesaan ketika hubungan intim, kencing, vagina yang berbau, kemaluan rasa gatal dan pedih selain sakit pada bahagian bawah abdomen.
Jangkitan yis
Vaginitis yang berpunca daripada yis sukar didiagnosis kerana biasanya ia tidak memperlihatkan banyak tanda dan gejala. Ini menyebabkan vagina rasa gatal, pedih dan sakit. Jangkitan yis menyebabkan sakit ketika kencing dan hubungan intim selain lelehannya berwarna putih bercampur kelabu seperti keju (berair dan pekat).


Wednesday, March 12, 2008

Sindrom Kawasaki boleh bawa maut


Pesakit kanak-kanak berhadapan komplikasi serius jejaskan jantung

MEMANG perkara biasa jika seseorang kanak-kanak itu diserang demam. Bagaimanapun, jika demam itu diikuti dengan ruam kulit, mata merah dengan lidah membengkak atau kelenjar di leher yang turut membengkak, mungkin anak anda berhadapan dengan Sindrom Kawasaki.
Justeru, jangan berlengah untuk membawanya berjumpa doktor. Sindrom Kawasaki merujuk pada sejenis penyakit yang menyebabkan radang pada salur darah, biasanya pada jantung. Sindrom Kawasaki adalah punca utama masalah jantung bukan konjenital di negara maju. Contohnya di Amerika, sekitar 19 orang daripada 100,000 kanak-kanak berhadapan dengan sindrom ini.

Walaupun ia lebih kerap ditemui di kalangan kanak-kanak yang berasal dari keturunan Jepun dan Korea, Sindrom Kawasaki boleh juga menjejaskan kanak-kanak keturunan lain. Pakar Perunding Kanak-Kanak dan Kardiologi, Pusat Perubatan Pantai, Dr Azam Mohd Noor, berkata di Malaysia,

Sindrom Kawasaki menunjukkan peningkatan, satu daripadanya mungkin disebabkan pengetahuan mengenainya sudah meluas di kalangan doktor.
“Sindrom Kawasaki biasanya membabitkan kulit, mulut dan kelenjar limfa.

Biasanya ia menyerang kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah. Sebenarnya, jika simptom Kawasaki cepat dikesan, pesakit boleh pulih sepenuhnya dalam masa beberapa hari. Jika sebaliknya, ia mungkin membawa komplikasi serius yang menjejaskan jantung,” katanya. Sindrom Kawasaki buat pertama kalinya dikesan pada 1960 di Jepun oleh pakar kanak-kanak, Tomikasu Kawasaki.

Awalnya ia dikenali sebagai sindrom kelenjar dan kulit (mucocutaneous lymph node syndrome) sebelum dinamakan sebagai Sindrom Kawasaki. Ketika mula dikenali, Sindrom Kawasaki tidak dianggap sebagai penyakit yang berbahaya.

Bagaimanapun, selepas sebilangan pesakit di Jepun yang dianggap sudah pulih sepenuhnya meninggal dunia, ia mula mencetuskan tanda tanya. Katanya, daripada bedah siasat, didapati pesakit mengalami radang atau bengkak selain salur darah yang tersumbat.

Dr Azam berkata, sehingga kini ada 25 peratus kanak-kanak yang didiagnos dengan Sindrom Kawasaki. Jika mereka tidak dirawat, risiko berhadapan dengan masalah salur darah membengkak dan tersumbat amat tinggi. “Walaupun sindrom Kawasaki dikesan pada 1960, punca sebenar sindrom ini tidak diketahui. Ada bukti yang mengaitkan sindrom ini dengan jangkitan kuman atau virus. Bagaimanapun, ada juga bukti yang menunjukkan penyakit ini disebabkan oleh reaksi imun yang tidak terkawal,” katanya Lebih menyukarkan, tidak ada satu ujian pun yang boleh dilakukan bagi mengenal pasti Sindrom Kawasaki. Diagnos dibuat berdasarkan kriteria simptom yang ada pada pesakit.

Kriteri utama adalah demam sekurang-kurangnya lima hari dengan empat simptom dikesan daripada lima yang berikut, iaitu bengkak pada tangan dan kaki, ruam, radang pada mata, kelenjar membengkak dan bibir merah luar biasa.

“Masalah utama sindrom Kawasaki adalah komplikasi jantung. Malah, ia adalah punca utama kematian. Ini kerana jantung mungkin boleh mengalami keradangan secara menyeluruh,” katanya. Komplikasi Sindrom Kawasaki Pesakit Sindrom Kawasaki boleh berhadapan dengan komplikasi penyakit lain terutama masalah jantung. Bagaimanapun, masalah jantung mudah dikenali pasti dengan melakukan imbasan pada jantung (echocardiography).

“Apa yang berlaku ialah salur darah ke jantung akan membengkak sehingga lapan milimeter (mm). Keadaan itu dinamakan “giant aneurysm” (pembesaran arteri secara berlebihan),” katanya.

Dr Azam berkata, jika ini berlaku ada kemungkinan salur darah tersumbat dan ia adalah komplikasi jangka masa lama. Salur darah yang bengkak disebabkan radang boleh mengalami proses penyempitan sekali gus menyebabkan ‘ischemia’ kepada jantung iaitu darah ke otot jantung tidak mencukupi dan menyebabkan kecederaan otot jantung. “

Selain masalah salur darah jantung, radang juga boleh menyebabkan injap jantung tidak berfungsi dengan baik dan kadangkala menyebabkan keradangan di keseluruhan jantung disebabkan takungan air di sekeliling jantung,” katanya.

Walaupun masalah jantung antara komplikasi Sindrom Kawasaki, pesakit mungkin juga berhadapan dengan komplikasi lain seperti hepatitis, radang selaput otak dan pundi hempedu bengkak.

Rawatan Rawatan utama untuk Sindrom Kawasaki adalah dengan menggunakan immunoglobulin yang diberikan secara suntikan (intravenous). Dengan immunoglobulin, bengkak salur jantung akan berkurangan, terutama jika ia diberikan dalam tempoh 10 hari pertama.

“Selain itu, penggunaan aspirin juga dapat mengurangkan kadar keradangan pada jantung. Selepas penggunaan aspirin pada dos yang tinggi untuk mengurangkan radang, aspirin pada dos yang rendah boleh digunakan sebagai ejen pencair darah. Ia boleh mengelakkan pembekuan darah (thrombus),” katanya.

Walaupun pulih, kanak-kanak yang pernah mengalami Sindrom Kawasaki memiliki risiko tambahan untuk mengalami masalah koronari jantung apabila dewasa.

INFO: Simptom sindrom Kawasaki

Demam
Ruam pada kulit
Mata merah (conjunctivitis)
Bibir dan lidah kelihatan merah serta bengkak
Bengkak kelenjar terutama pada leher
Sendi bengkak atau bengkak di kawasan tangan dan kaki

Belon atasi saluran darah tersumbat


Teknologi unik dan terbaru membolehkan penyampaian ubat terus ke dinding salur darah untuk rawatan yang lebih berkesan

SELAMA ini pakar perubatan menggunakan stent (alat gantian yang dimasukkan ke dalam salur darah yang tersumbat) untuk melancarkan aliran darah pada saluran darah yang tersumbat terutama bagi penyakit jantung.

Bagaimanapun, penggunaan alat itu tidak mengatasi sepenuhnya masalah saluran darah tersumbat kerana berlaku beberapa komplikasi antaranya saluran darah itu tersumbat semula.

Kini, teknologi terbaru dalam dunia perubatan kardiologi menyaksikan penemuan kaedah rawatan yang sama konsepnya dengan stent membebaskan ubat (DES) tetapi berbentuk gabungan belon koronari (belon halus yang dimasukkan dengan bantuan kateter dalam salur darah yang tersekat. Belon ini bertindak dengan menekan plak ke dinding salur darah sekali gus membuka laluan) dengan polimer mudah serap.

Ketua Jabatan Kardiologi dan Perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad, berkata, teknologi unik dan terbaru ini membolehkan penyampaian ubat terus ke bahagian luka untuk rawatan yang lebih berkesan. Beliau berkata, belon membebaskan ubat (DEB) bertindak dengan masuk ke dalam salur darah yang tersumbat dan membuka laluan sebelum keluar semula.
"Selepas dimasukkan ke tubuh pesakit sama ada menerusi salur darah di tangan atau pangkal paha, ia akan membebaskan ubat yang dibawa pada arteri yang dirawat sebelum dikeluarkan semula,"

"Jika arteri yang tersumbat lebih dari satu, DEB yang akan dimasukkan boleh dilakukan serentak pada satu masa bergantung kepada keadaan pesakit," katanya sambil menjelaskan DEB bertindak sebagai ejen penghantar ubat menggunakan belon kateter.

DEB yang konsepnya sama seperti DES, tetapi tidak berada dalam tubuh pesakit dilancarkan di Malaysia, baru-baru ini, dikenali sebagai 'SeQuent Please' di bawah jenama B Braun. Prof Wan Azman berkata, belon koronari bukan saja membuka laluan kepada salur darah yang tersumbat malah berupaya mencegah sel baru tumbuh dan mensasar terus ke dinding salur darah.

Kelebihan DEB tentu saja untuk mengurangkan durasi terapi antiplatelet selain boleh digunakan sebagai satu rawatan atau digabungkan dengan stent metal (BMS).

Dalam satu kajian berperingkat yang dilakukan Institut Klinikal, Pusat Kardiologi di Jerman, sebahagian pesakit yang dirawat dengan belon membebaskan ubat memberi tindak balas yang positif. Kajian membabitkan 120 pesakit yang dinamakan PEPCAD (Paclitaxel eluting PTCA-balloon catheter in CAD) itu diketuai Dr Martin Unverdorben.

Kajian itu mendapati selepas enam bulan, pesakit yang dirawat dengan belon membebaskan ubat (DEB) menunjukkan 5.5 peratus kadar restenosis, berbanding keputusan penggunaan DES seperti yang dilaporkan sebelum ini iaitu 31.2 peratus. Untuk komplikasi kardiak yang lain seperti serangan jantung dan kematian di kalangan pengguna DEB adalah enam peratus manakala 18.9 peratus bagi pengguna DES.

Dalam kajian PEPCAD kedua pula pesakit yang dirawat dengan DEB hanya mengalami 3.7 peratus kadar retenosis dan 4.8 peratus MACE manakala bagi pesakit yang dirawat dengan DES adalah 20 peratus retenosis dan 22 peratus MACE.

Prof Wan Azman berkata, kajian PEPCAD keempat sedang dijalankan ke atas pesakit jantung koronari yang juga penghidap diabetes di Malaysia dan Thailand. "

Ada empat hospital di Malaysia yang terbabit dalam kajian ini iaitu PPUM, Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Umum Sarawak dan Hospital Pulau Pinang manakala dua lagi hospital di Thailand," katanya.

Kelemahan penggunaan stent Walaupun stent dan angioplasti adalah antara pilihan popular menangani masalah arteri tersumbat atau sempit, pesakit yang menggunakannya berhadapan pula dengan komplikasi terlalu banyak tisu tumbuh di sekitar stent. Arteri yang dirawat tersumbat semula dikenali sebagai 'restenosis'.

Bagaimanapun, restenosis boleh diatasi dengan stent membebaskan ubat (drug-eluting stent (DES), yang berfungsi memulihkan pengaliran darah dan menghalang terlalu banyak tisu tumbuh. Walaupun stent membebaskan ubat terbukti berkesan untuk menurunkan kadar restenosis dan keperluan untuk rawatan lanjut, pesakit berhadapan pula dengan risiko pengumpulan darah di dalam salur darah (thrombus) yang dirawat.

Senario thrombus itu pula biasanya dikesan pada tahap yang lewat. Prof Dr Wan Azman berkata, keadaan ini berlaku kerana jenis salutan polimer (bahan plastik yang mengandungi ubat pada permukaan stent) yang digunakan untuk penyakit jantung.

Sepintas lalu mengenai penyakit koronari arteri (CAD) Ketua Jabatan Kardiologi Hospital Umum Sarawak dan Profesor Jemputan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Dr Sim Kui Hian, berkata walaupun CAD sering dikaitkan dengan golongan berusia sebelum ini, tetapi keadaan itu sudah banyak berubah.

Beliau berkata, dalam kajian yang dijalankannya, pesakit paling muda yang pernah dirawat berusia 23 tahun.

"CAD adalah pembunuh utama di dunia dengan 16.7 juta kematian setiap tahun dan hampir 80 peratus mangsa adalah dari negara berpendapatan rendah dan sederhana," katanya.

CAD menjelaskan keadaan plak yang terbina di dalam arteri dan menyempitkannya. Keadaan ini menyebabkan jumlah darah yang dibekalkan ke jantung berkurangan selain boleh menyebabkan darah beku terkumpul dalam arteri.

"Plak seperti yang diketahui adalah gabungan lemak, kolesterol, kalsium dan bahan lain yang boleh ditemui dalam darah," katanya. Walaupun lelaki kerap dikaitkan dengan CAD, wanita selepas putus haid juga berisiko diserang penyakit itu dan jumlahnya menyamai bilangan pesakit lelaki. Statistik kematian di hospital kerajaan seluruh

Malaysia menyaksikan pada 2006, 15.5 peratus wanita meninggal dunia disebabkan sakit jantung manakala 9.9 peratus disebabkan strok. Angka ini tidak jauh beza dengan statistik tahun sebelum itu iaitu 14.9 peratus meninggal dunia kerana sakit jantung manakala 9.8 peratus disebabkan strok. Prof Dr Sim berkata, di kalangan lelaki, antara punca utama CAD tentu saja merokok dan 84 peratus daripada 1.4 bilion perokok datang dari negara membangun. "Selain merokok terdapat banyak lagi faktor risiko CAD.

Dianggarkan 11.6 juta orang dewasa berusia 25 hingga 64 tahun berhadapan sekurang-kurangnya satu risiko sakit kronik (diet, tidak bersenam, obesiti, tekanan darah tinggi).

"Hanya tiga peratus saja daripada orang dewasa di Malaysia yang tidak memiliki faktor risiko itu," katanya.

Prof Dr Sim berkata, CAD juga dikaitkan dengan gaya hidup tidak sihat. Malah, tahun lalu, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek pernah mengeluarkan kenyataan kerajaan membelanjakan RM900 juta bagi membekalkan ubat-ubatan di seluruh hospital kerajaan bagi menangani penyakit berkaitan gaya hidup.

InfoFaktor risiko CAD

Tahap kolesterol dalam darah (tahap kolesterol jahat yang tinggi dan tahap kolesterol baik yang rendah)
Tekanan darah tinggi
Merokok
Masalah penolakan insulin
Diabetes
Obesiti
Tidak bersenam
Usia lanjut
Sejarah keluarga

Monday, March 3, 2008

Pelbagai kanser tulang

Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah AlamKANSER (barah) tulang utama (primary) boleh berlaku di mana-mana bahagian tulang, tulang rawan dan dari bahagian tisu fiber.

Kanser tulang jenis kedua (secondary) pula adalah sebahagian besar kanser tulang yang berasal daripada bahagian lain badan selain tulang akibat penyebaran sel kanser (metastatik).
Kanser tulang metastasik boleh berasal daripada bahagian badan lain, kebanyakannya berasal daripada prostat, payudara, paru-paru, buah pinggang, usus besar dan kelenjar tiroid. Selalunya punca kanser tulang terjadi adalah tidak diketahui. Kadangkala, kanser tulang juga mungkin berkaitan dengan radiasi berion (ionizing radiation).

Antara faktor-faktor lain yang boleh menggalakkan kejadian kanser tulang adalah:

* Penyakit Paget
* Fibrous dysplasia
* Retinoblastoma (genetik)
* Sindrom tertentu seperti penyakit Gardner dan penyakit Ollier

Kanser tulang primary

Kira-kira 40 peratus kanser tulang jenis ini adalah berbahaya (malignan) sementara 60 peratus lagi tidak berbahaya (benign). Contoh kanser tulang primary yang benign adalah seperti osteochondroma, sel tumor gergasi, chondroma dan osteoid osteoma. Contoh kanser tulang yang berasal dari tisu fiber pula adalah sista (cyst) tulang ringkas, sista tulang aneurysmal dan fibrous dysplasia.

Kanser tulang primary yang malignan pula terdiri daripada osteosarcoma, chondrosarcoma, Ewing‘s tumour dan malignant fibrous histiocytoma. Kanser tulang primary selalunya berlaku pada pesakit yang muda, terutamanya antara umur 10 hingga 25 tahun dengan lebih kurang 80 peratus berlaku di bahagian sendi lutut.

Kanser tulang primary malignan jarang berlaku dan hanya merangkumi kurang satu peratus daripada semua kematian yang melibatkan kanser yang malignan. Punca terjadinya kanser tulang malignan tidak diketahui tetapi kanser tulang benign kadangkala boleh menjadi malignan.

Primary, benign

Osteochondroma

Kanser tulang jenis ini berasal dari bahagian tulang rawan dan boleh tumbuh hanya satu atau banyak secara serentak (juga dikenali sebagai penyakit Ollier atau exostoses). Selalunya benign, kanser tulang ini boleh berlaku pada sebarang usia, kebanyakannya pada usia muda. Ia boleh tumbuh kecil dan kemudian saiznya semakin besar, selalunya berada pada sisi sendi dan tidak sakit. Sekiranya saiznya semakin besar, kesakitannya juga mungkin bertambah dan bilangannya menjadi banyak serta kemungkinan besar akan menjadi malignan. Gambar X-ray akan menunjukkan ‘stippled calcification’ pada bahagian yang terlibat.

Osteoid osteoma

Kanser tulang jenis ini merangkumi 10 peratus bilangan kanser tulang yang benign. Kanser ini selalunya berlaku antara umur 10 hingga 20 tahun, dan jarang berlaku pada mereka berumut lebih 30 tahun. Kanser jenis ini juga lebih kerap berlaku pada lelaki dengan nisbah 3:1 berbanding golongan wanita. Selalunya 28 peratus ketumbuhan kerap berlaku pada tulang paha (femur), tibia (25 peratus), tulang belakang (10 peratus) dan humerus (tulang lengan atas).
Pesakit akan mengalami kesakitan dan bengkak pada tulang yang terlibat, selalunya semakin teruk pada sebelah malam tetapi rasa sakit boleh menjadi reda dengan mengambil ubat tahan sakit. Radiograf pada tulang yang terlibat selalunya menunjukkan ‘radiolucent lesion’ yang berbentuk bulat (nidus), berukuran satu sentimeter dan dikelilingi kawasan dikenali ‘dense sclerosis’.

Sista tulang ringkas

Sista jenis ini kerap terjadi pada bahagian metaphysis tulang humerus atau tulang paha tetapi sebab ia terjadi masih tidak diketahui.
Imbasan X-ray akan menunjukkan kawasan radiolucent di bahagian yang berlakunya tumor dan pesakit selalunya hadir dengan rasa sakit pada tulang yang terlibat atau sakit yang teruk akibat tulang tersebut patah.

Sista tulang aneurysmal

Sista jenis ini boleh berlaku pada mana-mana tulang, selalunya berlaku pada bahagian metaphysis tulang panjang dan tulang belakang. Gambar X-ray akan menunjukkan kawasan ‘eccentric’, ‘expansile’ atau ‘lytic’ ‘lesion’ yang menyebabkan tulang bengkak dan bahagian korteks menjadi tipis. Bahagian sistanya pula dibahagikan kepada beberapa ruangan yang mengandungi darah.

Fibrous dysplasia

Kanser tulang jenis ini boleh melibatkan satu atau beberapa tulang. Bahagian tulang yang terlibat biasanya digantikan dengan fibrous stroma yang mengandungi tulang yang metaplastik. Gambar X-ray selalunya menunjukkan gambaran seperti bebola dan jalur.

Sel tumor gergasi

Kanser tulang jenis ini selalunya benign, merangkumi lima peratus daripada semua jenis kanser tulang. Ia kerap berlaku pada golongan berumur 30-an, pada bahagian hujung tulang femur, pangkal tulang tibia, pangkal tulang humerus dan hujung tulang radius. Pesakit akan mengalami rasa sakit dan bengkak pada bahagian yang terlibat atau pesakit mudah mengalami patah tulang. Kanser ini juga mampu berubah menjadi kanser tulang yang malignan. Radiograf selalunya menunjukkan ‘lytic lesion’ yang semakin merebak pada bahagian terlibat.
Primary, malignan

Osteosarcoma

Kanser tulang jenis ini kerap berlaku, meliputi 20 peratus daripada semua kanser tulang. Ia boleh berlaku pada semua peringkat umur selalunya antara umur 10 hingga 25 tahun dan lebih kerap berlaku kepada lelaki. Kanser ini sering ditemui di bahagian sendi lutut (40 peratus), bahagian pangkal tulang humerus (lapan peratus) dan pangkal tulang femur (tujuh peratus). Pesakit akan mengalami rasa sakit dan bengkak pada bahagian tulang yang terlibat dan rasa sakit serta bengkak ini boleh berlaku dan berubah dengan cepat. Sekiranya ia berlaku dekat dengan sendi, maka pergerakan pesakit juga akan terganggu.

Gambar X-ray akan menunjukkan ‘sclerotic intramedullary lesion’ pada bahagian terbabit yang membengkak dan kebanyakannya memusnahkan struktur tulang.

Chondrosarcoma

Kanser tulang jenis ini merupakan jenis malignan yang kedua paling banyak berlaku selepas osteosarcoma dan ianya boleh menjadi agresif. Kanser ini boleh berlaku pada semua peringkat umur, selalunya antara 30 hingga 55 tahun. Bahagian yang paling kerap terjadinya kanser ini adalah tulang pelvis (30 peratus), bahagian pangkal femur (15 peratus), tulang rusuk (11 peratus), bahagian sendi bahu dan juga sendi lutut. Pesakit akan mengalami kesakitan dan bengkak di bahagian yang terlibat sementara gambar X-ray akan menunjukkan kawasan yang berlobus (lobulated) dan yang berbeza ketumpatannya. Ia boleh menyebabkan tulang membengkak dan memusnahkan struktur tulang.

Ewing‘s sarcoma

Kanser tulang jenis ini jarang berlaku dan hanya merangkumi lima peratus kanser tulang yang malignan. Ia paling kerap berlaku pada kanak-kanak biasanya antara umur lima hingga 20 tahun, selalunya pada tulang pelvis, tulang kaki, sendi bahu dan tulang rusuk. Pesakit akan mengalami kesakitan, bengkak dan juga demam sementara gambar X-ray akan menunjukkan kawasan dikenali ‘moth-eaten lesion’.

Malignant fibrous histiocytoma

Kanser jenis juga jarang berlaku dan lebih cenderung menyerang golongan dewasa berbanding kanak-kanak. Ia biasanya terjadi pada tulang femur, tibia dan humerus.
Diagnosis

1) Radiografi

-X-ray adalah paling utama, digunakan untuk menentukan bahagian tulang yang terlibat, sama ada satu tulang sahaja atau banyak. Ciri-ciri yang terdapat pada X-ray boleh menentukan jenis kanser tulang (primary atau metastatik, benign atau malignan) pada bahagian yang terlibat.

2) Imbasan tulang

-Untuk menentukan keadaan (extension) kanser tulang tersebut, sama ada satu atau banyak, atau berada di bahagian tulang yang lain.

3) Imbasan CAT (computerized axial tomography) atau MRI (magnetic resonance imaging)

* Imbasan CAT untuk menentukan sama ada bahagian kanser tulang melibatkan bahagian ‘cortical’ tulang, menentukan sejauh mana kanser tersebut berlaku dan menentukan sama ada tulang yang terlibat patah atau tidak.

* MRI boleh menentukan kawasan tisu yang terlibat sama ada melibatkan kawasan ‘intra-medullary’ dan juga kawasan yang mengalami pembengkakan.

4) Biopsi

* Biopsi boleh dilakukan, biasanya untuk kanser tulang yang malignant. Biopsi dilakukan bagi mendapatkan sebahagian tisu dari bahagian tulang yang terlibat dan diperlukan untuk doktor membuat diagnosis yang tepat supaya rawatan sewajarnya dapat diberikan.

Setelah imbasan CAT atau MRI dan juga biopsi bahagian tulang terlibat dijalankan, pengelasan kanser tulang dapat dilakukan dan rawatan bersesuaian dapat diberikan.

Rawatan

1. Pembedahan meruapakan cara rawatan paling berkesan untuk sebahagian kanser tulang primary yang benign. Sista tulang pula memerlukan rawatan ‘curretage’ dan graf tulang (bone grafting).

Bagi kanser tulang yang berasal dari tulang rawan seperti osteochondroma, ketumbuhan berkenaan perlu dibuang melalui pembedahan dengan tujuan untuk mengelakkan tulang patah, mengurangkan kesakitan dan mengelakkan dari menjadi malignant kelak.

Kanser tulang jenis osteoid osteoma juga memerlukan rawatan secara pembedahan untuk membuang bahagian ‘nidus’ untuk mengurangkan bahagian yang mengalami kesakitan.

Kanser sel tumor gergasi (giant cell tumour) pula memerlukan rawatan yang lebih agresif.

Rawatan pembedahan seperti ‘curettage and bone grafting’ biasa dilakukan, tetapi terdapat 60 peratus kemungkinan ia boleh berulang. Kaedah radical curettage boleh mengurangkan peratusan kanser ini berulang sehingga serendah 15 - 20 peratus sahaja. Selain itu, pemotongan bahagian yang terjejas (amputasi) atau pemotongan dan pembentukan semula tulang juga boleh dilakukan.

2. Rawatan untuk kanser tulang primary yang malignant adalah lebih rumit serta sukar dan memerlukan penyiasatan rapi dan biopsi dilakukan. ‘Surgical staging’ diperlukan bagi menentukan cara rawatan yang terbaik.

* Pembedahan (amputasi atau ‘limb salvage’) adalah bergantung kepada pengelasan (surgical staging) bahagian kanser tulang yang terlibat.

* Pembentukan semula bagi menggantikan bahagian tulang yang dibuang (diaphyseal defect) boleh dibuat dengan graf tulang (autograft atau allograft). Bahagian tiruan (custom-made prosthesis) boleh juga digunakan untuk menggantikan bahagian kanser tulang yang telah dibuang.

* rawatan lain seperti radioterapi dan kemoterapi sering dilakukan untuk sebahagian besar kanser tulang yang malignan. Kemoterapi juga menjadi rawatan sampingan moden utama untuk osteosarcoma.

Berbicara dengan bunga kendurkan tekanan mental

PADA minggu ini, saya ingin memperkatakan kebaikan berbicara dengan bunga-bungaan secara lebih lanjut lagi, susulan artikel saya yang sebelum ini yang memperkatakan mengenai keberkesanan teknik yang digunakan oleh datuk saya iaitu berbicara dengan bunga-bungaan. Berdasarkan asas yang lebih saintifik, ahli sains pertanian mendapati seperti juga tubuh manusia, pokok juga menghasilkan hormon tertentu yang membantu pokok berbunga dan berbuah. Selain itu, pokok juga boleh menjadi terapi untuk menangani tekanan mental. Caranya ialah kita berbicara dengan bunga-bungaan dan waktu terbaik untuk menjalani terapi itu ialah pada waktu pagi sebelum embun tersejat.
Andaikan semalam anda menghadapi suatu hari kerja yang mengecewakan dan memerlukan perangsang untuk menghadapi hari yang baru. Sambil anda keluar daripada pintu pagar, tidak kiralah untuk menaiki kereta anda atau kaedah pengangkutan lain untuk kerja, ambillah 20 saat untuk berbicara dengan bunga-bungaan anda. Tidak perlulah rahsia yang menggegarkan bumi didedahkan. Itu bukan tujuan latihan ini, hargailah kesegaran bunga itu dengan embun yang membelai kelopaknya. Berilah salam selamat pagi kepadanya seperti yang anda akan berikan kepada seseorang. Beritahu bunga itu bahawa ia kelihatan cantik sekali. Sentuhlah kelopak dan daun itu, rasa betapa lembutnya kelopak bunga dan sejuknya embun pagi. Cuba lakukannya dan anda akan terpegun dengan kesan menenangkan serta-merta yang diberikannya walaupun pada ketika perasaan anda sangat terganggu. Tidak perlu anda merasionalkan kesan itu, terima sahajalah bahawa ia berkesan. Jadikannya satu tabiat harian dan anda akan melihat hasil yang memanfaatkan tidak lama lagi.
Tahukah anda bahawa bunga-bungaan, tumbuh-tumbuhan dan pokok yang hidup juga mempunyai perasaan seperti juga manusia? Bahawa mereka juga peka kepada persekitaran dan orang yang menjaga mereka? Apabila anda berbicara dengan bunga-bungaan, bayangkanlah apa yang akan mereka katakan jika anda dapat mendengar percakapan mereka. Ingat juga kesan “bebola getah” dan lihatlah bagaimana kesan itu terpakai dalam konteks ini. Bunga-bungaan, tumbuh-tumbuhan dan pokok melambangkan kecantikan dan harmoni. Saya benar-benar percaya jika kita dapat mendengar mereka, jawapan mereka pastinya kata-kata yang menenangkan hati. Pencinta orkid bersetuju dengan saya. Ramai yang menceritakan bagaimana kekerapan berbicara dengan tumbuh-tumbuhan, ia akan lebih sihat dan kerap berbunga daripada tumbuh-tumbuhan lain. Pekebun sayur yang saya lawati di kawasan pergunungan memberitahu saya yang mereka tidak ketinggalan untuk berbicara dengan tanaman mereka yang mana terapi itu menggalakkannya “tumbuh dengan subur”. Saya juga diberitahu bahawa terdapat pekebun yang bersedia menanam tanaman korban bersebelahan dengan tanaman sebenar untuk dimakan oleh haiwan dan serangga perosak demi menyelamatkan tanaman sebenar itu. Bukannya sukar untuk hidup berharmoni dengan alam semula jadi. Hakikatnya banyak manfaat yang dapat dikecapi manusia sekiranya mereka dapat belajar berbicara dan mendengar nasihat bunga-bungaan, tumbuh-tumbuhan dan pokok.
Saya sedar sepenuhnya bahawa semua ini sukar disokong secara saintifik tetapi beberapa tahun yang lalu, saya terjumpa satu makalah mengenai kajian makmal ke atas tumbuh-tumbuhan hidup yang sudah dijalankan di Amerika Syarikat. Kajian itu membabitkan peletakan tumbuhan hidup berhampiran dengan suatu bikar air mendidih. Kemudian elektrod dipasang kepada tumbuhan itu untuk mengesan sebarang perubahan dalam apa yang dikatakan sebagai “kegiatan” atau “perasaannya”nya. Pada mulanya tidak ada perubahan dikesan. Selepas itu ahli sains meletakkan udang hidup ke dalam bikar air mendidih, yang membunuh udang itu dengan serta-merta. Tumbuhan itu, seolah-olah benar-benar dapat rasa kesakitan dan betapa seksanya udang yang malang itu, serta-merta menunjukkan tindakan balas yang menghasilkan garisan memuncak di atas graf. Setelah ujian itu dihentikan, garisan itu kembali mendatar semula, pada saya tidak ada gambaran yang lebih jelas bahawa tumbuh-tumbuhan mempunyai perasaan dan berupaya menunjukkan empati atas kesengsaraan orang lain

Ramai wanita alami hilang kawalan pundi kencing



KEHAMILAN antara faktor hilang kawalan pundi kencing


Kerap angkat benda berat, lahirkan anak atau sudah putus haid berisiko alami masalah urine incontinence

HILANG kawalan pada pundi kencing adalah masalah biasa dialami wanita. Bukan saja wanita yang sudah putus haid atau melahirkan anak, ada kalanya masalah ini turut dialami wanita muda yang belum berkahwin. Masalah hilang kawalan pada pundi kencing atau disebut sebagai urine incontinence (UI) memang memalukan dan ada kalanya menyusahkan.

Walaupun UI dialami ramai wanita, masalah ini masih sukar ditangani sepenuhnya kerana wanita selalunya malu untuk berjumpa doktor.

Selain kerap dirujuk kepada doktor urologi yang kebanyakannya lelaki, mereka yang mengalaminya juga berasakan UI masalah kecil malah ada yang beranggapan ia perkara wajib dalam 'senarai' proses penuaan.

Malangnya, andaian itu tidak benar Pakar Perunding Perbidanan dan Uroginekologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Seri Suniza Sufian, berkata UI terbahagi kepada tiga jenis, iaitu tekanan (stress incontinence), terdesak (urge incontinence) dan pundi kencing yang terlalu aktif (over active bladder).

"Walaupun nampak remeh tetapi ia adalah masalah besar terutama bagi wanita Islam kerana menyukarkan mereka untuk bersembahyang, apatah lagi jika terkucil setiap kali ketawa atau bersin," katanya.

Dr Seri Suniza berkata, wanita yang kerap mengangkat benda-benda berat, melahirkan anak atau putus haid, lebih berisiko mengalami UI.

"Jumlah wanita yang mengalami UI juga adalah dua kali ganda lebih ramai daripada lelaki terutama wanita berusia. "Lelaki yang mengalami UI pula adalah lelaki yang bermasalah dengan kelenjar prostat," katanya. Beliau berkata, UI terjadi kerana otot pelvis dan saraf yang membantu menahan atau melepaskan air kencing terganggu. Biasanya otot itu mengendur.

Dr Seri Suniza berkata, selalunya UI bermula dengan kekerapan membuang air kecil dalam sehari. "Biasanya, kebanyakan kita membuang air kecil lapan kali sehari. Bagi mereka yang mengalami UI, kekerapan membuang air kecil adalah dalam tempoh 35 hingga 40 minit sekali. Walaupun UI jarang dikaitkan dengan penyakit kronik, tetapi ia memalukan," katanya.

Jenis-Jenis UI

a) Tekanan (stress incontinence) Terjadi apabila bersin, ketawa, batuk, berjoging atau perkara-perkara lain yang meletakkan pundi kencing dalam keadaan tertekan. Ia adalah masalah hilang kawalan pundi kencing yang paling biasa dialami wanita.

b) Terdesak (urge incontinence) Selalunya anda akan berasa terlalu ingin membuang air kecil hingga menyebabkan anda terkencing sebelum sempat sampai ke tandas.

Dalam keadaan ini, otot pundi kencing mengecut dan hanya memberi anda isyarat hendak kencing beberapa saat atau minit saja. Dalam kes seperti ini, anda juga kerap kencing. Pada waktu malam, rasa ingin kencing itu juga menyebabkan anda terjaga daripada tidur beberapa kali. Ada juga mereka yang berasa terlalu ingin kencing walaupun hanya meminum sedikit air. Kadangkala ia juga disebabkan oleh jangkitan salur kencing selain masalah pada usus atau sistem saraf yang dikaitkan dengan penyakit lain seperti parkinson atau sclerosis pelbagai (MS).


c) Pundi kencing terlalu aktif Kategori ini terdiri daripada beberapa lagi jenis UI antaranya kencing yang kerap dan banyak (overflow) dan kekerapan bangun malam untuk membuang air kecil (nocturia incontinence).

Selalunya, masalah ini disebabkan saraf menghantar isyarat kepada pundi kencing pada masa yang salah. Ini menyebabkan otot mengecut tanpa amaran.

Punca UI

UI bukan penyakit tetapi simptom. Ia menandakan masalah lain tetapi boleh dipulihkan. Selain masalah jangkitan pada salur kencing dan sembelit, UI juga boleh disebabkan gaya hidup seperti pengambilan minuman beralkohol, berkafein, pengambilan ubat-ubatan dan kecederaan.

Selain itu, UI juga boleh disebabkan oleh kehamilan dan melahirkan anak.

Rawatan

Tidak semestinya setiap masalah UI perlu ditangani dengan pembedahan, sebaliknya memantapkan otot pelvis dengan membuatkan fisioterapi dan mengambil ubat-ubatan adalah pilihan utama. Secara umum ada beberapa cara rawatan selain pembedahan.

a) Perubahan gaya hidup

Elakkan mengambil minuman berkafein seperti kopi dan minuman berkarbonat selain kurangkan meminum air jika anda mengambil air terlalu banyak dalam sehari.

b) Senaman lantai pelvis

Di kalangan orang Melayu, senaman kemut memang cukup dikenali sebagai rawatan otot lantai pelvis yang kendur. Senaman ini akan membantu menguatkan otot pelvis dan mengawal pundi kencing.

c) Latihan pundi kencing

Melewatkan kencing selepas rasa terdesak untuk berbuat demikian. Mulakan dengan cuba menahan 10 minit setiap kali terasa desakan untuk kencing. Tujuan bagi memanjangkan selang masa setiap kali anda ke tandas untuk dua hingga empat jam.