Thursday, February 28, 2008

Ancaman berbeza, sama bahayanya

BILANGAN tinggi pesakit kanser pangkal rahim (kiri) dan kanser ovari (kanan) yang berjumpa doktor pada peringkat akhir penyakit berkenaan amat membimbangkan berbanding kanser payudara yang lebih mudah dikesan pada peringkat awal.
KANSER, tumor, ketumbuhan atau sista (cyst). Perkataan-perkataan ini sahaja sudah cukup untuk menakutkan sesiapa sahaja yang berjumpa doktor akibat masalah kesihatan yang pada awalnya disangka hanya perkara kecil.

Ketumbuhan kanser boleh menjadi bahaya (malignan) atau tidak (benign) tetapi kedua- duanya tetap mampu mengganggu dan mengancam fungsi badan. Ketumbuhan yang tidak bahaya kebiasaannya tidak merebak ke bahagian lain badan sementara ketumbuhan malignan pula akan merebak, menakluk dan merosakkan organ atau bahagian lain badan pesakit.

Perbezaannya hanya pada bahaya yang dibawa kanser pada organ tertentu dan kekerapan kanser berkenaan berlaku di dalam kelompok masyarakat.

*Pembunuh utama

Pakar Sakit Puan & Perbidanan, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. S. Silvam menyatakan beberapa kanser khusus pada wanita membawa ancaman tersembunyi.
“Semua jenis kanser berbahaya namun beberapa kanser yang banyak menyerang wanita membawa bentuk ancaman berbeza.

“Kanser payudara, pangkal rahim (serviks) dan ovari mempunyai tahap kekerapan berbeza di samping punca, cara pengesanan dan pencegahan tersendiri,” katanya.

Kanser payudara merupakan jenis yang paling banyak menyerang dan membunuh wanita di seluruh dunia, selain mampu menyerang golongan lelaki juga.

Menurut Dr. Silvam, jika seseorang wanita hidup sehingga umur 80 tahun, terdapat kebarangkalian satu dalam dua belas (1:12) untuk wanita berkenaan menghidap hidap barah payudara.

“Barah jenis ini bagaimanapun mudah dikesan mata kasar atau melalui sentuhan, memudahkan ketumbuhan pada payudara dikesan pada peringkat awal.

“Pesakit boleh melakukan pemeriksaan payudara sendiri (BSE) atau ujian mamogram setiap tahun untuk memastikan tidak menghidap kanser ini,” ujarnya.

Jelas beliau, kanser payudara melibatkan kaitan warisan genetik dan sejarah keluarga dapat menentukan kebarangkalian dan risiko seorang wanita menghidapnya.

Faktor selain peningkatan umur dan sejarah keluarga yang dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara adalah pembawa gen abnormal BCRA1 dan BCRA2.

Kedua-dua gen ini tergolong dalam kelas gen dikenali sebagai ‘gen menyekat tumor’ yang terlibat dalam proses membaik pulih kerosakan genetik kromosom. Kerosakan salah satu atau kedua-dua gen ini dikenal pasti berkait dengan permulaan kanser payudara dan juga kembalinya kanser selepas pesakit menerima rawatan.

*Pangkal rahim dan HPV

Kanser pangkal rahim (serviks) pula merupakan kanser khusus yang kedua paling banyak menyerang wanita.

Dr. Silvam menjelaskan, kanser jenis ini kadangkala sukar dikenalpasti tetapi dapat dikesan jika ujian saringan berkala dijalankan ke atas pesakit.

“Di United Kingdom, program saringan yang bagus, teratur dan cukup pembiayaan berjaya mengurangkan bilangan kes kanser pangkal rahim dari 15 kes untuk setiap 100,000 wanita kepada hanya lapan kes untuk setiap 100,000 wanita.

“Kebanyakan negara-negara membangun tidak mempunyai program saringan untuk kanser jenis ini,” katanya.

Menurut beliau, hanya pesakit yang telah mendapat pendedahan kepada bahaya kanser ini akan berjumpa doktor dengan sendiri untuk pemeriksaan berkala.

Tambahnya, satu program yang teratur seperti yang diadakan untuk kanser payudara dapat membantu pihak hospital memantau golongan yang berisiko tinggi dengan lebih berkesan.
Dr. Silvam menyatakan program sebegini belum terdapat di Malaysia tetapi diperlukan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap ancaman kanser pangkal rahim.

“Pemeriksaan untuk kanser pangkal rahim dijalankan dengan ujian pap smear yang disediakan hampir kesemua klinik dan hospital di negara ini.

“Ujian ini murah dan berkesan, sesuai untuk golongan wanita yang berisiko tinggi, iaitu mereka yang pernah melakukan hubungan seks,” jelasnya.

Menurut beliau, wanita yang pernah atau aktif secara seksual menghadapi risiko 99.9 peratus menghadapi kanser pangkal rahim.

Tambahnya, mereka yang langsung tidak pernah melakukan hubungan seks pula mempunyai risiko hampir 0 peratus menghidap kanser berkenaan.

Kaitan ini dibuat berikutan lebih 99 peratus kanser pangkal rahim di seluruh dunia didapati mempunyai Virus Papiloma Manusia (HPV).

Persatuan Kanser Amerika telah menyenaraikan beberapa faktor risiko kanser pangkal rahim dan jangkitan HPV diletakkan sebagai risiko utama. Selain itu, merokok, jangkitan virus HIV, jangkitan chlamydia, faktor pemakanan, kaedah mencegah kehamilan tertentu, mengandung banyak kali dan sejarah keluarga turut dikaitkan dengan kanser jenis ini.

Terdapat lebih 250 jenis virus HPV, 15 darinya (16, 18, 31, 33, 35, 39, 45, 51, 52, 56, 58, 59, 68, 73, dan 82) dikelaskan sebagai sangat berisiko menghidap kanser pangkal rahim. HPV jenis 16 dan 18 pula diperakui sebagai punca 70 peratus kes kanser pangkal rahim di seluruh dunia.

Vaksin terhadap empat jenis virus HPV (6,11,16,18) telah diluluskan Pentadbiran Makanan dan Perubatan Amerika Syarikat (FDA) pada 2006 dan kini telah diluluskan untuk kegunaan di lebih 80 negara seluruh dunia.

Dr. Silvam memaklumkan masalah kanser pangkal rahim mungkin dapat dihapuskan jika program vaksinasi HPV dapat dijalankan dengan berkesan di negara ini.

“Ini merupakan antara perkara unik mengenai kanser pangkal rahim kerana ia dapat dicegah menggunakan vaksin.

“Tidak banyak kanser yang berpunca daripada jangkitan dan vaksin lebih mudah dibuat terhadap kuman punca jangkitan berkenaan,” ujarnya.

Beliau mendakwa jangkitan HPV merupakan punca utama kanser jenis ini dan faktor lain hanya menyumbang kepada pembentukan kanser pangkal rahim.

Tambahnya, pemberian vaksin juga dapat melindung wanita yang terlibat dengan aktiviti seksual kerana satu kali pendedahan sudah cukup untuk menyebarkan virus berkenaan, sama ada melalui seks secara rela atau tidak, seperti kes rogol.

Australia merupakan antara negara yang telah melaksanakan program vaksinasi terhadap semua kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun ke atas iaitu umur yang dianggarkan paling awal bermulanya aktiviti seks.

*Semakin gemuk atau kanser ovari?

Kanser ovari bukan jenis kanser yang banyak berlaku di kalangan wanita tetapi kekerapan ia hadir pada peringkat akhir ketika pesakit menemui doktor amat membimbangkan.

Menurut Dr. Silvam, berbanding kanser payudara dan kanser pangkal rahim dapat dikesan melalui ujian fizikal, kanser ovari sukar dikesan pada peringkat awal.

“Memandangkan kedudukan ovari yang tidak dapat dicapai dengan mudah, amat sukar untuk doktor mengesan struktur abnormal pada peringkat awal.

“Kebanyakan pesakit kanser jenis ini datang berjumpa doktor setelah keadaan melarat dan mencapai peringkat akhir (peringkat 3 atau 4),” jelasnya.

Kata beliau, pada peringkat 3, kanser berkenaan telah merebak ke bahagian abdomen terutamanya pada buah pinggang, usus dan hati sementara pada peringkat 4 (akhir), sel kanser telah merebak ke seluruh badan.

Tambahnya, walaupun kebanyakan pesakit berumur lebih 40 tahun, terdapat kira-kira 10 peratus pesakit yang berusia sekitar 20-an dan 30-an.

Berbanding kanser payudara dan kanser pangkal rahim, kanser ovari juga tidak mempunyai sebarang alat atau program saringan. Gabungan faktor-faktor ini serta kedudukan ovari di dalam badan menyebabkan terdapat hanya 25 peratus kebarangkalian pesakit hidup lebih lima tahun selepas kanser berkenaan dikesan.

Dr. Silvam mendedahkan penghidap kanser ovari juga sering menganggap diri mereka semakin gemuk dan tidak menjangkakan menghidap kanser jenis ini.

“Kanser jenis ini akan menyebabkan takungan air di dalam abdomen sekitar peringkat 3 dan peringkat 4.
“Memandangkan pesakit tidak merasakan sebarang kesakitan daripada kanser ini atau takungan air, mereka sering menyangka perut membesar kerana kegemukan,” katanya.
Menurut beliau, pengesahan peringkat akhir kanser ini boleh dibuat menggunakan imbasan ultra bunyi atau imbasan CT.

Hasil penyelidikan terkini

Kanser payudara kini dianggarkan membunuh lebih 500,000 pesakit setiap tahun.

* Terbaru, kanser jenis ini dikatakan boleh dikesan pada peringkat awal melalui imej imbasan sinar-X rambut pesakit. Sekumpulan penyelidik dari Sydney, Australia mendakwa dapat membezakan antara penghidap kanser payudara dan individu sihat melalui kehadiran bentuk cincin dalam imej imbasan berkenaan. Selain itu, bentuk cincin dalam imej sinar-X penghidap juga dikatakan menjadi semakin pudar jika pesakit semakin sembuh selepas menerima rawatan.
Kumpulan penyelidik berkenaan kini sedang membuat penilaian lanjut kesesuaian kaedah ini untuk diagnosis kanser payudara kelak.

* Sekumpulan penyelidik dari Institut Kanser Kebangsaan Regina Elena di Rom, Itali mendapati ubat kanser payudara dari kelas Aromatase inhibitor menyebabkan sedikit peningkatan risiko masalah kardiovaskular berbanding penggunaan ubat jenis tamoxifen. Ubat kelas Aromatase inhibitor digunakan selepas pembedahan membuang ketumbuhan untuk mengelakkan kanser berulang.

* Kajian di Pusat Penyelidikan Kanser Fred Hutchinson di Seattle, Amerika Syarikat (AS) mendapati perbezaaan jarak masa antara kali pertama seorang wanita datang haid dan kali pertama melahirkan anak mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko kanser payudara.
Jarak kedua-dua peristiwa ini yang lebih dari 16 tahun membawa risiko 1.5 kali ganda lebih tinggi berbanding mereka dengan jarak masa keduanya sekitar lima tahun sahaja. Kajian epidemiologi pula menunjukkan penurunan antara lima hingga 20 peratus risiko kanser payudara bagi setiap tahun kedatangan haid yang lebih lambat.

Kanser pangkal rahim (serviks) kini mencatatkan 12,000 kes baru setiap tahun di AS sahaja dan membunuh lebih 300,000 pesakit setiap tahun, kebanyakan di negara-negara membangun.

* Britain, Perancis, Jerman, Austria dan Itali telah memasukkan pemberian vaksin HPV ke dalam program kesihatan kebangsaan masing-masing. Namun negara-negara Kesatuan Eropah tetap menyarankan saringan tahunan memandangkan vaksin tersebut tidak melindungi pesakit dari semua jenis virus HPV.

* Penyelidik Universiti Johns Hopkins, AS mendapati virus HPV telah menular kepada golongan lelaki dan kini menjadi antara punca utama kanser oral (mulut). Virus berkenaan dikatakan menyebabkan sama banyak kanser oral seperti tembakau serta alkohol dan mungkin akan melangkaui jumlah kanser oral akibat tembakau dan alkohol dalam tempoh 10 tahun akan datang. Lebih 5,600 kanser tonsil, bawah lidah dan bahagian atas tekak telah dikaitkan dengan HPV hasil peningkatan aktiviti seks oral.

Pengeluar vaksin HPV belum mendapat kelulusan FDA untuk kegunaan pesakit lelaki. Permohonan berkenaan dikatakan akan dibuat pada penghujung 2008.

Sebanyak 190,000 kes baru kanser ovari kini dikesan setiap tahun di seluruh dunia.

* Kajian di Sekolah Perubatan Harvard, AS mendapati pengambilan kafein dapat mengurangkan risiko kanser ovari namun satu lagi kajian berasingan mendapati kafein juga meningkatkan sehingga dua kali ganda risiko wanita mengandung keguguran.

* Penyelidik di Universiti Oxford mendapati pil perancang kehamilan dapat mengurangkan risiko kanser ovari walaupun jika seorang wanita telah berhenti mengambilnya sejak 30 tahun lalu. Lebih 100 juta wanita kini menggunakan pil ini dan pengambilannya dianggarkan akan mencegah lebih 30,000 kanser ovari setiap tahun untuk beberapa dekad akan datang.

* Sekumpulan penyelidik di Sekolah Perubatan Universiti Yale di New Haven, Connecticut, AS percaya mereka telah berjaya menghasilkan kaedah baru ujian darah yang pertama dapat mengesan kanser ovari dengan tepat pada peringkat awal. Kaedah ini dikatakan menggunakan enam penanda biologi secara serentak dan berjaya mengesan 95 peratus pesakit kanser ovari.
Penilaian lanjut kaedah ini sedang dijalankan untuk aplikasi klinikal.

Nukleus

STRUKTUR kerangka tulang manusia adalah ‘serupa’ seperti rangka bangunan-bangunan tertinggi dunia. Kedua-dua struktur rangka ini membolehkan badan manusia dan bangunan tinggi menampung beban berat badan masing-masing.
Selain sokongan berat badan, rangka juga membentuk rupa fizikal dan melindungi organ-organ lembut di dalam badan. Tisu otot yang bersambung pada rangka tulang dan sendi antara tulang-tulang utama pula membolehkan manusia menggerakkan anggota badan dan tanpanya anda akan kekal kaku di tempat sama seperti sebuah bangunan pencakar langit.

Darah tinggi: Pembunuh Senyap

TEKANAN darah tinggi (hipertensi) kadang-kala digelar “pembunuh senyap” kerana tidak menunjukkan apa-apa simptom pada peringkat awal tetapi menyebabkan bilangan kematian yang tinggi di kalangan penduduk negara ini dan juga di seluruh dunia.

Mengikut kajian yang dijalankan di Malaysia pada 2007, lebih 30 peratus daripada penduduk negara ini menghidap tekanan darah tinggi dan sebilangan besar penghidap terdiri daripada kaum Melayu, tidak kira di bandar atau desa.

Ini dengan secara tidak langsung menunjukkan cara hidup di bandar dan di desa tidak banyak perbezaan di samping faktor genetik juga berkemungkinan memainkan peranan yang besar.

Penyakit ini melibatkan lebih kurang lima hingga enam juta rakyat Malaysia dan bilangan kes makin meningkat disebabkan gaya hidup moden zaman kini.

Darah tinggi adalah penyebab utama penyakit serangan jantung (heart attack) lemah jantung (heart failure), kegagalan buah pinggang dan buta.

Mujurlah penyakit ini senang dikesan dan boleh dikawal dengan menukar gaya hidup dan pengubatan.

* Fisiologi

Darah biasanya mengalir dalam dua fasa iaitu:

* Sistolik; apabila jantung berdenyut, darah mengalir keluar dari jantung dan tekanan darah akan naik.

* Diastolik; apabila jantung berehat seketika serta diisi dengan darah untuk denyutan selanjutnya, menyebabkan tekanan darah turun seketika.

Ini bermakna tekanan darah akan turun dan naik mengikut denyutan jantung.

Ini menyebabkan tekanan darah mengandungi dua nilai iaitu sistolik yang tinggi dan diastolik yang rendah, contohnya 120/80 milimeter (mm) merkuri (Hg).

Tekanan darah juga berubah dari masa ke semasa sepanjang hari disebabkan emosi dan keadaan tubuh badan kita. Sebagai contoh, tekanan naik semasa bersukan dan tekanan turun sewaktu tidur.

Tiga jenis hormon dari kelenjar adrenal iaitu adrenaline, noradrenaline dan aldosterone turut mempengaruhi tekanan darah. Rangkaian urat saraf dan hormon tadi mempengaruhi tekanan darah di dalam tubuh kita.

Biasanya sistem yang kompleks ini mengawal tekanan darah dan gangguan di dalam sistem ini menyebabkan darah tinggi.

Kira-kira 90 peratus pesakit darah tinggi tidak ada penyebab yang khusus dan ini digelar Essential atau Primanory Hypertension.

Beberapa faktor dapat dikenali mempunyai kaitan dengan Primanory Hypertension seperti tabiat pemakanan, aktiviti fizikal dan juga keadaan persekitaran.

Fakta lain seperti kandungan garam dan lemak yang tinggi di dalam diet, obesiti dan kegemukan, kurang senaman serta kurang memakan sayur dan buah-buahan yang mengandungi nilai potassium yang tinggi. Selain itu, faktor genetik juga dilihat memainkan peranan penting.

Darah tinggi juga boleh disebabkan oleh penyakit-penyakit lain dan ini dinamakan “secondary hypertension” yang membabitkan lima peratus dari jumlah kes.

Penyakit-penyakit tersebut ialah kegagalan fungsi buah pinggang (kidney failure), penyempitan pembuluh darah ke buah pinggang, tumor di kelenjar adrenal dan penyempitan pembuluh darah besar aorta.

Penyempitan pembuluh darah ini kadang kala dapat dirawat dengan pembedahan dan boleh menyembuhkan tekanan darah tinggi.

Selain itu, sesetengah jenis ubat juga boleh menyebabkan darah tinggi seperti steroid, cyclosporine, anti-depressant (kemurungan) dan ubat untuk sakit sendi dan tulang jenis NSAID (ubat antikeradangan bukan jenis steroid).

* Simptom atau petanda darah tinggi

Darah tinggi pada peringkat awal tidak memberi sebarang petanda dan kadangkala tidak dapat dikesan hingga bertahun lamanya.

Kadangkala, pesakit akan mengalami sakit kepala tetapi biasanya darah tinggi dikesan semasa pemeriksaan rutin.

Selalu juga tanda pertama darah tinggi ialah apabila pesakit menghidap komplikasi seperti strok, serangan jantung, lemah jantung atau masalah buah pinggang.

Kadang kala pesakit datang ke hospital dalam keadaan krisis dan tekanan darah melebihi 200/120 mm Hg.

Tekanan darah yang tinggi sebegini boleh menyebabkan sakit dada, sesak nafas, sakit kepala, gangguan penglihatan, muntah-
muntah dan juga sawan.

* Klasifikasi darah tinggi

Darah tinggi boleh diklasifikasikan mengikut tahap tekanan darah (mm Hg) seperti berikut:

KATEGORI Sistolik Diastolik

Optimum - <120<80

Normal - 120-129 80-84

Normal Tinggi - 130-139 - 85-89

Hipertensi Gred 1 (Ringan) - 140-159 - 90-99

Hipertensi Gred 2 (Sederhana) - 160-179 - 100-109

Hipertensi Gred 3 (Teruk) - >/180 - >/110

Hipertensi Sistolik Terpencil - >/140 - <90

Darah tinggi boleh dibezakan di antara sistolik dan diastolik. Biasanya hipertensi sistolik dihadapi oleh pesakit yang berumur 60 tahun ke atas di mana tekanan sistolik melebihi 140 mm Hg dan tekanan diastolik kurang daripada 90 mm Hg.

Sebaliknya pula, pesakit yang lebih muda mengalami tekanan sistolik melebihi 140 mm Hg dan tekanan diastolik juga melebihi 90 mm Hg.

Di kalangan pesakit yang datang ke klinik atau hospital dan dikatakan mengidap darah tinggi, lebih kurang 20 peratus daripada mereka mempunyai tekanan darah yang normal apabila diperiksa sendiri di rumah.

Golongan ini dinamakan ‘white coat hypertension’ (hipertensi kot putih). Biasanya doktor akan menggunakan alat pemantauan automatik yang boleh digunakan di rumah selama 24 jam untuk mengesan golongan ini (24 hours ambulatory blood pressure monitoring).

Di kalangan pesakit darah tinggi, ada juga yang tekanan darahnya tidak menurun sewaktu tidur dan kumpulan ini digelarkan ‘non dippers’.

Golongan ini didapati menghadapi kadar komplikasi yang lebih tinggi. Ada kajian yang mengatakan bahawa ‘non dippers’ ini disebabkan terlalu banyak kandungan garam (sodium) di dalam darah dan rawatan untuk mengurangkan garam boleh menukar non dippers kepada “nocturnal dippers.”

* Komplikasi dari tekanan darah tinggi

Tekanan darah yang berlebihan boleh merosakkan pembuluh darah besar dan juga yang kecil.
Contoh kerosakan pembuluh darah yang besar adalah seperti strok dan serangan jantung dan contoh kerosakan pembuluh darah yang kecil ialah kegagalan buah pinggang dan gangguan penglihatan disebabkan kerosakan mata.
Satu lagi komplikasi ialah ‘atrial fibrillation’ atau degupan jantung yang tidak stabil. Ini menyebabkan pesakit merasa berdebar-debar dan kadang-kala pening dan sesak nafas.

Darah tinggi juga menyebabkan jantung membengkak dan boleh berlarutan hingga ke peringkat lemah jantung.

Satu lagi komplikasi ialah bengkak di saluran aorta (aneurisme). Aneurisme ini kadangkala terkoyak atau bocor dan berlaku pendarahan yang banyak. Komplikasi ini kerap menyebabkan pesakit maut.

* Pencegahan

Pencegahan darah tinggi adalah amat penting disebabkan kerosakan organ boleh bermula apabila tekanan darah melebihi 120/80 mm Hg dan sebelum dapat dikesan oleh doktor.
Pencegahan juga boleh mengelakkan daripada keperluan menggunakan ubat kelak dan merupakan cara yang terbaik untuk mengelak komplikasi.

Cara pencegahan adalah dengan mengubah cara hidup seperti mengurangkan berat badan, kerap bersenam, cara pemakanan yang sihat seperti memakan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan kandungan garam dan lemak dalam masakan.

Kajian menunjukkan bahawa pemakanan yang seimbang dengan kandungan nutrien penting terutamanya potasium melebihi 4,000 miligram (mg) sehari boleh merendahkan tekanan darah.
Selain itu, memakan sebanyak lima cawan sayur dan buah-buahan, tiga cawan bahan tenusu rendah lemak dan mengurangkan kegunaan garam sebanyak 1,500 mg sehari boleh merendahkan tekanan darah.

* Sindrom metabolik

Berat badan yang tinggi memainkan peranan yang penting dalam apa yang dinamakan sindrom metabolik.

Sindrom ini boleh dikenali dengan adanya obesiti dengan Indeks Jisim Badan (IJB) atau BMI (Basal Metabolic Rate) yang melebihi 25 serta perut buncit selain ukuran pinggang yang melebihi 40 inci untuk lelaki, melebihi 35 inci untuk perempuan, diabetes, darah tinggi, HDL kolesterol (kolesterol baik) yang rendah dan triglyceride yang tinggi.
Kesemua penyakit ini boleh dielak jika kita menjaga berat dan ukuran pinggang yang sesuai. Biasanya jika berat badan dapat dikurangkan sebanyak 10 peratus, tahap tekanan darah juga dapat diturunkan.
* Diagnosis
Darah tinggi biasanya dikesan semasa pemeriksaan rutin atau semasa berjumpa doktor untuk masalah kesihatan yang lain.
Selalunya doktor akan memeriksa tekanan darah dua atau tiga kali dalam masa yang berasingan untuk memastikan tekanan darah tinggi.
Pesakit dinasihatkan jangan meminum kopi atau teh, jangan hisap rokok selama setengah jam dan berehat selama lima minit sebelum memeriksa tekanan darah.
Alat-alat pemeriksaan darah tinggi jenis elektronik juga boleh digunakan di rumah untuk mengesan golongan “white coat hypertension” dan untuk memantau tekanan darah setiap hari.
Doktor juga boleh menggunakan alat untuk merakamkan tekanan selama 24 jam (24 hours BP monitoring) kerana cara ini lebih tepat dan dapat mengesan golongan ‘non dippers’ yang menghadapi darah tinggi sewaktu tidur.

* Rawatan

Rawatan darah tinggi mementingkan kawalan tekanan yang tidak melebihi 140/90 mm Hg bagi mereka yang tidak mempunyai penyakit sampingan atau 130/80 bagi mereka yang menghidap diabetes, lemah jantung dan kerosakan buah pinggang.

Penting juga bagi doktor untuk mengesan mereka yang menghidap ‘secondary hypertension’ supaya punca utama darah tinggi dapat dirawat.

Biasanya rawatan darah tinggi dimulakan dengan memperbaiki cara hidup dengan pemakanan yang seimbang, mengamalkan cara hidup yang aktif, melakukan aktiviti fizikal dan senaman jika tekanan darah masih di peringkat satu.

Bagi pesakit dengan tekanan darah didapati terlalu tinggi (peringkat kedua), pesakit harus menggunakan ubat untuk mengawal tekanan darah.

Di kalangan pesakit yang menghidap diabetes, lemah jantung, strok atau kerosakan buah pinggang, ubat biasanya digunakan pada peringkat satu dan tekanan darah perlu dikurangkan hingga ke 130/80 mm Hg.

* Ubat-ubatan

Terdapat pelbagai jenis ubat yang digunakan untuk mengawal tekanan darah. Biasanya doktor memilih ubat mengikut keadaan dan faktor-faktor kesihatan lain yang terdapat pada pesakit.
Contohnya di kalangan pesakit yang berumur 65 tahun ke atas dan menghidap hipertensi sistolik, ubat yang paling berkesan adalah dari kumpulan diuretic dan di kalangan pesakit diabetes pilihan pertama adalah angiotensin converting enzyme (ACE) inhibitors atau angiotensin receptor blocker.

Jika pesakit menghidap angina atau serangan jantung, beta-blocker adalah pilihan pertama. Di kalangan pesakit dalam peringkat pertama dan tiada tanda-tanda kerosakan organ, perubahan cara hidup boleh dicuba terlebih dahulu selama enam bulan hingga setahun. Jika tekanan darah masih melebihi 140/90 mm Hg, biasanya satu jenis ubat digunakan.

Bagaimanapun di kalangan pesakit yang dalam peringkat kedua, kadangkala doktor memulakan dengan dua jenis ubat dengan serentak.

Terdapat ubat moden di mana dua jenis ubat disatukan di dalam satu pil dan ini menyenangkan pesakit dan menggalakkan mereka kekal memakan ubat setiap hari. Di dalam pemilihan ubat, kos juga menjadi faktor yang perlu dipertimbangkan.

* Rawatan jangka panjang

Pesakit yang menghidap tekanan darah tinggi biasanya menjalani rawatan seumur hidup dan selalunya berjumpa doktor antara satu hingga tiga bulan sekali.

Di kalangan pesakit yang tekanannya tidak terkawal atau menghidapi masalah perubatan seperti sakit jantung, strok atau kerosakan buah pinggang haruslah berjumpa doktor setiap bulan.

Ada setengah pesakit di mana tekanannya susah dikawal dan memerlukan tiga atau empat jenis ubat.

Kajian menunjukkan bahawa 50 peratus daripada pesakit memerlukan satu jenis ubat dan 30 peratus lagi memerlukan dua jenis ubat sementara bakinya pula memerlukan tiga atau empat jenis ubat untuk mengawal tekanan darah mereka.

Kajian juga menunjukkan bahawa 30 peratus daripada pesakit mempunyai tekanan darah tidak terkawal.

Faktor pertama tekanan tidak terkawal adalah disebabkan ubat yang tidak mencukupi disebabkan pesakit tidak memakan ubat yang diberikan.

Ada kajian yang menunjukkan 50 peratus daripada pesakit berhenti makan ubat dan tidak berjumpa doktor dalam jangka masa setahun selepas bermulanya rawatan.

Hakikat ini boleh difahami kerana penyakit darah tinggi selalunya tidak mendatangkan apa-apa gangguan dan ubat yang dimakan kadangkala menyebabkan kesan sampingan yang mengganggu kehidupan harian pesakit. Tetapi, adalah sangat penting ubat dan rawatan diteruskan memandangkan penyakit-penyakit yang serius yang boleh terjadi akibat tekanan darah tinggi yang tidak dikawal.

* Jenis-jenis ubat darah tinggi

* Diuretik

Diuretik mengurangkan kandungan garam dan air di dalam badan dengan mengeluarkan bahan ini di dalam air kencing. Dengan ini tekanan darah dapat dikurangkan.

* Beta-blocker

Beta-blocker menyekat perjalanan hormon adrenaline dan noradrenaline. Ini mengurangkan kekuatan dan kelajuan denyutan jantung dan mengurangkan tekanan darah.

* Angiotensin converting enzyme (ACE) inhibitors atau Angiotensin receptor blocker (ARB)

ACE inhibitor dan ARB menyekat enzim yang mengeluarkan angiotensin II, satu bahan yang menyebabkan saluran darah mengecut. Ubat ini mengembangkan saluran darah dan menurunkan tekanan.

* Calcium channel blocker

Calcium channel blocker menyekat perjalanan kalsium ke sel di saluran darah. Ini menyebabkan saluran mengembang dan menurunkan tekanan darah.

* Alpha-blocker

Alpha-blocker menyekat isyarat saraf yang menyebabkan cengkaman saluran darah.

Tuesday, February 19, 2008

Kawalan pundi kencing, tidak kira usia

BOCOR lagi! Sedang anda ketawa melihatkan sesuatu yang lucu, tiba-tiba terasa seluar menjadi basah. Ini juga bukan kali pertama kerana kejadian serupa berlaku setiap kali anda batuk, bersin, melompat atau berlari.

Perasaan yang kuat untuk membuang air kecil juga sering datang secara tiba-tiba sehinggakan anda ‘bocor' lagi sebelum sempat sampai ke bilik air.
Kerap kali pula anda perlu bangun berulangkali pada waktu malam kerana perlu membuang air kecil.

Mungkin ramai berfikir semua ini tidak pelik bagi warga emas, tetapi bagaimana pula jika mereka yang di pertengahan usia atau masih muda remaja?

Pada usia 50-an mungkin kejadian ‘terkucil’ lebih banyak berlaku berbanding mereka pada usia 40-an.

Tetapi bagaimana pula jika ia berlaku kepada mereka yang berusia 30-an, 20-an atau masih berusia remaja?

Tidak dapat mengawal keinginan membuang air kecil bukan sesuatu yang normal, terutamanya bagi golongan dewasa.

Berbeza dengan kencing malam (ketika tidur), masalah ini lebih melibatkan kemampuan diri mengawal pundi kencing (ketika berjaga) apabila datangnya keinginan mendadak untuk membuang air kecil.

Keupayaan mengawal pundi kencing, iaitu dapat menahan keperluan ke tandas sehingga masa dan tempat sesuai, biasanya dibentuk antara usia dua hingga enam tahun apabila kanak-kanak dilatih mengawal keinginan ke tandas.

OAB

Pundi kencing mempunyai dua fungsi iaitu mengumpul dan membuang air kencing.

Air kencing (bahan kumuhan) dari buah pinggang akan terkumpul di dalam pundi kencing.

Dinding pundi kencing akan diregangkan dengan perlahan-lahan bagi membolehkannya menampung sejumlah antara satu hingga dua liter cecair setiap hari.

Kebanyakan orang akan ke tandas apabila pundi kencing diisikan dengan kira-kira 250 mililiter air kencing (separuh penuh).

Ini bermakna seseorang itu akan membuang air kecil tidak lebih lapan kali setiap hari walaupun setiap individu mempunyai kekerapan ke tandas yang berbeza.

Otot pundi kencing akan mengecut dan air kencing dikosongkan melalui pembukaan salur uretra.

Mekanisme otot sfinkter uretra yang normal memastikan air kencing tidak bocor walaupun ketika ketawa, batuk, bersin, melompat atau berlari.

Masalah Pundi kencing Terlalu Aktif atau Overactive Bladder (OAB) merupakan antara kumpulan Gejala Salur Bawah Sistem Perkumuhan (LUTS) yang kadangkala tidak dianggap sebagai suatu masalah kesihatan tetapi diterima pula sebagai sesuatu yang normal di kalangan warga tua.

Profesor Dr. Sender Herschorn, Pengerusi Bahagian Urologi Universiti Toronto, Kanada menjelaskan, OAB adalah keadaan di mana pesakit mendapat perasaan yang kuat dan mendadak untuk membuang air kecil sehingga kadangkala gagal mengawal diri.

"Selain itu, pesakit OAB juga lebih kerap ke tandas (lebih lapan kali dalam 24 jam) dan juga sering bangun malam kerana terpaksa membuang air kecil (nokturia).

"Namun, masalah ini juga mungkin berkaitan dengan masalah lain seperti jangkitan kuman, obesiti, kemurungan, diabetes, asma atau darah tinggi," katanya.

Beliau mendakwa kira-kira 60 peratus golongan dewasa mengalami nokturia tetapi dianggap normal jika ianya berlaku sekali sekala dan tidak lebih sekali dalam satu malam.

OAB merupakan masalah melibatkan takungan air kencing di dalam pundi kencing serta keinginan yang teramat kuat untuk membuang air kecil. Ini juga menjadi asas utama untuk mengsyaki pesakit menghidap penyakit berkenaan.

Selain itu, nokturia, kekerapan membuang air dan kegagalan menahan air kencing sehingga terkeluar turut menjadi faktor sokongan untuk diagnosis OAB.

Menurut Dr. Herschorn, Kajian Penilaian Pundi Kencing Terlalu Aktif Kebangsaan (NOBLE) Amerika Syarikat mendapati OAB mempengaruhi 16.6 peratus penduduk negara berkenaan dan bilangan kes meningkat mengikut usia pesakit.

"Satu lagi kajian yang dikenali sebagai EPIC di Kanada, Jerman, Itali, Sweden dan United Kingdom mendapati 11.8 peratus daripada 19,165 peserta tinjauan menghidap OAB.

"Kedua-dua kumpulan lelaki dan wanita melaporkan gejala OAB mengganggu kehidupan seharian mereka dan memberi kesan kepada kualiti hidup," ujarnya.

Kata beliau, selain NOBLE dan EPIC, terdapat juga beberapa kajian di rantau Asia yang merekodkan 12.2 peratus penduduk Korea dengan OAB, 12.4 peratus di Jepun sementara negara-negara lain di rantau ini dianggarkan mempunyai antara 12 hingga 13 peratus penduduk dengan OAB.

Kesan dan kos

Masalah hilang kawalan pundi kencing ini mempengaruhi berjuta orang di seluruh dunia, tidak kira jantina dan umur.

Masalah ini mungkin memalukan bagi kebanyakan pesakit sehingga menyebabkan mereka mengehadkan banyak aktiviti harian dalam kehidupan.

Mereka juga terpaksa merancang perjalanan jauh dengan lebih rapi untuk memastikan terdapat tandas dalam jarak tertentu dan mungkin lebih gemar untuk duduk di rumah kerana takut terkencing di khalayak ramai.

Kajian di Korea turut menunjukkan kaitan antara masalah pundi kencing dengan fungsi seksual lelaki dan wanita, yang telah lama dikaitkan dengan masalah LUTS lain seperti masalah prostat, otot sokongan pelvis (pelvic floor) dan jangkitan kuman dalam sistem perkumuhan.

Masalah ini juga memberi kesan kepada produktiviti pekerjaan, ekonomi negara dan juga kos perubatan.

Pekerja yang mengalami masalah ini mungkin tidak selesa ketika bekerja, perlu mengambil cuti untuk berjumpa doktor dan perlu mendapatkan ubat atau produk tertentu untuk membantu mengawal gejala OAB.

Masalah salur perkumuhan dianggarkan telah menyebabkan kerugian antara €257 juta (RM1.22 bilion) di Kanada, hingga €5 bilion (RM23.65 bilion) di Jerman sepanjang 2006.

Pada tahun 2000, kos keseluruhan untuk masalah salur perkumuhan dianggarkan berjumlah €4.2 bilion (RM19.86 bilion) di lima negara Eropah dan di antara €255 juta (RM1.21 bilion) di Sweden, hingga €1.4 bilion (RM6.62 bilion) di Itali.

Secara keseluruhan, tahun 2000 mencatatkan kerugian ekonomi berjumlah AS$12.02 bilion (RM38.72 bilion), AS$9.17 bilion (RM29.54 bilion) terhadap masyarakat dan AS$2.85 bilion (RM9.18 bilion) kepada pelbagai institusi.

Diagnosis dan rawatan

Bagi pesakit yang berkemungkinan menghidap OAB, doktor akan mengambil sejarah tabiat membuang air kecil terlebih dahulu.

Selain itu, ujian fizikal terhadap pundi kencing dan bahagian abdomen dilakukan untuk melihat jika terdapat penyakit lain yang menjadi punca masalah berkenaan.

Ujian fizikal dapat menunjukkan jika terdapat prolaps (kejatuhan) organ tertentu, masalah prostat atau masalah otot pelvic floor.

Pesakit juga akan diberikan borang soal selidik, menjalani analisis air kencing dan beberapa ujian lain untuk diagnosis dan rawatan lanjut.

Borang soal selidik berkenaan memerlukan pesakit merekodkan jenis dan jumlah pengambilan cecair serta kekerapan membuang air kecil dalam tempoh tiga hari.

Ini dapat mengasingkan kes yang berpunca daripada pengambilan minuman berkafein (teh, kopi) dan alkohol yang menggalakkan pesakit membuang air kecil (diuretik).
Dr. Herschorn menyatakan diagnosis memerlukan pengasingan punca-punca lain yang boleh membawa kepada OAB sebelum pesakit disahkan menghidap penyakit berkenaan, sama ada OAB sahaja atau OAB dengan masalah sampingan.

"Gejala berkaitan dengan OAB adalah kompleks terutamanya jika ia melibatkan masalah kesihatan lain.

"Golongan lelaki mungkin menghadapi penyakit ini akibat daripada masalah prostat sementara wanita akibat masalah otot pelvic floor," jelasnya.

Kata beliau, pesakit yang mengadu terlalu kerap kencing (siang atau malam) pula mungkin hanya perlu mengubah cara hidup seperti jenis minuman, masa (seperti minum minuman berkafein sebelum tidur) dan jumlah pengambilan cecair harian dari minuman dan makanan.

Dr. Herschorn menegaskan pesakit yang menghidap OAB tidak perlu menyembunyikan diri dan mengelakkan daripada menghadapi masalah berkenaan.

"Tidak perlu malu untuk memaklumkan atau membincangkan masalah ini bersama ahli keluarga dan doktor anda.

"Selain lampin dewasa, terdapat juga ubat dan senaman tertentu (menguatkan otot-otot lemah) yang dapat mengurangkan masalah yang timbul dengan gejala penyakit ini," katanya.
Beliau menjelaskan, pengambilan ubat bersama perubahan cara hidup didapati amat berkesan dalam meningkat kualiti hidup pesakit OAB.

Tambahnya, senaman dan ubat mungkin tidak dapat menyembuhkan sepenuhnya penyakit berkenaan tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan masalah gejala OAB yang mengganggu kehidupan seharian.

Antara pilihan rawatan untuk OAB adalah terapi tingkah laku, ubat, terapi gabungan, terapi invasif minimum dan pembedahan.

Terapi tingkah laku melibatkan perubahan pada cara hidup seperti latihan menahan pundi kencing (tahan kencing) dan terapi otot pelvic floor (PFMT).
Terapi tingkah laku yang digabungkan dengan pengambilan ubat dilihat lebih berkesan daripada penggunaan salah satu terapi sahaja.

Dr. Herschorn menjelaskan perasaan kuat dan mendadak untuk membuang air kecil berlaku apabila berlakunya kekejangan otot pundi kencing.

"Ubat-ubat yang digunakan berfungsi menghalang isyarat dari otak ke pundi kencing dan menghentikan kekejangan tersebut seterusnya membolehkan pundi kencing menakung lebih banyak air kencing.

"Ubat tidak akan menghilangkan sepenuhnya gejala OAB tetapi dapat membantu mengurangkan kesannya dan mengawal masalah ini ketika meneruskan aktiviti harian," ujarnya.

Pengambilan ubat tertentu mungkin juga membawa kesan sampingan kepada pesakit di samping kemungkinan interaksi antara ubat OAB dengan ubat untuk penyakit lain.

Pesakit perlu mengambil ubat mengikut arahan doktor dan bertanyakan mengenai interaksi antara ubat yang diambil.

Sedar dan bertindak

Bagi mereka yang menunjukkan gejala OAB, perlu disedari terdapat rawatan tertentu untuk masalah ini.

Segera berbincang dengan doktor. Anda tidak perlu hidup dengannya dan ia bukan hanya dihidapi golongan warga tua.

Buat masa ini, 64 peratus daripada mereka yang menunjukkan gejala OAB tidak menerima sebarang rawatan di atas sebab-sebab tertentu.

Kebanyakan pesakit OAB dengan masalah kesihatan lain pula enggan untuk ‘menambah’ lagi pil untuk masalah-masalah kesihatan mereka.

Perasaan kuat dan mendadak untuk membuang air kecil bukan sesuatu yang normal.
Buangkan rasa malu untuk mendapatkan rawatan segera dan meningkatkan semula kualiti hidup anda.

Perhatikan gejala-gejala berikut dan jika anda mengalaminya, dapatkan nasihat pakar perubatan:

* ke tandas dengan kerap (lebih lapan kali dalam 24 jam)
* kerap merasai keinginan yang kuat dan secara tiba-tiba untuk membuang air kecil
* kebocoran air kencing (tidak tahan, hilang kawalan)
* kebocoran air kencing ketika ketawa, batuk, bersin, melompat atau berlari
* Kerap bangun malam untuk membuang air kecil (nokturia).

Elakkan juga minuman berkafein, terutamanya hampir dengan waktu tidur bagi mengurangkan kekerapan membuang air kecil.

Air kosong atau jus buah sesuai dijadikan ganti untuk diminum pada bila-bila masa.
Bagi warga emas, jangan sekat keperluan cecair harian badan anda.

Usia lanjut bermakna badan memerlukan sejumlah cecair yang cukup untuk fungsi organ-organ badan di samping mengelakkan sembelit teruk.

Jika anda mahu mengurangkan pengambilan minuman, tetapkan berhenti minum sekitar pukul enam petang atau beberapa jam sebelum tidur.

Antara jenis ubat yang digunakan untuk OAB adalah:

* Oxybutynin;
Ubat yang paling lama digunakan untuk rawatan penyakit ini, diambil tiga kali setiap hari. Boleh memberi kesan kepada bahagian badan lain, menyebabkan mulut kering. Pesakit dengan glaukoma penglihatan sempit tidak boleh menggunakan ubat ini kerana mempunyai kesan kepada mata. Banyak kesan sampingan, 90 peratus pesakit berhenti mengambil ubat ini selepas satu tahun.

* Propiverine;
Diambil dua kali setiap hari, hanya boleh didapati di Asia dan Eropah.

* Trospium;
Telah 20 tahun berada di pasaran, buatan Jerman, diambil dua kali setiap hari, belum terdapat di Malaysia.

* Tolterodine;
Berkesan merawat gejala yang timbul, kurang kesan sampingan, diambil hanya sekali setiap hari.

* Toksin Botulinum;
Melumpuhkan pundi kencing untuk sementara waktu, disuntik terus ke beberapa bahagian pundi kencing oleh pakar urologi, belum diluluskan sebagai cara rawatan untuk OAB (off label), tidak sesuai untuk kebanyakan pesakit.

* Solifenacin;
Boleh menyebabkan sembelit.

* Darifenacin;
Boleh menyebabkan sembelit.

Bahaya virus hepatitis

GAYA hidup tidak sihat membuka laluan luas kepada penyakit untuk bersarang dalam badan.
Badan manusia adalah ‘perumah’ paling disukai virus dan bakteria kerana menerima bekalan makanan yang berterusan.

Virus hepatitis merupakan antara virus yang perlu diberikan perhatian yang serius.
Hepatitis bermakna keradangan hati dan virus hepatitis boleh menyebabkan kita mengalami masalah ini yang mungkin berakhir dengan kematian jika tidak diberikan rawatan yang sewajarnya.

Punca utama hepatitis ialah jangkitan virus dan tahap kerosakan pada hati bergantung kepada jenis virus yang menyerang.

Sehingga kini, tujuh jenis virus hepatitis telah dikesan di seluruh dunia yang dinamakan mengikut nama huruf iaitu virus hepatitis A,B,C,D,E,F dan G.

Bagaimanapun, virus yang lazim ditemui adalah hepatitis jenis A hingga E manakala jangkitan untuk hepatitis F pula hanya dijumpai sekali di India pada 1994 dan Hepatitis G hanya dikesan pada 1995.

Jangkitan virus-virus ini boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu akut (gejala yang teruk dalam masa yang singkat) atau kronik (kerosakan teruk yang berlaku secara perlahan dalam tempoh yang panjang).

* Virus Hepatitis A dan E

Dua virus ini mempunyai ciri yang lebih kurang sama. Ia disebarkan melalui makanan tercemar dan menyebabkan hepatitis akut.

Biasanya pesakit akan mengalami masalah kesihatan selama sebulan.
Antara gejala jangkitan adalah;

- demam kuning, demam,
- sakit perut, muntah, cirit-birit,
- sakit kepala, mata menjadi kuning dan lesu

Apabila virus memasuki badan, ianya mengambil masa kira-kira dua minggu (dipanggil tempoh inkubasi) sebelum menyebabkan masalah kesihatan.

Biasanya individu dijangkiti juga mengambil masa kira-kira dua minggu untuk pulih semula.
Sehingga kini, Malaysia hanya mempunyai kes virus Hepatitis A (HAV) kerana jangkitan virus Hepatitis E (HEV) hanya dilaporkan berlaku di India dan Afrika.

Walaupun gejala jangkitan HAV dan HEV dianggap lebih ‘ringan’ berbanding virus Hepatitis B dan C, wanita hamil yang mendapat jangkitan HEV menghadapi risiko paling tinggi menemui maut (antara 15 hingga 25 peratus).

Hepatitis A boleh merebak melalui makanan dan minuman yang tercemar (disebarkan penyedia makanan yang telah dijangkiti atau daripada makanan mentah) atau melalui sentuhan, seperti membabitkan alat keperluan harian dan permainan di pusat jagaan kanak-kanak.

Malah, ada individu yang dijangkiti melalui darah yang tercemar (pemindahan darah atau perkongsian jarum suntikan) tetapi jangkitan melalui cara ini jarang berlaku.

Kanak-kanak yang dijangkiti HAV biasanya mengalami penyakit demam kuning pada kadar yang berbeza.

Kurang daripada 10 peratus kanak-kanak di bawah umur enam tahun mengalami demam kuning sementara 40 hingga 50 peratus kanak-kanak dalam lingkungan umur enam hingga 14 tahun mengalami demam kuning.

Kebarangkalian untuk mendapat demam kuning meningkat sehingga 70 atau 80 peratus jika jangkitan berlaku pada kanak-kanak lebih dewasa atau peringkat remaja sekitar umur 14 tahun ke atas.

Sehingga kini, masih tiada rawatan khusus untuk penyakit ini tetapi ia boleh dielakkan melalui pengambilan dua dos vaksin pada jarak enam hingga 12 bulan.

Pengambilan vaksin disarankan bagi individu yang berisiko tinggi seperti pengembara, lelaki homoseksual dan penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan.

* Virus Hepatitis B

Virus Hepatitis B (HBV) mempunyai tempoh inkubasi yang lebih lama iaitu antara dua hingga tiga bulan.

Virus ini juga boleh menyebabkan dua jenis masalah, sama ada akut atau kronik.
HBV adalah virus yang paling lazim berjangkit di dunia.

Dianggarkan lebih dua bilion penduduk dunia dijangkiti penyakit HBV dan kira- kira 350 juta lagi menjadi pembawa HBV yang kronik.

Lebih menyedihkan, kebanyakan pembawa HBV kronik ini berada di India dan Afrika.

Di Malaysia, 60 hingga 70 peratus kes HBV berlaku di kalangan orang Cina, Melayu (30 peratus) dan 10 peratus di kalangan orang India.

Virus ini disebarkan melalui hubungan seks, berkongsi jarum suntikan atau pemindahan darah.
Wanita hamil yang telah dijangkiti HBV juga boleh memindahkan virus ini kepada anak ketika bersalin.

Selain itu, HBV dikatakan 100 kali lebih cepat merebak berbanding virus HIV dengan gejala jangkitan seperti;
- demam kuning
- kematian akut (mengejut)
- jangkitan kronik
- kematian akibat penyakit hati yang kronik

Bagaimanapun, bukan semua orang yang mendapat penyakit hepatitis akibat HBV dan ada yang tidak mengalami masalah kesihatan dan boleh bekerja seperti biasa.

Hampir 90 peratus individu yang dijangkiti HBV mampu menyingkirkan virus tersebut melalui tindakan antibodi badan manakala 10 peratus lagi menjadi pembawa.

Oleh kerana itu, HBV lebih bersifat kronik dan gejala kesihatan biasanya muncul apabila usia menjangkau umur 40 tahun.

Di kalangan pesakit, dianggarkan 20 hingga 25 peratus mengalami masalah sirosis hati (sel hati mati, mengeras dan menyebabkan parut).

Daripada jumlah yang mengalami sirosis hati ini, kira-kira lima hingga 10 peratus mendapat kanser hati.

Jangkitan HBV boleh dikesan melalui pemeriksaan fungsi hati terutama ujian paras enzim hati (ALT).

Biasanya bagi individu yang dijangkiti, paras antibodi adalah tinggi, walaupun hatinya boleh berfungsi secara normal.
Selain itu, ujian yang boleh dilakukan bagi mengesan jangkitan virus ini adalah melalui proses serologi, imbasan bunyi, DNA bagi mengesan HBV dan biopsi hati untuk mengesan darjah keradangan atau kehadiran fibrosis (tisu hati bengkak dan bertukar menjadi parut).
Rawatan yang ada sekarang adalah untuk memperlahankan dan memberhentikan tindakan HBV daripada terus merosakkan hati.

Ianya diberikan dalam bentuk suntikan yang perlu diambil tiga kali setiap minggu dalam tempoh empat hingga enam bulan.

Pesakit juga perlu mendapatkan pemeriksaan susulan setiap enam bulan atau setahun sekali bagi memastikan tiada keradangan baru pada hati mereka.
Sebagai perlindungan, anda boleh mengambil vaksin Heptitis B yang diberikan dalam tiga dos dengan jarak tiga bulan setiap suntikan.

* Virus Hepatitis C

Hepatitis C dikategorikan sebagai penyakit kronik. Virus ini dikenali sebagai HCV dan boleh berjangkit melalui perkongsian jarum suntikan dengan individu yang dijangkiti, menerima darah atau menjalani pembedahan pemindahan organ sebelum 1995, menjalani dialisis darah dalam tempoh berpanjangan, hubungan seks (terutama yang kerap bertukar pasangan), akupuntur dan jangkitan dari ibu kepada bayi ketika bersalin.

HVC mempunyai tempoh inkubasi antara enam hingga tujuh minggu. Antara gejala yang biasa yang dibabitkan dengan HCV adalah;

- demam kuning (30 hingga 40 peratus kes)
- demam yang tidak teruk
- sakit perut
- keletihan
- kerap mendapat jangkitan virus lain seperti virus selesema

HVC boleh menyebabkan sirosis hati dan pengambilan alkohol yang berlebihan boleh mempercepatkan proses sirosis hati di kalangan penghidap Hepatitis B dan C.

Jika seseorang itu mendapat kedua-dua jangkitan HBV dan HCV, masalah sirosis dan kanser hati akan menjadi bertambah teruk. Bagaimanapun kes ini jarang berlaku.
Ubat yang diberikan kepada pesakit HCV biasanya bertujuan menghentikan tindakan virus berkenaan dan perlu diambil melalui suntikan atau pil selama enam hingga 12 bulan.

Virus Hepatitis D

Virus Hepatitis D (HDV) dikategorikan sebagai virus yang tidak lengkap kerana ianya memerlukan HBV untuk bertindak.

Maknanya jika seseorang itu hanya dijangkiti HDV, dia tidak akan mengalami sebarang masalah.
Gejala kesihatan hanya muncul jika individu berkenaan juga dijangkiti HBV selepas dijangkiti HDV. Namun, kes seperti ini jarang berlaku.

Jika anda mengalami mana-mana gejala seperti yang telah disebutkan, segera jalani ujian lanjut untuk hepatitis, terutamanya bagi individu yang lahir sebelum 1989.

Berbincang dengan doktor mengenai kaedah rawatan yang sesuai dengan anda.

Individu yang disahkan bebas daripada jangkitan mana-mana virus hepatitis disaran mengambil suntikan vaksin sebagai perlindungan.

Katarak boleh sebabkan buta

Mereka berusia 60 tahun ke atas akan alami pembentukan penglihatan seakan ‘berawan’ KATARAK bukan penyakit.

Setiap orang berusia 60 tahun ke atas akan mengalaminya. Dianggarkan, kira-kira 60,000 prosedur katarak dilakukan setiap tahun di Malaysia dan lebih 18 juta prosedur sama dilakukan di seluruh dunia. Pakar Runding Oftalmologis dan Bedah Mata, Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC), Dr Choong Yee Fong, berkata walaupun pembedahan membuang katarak dianggap prosedur pembedahan optikal yang biasa, tidak semua orang berpeluang berbuat demikian.
Pendaftar Pembedahan Katarak Kebangsaan (NCSR) merekodkan sekitar 60,000 kes pembedahan katarak dilakukan pada 2006 sedangkan berdasarkan populasi dan demografi penduduk negara ini, kira-kira 140,000 orang memerlukan pembedahan pembuangan katarak setiap tahun. Justeru, daripada angka itu 80,000 orang yang berhadapan dengan katarak tidak mendapat rawatan sepatutnya. Dr Choong berkata, banyak faktor menyebabkan masalah katarak tidak dapat ditangani meskipun ia hanya membabitkan pembedahan kecil yang singkat. Antaranya, kurang kefahaman, perasaan takut berlebihan selain capaian kepada kemudahan perubatan yang terhad tidak termasuk proses menunggu giliran pembedahan yang lama.
Di hospital kerajaan misalnya, pesakit perlu menunggu sekurang-kurangnya setahun sebelum boleh dibedah. Dr Choong berkata, secara umumnya katarak adalah pembentukan penglihatan seakan ‘berawan’ di kanta mata. Ia disebabkan proses penuaan mata. Katarak mengganggu kemasukan cahaya ke kanta mata. Gangguan itu menyebabkan pesakit mengalami masalah penglihatan seperti pandangan kabur, pandangan berganda (double vision), penglihatan warna yang terjejas dan sukar melihat cahaya terang. Pada peringkat awal pembentukannya, katarak tidak begitu mengganggu tetapi lama kelamaan apabila ia menjadi matang dan terlalu banyak, ia menyekat kemasukan cahaya ke retina.

“Katarak selalunya menjejaskan seorang daripada enam orang berusia 40 tahun. pada masa itu, katarak menyerang sebelah mata saja manakala pada usia 75 tahun, katarak boleh terjadi pada kedua-dua belah mata.

“Katarak boleh menyebabkan buta jika dibiarkan tanpa dirawat. Simptom katarak semakin teruk setiap bulan dan tahun. Sehingga kini, tiada ubat atau perubahan dalam diet boleh mencegah katarak atau berupaya ‘membersihkan’ kanta mata,” katanya.

Menjelang 2025, dianggarkan 40 juta orang buta kerana katarak di seluruh dunia. Di Malaysia saja, 100,000 kes baru katarak saban tahun dengan 85 peratus membabitkan mereka yang berusia 75 tahun ke atas. Rawatan katarak Sehingga kini, pembedahan adalah cara terbaik mengubati katarak. Tiada ubat atau pendekatan mengubah tabiat pemakanan yang boleh menyembuhkan katarak. Pembedahan biasanya membabitkan pembuangan kanta mata yang terjejas sebelum menggantikannya dengan kanta tiruan yang dikenali sebagai ‘intraocular lens” (IOL). Prosedur rawatan yang biasa bagi katarak di Malaysia dikenali sebagai “phacoemulsification’ - satu turisan kecil akan dibuat di kornea bagi membolehkan jarum kecil dimasukkan. Ia bertindak memancarkan gelombang ultrasonik dan memecahkan katarak. Kemudian, kanta tiruan dimasukkan bagi menggantikan kanta yang dikeluarkan. Prosedur ini mengambil masa antara 20 hingga 30 minit. Dr Choong berkata, pembedahan ini juga boleh menyebabkan komplikasi tetapi bukan kepada semua orang dan jika terjadi, komplikasi itu boleh dirawat.

“Kadang kala komplikasinya termasuk keradangan, jangkitan, pendarahan, bengkak dan glaukoma. Risikonya lebih besar kepada mereka yang berhadapan dengan penyakit mata atau masalah perubatan yang serius,” katanya.

Terbaru, Bausch & Lomb merintis inovasi teknologi terkini dengan tusukan mikro dikenal sebagai Proses pembedahan katarak mikro (MICS). Ketika ini, pembedahan membuang katarak menyaksikan pakar bedah mata membuat pembedahan tusukan di mata berukuran 2.65 milimeter atau lebih di kornea sebelum meletakkan kanta tiruan. Bagaimanapun, dengan sistem baru MICS, pakar bedah hanya membuat tusukan berukuran 1.8mm saja tanpa memanjangkan masa pembedahan. Malah, menerusi MCIS, penglihatan dapat dipulihkan dengan cepat.

INFO: Simptom

Pandangan yang ‘berawan’, kelabu atau kelam

Kesukaran melihat di waktu malam

Sensitif terhadap cahaya (silau)

Pandangan pada warna yang kabur

Penglihatan berkembar Fakta katarak

Katarak adalah keadaan yang terjadi dalam kanta mata.

Katarak adalah protein yang diubah dari bentuk asalnya.

Awalnya katarak tidak mendatangkan masalah tetapi apabila ia sudah matang, ‘awan’ dalam kanta meningkat.

Ia menyebabkan kurang cahaya masuk ke retina dan menyebabkan kehilangan penglihatan dan buta.

Gerd, gastrik berbeza


Gerd terjadi selepas asid dalam perut melimpah ke ruang saluran makanan manakala gastrik berpunca daripada asid rosakkan dinding lapisan perut MASALAH asid refluk atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai gastro-esophageal reflux disease (Gerd) adalah penyakit yang sering dialami setiap orang. Bagaimanapun, tidak ramai yang mengenali masalah Gerd dan sebab itu ia dirujuk sebagai penyakit gastrik. Sungguhpun simptom Gerd dan gastrik banyak persamaannya tetapi punca dan fisiologinya berbeza.

Pakar Perunding Bedah Gastro Usus dan Laparaskopik Lanjutan, Pusat Perubatan Pantai, Dr Abdul Fahmi Abdul Karim, berkata Gerd terjadi apabila asid yang berada di dalam perut melimpah ke ruang saluran makanan (esofagus) manakala gastrik pula berpunca daripada asid yang merosakkan dinding lapisan perut.

Dr Fahmi berkata, Gerd menyebabkan radang, pedih ulu hati dan lain-lain komplikasi pada esofagus. Masalah Gerd terjadi apabila cecair asid, angin atau makanan dari dalam perut naik semula ke esofagus. Ini disebabkan kelemahan otot di persimpangan antara perut dan esofagus untuk mencegahnya daripada naik semula ke saluran makanan. Kebanyakan orang memahami Gerd adalah penyakit seumur hidup.

Rawatan terbaik untuk mengawalnya ialah dengan pengambilan ubat. Bagaimanapun, perlu difahami pengawalan bukanlah penyembuhan. Malah, ada kalanya pengambilan ubat dalam tempoh yang lama, misalnya berbelas-belas tahun akan memberi kesan sampingan kepada pesakit.

Katanya, sebenarnya, Gerd tidak perlu dideritai seumur hidup. Dr Fahmi berkata, ramai yang tidak mengetahui adanya pilihan rawatan melalui pembedahan yang memungkinkan Gerd disembuhkan sepenuhnya. Menerusi kaedah pembedahan yang dikenali sebagai pembedahan laparoskopik antirefluk atau 'Floppy Nissen Fundoplication', pesakit hanya perlu menjalani pembedahan antara satu hingga dua jam. Selepas dibedah, pesakit tidak perlu lagi mengambil ubat-ubatan susulan sepanjang hayat. "Secara terperinci, dalam keadaan normal, ada sempadan antara esofagus dan perut yang dikenali sebagai 'oesophago-gastic junction' atau singkatnya disebut OG-junction.

"Simpang ini dikawal oleh otot pencerut (otot sfinkter) di bawah esofagus. Pada keadaan biasa, otot ini menghalang asid masuk ke esofagus. Bagaimanapun, bagi pesakit Gerd, otot pencerut ini tidak berfungsi dengan baik untuk menghalang asid perut mengalir ke atas," katanya.

Mengenali pembedahan laparoskopik antirefluk

Dr Fahmi berkata, berbanding prosedur pembedahan terbuka, pembedahan laparoskopik antirefluk berupaya menangani Gerd dengan berkesan. "Pembedahan ini membabitkan lima tusukan kecil pada abdomen. Satu tebukan digunakan untuk laparoscope (tiub kecil panjang yang dilengkapkan dengan video kamera dihujungnya) dan empat lagi bagi memanipulasi dan menarik (retract) struktur organ perut bagi melakukan pembedahan," katanya.

Berbanding pembedahan terbuka, katanya prosedur pembedahan laparoskopik memberi lebih banyak manfaat. Pesakit boleh keluar dari hospital dalam masa dua atau tiga hari saja. Malah, ia kurang sakit kerana tidak ada torehan besar dibuat. Dalam masa seminggu selepas pembedahan pula, pesakit boleh kembali bekerja.

Beliau berkata, ketika pembedahan, bahagian atas perut (dikenali sebagai fundus) akan dibalut di sekeliling esofagus. Jika pesakit turut mengalami masalah hiatus hernia, otot diafragma yang dikenali sebagai 'Crura diaphragm' juga akan dijahit semula. "Pembedahan ini bertujuan menguatkan injap antara esofagus dan perut. Injap baru yang direka mampu menghalang asid naik semula ke esofagus dengan mudah. Ini membolehkan esofagus sembuh daripada radang akibat asid.

"Jika pesakit Gerd itu juga mengalami masalah angin dan sendawa berlebihan yang menyebabkan simptom Gerd, keadaan itu juga mampu diperbaiki selepas pembedahan," katanya. Dr Fahmi berkata, pembedahan ini direka bagi memperbaiki fungsi perut dan esofagus dengan bertindak menghasilkan injap tiruan di atas perut yang boleh menghalang isi perut dari naik semula ke esofagus. Pembedahan itu juga berupaya menghalang esotan (erosion) esofagus, selain pelbagai gejala lain akibat daripada asid refluk dapat ditangani

Sepintas lalu mengenai Gerd

Perut anda dipenuhi dengan asid yang bertindak membantu percernaan makanan. Mungkin anda tidak tahu, asid ini sama tahap keasidannya dengan asid bateri. Walaupun struktur perut memang berupaya mengendalikan asid yang terhasil ini tetapi tidak pada esofagus. Justeru, apabila asid naik semula ke esofagus, ia menyebabkan rasa terbakar yang dikenali sebagai pedih ulu hati. Secara umum, semua orang pernah merasai pedih ulu hati tetapi tidak terlalu kerap.

Bagaimanapun, jika keadaan ini berlanjutan selama lebih dari satu jam sehari dan sering melanda, anda mungkin berhadapan dengan Gerd. Simptom lain termasuk rasa mual atau muntah, perut kembung atau angin, sesak nafas terutama apabila berbaring dan sendawa kuat yang berlebihan. Kesakitan di dada yang sering dialami oleh pesakit Gerd kadangkala disalah anggap sebagai penyakit jantung. Ia terjadi apabila otot pencerut sfinkter tidak tertutup dengan sempurna. Ini menyebabkan asid naik semula ke esofagus. Gerd dalah masalah kronik yang menyebabkan komplikasi serius.

INFO: Mengapa pembedahan perlu dilakukan?

Rawatan dengan ubat-ubatan tidak lagi menyembuhkan simptom secara sempurna. Simptom akan muncul kembali apabila pesakit menghentikan pengambilan ubat.

Ada pesakit yang tidak boleh mengambil ubat kerana sudah berbuat demikian dalam tempoh yang terlalu lama.

Munculnya komplikasi membahayakan akibat daripada Gerd seperti ulser, pendarahan atau tanda awal barah.

Gejala Gerd yang serius sehingga mengganggu kualiti kehidupan seperti pedih hulu hati berlebihan, gangguan tidur kerana sakit atau susah bernafas, sakit dada keterlaluan yang seakan-akan sakit jantung atau sendawa yang kerap dan kuat.

Apa yang perlu anda tahu mengenai Gerd, ERD dan pembedahan laparaskopik antirefluk.

Gerd yang tidak dirawat akan menyebabkan pelbagai komplikasi seperti ulser dan barah esofagus.

Gerd perlu dikawal dengan ubat-ubatan sepanjang usia sekiranya tidak memerlukan pembedahan. Bagaimanapun, tidak semua kes Gerd dapat dikawal dengan ubat.

Pembedahan laparaskopik membantu menghilangkan rasa sakit kerana pedih ulu hati.

Pembedahan membantu pesakit tidur dengan tenang dan selesa.

Cepat sembuh dan kurang komplikasi berbanding pembedahan terbuka.

Sunday, February 10, 2008

Pengurusan kesakitan jamin kelegaan lebih lama

Pengambilan ubat ikut jadual mampu beri kawalan sakit lebih baik

KESAKITAN sering kali menjejaskan keselesaan seseorang sama ada ketika bekerja atau ketika menjalani kehidupan seharian, kata Profesor Perubatan dan Toksikologi Klinikal, Universiti Newcastle, Prof Alison Jones. Beliau berkata, ada dua kategori utama manusia yang memerlukan kelegaan daripada kesakitan, iaitu pertama adalah mereka yang memerlukan pil melegakan kesakitan sekali sekala iaitu apabila sakit kepala, sakit gigi atau apabila diserang demam.
Katanya, kumpulan kedua pula membabitkan mereka yang memerlukan kelegaan sakit secara lebih kerap (setiap hari misalnya) untuk tempoh beberapa bulan atau tahun. "Selalunya golongan pengguna jangka panjang ini memerlukan kelegaan berterusan kerana menghidap masalah kronik seperti osteoartritis atau sakit otot dan sendi akibat penuaan," katanya. Prof Alison berkata, dalam situasi seperti ini setiap orang perlu memahami konsep pengurusan kesakitan.
"Ia bermula dengan mengambil ubat mengikut jadual bagi memberikan kawalan sakit yang lebih baik dan kelegaan berterusan," katanya . Katanya, tidak kira sama ada anda menggunakan ubat pelega sakit untuk tempoh sehari atau setahun, anda perlu sedar bahawa bukan semua ubat pelega kesakitan adalah sama. "Ramai orang mengambil ubat atas budi bicara sendiri selepas mereka berasa sakit. Mereka selalunya memutuskan sendiri apa penyakit yang dialami tanpa merujuk kepada doktor. Justeru, mereka akan mengambil ubat yang disimpan di peti kecemasan atau yang dipinjam daripada kawan. "Ada juga sebilangan orang yang membeli ubat daripada ahli farmasi atau mendapatkan bekalan terus daripada kedai," katanya.
Prof Alison berkata, secara umum, amalan mengambil ubat sendiri tidak menimbulkan masalah selagi pengguna teliti memilih ubat yang sesuai dan mematuhi arahan penggunaan, khususnya dari segi dos. "Pengambilan dos yang kurang daripada disyorkan tidak akan memberikan kelegaan secukupnya manakala menunggu terlalu lama sebelum dos seterusnya akan menyebabkan sakit menyerang kembali," katanya. Justeru, kata Prof Alison, keadaan ini akan menjadikannya lebih sukar untuk dikawal atau diuruskan. Secara jelas, masalah bukan terletak pada ubat, tetapi cara ubat diambil. Evolusi ubat pelega kesakitan atau analgesia selama ini sudah menyaksikan pelbagai kelas ubat berbeza terhasil. Daripada parasetamol yang sudah digunakan secara meluas dan terbukti berkesan kepada versi lebih baru ubat anti radang bukan steroid (NSAID) yang dinamakan perencat COX-2. Walaupun NSAID dan perencat COX-2 baru adalah ubat yang berkesan, ada juga bukti jelas bahawa penggunaannya meningkatkan risiko kejadian kardiovaskular dan pendarahan gastrousus, menjadikannya tidak sesuai bagi warga tua, pesakit yang mengalami kegagalan jantung (kongestif), penghidap penyakit hati dan pesakit buah pinggang (seperti kegagalan renal kronik). Di Amerika Syarikat, kos merawat kerumitan disebabkan pengambilan NSAID mencecah lebih AS$2 bilion setahun. Prof Alison berkata, oleh itu pesakit dinasihatkan supaya mengetahui ubat yang diambil tidak kiralah sama ada ubat yang dibeli menerusi kaunter atau yang dipreskripsi doktor. Katanya, apabila berjumpa doktor, penting untuk pesakit memberitahu mengenai sebarang ubat yang sedang dan sudah diambil mereka. Ini kerana NSAID berpotensi untuk berinteraksi dengan ubat lain. Sebagai peraturan umum, pesakit harus berjumpa seorang doktor tetap supaya rekod penjagaan kesihatan lengkap mereka berada di satu tempat. Selain itu, pesakit sepatutnya tahu nama ubat yang dipreskripsi, tujuan ubat itu diambil, kekerapan penggunaan dan kesan sampingannya. Dalam apa jua keadaan apabila ubat pelega sakit atau sebarang ubat lain diperlukan, pesakit perlu mencuba pilihan paling selamat terlebih dahulu. Doktor sering merujuknya sebagai nisbah risiko manfaat. Dengan kata mudah, manfaat rawatan hendaklah mengatasi risikonya. Sehingga kini, bagi melegakan kesakitan, parasetamol tetap menjadi analgesia yang memberi profil keselamatan terbaik. Ini kerana ia mempunyai risiko kesan sampingan yang rendah, sejarah penggunaan selamat yang lama dan data klinikal terbukti yang menunjukkan keberkesanannya melegakan sakit. Tambahan lagi, parasetamol tidak berinteraksi dengan sebarang ubat lain, menjadikannya selamat dan berkesan walaupun digunakan secara serentak dengan ubat lain. Disebabkan faktor ini, ia sering disenaraikan dalam bahan pendidikan pesakit dan juga panduan amalan klinikal sebagai terapi pilihan pertama bagi melegakan kesakitan. Bagaimanapun, sebarang penggunaan ubat pelega kesakitan dalam jangka panjang harus dibuat berasaskan nasihat doktor. Kunjungan susulan perlu dibuat dari semasa ke semasa untuk memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik dengan keputusan terbaik.

Hepatitis B punca 80 peratus barah hati

GAMBAR hati yang diserang sirosis (atas) dan hati normal

Ramai tidak tahu virus hepatitis 100 kali lebih berjangkit daripada HIV


HEPATITIS B adalah jangkitan hati yang serius disebabkan virus hepatitis B (HBV). Bagi sebilangan orang, jangkitan itu boleh bertukar menjadi kronik sehingga membawa kepada kegagalan hati, barah hati atau sirrosis (keadaan yang menyebabkan hati berparut untuk selama-lamanya). Malah, HBV dikatakan punca utama barah hati dan sirrosis yang kronik. Mengikut statistik, hepatitis B kronik menduduki tangga ke 10 dalam carta punca kematian paling utama di seluruh dunia dengan kira-kira 350 juta orang dijangkiti sepanjang hayat.
Malah, hepatitis B kronik juga menjadi punca 80 peratus daripada barah hati utama dunia. Dianggarkan setiap tahun kira-kira 1.2 juta individu meninggal dunia akibat penyakit hati kronik yang berkaitan dengan hepatitis B. Di Malaysia, dianggarkan 5.24 peratus penduduk mengalami hepatitis B (kira-kira 1.3 juta). Secara saintifiknya, hepatitis B berpunca daripada virus hepatitis B yang menyerang sel hati. Virus ini boleh dipindahkan daripada ibu kepada anak ketika proses kelahiran atau menerusi pemindahan darah atau pendedahan terhadap darah dan bendalir lain daripada pesakit. Virus ini 100 kali lebih berjangkit daripada HIV, dan kebanyakan orang tidak menyedari mereka dijangkiti. Ini kerana gejala penyakit hepatitis B mungkin tidak muncul dengan serta-merta. Justeru, ramai pesakit hepatitis B kronik mengambil sikap sambil lewa dalam mendapatkan pemeriksaan. Sikap ini juga mungkin didorong oleh kurangnya pengetahuan mengenai program rawatan yang khusus untuk mengawal virus hepatitis B.
GAMBAR hati yang diserang sirosis (atas) dan hati normal.
Presiden Yayasan Hepar Malaysia (MLF) yang juga Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata penting untuk pesakit hepatitis B kronik mendapatkan pemeriksaan menyeluruh bagi menentukan tahap penyakit mereka supaya rawatan yang khusus boleh dijalankan. Katanya, ada juga kes membabitkan segelintir doktor yang tidak mengetahui wujudnya protokol rawatan untuk pesakit hepatitis B. Ini menyebabkan timbulnya salah anggap oleh pesakit yang berasakan mereka tiada harapan untuk mendapatkan rawatan. "Sikap segelintir doktor itu adalah masalah yang serius kerana pesakit yang tidak mendapatkan rawatan kemungkinan besar akan berhadapan komplikasi penyakit yang lebih serius seperti penyakit hati kronik, sirrosis dan kanser hati. "Oleh itu, pesakit hepatitis B seharusnya didiagnosis supaya dapat ditentukan sama ada rawatan diperlukan atau tidak selain jenis dan tempoh rawatan yang sesuai. Walaupun ada sebilangan pesakit yang tidak memerlukan rawatan serta-merta, mereka ini juga harus mendapatkan nasihat doktor supaya komplikasi penyakit boleh dielakkan," katanya.
Katanya, diagnosis awal serta rawatan yang betul dapat menyelamatkan nyawa. Paling penting, hepatitis B boleh merosakkan hati dan disebarkan kepada orang lain walaupun anda tiada memiliki sebarang tanda dan simptom. "Justeru, penting untuk anda membuat ujian jika anda percaya anda terdedah pada jangkitan hepatitis B," katanya. Bagaimanapun, katanya jangan terpedaya untuk membeli sebarang makanan tambahan yang boleh membaiki fungsi hati tanpa sebarang pengesahan daripada doktor pakar yang bertauliah. Gejala Bagi sesetengah orang, hepatitis B menunjukkan simptomnya pada peringkat awal (terutama bagi bayi dan kanak-kanak) tetapi bagi sesetengah yang lain pula tanda awal tidak kelihatan. Secara umumnya gejala hepatitis B akan muncul 12 minggu selepas anda dijangkiti dan ia boleh terjadi sangat serius atau pada tahap 'lemah' (mild). Rawatan Ada banyak rawatan hepatitis B yang ada di pasaran. Antaranya Sebivo® yang dilancarkan Novartis Corporation (Malaysia) Sdn Bhd. Sebivo adalah ubat oral sekali sehari yang boleh diambil bersama atau tanpa makanan. Ia berfungsi dengan mengekang HBV secara pantas dan berkesan di kalangan pesakit dewasa yang menunjukkan tanda-tanda penggandaan virus dan radang hati aktif. Pelan rawatan bagi pesakit hepatitis B kronik bergantung kepada peringkat penyakit itu. Justeru, penting untuk pesakit menemui doktor secara berkala untuk pemeriksaan walaupun mereka tidak memerlukan ubat buat masa ini. Ini bagi menentukan rancangan pengurusan dan jenis terapi yang sewajarnya berasaskan keadaan mereka. Pengesanan awal amat penting kerana ia boleh mencegah kerumitan serius yang dihadapi pesakit pada masa depan dan membantu meningkatkan kualiti kehidupan.


INFO: Simptom hepatitis B


Kurang selera makan
Loya dan muntah
Lemah dan pening
Sakit perut terutama di sekeliling atau berdekatan hati
Air kencing berwarna gelap
Kulit yang kekuningan dan mata berwarna putih (jaundis)
Sakit sendi.

Berat badan ideal, senaman elak sakit sendi

BUKAN saja sakit, berhadapan dengan keradangan sakit sendi pada usia muda boleh membuatkan pesakitnya murung dan menyendiri. Selalunya, masalah keradangan sendi atau arthritis dialami oleh generasi tua. Bagaimanapun, kebelakangan ini, orang muda yang berusia pertengahan 30an juga diserang arthritis. Justeru, kebanyakan orang muda ini masih bekerja dan memiliki keluarga yang sedang membesar, tentu saja arthritis mengganggu kelancaran hidup. Pakar Perunding dan Bedah Ortopedik, Trauma dan Penggantian Sendi, Pusat Perubatan Columbia Asia, Puchong, Dr Mohd Kamal Mohd Hisa, berkata arthritis adalah keradangan pada sendi yang bukan sekadar menyebabkan kesakitan malah menyebabkan sendi menjadi bengkak dan mengehadkan pergerakannya.
Dr Kamal berkata, secara umumnya arthritis kerap dikaitkan dengan orang tua. Arthritis yang dikaitkan dengan orang tua biasanya disebabkan faktor usia yang dikenali sebagai osteoarthritis. Ia paling biasa ditemui di kalangan mereka yang berusia lebih 60 tahun. “Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini orang muda juga ramai yang berhadapan dengan arthritis, tidak kira lelaki atau perempuan. Di antara faktor penyebab arthritis pada orang muda adalah kecederaan pada sendi akibat kemalangan jalan raya, aktiviti sukan lasak, terjatuh dan aktiviti yang boleh menyebabkan tekanan pada sendi secara berterusan,” katanya. Beliau berkata, kerosakan pada sendi juga boleh berlaku akibat keadaan yang dipanggil ‘Avascular Necrosis’ (kehilangan bekalan darah pada tulang yang menyebabkan ‘keruntuhan’ tulang atau sendi) terutama pada sendi tulang pinggul.
“Avascular necrosis selalunya disebabkan oleh pengambilan ubat steroid dalam tempoh jangka masa yang lama seperti mereka yang menghidapi penyakit asma atau lelah. Selain itu, ia juga terjadi pada mereka yang mengambil minuman keras secara tidak terkawal. “Keadaan berat badan yang berlebihan pada usia muda juga boleh menyebabkan tekanan yang berlebihan dan berpanjangan pada permukaan sendi lutut dan sendi pinggul yang kemudian merosakkan sendi,” katanya. Dr Kamal berkata, kerosakan sendi juga boleh berlaku di kalangan orang muda yang berhadapan penyakit seperti rheumatoid arthritis, systemic lupus erythematosus (lupus), gout dan tuberculosis. “Selain faktor usia, faktor risiko lain yang boleh menyebabkan arthritis termasuk berat badan yang berlebihan dan kecederaan pada sendi. Ia boleh menyebabkan tekanan yang berpanjangan pada permukaan sendi terutama sendi lutut dan sendi pinggul yang merosakkan sendi. Faktor genetik tidak memainkan peranan langsung dalam penyakit arthritis,” katanya.

Gejala

Gejala utama arthritis adalah keradangan pada sendi. Pada peringkat awal sendi akan berasa sakit, bengkak, panas di sekeliling sendi, pergerakan sendi menjadi terhad dan kulit pada permukaan sendi menjadi kemerahan. Dr Kamal berkata, pada peringkat serangan lanjut, sendi akan rosak dan menyebabkan kesakitan yang berpanjangan, pergerakan sendi menjadi lebih terhad dan otot di sekeliling sendi mengecil. Sendi yang boleh terbabit adalah seperti sendi jari tangan, sendi pergelangan tangan, sendi lutut, sendi pinggul, sendi buku lali dan sendi bahu. Osteoarthritis dan rheumatoid arthritis (RA) tidak boleh disembuhkan. Justeru, rawatan yang diberikan biasanya bertujuan untuk mengawal simptom penyakit dan mengelakkan keadaan penyakit menjadi bertambah teruk. Beliau berkata, dalam kes jenis arthritis yang lain, ia boleh ditangani melalui ubat-ubatan manakala rawatan pula bergantung pada penyebab arthritis itu

Diabetes potong kaki pilihan terakhir pesakit


Luka, ulser serius boleh menyebabkan komplikasi serangan jantung, jangkitan kumanLUKA yang terjadi di kaki pesakit diabetes, selalunya akan terlajak menjadi kecederaan yang besar dan akhirnya memaksa doktor memotong kaki pesakit terbabit. Bunyinya memang mengerikan dan kebanyakan orang tidak mahu kehilangan kaki, walaupun kaki itu tidak lagi sempurna. Oleh kerana tidak mahu dipotong, pesakit akan mencari rawatan lain. Bagaimanapun, mereka akhirnya meninggal dunia kerana komplikasi diabetes (seperti serangan jantung) dan jangkitan kuman tidak lama selepas itu. Pemotongan kaki (amputation) selalunya menjadi pilihan terakhir dalam merawat pesakit. Doktor biasanya akan mencuba pelbagai rawatan yang sesuai untuk menyelamatkan kaki daripada dipotong berdasarkan keadaan kesihatan pesakit. Antaranya, melakukan pembedahan pintasan saluran darah pada kaki atau prosedur angioplasti (membesarkan salur darah).

Pakar Bedah Salur Darah, Hospital Pusrawi Sdn Bhd, Dr Mazri Yahya, berkata 15 peratus pesakit diabetes akan mendapat luka atau ulser pada kaki sepanjang kehidupan mereka. Luka itu akan menjadi lebih serius sekiranya tidak diberi rawatan awal. "Lebih kurang 10 peratus pesakit diabetes tidak mempunyai pilihan rawatan lain selain kaki dipotong. Malah, di seluruh dunia, pesakit diabetis akan kehilangan kaki pada setiap 30 saat," katanya. Dr Mazri berkata, masalah kaki diabetes selalunya dikaitkan dengan PAD (peripheral arterial disease) iaitu penyempitan arteri pada kaki yang mengurangkan jumlah aliran darah.
Walaupun ia boleh juga terjadi di kalangan mereka yang bebas diabetes, tetapi PAD lebih kerap dilihat pada mereka yang diserang diabetes. Keadaan lebih teruk jika pesakit juga merokok, kandungan kolesterol yang tinggi, obesiti, darah tinggi dan menghidap penyakit buah pinggang. Katanya, walaupun diabetes boleh menjejaskan saluran darah kecil dan besar (dikenali sebagai penyakit makrovaskular dan mikrovaskular), PAD selalunya merujuk pada penyekatan pada arteri besar pada kaki yang menyebabkan masalah klinikal. "Majoriti pesakit PAD biasanya tidak tahu mereka mengalami masalah itu. Ini kerana hampir 50 peratus pesakit tidak berhadapan dengan sebarang simptom," katanya. Pesakit hanya tahu mereka berhadapan dengan PAD apabila berasa penat pada betis atau paha ketika berjalan dalam jarak tertentu. Kepenatan ini akan memaksa pesakit berehat beberapa minit untuk melegakan kesakitan sebelum menyambung semula perjalanan.

Dr Mazri berkata, keadaan itu disebabkan bertambahnya permintaan darah oleh otot kaki ketika berjalan. Bagaimanapun, pada masa yang sama bekalan darah tidak mencukupi disebabkan penyempitan saluran darah. Simptom ini akan menjadi bertambah teruk dan akhirnya akan mengganggu kehidupan pesakit. Lama kelamaan, keupayaannya untuk berjalan semakin terhad. Malah, apabila keadaan semakin teruk bergerak beberapa langkah pun boleh mengundang kesakitan. PAD yang lebih serius dan kritikal berlaku apabila pesakit berasa sakit pada hujung kaki walaupun dalam keadaan rehat atau luka atau gangrene mula kelihatan. Kesakitannya terasa seakan menekan dan sukar untuk lega. Selalunya kaki yang terjejas akan berwarna unggu (seakan lebam) dan sejuk apabila disentuh. Dalam kebanyakan kes, pesakit hanya tahu masalah arteri tersumbat apabila terjadi luka atau gangrene pada kaki. "Ulser pada kaki sebenarnya memerlukan darah yang mencukupi untuk sembuh. Jika salur darah tersumbat atau menyempit maka luka tidak akan mendapat bekalan darah yang diharapkan dan ini akan melambatkan proses penyembuhan luka.
"Sekiranya terlalu sedikit bekalan darah, penyembuhan adalah hampir mustahil. Sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan bekalan darah," katanya. Sebelum rawatan diberikan, beberapa ujian imbasan dibuat bagi menentukan kesesuaian cara rawatan. Sekiranya penyempitan saluran darah pendek, angioplasti adalah rawatan yang terbaik. Angioplasti membabitkan prosedur pembesaran salur darah menggunakan belon angioplasty. "Jika penyempitan atau penyumbatan salur darahnya panjang, pembedahan pintasan saluran darah adalah cara yang sangat berkesan. "Biasanya saluran darah vena pesakit digunakan sebagai saluran pintasan baru. Bagaimanapun, jika semua salur darah tersumbat dan tidak boleh dipulihkan, memotong kaki yang rosak adalah cara terbaik bagi mencegah jangkitan kuman," katanya.
Pembedahan pintasan salur darah
Pembedahan pintasan salur darah bukanlah boleh dilakukan kepada semua pesakit diabetes. Ada beberapa berkara yang perlu diambil kira. Antaranya pesakit memiliki salur darah pada kaki (vena) yang baik dan terdapat saluran darah arteri yang paten terutama pada buku lali. Jika tiada salur darah arteri yang sesuai, sukar untuk dibuat pintasan dan selalunya pembedahan pintasan itu akan berakhir dengan kegagalan. Rawatan angioplasti adalah cara yang sangat digalakkan bagi penyempitan salur darah yang kurang daripada tiga sentimeter (sm). Jika salur darah yang tersumbat berukuran antara 3 hingga 5sm, angioplasti atau pembedahan pintasan boleh dilakukan. Bagaimanapun, jika penyempitan yang melebihi 5sm, pembedahan pintasan adalah cara yang terbaik. Selepas pembedahan pintasan dibuat, ada beberapa cara rawatan tambahan boleh dilakukan untuk mempercepatkan proses penyembuhan. Ini termasuk penggunaan terapi oksigen hiperbarik. Ia digunakan untuk menambah ketepuan oksigen pada tisu dan seterusnya membantu penyembuhan luka.
FAKTA: Pembuluh darah sempit

30 peratus mereka yang menderita PAD selalunya ada penyakit arteri koronari
Daripada 100 orang yang diserang PAD, 16 peratus akan berasa makin lama makin teruk
7 peratus memerlukan pintasan salur darah
4 peratus perlukan pemotongan kaki

Wednesday, February 6, 2008

Miniature lab can detect deadly bird flu virus in 30 minutes


Scientists in Singapore say they have devised a mini-lab capable of identifying the H5N1 bird flu virus in less than 30 minutes, in what they believe could be a breakthrough in efforts to shore up defences against any flu pandemic.

Other commercially available tests take from several hours to a matter of days to deliver results and are many times more expensive, the inventors report in the journal Nature Medicine.
One of the big tasks in a putative pandemic of bird flu would be to identify and isolate infected people to stop them spreading the virus to others.


In the best-case scenarios, an outbreak can be halted if it does not spread beyond the first 20 cases or if it is contained within three weeks after the first case emerges.


So the ability to screen people swiftly at the point of outbreak and at migratory centres such as airports is vital -- and can only be achieved if cheap, accurate, handheld testers are available.


A team led by Juergen Pipper at the Institute of Bioengineering and Nanotechnology in Singapore drew on parts of a standard CD-ROM drive for the design of their prototype tester.
It works by taking a throat-swab sample, which is then immersed in a droplet containing so-called superparamagnetic particles, which are silica compounds that respond to a directed magnetic field.


The droplet is then placed on a tiny platform covered with a hydrophobic film. A magnet directs -- like an invisible hand -- the particles to move, mix and merge with the liquid, eventually pulling out the virus' RNA genetic code.


The genetic material is then corralled into an off-the-shelf tester, a "lab-on-a-chip."
There, the sample is washed four times to remove residual contaminants and copied many times over by polymerase chain reaction (PCR) to make it large enough to be identified accurately as a pathogen.


Compared to commercially available tests, which take a long time to isolate the virus and typically use antigens to get a telltale response, this technique "is equally sensitive and is 440 percent faster and 2,000-5,000 percent cheaper," the paper says.


The prototype has delivered accurate results within 28 minutes when tested on samples of highly pathogenic H5N1 virus.


The technique could be used to detect the viruses that cause AIDS, hepatitis B and Severe Acute Respiratory Syndrome (SARs) by extracting their RNA from blood, urine and saliva, the authors believe.


In its current form, H5N1 bird flu is highly contagious among birds but is difficult to transmit to humans, unless the individual happens to be in close proximity to sick fowl.


The worry is that the present strain will pick up genes from conventional flu viruses that will make it highly contagious among humans in addition to being lethal.

Monday, February 4, 2008

Lengkapkan jadual imunisasi cegah beguk

SEJAUH mana kebenaran tentang kepercayaan ibu bapa kita dahulu bahawa campuran nila dan cuka boleh mengubati beguk atau mumps, sehingga kini tidaklah diketahui.

Ini kerana sehingga ke hari ini tidak ada kajian secara saintifik membuktikan fungsi sebenar kedua-dua bahan itu kepada penyakit yang dikatakan berpunca daripada jangkitan virus beguk, iaitu paramyxovirus.

Konsultan Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Dr. Roliza Ibrahim berkata, ada kemungkinan apabila kedua-dua bahan itu disapu pada bahagian yang bengkak, ia memberi kesan psikologi kepada pesakit kerana sifat bahan itu yang sejuk dan mampu mengurangkan kesakitan.

Menerangkan lebih lanjut, kata Roliza, beguk adalah antara masalah biasa dialami kanak-kanak membabitkan jangkitan pada kelenjar air liur terutamanya kelenjar parotid yang terletak di bawah telinga dan melepasi tulang rahang.

Penyakit berjangkit ini bukan sahaja disebarkan secara terus oleh pesakit menerusi air liur, bersin dan batuk, tetapi juga apabila kita berkongsi cawan minuman.

Bagaimanapun kata beliau, beguk tidak lagi menjadi masalah besar kepada kanak-kanak abad ini kerana ibu bapa semakin sedar untuk melengkapkan jadual imunisasi anak.

Ini kerana beguk boleh dicegah dengan suntikan vaksin MMR (beguk, campak dan rubella) yang merupakan suntikan tiga serangkai ketika kanak-kanak berusia satu tahun.

Kata Roliza, berbanding sebelum vaksin beguk diperkenalkan, penyakit tersebut adalah salah satu daripada penyakit kanak-kanak yang sukar dielak kerana ia amat mudah berjangkit dan dijangkiti.

Di Malaysia sendiri katanya, apabila vaksin MMR mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 90-an dan diberi kepada kanak-kanak yang berusia antara 12 - 15 bulan, insiden penyakit beguk didapati semakin berkurangan.

Bagaimanapun, Roliza tidak menolak masih terdapat kalangan kanak-kanak yang menghidap penyakit tersebut di negara ini.

“Mereka biasanya datang daripada komuniti tertentu yang masih tidak percayakan vaksin dalam pencegahan penyakit beguk.

“Selain itu faktor kesibukan ibu bapa menyebabkan mereka terlupa untuk membawa anak-anak mendapatkan imunisasi MMR pada usia satu tahun,” ujarnya.

Terdapat juga kanak-kanak yang sering dilanda demam atau selesema menyebabkan imunisasi mereka tertangguh dan ini juga menyebabkan ibu bapa terlupa untuk mendapatkan vaksin MMR ini.

Menerangkan bagaimana beguk boleh merebak katanya, apabila seseorang itu bersin atau batuk, puing-puing cecair akan cepat merebak melalui udara.

Apabila berjangkit, tempoh inkubasi virus tersebut adalah di antara 14 dan 21 hari. Gejala-gejala awal akan muncul antara 14 dan 21 hari selepas seseorang itu terdedah kepada virus.
Ia akan dimulai dengan demam, keletihan, tubuh menggigil serta kelenjar parotid atau kelenjar air liur yang lain membengkak dan terasa sakit.

Katanya, kelenjar yang bengkak akan menyukarkan pesakit untuk membuka mulut, bercakap atau makan dan minum. Biasanya bengkak pada kelenjar itu sama sahaja di antara pesakit menyebabkan ia mudah dikenali.

“Selalunya hanya satu kelenjar sahaja akan membengkak dan kadang kala kedua-duanya. Ketika itu kanak-kanak mungkin akan mengadu susah untuk makan atau minum, sakit di bahagian telinga, sakit perut dan sebagainya.

“Oleh itu, ketika kanak-kanak diserang beguk mereka digalakkan memakan makanan yang lembut seperti bubur yang tidak perlu dikunyah terlalu lama dan ini secara tidak langsung mengurangkan kesakitan.

“Makanan atau minuman yang masam seperti limau atau pengambilan cuka dalam makanan harus dielak kerana ini akan menyebabkan kelenjar berasa lebih sakit. Pengambilan makanan yang masam akan merangsang kelenjar air liur, apabila ia terangsang secara tidak langsung akan menyebabkan bahagian tersebut berasa lebih sakit,’’ ujarnya.

Gejala lain termasuk sakit kepala, bahagian tengkuk berasa tegang, muntah dan tidak suka melihat cahaya.

Katanya, bengkak pada kelenjar parotid selalunya akan membesar dengan pantas dalam tempoh dua atau tiga hari dan akan mula surut selepas itu dan demam dengan suhu yang tinggi juga akan mula menurun.

Beliau menambah dengan semua gejala dan komplikasi, kebanyakan kanak-kanak yang pulih sepenuhnya daripada beguk tidak akan berhadapan dengan masalah tersebut untuk jangka masa panjang.

Berbanding kanak-kanak, kata Roliza, orang dewasa akan lebih menderita jika diserang beguk. Beguk di kalangan remaja atau dewasa lelaki misalnya, mungkin boleh menyebabkan orchitis atau radang pada buah zakar (testis). Kira-kira 10-20 peratus remaja atau dewasa yang dijangkiti beguk akan mengalami orchitis.

Kebiasaannya, kata beliau salah satu buah zakar akan membengkak dan sakit antara tujuh hingga 10 hari selepas kelenjar parotid bengkak. Ini diikuti dengan demam dengan suhu yang tinggi, menggigil, sakit kepala, sakit perut dan muntah.

Bagaimanapun, selepas tiga hingga lima hari, bengkak dan kesakitan pada buah zakar serta demam akan hilang.

Orchitis yang menyerang akan menyebabkan buah zakar yang dijangkiti menjadi lebih kecil berbanding dengan yang tidak dijangkiti. Walaupun buah zakar ini menjadi kecil, ia jarang sekali menyebabkan kemandulan, namun risiko untuk menjadi mandul tetap ada.

Menurut Rozliza, disebabkan beguk adalah jangkitan virus tiada ubat spesifik yang boleh digunakan untuk merawat jangkitan tersebut sebaliknya kanak-kanak boleh diberi ubat untuk melegakan demam dan kesakitan dan boleh dirawat di rumah.

Katanya, anak-anak yang dijangkiti beguk perlu banyak berehat dan diet mereka perlu diubah suai untuk mengurangkan proses mengunyah.

Penyakit beguk ini selalunya akan pulih tanpa banyak kesan sampingan. Namun, ia juga boleh menyebabkan komplikasi yang merbahaya seperti meningitis atau encephalitis atau radang di bahagian otak.

Oleh itu, ibu bapa dinasihatkan agar segera merujuk kepada doktor atau membawa anak ke hospital jika berlakunya simptom meningitis atau radang otak seperti muntah keterlaluan atau sawan.

APA YANG PERLU ANDA TAHU TENTANG BEGUK ATAU MUMPS
- Melibatkan jangkitan virus pada kelenjar air liur.
- Boleh diatasi dengan suntikan pelalian MMR.
- Selalunya, beguk akan didahului dengan keletihan badan dan sakit sendi yang seterusnya bengkak di bahagian kelenjar air liur (parotid) di bawah telinga dan rahang.
- Untuk lelaki dewasa, kadangkala ia boleh menyebabkan komplikasi jangkitan pada zakar (orchitis) serta kemandulan.

Sunday, February 3, 2008

Good food in early childhood improves adult wages: study

Poor children given a nutritional boost during the first two years of life earned adult wages nearly 50 percent higher than peers deprived of a food supplement, a study has shown Friday.
Previous research has pointed to a link between improved nutrition in early childhood and higher productivity later in life, looking at indicators such as body height and performance in school.

But this is the first direct evidence that eating well as an infant and toddler translates into greater earning potential as an adult, according to the study, published in the British medical journal The Lancet.

About 200 million children in less developed nations pay a terrible price for not getting the right foods when aged one and two, the period when nutrition is most critical for future health.
Iron and iodine deficiencies, for example, can lead to stunted growth, poor cognitive development and energy-sapping anaemia. Such handicaps prevents children from realising their full potential.

The study, led by John Hoddinott of the International Food Policy Research Institute in Washington D.C., analysed data on 1,424 Guatemalans aged 25 to 42 who grew up in four villages in the same region.

The children in two of the villages, enrolled during the 1970s in a nutritional supplement programme, were given a daily serving of a nutritious central American hot beverage called atole, made from corn meal, water, brown sugar, vanilla and either chocolate or fruit.
The children from the other two villages, living in virtually identical conditions, were given a less nutritious food supplement.

When Hoddinott and his team compared the two groups two and three decades later, they were startled by what they found.

The adults who had eaten the atole as tiny tots pulled in hourly wages 46 percent higher than those who had been given the low-calorie alternative.
Many of the men had jobs requiring strength and stamina, the study noted.
But surprisingly there was no similar divide in school performance or cognitive test scores, and it only applied to men.

Indeed, for the atole-nourished women the results were reversed compared to their male counterparts: the females showed improved reading skills, but very little economic gain.
The difference was explained by fewer economic opportunities for women, many of whom became homemakers, the researchers said.

The study provides evidence that there are economic, and not just humanitarian, reasons for making sure very young children are adequately fed.

"Improving nutrition in early childhood led to substantial increases in wage rates for men, which suggests that investments in early childhood nutrition can be long-term drivers of economic growth," they conclude.