Tuesday, February 19, 2008

Gerd, gastrik berbeza


Gerd terjadi selepas asid dalam perut melimpah ke ruang saluran makanan manakala gastrik berpunca daripada asid rosakkan dinding lapisan perut MASALAH asid refluk atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai gastro-esophageal reflux disease (Gerd) adalah penyakit yang sering dialami setiap orang. Bagaimanapun, tidak ramai yang mengenali masalah Gerd dan sebab itu ia dirujuk sebagai penyakit gastrik. Sungguhpun simptom Gerd dan gastrik banyak persamaannya tetapi punca dan fisiologinya berbeza.

Pakar Perunding Bedah Gastro Usus dan Laparaskopik Lanjutan, Pusat Perubatan Pantai, Dr Abdul Fahmi Abdul Karim, berkata Gerd terjadi apabila asid yang berada di dalam perut melimpah ke ruang saluran makanan (esofagus) manakala gastrik pula berpunca daripada asid yang merosakkan dinding lapisan perut.

Dr Fahmi berkata, Gerd menyebabkan radang, pedih ulu hati dan lain-lain komplikasi pada esofagus. Masalah Gerd terjadi apabila cecair asid, angin atau makanan dari dalam perut naik semula ke esofagus. Ini disebabkan kelemahan otot di persimpangan antara perut dan esofagus untuk mencegahnya daripada naik semula ke saluran makanan. Kebanyakan orang memahami Gerd adalah penyakit seumur hidup.

Rawatan terbaik untuk mengawalnya ialah dengan pengambilan ubat. Bagaimanapun, perlu difahami pengawalan bukanlah penyembuhan. Malah, ada kalanya pengambilan ubat dalam tempoh yang lama, misalnya berbelas-belas tahun akan memberi kesan sampingan kepada pesakit.

Katanya, sebenarnya, Gerd tidak perlu dideritai seumur hidup. Dr Fahmi berkata, ramai yang tidak mengetahui adanya pilihan rawatan melalui pembedahan yang memungkinkan Gerd disembuhkan sepenuhnya. Menerusi kaedah pembedahan yang dikenali sebagai pembedahan laparoskopik antirefluk atau 'Floppy Nissen Fundoplication', pesakit hanya perlu menjalani pembedahan antara satu hingga dua jam. Selepas dibedah, pesakit tidak perlu lagi mengambil ubat-ubatan susulan sepanjang hayat. "Secara terperinci, dalam keadaan normal, ada sempadan antara esofagus dan perut yang dikenali sebagai 'oesophago-gastic junction' atau singkatnya disebut OG-junction.

"Simpang ini dikawal oleh otot pencerut (otot sfinkter) di bawah esofagus. Pada keadaan biasa, otot ini menghalang asid masuk ke esofagus. Bagaimanapun, bagi pesakit Gerd, otot pencerut ini tidak berfungsi dengan baik untuk menghalang asid perut mengalir ke atas," katanya.

Mengenali pembedahan laparoskopik antirefluk

Dr Fahmi berkata, berbanding prosedur pembedahan terbuka, pembedahan laparoskopik antirefluk berupaya menangani Gerd dengan berkesan. "Pembedahan ini membabitkan lima tusukan kecil pada abdomen. Satu tebukan digunakan untuk laparoscope (tiub kecil panjang yang dilengkapkan dengan video kamera dihujungnya) dan empat lagi bagi memanipulasi dan menarik (retract) struktur organ perut bagi melakukan pembedahan," katanya.

Berbanding pembedahan terbuka, katanya prosedur pembedahan laparoskopik memberi lebih banyak manfaat. Pesakit boleh keluar dari hospital dalam masa dua atau tiga hari saja. Malah, ia kurang sakit kerana tidak ada torehan besar dibuat. Dalam masa seminggu selepas pembedahan pula, pesakit boleh kembali bekerja.

Beliau berkata, ketika pembedahan, bahagian atas perut (dikenali sebagai fundus) akan dibalut di sekeliling esofagus. Jika pesakit turut mengalami masalah hiatus hernia, otot diafragma yang dikenali sebagai 'Crura diaphragm' juga akan dijahit semula. "Pembedahan ini bertujuan menguatkan injap antara esofagus dan perut. Injap baru yang direka mampu menghalang asid naik semula ke esofagus dengan mudah. Ini membolehkan esofagus sembuh daripada radang akibat asid.

"Jika pesakit Gerd itu juga mengalami masalah angin dan sendawa berlebihan yang menyebabkan simptom Gerd, keadaan itu juga mampu diperbaiki selepas pembedahan," katanya. Dr Fahmi berkata, pembedahan ini direka bagi memperbaiki fungsi perut dan esofagus dengan bertindak menghasilkan injap tiruan di atas perut yang boleh menghalang isi perut dari naik semula ke esofagus. Pembedahan itu juga berupaya menghalang esotan (erosion) esofagus, selain pelbagai gejala lain akibat daripada asid refluk dapat ditangani

Sepintas lalu mengenai Gerd

Perut anda dipenuhi dengan asid yang bertindak membantu percernaan makanan. Mungkin anda tidak tahu, asid ini sama tahap keasidannya dengan asid bateri. Walaupun struktur perut memang berupaya mengendalikan asid yang terhasil ini tetapi tidak pada esofagus. Justeru, apabila asid naik semula ke esofagus, ia menyebabkan rasa terbakar yang dikenali sebagai pedih ulu hati. Secara umum, semua orang pernah merasai pedih ulu hati tetapi tidak terlalu kerap.

Bagaimanapun, jika keadaan ini berlanjutan selama lebih dari satu jam sehari dan sering melanda, anda mungkin berhadapan dengan Gerd. Simptom lain termasuk rasa mual atau muntah, perut kembung atau angin, sesak nafas terutama apabila berbaring dan sendawa kuat yang berlebihan. Kesakitan di dada yang sering dialami oleh pesakit Gerd kadangkala disalah anggap sebagai penyakit jantung. Ia terjadi apabila otot pencerut sfinkter tidak tertutup dengan sempurna. Ini menyebabkan asid naik semula ke esofagus. Gerd dalah masalah kronik yang menyebabkan komplikasi serius.

INFO: Mengapa pembedahan perlu dilakukan?

Rawatan dengan ubat-ubatan tidak lagi menyembuhkan simptom secara sempurna. Simptom akan muncul kembali apabila pesakit menghentikan pengambilan ubat.

Ada pesakit yang tidak boleh mengambil ubat kerana sudah berbuat demikian dalam tempoh yang terlalu lama.

Munculnya komplikasi membahayakan akibat daripada Gerd seperti ulser, pendarahan atau tanda awal barah.

Gejala Gerd yang serius sehingga mengganggu kualiti kehidupan seperti pedih hulu hati berlebihan, gangguan tidur kerana sakit atau susah bernafas, sakit dada keterlaluan yang seakan-akan sakit jantung atau sendawa yang kerap dan kuat.

Apa yang perlu anda tahu mengenai Gerd, ERD dan pembedahan laparaskopik antirefluk.

Gerd yang tidak dirawat akan menyebabkan pelbagai komplikasi seperti ulser dan barah esofagus.

Gerd perlu dikawal dengan ubat-ubatan sepanjang usia sekiranya tidak memerlukan pembedahan. Bagaimanapun, tidak semua kes Gerd dapat dikawal dengan ubat.

Pembedahan laparaskopik membantu menghilangkan rasa sakit kerana pedih ulu hati.

Pembedahan membantu pesakit tidur dengan tenang dan selesa.

Cepat sembuh dan kurang komplikasi berbanding pembedahan terbuka.

No comments: