KITA semua tahu kesan dan manfaat senaman ke atas kecergasan fizikal yang sudah lama dikaji dan dicatatkan oleh pakar dalam bidang fisiologi, pendidikan jasmani, ahli sains, doktor dan jurulatih. Hasilnya menunjukkan kesan yang diheboh-hebohkan mengenai peningkatan tahap tenaga daripada senaman yang konsisten sebenarnya adalah suatu tanggapan salah.
Penambahan tahap tenaga itu sebenarnya datang daripada senaman itu sendiri. Dengan menggunakan jumlah tenaga terhad yang ada dengan lebih berkesan, tenaga itu dapat disimpan bagi kegunaan lain, yang memberikan gambaran bahawa orang yang cergas mempunyai lebih banyak tenaga berbanding orang tidak cergas. Senaman mempunyai kesan ke atas sistem kardiovaskular dan pernafasan. Ini kerana jantung adalah suatu organ berotot dan senaman memperkuatkannya seperti juga senaman memperkuatkan otot tangan dan kaki. Oleh itu, jantung seseorang yang cergas berupaya mengepam dengan lebih berkesan daripada jantung orang tidak cergas.
Senaman juga mempunyai kesan ke atas pengecutan gentian otot, koordinasi, kelenturan dan ketangkasan seseorang. Peningkatan dalam kekuatan otot, ketahanan dan keadaan otot menerusi senaman sudah banyak dicatatkan. Hasil kajian dalam bidang itu digunakan dalam pelbagai kaedah yang digunakan untuk melatih ahli sukan dan juga dalam rawatan pesakit yang menghidap penyakit perubatan untuk mempercepatkan kadar pemulihan. Kesan regimen senaman yang konsisten hanya dapat dilihat secara beransur-ansur, dan banyak bergantung kepada tahap kecergasan seseorang itu. Orang biasa boleh menjangkakan hasil selepas empat hingga enam minggu tetapi perbezaan bermula daripada kira-kira minggu yang ketiga. Sesiapa yang mengharapkan hasil serta-merta akan kecewa. Dalam pengalaman mana-mana regimen senaman, badan anda perlu dirapikan terlebih dulu untuk menerima beban senaman. Hanya selepas fasa itu dicapai badan anda akan bersedia menerima cabaran senaman lebih berat. Inilah sebabnya sesiapa yang baru hendak bermula dinasihatkan dengan senaman ringan dan meningkatkannya secara beransur-ansur. Jika tidak otot akan sakit dan tercedera yang bukan saja tidak membantu tubuh sebaliknya memudaratkannya.
Kecergasan itu apabila dicapai bukan untuk selama-lamanya. Anda masih perlu berusaha mengekalkannya. Hukum amnya ialah, ia mengambil kira-kira dua kali jumlah masa yang diambil untuk anda mencapai tahap kecergasan tertentu untuk tahap merosot kembali ke tahap permulaan anda. Jadi, jika anda telah bersenam dengan tekun selama dua minggu, kecergasan anda akan kembali ke tahap asalnya dalam masa empat minggu jika anda berhenti bersenam di peringkat itu. Ahli sukan yang tidak dapat berlatih disebabkan kecederaan sering kali mendapati diri mereka terpaksa bermula dari peringkat permulaan selepas mereka kembali pulih. Ini juga sebab ahli sukan yang mempunyai abdomen kempis yang menampakkan otot tiba-tiba mendapati perut mereka buncit walaupun hanya baru setahun bersara daripada bersukan secara aktif.
Kesihatan
Di samping segala manfaat yang dapat diperoleh daripada senaman yang tetap yang dibincangkan di atas, satu lagi manfaat penting adalah kesihatan menyeluruh yang lebih baik. Tidak diragui lagi bahawa senaman tetap membantu mengurangkan risiko masalah kesihatan yang besar. Dalam bahagian ini, saya ingin membincangkan lima penyakit utama yang berkaitan dengan kekurangan kegiatan fizikal.
Akronim bagi mereka adalah "HAVOC" dan ia adalah singkatan bagi:
H - Hipertensi (hypertension)
A - Artritis (Arthritis)
V - Penyakit jantung (Vascular Diseases)
O - Kegemukan berlebihan (Obesity)
C - Kanser (Cancer)
Tuesday, June 3, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment