Saturday, October 18, 2008

Penyakit TB dan Mata


TUBERKULOSIS atau singkatannya TB (tibi), diketahui umum lazim menyerang paru-paru dan menimbulkan gejala-gejala seperti:

- Batuk yang berpanjangan
- Batuk berdarah
- Demam panas
- Sesak nafas
- Kurang selera makan
- Turun berat badan

Penyakit TB disebabkan oleh kuman Mycobacterium tuberculosis iaitu sejenis bakteria yang memasuki sistem pernafasan seseorang individu melalui udara.

Ia juga boleh memasuki badan manusia melalui sistem pemakanan. Kuman TB disebarkan dari seorang pesakit yang mempunyai kuman ini di dalam kahak atau titisan air dalam nafasnya apabila individu tersebut batuk atau bersin.

Tidak hairanlah ia biasa disebarkan di kalangan ahli keluarga, jiran tetangga atau kepada rakan sekerja yang terdekat.

Pesakit TB yang tidak mendapat rawatan boleh menjangkiti 10 ke 15 orang individu yang lain dalam masa setahun.

Penghidap TB yang tidak mendapat rawatan juga selalunya akan berakhir dengan kematian.

Walaupun kaedah perubatan semakin moden dan canggih, kadar penyakit TB masih tinggi terutamanya di negara-negara Asia Tenggara (termasuk Malaysia) dan Afrika.

Kajian epidemiologi mendedahkan anggaran terdapat lebih 2 billion penghidap TB di dunia kini.
Dalam tahun 2006, kira-kira 1.5 juta kematian dikesan berpunca daripada TB.

Kuman TB mungkin merebak kerana terdapat pesakit-pesakit TB yang tidak dikesan di peringkat awal.

Bagaimanapun terdapat juga pesakit yang diberikan rawatan tetapi tidak menyempurnakan pengambilan ubat dan menyebabkan kuman TB menjadi 'kebal' kepada ubat tersebut.

Di samping pertahanan badan atau sistem imun yang lemah di kalangan penghidap HIV/AIDS, golongan tua, mereka yang menderita penyakit-penyakit kronik dan yang mengambil ubatan seperti steroid juga mempunyai risiko tinggi mendapat jangkitan ini.

Era jangkitan HIV/ AIDS yang berleluasa kini turut menyebabkan kadar jangkitan TB semakin meningkat.

Dianggarkan 90 peratus penghidap HIV/AIDS dunia mendiami negara-negara Afrika dan Asia, dan ini memberi beban yang tinggi kepada kos perkhidmatan kesihatan di negara-negara terbabit.

Tahukah Anda?
Kuman TB bukan sahaja boleh menular ke paru-paru tetapi juga menjangkiti organ-organ di luar paru-paru (ekstra pulmonari) seperti buah pinggang, usus, otak, tulang dan juga mata.

Jangkitan TB pada mata boleh menyebabkan penghidapnya menjadi buta. Jangkitan kuman ini menular melalui sistem darah yang sampai ke mata menyebabkan masalah-masalah seperti:

- Radang bahagian mata putih
- Jangkitan kepada rongga orbit
- Radang kelenjar lakrimal
- Radang pada struktur belakang (posterior) bola mata melibatkan retina dan koroid
- Jangkitan otak dan saraf mata (optik)
- Jangkitan pada kulit di sekitar kelopak mata

Apakah gejala-gejala penyakit mata akibat TB?

Individu yang berisiko tinggi adalah tergolong daripada mereka yang sedang menghidap TB aktif, pernah menghidap TB suatu masa dahulu, atau mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan pesakit TB aktif atau mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah kerana sesuatu penyakit kronik seperti kencing manis dan mengambil ubatan steroid.

Mereka harus segera berjumpa dengan doktor apabila mengalami gejala-gejala seperti berikut:

- Mata merah
- Mata bengkak dan tersembul
- Sakit mata
- Penglihatan menjadi kabur
- Mata juling secara tiba-tiba

Kuman TB boleh menyerang kulit di sekitar mata, mata putih (konjunktiva), mata hitam (kornea) dan sklera.

Tanda-tanda mata merah, nodul putih dan pengeluaran nanah adalah sebahagian tanda-tanda jangkitan di kawasan ini.

Apabila kuman TB menjangkiti rongga orbit, maka ia akan menyebabkan sakit mata, bengkak, bernanah dan mata tersembul.

Sekiranya dibiarkan, kuman TB akan 'memakan' tisu-tisu di dalam rongga orbit seperti otot-otot mata, saraf-saraf, lapisan lemak dan lain-lain, sehingga kemusnahan tisu semakin melarat.

Serangan di struktur belakang mata iaitu pada retina dan koroid menyebabkan sistem salur darah tersumbat dan membawa kepada kekurangan oksigen pada retina.

Akibatnya, fungsi retina akan terganggu dan menyebabkan pesakit mungkin berakhir dengan kebutaan.

Kuman TB yang menyerang otak pula boleh membentuk kumpulan nanah (brain abscess) dan meningkatkan tekanan dalam otak (tekanan intrakranial).

Apabila ini terjadi, manifestasi gejala-gejala neurologikal seperti sawan, lumpuh dan tidak sedarkan diri menjadi antara petanda yang biasa berlaku.

Ia juga boleh menyebabkan kelumpuhan saraf kranial mata yang menyebabkan mata menjadi juling secara tiba-tiba.

- Pengesahan penyakit TB

Doktor akan mengesahkan jangkitan kuman TB primer melalui imbasan sinar-X pada paru-paru. Pemeriksaan kahak akan dilakukan untuk mengesan bakteria Mycobacterium tuberculosis.

Ujian kulit untuk melihat reaksi kepada protein 'tuberkulin' (tuberculin test) juga dilakukan. Ujian tuberkulin dilakukan dengan mencucuk sedikit protein tuberkulin di bawah kulit pesakit.

Selepas tiga hari, reaksi yang didapati pada kulit akan diukur. Berdasarkan saiz 'melepuh' pada kulit, tindakbalas tersebut akan dikira sebagai 'positif' atau 'negatif'.

Tindak balas positif akan menyokong diagnosis TB. Lain-lain ujian termasuk ujian darah dan ujian molekular seperti PCR juga boleh dilakukan sekiranya perlu.

Bagi penyakit TB mata pula, ujian bagi mengesan penyakit dilakukan bergantung kepada jenis dan struktur mata yang mendapat jangkitan.

Di samping ujian-ujian yang disebutkan di atas, pemeriksaan tisu mata (biopsy) untuk mengesan kuman tuberkulosis boleh dibuat dari tisu mata putih atau cecair di dalam rongga mata.

Kadangkala diagnosis penyakit TB mata dilakukan secara klinikal sahaja apabila kuman tersebut tidak dapat dikesan di makmal.

Dalam kebanyakan kes di mana kuman TB tidak dikesan, rawatan TB boleh dimulakan bagi satu bulan dan sekiranya pesakit menunjukkan perkembangan positif, maka ia akan diteruskan.

Apakah Rawatan Penyakit TB mata?

Pesakit akan dirawat dengan ubat TB yang terdiri daripada kombinasi beberapa jenis antibiotik. Lebih daripada satu jenis ubat diperlukan supaya kuman TB dapat 'dibunuh' dengan lebih berkesan dan mengelakkan 'kekebalan' kuman TB kepada ubatan tersebut.

Ubat-ubat yang digunakan biasanya seperti Isoniazid, Rifampicin, Pyrazinamide, Ethambutol atau Streptomycin.

Rawatan bagi penyakit TB paru-paru biasanya mengambil masa enam bulan tetapi mereka yang mendapat jangkitan TB mata terpaksa melalui rawatan antara sembilan bulan hingga satu tahun lamanya.

Di sepanjang masa rawatan, pesakit akan diletakkan di bawah penjagaan pakar perubatan respiratori dan pakar mata.

Di Malaysia strategi DOTS (Directly Observed Therapy, Short Course), di mana pesakit dimestikan hadir ke klinik berhampiran untuk menelan ubat TB (di hadapan kakitangan kesihatan) menjadi amalan.

Sistem ini memastikan pesakit mendapat rawatan yang teratur di bawah pengawasan doktor dan pembantu perubatan.

Diagnosa yang tepat dan cepat, rawatan yang sempurna dan peningkatan sistem imun pesakit akan memastikan jangkitan TB dapat diatasi.

No comments: