Wednesday, November 19, 2008



PROSTAT adalah kelenjar yang terletak di pangkal pundi kencing golongan lelaki dan mengelilingi salur kencing yang juga dikenali sebagai urethra.

Saiznya sebesar kacang walnut sementara fungsinya adalah menghasilkan cecair yang beralkali untuk air mani.

Seperti kelenjar yang lain, beberapa masalah dan penyakit boleh timbul dalam kelenjar prostat. Penyakit dan masalah yang utama adalah Benign Prostatic Hyperplasia (Pembesaran Kelenjar Prostat) dan kanser prostat.

Pembesaran Kelenjar Prostat

Benign Prostatic Hyperplasia atau BPH adalah pembesaran kelenjar prostat yang disebabkan oleh rangsangan hormon testosterone.

Pertambahan saiz prostat sebegini dapat dilihat di kalangan lelaki berumur 40 tahun ke atas. Mengikut perangkaan, lebih 50 peratus lelaki pada peringkat umur 40-an menghadapi masalah ini dan peratusan berkenaan meningkat kepada 75 peratus di kalangan mereka yang berumur 80 tahun ke atas.

Bilangan kes BPH di Malaysia kian meningkat dengan bertambahnya bilangan warga emas. Pada ujian saringan Kempen Kesedaran Prostat Peringkat Kebangsaan 2004, lebih 50 peratus daripada lelaki yang disaring didapati mempunyai gejala ini.

Saiz kelenjar prostat yang besar daripada normal akan menyebabkan salur kencing yang melalui kelenjar tersebut sempit.

Akibatnya, mereka yang mempunyai masalah ini akan kerap mengalami kesukaran dalam membuang air kecil.

Antara tanda-tanda akibat BPH termasuklah aliran kencing yang kurang baik (poor stream), kerap membuang air kencing (frequency), tidak dapat mengosongkan pundi kencing selepas membuang air (incomplete emptying) dan air kencing menitik dari kemaluan selepas selesai membuang air (terminal dribbling).

Selain itu, pesakit juga akan mengalami nokturia iaitu perlu bangun dari tidur pada waktu malam untuk membuang air kecil.

Sekiranya tidak dirawat, pembesaran kelenjar prostat yang tidak dikawal akan menyebabkan salur kencing tersumbat dan pesakit tidak dapat membuang air kencing secara normal.

Selain itu, tekanan di dalam pundi kencing yang tinggi boleh menyebabkan risiko buah pinggang menjadi bengkak dan gagal berfungsi (renal failure).

Pembentukan batu karang juga boleh berlaku di dalam pundi kencing akibat masalah tersebut. Oleh kerana pesakit perlu meneran untuk mengeluarkan air kencing, dia juga berisiko mendapat penyakit hernia.

Selain masalah kesihatan, pesakit juga akan menghadapi pelbagai masalah sosial kerana perlu kerap ke tandas untuk kencing.

Oleh kerana pesakit kadang kala terpaksa ke tandas dengan begitu kerap, hingga sejam sekali, ini akan mengganggu aktiviti sosialnya seperti ketika melancong, menonton wayang atau memandu kereta ke tempat yang jauh.

Keperluan bangun pada waktu malam untuk membuang air kencing juga mengganggu tidur seseorang pesakit dan menyebabkannya letih pada siang hari kerana kurang tidur. Ada juga pesakit yang perlu bangun antara enam hingga lapan kali setiap malam.

Pengesahan dan rawatan

Pengesahan penyakit BPH memerlukan sejarah kesihatan pesakit dan tanda-tanda pesakit digunakan untuk mengkategorikan sama ada keadaan serius atau tidak mengikut International Prostate Symptom Score (IPSS).

Tahap IPSS antara lapan hingga sembilan memerlukan rawatan. Sekiranya tahap IPSS seseorang itu adalah 20 hingga 35, keadaannya dikategorikan sebagai serius.

Pemeriksaan fizikal melibatkan pemeriksaan melalui dubur untuk mengesahkan bahawa kelenjar prostat sudah membesar.

Di pusat urologi, terdapat juga alat yang dapat mengukur sama ada aliran air kencing lemah atau tidak (uroflowmeter).

Ujian darah yang perlu dijalankan adalah untuk menentukan fungsi buah pinggang (renal profile) serta bagi menyaring antigen kanser prostat (PSA- Prostate Specific Antigen).

Rawatan untuk BPH pula mungkin secara pengambilan ubat-ubatan ataupun pembedahan. Ubat yang digunakan adalah jenis alpha-2-blocker yang berperanan mengurangkan saiz kelenjer prostat.

Selain itu, ubat jenis 5-alpha reductase dapat membantutkan pembesaran saiz kelenjar prostat dengan mengurangkan penghasilan hormon testosteron.

Berbanding dengan alpha-2-blocker yang memberi kesan hampir serta-merta, ubat jenis 5-alpha reductase hanya akan memberi kesan selepas lebih kurang satu bulan, tetapi kesannya juga lebih berpanjangan.

Kebanyakan kes BPH dapat dirawat dengan kaedah perubatan. Pembedahan diperlukan sekiranya tanda-tanda tidak dapat dikawal lagi dengan ubat atau sekiranya terdapat komplikasi seperti batu karang.

Pembedahan yang biasa dijalankan adalah transurethral resection of prostate (TURP) di mana bahagian prostat yang menyebabkan salur kencing menjadi sempit dibedah untuk membolehkan air kencing mengalir dengan elok semula.

Pembedahan ini dijalankan secara endoskopi di mana teropong khas (endoskop) dimasukkan ke dalam salur kencing dan membolehkan kelenjar prostat dibedah dengan hanya menggunakan alat endoskopi.

Komplikasi yang mungkin terjadi akibat pembedahan ini termasuk pendarahan, masalah pancutan air mani (retrograde ejaculation) serta mati pucuk.

Kaedah-kaedah baru rawatan termasuk dengan penggunaan tenaga gelombang mikro untuk memusnahkan tisu prostat (transurethral microwave thermotherapy).

Kanser prostat

Kanser prostat terjadi apabila sel-sel prostat mengalami mutasi dan bertambah tanpa terkawal. Risiko menghidapi kanser prostat juga bertambah apabila umur melebihi 45 tahun.

Purata umur penghidap pada masa mula didiagnosis adalah 70 tahun. Di Amerika Syarikat, ia telah kerap terjadi di kalangan lelaki berketurunan Afrika.

Antara orang terkemuka yang meninggal dunia akibat kanser prostat termasuk bekas presiden Perancis, Francois Mitterand, presiden Zaire, Mobuto dan pelakon Bill Bixby.

Pada peringkat awal, kanser prostat tidak menyebabkan apa-apa tanda yang ketara berbanding BPH.

Biasanya ia dikesan melalui ujian saringan PSA (prostate specific antigen). Apabila saiz prostat bertambah, ia akan menyebabkan tanda-tanda yang serupa dengan BPH seperti kesusahan keluar air kencing, aliran kencing yang lemah, kencing kerap serta nokturia.

Selain itu, mungkin akan terdapat darah yang keluar bersama air kencing pesakit. Pada ketika ini, kanser prostat boleh dikesan secara pemeriksaan dubur kerana ciri-ciri strukturnya yang berbiji-biji kasar serta keras.

Pada peringkat lewat, sel-sel kanser prostat boleh merebak melalui aliran darah ke organ-organ lain seperti tulang, terutamanya tulang paha, serta ke paru-paru.

Seseorang pesakit akan mengalami sakit pada tulang serta masalah bernafas. Sekiranya tulang belakang juga terlibat, tekanan terhadap saraf tunjang akan menyebabkan seseorang itu lumpuh pada kedua-dua kaki.

Mengesan dan merawat

Seperti yang dinyatakan tadi, kanser prostat dikesan melalui pemeriksaan dubur serta ujian saringan PSA.

Ujian biopsi prostat melalui dubur berpandukan ultrasound (transrectal ultrasonic biopsy) juga perlu dilakukan untuk mengesahkan seseorang itu menghidapi kanser prostat.

Kanser prostate boleh dirawat secara pembedahan dengan mengeluarkan seluruh kelenjar tersebut (radical prostatectomy). Di sesetengah pusat pakar urologi, prosedur ini turut dijalankan dengan bantuan robot.

Radioterapi (sinaran X) juga boleh digunakan untuk merawat kanser prostat dengan memusnahkan sel-sel kanser.

Ia amat berfaedah terutamanya jika pembedahan tidak dapat dijalankan pada sesetengah pesakit yang berisiko tinggi.

Radioterapi juga digunakan untuk merawat mereka yang mempunyai sel-sel kanser yang telah merebak ke tulang paha dan tulang belakang.

Kaedah rawatan lain termasuk kaedah hormon iaitu penggunaan ubat untuk menghentikan sel-sel kanser prostat daripada dirangsang oleh hormon dihydrotestosterone.

Kaedah ini menghalang hormon dihydrotestosterone daripada dihasilkan dan ini akan menyebabkan sel-sel kanser prostat berhenti membahagi serta membesar.

Paras dihidrotestoterone boleh diturunkan juga melalui pembedahan dengan mengeluarkan kedua-dua buah zakar.

Ini kerana buah zakar berfungsi menghasilkan testosterone yang boleh merangsang kelenjar prostat menghasilkan dihydrotestosterone.

Kaedah rawatan hormon biasanya digunakan apabila kanser prostat telah sampai ke peringkat lewat.

Walaupun dapat mengurangkan bilangan sel-sel kanser, ia tidak dapat menyembuhkan pesakit, dan lagipun, ia cuma berkesan untuk satu hingga dua tahun sahaja.

Fungsi utama pada peringkat ini adalah untuk melegakan tanda-tanda sakit pada pesakit yang sudah tenat.

Salah satu ciri kanser prostat adalah sel-sel kansernya kebanyakannya membiak dengan perlahan berbanding kanser yang timbul pada organ lain seperti usus dan perut.

Kajian melalui pembedahan mayat (autopsi) pada lelaki yang meninggal dunia akibat punca-punca lain mendapati 30 peratus daripada mereka yang berumur 50 tahun sudah mempunyai kanser prostat dan angka ini meningkat kepada 80 peratus di kalangan mereka yang berumur 70 tahu ke atas!

Ini bermakna kebanyakan lelaki tidak akan sedar bahawa mereka sudahpun mempunyai kanser prostat serta tidak mengalami apa-apa gejala dan tanda akibat kehadiran kanser tersebut dan akan meninggal dunia akibat punca lain seperti sakit jantung bukannya kerana kanser prostat.

Akhirnya, masalah kelenjar prostat boleh diatasi sekiranya dapat dirawat pada peringkat awal. Lelaki yang berumur 50 tahun ke atas dinasihatkan berjumpa doktor untuk menjalani ujian saringan melalui borang soal jawab IPSS, pemeriksaan dan ujian darah supaya gejala ini dapat dikesan serta dirawat pada peringkat awal.

Tuesday, November 11, 2008

BARAH PAYU DARA : Periksa sendiri payu dara

RAMAI wanita sedar bahawa mereka boleh memeriksa sendiri payu dara masing-masing sebagai langkah awal untuk mengesan sebarang perubahan atau benjolan yang berkemungkinan adalah tanda amaran bagi penyakit barah payu dara.

Malangnya, tidak ramai yang mengambil berat berkaitan perkara itu dan jangan terkejut jika ada yang memberitahu bahawa dia tidak pernah melakukan pemeriksaan sendiri payu dara sepanjang hidupnya.

Pakar Perunding Perubatan Onkologi, Hospital Kanser NCI (NCICH) Nilai, Negeri Sembilan, Dr. R. Kananathan berkata, pemeriksaan sendiri itu sebenarnya amat penting agar barah yang dihidapi pesakit dapat dikesan lebih awal bukannya setelah berada pada peringkat teruk sehingga terpaksa membuang terus payu dara yang diserang barah.

‘‘Dengan pemeriksaan itu, wanita boleh mengenalpasti perubahan pada payu dara mereka iaitu daripada segi bentuk, saiz dan tekstur kulit termasuk jika adanya benjolan atau ketumbuhan.

‘‘Malah, wanita berusia 40 tahun ke atas turut digalakkan melakukan rutin pemeriksaan kesihatan dengan menjalani ujian mamogram setahun sekali atau lima tahun sekali sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program kesedaran barah payu dara, Pink Care di pusat membeli-belah One Utama, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program anjuran NCICH bersama syarikat pakaian dalam, Skiva diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang penyakit barah terutamanya barah payu dara dan bagaimana ia mampu memberi kesan kepada pesakit dan mereka yang disayangi.

Kananathan berkata, wanita jangan sesekali mengambil mudah tentang pemeriksaan awal ini kerana barah payu dara merupakan pembunuh nombor satu mereka. Di Malaysia, sepanjang tiga tahun daripada 2003 hingga 2006, dianggarkan seramai 66,000 pesakit barah dikesan dengan 11,952 adalah barah payu dara.

Jelasnya, wanita Cina paling banyak menghidapi barah payu dara dengan pecahan satu daripada 16 adalah kaum Cina, satu daripada 17 adalah India dan satu daripada 28 merupakan wanita Melayu.

Dalam program Pink Care yang berlangsung selama empat hari berakhir 2 November lalu, pelbagai aktiviti telah dianjurkan antaranya, pertunjukan fesyen Skiva, melukis wajah, pertandingan mencipta pakaian Halloween untuk kanak-kanak dan pertunjukan silap mata.

Pada masa yang sama sepanjang kempen tersebut, sebanyak 30 peratus hasil jualan pakaian dalam Skiva akan disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA).

Monday, November 10, 2008

Risiko dari usia muda

BAYANGKAN bagaimana hidup anda jika hilang deria penglihatan, menggunakan kerusi roda akibat strok atau gangren kaki (kaki dipotong), dan berisiko tinggi mengalami serangan jantung sedangkan belum lagi mencecah umur 40 tahun.

Itulah apa yang menanti pesakit diabetes mellitus yang tidak atau gagal mengawal penyakitnya, sama ada kerana tidak mengubah gaya hidup, tidak mahu mengambil ubat atau mengambil ubat tradisional sesuka hati. Keadaan diburukkan lagi jika di kalangan mereka ini telah lama menghidap diabetes, sejak dari usia muda lagi.

Diabetes mellitus merupakan satu sindrom masalah metabolisma yang menyebabkan tahap gula di dalam darah yang tinggi (hiperglisemia) sama ada akibat masalah penghasilan (diabetes jenis pertama) atau fungsi (sensitiviti) insulin (diabetes jenis kedua atau diabetes gestasi).

Semua bentuk diabetes kini boleh dirawat sejak insulin berjaya dihasilkan secara komersial pada 1921 tetapi belum ada penawar yang dapat menyembuhkan pesakit sepenuhnya. Masalah paras gula tinggi di dalam darah kini dirawat melalui kombinasi ubat, kawalan pemakanan dan juga dos suntikan insulin.

Kardiovaskular

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan 171 juta penduduk dunia menghidap diabetes pada tahun 2000, dan jumlah ini dijangka meningkat lebih dua kali ganda menjelang 2030, dengan jumlah terbesar dijangka datang dari benua Asia dan Afrika.

Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman turut menekankan bagaimana peratusan pesakit diabetes di Malaysia telah meningkat mendadak dari 6.3 peratus pada 1980-an dan sekitar lapan peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006.

“Diabetes sudah lama wujud dan ramai di antara pesakit IJN sendiri menghidapinya. Diabetes merupakan antara faktor risiko kuat untuk pesakit menghidap penyakit koronari kelak.

“Perubahan pada salur darah pesakit juga boleh dikesan seawal 15 tahun sebelum disahkan menghidap diabetes. Ini jauh lebih awal dari apa yang dijangkakan sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau, antara masalah utama yang dihadapi di kalangan pesakit diabetes kini adalah keperluan mengambil bermacam jenis ubat setiap hari (untuk diabetes) sedang mereka turut menghidap penyakit lain yang juga memerlukan pengambilan ubat.

Dr. Azhari menegaskan jika sesuatu penyakit melibatkan pembuluh darah, ia akan menyebabkan kerosakan menyeluruh kepada seluruh badan.

“Salur darah terdapat di seluruh badan terutamanya di jantung dan otak yang boleh membawa kepada serangan jantung dan juga strok (bekalan darah ke otak tergendala), dan kalau lebih malang, kedua-duanya sekali.

“Pembedahan atau rawatan angioplasti juga rumit atau mungkin tidak boleh dilakukan jika pembuluh darah rosak teruk atau menjadi sempit akibat diabetes,” ujarnya.

Jelas beliau, memandangkan kerosakan sudah lama berlaku (seawal 15 tahun awal), gejala tertentu mungkin timbul sebelum pesakit dikesan menghidap diabetes.

Tambahnya, mati pucuk menjadi contoh gejala awal diabetes (atau masalah jantung) akibat kerosakan salur darah halus (mirovaskular) di dalam zakar.

Oleh itu, amatlah ditekankan pentingnya usaha pencegahan diabetes, terutamanya pada usia muda, melalui penjagaan gaya hidup sihat atau rawatan tertentu untuk mengelakkan diabetes di samping pemeriksaan kesihatan bagi mengenalpasti mereka yang berisiko menghidap tinggi.

Dr. Azhari turut mendedahkan purata umur serangan jantung di Malaysia kini ialah 57 tahun berbanding 66 tahun di Barat.

“Pesakit serangan jantung paling muda yang pernah dirawat di negara ini berumur hanya 19 tahun.

“Bukannya semua pesakit jantung menghidap diabetes tetapi digalakkan pesakit untuk mengetahui bahawa risiko diabetes boleh membawa kepada komplikasi buah pinggang, mata dan juga serangan jantung,” jelasnya.

Tambahnya, pesakit diabetes yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung juga menghadapi risiko salur darah kembali tersumbat dengan lebih pantas.

Di IJN, kebanyakan kes diabetes melibatkan jenis kedua di mana insulin tidak dihasilkan dengan cukup di dalam badan.

Dr. Azhari menjelaskan, untuk jenis kedua ini, ubat-ubat pil diberikan dahulu bagi mengurangkan tahap gula darah dan juga bebanan keperluan insulin badan.

“Jika gagal dikawal juga, pesakit mungkin perlu mengambil suntikan insulin untuk mengawal paras gula darah.

“Bagi kes teruk, doktor mungkin terus menggunakan suntikan insulin, atau mengikut pandangan doktor bergantung kepada usia dan keperluan individu pesakit,” jelasnya.

Menurut beliau, pesakit juga perlu mengurangkan berat badan, sekurang-kurangnya 10 peratus berat badan asal, atau lebih baik jika mencapai indeks jisim badan (BMI) yang sihat dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Mengelakkan komplikasi

Dalam usaha mengawal komplikasi diabetes, terutamanya masalah kardiovaskular, Dr. Azhari memaklumkan kejayaan IJN membentuk klinik diabetes sendiri untuk membantu memberi nasihat dan penerangan kepada pesakit.

“Dikendalikan bersama jururawat dan paramedik terlatih yang bergabung dengan doktor pakar diabetes, ahli farmasi dan pakar pemakanan, klinik ini dapat membantu pesakit dalam penjagaan komplikasi dan suntikan insulin.

“Pengurusan masalah diabetes di klinik ini juga membantu meringankan beban klinik lain di samping memberi ruang untuk pesakit bertanya sebarang keraguan yang tidak sempat dijawab doktor,” ujarnya.

Dr. Azhari menegaskan kawalan diet pemakanan merupakan antara perkara utama dalam mengubah gaya hidup pesakit diabetes tetapi masih diabaikan sesetengah pesakit.

“Selalunya, ramai yang mengambil snek (manis) di antara hidangan utama. Kawalan juga bukan hanya mengelakkan makanan bergula. Karbohidrat adalah antara bentuk gula dan buah tertentu seperti durian juga mengandungi banyak gula,” jelasnya.

Pengambilan buah memang digalakkan untuk kesihatan, tetapi Dr. Azhari menasihatkan pesakit diabetes untuk mengutamakan buah-buahan kurang manis seperti jambu batu atau buah naga.

Dr. Azhari menekankan pentingnya bagi pesakit yang disahkan menghidap diabetes untuk mengawal rapi penyakit tersebut supaya tidak membawa kepada komplikasi lain.

“Pesakit perlu mengawal rapi paras gula darah, tekanan darah dan juga tahap kolesterol melalui pengambilan ubat (atau insulin) dan juga perubahan gaya hidup.

“Bila sudah kena diabetes, pesakit akan hadapi risiko penyakit koronari yang sama tinggi dengan individu yang pernah (sekali) terkena serangan jantung,” tegasnya.

Dr. Azhari menekankan keperluan pesakit diabetes hadir untuk pemeriksaan susulan secara berkala, mengambil ubat mengikut preskripsi doktor dan kerap memeriksa tahap gula darah.

“Ada pesakit yang sudah bertahun-tahun menjalani rawatan dan pemeriksaan susulan tetapi masih tidak tahu atau kurang faham apa penyakit yang dihidapi, mahupun ubat yang sedang diambil. Pemeriksaan darah sepatutnya dimulakan seawal umur 30 tahun dan ditingkatkan menjelang umur 40 tahun,” katanya.

Beliau juga menegaskan perlunya pesakit bertanya kepada doktor yang merawat terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang ubat tradisional bagi mengelakkan masalah dalam kawalan diabetes dan mengelakkan komplikasi.

Hari Diabetes Sedunia

Sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia 2008 pada 14 November ini (Jumaat), IJN juga akan mengadakan acara sambutan Hari Diabetes seperti tahun-tahun sebelum ini.

Dr. Azhari menyatakan, sambutan hari diabetes penting bagi mengenengahkan penyakit tersebut sebagai satu masalah kesihatan semua peringkat umur masyarakat, termasuk di kalangan pesakit-pesakit IJN sendiri.

“Saya berharap kesatuan dan pihak lain turut mengadakan program serupa bagi meningkatkan kesedaran di kalangan pesakit diabetes, orang ramai dan juga para doktor.

“Pihak kesatuan lain juga diharapkan memainkan peranan masing-masing seperti mana untuk sambutan Hari Hipertensi dan Hari Jantung Sedunia bagi mengurangkan impak penyakit diabetes dan komplikasinya kepada masyarakat setempat,” katanya.

Tegasnya, pencegahan dan pengesanan mereka yang berisiko menjadi keutamaan tetapi jika sudah menghidap diabetes, maka perkara paling penting adalah mengawalnya dengan rapi (tahap gula, tekanan darah dan kolesterol), lebih-lebih lagi jika pesakit mula menghidap diabetes dari usia muda.

Penawar

- Untuk diabetes jenis pertama

BUAT masa ini, tiada penawar khusus yang praktikal untuk diabetes jenis pertama. Faktor punca diabetes jenis ini yang disebabkan kegagalan fungsi sel Beta, islets of Langerhans di dalam pankreas telah mendorong beberapa kajian dalam bagi menggantikan sel-sel tersebut atau menggantikan keseluruhan organ pankreas sebagai satu bentuk rawatan.

Hanya pesakit yang telah menjalani pemindahan (transplan) pankreas (atau pankreas bersama buah pinggang setelah diabetes menyebabkan masalah buah pinggang), dan seterusnya tidak perlu mengambil insulin lagi dianggap sebagai ‘sembuh’ daripada penyakit tersebut.

Transplan pankreas bersama buah pinggang juga dilihat sebagai antara jalan penyelesaian yang mungkin berkesan untuk penyakit ini dengan peningkatan jangka hayat pesakit. Namun, pemindahan organ memerlukan pesakit mengambil ubat anti-penolakan organ transplan, dalam jangka panjang.

Eksperimen pemindahan sel Beta sahaja juga telah dijalankan ke atas tikus dan manusia. Bagaimanapun, kaedah ini masih kurang berkesan berikutan kesukaran mendapatkan tisu penderma dan juga tindak balas penolakan oleh sistem imuniti badan pesakit.

Penyelidikan sel stem dikatakan mungkin menawarkan kaedah rawatan berpotensi dengan membolehkan sel Beta, islets of Langerhans, untuk tumbuh semula dan mengelakkan keperluan ubat anti-penolakan.

- Untuk diabetes jenis kedua

Diabetes jenis ini belum ada penawar yang berkesan sepenuhnya. Namun, sejenis pembedahan pintasan gastrik (perut) baru-baru ini dilihat mampu menormalkan paras glukosa darah dalam 80 hingga 100 peratus kalangan pesakit diabetes yang sangat obes.

Mekanisma yang membawa kepada paras gula darah yang normal ini belum difahami sepenuhnya dan masih lagi dikaji, tetapi kesan tersebut bukan hanya dikaitkan dengan penurunan berat badan berikutan kadar gula darah mula normal sebelum berat badan pesakit menurun. Pendekatan ini juga mungkin menjadi sejenis rawatan untuk pesakit diabetes jenis kedua kelak.

Pembedahan pintasan itu juga didakwa mempunyai manfaat tambahan dengan mengurangkan kadar kematian daripada semua jenis komplikasi diabetes, sehingga 40 peratus di kalangan pesakit yang sangat obes. Sebilangan kecil pesakit dengan berat badan normal atau sederhana obes juga dilaporkan telah berjaya melalui pembedahan serupa.

Komplikasi


Akut (boleh berlaku dengan pantas)- Koma Hiperosmolar bukan ketotik (HNS); keadaan di mana pesakit mempunyai paras gula terlalu tinggi (lebih 16 mmol/L), menyebabkan air ditarik keluar dari sel badan ke dalam salur darah (secara osmosis) dan buah pinggang mula membuang glukosa ke dalam air kencing. Ini akan menyebabkan kehilangan air, yang jika tidak diganti melalui minuman atau melalui suntikan air, akan menyebabkan dehidrasi. Keadaan ini dianggap sebagai satu kecemasan dan penggantian cecair badan perlu dilakukan segera. Simptom rasa letih boleh membawa kepada koma tetapi keadaan ini lebih biasa berlaku dalam kes diabetes jenis kedua berbanding jenis pertama.

> Hypoglisemia; paras gula terlalu rendah dengan simptom berpeluh, menggigil, jantung berdegup kencang, sakit kepala dan boleh menyebabkan pesakit meracau atau pengsan. bagi kes yang teruk, pesakit boleh koma, sawan, mengalami kecederaan otak dan boleh menyebabkan kematian. Terdapat beberapa punca keadaan ini seperti lebihan dos rawatan insulin atau tidak cukup makan. Dalam kebanyakan kes, pesakit boleh dirawat dengan memberi minuman manis atau makanan tetapi bagi kes teruk, suntikan hormon glukagon (menggalakkan pengeluaran glukosa ke dalam salur darah) atau suntikan gula dextrose (satu bentuk glukosa) boleh diberikan.

Kronik (berlaku secara perlahan-lahan)- Penyakit sistem vaskular; peningkatan tahap glukosa darah yang berpanjangan boleh membawa kepada kerosakan salur-salur darah (angiopati). Ini menyebabkan lapisan sel salur darah menyerap lebih banyak glukosa dari biasa memandangkan sel-sel tersebut tidak bergantung kepada insulin. Peningkatan penyerapan ini membawa kepada penebalan dan juga melemahkan lapisan tisu membran salur darah. Kerosakan salur darah dibahagikan kepada mikro (salur darah kecil) dan makrovaskular (salur darah besar-arteri). Kerosakan salur darah seterusnya membawa kepada;

> Retinopati diabetik; pertumbuhan salur darah baru yang rapuh dan tidak berkualiti pada retina mata. Ini juga boleh membawa kepada pembengkakan makula mata (makular edema) yang seterusnya boleh menyebabkan penglihatan pesakit semakin teruk atau menjadi buta. Masalah ini juga merupakan punca utama kebutaan yang boleh dicegah, di seluruh dunia.

> Neuropati diabetik; kerosakan saraf yang menyebabkan kehilangan deria rasa, bermula pada kaki dan berpotensi merebak ke bahagian saraf lain, termasuk deria rasa pada jari dan tangan.

Digabung dengan kerosakan salur darah, keadaan ini boleh membawa kepada ‘kaki buruk’ diabetes. Terdapat juga keadaan dima mana otot menjadi lemah disebabkan komplikasi ini, dikenali sebagai amiotropi diabetik.> Nefropati diabetik; kerosakan kepada buah pinggang yang boleh membawa kegagalan fungsi renal, akhirnya memerlukan pesakit menjalani dialisis.

Diabetes mellitus adalah punca utama kegagalan fungsi buah pinggang di kalangan orang dewasa di negara dunia maju.> Kardiomiopati diabetik; kerosakan pada jantung yang membawa kepada disfungi diastolik dan seterusnya kegagalan jantung berfungsi.

- Penyakit makrovaskular akan membawa kepada penyakit kardiovaskular di mana kerosakan pantas pada arteri menjadi faktor penyumbang kepada;

> Penyakit arteri koronori – membawa kepada angina atau serangan jantung (myocardial infarction).
> Strok – terutamanya jenis iskemik (pengurangan aliran darah ke bahgian tertentu otak).
> Penyakit vaskular periferal – menyumbang kepada rasa kebas (sakit) berulang-ulang (tempoh singkat) dan juga ‘kaki buruk’.
> Myonekrosis diabetik – kemusnahan otot.> Kaki buruk diabetes – selalunya berlaku akibat gabungan neuropati (hilang deria rasa kaki) dan kerosakan salur darah. Peningkatan kadar ulser dan jangkitan kulit, dan kadang kala nekrosis atau gangren menyebabkan kerosakan atau kecederaan kaki lebih lambat sembuh. Komplikasi ini adalah punca utama pemotongan (amputasi) kaki bukan akibat trauma di kalangan orang dewasa di negara dunia maju.

Perwarisan genetik

KEDUA-dua diabetes jenis pertama dan kedua mempunyai sekurang-kurangnya sebahagian kaitan dengan faktor warisan genetik.

- Diabetes jenis pertama dilihat tercetus akibat jangkitan tertentu (terutamanya dari virus), atau kadang kala oleh tekanan (stres) atau pendedahan persekitaran (bahan kimia atau ubat tertentu). Kaitan genetik dikatakan bersangkut paut dengan kod genetik individu yang membolehkan sistem imuniti badan membezakan sel badan dan sel asing (penceroboh).

Walaupun sesetengah individu mempunyai kelemahan dari segi warisan genetik, diabetes jenis pertama dilihat memerlukan faktor pencetus untuk mula berlaku. Sebilangan kecil penghidap diabetes jenis pertama juga mempunyai gen mutasi yang menyebabkan diabetes pada usia muda.

- Terdapat kaitan faktor genetik yang lebih kuat dengan diabetes jenis kedua. Mereka yang mempunyai saudara terdekat (ibu, bapa, adik-beradik) dengan diabetes jenis kedua mempunyai risiko lebih tinggi menghidapinya kelak. Peratusan risiko juga meningkat dengan bilangan saudara terdekat yang menghidap diabetes jenis ini, dan hampir 100 peratus kesejajaran bagi kembar seiras.

Lebih 25 peratus penghidap diabetes jenis kedua juga mempunyai sejarah keluarga dengan diabetes. Obesiti yang merupakan satu faktor bebas untuk diabetes jenis kedua juga mempunyai kaitan warisan genetik yang kuat.

Antara gen yang dikaitkan dengan diabetes jenis ini termasuk KCNJ11 dan TCF7L2 (transcription factor 7–like 2), which regulates proglucagon gene expression and thus the production of glucagon-like peptide-1.[3]

Mengandung dan kencing manis

KENCING manis atau diabetes merupakan satu keadaan di mana paras gula (glukosa) di dalam darah badan melebihi paras normal.

Walaupun glukosa merupakan satu punca tenaga tetapi seandainya berlebihan akan menyebabkan permasalahan kesihatan, terutamanya semasa mengandung. Kencing manis semasa mengandung dipanggil diabetes gestasi.

Punca

Kencing manis berlaku apabila pengendalian badan terhadap insulin tidak teratur, sama ada dari segi pembuatan maupun penggunaannya. Insulin merupakan hormon yang menukar glukosa di dalam badan ke bentuk tenaga. Apabila pembuatannya ataupun pengunaannya tidak betul, paras gula darah akan meningkat dan ini dipanggil hiperglisemia.

Semasa mengandung, hormon yang dikeluarkan oleh uri (plasenta) mengganggu keberkesanan insulin, hasilnya, hiperglisemia mungkin berlaku. Puan boleh mendapat diabetes gestasi walaupun tidak ada risiko yang dikenal pasti. Lazimnya kencing manis yang berlaku semasa mengandung hilang selepas kelahiran. Namun demikian, risiko untuk mendapat kencing manis pada masa hadapan adalah tinggi.

Sekiranya puan pernah mendapat rawatan kencing manis semasa mengandung, maklumkan kepada doktor atau jururawat yang ditemui. Harus diingat bahawa risiko kencing manis meningkat dengan peningkatan umur semasa mengandung

Masalah kencing manis semasa mengandung

Risiko kesihatan akan meningkat dengan peningkatan paras gula darah. Setengah daripada komplikasi ini meningkatkan risiko untuk kelahiran secara pembedahan. Inilah sebabnya mengapa paras gula darah perlu dikawal.

Permasalahan yang mungkin puan hadapi sekiranya puan berisiko untuk penyakit kencing manis semasa mengandung:

- Janin menjadi besar dikenali sebagai makrosomia. Ini disebabkan oleh gula berlebihan memasuki janin dan mengarahkan tumbesaran pesat, akibatnya janin menjadi besar dan mungkin sukar untuk dilahirkan secara normal, kejadian kelahiran tersekat terutamanya pada bahagian bahu meningkat.

- Kejadian darah tinggi dan kehadiran protein di dalam air kencing meningkat, ini dipanggil pre-eklampsia. Jika dibiarkan, boleh menyebabkan sawan, kegagalan hati dan juga buah pinggang.

Puan mungkin terpaksa melahirkan anak sebelum masanya untuk mengelakkan komplikasi dan musibah yang melanda sistem dalaman organ. Kematian juga boleh berlaku pada janin.

- Meningkatnya cecair likuor di kantung di mana janin berada. Ini menyebabkan saiz kandungan melebihi saiz sebenar mengikut kiraan, menyebabkan ketidakselesaan seperti kesukaran bernafas. Kelahiran mungkin berlaku sebelum sampainya penggal kematangan iaitu sebelum 38 minggu.

- Jangkitan sistem pundi kencing. Sekiranya tidak dirawat, jangkitan di pundi kencing akan merebak ke buah pinggang.

- Sindrom kesukaran pernafasan mungkin berlaku pada bayi. Risiko ini meningkat untuk ibu-ibu yang mempunyai kencing manis semasa mengandung, lebih-lebih lagi apabila kelahiran awal sebelum tempoh terpaksa dilakukan.

- Kematian bayi di dalam kandungan, mungkin berlaku sekiranya kencing manis gagal dikawal. Ini termasuklah keguguran.

Pengawalan kencing manis

Apabila puan menghadirkan diri kali pertama ke klinik perbidanan untuk membuat kad lawatan antenatal, puan akan diselidiki akan faktor-faktor risiko, sejarah perubatan serta sejarah perbidanan lampau.

Sejarah kesihatan sekarang seperti berat badan yang melebihi nisbah berat-tinggi yang disyorkan, umur puan, kandungan yang disyaki secara relatifnya besar, berat janin, kehadiran lebih daripada satu janin serta kandungan air likuor yang terlampau (mengikut umur kandungan). Pemeriksaan air kencing yang menunjukkan kehadiran gula di dalamnya bukanlah kaedah pengawasan pengawalan yang diamalkan di hospital.

Puan akan diuji untuk paras glukosa darah, paling mudah diambil dari jari dan hanya memerlukan setitik darah.

Puan juga akan ditanya bila kali terakhir ujian glukosa darah diambil, di samping masa puan makan dan minum. Sekiranya terbukti paras gula darah kapilari puan melebihi normal, puan akan dinasihatkan supaya menjalani ujian selanjutnya.

Sekiranya puan sudah pun mengalami kencing manis sebelum mengandung, puan dinasihatkan supaya menghadiri klinik kencing manis supaya pengawalan paras gula darah yang ketat dapat dimanfaatkan. Ini kerana paras gula yang tidak teratur dan tinggi dapat mencacatkan pertumbuhan serta tumbesaran janin, terutamanya yang berumur kurang dari 12 minggu.

Semasa mengandung, pengawalan paras gula darah dilakukan dengan penggunaan insulin. Pil-pil tidak digunakan.

Pemakanan

Pemakanan seimbang penting terutamanya untuk mereka yang menghidapi kencing manis.
Tumbesaran janin bergantung pada pemakanan puan. Perlu ditegaskan pemakanan yang diambil perlu diimbangkan supaya paras gula tidak naik melebihi normal.

Pemakanan puan bergantung kepada berapa berat badan, umur dan juga tahap kecergasan harian puan. Peringkat umur kandungan juga memainkan peranan dalam pemakanan puan.
Perawatan

Semasa mengandung, sekiranya puan memerlukan perawatan untuk kencing manis, ubat suntikan insulin diberikan.

Sebelum insulin diberikan, puan mungkin dimasukkan ke wad untuk menentukan dos optimum, mengenalpasti apa yang mungkin puan rasai sekiranya paras gula jatuh terlalu rendah, serta diajar cara-cara menyuntik dan juga mengendalikan alat-alat suntikan.

Ubat-ubat untuk dimakan mungkin diberikan sekiranya puan memang pesakit kencing manis sebelum mengandung lagi.

Senaman itu penting untuk mereka yang berpenyakit kencing manis. Walaupun puan mengandung, puan boleh juga bersenam, contohnya seperti berjalan-jalan dan senaman ringan lain.

Penjagaan kandungan

Semasa trimester pertama, ujian darah khas seperti darah hemoglobin berglikosi boleh dijalankan, di mana ujian ini meramalkan sama ada kecacatan janin merupakan satu kemungkinan. Puan juga mungkin dinasihatkan supaya menjalani pemeriksaan ultrasound pada minggu ke-18 hingga ke-20 kandungan untuk mengenalpasti sebarang kecacatan pada janin.

Pemeriksaan antenatal lain seperti yang dijalani ibu-ibu yang mengandung biasa turut dilakukan. Temujanji puan mungkin lebih kerap sedikit kerana doktor perlu memastikan pengawalan gula darah, dos insulin dan juga komplikasi lain dikenal pasti.

Lazimnya di hospital-hospital besar seperti hospital Universiti Sains Malaysia, puan akan dirawat dan hadir ke klinik gabungan khas yang terdiri daripada pakar perubatan dalaman dan pakar obstetrik. Puan juga mungkin dirujuk kepada pakar pemakanan serta jururawat mahir yang mempunyai pengkhususan dalam penjagaan ibu mengandung yang menghidapi kencing manis.

Kelahiran

Jangan runsing, sekiranya pengawalan gula darah puan stabil, saiz bayi biasanya tidak besar dan dalam kebanyakan kes, kelahiran berjalan secara normal.

Semasa proses kelahiran, pengawasan gula darah dan juga paras elektrolit lain diawasi dengan teliti. Sekiranya terdapat komplikasi ataupun keadaan tidak terkawal, berkemungkinan kelahiran bayi puan akan dirancangkan lebih awal dari tempoh masanya.

Penjagaan selepas mengandung

Kebanyakan bayi tidak mengalami komplikasi tetapi doktor akan memasukkan bayi ke wad rawatan khas untuk mengenal pasti sebarang komplikasi yang mungkin berlaku seperti:

- Paras gula darah yang rendah- Paras kalsium dan magnesium yang rendah

- Peningkatan bilangan sel-sel darah merah- Jaundis neonatal iaitu kulit bayi menjadi kuning

- Masalah dengan pernafasan

Kebanyakan masalah ini tidak berlaku sekiranya kencing manis semasa mengandung puan terkawal. Tidak ada halangan juga untuk puan meneruskan penyusuan badan untuk bayi.

Puan boleh mengamalkan mana-mana kaedah kontraseptif yang ada. Sekiranya puan mengandung dalam tempoh dekat, puan mungkin mengalami kembali diabetes gestasi.

Pengawalan paras glukos

Sejurus selepas bersalin, puan tentu merasakan keletihan yang amat sangat. Pada masa tersebut sekiranya puan belum makan atau minum apa-apa, regim insulin boleh diteruskan. Insulin diberhentikan sebaik sahaja puan mengambil makanan atau meminum minuman bertenaga.

Pengawasan gula masih ditumpukan, dan sekiranya paras gula puan masih tinggi, ubat anti kencing manis akan dipreskripsikan. Sekiranya paras gula darah puan kembali normal, puan perlu ingat yang puan adalah lebih berisiko untuk mendapat kencing manis di kemudian hari. Jadi selalulah berjumpa dengan doktor.

Pengawasan berat badan

Tidak digalakkan puan menurunkan berat badan atau berdiet terlampau semasa tempoh mengandung. Selepas bersalin, puan bolehlah meneruskan agenda menurunkan berat badan dengan bersenam serta cara pemakanan yang betul. Perlu diingat yang puan juga akan memerlukan tenaga yang lebih untuk menjaga bayi kesayangan yang baru sahaja lahir ke dunia

Kanak-kanak dan diabetes

DIABETES merupakan antara penyakit kronik yang paling biasa menyerang kanak-kanak. Ia boleh menyerang pada mana-mana usia, termasuk bayi dan kanak-kanak kecil.

Jika tidak dikesan dari peringkat awal di kalangan kanak-kanak, penyakit ini boleh menyebabkan kecederaan otak yang serius dan juga boleh membawa maut.

Namun, penyakit diabetes di kalangan kanak-kanak sering kali terlepas pandang sepenuhnya, sama ada salah diagnosis sebagai selesema atau tidak didiagnosis langsung.

Setiap ibu bapa, guru, jururawat sekolah, doktor mahupun sesiapa sahaja yang terlibat dalam penjagaan harian kanak-kanak perlu prihatin dan membiasakan diri mengenali tanda-tanda amaran ancaman diabetes kanak-kanak.

- Jenis

Diabetes adalah sejenis penyakit kronik yang boleh menyebabkan hilang upaya dan sering membawa maut (akibat komplikasi).

Ia berlaku akibat daripada masalah dalam pengeluaran dan bekalan hormon insulin di dalam badan.

Badan memerlukan insulin untuk menggunakan tenaga yang tersimpan di dalam makanan. Apabila seseorang menghidap diabetes, badan mereka tidak dapat menghasilkan insulin yang cukup (diabetes jenis pertama) atau badan mereka gagal menggunakan insulin yang dihasilkan dengan berkesan (diabetes jenis kedua).

Diabetes jenis pertama adalah sejenis penyakit autoimun (sistem imuniti badan menyerang sel sendiri) dan tidak boleh dicegah.

Di seluruh dunia, diabetes jenis pertama adalah jenis diabetes yang paling banyak menyerang kanak-kanak dengan anggaran sekitar 500,000 kanak-kanak di bawah umur 15 tahun menghidapinya.

Bagaimanapun, akibat daripada peningkatan kadar obesiti di kalangan kanak-kanak dan gaya hidup yang lebih banyak duduk daripada bergerak, bilangan kanak-kanak dan remaja yang menghidap diabetes jenis kedua juga meningkat dengan pantas di seluruh dunia.

Di sesetengah negara (seperti Jepun), diabetes jenis kedua telah menjadi diabetes yang paling banyak berlaku di kalangan kanak-kanak, mengatasi jenis pertama.

- Lindungi kanak-kanak

Tiada kanak-kanak yang sepatutnya mati akibat penyakit diabetes. Ianya satu penyakit yang membawa maut dengan empat juta kematian setiap tahun akibat masalah berkaitan dengan diabetes.

Kanak-kanak seringkali menjadi mangsa, terutamanya di negara-negara yang kurang kemudahan penjagaan dan rawatan diabetes, sering kali, menemui ajal pada usia muda.


- Sekitar 500,000 kanak-kanak di bawah umur 15 tahun menghidap diabetes jenis pertama di seluruh dunia.- Setiap hari, 200 orang kanak-kanak disahkan menghidap diabetes jenis pertama.

- Setiap tahun, 70,000 kanak-kanak di bawah umur 15 tahun disahkan menghidap diabetes jenis pertama.- Bilangan kes diabetes jenis pertama di kalangan kanak-kanak sedang meningkat pada kadar tiga peratus setahun.

- Peningkatan kes diabetes jenis pertama paling tinggi di kalangan kanak-kanak di bawah umur persekolahan pada kadar lima peratus setahun.

- Finland, Sweden dan Norway mempunyai kadar kes diabetes jenis pertama di kalangan kanak-kanak yang tertinggi di dunia.

- Diabetes jenis kedua telah dilaporkan di kalangan kanak-kanak seawal usia lapan tahun dan laporan terkini menunjukkan diabetes dikesan di kalangan kanak-kanak yang sebelum ini dianggap tidak berisiko.

- Di kalangan penduduk pribumi di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia, terdapat sekurang-kurangnya seorang penghidap diabetes muda daripada 100 kanak-kanak. Dalam sesetengah komuniti, terdapat satu penghidap diabetes muda bagi setiap 25 kanak-kanak.

- Lebih separuh kanak-kanak yang menghidap diabetes mengalami komplikasi dalam tempoh 15 tahun.

- Kajian global menunjukkan diabetes jenis kedua boleh dielakkan dengan membolehkan individu menurunkan antara tujuh hingga 10 peratus berat badan mereka, di samping meningkatkan kadar aktiviti fizikal mereka kepada tahap sederhana.

- Diabetes jenis kedua di kalangan kanak-kanak kini menjadi satu ancaman kesihatan umum dan berpotensi menyebabkan masalah serius kelak.- Diabetes jenis kedua menyerang kanak-kanak di negara membangun dan juga negara maju.

Tumbuhan urus gula darah


SEMPENA Hari Diabetes Sedunia yang jatuh pada 14 November setiap tahun (untuk memperingati hari kelahiran Frederick Banting, bersama Charles Best yang telah membawa kepada penemuan insulin pada 1922), artikel ini akan tertumpu kepada dua jenis tumbuhan perubatan semula jadi, iaitu Kayu Manis dan Banaba, kedua-duanya telah didapati boleh mengawal takat gula darah yang tinggi.

Ketahanan terhadap Insulin, Pra-Diabetes dan Diabetes

Pra-diabetes dan diabetes jenis kedua biasanya bermula dengan kerentanan (rintangan) insulin. Penyelidik sedar diabetes tidak muncul begitu sahaja tanpa sebab.

Sebelum didiagnosis sebagai pesakit diabetes, anda mempunyai keadaan yang dikenali sebagai pra-diabetes.

Keadaan ini berlaku apabila takat gula darah anda lebih tinggi daripada biasa tetapi tidak cukup tinggi untuk dianggap diabetes dan kebanyakan orang tidak menyedarinya.

Ia bukanlah satu berita baik kerana individu yang mengalami keadaan pra-diabetes bukan sahaja mempunyai risiko diabetes yang tinggi tapi pra-diabetes juga merupakan suatu risiko bagi serangan jantung, strok, kegagalan buah pinggang, kebutaan dan kerosakan saraf.

Cara terbaik untuk melawan diabetes adalah pada peringkat pra-diabetes. Pemakanan yang sihat, senaman dan mengambil suplemen boleh mencegah atau melambatkan masa mulanya diabetes dan mengurangkan risiko komplikasi.

Takat gula darah (glukosa) dalam badan dikawal-atur oleh insulin, iaitu sejenis hormon yang dihasilkan di dalam pankreas.

Insulin membantu dalam pengangkutan glukosa dari darah melalui membran sel dan masuk ke dalam sel-sel badan.

Selagi membran sel masih sensitif terhadap insulin, pengangkutan ulang-alik glukosa ke dalam sel berlaku dengan pantas.

Apabila membran sel menjadi tidak sensitif terhadap insulin (juga disebut kerentanan insulin), pankreas terpaksa mengepam keluar lebih banyak insulin dalam usahanya untuk memaksa glukosa ke dalam sel.

Apabila usaha tersebut tidak begitu berkesan, akibatnya adalah takat gula tinggi yang beredar dalam darah (dianggap sebagai salah satu daripada keadaan pra-diabetes) menjadi satu kebiasaan.

Lama kelamaan pankreas tidak lagi boleh menghasilkan insulin yang cukup untuk mengawal gula darah, dengan itu diabetes jenis kedua terjadi.

Pati kayu manis larut air yang dipiawaikan

Dr. Richard Anderson, ahli kimia di Jabatan Pertanian US (USDA), mencari makanan yang mungkin menyamai tindakan insulin dalam pengawalan takat gula darah (glukosa).

Beliau menemui sejenis kelas bahan larut air dalam Kayu Manis yang dikenali sebagai polimer Polifenol Jenis-A kerana keupayaannya untuk meningkatkan aktiviti insulin lebih kurang sebanyak 20 kali ganda.

Polimer Polifenol Jenis A pati Kayu Manis larut air adalah 70 peratus lebih berkesan daripada kayu manis asli itu sendiri dan ia mengelakkan kesan alahan sampingan berbahaya yang mungkin berlaku akibat pengambilan dos kulit Kayu Manis asli yang tinggi.

Sifat peningkatan insulin Kayu Manis akan mendatangkan faedah kepada individu yang mempunyai takat gula tinggi (pra-diabetes dan diabetes).

Pada bulan Jun 2006, kajian baru menunjukkan pengambilan suplemen pati Kayu Manis boleh membantu dalam peningkatan takat gula bagi individu yang mengalami diabetes jenis kedua.

Dalam kajian itu, 79 orang pesakit diabetes mengambil suplemen (pati kayu manis) tiga kali sehari. Selepas empat bulan, takat gula darah berpuasa mereka bertambah baik sebanyak 10.3 peratus.

Tambahan pula, pesakit diabetes dengan takat awal gula darah yang lebih tinggi memperoleh lebih banyak faedah melalui pengambilan suplemen ini.

Pati Kayu Manis larut air juga mempunyai sifat antioksidan yang sangat baik. Pada bulan Oktober 2006, suatu kajian berbeza, yang dikemukakan pada sidang Kolej Pemakanan Amerika ke-47, menunjukkan pati Kayu Manis larut air mungkin mendatangkan kesan perlindungan antioksidan dalam mengurangkan kerosakan akibat radikal bebas yang berkaitan dengan takat gula darah tinggi.

Selain daripada itu, kajian ini menunjukkan pengawalan gula darah yang bertambah baik. Hasil kajian tersebut seterusnya menyokong peranan pati Kayu Manis dalam membantu individu yang mengalami gangguan fungsi insulin dan pra-diabetes.

Pati Banaba yang dipiawaikan

Beberapa jenis tumbuhan perubatan dari India, China dan Jepun telah digunakan untuk merawat diabetes.

Salah satu daripada bahan paling berkesan yang ditemui adalah asid korosolik pada daun pokok Banaba (Lagestroemic specious).

Dr. Yamazaki, profesor Sains Farmaseutikal, Fakulti Perubatan Universiti Hiroshima Jepun, telah mengkaji kesan-kesan asid korosolik berhubungan dengan sifat seakan insulinnya.

Kajian beliau menunjukkan asid korosolik mengaktifkan pengangkutan glukosa melintasi membran sel ke dalam sel menghasilkan penurunan gula darah.

Asid korosolik bertindak seperti insulin; hormon semula jadi yang meningkatkan aktiviti pengangkutan glukosa melintasi membran sel, oleh itu membantu pengurangan takat gula darah.

Kajian klinikal di Amerika Syarikat dan Jepun turut menunjukkan asid korosolik adalah selamat digunakan dan berkesan dalam penurunan takat gula darah bagi pra-diabetes dan diabetes jenis kedua.

Mengawal Gula Darah Dengan Pati Kayu Manis dan Banaba*

Secara berasingan, pati Kayu Manis dan Banaba menambah tahap sensitiviti insulin yang membantu dalam penurunan takat gula darah. Apabila kedua-duanya digabungkan, ianya adalah lebih berkesan.

Kebanyakan kaji selidik ke atas Kayu Manis melibatkan penggunaan pati larut air yang dipiawaikan untuk mengandungi Trimerik dan Polimer Tetramerik Jenis-A (polimer polifenol Jenis A) dan bagi Banaba, ia dipiawaikan untuk mengandungi satu peratus asid korosolik.

Jika anda mempunyai risiko pra-diabetes, sila berjumpa doktor untuk menjalani ujian darah.
Walaupun anda beranggapan tidak mempunyai risiko, pakar menasihatkan individu yang berusia lebih 35 tahun untuk memeriksa takat gula darah mereka setiap tahun.

Akan tetapi, jika anda tahu anda mempunyai pra-diabetes, anda masih boleh melengahkan masa diabetes bermula dan mengurangkan kerosakan kepada badan anda melalui perubahan pemakanan, bersenam dan juga mengambil suplemen seperti pati Kayu Manis & Banaba yang dipiawaikan.

Walaupun banyak faedah diperkatakan mengenai Kayu Manis dan Banaba, anda harus juga mengetahui kepentingan untuk mengambil suplemen multivitamin dan mineral yang baik yang telah diformulasikan khas bagi pesakit dan individu pra-diabetes demi untuk memelihara kesihatan optimum dan mencegah penyakit.

Contoh paling tepat adalah zat makanan utama yang diperlukan dalam kuantiti lebih tinggi oleh pesakit diabetes daripada kuantiti dalam formula multivitamin dan mineral harian biasa.
Ini termasuk vitamin B1, B6,B12, Biotin, Niasinamid, Vitamin C, Vitamin E, Manganese, Vanadium, Zink, Kromium dan Selenium.

Pesakit diabetes juga memerlukan lebih banyak Asid Alfa Lipoik, sejenis antioksidan sejagat yang boleh berfungsi dalam kawasan sel-sel berair dan berlemak.

*Makanan tambahan tersebut mesti diambil bersama dengan ubat-ubatan semasa dan tidak digunakan untuk menggantikan ubat-ubatan dan nasihat doktor.