Thursday, August 6, 2009

H1N1 - Buang tabiat tunggu kematian



PERTENGAHAN Mei lalu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Margaret Chan memberi amaran kepada penduduk dunia tentang gelombang kedua wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Ketika itu virus HINI baru tersebar. Belum ada yang terkorban manakala kebanyakan mangsa yang dijangkiti selesema babi merupakan kes import.

Selepas lebih dua bulan amaran wakil badan dunia itu berkumandang, wabak selesema babi yang dulu berada pada tahap sederhana kini mencetuskan kebimbangan.

H1N1 bertukar menjadi pandemik. Korban yang dicatatkan akibat wabak tersebut meningkat secara mendadak.

Jumlah kematian di negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Argentina mencecah ratusan, sementara kes kematian (sekurang-kurangnya satu) mula dilaporkan di beberapa negara baru. Laporan WHO juga menunjukkan tidak kurang 30,000 kes selesema babi di seluruh dunia dan angka itu pantas menokok.

Paling menarik perhatian adalah trend kematian – kebanyakannya berpunca daripada jangkitan tempatan. Bermakna wabak yang bermula dengan bawaan dari luar kini tersebar di sesebuah negara secara dalaman.

Mangsa yang menyebarkan virus tersebut tidak lagi terdiri daripada pelancong atau rakyat sesebuah negara yang baru kembali dari negara lain di mana telah ada catatan kes H1N1.

Virus itu juga telah membuktikan bahawa ia mampu merebak dengan cepat dan tidak mustahil dalam masa yang singkat mengalami mutasi sehingga menjadikan wabak selesema babi berada pada tahap serius.

Apatah lagi dalam keadaan simptom wabak tersebut kini semakin pelbagai dan ia tidak terhad kepada ciri-ciri biasa seperti selesema, demam atau sesak nafas.

WHO mengesan ada kes di mana pesakit H1N1 tidak mengalami demam sebaliknya hanya cirit-birit. Perkembangan itu menyukarkan usaha untuk mengenal pasti mangsa wabak tersebut.

Di Malaysia, graf kematian akibat selesema babi selepas korban pertama pada bulan lalu menunjukkan peningkatan ketara. Bermula dengan kes kematian penuntut warga Indonesia yang kemudian diikuti rakyat Malaysia yang baru pulang dari Belgium. Korban seterusnya adalah kes tempatan termasuk yang terbaru kanak-kanak berusia enam tahun di Pahang semalam.

Perkembangan itu sememangnya kurang menyenangkan. Angka kematian turut dicatatkan di negara jiran – Brunei dan Thailand.

Usaha membendung wabak ini telah dilaksanakan sebaik-baik sahaja H1N1 muncul di negara ini. Amaran dan garis panduan mengenainya telah dikeluarkan.

Biar pun kerajaan dikatakan tidak bersungguh-sungguh namun pembendungan wabak ini hakikatnya tidak menunggu lama untuk dimulakan.

Cuti kakitangan Kementerian Kesihatan dibekukan. Antivirus diimport menggunakan peruntukan berjuta ringgit. Setiap hari amaran dikeluarkan kepada rakyat Malaysia supaya berhati-hati, menjaga kebersihan, segera mendapatkan rawatan dan jangan berkunjung ke negara-negara berisiko kecuali atas urusan yang tidak boleh ditangguhkan.

Namun rakyat negara ini kurang prihatin, tidak responsif dan ambil mudah. Jika mahu dikatakan wabak selesema babi masih baru dan kurang diketahui bahayanya menyebabkan rakyat tidak peka, senario yang sama berlaku dalam usaha membasmi wabak denggi.

Sangat terbukti denggi masih menjadi ancaman dalam masyarakat. Setiap hari ada saja nyawa yang terkorban akibat gigitan nyamuk aedes yang melarat membawa kepada demam denggi.

Puncanya hanya satu. Orang ramai alpa dan tidak pernah serius terhadap usaha serta ratusan juta ringgit yang telah dibelanjakan untuk menghapuskan aedes.

Persekitaran tidak dijaga, tapak-tapak pembinaan tidak diselia sehingga menarik minat nyamuk aedes untuk bersarang di situ.

Begitu juga dengan kawasan perumahan, pusat perniagaan, pasar-pasar gagal dipastikan paras kebersihannya menjangkau piawaian yang ditetapkan menyebabkan denggi terus menjadi wabak dan ancaman maut kepada rakyat negara ini.

Perkara yang sama jelas dilihat dalam kes selesema babi.

Kebanyakan kematian disebabkan oleh kegagalan mangsa mendapatkan rawatan segera. Biar pun telah berkali-kali diingatkan (cuma tidak dibawa rotan dan dipaksa) sesiapa sahaja yang mengalami simptom-simptom H1N1 mendapatkan rawatan segera. Namun sindrom tidak kisah, tidak apa dan tunggulah – membawa kepada pengabaian yang berakhir dengan maut.

Ada juga pesakit yang cukup dengan sekali sahaja mendapatkan rawatan. Demam berpanjangan dibiarkan begitu sahaja, manakala nasihat supaya menjaga kebersihan diri langsung tidak diberi perhatian.

Begitu juga dengan nasihat supaya ditangguhkan perjalanan ke luar negara bagi tujuan yang tidak penting. Tidak ramai rakyat Malaysia mahu akur arahan tersebut menyebabkan usaha kerajaan membendung wabak itu tidak berjaya menampakkan kesannya.

Nasihat supaya memakai penutup hidung dan mulut juga kurang mendapat sambutan, menyebabkan virus yang tersebar menerusi udara khususnya di tempat tumpuan ramai itu merebak pantas terutama di kalangan mangsa yang berisiko tinggi dijangkiti wabak itu.

Begitu juga tahap pematuhan arahan kuarantin di rumah. Ramai yang ingkar dan memandang ringan arahan tersebut sebaliknya mengambil kesempatan berjalan-jalan dan membeli-belah.

Lebih memburukkan keadaan apabila sambil lewa itu berlaku juga di kalangan pengamal perubatan apabila ada pesakit dengan simptom selesema babi gagal diberi rawatan segera.

Ada pesakit H1N1 selamba disuruh pulang atas alasan dia menghidap demam dan selesema biasa. Sedangkan diketahui itu adalah ciri-ciri selesema babi yang mesti diberikan rawatan segera dan disusul perkembangan pesakit dari semasa ke semasa.

Sebab itu rakyat Malaysia mesti responsif. Bukan sahaja terhadap nasihat dan garis panduan yang disediakan oleh kerajaan malah bertindak balas dengan melaporkan segera sebarang pengabaian kepada pihak yang berkenaan.

Untuk menjadi responsif, rakyat mesti mempunyai pengetahuan dan peka terhadap perkembangan semasa. Lebih penting daripada itu segala-galanya mesti disusuli dengan tindakan segera tanpa memberi ruang kepada pengabaian masa.

Buang sikap tidak apa. Jauhkan juga tabiat ‘menunggu kematian’ (melibatkan darah daging sendiri) baru hendak bertindak. Sering kali kalangan rakyat Malaysia tidak menginsafi paparan angka nyawa yang terkorban baik disebabkan wabak, kemalangan mahu pun penyalahgunaan dadah.

Sebab itu jugalah angka-angka itu terus meningkat tanpa ada ruang untuk menoleh ke belakang. Jalan singkat adalah dengan menyalahkan kerajaan sebagai punca segalagalanya.

Kesanggupan para petugas di hospital untuk mendedahkan diri mereka kepada jangkitan maut yang dibawa oleh pesakit-pesakit yang dirawat tidak pernah diabaikan daripada ingatan.

Bukan hendak disimpulkan langkah-langkah kerajaan menangani wabak selesema babi lengkap dan sempurna kerana ruang penambahbaikan masih terbentang, namun segala usaha itu akan sia-sia jika rakyat tidak memainkan peranan.

No comments: