Monday, November 2, 2009

Perlindungan LcS terhadap jangkitan virus influenza

SERINGKALI, ramai yang menjangkakan bahawa selesema biasa dan influenza adalah perkara yang sama. Sebenarnya, terdapat banyak perbezaan termasuklah tanda-tanda jangkitan dan jenis virus yang menjadi penyebabnya.

Selesema biasa menyebabkan tanda-tanda jangkitan yang bersifat tempatan, maksudnya terhad di bahagian tertentu badan, biasanya tekak dan hidung. Tanda-tanda selesema biasa selalunya agak sederhana dan demam biasanya berlaku dengan suhu sekitar 36 hingga 38 darjah Celsius di samping sakit kepala, sakit sendi atau otot dan menggigil yang semuanya agak sederhana.

Virus yang menyebabkan selesema biasa adalah pelbagai dan terdiri daripada kategori rhinovirus, coronavirus, adenovirus, parainfluenza virus dan enterovirus.

Manakala bagi influenza, ia memberi kesan sistemik, bermaksud pada sistem badan keseluruhannya. Tanda-tandanya berlaku dengan cepat, menyebabkan demam panas lebih kurang 40 darjah Celsius. Sakit kepala, sakit sendi atau otot dan menggigil yang serius. Virus yang menjadi puncanya ialah virus influenza, sama ada jenis A, B atau C.

Pensyarah Sekolah Siswazah Pertanian, Universiti Shinshu, Nagano, Jepun, Prof. Hisako Yasui berkata, virus influenza jenis B dan C kerap menjangkiti kanak-kanak dan bayi secara amnya. Influenza virus A boleh menjangkiti semua manusia. Oleh itu, ia lebih berbahaya dari segi potensi untuk menyebabkan pandemik.

Virus baru

"Virus baru influenza juga sering muncul dari semasa ke semasa tanpa disangka-sangka. Ini juga mencetuskan pandemik.

''Pandemik yang pernah tercetus sebelum ini dan telah pun berlalu ialah Influenza 'Sepanyol' (H1N1: Jenis A) yang berlaku pada 1918; Influenza'Asia' (H2N2:Jenis A) - 1957; Influenza 'Hong Kong' (H3N2: Jenis A) - 1968 dan Influenza 'Soviet' (H1N1: Jenis A) - 1977.

''Manakala yang masih peringkat pandemik ialah virus selesema burung (H5N1) yang muncul pada tahun 2003 di China dengan kadar kematian sebanyak 60 peratus manakala virus selesema babi baru (H1N1) yang muncul di Mexico dengan kadar kematian sebanyak 0.5 peratus dan virus influenza bermusim (biasa) dengan kadar kematian kurang 0.1 peratus,'' katanya ketika menyampaikan ceramah mengenai Fungsi Perlindungan Lactobacillus casei strain Shirota (LcS) terhadap Jangkitan Virus Influenza di Kyoto, Jepun, baru-baru ini.

Menurut Yasui, setiap virus berbeza dari segi mudah berjangkit dan kadar kematian apabila dijangkiti. Paling digeruni tentulah virus yang mudah berjangkit dan menyebabkan kadar kematian yang tinggi.

Walaupun terdapat ubat yang boleh mengubati influenza setelah dijangkiti, namun ubatan itu hanya mengurangkan jangkitan dan perlu diambil dalam jangkamasa terdekat sebaik dijangkiti bagi memberikan kesan. Ada kebimbangan virus itu telah kebal terhadap ubat-ubatan itu.

Justeru, menurut Yasui, pencegahannya perlu diutamakan daripada mengubatinya. Dalam kes influenza, ia dicegah oleh sistem imun badan.

''Badan mempunyai dua jenis imuniti - imuniti inate (tidak spesifik) dan imuniti adaptif (spesifik). Di sini, pencegahan hanya perlu diberi perhatian kepada imuniti inate. Ini kerana imuniti adaptif (melibatkan antibodi) hanya akan diaktifkan selepas dijangkiti, jatuh sakit atau melalui vaksin,'' katanya.

Jelasnya, penggunaan LcS adalah pilihan yang tepat bagi mengoptimumkan imuniti inate. Ini berdasarkan kajian-kajian sebelum ini terhadap manusia dan haiwan yang menunjukkan bakteria LcS mempunyai kesan anti-tumor dan anti-jangkitan bakteria.

''Jadi, berdasarkan penemuan tersebut, saya dan kumpulan penyelidik dari Universiti Shinshu menjalankan kajian untuk menyiasat sama ada LcS mempunyai kesan terhadap jangkitan virus influenza, kerana jangkitan virus ini boleh dikurangkan dengan menguatkan imuniti inate kita,'' ujarnya.

Kajian ke atas tikus

Dalam kajian pertama, Prof. Yasui telah memasukkan LcS dalam bentuk cecair terus ke dalam hidung tikus yang telah dijangkiti dengan virus influenza H1N1.

Selang tiga minggu, LcS sekali lagi dituang ke dalam hidung tikus tersebut. Perkara yang sama dilakukan pada sekumpulan tikus lain tanpa menuangkan LcS.

Tujuannya bagi membuat perbandingan tahap aktiviti imuniti inate tikus, virus yang dikesan di kawasan hidung tikus dan akhirnya kadar kematian.

Daripada keputusan, mendapati LcS berjaya meningkatkan imuniti inate di sekitar organ pernafasan dan melindunginya daripada jangkitan influenza.

Kajian selanjutnya ke atas tikus berusia dan bayi tikus bagi mengetahui sama ada LcS berkesan kepada warga tua dan bayi. Ini kerana warga tua mempunyai fungsi imun yang rendah dan bayi dengan sistem imun yang belum matang, mereka ialah kumpulan berisiko tinggi dijangkiti influenza.

Terbukti melalui kajian ini, tikus berusia yang diberi makan LcS telah diperkuatkan imuniti inate mereka dan terdapat kesan perlindungan daripada jangkitan virus influenza.

Begitu juga kajian ke atas bayi tikus, mendapati pengambilan LcS telah mempercepatkan kadar matang imuniti inate dalam salur pernafasan dan dengan itu mungkin dapat membantu melindungi bayi dan kanak-kanak dari pelbagai jangkitan salur pernafasan.

LsS elak jangkitan salur pernafasan

Sebagai kesimpulannya, Dr. Yasui berpendapat, LcS mungkin berguna untuk mengelakkan jangkitan salur pernafasan untuk individu berusia yang biasanya mempunyai fungsi imun yang rendah dan juga bagi bayi dan kanak-kanak yang biasanya mempunyai sistem imun yang belum matang.

Di pasaran, LcS boleh didapati dalam bentuk minuman susu kultur dan telah diminum oleh berjuta-juta orang selama lebih 70 tahun yang lalu. Salah satu jenama yang mengandungi LcS ialah Yakult.

Sehingga hari ini, Yakult telah dipasarkan di lebih 32 buah negara merentasi benua Amerika Selatan, Eropah dan Asia termasuk Malaysia dengan jualan sebanyak 16 juta botol sehari.

Tidak cukup dengan itu, produk-produk minuman Yakult kini telah mendapat pengesahan Food of Specified for Health Uses (FOSHU), iaitu badan di bawah Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun yang memberi pengesahan kepada produk makanan dan minuman mengandungi kesihatan di negara itu.

No comments: