Wednesday, August 6, 2008

Keguguran dan mati fetus ditakuti ibu mengandung

Kata orang, anak ialah sinar hidup untuk ibu dan bapa. Lebih-lebih lagi bagi pasangan yang baru menimang cahaya mata. Ada yang beranggapan, lagi ramai anak lagi bertambah rezeki.

Bagi si ibu, mereka sanggup berkorban jiwa dan raga demi memastikan anak yang dikandung selama sembilan bulan sentiasa sihat dan selamat. Ia dijaga bagai menatang minyak yang penuh.
Tapi, bagaimana pula dengan nasib mereka yang tidak ditakdirkan untuk memiliki anak.

Menyentuh saja soal tiada anak, fikiran mula menular tentang kemandulan.

Sebenarnya, tidak semua pasangan yang tidak mempunyai anak disebabkan oleh kemandulan. Ada segelintir daripada mereka pernah mengandung tetapi mengalami keguguran atau kematian fetus.

Keguguran kadangkala dipanggil kegagalan kehamilan, biasa berlaku sebelum minggu ke-20 kehamilan terjadi.

Para penyelidik menganggarkan bahawa sebanyak 15 peratus wanita yang tahu mereka hamil kemungkinan mengalami keguguran.

Terdapat banyak perbezaan di mana sebab-sebab berlakunya keguguran. Ada sesetengahnya diketahui dan setengah lagi tidak diketahui.

Apabila berlakunya keguguran, ini tidak bermakna seseorang wanita itu tidak boleh kembali hamil atau wanita itu tidak akan dapat melahirkan anaknya dengan normal.

Beberapa faktor yang menyumbang ke arah keguguran telah dikenalpasti. Antaranya, berpunca daripada kromosom yang tidak normal di dalam fetus dalam trimester yang pertama.
Ini biasanya berpunca daripada masalah sperma atau telur yang mencegah fetus daripada membesar.

Semasa trimester kedua, akan berlaku masalah-masalah berkaitan dengan serviks dan uterus yang akan menyumbang kepada keguguran.

Wanita yang mengalami gangguan yang dinamakan Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) adalah tiga kali lebih berkemungkinan untuk mengalami keguguran sepanjang kehamilan pada bulan-bulan awal kehamilan berbanding dengan wanita yang tidak mengalami sindrom ini.

PCOS ialah gangguan endokrin yang berlaku di kalangan kebanyakan wanita tidak kira bangsa. Ia juga adalah gangguan hormon dan paling biasa di kalangan wanita umur reproduktif dan adalah satu sebab kemandulan yang utama.

Kajian National Institute of Child Health and Human Development (NICHD) mendapati, wanita yang mengalami PCOS sering mengalami masalah untuk menggunakan insulin bagi mendapatkan tenaga.

Rintangan insulin ini sering berlaku kepada seseorang yang menghidap diabetes.
Untuk merawat rintangan insulin ini, penyelidik telah mempreskripsikan sejenis dadah yang bernama Metaformin.

Apa yang mereka temui ialah Metaformin bukan sahaja mengurangkan rintangan insulin bahkan ia juga membawa perubahan pada lapisan rahim yang boleh membantu wanita dengan PCOS mengurangkan risiko keguguran sepanjang trimister mereka yang pertama.

Biasanya, wanita yang gugur pada awal kehamilannya perlu melalui satu prosedur yang dinamakan cuci rahim atau Dilatation and Curettage (D&C) untuk membuang tisu tetap di dalam uterus.

Selain keguguran, ramai juga golongan wanita yang mengalami kematian fetus. Kematian ini terjadi selepas minggu ke-20 kehamilan berlaku dan terjadi atas sebab-sebab tertentu. Dalam sesetengah kes, si ibu dapat mengagak terdapat kekurangan dalam pergerakan atau penendangan oleh fetus.

Selain itu, kematian fetus juga boleh dikesan dengan menggunakan mesin ultrasound yang menggunakan gelombang-gelombang bunyi untuk memperlihatkan gambaran fetu, ibu-ibu juga dapat mengetahui kedudukan fetus di dalam perut.

No comments: