Wednesday, August 6, 2008

Pengenalan Tibi

Bahagian Pertama

WALAUPUN rawatan perubatan moden untuk penyakit tibi adalah yang paling berkesan dan paling murah untuk sesuatu penyakit yang boleh membawa maut, tibi masih lagi merupakan salah satu punca utama kesengsaraan dan kematian di seluruh dunia.
Tibi adalah suatu penyakit berjangkit. Ia merebak melalui udara dan titisan cecair badan daripada pesakit kepada orang lain. Kuman yang menyebabkan penyakit tibi ialah sejenis bakteria dipanggil Mycobacterium tuberculosis.

* Sejarah

Penyakit tibi diketahui wujud sejak dari tahun 8,000 sebelum Masihi di mana terdapat kesan-kesan penyakit tibi di tulang belakang mumia Firaun.

Pada tahun 460 sebelum Masihi, Hippocrates iaitu bapa perubatan telah menamakan penyakit itu sebagai pthisis.

Ibnu Sina di dalam bukunya Kanun Perubatan mengetahui bahawa tibi diumpamakan sebagai suatu penyakit yang berjangkit.

Pada kurun ke-16, tibi dikenali sebagai consumption. Di Malaysia, pada kurun ke-20 penyakit ini dikenali sebagai “batuk kering”.

Pada tahun 1950an, penyakit tibi merupakan pembunuh utama penduduk di Tanah Melayu (Malaya). Pada tahun 1961, Program Kawalan Tibi Kebangsaan ditubuhkan dan semua pesakit tibi dirujuk ke Pusat Tibi Negara di Jalan Pahang, Kuala Lumpur (sekarang dikenali sebagai Institut Perubatan Respiratori).

Pada kurun ke-19, tibi hampir memusnahkan seluruh Eropah dan Amerika. Tibi pada masa itu juga dipanggil hawar putih untuk menyamakannya dengan penyakit hawar hitam (plague) yang telah meragut banyak nyawa di benua Eropah dan Amerika pada kurun ke-18.
“Musuh” kepada kesengsaraan dan kematian manusia ini telah dikenal pasti oleh seorang ahli sains bernama Robert Koch. Beliau menemui bakteria mycobacterium tuberculosis pada 24 Mac 1883.

Mengambil sempena penemuan bakteria pada tarikh itu, 24 Mac telah dijadikan hari memperingati tibi sedunia pada tiap-tiap tahun.

Penyakit tibi tidak mengenal batasan sama ada kekayaan atau kemasyhuran seseorang.
Sebagai contoh, Elanor Roosevelt iaitu bekas wanita pertama Amerika dan George Orwell, pengarang buku pada tahun 1984 telah diserang penyakit tibi.

Ahli politik ke ahli falsafah, raja-raja ke orang biasa, pelukis ke paderi, doktor ke ahli muzik, semuanya pernah menghidap atau mati disebabkan oleh penyakit tibi.

* Situasi global

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan peningkatan penyakit tibi setiap tahun dan dianggarkan insiden tibi mencecah 12 juta sehingga tahun 2005.
Satu pertiga daripada penduduk dunia dijangkiti kuman tibi dan setiap tahun, tibi membunuh hampir dua juta penduduk dunia.

* Tuberkulosis Secara Klinikal

Kuman Mycobacterium tuberculosis merebak melalui udara dan titisan daripada pengidap penyakit tibi aktif.

Selain daripada itu, penyebaran penyakit ini adalah melalui pemakanan di mana pada suatu masa dahulu semasa susu tidak dipasturkan, kuman mycobacterium bovis dari susu lembu diminum dan menyebabkan tibi di bahagian usus.

Tibi juga boleh menjangkiti seseorang di kulit secara terus jika terdapat luka yang terbuka di kulit. Walau bagaimanapun cara yang paling biasa ialah melalui udara yang tercemar dan titisan.
Seseorang yang terdedah kepada udara yang tercemar dengan kuman tibi akan menghidu kuman ke dalam saluran pernafasan melalui hidung, mulut, larinks dan kuman boleh hinggap di mana-mana sahaja bahagian tersebut.

Kuman tibi akan melalui salur pernafasan dan menghinggap di bahagian atas paru-paru (selalunya paru-paru sebelah kanan). Seseorang yang mempunyai sistem daya tahan (imuniti) yang baik boleh melawan kuman tibi ini secara semula jadi. Jangkitan kuman tibi kali pertama juga boleh diatasi dengan tidak memakan apa-apa ubat.

Bagi mereka yang sistem daya tahan badannya rendah

(immunocompromised/immunosuppressed), mereka tidak terdaya untuk berbuat demikian . Mereka ini boleh mendapat jangkitan yang terus menular ke dalam salur darah dan limfa atau kedua-duanya sekali. Ini dipanggil tibi primer (Primary Tuberculosis).

Bagi mereka dengan sistem imuniti yang baik, mungkin terdapat 20 peratus kuman tibi hidup secara dorman (tidak aktif) di dalam klasifikasi granuloma (calcified granuloma).

Jika pada suatu masa sistem daya tahan badan golongan ini terjejas, kuman-kuman yang dorman itu boleh membiak semula secara aktif dan menyebabkan jangkitan tibi aktif semula (reactivation tibi).

Proses yang berlaku ialah pembentukan granuloma, radang paru-paru dan kaviti-kaviti (lubang-lubang) di dalam paru-paru.

Kuman tibi membiak secara aktif di dalam kaviti-kaviti sehingga berjuta-juta kuman berkembang dan apabila pesakit batuk, bercakap atau bersin, berjuta-juta kuman dikeluarkan ke udara seterusnya mencemari udara.

* Rawatan

Rawatan tibi melibatkan pengubatan dikenali sebagai Short Course Chemotherapy (SCC) selama enam hingga sembilan bulan.

Pada dua bulan pertama, iaitu dipanggil fasa intensif, pesakit mengambil ubat pada setiap hari. Pada bulan seterusnya, pesakit mengambil ubat dua hingga tiga kali seminggu yang dipanggil continous atau maintenance therapy.

Pemberian ubat adalah secara DOTS (Directly Observed Therapy Short Course). DOTS adalah kaedah rawatan yang mempunyai lima cabang.

Salah satu cabang DOTS ialah pesakit dimestikan memakan (menelan) ubat di hadapan pemberi rawatan atau di hadapan seseorang yang boleh dipercayai seperti anggota kesihatan, ibu, isteri, ketua kampung dan sebagainya.

Buku rawatan mesti ditandatangani. Ini adalah penting kerana rawatan tibi mengambil masa berbulan-bulan dan pesakit mesti dipastikan memakan ubat tanpa putus.

Jika tidak, penyakit boleh datang semula dan kemungkinan kuman tibi akan menjadi rentan (membentuk ketahanan) kepada ubat tibi.

1 comment:

Ammi said...

boleh saya tau butiran penuh tentang artikel ni.. sebab kalau boleh saya nak gunakan ia sebagai sebahagian info tesis saya...

bantuan dari pigak blogger sangat la saya harapkan...

mohdalif1985@yahoo.com