8. Ingin tahu produk atasi masalah ereksiSOALAN: SAYA tidak menghadapi masalah ereksi dan kehidupan seks normal. Namun saya amat teruja melihat produk seperti pam vakum, krim, viagra dan bahan lain yang dikatakan dapat meningkatkan kemampuan seks serta ingin mencuba salah satu daripadanya. Apakah ini boleh memberi kesan sampingan? Saya berusia 26 tahun.
JAWAPAN:Jika saudara tidak mempunyai masalah ereksi dan menjalani kehidupan seks normal, pengambilan ubat ubat 'PDE 5 inhibitors' seperti Viagra, Cialis atau Levitra tidak akan memberi manfaat, malah ia akan memberi kesan sampingan serta membazirkan wang. Ini kerana ubat-ubat ini berfungsi dengan membesarkan saluran darah ke zakar dan hanya akan memberi manfaat jika saluran darah ke zakar sempit akibat dari kesan penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi. Saudara juga akan mengalami kesan sampingan seperti sakit kepala, sakit otot, muka terasa merah dan panas, sakit di bahagian pinggang, hidung tersumbat dan sakit di bahagian epigastrium.
Saudara perlu faham ubat-ubat di bawah kategori ini bukannya berfungsi menaikkan stamina seksual atau libido, atau membolehkan saudara tahan lama dalam hubungan seksual. Begitu juga dengan pengunaan vakum, ia berfungsi dengan menarik dan mengumpul darah di bahagian zakar dan selepas zakar menjadi tegang, aliran darah kemudian disekat mengunakan cecincin yang dipasang di pangkal zakar. Ianya boleh mendatangkan kesan seperti lebam dan sakit di bahagian zakar dan kadang-kala luka di pangkal zakar tempat cecincin dipasang. Pengunaan krim juga tidak akan membantu saudara mendapatkan ereksi yang lebih tegang sekiranya saudara mempunyai ereksi normal.
9. Gagal kawal perasaan ketika laku hubungan seks
SOALAN: SAYA sering gagal mengawal perasaan ketika melakukan hubungan seks. Saya cepat ghairah hingga gagal mengawal ejakulasi. Apakah ini ada kaitannya dengan faktor genetik?
JAWAPAN: Masalah ejakulasi pra-matang yang saudara hadapi bukan berpunca dari faktor genetik. Sebahagian besarnya berpunca dari masalah psikologi. Ia kerap terjadi kepada golongan remaja atau lelaki yang belum mahir dalam teknik mengawal ejakulasi. Faktor seperti masalah hubungan suami-isteri, stress, kemurungan, terlampau ghairah, rasa bersalah semasa melakukan hubungan seks dan tidak ada keyakinan diri kerap menyumbang kepada terjadinya ejakuasi pra matang. Masalah seperti ini sudah semestinya akan memyebabkan ketegangan dan menjejaskan hubungan saudara dan pasangan. Saya nasihatkan saudara berjumpa pakar urologi untuk membantu saudara dalam menangani masalah ini. Rawatan yang diberikan selalunya bermula dengan rawatan secara psikologikal dan cara mengawal ejakulasi.
Kaedah seperti 'start stop technique', teknik memicit kepala zakar sebelum klimaks, 'sensate focus' akan diajar dan teknik ini memerlukan kerjasama dan komitmen dari pasangan saudara. Saudara juga boleh melakukan cara seperti mastubasi sejam hingga dua jam sebelum hubungan seks atau memberi tumpuan yang lebih kepada 'fore play' sebelum penetrasi. Selain dari itu pengunaan krim anastetik topical seperti 'lignocaine gel' yang disapu kepada kepala zakar sebelum hubungan seksual boleh juga dicuba. Sekiranya gagal, ubat dari kumpulan SSRI seperti Prozac, Zoloft akan diberikan kepada saudara . Bagaimanapun, ubat ini mempunyai beberapa kesan sampingan dan pengambilannya memerlukan pengawasan doktor.
10. Isteri lambat klimaks
SOALAN: SAYA baru berkahwin semula selepas lama menduda. Menggunakan pengalaman silam, saya menjalin hubungan bersama isteri baru. Tetapi saya dapati isteri saya lambat klimaks hingga kadang kala kami kecewa. Apakah kita boleh dapati ubat mempercepatkan klimaks wanita di pasaran
JAWAPAN: SETAKAT ini tidak ada lagi ubat di pasaran yang dapat membantu mempercepatkan klimaks seseorang wanita. Bagaimanapun, saudara boleh mencuba beberapa teknik yang boleh membantu seseorang wanita mencapai klimaks. Ini termasuk memanjangkan 'foreplay' di mana tumpuan perlu diberi kepada kawasan lain selain dari vagina, stimulasi manual klitoris samada dengan cara oral, jari atau bantuan alatan seperti vibrator.
Sekiranya masalah ini berlarutan dan membawa kepada ketegangan hubungan suami isteri, isteri saudara mungkin mempunyai masalah 'female sexual dysfunction' yang boleh berpunca dari sebab-sebab fizikal, hormonal atau psikologikal. Saudara perlu membawa isteri saudara berjumpa dengan pakar sakit puan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
11. Sakit perut dan keluar cairan jernih dari zakar
SOALAN: SAYA berusia 23 tahun dan aktif bersukan tetapi sejak setahun lalu, saya menghidap penyakit hernia namun terus bersukan. Ereksi saya normal tetapi sejak akhir-akhir ini saya sering sakit perut dan keluar cairan jernih dari zakar ketika sakit. Apakah sebenarnya masalah yang saya hadapi ini?
JAWAPAN: JIKA saudara menghidapi masalah hernia atau 'angin pasang', nasihat saya saudara perlu menjalani pembedahan terutama dalam keadaan di mana saudara adalah seorang yang aktif bersukan. Ini adalah kerana dengan menjalani aktiviti lasak terutama membabitkan aktiviti mengangkat berat, keadaan hernia saudara akan menjadi lebih teruk. Pelbagai komplikasi boleh timbul akibat dari masalah hernia.
Paling utama, hernia boleh menyebabkan penyumbatan usus yang bermula dengan sakit perut dan keadaan di mana hernia yang tidak boleh ditolak masuk lagi. Untuk makluman saudara, hernia tidak boleh dirawat dengan cara urutan tradisional dan tidak ada kaitan antara hernia dan ereksi termasuk pengeluaran cecair jernih dari zakar. Sekiranya sakit perut saudara itu berpunca di bahagian ari-ari serta sakit semasa kencing dan pengeluaran cecair jernih, kemungkinan saudara mengalami jangkitan saluran kencing. Saya nasihatkan saudara berjumpa dengan doktor supaya pemeriksaan lanjut dapat dibuat.
12. Makanan, minuman sejuk melemahkan anggota sulit?
SOALAN: BENARKAH pengambilan makanan dan minuman sejuk akan melemahkan anggota sulit? Apakah ia turut menjejaskan prestasi ketika melakukan perhubungan bersama?
JAWAPAN: DARI pandangan perubatan moden, tidak ada kaitan antara pengambilan makanan atau minuman sejuk dengan ketegangan zakar atau kemungkinan ia boleh mempengaruhi prestasi. Ini kerana proses ketegangan zakar berlaku akibat pembesaran saluran darah ke zakar. Ia dicetuskan dari rangsangan fizikal atau mental. Selain itu, proses ketegangan zakar juga dipengaruhi sistem saraf dan hormon.
Bagaimananapun, jika saudara mengambil minuman beralkohol dalam kuantiti yang banyak, ia boleh menjejaskan ketegangan zakar secara tidak langsung. Ini kerana minuman beralkohol akan menurunkan tahap konsentrasi saudara. Mengikut kajian perubatan moden pula, tidak ada bukti kukuh yang mengatakan beberapa jenis makanan atau minuman yang dikenali sebagai 'aphrodisiacs' dapat meningkatkan prestasi hubungan seks seseorang lelaki.
13. Masalah kencing tidak lawas
SOALAN: SAYA berusia 31 tahun, masih bujang dan tidak mempunyai pengalaman dalam hubungan seks. Sejak beberapa tahun lalu saya mengalami masalah kencing tidak lawas. Apa yang membimbangkan saya, apakah masalah ini boleh menjejaskan kehidupan seksual apabila saya berkahwin akhir tahun ini? Apa ubat yang sesuai untuk menghilangkan masalah itu?
JAWAPAN : KENCING tidak lawas tidak akan menjejaskan kehidupan seksual saudara secara langsung. Ini adalah kerana ereksi zakar tidak ada hubung kait dengan sistem saluran kencing. Punca mengapa saudara mengalami kencing tidak lawas perlu disiasat. Oleh kerana saudara baru berumur 31 tahun, kemungkinan besar saudara tidak mengalami masalah pembesaran kelenjar prostat. Ini adalah kerana pembesaran kelenjar prostat akan berlaku selepas seseorang lelaki itu berumur lebih dari 50 tahun.
Jika masalah kencing tidak lawas ini berserta dengan aliran kencing perlahan, ada kemungkinan saudara menghadapi masalah penyempitan saluran kencing akibat pembentukan tisu berparut (urethral stricture). Ini terjadi terutama apabila saudara pernah menghadapi masalah jangkitan kuman pada saluran kencing ataupun saudara pernah mengalami trauma pada saluran kencing. Masalah kencing tidak lawas ini juga boleh disebabkan oleh pengecutan otot yang mengawal pembukaan pundi kencing.
Dalam keaadan ini, otot mengecut semasa proses pembuangan air kencing menyebabkan pengaliran aliran kencing yang tersekat sekat dan membawa kepada perasaan tidak puas semasa habis kencing. Ini disebabkan baki air kencing masih lagi banyak dalam pundi. Kehadiran batu karang dan infeksi dalam pundi kencing juga boleh membawa kepada masalah kencing tidak lawas. Doktor akan melakukan pemeriksaan dengan cara memasukan alat cystoscope untuk melihat keadaan saluran kencing dan pundi kencing. Ubatan dari kumpulan alpha Blocker boleh diberi untuk merehatkan otot sewaktu kencing dan ini boleh membantu melawaskan kencing.
14. Tiada air mani keluar apabila ejakulasi
SOALAN: SAYA pelik dengan masalah terbaru yang dialami setiap kali melakukan hubungan seks dengan isteri. Saya mencapai klimaks normal seperti lelaki lain tetapi apa yang membimbangkan saya ialah apabila ejakulasi, tiada setitispun air mani keluar. Hanya cecair jernih dan likat seperti air mazi. Cecair ini juga hanya meleleh dan sedikit. Apakah punca masalah ini dan adakah ini menyukarkan saya mendapat zuriat?
JAWAPAN: SAUDARA mungkin mengalami masalah retrograde ejaculation atau anejaculation. Masalah retrograde ejaculation berlaku apabila air mani akan masuk ke dalam pundi kencing semasa ejakulasi. Ini berlaku apabila otot yang mengawal pundi kencing gagal mengecut semasa ejakulasi. Pesakit yang menghadapi masalah ini akan merasa orgasma seperti biasa dan sensasi pancutan tetapi air mani tidak keluar.
Semasa membuang air kecil, air kencing akan menjadi keruh disebabkan oleh bercampur dengan air mani. Ada pelbagai punca terjadinya masalah ini. Ia sering berlaku selepas pembedahan ke atas kelenjar prostat. Penyakit kencing manis juga boleh membawa kepada masalah ini. Sebab lain termasuk kecederaan saraf spinal atau pembedahan ke atas tulang belakang dan saraf spinal, serta pengambilan pelbagai ubat yang boleh menjejaskan fungsi otot pengawal pundi kencing. Masalah anejaculation pula berlaku apabila tidak ada sensasi pengeluaran air mani walaupun seseorang mengalami orgasm. Ia boleh berpunca dari masalah psikologi seperti tekanan, konflik rumah tangga ataupun disebabkan oleh penyumbatan saluran pembukaan air mani. Ada pelbagai jenis rawatan mengatasi masalah ini bergantung kepada punca. Ubat seperti imipramine boleh digunakan. Jika berlaku penyumbatan saluran air mani, rawatan secara pembedahan boleh dibuat.
Rawatan kaunseling dan psikologi boleh diberi kepada pesakit yang mengalami anejaculation akibat masalah psikologi. Jika saudara mengalami masalah retrograde ejaculation, adalah sukar bagi saudara mendapatkan zuriat dengan cara normal.
Apa yang dilakukan adalah pakar akan cuba mendapatkan sampel air mani di dalam air kencing atau dengan cara mendapatkan mani terus dari buah zakar dan kemudian melakukan proses persenyawaan melalui kaedah assisted reproduction.
15. Kesan mudarat laku seks oral, ambil ubat rangsangan seks?
SOALAN: SEJAK akhir-akhir ini banyak ubat ransangan seks dijual dan ada yang mendakwa memperoleh kelulusan Kementerian Kesihatan. Saya ada mengambil ubat terbabit atas dasar ingin mencuba serta memperoleh manfaat seperti spring return dan mentalk. Apakah kesan jangka panjang jika kita berterusan mengambil ubat ini? Selain itu, saya juga suka melakukan seks oral, apakah ia mendatangkan kesan mudarat?
JAWAPAN: DARI sudut pandangan perubatan moden, tidak ada ubat dijual di pasaran terbuka boleh merangsang hubungan seks atau meningkatkan prestasi hubungan seks .Ubatan moden dari jenis PDE5 inhibitor seperti Viagra, Levitra dan Cialis akan membantu penguna mendapat ereksi sekiranya penguna mengalami masalah mati pucuk atau erectile dysfunction.
Ada juga ubatan boleh meningkatkan paras testosterone dalam badan seperti Andriol atau Nebido. Ubat ini hanya akan berfungsi dan perlu diambil apabila paras testosterone dalam badan berkurangan. Dengan mengambil ubat ini secara tidak langsung akan mengembalikan ketegangan zakar dan keinginan untuk melakukan hubungan seks. Kedua-dua kumpulan ubatan ini adalah ubatan kawalan dan hanya boleh diberi oleh doktor terlatih saja. Ubat di pasaran banyak didapati dalam bentuk herba dan fungsinya adalah sebagai health supplement. Saudara perlu berhati-hati apabila mengambil ubat ini walaupun ia dikatakan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan. Ini adalah kerana kandungan ubat ini tidak diketahui dan kadang kala boleh mengandungi steroids yang akhirnya boleh menyebabkan pelbagai komplikasi jika diambil secara berpanjangan. Nasihat saya jika saudara mempunyai masalah seksual, saudara perlu berjumpa doktor pakar dan elak dari membeli ubat yang tidak diketahui kandungannya.
Saudara juga gemar melakukan oral seks. Tidak ada apa kemudaratan jika saudara memgamalkannya dengan pasangan yang saudara kenali.Ini adalah kerana ada beberapa jenis penyakit jangkitan seksual sepeti herpes atau jangkitan kulat yang boleh menular melalui seks oral terutama apabila saudara yang melakukan oral seks itu kepada pasangan yang menghidap herpes atau fungus. Jangkitan HIV juga akan berlaku dalam sesetengah kes jika ada luka dalam mulut pemberi oral seks.
16. Masalah kerap membuang air kecil
SOALAN: SAYA berusia 23 tahun dan masih bujang. Sejak setahun lalu saya mempunyai masalah kerap membuang air kecil. Saya juga tidak dapat menahan kencing. Setiap hari tidak kurang dari 15 kali saya ke tandas.Ini menimbulkan masalah kepada saya terutama ketika menghadiri mesyuarat dan majlis keramaian. Apa masalah yang saya alami dan adakah cara mengubati masalah saya ini?
JAWAPAN: MASALAH yang saudara hadapi dikenali sebagai masalah pundi kencing terlampau aktif atau overactive bladder. Dalam keadaan ini, pundi kencing saudara tidak dapat menampung kapasiti air kencing yang banyak dan akan mengecut walaupun belum sampai waktunya. Tanda jelas adalah saudara terpaksa membuang air kecil lebih dari 10 kali sehari selain mengalami perasaan tidak boleh menahan kencing atau urgency.
Bagi sesetengah pesakit, berlaku pengeluaran air kencing yang tidak disengajakan (urge incontinence) dan ini sangat memalukan terutama jika ia berlaku di khalayak ramai atau di majlis keramaian. Pesakit yang mengalami masalah ini kerap menghadapi masalah kemurungan disebabkan oleh limitasi dan kurang kualiti hidup akibat penyakit ini. Saudara dinasihat berjumpa dengan pakar urologi mengenai masalah ini. Ujian air kencing akan dilakukan untuk mengetahui sama ada saudara mempunyai jangkitan kuman dalam pundi kencing yang boleh memberi tanda sama seperti over active bladder. Ada pelbagai cara boleh dilakukan untuk merawat masalah ini.
Senaman kegel dan latihan pundi kencing bladder training akan diajar kepada saudara untuk membolehkan mengawal pundi kencing. Ubatan dari jenis antimuscarinic seperti tolteradine akan diberi dan ubat ini dapat membantu mengawal kekerapan ke tandas. Ada juga sebahagian kecil pesakit yang tidak dapat dirawat dengan cara ubatan. Bagi golongan ini, rawatan suntikan botox dalam pundi kencing boleh diberi.
17. Tidak dapat buang air kecil hingga selesaiSOALAN: SAYA tidak dapat membuang air kecil hingga selesai. Ini kerana saya masih merasakan ada sisa air kencing yang belum keluar, namun tidak dapat mengeluarkannya. Sebaliknya ia keluar sendiri semasa saya sudah memakai seluar. Sebelum ini saya sering menahan kencing dan ejakulasi. Adakah masalah ini berkaitan dengan tabiat saya itu? Bagaimanakah masalah ini dapat diatasi?
JAWAPAN: SAUDARA menghadapi keadaan yang dikenali sebagai terminal dribbling. Masalah ini sering dihadapi kebanyakan lelaki tidak mengira peringkat umur. Di kalangan muda dan remaja, masalah ini terjadi apabila sebahagian kecil daripada air kencing tertinggal dalam saluran urethra. Ia akan keluar dengan sendiri apabila proses membuang air kecil selesai dan ini menimbulkan masalah terutama bila hendak mengerjakan solat bagi yang beragama Islam.
Cara paling mudah mengatasi masalah ini adalah dengan mengamalkan teknik urutan urethra (urethral milking). Selepas selesai membuang air kecil, dengan mengunakkan satu jari, saluran urethra perlu diurut dari pangkal zakar ke arah depan. Ini membolehkan air kencing yang terperangkap keluar. Satu lagi cara adalah melalui batuk atau berdehem selepas kencing. Ini akan meningkatkan tekanan dalam ruang abdomen dan seterusnya menolak air kencing yang terperangkap. Bagi golongan yang berumur 50 tahun ke atas, masalah terminal dribbling ini boleh berpunca akibat pembesaran kelenjar prostat. Sekiranya kaedah yang dinyatakan gagal mengatasi masalah yang saudara hadapi, anda perlu berjumpa pakar urologi. Ini kerana dalam setengah pesakit wujud keadaan yang dikenali sebagai urethral diverticulum di mana ruang yang terbentuk dalam saluran urethra yang akan memerangkap air kencing. Ini menyebabkan masalah seperti yang saudara alami.
Masalah yang saudara hadapi ini tidak ada kena mengena dengan menahan kencing atau ejakulasi. Bagaimanapun, saudara dinasihat tidak mengamalkan tabiat menahan kencing .Ini adalah kerana proses menahan kencing akan mengakibatkan tekanan dalam pundi kencing meningkat lalu boleh mendatangkan masalah pada masa depan.
18. Suami sering mengalami mimpi basahSOALAN: SAYA pelik, mengapa suami sering mengalami mimpi basah sedangkan kami kerap mengadakan hubungan seks. Apakah ia normal? Saya bimbang mungkinkah ia berpunca kerana saya tidak mampu memuaskan keperluan seksual suami saya?
JAWAPAN: MIMPI basah atau nocturnal emission (wet dreams) tidak ada kaitan dengan kegagalan puan memuaskan keperluan seksual suami. Ia fenomena normal yang berlaku pada setiap lelaki bermula daripada umur remaja dan tidak mengira usia atau status perkahwinan.
Malah kaum wanita juga boleh mengalami mimpi basah. Ia berkaitan mimpi erotik. Kajian yang dilakukan oleh pakar dari Barat berpendapat mimpi basah akan lebih kerap terjadi kepada lelaki yang kurang melakukan onani. Tidak ada rawatan yang perlu diberikan sekiranya seseorang itu mengalami mimpi basah ini dan ia tidak ada kaitan dengan penyakit serius.
19. Tidak mudarat tahan air mani ketika onani
SOALAN: SAYA selalu melakukan onani tetapi cenderung menahan air mani daripada keluar. Tabiat ini boleh dikatakan dilakukan hari-hari tetapi dalam seminggu, sekali atau dua kali air mani dilepaskan. Adakah perbuatan saya ini berbahaya dan boleh memberi kesan tidak baik?
JAWAPAN: PERBUATAN menahan air mani dari keluar semasa onani tidak mendatangkan apa-apa kemudaratan. Malah teknik menahan air mani dari keluar ini diajar kepada pesakit yang mempunyai masalah ejakulasi pra matang.
Dari segi perubatan moden, tidak ada masalah jika saudara kerap melakukan onani dan tidak ada kesan jangka masa panjang sekiranya onani ini diamalkan walaupun setiap hari. Malah ia digalakkan kerana membantu kita mengenali bahagian atau focus erotic pada badan kita sendiri selain dapat melepaskan seseorang dari tekanan seksual.
Kemudaratan hanya akan timbul sekiranya seseorang itu mula ketagih melakukan onani dan jika individu terbabit tidak dapat menumpukan perhatian kepada perkara lain seperti pembelajaran atau pekerjaan.
20. Kehilangan rasa bila bersetubuhSOALAN: SAYA ingin bertanya mengenai zakar yang kehilangan rasa bila bersetubuh akibat kerap melakukan onani dengan sabun. Apakah kehilangan rasa ini boleh sembuh semula secara semula jadi?
JAWAPAN: UNTUK makluman saudara, kerap melakukan onani menggunakan sabun tidak menyebabkan zakar kehilangan rasa semasa bersetubuh. Kehilangan rasa yang kekal pada zakar mungkin berpunca dari masalah saraf.
Kehilangan rasa pada zakar juga boleh terjadi kepada lelaki yang menggunakan gel pelincir yang mengandungi local anasthetics seperti lignocaine dan ini bersifat sementara saja. Setengah kondom di pasaran juga dilapisi lignocaine di bahagian dalam. Penggunaan lignocaine ini bertujuan memberi kesan kebas pada kepala zakar dan ini akan memanjangkan masa hubungan seks sebelum ejakulasi. Saya ingin menasihatkan saudara berjumpa dengan doktor berkenaan masalah kebas ini supaya pemeriksaan lebih lanjut dapat dibuat. Penggunaan sabun semasa onani boleh memberi kesan kepada zakar dalam bentuk pengeringan kulit di kepala zakar dan di sekeliling zakar. Kulit di kawasan zakar adalah sensitif.
Sesetengah sabun akan menghilangkan kelembapan semula jadi di kawasan zakar. Sabun juga boleh menyebabkan iritasi pada pembukaan urethra dan ini menyebabkan rasa pedih selepas onani. Adalah lebih baik jika saudara menggunakan water base gel seperti KY Jelly untuk melakukan onani. Selain itu, minyak bayi juga boleh digunakan tetapi zakar perlu dibasuh selepas onani. Penggunaan petroleum base gel tidak digalakkan.
21. Makanan tingkatkan jumlah sperma
SOALAN: SAYA musykil apakah ada makanan tertentu yang boleh diambil bagi meningkatkan jumlah sperma? Bagaimana jika kita mahu mendapatkan sperma bermutu?
JAWAPAN: MENGIKUT pandangan dan kajian pakar pemakanan Barat, ada beberapa jenis makanan, vitamin dan mineral yang boleh meningkatkan mutu sperma. Bahan yang mengandungi antioxidant ini boleh mengelak kerosakan sperma. Mutu sperma juga banyak dipengaruhi makanan yang mengandungi antioxidant. Ini berdasarkan kajian yang menunjukkan lelaki yang kurang mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran mempunyai kualiti dan motiliti sperma rendah. Antioxidant glutahatione dan crypthoxanthin banyak didapati dalam sayur-sayuran hijau dan tomato. Pengambilan zink ,asid folic, chromium, selenium dan coenzyme Q10 juga dikatakan membantu meningkat mutu sperma. Selain itu, pengambilan vitamin C, E dan vitamin B Kompleks boleh membantu.
Saudara juga perlu mengelak dari mengambil minuman mengandungi kafein kerana ia boleh mengurangkan mutu sperma. Amalkan cara hidup sihat seperti bersenam , kurangkan berat badan dan tidak menghisap rokok. Selain itu, jangan pakai seluar dalam ketat kerana ini boleh meningkatkan suhu dalam buah zakar dan menjejaskan penghasilan sperma. Bagaimanapun, jika saudara menghadapi masalah kesuburan atau mempunyai kandungan sperma rendah, saudara perlu terlebih dulu berjumpa doktor pakar. Ini kerana ada beberapa masalah urologi yang boleh menyebabkan kemandulan. Ini termasuk masalah varicocele yang boleh dirawat dengan cara pembedahan.
Anda musykil atau bimbang masalah kesihatan boleh menjejaskan kelakian diri? Dr Zulkifli akan memberi pandangan dan membantu menyelesaikan masalah anda. Hantarkan soalan kepada Pengelola Ruangan Tanya Doktor, XY - Ikon Lelaki, Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau e-mel tanyadrxy@bharian.com.my.