Pengalaman lalu bantu usaha hadapi wabak diramal serius tahun depan SARAWAK pernah terjejas teruk akibat serangan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada 2006 apabila 14,521 kes dikesan dengan 13 kematian dicatatkan.
Berdasarkan kitaran serangan wabak berkenaan, Sarawak dijangka sekali lagi akan diserang penyakit berkenaan pada 2009 iaitu hanya berbaki dua bulan setengah dari sekarang dengan waktu puncak serangan diramalkan pada waktu perayaan Tahun Baru Cina, awal tahun depan.
Tanda-tanda ke arah itu sudah nampak apabila pada 30 September lalu seorang kanak-kanak yang diserang HFMD meninggal dunia di Hospital Sibu dan sudah disahkan dijangkiti Enterovirus 71 (EV71), virus maut yang meragut nyawa lebih 40 kanak-kanak di China, baru-baru ini.
Pengesahan virus itu dibuat oleh Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang mengambil sampel daripada mangsa untuk ujian makmal dan pengesahan EV71 diumumkan kelmarin. Virus sama juga pernah membunuh 30 kanak-kanak bawah umur lima tahun di negeri ini pada 1997 dan itulah tahun pertama virus itu dikesan di negara ini.
Terdapat tiga jenis virus biasa bagi HFMD termasuk A16 dan A10, virus yang sentiasa ada di udara dan tidak menyebabkan kematian, manakala EV71 pula mampu menyerang sistem otak dan pernafasan sehingga menyebabkan kematian.
Belajar daripada pengalaman lalu, kerajaan negeri dengan kerja sama semua pihak terutama Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Pelajaran Negeri, lebih awal mengambil langkah berjaga-jaga dan memantau rapi perkembangan yang berlaku dengan tindakan sewajarnya sudah mula diambil sejak awal lagi.
Malah ketika mula-mula mengesahkan 14 penghidap HFMD di Sarawak positit EV71 pada sidang media 8 Ogos lalu, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, mengumumkan bahawa kerajaan negeri mengisytiharkan langkah kawalan segera di seluruh Sarawak bagi menangani serangan wabak berkenaan.
Pengesahan hasil ujian makmal di Unimas itu membabitkan kanak-kanak berusia antara lapan bulan hingga tujuh tahun.
Pada masa yang sama, dua lagi kanak-kanak masing-masing berusia dua dan tiga tahun dimasukkan ke Hospital Miri sejak 4 Oktober lalu kerana mengalami penyakit HFMD yang serius, namun keadaan mereka kini dilaporkan stabil. Dr Chan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam dan Pengurusan Bencana Sarawak berkata, langkah segera sudah dan akan terus diambil untuk mencegah wabak itu dan orang ramai tidak perlu bimbang mengenainya.
Sehingga semalam, 6,414 kes HFMD dilaporkan di Sarawak dengan Hospital Miri dan Hospital Sibu yang masing-masing mencatat kemasukan 10 dan tujuh pesakit. Jabatan Pelajaran dan Jabatan Kesihatan juga pekeliling dan cakera padat mengenai HFMD untuk panduan di sekolah sudah diedarkan sejak dua bulan lalu.
Begitu juga mana-mana sekolah tadika yang dikesan ada kes HFMD, akan ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga bagi membolehkan operasi membersih kawasan sekolah dilakukan.
Ibu bapa juga diminta membawa segera anak mendapatkan rawatan jika demam atau menghadapi tanda jangkitan HFMD, manakala guru, khususnya peringkat prasekolah perlu memeriksa tangan dan lidah kanak-kanak sebelum memasuki kelas dan menghalang mereka ke kelas jika demam atau ada tanda jangkitan HFMD.
Tanggungjawab sebenarnya lebih terletak di bahu orang ramai khususnya ibu bapa dengan mereka perlu mengambil langkah berjaga-jaga terutama dengan meningkatkan amalan kebersihan dalam semua urusan harian, bagi mengelak merebaknya wabak berkenaan.
Malah orang ramai di negeri ini harus mengambil iktibar daripada penurunan mendadak kes Sindrom Pernafasan Yang Teruk (SARS) yang menyerang Sarawak pada 2003 hasil langkah kebersihan ketat yang diambil ketika itu. Harus diingat bahawa pembawa penyakit itu bukan saja di kalangan kanak-kanak, malah orang dewasa, yang seterusnya akan berjangkit kepada anak-anak mereka serta kanak-kanak sekeliling.
"Mungkin tidak ada tanda-tanda jangkitan pada orang dewasa, tetapi kerana tidak mementingkan kebersihan mereka boleh menjadi pembawa virus terbabit sebelum ia merebak pada aanak mereka," kata Dr Chan.
Ibu bapa harus memastikan keadaan persekitaran kediaman dan permainan kanak-kanak sentiasa bersih dengan setiap ahli keluarga dinasihati mengamalkan kebersihan diri bagi mencegah jangkitan.
Mereka juga perlu mencuci tangan dengan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, selepas ke tandas, selepas menukar lampin anak dan mencuci najis anak, selain perlu menutup mulut dan hidung dengan tisu apabila bersin atau batuk.
Pada masa yang sama, ibu bapa dinasihatkan mengelak daripada membawa anak kecil ke tempat umum yang sesak seperti pusat beli-belah, kolam renang dan pasar.
Sekiranya ibu bapa mendapati anak mereka mempunyai gejala HFMD, mereka perlu segera membawanya ke hospital atau klinik berdekatan, tidak menghantar anak ke tadika, rumah pengasuh atau sekolah, serta lapkan lelehan dari mulut serta hidung dengan tisu.
Hanya dengan memastikan kebersihan pada tahap maksimum, wabak penyakit yang dibawa menerusi udara itu dapat dihindari dan diperangi secara habis-habisan.
INFO: EV71
Demam panas, diikuti lepuhan kulit pada tangan dan kaki serta ulser mulut.
Demam teruk, radang otak dan lumpuh.
Setakat ini belum ada vaksin atau ejen antiviral yang boleh merawat atau menghalang EV71.
Merebak terutama melalui sentuhan terhadap lepuhan kulit atau najis.
Friday, October 17, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Kesian kanak-kanak
Di Kuantan beberapa kes telah berjaya diatasi dengan pengambilan Transfer Factor. Kanak-kanak yang mengambil transfer factor telah sembuh dalam masa tiga hari jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang tidak mengambilnya tidak juga sembuh dalam masa tersebut.
Post a Comment