1. Sindrom andropaus bagi lelaki
SOALAN : SUAMI saya memasuki usia 65 tahun Disember ini. Saya pernah mendengar mengenai andropaus iaitu keadaan yang mirip menopaus bagi wanita. Apakah sindrom andropaus bagi lelaki seperti suami saya itu?
JAWAPAN : Masalah andropaus ini dikenali sebagai sindrom kekurangan hormon testosterone atau testosterone deficiency syndrome (TDS). Ia agak berbeza daripada masalah menopaus yang dihadapi wanita.
Ini adalah kerana bagi lelaki, hormone testosterone masih wujud dalam badan tetapi parasnya menurun. Apabila ia berkurangan, akan timbul pelbagai simptom dan seseorang lelaki boleh mengalami masalah ini seawal lingkungan umur 40-an. Masalah TDS ini berkaitan pelbagai masalah lain seperti obesiti, kencing manis dan peningkatan paras kolesterol dalam badan. Ia boleh menimbulkan masalah seperti osteoporosis, mati pucuk, sakit jantung dan kemurungan. Ada pelbagai simptom masalah TDS.
Ini termasuk keletihan berpanjangan, rasa tidak sihat dan tidak bermaya, sakit sakit otot dan sendi, kerap berpeluh dan mengalami hot flushes. Seseorang itu juga mengalami masalah tidur seperti tidak lena, bangun awal, terasa letih walaupun mendapat tidur secukupnya.
Seseorang juga boleh mengalami perasaan cepat marah, sensitif, rasa kemurungan, tidak lagi berminat dengan sebarang aktiviti. Dari aspek seksual pula, seseorang itu akan mengalami masalah mati pucuk, tidak ada nafsu (libido) untuk melakukan hubungan seksual dan kurang/tidak ada ereksi zakar pada waktu pagi. Ada juga pesakit mengalami masalah janggut atau misai kurang lebat serta tidak lagi perlu bercukur sekerap dulu.
Jika suami puan mengalami simptom ini, puan perlu menasihatkan beliau berjumpa doktor pakar. Ini adalah kerana beberapa ujian perlu dilakukan untuk mengesahkan masalah yang dihadapi suami. Ini termasuk ujian simptom dengan mengunakan borang soal jawab seperti AMS Questionnaire dan ujian paras hormone testosterone. Sekiranya paras hormone testosterone rendah, suami puan dinasihat mengambil hormon testosterone gantian (testosterone replacement therapy). Ada pelbagai bentuk di pasaran seperti gel, patch tablet dan suntikan.
2. Pantang rawatan dialisis
SOALAN: SAYA berusia 36 tahun dan disahkan mengalami kerosakan kekal di kedua-dua belah buah pinggang. Saya perlu menjalani rawatan dialisis berjadual serta banyak berpantang dalam pemakanan. Apakah ini boleh menjejaskan kesuburan saya?
JAWAPAN: Untuk makluman saudara, pesakit buah pinggang kronik terutama yang perlu menjalani rawatan dialisis akan menghadapi masalah kesuburan. Ini adalah kerana pengumpulan toksin terutama urea dalam darah akibat dari kegagalan buah pinggang boleh menjejaskan penghasilan sperma.
Ketika menjalani rawatan dialisis, proses penghasilan sperma akan terjejas dan mutu sperma yang dihasilkan adalah rendah malah sperma yang dihasilkan mempunyai masalah motiliti. Bagaimanapun, kajian menunjukkan selepas seseorang lelaki menjalani pemindahan buah pinggang, akan berlaku perubahan di mana proses penghasilan sperma kembali pulih tetapi timbul masalah dari segi motiliti. Dalam sesetengah kes pula, kualliti dan motiliti akan pulih sepenuhnya. Satu lagi masalah yang akan timbul adalah mati mucuk di mana kemungkinan untuk saudara menghadapi masalah ini meningkat dari sembilan peratus sebelum dialisis kepada 70 peratus ketika rawatan dialisis dijalankan.
Bagaimanapun, masalah ini boleh diatasi dengan mudah iaitu mengunakan ubat PDE5 inhibitor seperti viagra. Saya ingin menasihatkan saudara berjumpa pakar fertiliti supaya kaedah seperti penyimpanan sperma (sperm banking) boleh dilakukan sebelum rawatan dialisis bermula. Ini boleh membantu jika saudara ingin mendapatkan zuriat melalui cara assisted in vitro fertilization.
3. Perbezaan batu karang dan prostat
SOALAN: SAYA ingin tahu apakah perbezaan antara batu karang dan prostat? Adakah ia sama atau berlainan? Jika seseorang menghidap masalah prostat apakah pembedahan dapat menghilangkan gejala ini?
JAWAPAN: KEHADIRAN batu karang dalam sistem urinari dan pembesaran kelenjar prostat adalah dua masalah berbeza. Batu karang boleh terbentuk dalam buah pinggang, saluran ureter dan pundi kencing.
Namun begitu, kehadiran batu karang dalam pundi kencing boleh berpunca dari pembesaran kelenjar prostat. Batu karang boleh dihadapi semua peringkat umur tanpa mengambil kira jantina. Manakala pembesaran kelenjar prostat hanya berlaku pada kaum lelaki yang berumur lebih dari 50 tahun. Di antara tanda penyakit batu karang adalah sakit di bahagian pinggang, kencing berdarah, kerap mendapat jangkitan kuman dalam air kencing dan kencing pedih serta tidak lawas jika batu karang ada dalam pundi kencing. Ada juga pesakit merasa kehadiran pasir atau batu kecil dalam air kencing semasa proses membuang air kecil. Jika seseorang lelaki mengidap masalah pembesaran kelenjar prostat, tanda-tandanya adalah seperti berikut:
Aliran kencing perlahan.
Terpaksa menunggu lama untuk air kencing keluar.
Terpaksa meneran untuk mengeluarkan air kencing.
Air kencing masih menitik walaupun selepas habis kencing.
Perasaan tidak puas selepas membuang air kecil.
Kerap ke tandas untuk membuang air kecil.
Tidak dapat menahan air kencing di mana pesakit terpaksa bergegas ke tandas apabila terasa hendak kencing.
Bangun untuk membuang air kecil pada waktu malam.
Dalam sesetengah kes, berlaku kebocoran air kencing dan saluran kencing tersumbat yang menyebabkan pesakit langsung tidak boleh membuang air kecil hingga tiub kencing terpaksa dimasukkan dalam pundi kencing. Tidak semestinya masalah pembesaran kelenjar prostat dirawat dengan mengunakan kaedah pembedahan. Ada dua jenis ubat yang boleh diberi untuk merawat masalah ini.
Ubatan dari jenis alpha -1 blocker akan memulihkan aliran kencing dengan cara merehatkan otot pundi kencing dan di sekitar kelenjar prostat. Antara ubat yang ada di pasaran adalah Alflusozin (Xatral), Doxazosin (Cardura) dan Terazosin (Hytrin). Kumpulan kedua adalah kumpulan 5 alpha reductase inhibitor di mana ubat dari kumpulan ini boleh mengecilkan kelenjar prostat. Ubat dari kumpulan ini perlu diambil untuk jangka masa panjang sebelum kesannya dapat dirasai.
Contoh ubatan dari kumpulan 5 alpha reductase inhibitor adalah Finasteride (Proscar) dan Dutasteride (Avodart). Kedua-dua kumpulan ubat ini hanya boleh diberi oleh doktor dan pakar saja dan tidak boleh dibeli di farmasi tanpa preskipsi. Pembedahan untuk meluaskan saluran kencing hanya akan dilakukan dalam kes kes yang tidak boleh dirawat menggunakan ubat.
Pembedahan yang sering dilakukan adalah dikenali sebagai transurethral resection of the prostate (TURP).
4. Urat zakar menonjol
SOALAN: SAYA berusia 31 tahun dan belum berkahwin. Sejak dua minggu lalu, saya sering mengalami senak dan mendapati buah zakar saya seperti berbenjol pada uratnya. Lebih menakutkan, jika saya tekan benjolan itu senak saya bertambah. Saya malu berjumpa doktor tetapi masalah ini sungguh merisaukan saya.
JAWAPAN: MASALAH urat pada buah zakar yang menonjol dan boleh menimbulkan senak dikenali sebagai varicocele. Ia berpunca dari pembesaran saluran darah vena spermatik.
Majoriti dari varicocele ini berlaku pada sebelah kiri buah zakar. Ianya sering terjadi pada golongan lelaki berumur antara 15 tahun hingga 25 tahun. Punca sebenar terjadinya varicocele tidak diketahui.
Kebanyakan pesakit yang mengalami masalah varicocele ini tidak mempunyai tanda namun ada juga yang menghadapi masalah sengal dan sakit seperti yang saudara alami. Kebanyakan penghidap mengesan urat membonjol di bahagian atas kerandut zakar yang menjadi lebih jelas sekiranya seseorang berada dalam posisi berdiri.
Di dalam setengah kes yang teruk, varicocele ini boleh menyerupai segumpalan cacing didalam kerandut zakar. Saya nasihatkan saudara mendapat rawatan pakar urologi. Tidak ada sebab merasa malu kerana ini adalah untuk kebaikan saudara sendiri. Untuk makluman saudara jika varicocele ini tidak dirawat, ia akan menjejaskan kesuburan. Ini adalah kerana kehadiran varicocele akan meningkatkan suhu dalam kerandut zakar dan ini akan menjejaskan proses penghasilan sperma.
Jika dibiarkan berterusan, buah zakar akan menjadi kecil. Saudara mungkin akan menjalani pemeriksaan ultrasound untuk mengesah dan menentukan tahap varicocele yang saudara alami. Pemeriksaan ini juga penting untuk memastikan keadaan buah zakar dan untuk menentukan tidak ada sebab sebab lain yang menjadi punca kehadiran varicocele. Sekiranya varicocele saudara pada tahap minimum, selalunya saudara tidak memerlukan sebarang rawatan. Jika ia pada tahap yang akan menjejaskan kesuburan atau sudahpun menyebabkan masalah seperti yang saudara alami, rawatan secara pembedahan akan dibincangkan dengan saudara.
Untuk makluman saudara pembedahan ini boleh dilakukan dengan cara laparoskopik iatu pembedahan ‘lubang kunci’ yang memberi parut yang kecil. Kemungkinan besar saudara dibenarkan pulang ke rumah pada hari yang sama selepas pembedahan dengan kesan sampingan yang minimum.
5. Zakar kering
SOALAN: SAYA remaja lelaki berusia 20 tahun dan sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT). Saya mempunyai masalah dengan organ sulit saya. Zakar saya kelihatan kering di bahagian batang dan kepala. Adakah saya boleh menggunakan losyen bayi untuk mengembalikan lembapan pada kedua-dua bahagian ini?
JAWAPAN: SAUDARA boleh menggunakan losyen atau minyak bayi untuk memulihkan kelembapan pada batang dan kepala zakar.
Sekiranya berlaku kegatalan, saudara boleh menggunakan 1% hydrocortisone cream yang boleh didapati di farmasi. Bagaimanapun, jika masalah ini berterusan atau bertambah teruk saudara perlu berjumpa doktor. Saudara juga perlu mengenalpasti punca sebenar kekeringan di bahagian berkenaan. Jika perlu, saudara hendaklah menukar jenis sabun yang digunakan untuk membersih alat sulit kepada sabun yang lebih lembut, tidak mengeringkan kulit dan sesuai untuk kulit sensitif.
6. Saiz zakar bukan faktor utama kepuasan
SOALAN: SAYA berumur 20 tahun. Saya memiliki zakar bersaiz kecil lebih kurang 10 inci panjang dan ukur lilit lebih kurang sembilan sentimeter. Tetapi adik saya yang berumur 14 tahun memiliki zakar lebih besar. Adakah cara untuk menambah saiz zakar tanpa menggunakan alat tertentu? Apakah saya sebenarnya mempunyai masalah dengan zakar saya?
JAWAPAN: SAUDARA memiliki saiz panjang zakar yang normal. Malah saiz zakar lelaki semasa ereksi secara purata antara empat hingga enam inci dengan ukur lilit antara empat hingga enam sentimeter.
Kepanjangan zakar berbeza antara individu dan berbeza dari segi saiz semasa tiada ereksi (flaccid) dan ketika ereksi. Kajian menunjukkan seorang lelaki yang mempunyai zakar panjang semasa keadaan flaccid, mencatat penambahan kepanjangan sedikit semasa ereksi berbanding mereka yang memiliki saiz zakar pendek semasa flaccid.
Saudara tidak perlu gusar mengenai perbezaan saiz zakar dengan adik yang berumur 14 tahun. Saudara perlu tahu saiz zakar bukannya faktor utama menentukan kepuasan pasangan saudara.
7. Sakit lutut sebab kerap beronani?
SOALAN: SAYA berusia 27 tahun tetapi mengapa lutut saya sering sakit? Ada rakan memberitahu saya mungkin kekurangan cecair dalam kepala lutut kerana kerap beronani. Apakah ini ada kebenarannya?
JAWAPAN: KESAKITAN lutut yang saudara alami bukanlah disebabkan onani. Ini adalah kerana onani tidak menyebabkan kekurangan cecair pada lutut. Malah ia tidak akan menimbulkan sebarang kesan sistemik yang sering diperkatakan seperti masalah kabur penglihatan, buta, kekurangan protein dalam badan, mati pucuk malah sakit mental.
Onani hanya akan memudaratkan apabila seseorang itu melakukannya hingga menjejaskan tumpuan kepada perkara lain. Bagaimanapun, kekerapan onani boleh menjejaskan kesuburan seseorang kerana jumlah sperma akan berkurangan dalam setiap pancutan air mani jika ia berlaku secara berulang-ulang. Onani yang dilakukan dengan tergesa-gesa juga boleh menimbulkan masalah ejakulasi pra matang. Saudara juga tidak digalakkan melakukan onani kering (dry masturbation) dan juga dengan mengunakan bahan fabrik seperti kain atau bantal.
Ini adalah kerana ia bukan saja menyebabkan abrasi atau luka pada kulit zakar, malah menyebabkan zakar menjadi sensitif. Ini juga akan menimbulkan masalah kepuasan apabila saudara berumahtangga nanti kerana alat kelamin wanita adalah rongga basah.
Saya nasihatkan saudara berjumpa pakar orthopedic mengenai masalah lutut saudara. Jika saudara aktif dalam sukan kemungkinan besar ia berpunca dari kecederaan ligamen atau meniscus. Kekurangan cecair pada lutut lazimnya hanya berlaku apabila seseorang itu sudah berusia.
Saturday, October 18, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Agak2 brp kos pembedan u untuk vericocele?
Post a Comment