KURANGNYA pendedahan terhadap gejala menopaus dan bagaimana menanganinya menyebabkan masyarakat sukar menerima kehadirannya.
Apatah lagi, anda tidak tahu bila menopaus akan tiba. Dan pastinya anda juga tidak mahu ia memberi kejutan kepada anda.
Dalam hal ini, wanita harus bersikap positif dan menganggap kehidupan mereka akan bertambah baik selepas mengalami menopaus (putus haid).
Ini kerana sebagai wanita, anda perlu bersedia dengan beberapa siri perubahan biologi tubuh dalam meniti setiap fasa kehidupan.
Perubahan akan berlaku termasuklah pusingan haid yang menandakan kematangan tubuh wanita, konsepsi, kehamilan, kelahiran dan menopaus.
Apa yang pasti, setiap fasa perubahan ini pasti membabitkan rasa tidak selesa sama ada pada emosi mahupun fizikal.
Menopaus adalah salah satu perubahan semula jadi yang pasti ditempuhi oleh wanita apabila mereka mencecah fasa tertentu.
Kebiasaannya, wanita akan mengalami menopaus iaitu putus haid apabila usia menjangkau antara 45 hingga 55 tahun.
Ia dikatakan berpunca daripada perubahan akibat penurunan hormon.
Hormon oestrogen berperanan untuk menentukan keseimbangan pusingan haid seseorang dan ciri-ciri kewanitaan seseorang.
Kekurangan hormon ini pada wanita menyebabkan berlakunya tekanan pada organ- organ tertentu tubuh yang memerlukan seperti pancaindera atau sama ada dari segi fizikal, mental dan emosional.
Perubahan ini menjadi kebimbangan kepada wanita yang sukar berhadapan dengan kehidupan selepas menopaus.
Ada pelbagai teori yang mungkin dapat menjelaskan kebimbangan wanita terhadap menopaus.
Pada masa lalu, keupayaan mendapat zuriat amat dipentingkan dan kehilangan upaya wanita untuk mengandungkan anak mungkin menjejaskan kepentingannya dalam masyarakat.
Malah penekanan hari ini terhadap awet muda memberi tekanan besar terhadap wanita untuk melengahkan dan menafikan proses penuaan, termasuk menopaus.
Persepsi yang tidak tepat ini menimbulkan salah faham dan cara pengurusan menopaus yang tidak tepat, menjadikannya satu pengalaman perit, bukan sahaja bagi wanita, tetapi juga orang tersayang.
Rata-rata apabila wanita mengalami menopaus, beberapa anggota tubuh wanita akan mengalami perubahan fizikal seperti otot-otot bahagian kemaluan akan mengendurkan pundi kencing.
Keadaan ini biasanya menimbulkan masalah seperti kencing yang tidak teratur, kencing merata-rata, kulit menipis, mudah melecet di samping rasa tidak selesa dalam hubungan seks.
Tulang, bahagian badan yang menyimpan banyak kalsium juga akan kekurangan unsur tersebut dan membawa kepada ketahanan tulang mula menurun.
Sekiranya dibiarkan, lama-kelamaan tulang akan menjadi cepat reput dan mudah patah.
Simptom-simptom inilah yang menjadi igauan wanita terutama mereka yang telah berkahwin.
Mereka merasakan diri mereka tidak menarik lagi di mata pasangan hidup.
Akibatnya, keperluan untuk keintiman dan keinginan seks selepas menopaus secara ketaranya dianggap sebagai satu topik perbincangan yang memalukan dalam budaya Asia.
Tidak menghairankan juga, 46 peratus daripada responden dalam Tinjauan Soal Selidik Menopaus dan Kesejahteraan Seks Asia yang dikendalikan syarikat penyelidikan Synovate Healthcare pada tahun 2006 percaya bahawa nafsu seks akan memberikan kesan negatif terhadap kualiti kehidupan.
Tinjauan ini membabitkan 1,000 wanita yang berusia antara 45 hingga 60 tahun dari lima rantau di Asia.
Malaysia diwakili oleh 300 responden. Sejumlah 56 peratus daripada responden tidak pernah membincangkan masalah seks mereka dengan sesiapa dan amalan ini amat membimbangkan.
Hanya enam peratus membincangkan masalah seks mereka dengan doktor. Namun, lebih 60 peratus daripada responden berkata kehidupan mereka dijangka menjadi lebih menyeronokkan jika fungsi kehidupan seks mereka bertambah baik.
Peralihan semula jadi
Menurut Pakar Runding Obstetrik dan Ginekologi dan Presiden Persatuan Menopaus Malaysia (MMS), Dr Liew Fah Onn, wanita digalakkan menerima menopaus sebagai satu peralihan semula jadi yang membawa kepada kehidupan lebih baik dan lebih bermanfaat.
“Menopaus atau putus haid ialah satu peralihan semula jadi dalam kehidupan wanita dan tiada wanita dapat mengelakkannya, sebagaimana akil baligh yang dialami oleh semua orang.
“Tetapi bagi sesetengah orang, menyebutnya pun pantang, apatah lagi gejalanya diperkecil dan dianggap sebagai khayalan sahaja dan wanita yang melihat menopaus secara negatif dan menghadapi masalah dalam menerima pengalaman ini sebagai sesuatu semula jadi,” katanya.
Malah, isu ini menjadi topik utama perbincangan dalam Sidang Obstetrik dan Ginekologi yang diadakan pada 27 hingga 29 Jun lalu anjuran bersama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM) dan MMS.
Tidak berlaku serta-merta
Sementara itu, Pakar Runding Obstetrik dan Ginekologi dan pengarah perubatan klinik Master’s lelaki dan Pusat Kesihatan Wanita di Kanada, Dr. Lawarence Komer berkata, menopaus tidak berlaku serta-merta.
“Ia merupakan satu proses beransur-ansur yang diiringi oleh sebilangan simptom, meliputi simptom umum seperti selaran panas dan kekeringan, kepada kesan yang lebih serius dan bersifat jangka panjang seperti osteoporosis dan peningkatan risiko masalah jantung,” katanya.
Tambahnya, setiap wanita mengalami menopaus dengan cara yang berbeza. Ada yang tidak merasai simptomnya dan menerima perubahan sebagai proses penuaan. Wanita lain pula mengalami semua simptom yang memberi kesan negatif terhadap kehidupan harian mereka.
“Antara simptom yang akan dialami wanita menopaus termasuklah sakit kepala, insomnia, pening, kebimbangan, cepat marah, berpeluh, debaran jantung, kemurungan, merah padam, nafsu seks menurun, perubahan emosi, sakit sendi-sendi dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau memberitahu, berbeza daripada tanggapan umum, sebenarnya ramai wanita yang mengalami menopaus tanpa gangguan emosi atau ketidakselesaan fizikal dan mengakui yang mereka gembira dengan kehidupan selepas menopaus.
Sebagai contoh, menopaus sering berlaku seiring dengan persaraan dan ketibaan cucu dan kaum wanita boleh memberi tumpuan kepada kehidupan kerana tidak lagi bekerja.
Akhirnya, mereka ada masa untuk teman dan hobi yang dulunya diketepikan kerana terpaksa bekerja dan menjaga keluarga.
Bagi pasangan suami isteri pula, mungkin tiba masanya menghidupkan kembali keintiman dan perasaan yang mungkin terabai selepas bekerja keras membina keluarga dan menyara hidup orang tersayang ketika mereka muda.
Walau apa pun, masih ada harapan bagi wanita yang mendapati mereka sukar mengawal kesan perubahan ini.
“Kemajuan dalam terapi menopaus seperti pengawalan aktiviti tisu estrogenik (STEAR) boleh memberikan lebih banyak pilihan rawatan bagi wanita yang mengalami menopaus,” kata Dr. Komer.
Selain daripada pengurusan simptom fizikal, pengurusan menopaus yang baik menerusi terapi boleh menangani pelbagai perubahan emosi dan perasaan yang dikhuatiri wanita dan yang diperkecilkan oleh orang lain yang tidak memahami apa sebenarnya menopaus.
Kehilangan harga diri
Dalam pada itu, kaunselor, pengasas bersama dan Presiden Peak Performance Institute di Burlington, Olimpik, Joan Komer menjelaskan, perubahan dalam paras hormon memberi kesan langsung terhadap bahan kimia tertentu dan aliran darah dalam otak yang boleh menjejaskan mood atau emosi.
“Ini menyebabkan masalah-masalah seperti kemerosotan tumpuan dan memori, keresahan, tangisan dan kebimbangan.
“Lebih buruk lagi, wanita selepas menopaus juga menghadapi isu seperti kehilangan harga diri, keyakinan diri dan identiti seks apabila mereka tidak dapat menerima perubahan yang berlaku,” ujarnya.
Sokongan keluarga
Beliau menambah, wanita yang menopaus perlu bersedia dan bersikap positif menerima perubahan itu tanpa menjejaskan emosi serta kehidupan harian bersama keluarga.
Wanita tidak seharusnya menyeksa diri meneruskan kehidupan dengan gejala-gejala menopaus yang menyesakkan.
Ada banyak cara yang boleh dilakukan untuk mencegah gejala-gejala menopaus bagi memastikan kehidupan selepas menopaus lebih bermakna.
Di samping itu, sokongan daripada ahli keluarga dan orang tersayang amat penting bagi wanita semasa menopaus kerana hanya apabila wanita dikelilingi oleh insan-insan yang dapat memahami situasi mereka, barulah mereka akan dapat menghadapi pengalaman menopaus dengan lebih tenang dan positif berbanding wanita yang mendapati sukar untuk memberitahu dan membuatkan orang tersayang memahami peralihan dalam diri mereka
Thursday, July 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment