Monday, August 18, 2008

Gigi putih dengan sinar UV

WAJAH yang cantik dan jelita tidak akan menarik tanpa diiringi senyuman manis dengan deretan gigi yang tersusun cantik dan putih bersih.

Namun begitu, bukan semua senyuman yang dihulurkan disertakan dengan gigi yang cukup cantik, ada yang kuning dan berkarat sehingga merosakkan senyuman yang manis itu.
Inilah yang selalu berlaku apabila seseorang itu agak kedekut untuk menghulurkan senyuman, takut ‘rahsia’ selama ini akan terbongkar.

Rahsia terpendam yang dimaksudkan itu ialah gigi yang bermasalah termasuklah warna gigi yang tidak putih ataupun tidak kelihatan cantik apabila individu tersebut mengukir senyuman.
Memiliki barisan gigi yang cantik dan putih bersih adalah impian semua orang.

Selalunya untuk mendapatkan gigi seindah itu, teknologi yang digunakan iaitu secara mencuci gigi (scaling) dengan menggunakan peralatan seperti scaler yang akan memecahkan karang gigi.
Begitupun, peralatan tersebut sering menakutkan dan menimbulkan rasa nyilu serta menyakitkan terutama apabila karang gigi memasuki gusi.

Begitu juga jika dibuat berulang kali, struktur gigi akan lemah. Untuk menggilapkan gigi pula, peralatan seperti pumice akan digunakan.

Situasi-situasi ini sering menyebabkan seseorang itu enggan mendapatkan rawatan gigi sekali gus membiarkan gigi berkarat dan berwarna kuning lebih-lebih lagi jika individu berkenaan adalah perokok.

Kini, terdapat satu teknologi baru dikenali sebagai Cosmetic Bright yang mampu memecah kebuntuan individu yang berhasrat untuk mendapatkan deretan gigi cantik dan putih.

Bagi yang memiliki gigi kuning, kini boleh tersenyum gembira kerana sistem rawatan itu berupaya membantu memutihkan gigi tanpa perlu menderita dengan penggunaan peralatan scaler atau rawatan laser.

Rawatan berkenaan hanya menggunakan sejalur getah berbusa yang mengandungi hidrogen peroksida dan dimasukkan ke dalam mouth guide (seperti replika mulut).

Namun sebelum itu, gigi pelanggan akan diperiksa untuk menentukan tahap kekuningannya dengan berpandukan plate gigi.

Kemudian, pelanggan perlu memakai kaca mata penahan cahaya lembayung ungu (UV) sebelum berbaring dan lampu UV Britelite akan dikenakan kepada bahagian mulut pelanggan.
Pengarah Globaltrenz Malaysia, Michael Loone berkata, teknologi tersebut merupakan satu sistem pemutih gigi yang unik dan profesional.

“Kepanasan dan sinar daripada lampu UV dan penggunaan jalur getah berbusa yang mengandungi hidrogen peroksida boleh mengurangkan masa rawatan dan mendapatkan kesan yang segera.

“Anda tidak akan merasa sesuatu yang tidak menyenangkan dengan rawatan pemutihan ini. Yang lebih menarik, ia hanya memakan masa selama 20 minit berbanding dengan rawatan laser yang memerlukan satu hingga satu setengah jam,’’ katanya ketika ditemui di Sunway Damansara, Subang Jaya, Selangor.

Tambah beliau, sistem ini merupakan teknologi terbaru dari Belgium, di mana seorang pelanggan perlu menjalani sekurang-kurangnya lima kali rawatan untuk mendapatkan gigi yang benar-benar putih dan boleh bertahan selama tiga tahun.

“Jika cuma sekali rawatan ia hanya bertahan selama tiga atau empat bulan. Untuk sekali rawatan bayarannya RM200 tetapi lebih jimat jika mereka mengambil pakej lima kali rawatan pada harga RM880,’’ jelasnya.

Katanya, formula hidrogen peroksida Cosmetic Bright tidak mengandungi asidik dan selamat apabila menembusi enamel gigi bagi menghilangkan karang gigi dan sekali gus memutihkannya.
“Cosmetic Bright juga memastikan tahap dosnya tidak menyebabkan radang gusi dan mengurangkan sensitiviti gigi seperti mana rawatan pemutihan gigi yang lain,’’ katanya.
Menurut Michael, selepas menjalani rawatan individu terbabit dinasihatkan supaya tidak merokok dan mengambil makanan yang berwarna, berminyak seperti kari, masak lemak, minuman seperti kopi, teh, selama satu hari bagi memastikan keberkesanannya.

“Ini kerana makanan dan minuman serta rokok itu akan meninggalkan kesan kuning ke atas gigi yang telah diputihkan itu,’’ katanya.

Salah faham mengenai imunisasi

VAKSIN merupakan kaedah utama dalam mengurangkan kadar kematian akibat penyakit berjangkit di kalangan penduduk dunia.

Ekoran daripada itu, amat penting untuk ibu bapa melindungi anak-anak daripada penyakit berjangkit melalui program imunisasi dengan pemberian suntikan vaksin.

Cuba fikirkan masa yang digunakan menjaga anak yang sakit, masa berjumpa doktor, masa tidak bekerja, kesusahan memberi anak makan ubat juga memakan masa. Jika anak masuk hospital, tanggungjawab dan kebimbangan makin meningkat. Justeru, vaksinasi penting untuk meningkatkan daya tahan melawan penyakit berjangkit anak.

Ibu bapa perlu sentiasa membawa anak untuk mendapatkan vaksinasi untuk kebaikan anak-anak. Ia penting untuk membina imunisasi anak iaitu daya tahan melawan penyakit berjangkit.

Ini kerana penyakit berjangkit merupakan penyebab utama berlakunya kecacatan dan kematian di kalangan kanak-kanak. Imunisasi adalah cara yang efektif dalam mencegah dan mengurangkan penyakit ini. Selain itu, imunisasi adalah satu cara melindungi kanak-kanak daripada beberapa penyakit tertentu secara mudah, selamat dan berkesan. Ini dilakukan melalui pemberian vaksin bagi pembentukan antibodi untuk membina daya ketahanan badan. Vaksin merupakan virus atau bakteria yang mati atau dilemahkan dan diberikan secara suntikan atau melalui mulut. Semua kanak-kanak berhak mendapat imunisasi yang lengkap.

Dengan itu adalah penting untuk ibu bapa melengkapkan diri dengan pengetahuan terbaru mengenai perkembangan tentang imunisasi. Imunisasi adalah satu cara yang paling efektif dalam mengawal penyakit-penyakit berjangkit seperti difteria, pertussis (batuk kokol), tetanus (kancing gigi), polio, tibi, hepatitis B, measles, mumps, rubella dan jangkitan meningitis Haemophilus, influenzae jenis b.

Kebanyakan vaksin yang diberikan adalah untuk penyakit yang kini amat jarang sekali berlaku.
Menurut Pakar Pediatrik Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, Dr. Kamaruddin Ahmad, sekiranya kita berhenti daripada memberi suntikan vaksin, bayi mudah terjangkit dengan penyakit.

Faktor utama keperluan vaksinasi kerana penyakit-penyakit berjangkit ini tidak akan berhenti.

“Walaupun vaksin mengurangkan kebarangkalian mendapat penyakit, masih lagi terdapat risiko rendah dijangkiti penyakit yang sama. Apabila vaksin digunakan dengan meluas, insiden penyakit ini dapat dikurangkan,” jelasnya.

Dr. Kamaruddin menjelaskan, jika imunisasi tidak berkesan, maka negara kita akan menghadapi wabak pelbagai jenis penyakit berjangkit.

“Tidak semua individu mempunyai sistem daya tahan melawan penyakit dan tidak ada cara terbaik untuk kita mengenal pasti individu tersebut. Maka adalah penting setiap individu diberi imunisasi lengkap supaya individu mendapat perlindungan sepenuhnya,” tambahnya.

Maksudnya, hanya dengan vaksin kita dapat melindungi anak-anak daripada penyakit berjangkit dan bukan dengan menjauhi diri mereka daripada kanak-kanak lain. Adalah tidak wajar untuk mengasingkan anak anda.

“Sebenarnya bakteria atau virus ini bukan hanya dibawa atau disebar oleh kanak-kanak bahkan juga orang dewasa,” katanya.

Contohnya, bakteria tetanus yang terdapat di dalam tanah juga menjangkiti kanak-kanak melalui luka ringan yang sekali gus menyebabkan risiko mendapat penyakit tetanus.

“Sebenarnya program imunisasi bayi itu penting untuk membina daya tahan kanak-kanak. Ia berbeza dengan orang dewasa yang mungkin lebih kuat,” jelasnya.

Di samping itu, vaksinasi adalah selamat kerana kesemua vaksin telah diuji keberkesanan dan keselamatannya. Tahap kesan tindak balas sampingan terhadap imunisasi telah diuji dan pemantauan berterusan dijalankan.

“Kini, kesan sampingan terhadap tindak balas imunisasi juga berkurangan dan ia lebih baik daripada mendapat penyakit itu sendiri.

``Perlu diingat, vaksin seperti ubat lain, pun ada kesan sampingan tetapi ramai kanak-kanak yang diberi imunisasi tanpa mengalami masalah langsung,” jelasnya.

Tambah Dr. Kamaruddin, seperti vaksin lain yang diberi melalui suntikan, kesan sampingan yang kerap berlaku termasuk kemerahan dan bengkak di tempat suntikan atau demam.

Masalah ini tidak serius dan jika berlaku, tidak berpanjangan. Kesan sampingan yang serius jarang berlaku dengan vaksin moden dan risiko daripada vaksinasi adalah lebih rendah daripada risiko tidak diberi vaksin.
“Antara kesan yang selalu dialami ialah bengkak pada kawasan suntikan tetapi kawasan tersebut tidak perlu diusik. Selain itu, kemungkinan bayi akan demam selepas disuntik tetapi itu jarang berlaku. Kesan sampingan hanya wujud sepuluh peratus sahaja dan selebihnya tidak mengalaminya langsung,” jelasnya.

Dr. Kamaruddin memberitahu, imunisasi perlu diberikan sejak lahir lagi dan setiap ibu bapa perlu membawa anak mengikut jadual imunisasi baru yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Adalah penting untuk melengkapkan imunisasi anak anda mengikut jadual imunisasi baru.
``Penyakit sewaktu alam kanak-kanak boleh menyumbang kepada akibat buruk. Tiada seorang pun kanak-kanak yang boleh dibiarkan tanpa vaksinasi. Ingatlah bahawa adalah lebih mudah, murah dan selamat untuk menggunakan vaksin daripada merawat sesuatu penyakit," katanya.

Selain itu, sistem daya pertahanan badan manusia boleh menerima beberapa vaksin yang diberi pada masa yang sama.

Beliau menjelaskan, sistem imunisasi seorang kanak-kanak lebih berkebolehan daripada jangkaan ibu bapanya.

“Anak anda menggunakan sistem pertahanan badannya tiap-tiap hari apabila terdedah kepada benda-benda asing seperti parasit, selesema boleh merangsang sistem imunisasi supaya mengeluarkan antibodi-antibodi yang akan berlawan dengan virus tersebut.

“Dengan cara yang sama, vaksin juga akan merangsang tubuh anak anda untuk mengeluarkan antibodi tanpa jangkitan. Inilah cara vaksin memberi perlindungan kepada anak anda tanpa menyebabkan mereka menjadi sakit.,” ujar beliau.

Adalah penting bayi diberi vaksin awal kerana sistem imunisasi belum lagi matang untuk melawan jangkitan penyakit-penyakit seperti meningitis dan campak.

Jelas beliau lagi, sebaik sahaja antibodi dihasilkan dalam tindak balas terhadap vaksin, ia akan menjadi antara bahagian paling kukuh dalam sistem imunisasi.

Namun, kanak-kanak yang dibiarkan terdedah kepada jangkitan semulajadi, antibodi pula akan bertindak melawan jangkitan tersebut.

"Seseorang kanak-kanak yang telah menerima vaksin dapat membantu mencegah perebakan penyakit. Itu sebabnya, semakin ramai kanak-kanak yang diberi vaksin, semakin besarlah lingkungan perlindungan yang diperoleh semua orang," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kebanyakan vaksin akan diberikan sejak zaman kanak-kanak lagi. Ini kerana sebahagian besar penyakit adalah lebih umum pada awal usia memandangkan sistem imunisasi kanak-kanak masih membangun.

Justeru, dos ekstra mungkin perlu terus diberikan bergantung kepada keadaan fizikal dan usia.

Dalam pada itu, Dr. Kamaruddin turut menjelaskan tentang perlunya kanak-kanak mendapat perlindungan pneumokokus.

“Virus ini mungkin tidak termasuk di dalam program imunisasi kanak-kanak tetapi mengambil vaksinnya adalah satu langkah pencegahan yang selamat. Ia merupakan satu pilihan untuk ibu bapa kerana keadaan dan persekitaran pada hari ini antara faktor kanak-kanak mudah dijangkiti penyakit,” katanya.

Penyakit pneumokokus ialah sekumpulan penyakit yang disebabkan oleh sejenis kuman bakteria yang dinamakan Streptococcus pneumoniae atau pneumokokus. Ianya merupakan jangkitan serius yang melibatkan kanak-kanak, lebih-lebih lagi mereka yang berusia dua tahun ke bawah. Kuman ini boleh menyebabkan penyakit meningitis (radang selaput otak atau urat saraf tunjang), pneumonia (jangkitan paru-paru), bakteremia (jangkitan darah) dan otitis media (jangkitan telinga tengah, sebahagian dalam gegendang telinga).

Mengandung di luar rahim

UNTUK persenyawaan biasa, pertemuan di antara benih telur dan sperma berlaku di tiub fallopian. Telur yang difertilisasikan ini sepanjang tiub fallopian akan bertambah bilangan selnya sehingga ke satu bentuk yang dinamakan blastosis, dengan bilangan selnya di antara 70 hingga 100. Penanaman blastosis berlaku di endometrium di dalam rahim puan, ianya akan membesar.

Mengandung di luar rahim berlaku apabila penanaman (implantasi) terjadi di tempat lain selain dinding dalaman rahim, kadar tumbesaran kandungan terbantut dan perlu didiagnosa dan dirawat dengan segera.

Tentulah apabila puan terlepas haid bulanan yang sepatutnya dan ujian air kencing menjadi positif, persoalan yang timbul, apakah kandungan ini berada di dalam ataupun di luar rahim?

Langkah untuk mengesan kandungan di luar rahim:

1) Terdapat rungutan yang lazim sekiranya kandungan puan di luar rahim.

2) Cara mendiagnosa kandungan luar rahim.

3) Kaedah perawatannya.

Kebanyakan kandungan di luar rahim berlaku di tiub fallopian, namun begitu, implantasi juga boleh berlaku di tempat-tempat lain seperti di rongga abdomen, ovari dan sebagainya.

Disebabkan ruang untuk membesar terhad di dalam tiub fallopian, tiub tersebut boleh pecah dan menyebabkan pendarahan yang banyak dan ini menggugat nyawa. Keadaan ini genting serta getir dan rawatan segera perlu dilakukan untuk menyelamatkan nyawa.

Sekiranya dikesan awal dan tiub masih lagi utuh dan tidak pecah serta tahap hemodinamik puan yang stabil,mungkin puan boleh dirawat dengan ubat ataupun sekiranya pembedahan diperlukan, pembaikian serta restoratif tiub dapat dilakukan.Ini penting sekiranya puan masih ingin menambah bilangan ahli keluarga pada masa hadapan. Sekiranya tiub terpaksa dikorbankan, bermakna puan hanya bergantung pada satu tiub untuk keupayaan reproduksi.

Mereka yang berisiko

Sekiranya puan terdedah kepada hubungan kelamin, bermakna puan berisiko untuk mengandung di luar rahim. Statistik di barat menyatakan mengandung di luar rahim berlaku setiap 50 ibu mengandung. Kebelakangan ini, insiden mengandung di luar rahim meningkat.

Tiub fallopian yang abnormal memberikan risiko yang tinggi untuk implantasi kandungan yang abnormal. Kejadian tiub fallopian abnormal berlaku di kalangan mereka yang mempunyai faktor risiko berikut:

1) Mempunyai jangkitan di organ rahim, tiub fallopian dan juga organ-organ pelvik berhampiran. Secara kolektif, jangkitan ini dipanggil jangkitan keradangan pelvik.

2) Sejarah lampau mengandung di luar rahim.

3) Sejarah kemandulan.

4) Sejarah pembedahan di pelvis dan juga abdomen.

5) Endometriosis

6) Penyakit tularan seksual.

7) Pembedahan yang melibatkan tiub fallopian seperti sterilisasi tubal. Keadaan ini menyebabkan pergerakan telur yang telah difertilisasi terencat dan implantasi berlaku di tempat lain.

8) Merokok

9) Mengandung pada umur yang lanjut.

Pendiagnosaan serta rungutan lazim

Ada yang mengandung di luar rahim tetapi tidak mempunyai rungutan. Ada pula yang tidak tahu yang beliau mengandung. Lazimnya simptom-simptom yang dialami serupa dengan simptom mengandung seperti mual,loya,letih tidak bermaya dan sebagainya.Kerana itulah pentingnya syak wasangka terhadap mengandung sekiranya puan terdedah pada hubungan kelamin.Ujian air kencing serta pemeriksaan ultrasound awal seeloknya dilakukan. Ini bertujuan supaya dapat menyelamatkan tiub fallopian serta menambahkan kebarangkalian kejayaan mengandung pada masa hadapan.

Mungkin simptom-simptom berikut timbul sebelum puan tahu yang diri puan mengandung. Sekiranya puan berjumpa dengan doktor, pemeriksaan lanjutan boleh dilakukan seperti:

1) Pemeriksaan bimanual melalui faraj.

2) Pemeriksaan petanda vital seperti tekanan darah dan juga denyutan nadi.

3) Pemeriksaan ultrasound, lebih elok sekiranya pemeriksaan ultrasound dilakukan melalui faraj.

4) Pemeriksaan darah untuk tahap biokimia hormon human chorionic gonadotropin(hCG). Ujian ini akan dijalankan secara berkala dan sekiranya peningkatan parasnya diragui, mungkin puan berisiko untuk mengandung di luar rahim.

5) Ujian pencairan berganda air kencing, cara ini lebih cepat keputusannya jika dibandingkan dengan ujian darah. Setiap pencairan mempunyai nilaian hCG berpadanan dengan minggu serta kemajuan kandungan. Mengandung di luar rahim serta keguguran menyebabkan paras hormon hCG tidak berpadanan dengan usia kandungan.

Puan mungkin perlu berada di wad untuk diamati supaya diagnosa dapat dipastikan serta kaedah rawatan yang sewajarnya.

Rawatan

Berdasarkan kestabilan petanda vital dan juga tempat berlakunya implantasi abnormal, rawatan mungkin secara pembedahan ataupun tanpa pembedahan.

Tanpa pembedahan

Sekiranya puan stabil dan saiz kandungan kecil dan masih utuh, ubat methotrexate, sejenis ubat anti neoplastik kanser digunakan. Ubat ini menyebabkan sel-sel berhenti bilangannya, menyebabkan kandungan berhenti dan diserap oleh badan puan. Bukan semua dapat menerima kaedah perawatan ini. Mereka yang menyusu badan serta masalah kesihatan lain tidak dibenarkan perawatan secara kaedah ini.

Biasanya ubat ini diberikan sekali sahaja, dan proses penyerapan kandungan memakan masa sehingga 4-6 minggu.Darah puan diamati paras hormon hCG sebelum,selepas tiga hari dan juga selepas seminggu. Paras hormon ini sepatutnya menurun dan sekiranya keadaan sedemikian tidak berlaku, puan dinasihatkan menjalani pembedahan.

Mungkin dalam tempoh tersebut, puan perlu berada di wad untuk diamati perkembangan petanda vital badan.

Methotrexate adalah satu ubat yang merbahaya, semasa dan juga seketika selepas perawatan, puan dinasihatkan supaya mengelakkan daripada:

1) Meminum alkohol

2) Vitamin yang mengandungi asid folik

3) Ubat tahan sakit jenis NSAID(non steroidal antiinflammatory drugs)

4) Hubungan kelamin(hentikan sementara).

Kaedah tanpa pembedahan mungkin menyebabkan puan mengalami sakit-sakit di bahagian abdomen dan mungkin juga pendarahan faraj. Juga simptom-simptom lain seperti loya-loya dan muntah-muntah, kekerapan membuang air besar dan juga pening-pening. Beritahu doktor serta jururawat sekiranya puan dirawat secara tanpa pembedahan dan tiba-tiba mengalami kesakitan abdomen yang amat sangat ataupun tahap kesakitan bertambah, pendarahan melalui faraj bertambah, rasa pening serta macam nak pitam dan juga degupan jantung dirasi bertambah.

Mungkin implantasi abnormal ini pecah dan berdarah, kaedah rawatan lain perlu dilakukan.

Rawatan melalui pembedahan

Terdapat dua cara pembedahan, iaitu secara pembedahan terbuka dan juga secara laparoskopik.

Apa jua kaedah pembedahan ini, tujuan asas mereka adalah untuk membuang implantasi abnormal yang berlaku, menghalang pendarahan selanjutnya dari padamemudaratkan nyawa puan.

Wednesday, August 6, 2008

Buang selulit dengan cara mudah

WUJUDNYA lemak berlebihan pada tubuh adalah satu igauan ngeri buat wanita, apatah lagi jika diri dilanda masalah kegemukan. Wanita sebolehnya ingin melarikan diri daripada menjadi gemuk, biarpun hanya kelihatan sedikit berisi.

Gemuk sebenarnya adalah antara musuh utama wanita kerana dilihat boleh menjejaskan penampilan diri, malah kecantikan seseorang.

Lebih menggerunkan, masalah lemak berlebihan ini sebenarnya turut ‘menganggu' hidup wanita kurus. Biar pun tidak menghadapi kegemukan, tetapi lemak yang terkumpul di dalam tubuh seseorang itu juga akan menyebabkan wujudnya selulit terutama pada bahagian paha, punggung, perut dan payu dara. Jadi, buang sahaja anggapan bahawa bertubuh kurus bebas daripada masalah ini.

Kehadiran selulit bukan sekadar menyebabkan kulit kelihatan menggelebeh, kendur, berketak-ketak bagai permukaan ‘kulit oren' tetapi lebih menakutkan wanita, ia turut menjadi faktor badan kelihatan berisi dan gemuk.

Justeru, pelbagai cara dilakukan wanita demi mendapatkan bentuk badan menawan sehingga ada yang sanggup menghabiskan beribu ringgit semata-mata untuk kurus dan cantik serta bebas daripada selulit.

Menurut Pengarah Urusan Timers Beauty, Janet Lee, kegemukan dan selulit merupakan masalah yang paling mendapat perhatian serius wanita hampir di semua peringkat usia.

Sebabnya, tiada wanita yang ‘membuang' kecantikan dalam diri mereka. Mereka mengimpikan tubuh yang menawan, ingin memiliki kulit halus dan cantik tanpa sebarang parut apatah lagi selulit.

Janet berkata, kegemukan atau obesiti selalunya dikaitkan dengan corak pemakanan yang tidak seimbang. Sedangkan obesiti tidak hanya terjadi disebabkan seseorang itu terlalu banyak makan, sebaliknya berkemungkinan berpunca antaranya daripada ketidakseimbangan hormon, ketagihan makanan dan juga tekanan.

“Manakala selulit adalah pengumpulan lemak yang tersimpan di bahagian lapisan bawah kulit. Jika kulit anda berlekuk atau berketul-ketul apabila anda memicitnya, anda sebenarnya mempunyai selulit.

“Atau boleh dikatakan ia adalah kombinasi lemak, air dan lebihan toksin yang mana badan seseorang gagal membuangnya,” kata Janet ketika ditemui di salun kecantikannya baru-baru ini.

Jelas Janet, kedua-dua masalah itu membuatkan wanita menjadi tidak keruan, malah ia merupakan gangguan dan mengurangkan keyakinan diri.

Ekoran keinginan mendesak daripada wanita, setiap hari pasti ada sahaja penemuan teknologi terbaru berkaitan penjagaan bentuk badan yang ideal menggunakan pelbagai pendekatan.
Terbaru katanya, teknologi terkini dengan pendekatan menggunakan produk Nano Philosophy yang cukup mudah, hanya melalui semburan sahaja dan yang penting ia tidak membahayakan kesihatan.

Beliau berkata, produk dari Perancis ini dihasilkan daripada hidupan laut iaitu rumpai laut yang kaya dengan sumber-sumber mineral termasuk iodin, potasium, magnesium, kalsium dan iron.
Rumpai laut membantu merangsang dan meningkatkan metabolisme tubuh. Dalam erti kata lain, ia membantu memecahkan sel-sel lemak dan membakarnya di dalam tubuh.

Bukan itu sahaja, rawatan itu juga mampu memejal dan memberikan nada sekata pada rona kulit; mengurangkan selulit; mengurangkan tahap kolesterol dalam badan dan menyeimbangkan metabolisme badan.

Selain itu katanya, ia juga diperkaya dengan Cecropia Obtusa iaitu sejenis tumbuhan yang mengeluarkan biji benih yang ringan berfungsi sebagai anti selulit dan membantu mengurangkan garis halus dan kedutan.

Tidak cukup dengan itu, ia juga melindungi badan daripada kesan radiasi, meningkatkan hidrasi, memperbaiki keanjalan kulit dan merangsang pengeluaran kolagen dalam badan.

Mudah dan tidak menyakitkan

Bila dikatakan rawatan ini mudah dan tidak menyakitkan, pasti wanita sukar mempercayainya kerana selalunya rawatan menguruskan badan cukup rumit dan menyakitkan.

Kesempatan bertemu dengan pelanggan tetap dan kini duta Timers Beauty, Wan Khadijah Wan Othman merungkai keraguan tersebut.

Menurut Wan Khadijah, 32, rawatan ini sememangnya cukup senang dan mudah lebih-lebih lagi buat wanita yang tidak mempunyai masa dan malas untuk berada lama di salun.

“Cukup sekadar 10 minit, mereka hakikatnya sudah menjalani rawatan itu dan mampu melihatkan kesan perbezaannya dalam kadar segera.

“Apa yang dilakukan hanya semburkan Nano Philosophy pada bahagian yang ingin dirawat dan dapat dirasa serum tersebut membakar lebihan lemak di tubuh, malah wanita akan berasa penat seolah-olah baru lepas melakukan senaman.

“Sebab itu kita perlu banyak minum air, lebih-lebih lagi mereka akan kerap membuang air kecil,” jelasnya.

Seronoknya kata Wan Khadijah, perubahan pada ukuran badannya dapat dilihat segera di samping nada kulit sekata serta lembut.

Wan Khadijah yang melakukan rawatan itu selepas tiga bulan melahirkan anak keempatnya pada Disember tahun lalu memberitahu, tubuh langsing itu mampu bertahan lama jika wanita bijak mengawal makan.

Keguguran dan mati fetus ditakuti ibu mengandung

Kata orang, anak ialah sinar hidup untuk ibu dan bapa. Lebih-lebih lagi bagi pasangan yang baru menimang cahaya mata. Ada yang beranggapan, lagi ramai anak lagi bertambah rezeki.

Bagi si ibu, mereka sanggup berkorban jiwa dan raga demi memastikan anak yang dikandung selama sembilan bulan sentiasa sihat dan selamat. Ia dijaga bagai menatang minyak yang penuh.
Tapi, bagaimana pula dengan nasib mereka yang tidak ditakdirkan untuk memiliki anak.

Menyentuh saja soal tiada anak, fikiran mula menular tentang kemandulan.

Sebenarnya, tidak semua pasangan yang tidak mempunyai anak disebabkan oleh kemandulan. Ada segelintir daripada mereka pernah mengandung tetapi mengalami keguguran atau kematian fetus.

Keguguran kadangkala dipanggil kegagalan kehamilan, biasa berlaku sebelum minggu ke-20 kehamilan terjadi.

Para penyelidik menganggarkan bahawa sebanyak 15 peratus wanita yang tahu mereka hamil kemungkinan mengalami keguguran.

Terdapat banyak perbezaan di mana sebab-sebab berlakunya keguguran. Ada sesetengahnya diketahui dan setengah lagi tidak diketahui.

Apabila berlakunya keguguran, ini tidak bermakna seseorang wanita itu tidak boleh kembali hamil atau wanita itu tidak akan dapat melahirkan anaknya dengan normal.

Beberapa faktor yang menyumbang ke arah keguguran telah dikenalpasti. Antaranya, berpunca daripada kromosom yang tidak normal di dalam fetus dalam trimester yang pertama.
Ini biasanya berpunca daripada masalah sperma atau telur yang mencegah fetus daripada membesar.

Semasa trimester kedua, akan berlaku masalah-masalah berkaitan dengan serviks dan uterus yang akan menyumbang kepada keguguran.

Wanita yang mengalami gangguan yang dinamakan Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) adalah tiga kali lebih berkemungkinan untuk mengalami keguguran sepanjang kehamilan pada bulan-bulan awal kehamilan berbanding dengan wanita yang tidak mengalami sindrom ini.

PCOS ialah gangguan endokrin yang berlaku di kalangan kebanyakan wanita tidak kira bangsa. Ia juga adalah gangguan hormon dan paling biasa di kalangan wanita umur reproduktif dan adalah satu sebab kemandulan yang utama.

Kajian National Institute of Child Health and Human Development (NICHD) mendapati, wanita yang mengalami PCOS sering mengalami masalah untuk menggunakan insulin bagi mendapatkan tenaga.

Rintangan insulin ini sering berlaku kepada seseorang yang menghidap diabetes.
Untuk merawat rintangan insulin ini, penyelidik telah mempreskripsikan sejenis dadah yang bernama Metaformin.

Apa yang mereka temui ialah Metaformin bukan sahaja mengurangkan rintangan insulin bahkan ia juga membawa perubahan pada lapisan rahim yang boleh membantu wanita dengan PCOS mengurangkan risiko keguguran sepanjang trimister mereka yang pertama.

Biasanya, wanita yang gugur pada awal kehamilannya perlu melalui satu prosedur yang dinamakan cuci rahim atau Dilatation and Curettage (D&C) untuk membuang tisu tetap di dalam uterus.

Selain keguguran, ramai juga golongan wanita yang mengalami kematian fetus. Kematian ini terjadi selepas minggu ke-20 kehamilan berlaku dan terjadi atas sebab-sebab tertentu. Dalam sesetengah kes, si ibu dapat mengagak terdapat kekurangan dalam pergerakan atau penendangan oleh fetus.

Selain itu, kematian fetus juga boleh dikesan dengan menggunakan mesin ultrasound yang menggunakan gelombang-gelombang bunyi untuk memperlihatkan gambaran fetu, ibu-ibu juga dapat mengetahui kedudukan fetus di dalam perut.

Pengenalan Tibi

Bahagian Pertama

WALAUPUN rawatan perubatan moden untuk penyakit tibi adalah yang paling berkesan dan paling murah untuk sesuatu penyakit yang boleh membawa maut, tibi masih lagi merupakan salah satu punca utama kesengsaraan dan kematian di seluruh dunia.
Tibi adalah suatu penyakit berjangkit. Ia merebak melalui udara dan titisan cecair badan daripada pesakit kepada orang lain. Kuman yang menyebabkan penyakit tibi ialah sejenis bakteria dipanggil Mycobacterium tuberculosis.

* Sejarah

Penyakit tibi diketahui wujud sejak dari tahun 8,000 sebelum Masihi di mana terdapat kesan-kesan penyakit tibi di tulang belakang mumia Firaun.

Pada tahun 460 sebelum Masihi, Hippocrates iaitu bapa perubatan telah menamakan penyakit itu sebagai pthisis.

Ibnu Sina di dalam bukunya Kanun Perubatan mengetahui bahawa tibi diumpamakan sebagai suatu penyakit yang berjangkit.

Pada kurun ke-16, tibi dikenali sebagai consumption. Di Malaysia, pada kurun ke-20 penyakit ini dikenali sebagai “batuk kering”.

Pada tahun 1950an, penyakit tibi merupakan pembunuh utama penduduk di Tanah Melayu (Malaya). Pada tahun 1961, Program Kawalan Tibi Kebangsaan ditubuhkan dan semua pesakit tibi dirujuk ke Pusat Tibi Negara di Jalan Pahang, Kuala Lumpur (sekarang dikenali sebagai Institut Perubatan Respiratori).

Pada kurun ke-19, tibi hampir memusnahkan seluruh Eropah dan Amerika. Tibi pada masa itu juga dipanggil hawar putih untuk menyamakannya dengan penyakit hawar hitam (plague) yang telah meragut banyak nyawa di benua Eropah dan Amerika pada kurun ke-18.
“Musuh” kepada kesengsaraan dan kematian manusia ini telah dikenal pasti oleh seorang ahli sains bernama Robert Koch. Beliau menemui bakteria mycobacterium tuberculosis pada 24 Mac 1883.

Mengambil sempena penemuan bakteria pada tarikh itu, 24 Mac telah dijadikan hari memperingati tibi sedunia pada tiap-tiap tahun.

Penyakit tibi tidak mengenal batasan sama ada kekayaan atau kemasyhuran seseorang.
Sebagai contoh, Elanor Roosevelt iaitu bekas wanita pertama Amerika dan George Orwell, pengarang buku pada tahun 1984 telah diserang penyakit tibi.

Ahli politik ke ahli falsafah, raja-raja ke orang biasa, pelukis ke paderi, doktor ke ahli muzik, semuanya pernah menghidap atau mati disebabkan oleh penyakit tibi.

* Situasi global

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan peningkatan penyakit tibi setiap tahun dan dianggarkan insiden tibi mencecah 12 juta sehingga tahun 2005.
Satu pertiga daripada penduduk dunia dijangkiti kuman tibi dan setiap tahun, tibi membunuh hampir dua juta penduduk dunia.

* Tuberkulosis Secara Klinikal

Kuman Mycobacterium tuberculosis merebak melalui udara dan titisan daripada pengidap penyakit tibi aktif.

Selain daripada itu, penyebaran penyakit ini adalah melalui pemakanan di mana pada suatu masa dahulu semasa susu tidak dipasturkan, kuman mycobacterium bovis dari susu lembu diminum dan menyebabkan tibi di bahagian usus.

Tibi juga boleh menjangkiti seseorang di kulit secara terus jika terdapat luka yang terbuka di kulit. Walau bagaimanapun cara yang paling biasa ialah melalui udara yang tercemar dan titisan.
Seseorang yang terdedah kepada udara yang tercemar dengan kuman tibi akan menghidu kuman ke dalam saluran pernafasan melalui hidung, mulut, larinks dan kuman boleh hinggap di mana-mana sahaja bahagian tersebut.

Kuman tibi akan melalui salur pernafasan dan menghinggap di bahagian atas paru-paru (selalunya paru-paru sebelah kanan). Seseorang yang mempunyai sistem daya tahan (imuniti) yang baik boleh melawan kuman tibi ini secara semula jadi. Jangkitan kuman tibi kali pertama juga boleh diatasi dengan tidak memakan apa-apa ubat.

Bagi mereka yang sistem daya tahan badannya rendah

(immunocompromised/immunosuppressed), mereka tidak terdaya untuk berbuat demikian . Mereka ini boleh mendapat jangkitan yang terus menular ke dalam salur darah dan limfa atau kedua-duanya sekali. Ini dipanggil tibi primer (Primary Tuberculosis).

Bagi mereka dengan sistem imuniti yang baik, mungkin terdapat 20 peratus kuman tibi hidup secara dorman (tidak aktif) di dalam klasifikasi granuloma (calcified granuloma).

Jika pada suatu masa sistem daya tahan badan golongan ini terjejas, kuman-kuman yang dorman itu boleh membiak semula secara aktif dan menyebabkan jangkitan tibi aktif semula (reactivation tibi).

Proses yang berlaku ialah pembentukan granuloma, radang paru-paru dan kaviti-kaviti (lubang-lubang) di dalam paru-paru.

Kuman tibi membiak secara aktif di dalam kaviti-kaviti sehingga berjuta-juta kuman berkembang dan apabila pesakit batuk, bercakap atau bersin, berjuta-juta kuman dikeluarkan ke udara seterusnya mencemari udara.

* Rawatan

Rawatan tibi melibatkan pengubatan dikenali sebagai Short Course Chemotherapy (SCC) selama enam hingga sembilan bulan.

Pada dua bulan pertama, iaitu dipanggil fasa intensif, pesakit mengambil ubat pada setiap hari. Pada bulan seterusnya, pesakit mengambil ubat dua hingga tiga kali seminggu yang dipanggil continous atau maintenance therapy.

Pemberian ubat adalah secara DOTS (Directly Observed Therapy Short Course). DOTS adalah kaedah rawatan yang mempunyai lima cabang.

Salah satu cabang DOTS ialah pesakit dimestikan memakan (menelan) ubat di hadapan pemberi rawatan atau di hadapan seseorang yang boleh dipercayai seperti anggota kesihatan, ibu, isteri, ketua kampung dan sebagainya.

Buku rawatan mesti ditandatangani. Ini adalah penting kerana rawatan tibi mengambil masa berbulan-bulan dan pesakit mesti dipastikan memakan ubat tanpa putus.

Jika tidak, penyakit boleh datang semula dan kemungkinan kuman tibi akan menjadi rentan (membentuk ketahanan) kepada ubat tibi.

Realiti rintangan antibiotik

UBAT yang digunakan untuk menentang jangkitan bakteria dikenali sebagai antibiotik atau ubat antimikrobial. Bakteria dan virus pula merupakan dua punca utama jangkitan.

Namun, rawatan menggunakan antibiotik hanyalah untuk jangkitan bakteria memandangkan antibiotik tidak memberi kesan terhadap virus yang menjadi punca demam selesema, selesema (flu) dan kebanyakan masalah sakit tekak.

Pengenalan antibiotik penisilin sekitar 1940-an mengubah dunia perubatan manusia dan berjaya menyelamatkan ramai pesakit dan mengurangkan komplikasi serius jangkitan yang membahayakan nyawa. Bagaimanapun, dalam tempoh yang singkat sahaja selepas antibiotik diperkenalkan, bakteria mula membentuk ketahanan terhadapnya. Ini menyebabkan rawatan menggunakan antibiotik yang sama tidak berkesan seperti sebelumnya.

Masalah rintangan (ketahanan) antibiotik ini berterusan sehingga kini, bukan sahaja terhadap penisilin malahan terhadap antibiotik generasi baru yang lebih kuat. Masalah rintangan antibiotik juga diperakui sebagai antara masalah utama dunia perubatan kini sehingga pertubuhan seperti Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Perikatan Penggunaan Antibiotik dengan Bijak (APUA) mengambil langkah awal menerangkan masalah rintangan antibiotik kepada pakar perubatan dan juga orang ramai.

Usaha sejagat perlu ditingkatkan dalam memastikan penggunaan antibiotik sewajarnya, dengan memastikan terapi antibiotik hanya untuk jangkitan bakteria, penggunaan mengikut bentuk jangkitan dan menegaskan kepada pesakit pentingnya mengikuti panduan terapi antibiotik seperti yang diarahkan doktor.

Adaptasi ketahanan

Bakteria dapat membentuk ketahanan atau daya rintangan terhadap antibiotik melalui beberapa cara, semuanya melibatkan perubahan genetik. Gen (asas genetik) bakteria mungkin berubah melalui mutasi secara rawak atau pertukaran gen dengan mikroorganisma lain. Gen yang berubah ini membolehkan bakteria tersebut sama ada memusnahkan struktur kimia antibiotik atau menghalang kesan antibiotik terhadap pembiakan bakteria tersebut.

Hukum alam memilih yang kuat untuk terus hidup dan ini mencadangkan lambat-laun semua bakteria akan membentuk rintangan terhadap antibiotik. Penyalahgunaan atau penggunaan antibiotik sama berulang kali merupakan dua punca utama peningkatan kejadian rintangan antibiotik. Dianggarkan sehingga 50 peratus preskripsi antibiotik kepada ahli masyarakat juga sebenarnya tidak diperlukan.

Faktor-faktor biasa yang menyumbang kepada preskripsi antibiotik yang tidak sesuai termasuk:

l pesakit meminta antibiotik (walaupun bukan dijangkiti bakteria)

l persepsi doktor yang menganggap pesakit mahukan antibiotik (walaupun tidak diperlukan)

l masa terhad untuk mengesahkan diagnosis yang tepat atau masa untuk menjelaskan kepada pesakit mengapa mereka tidak memerlukan antibiotik

l doktor khuatir tersalah diagnosis jangkitan bakteria sebagai jangkitan virus

Pesakit juga menyumbang kepada pembentukan rintangan antibiotik dengan meminta antibiotik sedangkan mereka dijangkiti virus atau fungus dan bukannya jangkitan bakteria. Selain itu, dengan tidak mematuhi panduan pengambilan antibiotik, mereka turut menyebabkan perkembangan spesies bakteria dengan ketahanan terhadap antibiotik berkenaan. Masalah tidak mengikut arahan pengambilan antibiotik ini merupakan sesuatu yang biasa di kalangan pesakit yang menghidap jangkitan salur pernafasan.

Ada di kalangan pesakit yang mengambil ubat mengikut kelapangan dan ada juga terus berhenti dan tidak menghabiskan antibiotik yang diberikan atas alasan sudah berasa semakin sihat. Hanya pengambilan kesemua dos antibiotik yang diberikan, mengikut masa ditetapkan akan membunuh kesemua bakteria yang menjangkiti pesakit. Jika pesakit ‘melangkah’ masa yang ditetapkan atau tidak menghabiskan semua dos antibiotik yang diberikan, berkemungkinan akan menyebabkan jangkitan berulang yang lebih teruk.

Ini kerana sebahagian antibiotik yang diambil pada awalnya telah membunuh semua bakteria yang lemah tetapi gagal membunuh bakteria yang lebih ‘tegar’. Kumpulan bakteria yang lebih kuat ini akan membiak semula, mengisi kekosongan yang ditinggalkan bakteria yang telah dibunuh antibiotik, menyebabkan pesakit lebih sukar dirawat, serta memerlukan jumlah ubat yang lebih banyak dan masa lebih lama untuk pulih.

Masalah dos

Profesor Perubatan Respiratori Institut Penyakit Respiratori Universiti Milan, Itali, Profesor Dr. Francesco Blasi menjelaskan masalah dalam terapi antibiotik adalah ia perlu diambil untuk satu tempoh tertentu.

“Antibiotik yang diberikan dalam dos yang rendah perlu diambil untuk satu tempoh yang agak panjang. Risiko rintangan antibiotik meningkat jika pesakit melangkah salah satu dos berkenaan.
“Tertinggal atau sengaja meninggalkan salah satu dos antibiotik menjadi punca utama pembentukan ketahanan terhadap antibiotik,” katanya.

Menurut beliau, pesakit wajib mengambil antibiotik seperti yang diarahkan, tetapi jika bilangan dos dan tempoh antibiotik perlu diambil dapat dikurangkan, kadar pematuhan arahan pengambilan antibiotik pasti lebih tinggi.

Bilangan dos yang perlu diambil dalam satu hari dan bilangan jenis (ubat berbeza) yang perlu diambil dalam satu hari juga menjadi penentu utama pematuhan arahan pengambilan antibiotik. Apa juga jenis ubat, tempoh pengambilan ubat yang lebih pendek akan menunjukkan tahap pematuhan arahan lebih baik di kalangan pesakit.

Dr. Blasi menjelaskan masalah pematuhan tidak timbul di hospital memandangkan doktor dan jururawat memantau pengambilan ubat oleh pesakit.

Pesakit luar

“Masalah utama adalah di kalangan pesakit luar yang diberikan ubat (antibiotik) dan diarahkan mengambilnya mengikut jumlah dan masa tertentu.

“Masalah serupa dapat dilihat di kalangan pesakit diabetes dan kolesterol tinggi. Tahap tertinggi pematuhan arahan pengambilan ubat tertinggi untuk bulan pertama, tetapi kemudian mula menurun dan menjelang bulan ketiga ada yang telah berhenti mengambil ubat sepenuhnya,” ujarnya.

Menurutnya, tahap pematuhan mungkin tinggi selepas lima hari jika perlu mengambil satu ubat setiap hari tetapi untuk pengambil ubat tiga kali sehari, terdapat kemungkinan pesakit telah berhenti mengambil ubat sebelum hari kelima lagi. Ini amat membimbangkan terutamanya dalam pematuhan pengambilan antibiotik.

Namun, beliau menyatakan tahap pematuhan pengambilan ubat juga mungkin lebih tinggi jika pesakit memikirkan penyakit yang dihadapi amat berbahaya.

Dr. Blasi turut menegaskan penggunaan antibiotik dalam dos yang rendah dan dalam tempoh berpanjangan merupakan ‘cara terbaik’ untuk membentuk rintangan antibiotik.

Terapi dos tunggal

Dr. Blasi menjelaskan tahap kepekatan merencatkan minimum (MIC) menentukan keberkesanan antibiotik membunuh bakteria.

“MIC adalah kepekatan minimum di mana bakteria dihalang daripada membiak dan dapat dibunuh dengan mudah. Kepekatan antibiotik dalam badan pesakit perlu berada di atas garis MIC bakteria untuk terus berkesan.

“Jika pesakit meninggalkan satu dos dan kepekatan antibiotik jatuh di bawah garis MIC, bakteria kuat yang masih hidup akan kembali membiak,” katanya.

Menurutnya, bakteria baik di dalam mulut (oral flora) juga berkemungkinan membentuk ketahanan terhadap antibiotik jika pesakit melangkah dos yang ditetapkan.

Oleh itu, tegasnya, kepekatan antibiotik perlu berada di atas garis MIC sebanyak dan selama mungkin, iaitu dengan pengambilan dos antibiotik mengikut arahan doktor.

Pemilihan antibiotik untuk rawatan juga bergantung kepada beberapa faktor seperti kepekatan yang berkesan, separuh hayat antibiotik, kesan terhadap spesies bakteria sasaran dan kesan kepada spesies bakteria lain, termasuk bakteria baik (normal flora).

Dr. Blasi menyatakan antibiotik yang bergantung kepada tahap kepekatan (untuk berkesan) memerlukan tahap kepekatan paling tinggi pada hari pertama rawatan.

“Kesan dos tinggi ini terbaik dalam beberapa jam pertama, dan dalam dos yang tepat, antibiotik tersebut boleh membunuh semua bakteria berkenaan.

“Selain itu, terdapat juga kesan selepas penggunaan antibiotik tersebut di mana bakteria yang masih hidup tidak dapat membiak (bilangan tidak bertambah) dan memudahkan sel-sel sistem imuniti badan membunuh baki bakteria yang tinggal,” jelasnya.

Menurut beliau, dalam perbandingan rawatan tempoh panjang (dos rendah) dan rawatan tempoh pendek (dos tinggi), kajian menunjukkan rawatan jangka pendek adalah yang terbaik dalam merawat jangkitan bakteria.

Tambahnya, satu lagi kebaikan tempoh rawatan jangka pendek adalah mengurangkan pendedahan antibiotik kepada normal flora badan, mengelakkan berlakunya ‘pemberontakan’ bakteria baik yang membentuk rintangan antibiotik.

Formulasi baru Azithromycin

Dr. Blasi menyatakan formulasi terbaru antibiotik Azithromycin kini diberikan dalam dos tinggi tunggal yang didapati lebih berkesan berbanding dos lebih rendah yang perlu diambil untuk beberapa hari.

“Formulasi baru ini menumpukan kepada kepekatan antibiotik tertinggi dalam beberapa jam awal jangkitan bakteria, iaitu kepekatan tertinggi untuk kemuncak jangkitan.

“Kepekatan lebih tinggi ini juga tidak bermakna kepekatan berpuluh kali ganda daripada sebelumnya,” ujarnya.

Menurutnya, berbanding menggunakan kepekatan 1.5 gram selama tiga hari, formulasi baru ini menggunakan kepekatan dua gram dan hanya perlu diambil sekali.

Selain itu, Dr. Blasi memaklumkan kesan formulasi ini juga ditingkatkan keupayaan sel-sel imuniti badan (neutrofil, makrofaj) bertindak sebagai ‘teksi’ atau pengangkut antibiotik tersebut terus ke tapak jangkitan.

“Sel-sel imuniti badan dapat menyerap antibiotik tersebut dan membawanya bersama ke tapak jangkitan ketika tindak balas imuniti sel-sel berkenaan menentang jangkitan.

“Peningkatan kepekatan juga didapati meningkatkan kadar penyerapan antibiotik oleh sel-sel imuniti berkenaan,” jelasnya.

Menurut beliau, antibiotik yang diserap itu akan dibebaskan sebaik sahaja sel-sel imuniti bertembung dengan bakteria yang menyerang.
Bagaimanapun, bukan semua jenis antibiotik dapat diberikan dalam dos tunggal.

Dr. Blasi menjelaskan, Azithromycin dapat diberikan dalam dos tunggal berikutan separuh hayatnya adalah 50 jam, yang bermakna kepekatannya hanya akan berkurangan menjadi separuh selepas 50 jam.

“Jangka separuh hayat antibiotik ini juga dijangka lebih tinggi di dalam badan (tahan lebih lama) di samping keupayaannya untuk kekal di dalam tisu badan untuk tempoh tertentu.

“Dengan itu, walaupun hanya diberikan satu dos pekat, antibiotik ini dapat kekal di dalam badan sehingga tujuh hari, memberi kesan berpanjangan dalam menentang jangkitan bakteria,” katanya.

Dr. Blasi memaklumkan kepekatan Azithromycin juga paling tinggi pada hari pertama, membolehkannya bertindak di ketika kemuncak jangkitan.

Pada dasarnya, antibiotik ini serupa seperti dos yang digunakan sebelum ini, dari segi tahap keselamatan dan juga kesan sampingannya. Hanya cara penggunaannya berbeza di mana tahap kepekatannya di dalam badan juga akan menurun mengikut masa, seperti dos lama, tetapi hadir dalam kepekatan lebih tinggi pada hari pertama.

Menurut Dr. Blasi, terapi singkat ini digunakan untuk pesakit luar yang menghidap pneumonia, sinusitis atau sinusitis bakteria akut (jangkitan ringan sehingga sederhana sahaja).

Kombinasi

“Bagi kes pneumonia yang teruk, antibiotik lain atau kombinasi beberapa jenis antibiotik mungkin perlu digunakan.

“Pesakit dengan jangkitan teruk juga mungkin perlu dimasukkan ke wad, terutamanya jika melibatkan spesies bakteria yang sukar dirawat,” jelasnya.

Namun, beliau memaklumkan perlunya pemeriksaan semula diagnosis atau menukar bentuk rawatan jika pesakit tidak menunjukkan kemajuan selepas tiga hari.

Ini tambahnya sama bagi rawatan menggunakan mana-mana antibiotik, yang perlu ditukar jika didapati tidak berkesan kepada pesakit berkenaan.

Dr. Blasi bagaimanapun menegaskan penggunaan formulasi baru ini tetap terikat dengan beberapa faktor seperti epidemiologi jangkitan dan faktor risiko penggunaan formulasi berkenaan terhadap pesakit.

“Rawatan perlu khusus mengikut keperluan pesakit untuk mendapatkan kesan terbaik terhadap masalah jangkitan yang dihadapi. Perlu menggunakan ubat yang betul untuk pesakit yang betul.
“Antibiotik dos tunggal atau berkepekatan tinggi mungkin pendekatan terbaik untuk sesetengah kes tetapi ia bukan penyelesaian untuk semua kes jangkitan bakteria,” tegasnya.

Tambahnya, manfaat utama dos tunggal ini adalah dari segi pematuhan pengambilan antibiotik memandangkan pesakit hanya perlu mengambil satu dos sahaja.

Formulasi baru Azithromycin ini dilancarkan di Malaysia pada 20 Julai lalu tetapi dalam bentuk cecair sahaja. Ia juga boleh dicampurkan dengan air, terutamanya untuk kanak-kanak, tetapi lebih penting lagi tidak perlu lagi gusar tentang pengambilan dos ulangan.

Selain itu, penyerapan berperingkat formulasi baru ini turut tidak meninggalkan kesan yang tidak diingini terhadap normal flora usus, seterusnya mengurangkan kesan sampingan seperti cirit-birit terhadap pesakit. Pengambilan formulasi baru antibiotik ini tanpa makanan juga didapati banyak mengurangkan kesan sampingan cirit birit di kalangan pesakit.

Namun, tidak kira sama ada pengambilan antibiotik atau ubat-ubatan lain, doktor perlulah memberi panduan pengambilan ubat dengan tepat sementara pesakit pula perlu mematuhi arahan pengambilan ubat supaya dapat segera pulih sepenuhnya.

Tuesday, August 5, 2008

Vitamin C injections slow cancer in mice: study





High doses of vitamin C injections reduced the size of tumors and slowed cancerous growths by about 50 percent in laboratory mice, according to US research.

Researchers at the National Institutes of Health noted the phenomenon in brain, ovarian and pancreatic cancers, according to findings published in the August 5 issue of the Proceedings of the National Academy of Sciences.

"Researchers discovered that high concentrations of ascorbate had anticancer effects in 75 percent of cancer cell lines tested, while sparing normal cells," the report said.

"The researchers traced ascorbate's anti-cancer effect to the formation of hydrogen peroxide in the extracellular fluid surrounding the tumors. Normal cells were unaffected," it said.

Injections were necessary because the body regulates vitamin C when ingested, so that higher doses cannot be attained.

"When you eat foods containing more than 200 milligrams of vitamin C a day -- for example, two oranges and a serving of broccoli -- your body prevents blood levels of ascorbate from exceeding a narrow range," said Mark Levine, the study's lead author and chief of the Molecular and Clinical Nutrition Section of the National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases.
Scientists "injected ascorbate into the veins or abdominal cavities of rodents with aggressive brain, ovarian, and pancreatic tumors," the report said, delivering "up to four grams per kilogram of body weight daily."

By injecting mice with 43 cancer and five normal cell lines, "the researchers discovered that high concentrations of ascorbate had anticancer effects in 75 percent of cancer cell lines tested, while sparing normal cells."

Scientists involved with the study also pointed to evidence that "these high ascorbate concentrations could be achieved in people."

"In immune-deficient mice with rapidly spreading ovarian, pancreatic, and glioblastoma (brain) tumors ... the ascorbate injections reduced tumor growth and weight by 41 to 53 percent."

The researchers concluded that the findings "provide the first firm basis for advancing pharmacologic ascorbate in cancer treatment in humans."

Vitamin C was considered as a possible treatment for cancer three decades ago, but subsequent studies showed oral doses provided no benefit.

Agence France-Presse - 8/5/2008 6:39 AM GMT