Sunday, September 21, 2008

Alzheimer penyebab nyanyuk

Sel-sel Alzheimer
PENYAKIT Alzheimer ialah bentuk penyakit nyanyuk (dementia) paling umum yang dialami oleh manusia berusia 65 tahun dan ke atas. Ini bukan sebahagian daripada proses penuaan normal, tetapi penyakit yang menyebabkan kehilangan progresif sel saraf otak.
Memandangkan sel saraf ini penting untuk pemikiran normal, daya ingatan dan fungsi otak, mereka yang menghidap penyakit Alzheimer mengalami kemerosotan fungsi otak yang mengganggu kegiatan harian normal mereka.

Secara beransur-ansur, pesakit Alzheimer hilang keupayaan mereka untuk melakukan kegiatan harian paling asas seperti memberus gigi, memakai pakaian, mandi dan lain-lain.
Pada akhirnya, keupayaan mereka untuk berjalan dan bercakap juga mungkin terjejas atau hilang sama sekali.
Dikenali sebagai penyakit 'The Long Goodbye', penyakit ini lazimnya meliputi tempoh lebih sepuluh hingga 20 tahun.
Walaupun penyelidikan intensif dijalankan kebelakangan ini, penyakit Alzheimer masih belum difahami sepenuhnya dan tiada penawar yang diketahui, lantas pengesanan dan rawatan awal merupakan satu-satunya pilihan untuk menguruskan penyakit dengan berkesan.

Menurut Pakar Runding Geriatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Philip Poi Jun Hua, Alzheimer sejenis penyakit otak degeneratif yang dialami oleh kira-kira 24 juta orang di seluruh dunia.

"Perkara yang sering dikhuatiri ialah kepatuhan pengambilan ubat kerana penyakit Alzheimer menjejaskan daya ingatan seseorang. Pesakit mungkin lupa mengambil ubat atau terlupa mereka telah mengambil dos.

"Maklum balas daripada para penjaga pesakit menunjukkan bahawa sering kali, pesakit enggan mengambil ubat kerana berpendapat mereka tidak menghidap sebarang penyakit.
Kaedah pemberian ubat baru ini memberikan pilihan tambahan yang amat dihargai kepada kira-kira 50,000 rakyat Malaysia lanjut usia yang menghidap penyakit ini," katanya ketika majlis pelancaran rawatan transdermal penyakit Alzheimer's, Exelon Patch.

Sementara itu, Ketua Perubatan, Novartis Corporation (Malaysia), Dr Premila Paranchothy, memberitahu, rawatan ini menawarkan manfaat terapeutik yang unik dengan mengekalkan kandungan ubat yang sama dalam aliran darah, lantas mengurangkan kesan sampingan gastrousus seperti loya dan muntah.

"Keupayaan memberi pesakit rawatan yang berkesan menerusi tampalan yang mudah dan senang digunakan merupakan satu kemajuan besar.
Bagi penjaga, tampalan ini memberikan jaminan yang nyata bahawa pesakit telah mengambil ubat, jadi mereka tidak perlu lagi bimbang tentang perkara ini," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Philip memberitahu, Alzheimer sekarang menjadi masalah kesihatan umum utama yang semakin serius dihadapi oleh golongan warga emas dan memerlukan penjagaan keluarga mereka.

"Alzheimer merupakan penyakit nyanyuk yang biasa menyerang warga emas.
Mengikut statistik Asia Pasifik, penghidap penyakit ini telah mencecah 18 juta orang. Lebih kurang 60,000 orang di Malaysia merupakan penghidap Alzheimer. Dijangka pada tahun 2020, angka ini akan berganda kepada 120,000 orang," katanya.

Tambah Dr. Philip, berkorban masa dan tenaga menjaga warga emas yang menghidap penyakit Alzheimer atau nyanyuk bukanlah satu perkara mudah.

"Penyakit Alzheimer bukan hanya nyanyuk yang disebabkan proses penuaan. Sebaliknya, ia adalah sejenis masalah kesihatan yang memerlukan perhatian daripada keluarga pesakit.
Ia menyebabkan keupayaan fungsi otak menurun dan memusnahkan kemahiran daya ingatan dan pemikiran seseorang," jelasnya.

Risiko untuk menghidap Alzheimer, penyakit yang sinonim dengan warga tua ini, meningkat seiring dengan pertambahan usia.

Menurut Dr. Philip, simptom dementia yang paling awal adalah menjadi pelupa terutama mengenai perkara penting dan dilakukan setiap hari.
Mereka perlu dibawa berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan bagi mengesahkannya.

Jelasnya, sebaik sahaja menusia mencecah 20 tahu, proses kematian sel-sel di dalam otak mula berlaku dan menyebabkan otak mengecut.
Kemusnahan sel-sel otak secara berterusan menyebabkan kualiti daya ingatan semakin berkurangan.

Dr. Philip memberitahu, dementia merujuk kepada sekumpulan gejala yang berkaitan dengan hilang ingatan, berlaku secara perlahan-lahan tanpa disedari tetapi akhirnya boleh menjadi bertambah teruk.

Akibatnya, seseorang sukar mengingat sesuatu dan menjejaskan keupayaannya untuk berfikir dengan baik hingga boleh mengganggu aktiviti normal dan rutin seperti makan dan menguruskan kebersihan diri.

"Selain kemerosotan pemikiran, pesakit turut mengalami perubahan dari segi personaliti dan tingkah laku serta perasaan mereka.

Menurutnya, sekiranya pesakit mendapat rawatan pada peringkat awal, ia sekali gus mampu mengurangkan masalah penjagaan yang membebankan ahli keluarga.

"Mengesan gejala Alzheimer pada peringkat awal merupakan satu kelebihan. Doktor boleh memberi panduan tentang tanda-tanda awal demetia.
Jika pesakit benar-benar disahkan mengidap Alzheimer, keluarga pesakit mempunyai lebih masa untuk membuat rancangan pada masa depan. Rawatan boleh dilakukan awal dan ia lebih efektif," katanya.

Dr. Philip menjelaskan, ketika diagnosis dijalankan, doktor memerlukan maklumat pesakit daripada keluarga dan kawan-kawan, ujian fizikal dan neurologikal serta ujian makmal.
Selain itu, doktor akan melakukan ujian neuropsikologikal di samping melakukan imbasan imej menggunakan CT atau Magnetic Resonance Imaging (MRI). Katanya, imbasan PET merupakan langkah utama untuk mendapatkan maklumat.

Mengimbas sejarah Alzheimer, penyakit ini ditemui oleh Dr. Alois Alzheimer pada 1907 ini, dinamakan Alzheimer, bersempena nama beliau. Dementia boleh dibahagikan kepada dua, pertama dementia berbalik (reversable) yang boleh dikawal dan kedua tidak berbalik iaitu kekal.
Hasil daripada bedah siasat terhadap seorang wanita, Dr. Alzheimer mendapati otak wanita tersebut bukan saja mengecut malah, dipenuhi dengan gumpalan protein yang luar biasa yang dipanggil plak amiloid dan serat yang berbelit-belit (neuro fibrillary).

Individu yang berisiko untuk mendapat penyakit ini ialah seseorang yang menghidap hipertensi apabila mencecah usia 40 tahun ke atas, penghidap diabetes, kurang melakukan senaman, paras kolesterol yang tinggi dan faktor keturunan iaitu mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit ini pada usia lingkungan 50-an.

Antara simptom lain dementia ialah lupa perkara yang sering dilakukan, cepat penat, sukar membezakan masa, tempat dan orang, hilang daya logik, pelupa, tidak mapu melakukan kegiatan harian dan menyiapkan diri sendiri, tidak boleh menumpukan perhatian, susah mengingat perkataan ketika bercakap dan sukar menamakan objek.

Selain itu, pesakit Alzheimer sering tertekan, merepek, tidak sabar, sukar membezakan masa dan yang paling teruk ialah mereka gagal mengawal ketika membuang air kecil atau besar, tidak mampu berfikir, bercakap dan bergerak malah terdapat juga penghidap Alzheimer hilang sifat malu dan bercakap mengenai hal yang boleh memalukan keluarga atau bertelanjang di tempat umum.

Berikut merupakan sedikit panduan bagi keluarga yang ingin menangani ahli keluarga mereka yang menghidap Alzheimer:

* Selalulah bergurau senda dengan mereka kerana warga emas yang nyanyuk cenderung menyimpan kemahiran bersosial mereka.

* Sebagai orang yang lebih muda, wujudkan mood positif ketika berbual-bual dengan mereka. Berinteraksilah dengan mereka dengan bahasa yang lembut dan sopan sebagai tanda hormat.

* Ingatilah masa-masa indah yang pernah dilalui bersama mereka kerana kebanyakan pesakit nyanyuk tidak mengingati apa yang telah berlaku dalam tempoh 45 minit.

* Ketika berbual-bual dengan mereka, wujudkan suasana tenang. Elakkan bunyi bising seperti telefon bimbit dan radio. Perkenalkan diri anda dan jelaskan hubungan anda dengannya sambil menyentuh tangan dan bahunya.

* Berbual-bual dengan mereka dengan menggunakan bahasa dan ayat yang mudah difahami. kita perlu faham bahawa golongan ini mudah tersentuh. Jadi, anda tidak perlu meninggikan suara. Cukup sekadar bahasa yang jelas dengan nada rendah.

* Pesakit nyanyuk biasanya mudah lupa, jadi anda perlu bersabar setiap kali menunggu jawapan mereka.

* Wujudkan suasana yang bahagia dengan berbual sambil bercerita perkara lucu. Sekiranya mereka dalam mood sedih, cuba tukar persekitaran dan topik cerita.

No comments: