Sunday, September 28, 2008

Menangani faktor risiko utama

Penyakit jantung pembunuh nombor satu dunia ini.

Dua faktor risiko utama penyakit jantung, iaitu pemakanan dan aktiviti fizikal masyarakat, dilihat semakin membimbangkan. Bulan puasa dan raya kini dijadikan pesta makan pelbagai juadah yang kebanyakannya tidak sihat serta dipenuhi lemak, gula dan garam, ketika berbuka puasa atau sebagai hidangan pada Hari Raya.

Selain itu, puasa juga dijadikan alasan untuk mengurangkan aktiviti fizikal dan melebihkan tidur sementara aktiviti fizikal utama ketika bulan perayaan adalah 'berjalan ke rumah terbuka'.

Faktor ketiga pula, merokok, masih sukar ditinggalkan walaupun dapat 'bersabar' seketika semasa berpuasa.

Dianggarkan 17.5 juta pesakit maut setiap tahun disebabkan oleh penyakit jantung dan strok (angin ahmar). Kematian akibat penyakit jantung bermula dengan faktor-faktor risiko utama tadi, bersama tekanan perasaan (stres), pengambilan alkohol, lemak dan gula dalam darah yang tinggi, obesiti dan tekanan darah tinggi (hipertensi).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan lebih 1.5 bilion penduduk dunia yang berumur 25 tahun ke atas akan menghidap tekanan darah tinggi, seterusnya meningkatkan bilangan pesakit berisiko menghidap penyakit jantung.

Tiga daripada sembilan

Memandangkan terdapat beberapa faktor risiko penyakit jantung yang tidak boleh diubah seperti umur, jantina, etnik dan warisan genetik, tumpuan lebih perlu diberikan kepada faktor risiko yang boleh dikawal (diubah), terutamanya pemakanan, aktiviti fizikal dan merokok.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Mohamed Ismail Abdul Samad menjelaskan tiada data lengkap pesakit jantung di negara ini tetapi penyakit jantung dan kardiovaskular menjadi antara pembunuh utama di Malaysia dan dunia.

"Penyakit jantung bermula dengan kehadiran faktor risiko tertentu. Dengan meningkatnya jumlah risiko di kalangan ahli masyarakat, bilangan pesakit jantung juga dijangka meningkat.

"Dari data sedia ada, kes penyakit jantung didapati meningkat, walaupun tidak mendadak. Ini berbeza dengan negara-negara maju yang mencatatkan penurunan," katanya.

Menurut beliau, risiko menghidap atau kematian akibat penyakit jantung bergantung kepada faktor risiko yang dimiliki.

Dengan itu, tema sambutan Hari Jantung Sedunia tahun ini adalah 'ketahui risiko anda' bagi meningkatkan kesedaran umum bukan hanya kepada bahaya penyakit ini, malahan lebih utama adalah mengenal pasti faktor risiko yang ada pada diri masing-masing serta cara mengatasinya.

Dr. Mohamed Ismail menjelaskan, dengan mengetahui faktor risiko seseorang, kita dapat mengawal faktor tersebut sebelum melarat, dan seterusnya bilangan pesakit jantung dapat dikurangkan.

"Terdapat sembilan faktor boleh ubah (gaya hidup dan biologi), empat faktor tidak boleh ubah serta beberapa faktor persekitaran yang menentukan risiko seseorang mungkin akan menghidap penyakit jantung.

"Bagaimanapun, tiga faktor utama (boleh ubah) menjadi sasaran dan keutamaan iaitu pemakanan, aktif secara fizikal dan merokok," ujarnya.

Menurutnya, setiap satu daripada tiga 'faktor serangkai' ini memberi kesan peningkatan berganda risiko penyakit jantung.

Tiga faktor ini menjadi sasaran utama kerana jika ketiga-tiganya dapat dikawal, bilangan kes penyakit jantung juga lebih mudah dikawal. Kesan berganda bermakna seseorang itu lebih mudah menghidap atau mati akibat penyakit jantung dengan kehadiran lebih banyak faktor risiko. Tiga faktor risiko berkenaan juga dikaitkan sebagai punca kepada penyakit kronik lain seperti diabetes, kanser dan masalah paru-paru.

Dr. Mohamed Ismail menyatakan negara maju seperti Finland menjadi contoh negara yang berjaya mengawal tiga faktor risiko utama ini dalam masyarakat negara itu.

"Amalan pemakanan sihat mula diajar dari zaman persekolahan lagi (di Finland). Dengan menggunakan kod warna pada makanan, kesedaran tantang pemakanan sihat berjaya dipupuk di kalangan penduduk negara tersebut.

"Jepun dan Australia juga menjadi contoh baik dari segi amalan pemakanan sihat. Penduduk di negara-negara berkenaan digalakkan mengambil banyak serat makanan di samping mengurangkan lemak dan garam dalam masakan," jelasnya.

Tingkatkan dan kurangkan

Dr. Mohamed Ismail mendedahkan kajian Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2006 menunjukkan 97 peratus penduduk dewasa mempunyai salah satu dari sembilan faktor risiko penyakit kardiovaskular (masalah jantung dan strok).

"Pemakanan menjadi keutamaan kerana semua orang perlu makan. Tetapi, pemakanan yang sihat dan seimbang juga perlu diimbangkan dengan aktiviti fizikal secukupnya.

"Tidak guna menjaga diet jika tidak ada langsung aktiviti fizikal. Cara terbaik mengurangkan risiko penyakit dan mengekalkan tahap kesihatan adalah dengan mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang serta aktif dengan aktiviti fizikal sederhana setiap hari," tegasnya.

Beliau menjelaskan terdapat salah faham di kalangan orang ramai antara aktiviti fizikal dan senaman, di mana senaman merupakan sejenis aktiviti fizikal tetapi aktiviti fizikal itu bukannya senaman.

Katanya, apa yang dimaksudkan dengan aktif secara aktiviti fizikal sederhana setiap hari adalah sebarang bentuk pergerakan otot kerangka (termasuk senaman), yang membakar kalori makanan dan mengeluarkan peluh.

Aktiviti fizikal bertujuan mengekalkan tahap kecergasan badan tetapi bukan untuk menghilangkan masalah bentuk badan seperti obesiti. Otot pada tulang kerangka merupakan tempat terbaik untuk membakar tenaga dan lemak, dan ini mudah dicapai dengan membanyakkan berjalan atau naik turun tangga.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga menggalakkan komuniti negara ini berjalan, seperti mana kempen WHO beberapa tahun lalu, Let's Move.

Kajian menunjukkan setiap manusia perlu berjalan secara purata 10,000 tapak setiap hari untuk kekal cergas (bukan senaman obesiti), mengikut saiz langkah setiap tapak.

Amalan berjalan untuk ke tempat-tempat tidak terlalu jauh, seperti yang diamalkan penduduk di Jepun, merupakan contoh aktiviti fizikal intensiti sederhana yang boleh dijalankan selama 30 minit setiap hari, atau dalam kumpulan 10 minit, tiga kali sehari.
kemampuan

Individu yang obes dan ingin menurunkan berat badan bagaimanapun disarankan bersenam mengikut kemampuan diri, berselang dengan hari rehat (sekali setiap dua hari, tiga kali seminggu).

Untuk kekal cergas pula, semua perlu mengamalkan sebarang aktiviti fizikal sederhana sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari. Oleh itu, tingkatkan 'aktiviti fizikal' mengikut kemampuan masing-masing, mengikut kadar yang disarankan untuk kekal sihat dan menjauhkan diri daripada risiko penyakit jantung.

Dr. Mohamed Ismail turut menyatakan masalah merokok di Malaysia agak serius dengan Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2006 mencatatkan lebih 2.7 juta perokok di negara ini.

"Rokok (asap tembakau) diketahui boleh menyebabkan penyakit jantung dan menjadi antara tiga faktor risiko utama penyakit tersebut.

"Lebih malang lagi, bukan hanya perokok sendiri meningkatkan risiko menghidap penyakit jantung, malahan perokok pasif juga menjadi mangsa," katanya.

Dengan 2.61 juta perokok lelaki (95.6 peratus), 120,000 perokok wanita (4.4 peratus) dan juga perokok pasif di negara ini, amalan merokok menjadi antara keutamaan dalam mengawal peningkatan penghidap atau kematian akibat penyakit jantung.

Ditambah pula sebilangan masyarakat tempatan yang kurang menjaga pemakanan dan aktiviti fizikal harian, amalan buruk merokok bukan sahaja sepatutnya dikurangkan, malahan dihentikan secepat mungkin, untuk kesihatan diri serta keluarga pada masa hadapan.

Dr. Mohamed Ismail menekankan kombinasi tiga faktor risiko utama ini pasti akan meningkatkan risiko penyakit jantung, terutamanya jika ditambah dua lagi faktor gaya hidup iaitu tekanan perasaan (stres) dan pengambilan alkohol.

"Lima faktor gaya hidup itu, jika tidak diubah dan ditambah pula faktor tidak boleh ubah (serta faktor persekitaran lain), akan membawa kepada faktor risiko biologi pula (obesiti, tekanan darah tinggi, gula dan lemak dalam darah yang tinggi).

"Individu yang mempunyai kesemua sembilan faktor boleh ubah, empat faktor tidak boleh ubah selain faktor persekitaran, menghadapi risiko paling tinggi penyakit jantung atau strok, terutamanya dalam tempoh 10 tahun akan datang," jelasnya.

Beliau menegaskan komuniti setempat di Malaysia perlu mula menilai faktor risiko penyakit jantung yang mereka hadapi, dan mula mengambil langkah untuk mengatasi dan menurunkan risiko yang dihadapi.

Sempena tema tahun ini 'ketahui risiko anda', berusahalah untuk mengetahui jika anda mempunyai mana-mana satu atau lebih faktor risiko penyakit jantung dan ambil langkah sewajarnya.

No comments: