Sunday, September 28, 2008

Sayangi buah pinggang, selamatkan jantung anda

"PADA Hari Jantung Sedunia ini, ambillah keputusan untuk menjalani ujian buah pinggang juga. Ia mungkin dapat menyelamatkan nyawa anda," kata Pakar Perunding Nefrologi, Dr S Prasad Menon.

Adakah anda tahu risiko kardiovaskular boleh bermula walaupun fungsi buah pinggang mengalami sedikit kerosakan? Dan adakah anda sedar penyakit kardiovaskular menyumbang lebih daripada 50 peratus kematian di kalangan penghidap penyakit buah pinggang kronik?

Mereka yang menghidapi kegagalan buah pinggang peringkat akhir mempunyai 10 hingga 30 kali risiko kematian lebih tinggi akibat strok, serangan jantung atau penyakit kardiovaskular yang lain dibandingkan dengan golongan dewasa yang sihat.

Anda mungkin tertanya, apakah kaitan maklumat ini dengan diri sendiri? Banyak, jika anda mempunyai tanda-tanda penyakit buah pinggang atau jantung, sama ada anda sedar atau tidak.

Menurut Dr. S Prasad Menon, Pakar Perunding Nefrologi dan ahli Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF), sesungguhnya terdapat kaitan antara jantung dan buah pinggang.

"Doktor sedang berbincang tentang sindrom jantung-buah pinggang dalam beberapa tahun ini.

Juga dikenali sebagai sindrom buah pinggang-jantung, asasnya mencadangkan penyakit akut atau kronik yang berlaku pada jantung atau buah pinggang boleh menjejaskan organ lain dalam bentuk akut atau kronik.
"Walau bagaimanapun, ini juga bermaksud anda mampu mengelakkan penyakit kardiovaskular dengan cara melindungi buah pinggang anda atau sebaliknya," jelasnya.

Kaitan Antara Jantung & Buah Pinggang

Dr. Prasad menjelaskan bagaimana penyakit buah pinggang mempengaruhi jantung.
"Salah satu fungsi buah pinggang adalah mengawal tekanan darah. Jika terdapat penyakit buah pinggang, tekanan darah tinggi akan berlaku.

"Ini akan menambahkan lagi kerosakan buah pinggang. Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal juga akan merosakkan saluran darah di dalam badan dan mempercepatkan serangan jantung dan strok," katanya.

Menurut beliau, untuk memburukkan keadaan lagi, perembesan hormon oleh buah pinggang akan terganggu dengan penyakit pada buah pinggang.

"Anemia juga akan berlaku. Jika buah pinggang rosak, ia tidak akan dapat menyingkirkan air dari badan dan menyebabkan bengkak akibat pengumpulan air.

Semua faktor ini bersama tekanan darah tinggi mengakibatkan peningkatan isipadu darah pada jantung. Jantung akan membesar dan kurang berfungsi disebabkan keperluan untuk mengepam lebih banyak bagi menghantar darah ke seluruh badan," ujarnya.

Beliau menegaskan dalam jangka panjang, jantung akan menjadi lemah dan akhirnya gagal berfungsi.

Dr. Prasad menggunakan analogi 'pam dan tapis' sebagai cara bagaimana penyakit jantung mengancam buah pinggang.

"Jantung mengepam darah ke seluruh badan termasuk buah pinggang, bukan sahaja untuk menapis darah tetapi juga untuk memperkayakan buah pinggang agar ia dapat terus berfungsi dengan baik.

"Masalahnya, jika sesuatu berlaku kepada jantung (sebagai pam), seperti serangan jantung atau penyakit jantung kronik, aliran darah ke buah pinggang akan terjejas. Jika pam rosak, begitu juga dengan buah pinggang (sebagai penapis)," jelasnya.

Oleh itu, beliau menekankan betapa pentingnya untuk memastikan kedua-dua organ berkenaan berfungsi dengan baik.

Perlindungan Jantung & Buah Pinggang

Dr Prasad gembira dengan peningkatan kesedaran awam tentang faktor risiko klasik kardiovaskular.

"Untuk kebaikan dalam mengelakkan serangan jantung atau strok, ramai orang hari ini mengambil usaha mengekalkan status berat badan, tekanan darah, paras kolesterol darah dan paras glukosa darah.

"Sebarang faktor risiko perlu diambil berat. Contohnya merokok; ia bukan sahaja berbahaya kepada jantung tetapi kepada buah pinggang juga," katanya.

Beliau turut menyatakan penting untuk mengetahui bahawa paras glukosa darah tinggi dan tekanan darah tinggi selalunya menandakan kerosakan pada buah pinggang.

"Oleh itu, rawatan untuk keadaan ini tidak akan lengkap melainkan mendapatkan pemeriksaan buah pinggang. Jika ada, penyakit buah pinggang kronik mesti ditangani sebaiknya," tegasnya.

Dr Prasad mencadangkan semua orang, tidak kira profil risiko masing-masing, sepatutnya menjalankan ujian albumin dalam air kencing untuk mengesan penyakit buah pinggang sebagai salah satu usaha untuk mencegah penyakit kardiovaskular. Dia juga percaya ujian itu juga perlu menjadi sebahagian daripada pemeriksaan fizikal tahunan.

"Dalam kebanyakan kes, pesakit buah pinggang kronik tidak menyedari mereka sakit. Penyakit ini muncul tanpa tanda penyakit sehinggalah pada peringkat yang lebih teruk.

"Disebabkan itu, kami percaya 10 peratus daripada masyarakat awam seakan-akan bom jangkamasa, menjalani kehidupan harian sedangkan mereka tidak sedar bahawa pada dasarnya, fungsi buah pinggang mereka sedang merosot setiap hari," ujarnya.

Tambahnya, individu sebegini mempunyai risiko yang tinggi mendapat strok, serangan jantung atau sesuatu lebih teruk.

"Jadi, mengambil ujian albumin ini adalah pilihan terbaik untuk sesiapa sahaja untuk Hari Jantung Sedunia.

"Anda tidak akan tahu keputusan yang akan diperoleh. Maka, untuk penyakit buah pinggang kronik, pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa," katanya.

Risiko untuk mendapat serangan jantung adalah satu kepastian apabila anda menghidap penyakit buah pinggang kronik.

Keadaan akan menjadi lebih buruk dengan kemungkinan kegagalan buah pinggang peringkat akhir dan perlu menghabiskan seluruh hidup dengan dialisis serta ketakutan kematian pramasa akibat penyakit kardiovaskular.

Jangan biarkan ini berlaku kepada anda. Sayangi buah pinggang anda, selamatkan jantung anda.

No comments: