PENYAKIT jantung berlaku bukan hanya pada orang dewasa malahan kanak-kanak juga tidak terkecuali. Cuma, mungkin puncanya sahaja berbeza.
Golongan dewasa biasanya melibatkan faktor boleh ubah seperti gaya hidup (makanan, rokok, aktiviti fizikal) dan faktor risiko biologi seperti diabetes, obesiti dan tekanan darah tinggi.
Bagi kanak-kanak pula, masalah jantung yang dihadapi melibatkan kecacatan struktur yang muncul sejak mereka dilahirkan lagi.
Pakar Klinikal Pediatrik Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Nomee Ashikin Mohd.
Radzi menjelaskan peratusan penyakit jantung bayi dan kanak-kanak agak rendah, antara tujuh hingga 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kelahiran hidup yang mungkin menghidap masalah kecacatan jantung kongenital (sejak lahir).
"Punca khusus kecacatan jantung kongenital masih samar tetapi dikaitkan dengan beberapa sindrom tertentu seperti sindrom down, sindrom turner dan sindrom marfan.
"Namun, perlu ditegaskan bahawa penyakit berkenaan bukannya salah ibu bapa," katanya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan terdapat beberapa perkara seperti ibu menghidap diabetes atau ambil ubat tertentu (seperti ubat anti epilepsi), jangkitan virus (seperti rubela), merokok dan alkohol yang boleh meningkatkan risiko kecacatan jantung kongenital anak dalam kandungan.
Dr. Nomee menjelaskan bayi atau kanak-kanak dengan kecacatan jantung kongenital dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu bayi biru atau tidak biru (blue, non-blue baby).
"Bayi tidak biru menghadapi masalah lubang pada jantung atau masalah dengan injap atrial.
Jenis yang paling banyak ditemui adalah kecacatan septal ventrikular (VSD).
"Bayi biru pula mempunyai masalah halangan yang menyekat pengaliran darah ke paru-paru (tersumbat). Masalah Tetralogy of Fallot (TOF) merupakan yang paling biasa ditemui pada bayi biru dan merupakan masalah kedua paling biasa ditemui dalam kes kecacatan jantung kongenital selepas VSD," ujarnya.
Simptom dan ujian
Antara simptom yang biasa ditemui dalam kes kecacatan jantung kongenital adalah;
n jantung berbunyi (murmur)
n cyanosis (biru di badan atau muka)
n kesukaran menyusu
n nafas kencang
n kegagalan untuk berkembang (menambah berat badan)
Jika didapati anak mempunyai simptom yang dinyatakan, ibu bapa dinasihatkan membawa mereka ke klinik berhampiran dengan segera untuk pemeriksaan. Jiika terdapat kemungkinan masalah jantung, doktor akan merujuk pesakit ke mana-mana pusat kardiologi.
Dr. Nomee menyatakan terdapat beberapa ujian yang dapat dijalankan untuk menentukan jika bayi atau kanak-kanak mempunyai masalah jantung.
"Ujian ECG (electrocardiogram) akan dijalankan untuk memantau denyut jantung dan menentukan sama ada ia normal atau sebaliknya.
"Imbasan sinar-X dada juga mungkin dilakukan untuk melihat jika jantung membesar (bengkak) atau mempunyai masalah paru-paru. Ujian echocardiogram (ultrasound jantung) pula dapat mengesan beberapa kecacatan struktur jantung," jelasnya.
Menurut beliau, IJN juga kini mampu menjalankan ujian imbasan multislice CT iaitu teknologi terkini bagi melihat salur darah sekitar jantung sama ada ia terputus atau menyempit.
Dari segi ujian janin dalam kandungan pula, Dr. Nomee memaklumkan ujian ke atas cecair amnion kandungan dapat menentukan jika janin menghidap sindrom down.
"Ujian fetal echo boleh dijalankan untuk mengesan jika jantung janin mempunyai kecacatan struktur. Bagaimanapun, tiada ujian genetik khusus bagi mengesan gen yang dikaitkan dengan masalah jantung (buat masa ini).
"Jika masalah dikesan, seorang pakar genetik akan membantu menyokong dan menjelaskan situasi yang dihadapi kepada ibu bapa berkenaan," katanya.
Dr. Nomee menyatakan IJN juga memberikan rawatan berterusan kepada mereka dengan masalah jantung kongenital dewasa.
"Golongan ini merupakan pesakit jantung kongenital semasa kecil dan kini sudah dewasa. Mereka mungkin mengalami masalah tertentu yang berkaitan dengan penyakit jantung ketika kecil.
"Oleh itu, IJN akan memberikan rawatan berterusan kepada pesakit jantung, dari dalam perut sehinggalah mereka dewasa," ujarnya.
Rawatan
IJN mempunyai unit pediatrik kardiologi yang merawat bayi dan kanak-kanak dengan kecacatan jantung kongenital sama ada melalui intervensi dalam makmal atau pembedahan.
Dr. Nomee menjelaskan intervensi dalam makmal melibatkan penggunaan alatan khas bagi menutup lubang pada jantung dan mengelakkan pesakit melalui pembedahan pada usia yang terlalu muda.
"IJN menjadi perintis dalam rawatan menutup lubang (menggunakan alatan khas) untuk VSD, kecacatan septal atrial (ASD) dan patent ductus arteriosus (PDA). IJN juga menjadi perintis dalam penggunaan stent untuk rawatan PDA dan juga penggunaan stent pada kanak-kanak.
"Setiap tahun, beratus-ratus pesakit dirawat melalui intervensi dalam makmal. Sebilangan darinya juga datang dari luar negara seperti Brunei, Indonesia, India dan Singapura," katanya.
Menurut beliau, rawatan melalui pembedahan pula melibatkan banyak jenis prosedur tetapi tiga yang paling biasa dilakukan di IJN iaitu penutupan ringkas (lubang), pembedahan kompleks truncus arteriosus dan pembedahan terkini, hypoplastic left heart syndrom.
Tambah Dr. Nomee, ubat tertentu turut digunakan untuk mengawal kegagalan fungsi jantung di kalangan pesakit dengan lubang pada jantung atau apa-apa masalah yang meningkatkan aliran darah ke paru-paru.
Rawatan masalah jantung di IJN adalah percuma bagi kakitangan kerajaan tetapi turut mengikut kes dan kemampuan individu. Melalui Yayasan IJN, pesakit yang kurang berkemampuan diberikan bantuan dan tidak perlu mencari dari sumber luar.
Selain itu, Dr. Nomee menyarankan beberapa langkah berjaga-jaga seperti mengelakkan rokok serta alkohol yang meningkatkan risiko kesihatan kepada janin.
"Perhatikan juga gula di dalam darah, ambil folate secukupnya serta kekal cergas dan sihat ketika mengandung.
"Dapatkan pandangan doktor untuk mengawasi pengambilan ubat tertentu seperti sesetengah ubat anti-epilepsi dan warfarin (ubat cairkan darah)," jelasnya.
Walaupun banyak yang sukar dikawal, cubalah elakkan dari faktor-faktor yang meningkatkan risiko penyakit jantung, bukan hanya pada diri malahan pada janin yang dikandung.
Sunday, September 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment