Monday, April 7, 2008

Bersenam boleh tangani CMR

Sindrom metabolik bukan penyakit, sebaliknya risiko berkaitan dengan obesiti

MEREKA yang memiliki berat badan ideal tetapi berperut buncit lebih mudah berhadapan dengan masalah kesihatan yang digolongkan dalam kumpulan risiko kardiometabolik (CMR).

CMR atau sebelum ini dirujuk sebagai sindrom metabolik bukan penyakit, sebaliknya risiko berkaitan dengan obesiti dan terlebih berat. Ia meningkatkan kemungkinan anda diserang masalah kesihatan seperti penyakit jantung koronori, diabetes dan strok.

Ketua Pengarah Perubatan Sanofi Aventis Malaysia, Dr Bernard Ng, berkata CMR adalah ukuran pada risiko seseorang untuk diserang diabetes dan masalah jantung.

“Risiko CMR adalah masalah dunia termasuk Malaysia. Selain memiliki ukur lilit pinggang yang besar, ciri utama CMR juga termasuk diabetes, tekanan darah tinggi selain tahap kolesterol yang abnormal,” katanya. Dr Bernard berkata, CMR bukan perkara baru kerana dianggarkan antara 20 hingga 30 peratus populasi di negara industri mengalaminya. Malah, dianggarkan menjelang 2010, CMR akan menjejaskan antara 50 hingga 75 juta orang di Amerika.

Mengenai pembedahan plastik untuk mengempiskan perut bagi mengatasi masalah ukur lilit pinggang yang besar dan perut buncit, Dr Bernard berkata, jika anda berhadapan dengan masalah insulin, tekanan darah dan kolesterol, prosedur sedut lemak bukanlah cara terbaik. Beliau berkata, cara terbaik menangani CMR ialah mengamalkan diet pemakanan yang betul dan bersenam.

“Definisi gendut dan buncit sebagai ciri-ciri CMR dibahagi kepada beberapa kriteria, iaitu buncit atau gendut dengan ukuran lebih 90 sentimeter (35.4 inci) bagi lelaki dan lebih 80 sentimeter (31.4 inci) bagi wanita.

“Tahap tekanan darah pula ialah 130/85 ke atas dan glukos dalam darah ketika berpuasa menunjukkan 110 mg/dl,” katanya.

Menangani faktor risiko CMR, beliau berkata, ia bukan perkara yang terlalu sukar kerana hanya memerlukan kekuatan minda dan setinggi mana keinginan anda untuk menangani masalah itu dengan mengubah gaya hidup secara agresif. Beliau berkata, perubahan gaya hidup mungkin membantu mengubah atau memperlahankan serangan penyakit serius yang disebabkan CMR.

“Menghindari CMR secara mudah pula dilakukan dengan mengubah gaya hidup. Memilih makanan yang berkhasiat, memulakan senaman dan berhenti merokok,” katanya.

Dalam perbincangan mengenai CMR, satu lagi isu ditimbulkan ialah memahami sistem endocannabinoid (sistem EC - sistem psikologi dalam tubuh yang bertanggungjawab mengawal keseimbangan tenaga, pemecahan glukos dan lemak). Prof Beat Lutz dari Jabatan Psikologi Kimia, Universiti Johannes Gutenberg, Mainz, Jerman, berkata sistem EC sepatutnya boleh berfungsi dengan baik secara automatik (buka dan tutup). Bagaimanapun, katanya jika ia selalu terbuka, keadaan itu akan membawa kepada masalah diabetes dan kardiovaskular kronik.

“Memperbaiki sistem EC bermaksud membaiki CMR, membaiki CMR bermaksud jauh daripada kemungkinan berhadapan dengan risiko diabetes, masalah ginjal kronik dan sebagainya,” katanya.

Prof Lutz berkata, sistem EC bertindak mengawal keseimbangan tenaga dan faktor menyebabkan obes. Dalam kebanyakan penyelidikan berkaitan CMR kini, katanya sasaran adalah sistem EC yang menyebabkan pelbagai faktor risiko CMR. Info

Antara ciri-ciri CMR

Berperut buncit dan gendut. Berukuran lebih 90 sentimeter (35.4 inci) bagi lelaki dan lebih 80 sentimeter (31.4 inci) bagi wanita.
Tahap tekanan darah 130/85 atau lebih
Glukos dalam darah ketika berpuasa menunjukkan 110 mg/dl.
Tahap kolesterol baik rendah. Untuk lelaki, kurang daripada 40 mg/dL. Untuk wanita kurang daripada 50 mg/dL.
Lemak dalam darah (triglyceride) 150 mg/dL atau lebih

Antara punca CMR

Obesiti atau terlebih berat
Tidak bersenam
Faktor genetik

Antara komplikasi CMR

Penyakit jantung koronori
Diabetes
Strok
Masalah ginjal kronik

No comments: