Pesakit boleh diserang komplikasi kardiovaskular yang membawa maut
DI SELURUH dunia, kegagalan mengawal masalah tekanan darah tinggi kerap menjadi punca penyakit kronik seperti kardiovaskular dan masalah ginjal. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2002 menyebut, setiap tahun 5 juta kematian pra matang dicatatkan di seluruh dunia berpunca daripada tekanan darah tinggi.
Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Perunding Kardiologi, Datuk Dr Khoo Kah Lin, berkata senario yang sama juga berlaku di negara ini dan dianggarkan seorang daripada tiga warga Malaysia berusia 30 tahun ke atas berhadapan dengan masalah tekanan darah tinggi.
Bagaimanapun, katanya hanya enam daripada 100 pesakit berupaya mengawal masalah mereka.
“Pada peringkat global, tujuh daripada 10 pesakit tekanan darah tinggi tidak berupaya mengawal penyakit ini. Masalahnya, tanpa kawalan dan rawatan, ia boleh menyebabkan komplikasi kardiovaskular seperti serangan jantung, strok selain masalah buah pinggang,” katanya.
Dr Khoo berkata, pesakit diabetes yang juga didiagnos dengan tekanan darah tinggi adalah golongan pesakit yang paling gagal mengawal keadaan itu.
“Bacaan tekanan darah diukur dalam milimeter merkuri (mm Hg) dan memiliki dua nombor. Nombor pada bahagian atas adalah ukuran tekanan dalam arteri apabila jantung berdegup (systolic pressure), manakala nombor di bawah adalah ukuran tekanan arteri di antara degupan (diastolic pressure).
“Keadaan yang didefinisikan sebagai masalah tekanan darah tinggi terjadi apabila ia mencecah 140/90 mmHg atau lebih,” katanya. Beliau berkata, apabila tekanan darah tinggi tidak dikawal, ia akan menjejaskan keupayaan seseorang untuk berfikir, mengingat dan belajar.
“Masalah kognitif dan otak (dementia) adalah antara keadaan yang biasa dialami mereka yang tidak mengawal tekanan darah tinggi dengan baik.
“Ia juga secara tidak langsung menjadi punca kes kematian dan kemerosotan kualiti hidup disebabkan oleh serangan jantung, strok dan kegagalan ginjal,” katanya. Beliau berkata, dalam satu kajian didapati risiko kematian disebabkan serangan jantung secara langsung dikaitkan dengan tekanan darah tinggi.
Lebih tinggi kadar tekanan darah anda, lebih tinggi juga risiko yang anda hadapi. Bagaimanapun, katanya pada sesetengah individu, tekanan darah tinggi yang dialami berpunca daripada penyakit lain. Justeru, dalam kes seperti ini, jika faktor penyebabnya dapat ditangani, tekanan darahnya akan kembali normal.
“Keadaan ini disebut sebagai tekanan darah tinggi sekunder (secondary hypertension) dan selalunya ia disebabkan oleh tumor atau penyakit lain di kelenjar adrenal, kehamilan, penggunaan pil perancang atau kegagalan fungsi tiroid,” katanya. Beliau berkata, walaupun punca sebenar tekanan darah tinggi tidak diketahui, ada beberapa faktor yang dikaitkan sebagai risiko tekanan darah tinggi.
“Ia boleh dibahagi kepada dua bahagian iaitu faktor risiko yang boleh diubah seperti obes, tidak bersenam, terlalu banyak mengambil garam dalam diet, minum arak dan merokok.
“Bahagian kedua pula membabitkan tekanan darah tinggi yang tidak boleh diubah iaitu umur - semakin tua semakin tinggi kemungkinan diserang tekanan darah tinggi, selain faktor bangsa, sejarah keluarga dan jantina,” katanya. Dalam mengawal tekanan darah tinggi, katanya kebanyakan pesakit memerlukan ubat.
Bagaimanapun, Dr Khoo berkata, apa yang menjadi masalah apabila seorang pesakit terpaksa mengambil lebih daripada satu pil malah ada sehingga tiga untuk mengawal tekanan darah tinggi.
“Misalnya, pesakit diabetes yang juga didiagnos dengan tekanan darah tinggi perlu mengambil dua biji pil atau lebih,” katanya.
Beliau berkata, kini pesakit tidak lagi dibebani untuk mengambil terlalu banyak pil kerana di pasaran pada hari ini terdapat terapi dua dalam satu yang juga gabungan dua ubat tekanan darah tinggi valsartan dan amlodipine.
“Kedua-dua ubat ini digabungkan dalam satu formulasi dikenali sebagai Exforge® keluaran Norvartis Corporation. Ia bukan saja membantu mengurangkan jumlah pil yang perlu diambil oleh pesakit malah membantu dari segi jumlah wang yang dibelanjakan bagi membeli ubat setiap bulan," katanya.
Info Panduan sasaran tekanan darah
140/90 mm Hg atau kurang - Jika anda orang dewasa yang sihat
130/80 mm Hg atau kurang - Jika anda pesakit ginjal kronik, diabetes atau masalah koronari arteri atau berisiko terhadapnya.
120/80 mm Hg atau kurang - Jika jantung anda tidak mengepam seperti sepatutnya kerana masalah jantung atau masalah ginjal sangat kronik. Info Global
Di Australia 16 peratus kes baru penyakit ginjal tahap akhir (ESRD) disebabkan tekanan darah tinggi.
Di Amerika mengikut statistik 2001, 91,636 dirawat kerana ESRD yang disebabkan tekanan darah tinggi.
Di England, menurut Yayasan Jantung British, sekitar antara 80 hingga 85 peratus mereka yang terjejas dengan tekanan darah tinggi tidak dirawat.
Monday, April 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment