Thursday, April 17, 2008

Kurang testosteron punca mati pucuk

SINDROM kekurangan testosteron (TDS) memang menghantui lelaki.

Selain mengalami resah gelisah, letih, peningkatan berat badan dan murung, TDS juga membawa masalah yang paling ditakuti, iaitu mati pucuk.

TDS berpunca daripada kurangnya jumlah testosteron yang terhasil dan ia menyebabkan lelaki hilang beberapa ciri kelelakian seperti kurang berminat dengan seks, penampilan fizikal (tiada lagi tubuh berotot) serta hilang keyakinan diri.

Kajian menunjukkan seorang daripada lima lelaki yang berhadapan dengan masalah mati pucuk memiliki tahap testosteron yang rendah.

Ketua Jabatan Andrologi dan Urologi, Pusat Penyelidikan Endokrinologi Russia, Prof Svetlana Kalinchenko, berkata TDS mungkin bersifat konjenital selain disebabkan faktor peningkatan usia.

“Walaupun TDS kerap dikaitkan dengan mati pucuk, sebenarnya ia memiliki kaitan dengan sindrom metabolik.

“TDS adalah komponen fundamental sindrom metabolik, iaitu sekumpulan risiko yang menyebabkan masalah jantung.

Antaranya termasuk obesiti dan masalah insulin,” katanya. Laporan terbaru menunjukkan terdapat perkaitan yang sangat jelas antara TDS dengan sindrom metabolik.

Kajian juga mendapati, lelaki obes yang berhadapan dengan sindrom metabolik memiliki tahap testosteron yang rendah berbanding lelaki sihat.

Mereka juga lebih berisiko untuk mati pucuk dan berhadapan dengan masalah koronari arteri.

Justeru, dengan kata mudah, lelaki yang mati pucuk bukan saja berhadapan dengan TDS tetapi juga beberapa masalah kesihatan lain seperti diabetes dan jantung.

“Lelaki yang berusia 40 tahun ke atas dan berhadapan dengan simptom TDS sepatutnya mendapatkan rawatan, apatah lagi jika mereka juga tergolong dalam kumpulan yang menghadapi sindrom metabolik,” katanya.

Secara umum, lelaki yang berhadapan dengan TDS akan mendapati tahap darah testosteron mereka adalah di bawah 10 nmol/L (tahap normal adalah antara 10 hingga 35 nmol/L). TDS juga menyebabkan tulang hilang kepadatannya yang kemudian menyebabkan masalah tulang rapuh. Bagaimanapun, tidak seperti menopaus, TDS tidak dialami oleh semua lelaki.

Rawatan TDS Kebanyakan matlamat utama rawatan TDS adalah menaikkan semula tahap testosteron. Seperti juga rawatan menopaus, TDS boleh diatasi dengan rawatan berbentuk gel, tampalan kulit, kapsul, implan dan suntikan.

Perlu juga diketahui kebanyakan lelaki yang berhadapan dengan mati pucuk juga akan berhadapan dengan masalah diabetes dan jantung.

Kebanyakan masalah ini berkongsi simptom yang sama dengan masalah TDS. Justeru, antara rawatan terbaru TDS yang terdapat di pasaran adalah rawatan menggunakan terapi pelbagai yang melegakan simptom mati pucuk tetapi pada masa yang sama memberi rawatan pada masalah hormon testosteron yang rendah.

Terapi berbentuk suntikan ini didatangkan dalam dua tindakan, jangka masa singkat yang perlu diulangi setiap dua atau tiga minggu manakala untuk terapi suntikan jangka panjang yang baru di pasaran, anda hanya perlu mendapatkan suntikan sekali dalam setiap tiga bulan.

Terapi terbaru ini dikenali sebagai Nebido® dan dibangunkan oleh Bayer Schering Pharma.

INFO: Simptom TDS
Murung
Gangguan tidur
Lesu dan penat
Kurang fokus
Hilang kekuatan otot.

No comments: