Thursday, April 17, 2008

Penggantian gigi tiruan













Implan dibuat daripada titanium, boleh sebati dengan tulang dan berfungsi sebagai penambat gigi

PERNAHKAH anda terfikir untuk menanam gigi baru bagi menggantikan gigi yang rosak?

Tidak kira sama ada kerosakan itu disebabkan kemalangan atau penyakit, inovasi bidang pergigian menjanjikan anda boleh memiliki senyuman menawan dengan susunan gigi yang sempurna. Presiden Persatuan Pergigian Implan Malaysia, Dr Firdaus Hanapiah, berkata implan gigi bukanlah kaedah baru, sebaliknya ia sudah diperkenalkan sejak 1960an.

Beliau berkata, implan gigi bermaksud penggantian akar gigi tiruan dan ia dirintis oleh Prof Per-Ingvar Brånemark dari Sweden. Katanya, Brånemark mendapati implan yang dibuat daripada titanium boleh sebati dengan tulang dan berfungsi sebagai penambat untuk gigi.

“Titanium yang bertindak sebagai implan dimasukkan ke dalam tulang gusi. Kini asas penciptaan Brånemark diperbaharui dan terdapat pelbagai jenis implan gigi yang boleh dipilih oleh pesakit,” katanya.

PROSES penanaman implan.

Berbanding dengan alternatif rawatan pergigian yang lain, implan gigi lebih kuat dan lasak. Ia juga berfungsi hampir menyamai gigi asal.

Oleh itu, ia adalah jawapan kepada masalah kehilangan gigi kekal. Dr Firdaus berkata, implan bukan saja boleh dipasang secara sendiri tetapi ia juga digunakan sebagai sokongan kepada kaedah pergigian terdahulu seperti jejambat gigi (bridge) atau bertindak menambah kestabilan gigi. Selain itu, katanya ia juga boleh berfungsi mengurangkan masalah tisu gusi.

“Ada beberapa jenis implan dan antara yang popular ialah implan menyerupai akar (root shape implant) dan implan satu keping (one piece implant),” katanya.

Dr Firdaus berkata, implan gigi tidak sama dengan gigi palsu, sebaliknya, implan yang diperbuat daripada titanium bertindak sebagai akar kepada gigi yang hilang. Ia akan ditanam dalam gusi sebelum gigi yang diperbuat daripada porselin dilekatkan di atasnya.

Katanya, selain bergantung kepada keadaan gigi pesakit dan kekuatan tulang bawah gusi, ada kalanya proses meletakkan implan dan gigi dilakukan beberapa bulan atau hari selepas gigi dicabut. Selepas implan ditanam, katanya pemasangan gigi akan dibuat beberapa ketika selepas itu dan sekali lagi ia bergantung pada kekuatan tulang bawah gusi pesakit.

Bagaimanapun, Dr Firdaus berkata, bagi pesakit yang memiliki tulang bawah gusi yang kuat, prosedur membabitkan penanaman dan pemasangan implan dan gigi dengan kadar segera boleh dilakukan.

Kaedah ini dikenali sebagai implan pasang segera (immediate loading procedure). Secara umum, pada peringkat antarabangsa, ada beberapa tempoh masa diberikan bagi menanam implan selepas gigi dicabut.

Antaranya:

Implan pasang segera selepas gigi dicabut

Pemasangan implan yang tertunda selepas gigi dicabut (Delayed immediate post-extraction implant placement) yang memakan masa antara dua minggu atau tiga bulan selepas dicabut.
Pemasangan implan lewat (tiga bulan selepas dicabut) Pesakit kadang kala tidak mahu menunggu lama untuk memasang implan selepas gigi dicabut, justeru implan pasang segera menjadi pilihan. Prosedur ini membolehkan implan ditanam dan gigi terus diletakkan di atas.

Prosedur ini banyak bergantung kepada beberapa faktor antaranya tulang gusi yang kuat untuk menampung implan dan porselin. Jika tulang gusi tidak kuat, ia tidak boleh dilakukan. Dr Firdaus berkata, tulang bawah gusi berfungsi untuk memegang implan dan jika tidak kuat atau nipis, ia tidak boleh menampung porselin sekali gus menyebabkan pecah.

“Kalau tulang bawah gusi memang tidak kuat, ia diperbaiki dengan menambah kekuatan tulang menggunakan tulang sintetik yang diambil daripada rahang atau pinggang pesakit,” katanya. Bagaimanapun, katanya bukan semua gigi boleh diganti dengan implan pasang segera.

Hanya gigi yang tidak memiliki gigitan yang kuat contohnya gigi depan saja boleh melalui prosedur ini. Katanya, prosedur penanaman implan tidak terhad kepada satu gigi saja. Malah, seseorang itu boleh memasang sehingga 11 implan dalam satu masa.

“Implan memiliki kekuatan yang sama dengan gigi asal. Ia boleh bertahan lama selagi kita menjaganya seperti mana penjagaan gigi biasa. Plak juga tidak mudah lekat kerana ia diperbuat daripada porselin, jadi ia licin,” katanya.

Dr Firdaus berkata, jika hanya satu batang gigi saja yang ingin diganti, prosedur implan satu keping menjadi pilihan. “Biasanya, implan ini dipasang jika hanya satu batang gigi saja yang rosak atau ia berulang kali berlubang yang tidak boleh dibetulkan atau gigi hanya tinggal tunggul.

Selalunya, prosedur ini menjadi pilihan mereka yang kemalangan jalan raya atau mengalami rahang pecah,” Mengenali proses implan

Diagnos atau imbasan seluruh gigi perlu dibuat bagi mendapatkan ukuran. Ini bagi mendapatkan ukuran panjang implan yang akan ditanam. Panjang implan adalah berdasarkan panjang akar gigi yang akan diganti. Biasanya akar gigi orang dewasa adalah antara lapan hingga 15 milimeter (mm) dengan lebar antara 3.3 mm hingga 6 mm.

Pesakit akan dibius menggunakan jenis bius setempat dan prosedur memasukkan implan mengambil masa 10 minit. Proses ini tidak menyakitkan. sementara gigi belum dipasang, satu alat khas dipasang bagi menutup permukaan implan. Gigi (crown) akan diletakkan di atas implan dalam masa dua bulan setengah (minimum). Kekurangan alternatif lain selain implan
Secara tradisionalnya kehilangan gigi akan digantikan dengan gigi palsu.

Bagaimanapun, gigi palsu tidak membolehkan pemakainya menggigit dengan kuat, mudah patah dan pecah. Satu lagi rutin gigi palsu yang mesti dipatuhi, ia perlu dibuka sebelum tidur bagi mengelak jangkitan.

Selain gigi palsu, alternatif yang ada adalah jejambat gigi (bridge) masalahnya, gigi di sebelah kiri dan kanan perlu dibetulkan bagi memudahkan proses menyangkut bridge. Masalahnya gigi yang elok juga perlu dipotong. INFO: Siapa yang boleh menggunakan implan gigi? Secara umum, mereka yang boleh memilih prosedur ini adalah;
Kehilangan sebatang atau lebih gigi.

Memiliki tulang bawah gusi yang kuat atau boleh melakukan prosedur graft tulang.
Berhadapan dengan trauma yang menyebabkan gigi rosak, patah atau mengalami penyakit kekurangan gigi sejak lahir (hypodontia)
Memiliki tisu mulut yang sihat

Tidak berhadapan dengan masalah kesihatan yang boleh mengugat proses penyembuhan tulang.

No comments: