PENCARIAN penawar menyembuhkan penyakit Parkinson memperlihatkan perkembangan positif dengan penyelidikan menggunakan sel stem dewasa.
Di Britain, saintis berjaya memprogram semula sel kulit tikus kepada sel stem. Sel itu kemudian ditanam dalam otak tikus. Kajian mendapati, prosedur itu membantu menyelesaikan beberapa simptom Parkinson. Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan, Persatuan Penyakit Parkinson United Kingdom, Dr Kieran Breen, berkata terapi sel stem menawarkan harapan dalam memperbaiki otak manusia yang diserang Parkinson.
Sehingga kini, katanya ia mungkin satu-satunya kaedah merawat Parkinson yang membolehkan pesakit memulakan hidup baru, bebas daripada simptom penyakit itu.
Sasaran terapi sel stem dalam rawatan Parkinson adalah menggantikan sel penghasilan dopamine (saraf penghantar yang memberi kesan pada pergerakan, emosi dan kapasiti perasaan dan kesakitan) yang mati dengan sel sihat. Ia akan mengembalikan bekalan dopamine sihat di dalam otak dan membolehkan kembali normal.
“Inilah kali pertama sel dewasa digunakan dengan berjaya bagi mengurangkan simptom Parkinson dalam ujian terhadap haiwan. Kejayaan ini adalah sesuatu yang positif,” katanya.
Penyelidikan mengenainya akan dilakukan dengan lebih lanjut atas dasar keselamatan.
Selain itu, bagi membolehkan proses itu dikendalikan dengan lebih efisien sebelum ia dilanjutkan kepada pesakit Parkinson Bagaimanapun, pembangunan terapi itu terlalu awal untuk diandaikan sama ada ia boleh membantu kejayaan rawatan terdahulu yang menggunakan sel stem embrio.
Beliau berkata, penyelidik akan meneruskan penyelidikan menggunakan semua jenis sel stem (sel dewasa, sel embrio dan sel embrio hibrid) bagi memastikan Parkinson dapat disembuhkan. Sebelum ini, satu lagi kaedah rawatan Parkinson dikaji menghasilkan tisu dopamine daripada embrio dan sebelum menanamnya dalam kawasan otak pesakit yang rosak.
Prof Steven Dunnett, seorang daripada penyelidik utama dalam penyelidikan itu berkata, ada beberapa kesan positif terhadap beberapa pesakit Parkinson yang terbabit dalam eksperimen berkenaan.
Oleh kerana isu etika, ia mungkin tidak akan dikomersialkan sebagai terapi umum. Bagaimanapun, kajian dan uji kaji membabitkan prosedur berkenaan menyaksikan penanaman sel yang betul boleh membantu pesakit. Sehingga kini, Parkinson, sejenis penyakit membabitkan penuaan otak dan kekacauan sistem saraf yang mempengaruhi pergerakan, kawalan otot serta keseimbangan yang berlaku secara perlahan-lahan, disebabkan kehilangan neuron pada otak.
Ada sekitar 12,000 pesakit Parkinson di seluruh negara, tetapi hanya segelintir saja yang mempunyai semangat yang kuat untuk terus bersosial dan tampil di khalayak. Yang lain hanya memencilkan diri kerana malu diperhatikan.
Terketar-ketar, sukar berdiri, pergerakan yang lambat, sukar tersenyum malah tidak mampu memegang cawan atau membutangkan baju antara ciri-ciri utama Parkinson. Buat masa ini, tiada ubat yang boleh menyembuhkan Parkinson, sebaliknya ia hanya boleh dikawal dengan pengambilan ubat-ubatan. Ubat-ubatan itu akan memulihkan pergerakan dan membantu tangan stabil (tidak menggeletar).
Bagaimanapun, pengambilannya membuatkan pesakit berhalusinasi dan keliru. Paling malang, dari setahun ke setahun gejala Parkinson tidak akan berkurang.
Namun, untuk tidak mengambil ubat bukan satu pilihan baik, kerana ia akan membuatkan pesakit tidak langsung mampu untuk bangun. Jika bernasib baik, pesakit masih mampu bercakap tetapi dengan suara yang hampir tidak kedengaran.
Sunday, April 20, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment