Wednesday, November 28, 2007

12.Vaksin MMR tangani masalah beguk


BEGUK boleh dicegah dengan suntikan MMR.
Imunisasi lengkap mampu cegah jangkitan paramyxovirus menerusi air liur, bersin

SATU ketika dulu, mungkin ibu bapa anda pernah menyapukan nila bercampur cuka di leher ketika zaman kanak-kanak anda untuk mengurangkan beguk yang dikenali sebagai bengkak cantik. Sebenarnya, anda tidak perlu berbuat perkara sama terhadap anak anda pada hari ini.

Beguk adalah antara masalah biasa dialami kanak-kanak yang berpunca daripada jangkitan virus beguk, iaitu ‘paramyxovirus’. Beguk disebarkan secara terus oleh pesakit menerusi air liur atau bersin.

Pakar Kanak-Kanak, Hospital Pusrawi Sdn Bhd, Dr Kamaruddin Ahmad, berkata satu ketika dulu beguk dianggap sebagai penyakit kanak-kanak yang tidak boleh dielakkan.

Bagaimanapun, katanya sejak vaksin beguk ditemui pada 1967, jumlah pesakitnya semakin berkurangan.

"Beguk adalah jangkitan virus kepada kelenjar air liur (kelenjar parotid). Kelenjar ini terletak di bawah telinga dan melepasi tulang rahang.

"Beguk tidak akan menjadi masalah jika ibu bapa melengkapkan jadual imunisasi anak. Ini kerana beguk boleh ditangani dengan vaksin MMR (beguk, campak dan rubela)," katanya.

Beliau berkata, berbanding kanak-kanak, orang dewasa akan lebih menderita jika diserang beguk.

"Beguk di kalangan remaja dan dewasa lelaki misalnya, mungkin boleh juga menyebabkan 'orchitis' atau radang pada buah zakar.

"Selalunya salah satu buah zakar akan membengkak dan sakit antara tujuh hingga 10 hari selepas kelenjar parotid bengkak. Ini diikuti dengan demam yang tinggi, menggigil, sakit kepala, sakit perut dan muntah," katanya.

Dr Kamaruddin berkata, selepas tiga atau tujuh hari, kesakitan, bengkak pada buah zakar dan demam akan hilang

"Ada juga kes, kedua-dua buah zakar membengkak. Kadangkala beguk boleh juga menjejaskan pankreas. Bagi wanita, beguk menyebabkan ovari dan sebahagian tempat di abdomen akan berasa sakit," katanya.

Beguk merebak menerusi air liur atau puing-puing kecil cecair apabila seseorang itu batuk atau bersin. Apabila berjangkit, seseorang itu hanya akan mengetahuinya selepas melalui proses inkubasi antara tujuh hari sebelum atau 10 hari selepas kelenjar pertama membengkak.

Simptom

Simptom muncul selepas 14 atau 24 hari selepas pendedahan kepada virus. Ia akan dimulai dengan demam, keletihan, tubuh menggigil dan kelenjar parotid yang membengkak serta sakit. Selalunya hanya satu kelenjar saja akan membengkak dan kadangkala kedua-duanya.

Kelenjar yang bengkak menyukarkan pesakit untuk membuka mulut, bercakap, makan dan minum. Biasanya bengkak pada kelenjar itu sama saja di antara pesakit menyebabkan ia mudah dikenali. Kanak-kanak mungkin akan mengadu susah untuk makan dan minum, gatal telinga dan kadangkala sakit perut.

Ada kalanya simptom yang minimum menyebabkan jangkitan yang berlaku tidak disedari.

Komplikasi beguk bermula seminggu selepas simptom muncul. Data yang diperoleh dari Britain mendapati tanpa vaksin MMR (beguk, campak dan rubela), satu daripada 10 kes boleh berhadapan dengan komplikasi meningitis manakala satu dalam 5,000 berhadapan dengan radang otak.

Simptom lain termasuk:

Sakit kepala

Tengkuk yang terasa tegang

Muntah dan tidak suka melihat cahaya

Hilang pendengaran mungkin juga satu simptom tetapi ia biasanya membabitkan sebelah telinga saja dan bersifat sementara.

Dengan semua simptom dan komplikasi, kebanyakan kanak-kanak yang pulih sepenuhnya daripada beguk tidak akan berhadapan dengan masalah jangka panjang.

Rawatan

Mungkin ibu bapa percaya campuran nila dan cuka boleh mengubati beguk. Sebenarnya, ia bukan kaedah terbaik kerana nila bercampur cuka tidak berupaya menghilangkan bengkak, ia sekadar menyejukkan tubuh yang panas. Justeru, penting untuk membawa anak berjumpa doktor untuk mengesahkan diagnosis.

Disebabkan beguk adalah jangkitan virus, antibiotik tidak banyak membantu, sebaliknya kanak-kanak mungkin boleh dirawat di rumah dengan ubat pengurang sakit.

Beri mereka banyak minum air tetapi elakkan jus buah-buah kerana ia boleh menstimulasi kelenjar parotid menghasilkan lebih banyak air liur, selain menambah kesakitan anak.

Bengkak pada kelenjar parotid akan membesar dalam tempoh dua atau tiga hari tetapi akan surut selepas itu dan suhu badan yang panas juga akan turun. Selalunya ubat tahan sakit akan membantu mengurangkan ketegangan otot dan mengurangkan kesakitan yang disebabkan kelenjar parotid yang bengkak.

Rujuk anak segera kepada doktor jika terjadinya simptom meningitis atau radang otak.

Bagaimana mengelak beguk?

Tentu saja mematuhi jadual imunisasi anak anda. Selalunya ia diberi ketika anak berusia setahun dan dos tambahan (booster) akan diberi pada usia anak tiga dan lima tahun. Vaksin memberi perlindungan sepanjang usia.

Vaksin beguk

Beberapa jenis vaksin beguk mula digunakan sejak 1949 manakala 10 'strains' sudah digunakan pada 2006.

Vaksin pertama yang disifatkan berupaya ‘membunuh’ virus beguk dihasilkan pada 1948. Ia digunakan di Amerika dari 1950 hingga 1978. Vaksin ini dikatakan menghasilkan memori imun yang sedikit.

Hari ini di pasaran ada pelbagai jenis vaksin beguk diperkenalkan. Sebagai contoh di Amerika, vaksin beguk adalah vaksin campuran manakala di Britain, ramai yang lebih suka mengambil vaksin beguk sebagai satu imunisasi.

No comments: