Sunday, November 18, 2007

2. Lindungilah anak daripada diabetes

Oleh: PROF. EMERITUS DATUK MUSTAFFA EMBONG (Pakar Perunding Diabetes, Institut Diabetes Negara (NADI)

JIKA selama ini anda menyangka bahawa hanya orang dewasa sahaja yang boleh menderita akibat penyakit diabetes, maka ini salah sangkaan anda. Kanak-kanak dan remaja juga boleh menghidap diabetes.

Sebenarnya, diabetes merupakan satu daripada penyakit kronik paling lazim pada usia kanak-kanak dan ia boleh berlaku pada kanak-kanak pada semua peringkat umur, termasuk kanak-kanak bertatih dan juga bayi.

Kini, diabetes merupakan ancaman yang serius terhadap kanak-kanak dan atas sebab itulah Diabetes di kalangan Kanak-kanak dan Remaja dipilih sebagai tema Hari Diabetes Sedunia pada tahun ini.

Ia bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran orang ramai tentang masalah yang kian mengancam ini. Bilangan kanak-kanak yang menderita akibat epidemik global ini semakin meningkat setiap tahun.

International Diabetes Federation (IDF) telah menganggarkan prevalens penyakit diabetes jenis 1 sedang meningkat sebanyak 3 peratus setahun di kalangan kanak-kanak serta remaja dan 5 peratus di kalangan kanak- kanak prasekolah.

IDF juga telah menganggar seramai 70,000 anak-anak muda di bawah usia 15 tahun akan menghidap diabetes jenis 1 setiap tahun. Jumlah ini adalah bersamaan dengan 200 orang kanak-kanak setiap hari.

Dan, daripada 440,000 kes diabetes di kalangan kanak-kanak di seluruh dunia, lebih daripada satu perempat merupakan kanak- kanak yang tinggal di Asia Tenggara.

Diabetes jenis 2 yang pada suatu ketika dahulunya dianggap sebagai penyakit orang dewasa, kini sedang meningkat pada kadar yang membimbangkan di kalangan kanak- kanak dan juga remaja.

Contohnya, bilangan kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 2 di negara Jepun telah bertambah sebanyak dua kali ganda dalam masa 20 tahun. Ini menjadikan diabetes jenis 2 lebih lazim di kalangan kanak-kanak Jepun berbanding dengan jenis 1.

Walaupun setelah pelbagai penyelidikan mendalam telah dijalankan, namun punca sebenar penyakit diabetes masih belum dapat dipastikan.

Bertentangan dengan kepercayaan ramai, diabetes sebenarnya bukan berpunca akibat daripada memakan terlalu banyak gula (walaupun pengambilan makanan berkarbohidrat yang terlalu banyak mungkin akan menyebabkan obesiti, iaitu suatu keadaan yang biasanya dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit diabetes jenis 2).

Gen-gen anda juga ada berkaitan tetapi setakat mana pentingnya peranan mereka masih belum lagi dapat dipastikan. Apa yang pasti adalah diabetes tidak hanya berpunca daripada gen sahaja.

Sebenarnya, ramai penghidap diabetes jenis 1 langsung tidak mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidap diabetes. Pengaruh genetik adalah lebih kuat bagi diabetes jenis 2.

Sebagai contoh, mereka yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap diabetes jenis ini akan berisiko lebih tinggi untuk menghidapinya juga. Walau bagaimanapun, anda perlu ingat bahawa ia bukan satu-satunya faktor penyebab diabetes.

Gaya hidup seseorang juga merupakan faktor yang utama. Faktor risiko gaya hidup bagi diabetes jenis 2 termasuklah mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif secara fizikal dan pengamalan tabiat makan yang tidak sihat.

Diabetes dan kesannya terhadap kanak- kanak

Diabetes menjejaskan keupayaan badan untuk menghasil atau bertindak dengan baik terhadap insulin, sejenis hormon yang membenarkan glukosa darah memasuki sel-sel badan dan digunakan untuk tenaga.

Mereka yang menghidap diabetes tidak mempunyai insulin yang mencukupi atau tubuh mereka tidak boleh menggunakan insulin seperti yang sepatutnya.

Terdapat dua kategori diabetes yang utama: Jenis 1 yang biasanya berlaku pada usia kanak-kanak atau remaja, dan jenis 2 yang lebih lazim berlaku dalam kumpulan umur yang lebih tua.

Walau bagaimanapun, dengan peningkatan gaya hidup yang tidak sihat, lebih ramai kanak-kanak serta remaja hari ini telah didiagnosis dengan diabetes jenis 2 dan pada usia yang lebih muda.

Kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 1 memerlukan suntikan insulin setiap hari kerana pankreas mereka hanya mampu menghasilkan insulin yang sedikit atau langsung tidak boleh menghasilkannya.

Bagi mereka yang menghidap diabetes jenis 2 pula, pankreas mereka masih boleh menghasilkan insulin tetapi ia tidak mencukupi atau hormon tersebut tidak dapat berfungsi dengan baik.

Mereka yang menghidap diabetes jenis 2 boleh mengawalnya dengan menurunkan berat badan (jika terlebih berat badan atau obes), menukar diet kepada yang lebih sihat serta meningkatkan aktiviti fizikal.

Sesetengah daripada mereka juga mungkin perlu mengambil ubat-ubatan, termasuk insulin.

Diabetes mempunyai kesan mental dan juga fizikal yang lebih mendalam terhadap kanak-kanak berbanding orang dewasa.

Ini adalah kerana mereka akan mendapati bahawa aktiviti-aktiviti mereka akan terganggu kerana perlu kerap mengambil ubat-ubatan, terpaksa mengawasi makanan serta aktiviti fizikal mereka dan juga memantau paras glukosa darah untuk memastikan ia sentiasa berada dalam lingkungan sasaran.

Kanak-kanak yang mempunyai diabetes yang tidak dikawal dengan baik mungkin tidak mempunyai tenaga untuk menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran mereka.

Kekurangan tenaga ini, digandingkan pula dengan keletihan serta kejengkelan yang sering dirasai akibat terpaksa bergantung kepada suntikan insulin dan rasa kerap ingin membuang air kecil boleh menjejaskan pergaulan mereka bersama rakan-rakan atau melibat diri dalam aktiviti yang lazim dilakukan oleh kanak-kanak seusia.

Ia juga boleh menyebabkan mereka rasa keseorangan atau berasa berbeza daripada kanak-kanak lain.

Adakah anak anda berisiko?

Adakah anda tahu sama ada anak anda berisiko untuk menghidap diabetes? Jika anda kurang pasti, lihatlah senarai semak ini untuk mengetahui jika anda perlu bimbang tentang kesihatan anak kecil anda.

* Adakah anda menghidap diabetes, atau adakah anda mempunyai ahli keluarga terdekat lain (pasangan, ibu bapa dan adik- beradik) yang menghidap diabetes?

* Adakah anak anda mempunyai berat badan berlebihan atau obes?

* Adakah anak anda mengambil diet yang tidak sihat, yang banyak lemak serta kurang serat dan secara tidak pula aktif secara fizikal?

Semua soalan di atas merupakan faktor- faktor risiko diabetes. Jika anda telah menjawab ya untuk salah satu daripada soalan di atas, maka anak anda mungkin berisiko menghidap diabetes.

Apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa?

Walaupun masih tiada strategi-strategi efektif yang mampu untuk mengelakkan dari berlakunya diabetes jenis 1, namun masih ada berita baik: Anda boleh mencegah atau mengurangkan risiko diabetes jenis 2 daripada dihidapi oleh anak anda.

Yang paling penting ialah untuk memastikan anak-anak anda menjalani gaya hidup sihat. Ini bermakna mereka perlu menjaga berat badan serta diet mereka dan memastikan yang mereka sentiasa aktif secara fizikal dan kerap bersenam.

Kebanyakan kanak-kanak yang mempunyai diabetes jenis 2 mempunyai berat badan yang berlebihan daripada berat yang sepatutnya.

Jadi, jika anak-anak anda mempunyai berat badan yang berlebihan, maka bantulah mereka untuk mengurangkan berat badan dengan menggalakkan mereka mengambil diet yang sihat serta seimbang.

Sebagai contoh, hadkan pengambilan makanan segera dan snek bergula (atau bergaram); pastikan mereka makan dalam hidangan-hidangan yang lebih kecil; serta kurangkan pengambilan minuman manis berkarbonat, soda serta jus-jus dalam tin.

Sebaliknya, galakkan mereka untuk makan secara sihat serta pastikan mereka banyak memakan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Kurangkan masa yang diluangkan oleh anak-anak anda untuk menonton televisyen atau bermain dengan komputer. Sebaliknya, galakkan mereka untuk bermain secara aktif serta lakukan banyak senaman di luar rumah.

Aktiviti fizikal akan menurunkan glukosa darah, tekanan darah serta paras kolesterol. Ia juga akan mengurangkan tekanan serta menguatkan jantung, otot-otot dan juga tulang.

Senaman secara kerap juga sangat efektif untuk melancarkan peredaran darah dan memastikan sendi-sendi sentiasa lentur.

Jangan pula tidak berbincang langsung dengan anak-anak anda tentang diabetes. Berikan mereka penerangan yang jelas tentang penyakit ini dan bagaimana ia akan menjejas kehidupan mereka jika mereka menghidapinya.

Bercakaplah dengan mereka tentang betapa pentingnya memakan makanan yang betul dalam kuantiti yang sihat. Terangkan khasiat baik jika mereka menjadi lebih aktif secara fizikal dan kerap bersenam.

Ingatlah bahawa lebih banyak anak-anak anda mengetahui tentang penyakit ini, maka berkemungkinan besar mereka akan lebih cenderung untuk mengamalkan tabiat sihat yang akan berkekalan sepanjang hayat mereka.

Bantulah mereka menghindar dari penyakit diabetes.

Majalah hidup sihat yang pertama untuk penghidap diabetes di Malaysia!

Diterbitkan tiga sekali setahun, majalah Nadi Diabetes memaparkan tunjuk ajar dan panduan- panduan daripada pakar diabetes serta pengalaman pahit manis yang dialami oleh pesakit diabetes lain.

Untuk mendapatkan naskhah PERCUMA anda, hantarkan satu sampul surat (berukuran 30sm x 22sm atau lebih) bertuliskan alamat surat-menyurat anda bersertakan setem RM1.00 (berbayar sendiri).

Majalah yang diterbitkan dalam bahasa Malaysia dan bahasa Cina ini akan diposkan ke alamat tertera dalam masa empat minggu dari tarikh penerimaan permohonan anda.

Hantarkan permohonan ke Institut Diabetes Negara (NADI) di alamat: No1, Jalan SS3/50, 47300 Petaling Jaya, Selangor.

- ARTIKEL ini adalah sumbangan program Menangani Wabak Diabetes (FAD) Fasa 2 yang dianjurkan oleh Institut Diabetes Negara (NADI) dengan usaha sama Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Dietitian Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia.

Program Fasa 2 FAD ini disokong dengan geran pendidikan tanpa syarat daripada Taj Mahal Rice for Life programme, Gardenia Breakthru Bread dan Abbott Diabetes Care, satu bahagian dari Syarikat Abbott Laboratories Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi NADI di talian: 03-78761676.

No comments: