JIKA anak perempuan anda menjerit mengenai jerawat pada wajahnya, anda patut tahu ia adalah sebahagian perkara biasa mencecah usia akil baligh.
Jerawat adalah radang pada kulit yang menyebabkan bintik hitam, bintik putih dan kadangkala kutil-kutil kemerahan. Jenis jerawat yang paling biasa ialah ‘acne vulgaris’ (vulgaris bermaksud biasa).
Radang kulit ini selalunya tumbuh pada muka dan kadangkala dada, belakang serta lengan. Jerawat menjejaskan sekitar 90 peratus remaja selain antara 20 hingga 30 peratus individu berusia antara 20 hingga 40 tahun. Malah, jerawat adalah penyebab utama kebanyakan orang yang mengalaminya bertemu pakar kulit.
Apabila anak perempuan anda menjerit mengenai jerawat pada wajahnya, tenangkan dia kerana jerawat bukanlah masalah mengancam nyawa. Ia hanya sedikit mengecewakan selain jerawat mungkin boleh membawa kepada parut kekal.
Selain itu, anda juga perlu tahu, kecenderungan untuk berhadapan dengan masalah jerawat dikaitkan dengan faktor genetik. Justeru, masalah jerawat lebih biasa ditemui di kalangan bangsa Eropah berbanding Asia atau keturunan Afrika.
Sebab Terjadinya Jerawat
a) Kelenjar mengeluarkan minyak
Jerawat terjadi kerana kelenjar mengeluarkan minyak menjadi terlalu aktif. Kelenjar ini biasanya menghasilkan hanya sejumlah kecil minyak (sebum) yang juga adalah satu campuran mintak dan sel kulit. Apabila seseorang itu ada jerawat, kelenjar ini akan menghasilkan sebum dengan lebih banyak untuk menyekat bakteria.
b) Pengaruh hormon
Hormon juga boleh menyebabkan jerawat atau menambah jumlah jerawat sedia ada. Hormon yang aktif ketika anak akil baligh juga mensasarkan kelenjar pengeluaran minyak (kelenjar sebaceous) untuk menghasilkan lebih banyak sebum. Hormon yang bertindak dengan kelenjar minyak adalah hormon androgen. Lelaki dan wanita memiliki hormon ini, tetapi lelaki memilikinya dengan lebih banyak.
Bagi anak gadis, hormon ini juga boleh menyebabkan jerawat terutama ketika pusingan haid. Ini kerana wanita jarang mengalami masalah jerawat hingga dewasa. Kadangkala hormon yang menjadi sebahagian kandungan pil perancang kehamilan juga boleh menyebabkan jerawat.
c) Makanan ringan
Memakan makanan ringan dan coklat selalunya tiada kaitan dengan jerawat. Bagaimanapun, dalam kes-kes tertentu, ada sesetengah makanan yang boleh menyebabkan jerawat. Kulit yang berminyak juga tidak merangsang jerawat tumbuh. Ia tanda kelenjar yang terlebih aktif. Ada kajian mendapati tekanan akan memburukkan lagi keadaan.
Selain itu, ada juga faktor lain yang menyebabkan jerawat antaranya mengesat atau menggosok muka dengan pakaian yang tidak bersih, penggunaan kosmetik tertentu dan pendedahan kulit pada suhu yang ekstrem.
Bagaimana mencegah dan merawat jerawat?
Basuh wajah tidak lebih daripada dua kali sehari dengan pembersih muka
Jangan picit jerawat
Elak menggosok muka dengan kuat atau menggunakan pembersih muka yang mengeringkan wajah
Jangan guna sabun anti bakteria - ia tidak membantu mencegah jerawat
Gunakan tuala yang sesuai dan bersih untuk mengeringkan wajah
Hati-hati dengan penggunaan barangan kosmetik
Jangan biar tubuh basah dengan peluh dan berminyak-minyak terlalu lama
Wednesday, November 28, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment