Sunday, April 20, 2008

Ketawa baik untuk kesihatan

PELAJAR cenderung alami selesema dalam tempoh sebelum dan ketika peperiksaan. Ketidaktentuan dalam perhubungan juga boleh memberi tekanan mental dan menyebabkan selesema. Ini kerana tekanan mental dan ketidakbahagian boleh melemahkan sistem kekebalan anda.

Pada hujung lain spektrum yang sama, kebahagiaan dan perasaan sihat sejahtera boleh memperkukuhkannya. Satu kajian di Jerman mendapati bahawa orang yang sering mengalami perasaan putus harapan dan permusuhan lebih cenderung menghidap penyakit jantung dan barah.

Satu kajian di Finland menunjukkan bahawa orang yang mempunyai keluarga bahagia dan interaksi sosial, kurang risiko mati kerana penyakit tertentu. Implikasinya ialah bahawa kebahagiaan menyihatkan anda, tetapi persoalannya adalah bagaimana untuk membahagiakan diri anda?

Pertama, anda mesti tahu maksud kebahagiaan itu. Kebahagiaan datang daripada dalam diri kita. Kebahagiaan bukannya sesuatu yang ketara yang boleh anda ambil daripada orang lain atau boleh dibeli. Kebahagiaan bukannya sesuatu yang boleh diberi kepada anda oleh orang lain.

Kedua, anda tidak boleh menunggu kebahagiaan itu datang kepada anda. Anda mesti memutuskan bila anda hendak berasa bahagia.

Ketiga, hanya anda dapat membahagiakan diri anda. Ini kerana anda yang menyimpan perasaan anda. Maka anda perlu mendorong diri anda untuk berasa bahagia. Buat sesuatu yang anda gemari, pergi berjalan-jalan, makan makanan kesukaan anda, telefonlah kawan anda. Berkongsilah dalam kegembiraan dan kebahagiaan kawan dan orang kesayangan anda.

Ketawa demi kesihatan. Kata orang, gelak ketawa itu adalah penawar yang paling mujarab. Gelak ketawa itu juga adalah cara yang baik untuk mendorong diri anda berasa bahagia. Gelak ketawa adalah baik untuk kesihatan kerana gelak ketawa itu mengurangkan tekanan mental dan menggerakkan kesemua organ dalaman anda. Penggunaan gelak ketawa untuk menyembuhkan tercatat sejak zaman Greece kuno lagi. Pada 1991, Klinik Ketawa pertama ditubuhkan di Britan. Jika kita merentas dunia, puak di Afrika dan di hutan khatulistiwa di Amerika Selatan menggunakan gelak ketawa sebagai alat untuk menyembuhkan.

Terapi sel stem kaedah rawat Parkinson

PENCARIAN penawar menyembuhkan penyakit Parkinson memperlihatkan perkembangan positif dengan penyelidikan menggunakan sel stem dewasa.

Di Britain, saintis berjaya memprogram semula sel kulit tikus kepada sel stem. Sel itu kemudian ditanam dalam otak tikus. Kajian mendapati, prosedur itu membantu menyelesaikan beberapa simptom Parkinson. Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan, Persatuan Penyakit Parkinson United Kingdom, Dr Kieran Breen, berkata terapi sel stem menawarkan harapan dalam memperbaiki otak manusia yang diserang Parkinson.

Sehingga kini, katanya ia mungkin satu-satunya kaedah merawat Parkinson yang membolehkan pesakit memulakan hidup baru, bebas daripada simptom penyakit itu.

Sasaran terapi sel stem dalam rawatan Parkinson adalah menggantikan sel penghasilan dopamine (saraf penghantar yang memberi kesan pada pergerakan, emosi dan kapasiti perasaan dan kesakitan) yang mati dengan sel sihat. Ia akan mengembalikan bekalan dopamine sihat di dalam otak dan membolehkan kembali normal.

“Inilah kali pertama sel dewasa digunakan dengan berjaya bagi mengurangkan simptom Parkinson dalam ujian terhadap haiwan. Kejayaan ini adalah sesuatu yang positif,” katanya.
Penyelidikan mengenainya akan dilakukan dengan lebih lanjut atas dasar keselamatan.

Selain itu, bagi membolehkan proses itu dikendalikan dengan lebih efisien sebelum ia dilanjutkan kepada pesakit Parkinson Bagaimanapun, pembangunan terapi itu terlalu awal untuk diandaikan sama ada ia boleh membantu kejayaan rawatan terdahulu yang menggunakan sel stem embrio.

Beliau berkata, penyelidik akan meneruskan penyelidikan menggunakan semua jenis sel stem (sel dewasa, sel embrio dan sel embrio hibrid) bagi memastikan Parkinson dapat disembuhkan. Sebelum ini, satu lagi kaedah rawatan Parkinson dikaji menghasilkan tisu dopamine daripada embrio dan sebelum menanamnya dalam kawasan otak pesakit yang rosak.

Prof Steven Dunnett, seorang daripada penyelidik utama dalam penyelidikan itu berkata, ada beberapa kesan positif terhadap beberapa pesakit Parkinson yang terbabit dalam eksperimen berkenaan.

Oleh kerana isu etika, ia mungkin tidak akan dikomersialkan sebagai terapi umum. Bagaimanapun, kajian dan uji kaji membabitkan prosedur berkenaan menyaksikan penanaman sel yang betul boleh membantu pesakit. Sehingga kini, Parkinson, sejenis penyakit membabitkan penuaan otak dan kekacauan sistem saraf yang mempengaruhi pergerakan, kawalan otot serta keseimbangan yang berlaku secara perlahan-lahan, disebabkan kehilangan neuron pada otak.

Ada sekitar 12,000 pesakit Parkinson di seluruh negara, tetapi hanya segelintir saja yang mempunyai semangat yang kuat untuk terus bersosial dan tampil di khalayak. Yang lain hanya memencilkan diri kerana malu diperhatikan.

Terketar-ketar, sukar berdiri, pergerakan yang lambat, sukar tersenyum malah tidak mampu memegang cawan atau membutangkan baju antara ciri-ciri utama Parkinson. Buat masa ini, tiada ubat yang boleh menyembuhkan Parkinson, sebaliknya ia hanya boleh dikawal dengan pengambilan ubat-ubatan. Ubat-ubatan itu akan memulihkan pergerakan dan membantu tangan stabil (tidak menggeletar).

Bagaimanapun, pengambilannya membuatkan pesakit berhalusinasi dan keliru. Paling malang, dari setahun ke setahun gejala Parkinson tidak akan berkurang.

Namun, untuk tidak mengambil ubat bukan satu pilihan baik, kerana ia akan membuatkan pesakit tidak langsung mampu untuk bangun. Jika bernasib baik, pesakit masih mampu bercakap tetapi dengan suara yang hampir tidak kedengaran.

Thursday, April 17, 2008

Penggantian gigi tiruan













Implan dibuat daripada titanium, boleh sebati dengan tulang dan berfungsi sebagai penambat gigi

PERNAHKAH anda terfikir untuk menanam gigi baru bagi menggantikan gigi yang rosak?

Tidak kira sama ada kerosakan itu disebabkan kemalangan atau penyakit, inovasi bidang pergigian menjanjikan anda boleh memiliki senyuman menawan dengan susunan gigi yang sempurna. Presiden Persatuan Pergigian Implan Malaysia, Dr Firdaus Hanapiah, berkata implan gigi bukanlah kaedah baru, sebaliknya ia sudah diperkenalkan sejak 1960an.

Beliau berkata, implan gigi bermaksud penggantian akar gigi tiruan dan ia dirintis oleh Prof Per-Ingvar Brånemark dari Sweden. Katanya, Brånemark mendapati implan yang dibuat daripada titanium boleh sebati dengan tulang dan berfungsi sebagai penambat untuk gigi.

“Titanium yang bertindak sebagai implan dimasukkan ke dalam tulang gusi. Kini asas penciptaan Brånemark diperbaharui dan terdapat pelbagai jenis implan gigi yang boleh dipilih oleh pesakit,” katanya.

PROSES penanaman implan.

Berbanding dengan alternatif rawatan pergigian yang lain, implan gigi lebih kuat dan lasak. Ia juga berfungsi hampir menyamai gigi asal.

Oleh itu, ia adalah jawapan kepada masalah kehilangan gigi kekal. Dr Firdaus berkata, implan bukan saja boleh dipasang secara sendiri tetapi ia juga digunakan sebagai sokongan kepada kaedah pergigian terdahulu seperti jejambat gigi (bridge) atau bertindak menambah kestabilan gigi. Selain itu, katanya ia juga boleh berfungsi mengurangkan masalah tisu gusi.

“Ada beberapa jenis implan dan antara yang popular ialah implan menyerupai akar (root shape implant) dan implan satu keping (one piece implant),” katanya.

Dr Firdaus berkata, implan gigi tidak sama dengan gigi palsu, sebaliknya, implan yang diperbuat daripada titanium bertindak sebagai akar kepada gigi yang hilang. Ia akan ditanam dalam gusi sebelum gigi yang diperbuat daripada porselin dilekatkan di atasnya.

Katanya, selain bergantung kepada keadaan gigi pesakit dan kekuatan tulang bawah gusi, ada kalanya proses meletakkan implan dan gigi dilakukan beberapa bulan atau hari selepas gigi dicabut. Selepas implan ditanam, katanya pemasangan gigi akan dibuat beberapa ketika selepas itu dan sekali lagi ia bergantung pada kekuatan tulang bawah gusi pesakit.

Bagaimanapun, Dr Firdaus berkata, bagi pesakit yang memiliki tulang bawah gusi yang kuat, prosedur membabitkan penanaman dan pemasangan implan dan gigi dengan kadar segera boleh dilakukan.

Kaedah ini dikenali sebagai implan pasang segera (immediate loading procedure). Secara umum, pada peringkat antarabangsa, ada beberapa tempoh masa diberikan bagi menanam implan selepas gigi dicabut.

Antaranya:

Implan pasang segera selepas gigi dicabut

Pemasangan implan yang tertunda selepas gigi dicabut (Delayed immediate post-extraction implant placement) yang memakan masa antara dua minggu atau tiga bulan selepas dicabut.
Pemasangan implan lewat (tiga bulan selepas dicabut) Pesakit kadang kala tidak mahu menunggu lama untuk memasang implan selepas gigi dicabut, justeru implan pasang segera menjadi pilihan. Prosedur ini membolehkan implan ditanam dan gigi terus diletakkan di atas.

Prosedur ini banyak bergantung kepada beberapa faktor antaranya tulang gusi yang kuat untuk menampung implan dan porselin. Jika tulang gusi tidak kuat, ia tidak boleh dilakukan. Dr Firdaus berkata, tulang bawah gusi berfungsi untuk memegang implan dan jika tidak kuat atau nipis, ia tidak boleh menampung porselin sekali gus menyebabkan pecah.

“Kalau tulang bawah gusi memang tidak kuat, ia diperbaiki dengan menambah kekuatan tulang menggunakan tulang sintetik yang diambil daripada rahang atau pinggang pesakit,” katanya. Bagaimanapun, katanya bukan semua gigi boleh diganti dengan implan pasang segera.

Hanya gigi yang tidak memiliki gigitan yang kuat contohnya gigi depan saja boleh melalui prosedur ini. Katanya, prosedur penanaman implan tidak terhad kepada satu gigi saja. Malah, seseorang itu boleh memasang sehingga 11 implan dalam satu masa.

“Implan memiliki kekuatan yang sama dengan gigi asal. Ia boleh bertahan lama selagi kita menjaganya seperti mana penjagaan gigi biasa. Plak juga tidak mudah lekat kerana ia diperbuat daripada porselin, jadi ia licin,” katanya.

Dr Firdaus berkata, jika hanya satu batang gigi saja yang ingin diganti, prosedur implan satu keping menjadi pilihan. “Biasanya, implan ini dipasang jika hanya satu batang gigi saja yang rosak atau ia berulang kali berlubang yang tidak boleh dibetulkan atau gigi hanya tinggal tunggul.

Selalunya, prosedur ini menjadi pilihan mereka yang kemalangan jalan raya atau mengalami rahang pecah,” Mengenali proses implan

Diagnos atau imbasan seluruh gigi perlu dibuat bagi mendapatkan ukuran. Ini bagi mendapatkan ukuran panjang implan yang akan ditanam. Panjang implan adalah berdasarkan panjang akar gigi yang akan diganti. Biasanya akar gigi orang dewasa adalah antara lapan hingga 15 milimeter (mm) dengan lebar antara 3.3 mm hingga 6 mm.

Pesakit akan dibius menggunakan jenis bius setempat dan prosedur memasukkan implan mengambil masa 10 minit. Proses ini tidak menyakitkan. sementara gigi belum dipasang, satu alat khas dipasang bagi menutup permukaan implan. Gigi (crown) akan diletakkan di atas implan dalam masa dua bulan setengah (minimum). Kekurangan alternatif lain selain implan
Secara tradisionalnya kehilangan gigi akan digantikan dengan gigi palsu.

Bagaimanapun, gigi palsu tidak membolehkan pemakainya menggigit dengan kuat, mudah patah dan pecah. Satu lagi rutin gigi palsu yang mesti dipatuhi, ia perlu dibuka sebelum tidur bagi mengelak jangkitan.

Selain gigi palsu, alternatif yang ada adalah jejambat gigi (bridge) masalahnya, gigi di sebelah kiri dan kanan perlu dibetulkan bagi memudahkan proses menyangkut bridge. Masalahnya gigi yang elok juga perlu dipotong. INFO: Siapa yang boleh menggunakan implan gigi? Secara umum, mereka yang boleh memilih prosedur ini adalah;
Kehilangan sebatang atau lebih gigi.

Memiliki tulang bawah gusi yang kuat atau boleh melakukan prosedur graft tulang.
Berhadapan dengan trauma yang menyebabkan gigi rosak, patah atau mengalami penyakit kekurangan gigi sejak lahir (hypodontia)
Memiliki tisu mulut yang sihat

Tidak berhadapan dengan masalah kesihatan yang boleh mengugat proses penyembuhan tulang.

Kurang testosteron punca mati pucuk

SINDROM kekurangan testosteron (TDS) memang menghantui lelaki.

Selain mengalami resah gelisah, letih, peningkatan berat badan dan murung, TDS juga membawa masalah yang paling ditakuti, iaitu mati pucuk.

TDS berpunca daripada kurangnya jumlah testosteron yang terhasil dan ia menyebabkan lelaki hilang beberapa ciri kelelakian seperti kurang berminat dengan seks, penampilan fizikal (tiada lagi tubuh berotot) serta hilang keyakinan diri.

Kajian menunjukkan seorang daripada lima lelaki yang berhadapan dengan masalah mati pucuk memiliki tahap testosteron yang rendah.

Ketua Jabatan Andrologi dan Urologi, Pusat Penyelidikan Endokrinologi Russia, Prof Svetlana Kalinchenko, berkata TDS mungkin bersifat konjenital selain disebabkan faktor peningkatan usia.

“Walaupun TDS kerap dikaitkan dengan mati pucuk, sebenarnya ia memiliki kaitan dengan sindrom metabolik.

“TDS adalah komponen fundamental sindrom metabolik, iaitu sekumpulan risiko yang menyebabkan masalah jantung.

Antaranya termasuk obesiti dan masalah insulin,” katanya. Laporan terbaru menunjukkan terdapat perkaitan yang sangat jelas antara TDS dengan sindrom metabolik.

Kajian juga mendapati, lelaki obes yang berhadapan dengan sindrom metabolik memiliki tahap testosteron yang rendah berbanding lelaki sihat.

Mereka juga lebih berisiko untuk mati pucuk dan berhadapan dengan masalah koronari arteri.

Justeru, dengan kata mudah, lelaki yang mati pucuk bukan saja berhadapan dengan TDS tetapi juga beberapa masalah kesihatan lain seperti diabetes dan jantung.

“Lelaki yang berusia 40 tahun ke atas dan berhadapan dengan simptom TDS sepatutnya mendapatkan rawatan, apatah lagi jika mereka juga tergolong dalam kumpulan yang menghadapi sindrom metabolik,” katanya.

Secara umum, lelaki yang berhadapan dengan TDS akan mendapati tahap darah testosteron mereka adalah di bawah 10 nmol/L (tahap normal adalah antara 10 hingga 35 nmol/L). TDS juga menyebabkan tulang hilang kepadatannya yang kemudian menyebabkan masalah tulang rapuh. Bagaimanapun, tidak seperti menopaus, TDS tidak dialami oleh semua lelaki.

Rawatan TDS Kebanyakan matlamat utama rawatan TDS adalah menaikkan semula tahap testosteron. Seperti juga rawatan menopaus, TDS boleh diatasi dengan rawatan berbentuk gel, tampalan kulit, kapsul, implan dan suntikan.

Perlu juga diketahui kebanyakan lelaki yang berhadapan dengan mati pucuk juga akan berhadapan dengan masalah diabetes dan jantung.

Kebanyakan masalah ini berkongsi simptom yang sama dengan masalah TDS. Justeru, antara rawatan terbaru TDS yang terdapat di pasaran adalah rawatan menggunakan terapi pelbagai yang melegakan simptom mati pucuk tetapi pada masa yang sama memberi rawatan pada masalah hormon testosteron yang rendah.

Terapi berbentuk suntikan ini didatangkan dalam dua tindakan, jangka masa singkat yang perlu diulangi setiap dua atau tiga minggu manakala untuk terapi suntikan jangka panjang yang baru di pasaran, anda hanya perlu mendapatkan suntikan sekali dalam setiap tiga bulan.

Terapi terbaru ini dikenali sebagai Nebido® dan dibangunkan oleh Bayer Schering Pharma.

INFO: Simptom TDS
Murung
Gangguan tidur
Lesu dan penat
Kurang fokus
Hilang kekuatan otot.

Monday, April 7, 2008

Bersenam boleh tangani CMR

Sindrom metabolik bukan penyakit, sebaliknya risiko berkaitan dengan obesiti

MEREKA yang memiliki berat badan ideal tetapi berperut buncit lebih mudah berhadapan dengan masalah kesihatan yang digolongkan dalam kumpulan risiko kardiometabolik (CMR).

CMR atau sebelum ini dirujuk sebagai sindrom metabolik bukan penyakit, sebaliknya risiko berkaitan dengan obesiti dan terlebih berat. Ia meningkatkan kemungkinan anda diserang masalah kesihatan seperti penyakit jantung koronori, diabetes dan strok.

Ketua Pengarah Perubatan Sanofi Aventis Malaysia, Dr Bernard Ng, berkata CMR adalah ukuran pada risiko seseorang untuk diserang diabetes dan masalah jantung.

“Risiko CMR adalah masalah dunia termasuk Malaysia. Selain memiliki ukur lilit pinggang yang besar, ciri utama CMR juga termasuk diabetes, tekanan darah tinggi selain tahap kolesterol yang abnormal,” katanya. Dr Bernard berkata, CMR bukan perkara baru kerana dianggarkan antara 20 hingga 30 peratus populasi di negara industri mengalaminya. Malah, dianggarkan menjelang 2010, CMR akan menjejaskan antara 50 hingga 75 juta orang di Amerika.

Mengenai pembedahan plastik untuk mengempiskan perut bagi mengatasi masalah ukur lilit pinggang yang besar dan perut buncit, Dr Bernard berkata, jika anda berhadapan dengan masalah insulin, tekanan darah dan kolesterol, prosedur sedut lemak bukanlah cara terbaik. Beliau berkata, cara terbaik menangani CMR ialah mengamalkan diet pemakanan yang betul dan bersenam.

“Definisi gendut dan buncit sebagai ciri-ciri CMR dibahagi kepada beberapa kriteria, iaitu buncit atau gendut dengan ukuran lebih 90 sentimeter (35.4 inci) bagi lelaki dan lebih 80 sentimeter (31.4 inci) bagi wanita.

“Tahap tekanan darah pula ialah 130/85 ke atas dan glukos dalam darah ketika berpuasa menunjukkan 110 mg/dl,” katanya.

Menangani faktor risiko CMR, beliau berkata, ia bukan perkara yang terlalu sukar kerana hanya memerlukan kekuatan minda dan setinggi mana keinginan anda untuk menangani masalah itu dengan mengubah gaya hidup secara agresif. Beliau berkata, perubahan gaya hidup mungkin membantu mengubah atau memperlahankan serangan penyakit serius yang disebabkan CMR.

“Menghindari CMR secara mudah pula dilakukan dengan mengubah gaya hidup. Memilih makanan yang berkhasiat, memulakan senaman dan berhenti merokok,” katanya.

Dalam perbincangan mengenai CMR, satu lagi isu ditimbulkan ialah memahami sistem endocannabinoid (sistem EC - sistem psikologi dalam tubuh yang bertanggungjawab mengawal keseimbangan tenaga, pemecahan glukos dan lemak). Prof Beat Lutz dari Jabatan Psikologi Kimia, Universiti Johannes Gutenberg, Mainz, Jerman, berkata sistem EC sepatutnya boleh berfungsi dengan baik secara automatik (buka dan tutup). Bagaimanapun, katanya jika ia selalu terbuka, keadaan itu akan membawa kepada masalah diabetes dan kardiovaskular kronik.

“Memperbaiki sistem EC bermaksud membaiki CMR, membaiki CMR bermaksud jauh daripada kemungkinan berhadapan dengan risiko diabetes, masalah ginjal kronik dan sebagainya,” katanya.

Prof Lutz berkata, sistem EC bertindak mengawal keseimbangan tenaga dan faktor menyebabkan obes. Dalam kebanyakan penyelidikan berkaitan CMR kini, katanya sasaran adalah sistem EC yang menyebabkan pelbagai faktor risiko CMR. Info

Antara ciri-ciri CMR

Berperut buncit dan gendut. Berukuran lebih 90 sentimeter (35.4 inci) bagi lelaki dan lebih 80 sentimeter (31.4 inci) bagi wanita.
Tahap tekanan darah 130/85 atau lebih
Glukos dalam darah ketika berpuasa menunjukkan 110 mg/dl.
Tahap kolesterol baik rendah. Untuk lelaki, kurang daripada 40 mg/dL. Untuk wanita kurang daripada 50 mg/dL.
Lemak dalam darah (triglyceride) 150 mg/dL atau lebih

Antara punca CMR

Obesiti atau terlebih berat
Tidak bersenam
Faktor genetik

Antara komplikasi CMR

Penyakit jantung koronori
Diabetes
Strok
Masalah ginjal kronik

Tekanan darah tinggi sukar dikawal

Pesakit boleh diserang komplikasi kardiovaskular yang membawa maut

DI SELURUH dunia, kegagalan mengawal masalah tekanan darah tinggi kerap menjadi punca penyakit kronik seperti kardiovaskular dan masalah ginjal. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2002 menyebut, setiap tahun 5 juta kematian pra matang dicatatkan di seluruh dunia berpunca daripada tekanan darah tinggi.

Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Perunding Kardiologi, Datuk Dr Khoo Kah Lin, berkata senario yang sama juga berlaku di negara ini dan dianggarkan seorang daripada tiga warga Malaysia berusia 30 tahun ke atas berhadapan dengan masalah tekanan darah tinggi.

Bagaimanapun, katanya hanya enam daripada 100 pesakit berupaya mengawal masalah mereka.

“Pada peringkat global, tujuh daripada 10 pesakit tekanan darah tinggi tidak berupaya mengawal penyakit ini. Masalahnya, tanpa kawalan dan rawatan, ia boleh menyebabkan komplikasi kardiovaskular seperti serangan jantung, strok selain masalah buah pinggang,” katanya.

Dr Khoo berkata, pesakit diabetes yang juga didiagnos dengan tekanan darah tinggi adalah golongan pesakit yang paling gagal mengawal keadaan itu.

“Bacaan tekanan darah diukur dalam milimeter merkuri (mm Hg) dan memiliki dua nombor. Nombor pada bahagian atas adalah ukuran tekanan dalam arteri apabila jantung berdegup (systolic pressure), manakala nombor di bawah adalah ukuran tekanan arteri di antara degupan (diastolic pressure).

“Keadaan yang didefinisikan sebagai masalah tekanan darah tinggi terjadi apabila ia mencecah 140/90 mmHg atau lebih,” katanya. Beliau berkata, apabila tekanan darah tinggi tidak dikawal, ia akan menjejaskan keupayaan seseorang untuk berfikir, mengingat dan belajar.

“Masalah kognitif dan otak (dementia) adalah antara keadaan yang biasa dialami mereka yang tidak mengawal tekanan darah tinggi dengan baik.

“Ia juga secara tidak langsung menjadi punca kes kematian dan kemerosotan kualiti hidup disebabkan oleh serangan jantung, strok dan kegagalan ginjal,” katanya. Beliau berkata, dalam satu kajian didapati risiko kematian disebabkan serangan jantung secara langsung dikaitkan dengan tekanan darah tinggi.

Lebih tinggi kadar tekanan darah anda, lebih tinggi juga risiko yang anda hadapi. Bagaimanapun, katanya pada sesetengah individu, tekanan darah tinggi yang dialami berpunca daripada penyakit lain. Justeru, dalam kes seperti ini, jika faktor penyebabnya dapat ditangani, tekanan darahnya akan kembali normal.

“Keadaan ini disebut sebagai tekanan darah tinggi sekunder (secondary hypertension) dan selalunya ia disebabkan oleh tumor atau penyakit lain di kelenjar adrenal, kehamilan, penggunaan pil perancang atau kegagalan fungsi tiroid,” katanya. Beliau berkata, walaupun punca sebenar tekanan darah tinggi tidak diketahui, ada beberapa faktor yang dikaitkan sebagai risiko tekanan darah tinggi.

“Ia boleh dibahagi kepada dua bahagian iaitu faktor risiko yang boleh diubah seperti obes, tidak bersenam, terlalu banyak mengambil garam dalam diet, minum arak dan merokok.

“Bahagian kedua pula membabitkan tekanan darah tinggi yang tidak boleh diubah iaitu umur - semakin tua semakin tinggi kemungkinan diserang tekanan darah tinggi, selain faktor bangsa, sejarah keluarga dan jantina,” katanya. Dalam mengawal tekanan darah tinggi, katanya kebanyakan pesakit memerlukan ubat.

Bagaimanapun, Dr Khoo berkata, apa yang menjadi masalah apabila seorang pesakit terpaksa mengambil lebih daripada satu pil malah ada sehingga tiga untuk mengawal tekanan darah tinggi.

“Misalnya, pesakit diabetes yang juga didiagnos dengan tekanan darah tinggi perlu mengambil dua biji pil atau lebih,” katanya.

Beliau berkata, kini pesakit tidak lagi dibebani untuk mengambil terlalu banyak pil kerana di pasaran pada hari ini terdapat terapi dua dalam satu yang juga gabungan dua ubat tekanan darah tinggi valsartan dan amlodipine.

“Kedua-dua ubat ini digabungkan dalam satu formulasi dikenali sebagai Exforge® keluaran Norvartis Corporation. Ia bukan saja membantu mengurangkan jumlah pil yang perlu diambil oleh pesakit malah membantu dari segi jumlah wang yang dibelanjakan bagi membeli ubat setiap bulan," katanya.

Info Panduan sasaran tekanan darah

140/90 mm Hg atau kurang - Jika anda orang dewasa yang sihat
130/80 mm Hg atau kurang - Jika anda pesakit ginjal kronik, diabetes atau masalah koronari arteri atau berisiko terhadapnya.
120/80 mm Hg atau kurang - Jika jantung anda tidak mengepam seperti sepatutnya kerana masalah jantung atau masalah ginjal sangat kronik. Info Global

Di Australia 16 peratus kes baru penyakit ginjal tahap akhir (ESRD) disebabkan tekanan darah tinggi.

Di Amerika mengikut statistik 2001, 91,636 dirawat kerana ESRD yang disebabkan tekanan darah tinggi.

Di England, menurut Yayasan Jantung British, sekitar antara 80 hingga 85 peratus mereka yang terjejas dengan tekanan darah tinggi tidak dirawat.

Thursday, April 3, 2008

Komputer punca mata jadi kering

MATA yang kering menyebabkan ketidakselesaan, kadang kala berasa sakit, gatal dan kemerahan. Sebenarnya, mata bergantung pada air mata yang secara berterusan melembapkan dan mengekal penglihatan selain membuatkan kita lebih selesa.

Secara saintifiknya, air mata adalah kombinasi air untuk melembapkan, minyak untuk melancarkan selain mukus, antibodi dan sejenis protein istimewa. Semua komponen ini dirembes oleh kelenjar sekitar mata. Apabila sistem air mata ini tidak stabil, mata akan menjadi kering.

Ada juga sebab lain yang menjadikan mata kering. Ia mungkin disebabkan proses penuaan, kesan sampingan penggunaan sesetengah ubat dan penyakit misalnya rheumatoid arthritis. Ia juga boleh terjadi kerana udara kering yang dihasilkan oleh sistem penghawa dingin, cuaca yang panas atau keadaan persekitaran.

Dalam satu kajian ke atas pengguna kanta lekap mengesahkan penggunaan komputer sama ada untuk bekerja, belajar atau bermain, menjadi faktor utama terhadap fenomena mata menjadi kering. Sindrom mata menjadi kering sering berlaku di kalangan pengguna kanta lekap kerana material pada kanta lekap itu menyerap protein dan komponen air mata yang lain. Ini menyebabkan terjadinya tompokan kering pada kanta lekap.

Advanced Medical Optics (AMO), pembuat produk titisan mata jenama Blink™ Contacts Eye Drops menjalankan kajian untuk mencari tiga lokasi dan faktor utama yang menyebabkan mata menjadi kering. Dalam kajian itu kira-kira 100 pengguna kanta lekap yang berusia antara 15 hingga 55 tahun menyertai soal selidik yang diadakan bermula September 2007.

Hasilnya, sekitar 68.8 peratus responden menyenaraikan penggunaan komputer sebagai faktor paling kerap yang menyebabkan mereka berasa mata menjadi kering. Kajian dilakukan di Universiti Ohio State pula mendapati kekerapan mata berkelip menurun daripada purata 15 kelipan seminit ketika mata dalam keadaan tenang kepada 7.5 kelipan seminit meskipun hanya menjeling ke arah komputer pada paras 5 peratus daripada tempoh waktu kerja.

Jumlah ini semakin menurun kepada hanya empat kelipan seminit apabila menjeling ke arah skrin sehingga ke paras 50 peratus.

Oleh kerana mata mengelip adalah cara semula jadi mata untuk merembeskan air mata dan menyegarkan kembali mata yang mengalami kekeringan, merenung tepat tanpa berkelip meskipun untuk tempoh singkat, boleh menyebabkan mata menjadi kering dengan lebih cepat. Ini kerana lapisan nipis air pada mata akan terserap lebih pantas.

Dalam kajian itu 14 peratus responden menyenaraikan berada di dalam kelab dan pub sebagai keadaan yang sering menyebabkan mata menjadi amat kering.

Majoriti responden ini adalah mereka yang berada dalam lingkungan usia 18 hingga 29 tahun. Maklum balas mereka ini sepadan dengan penyelidikan sebelum ini yang mengenal pasti asap termasuk asap daripada rokok menjadi satu faktor menyumbang kepada keadaan mata menjadi kering. Selain itu, mereka yang sering menggunakan kapal terbang turut menyenaraikan kabin pesawat sebagai persekitaran yang menjadi punca utama mata kering (7.5 peratus).

Keputusan itu tidak mengejutkan kerana meskipun wujud banyak faktor persekitaran dalam pesawat yang menyumbang gejala mata tidak selesa (terutama kepada pengguna kanta lekap), penyelidikan terkini menunjukkan bahawa tahap kelembapan yang rendah dalam kabin berkemungkinan menjadi faktor utama mata menjadi tidak selesa.

Paras kelembapan kira-kira 50 peratus adalah tahap optimum untuk keselesaan mata dan secara perbandingan, kelembapan di Gurun Sahara dan Arab adalah sekadar 20 hingga 25 peratus. Tahap kelembapan dalam kabin kapal terbang bagi perjalanan jarak jauh serta penerbangan di altitud tinggi, sering menjadi begitu rendah dan ada kalanya hanya mencatatkan paras kelembapan satu peratus.

Ini menyebabkan mata menjadi kering, terutama di kalangan pengguna kanta lekap. Responden turut menyenaraikan panggung wayang (5.4 peratus) dan kompleks beli belah (2.2 peratus) sebagai antara persekitaran yang menjadi punca mata menjadi kering. Pengguna kanta lekap yang mengalami keadaan mata menjadi kering seharusnya memilih menitiskan titisan mata yang diformulakan untuk setiap keperluan penggunaan mereka, berbanding titisan mata biasa yang sebenarnya meningkatkan lagi tahap kekeringan mata.

Antaranya, AMO blink™ yang mengandungi sodium hyaluronate iaitu bahan yang mencetuskan keadaan secara semula jadi pada lapisan mata untuk membantu melembap dan melincirkan mata kering pengguna kanta lekap.

Tahukan Anda ?

Jika anda menaikkan kerusi di meja komputer supaya kedudukan anda lebih tinggi dan merenung ke bawah untuk melihat skrin komputer, anda mampu mengurangkan tahap pengeringan air mata kerana ia mengurangkan paras pendedahan kepada komputer. Langkah mudah untuk menjadikan mata anda berasa lebih selesa.

Influenza boleh bawa maut

Masalah jangkitan pernafasan memang wujud di negara ini dan berpotensi menjadi wabak pembunuh

INFLUENZA atau masalah jangkitan pernafasan adalah penyakit yang mudah merebak dan jika menyerang kanak-kanak, ia mengambil masa lama untuk sembuh.

Ramai doktor menganggap influenza tidak berlaku di Malaysia, kerana negara ini adalah negara tropika yang tidak mengalami musim sejuk. Sebab itu mereka tidak menyarankan kepada golongan berisiko dan warga emas mengambil vaksin influenz.

Kajian yang diketuai Ketua Jabatan Perubatan Mikrobiologi dan Imunologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Datin Dr Che Ilina Che Isahak, mendapati penyakit itu memang wujud di negara ini dan berpotensi menjadi wabak yang meragut nyawa. I

Influenza mencapai kemuncaknya di negara ini antara April dan Jun, selain Oktober dan Disember setiap tahun. Sejak dulu lagi, influenza berupaya menjadi pandemik yang meragut nyawa. Laporan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyebut antara lima hingga 15 peratus populasi dunia terjejas dengan masalah influenza.

Setiap tahun, antara 3 hingga 5 juta kes influenza yang sederhana dan kronik dicatatkan dengan kematian antara 250,000 dan 500,000 orang di seluruh dunia. Prof Dr Che Ilina berkata, influenza walaupun kerap disamakan dengan selesema, ia adalah dua masalah kesihatan yang berbeza kerana masalah jangkitan pernafasan terjadi disebabkan virus influenza yang boleh berlaku pada tahap biasa hingga peringkat serius yang membawa maut.

“Contoh, jika warga tua, kanak-kanak, pesakit kardiovaskular, buah pinggang dan diabetes diserang influenza, mereka kemungkinan menemui maut,” katanya. Bagaimanapun, katanya kajian mendapati pengambilan vaksin influenza di kalangan warga tua (65 tahun ke atas) membantu mencegah 50 peratus kematian dan penurunan 48 peratus kes kemasukan ke wad.

“Pengambilan vaksin di kalangan mereka yang berusia antara 18 hingga 64 tahun pula membantu mencegah 78 peratus kematian, 87 peratus kemasukan ke hospital dan 26 peratus rawatan di klinik biasa.

“Tanpa vaksin, jika berlaku wabak influenza, kematian di kalangan pesakit diabetes dijangka meningkat hingga 30 peratus. Kemasukan ke hospital disebabkan influenza juga meningkat enam kali lebih banyak di kalangan pesakit diabetes manakala kemasukan pesakit ‘ketoacidosis” (glukos dalam darah yang tinggi) ke hospital juga meningkat hingga 50 peratus,” katanya.

Dalam satu Persidangan Persatuan Kardiologi Eropah 2003, sekumpulan penyelidik Argentina melaporkan terdapat penurunan hingga 66 peratus kes kematian disebabkan kardiovaskular di kalangan pesakit kardiak yang mengambil vaksin influenza.

Laporan yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England itu turut melaporkan vaksin influenza mengurangkan risiko strok dan serangan jantung. Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Pakar Perunding Kardiologi, Datuk Dr Khoo Kah Lin, berkata walaupun pengambilan vaksin influenza bukan prosedur terbaik menangani masalah kardiologi, ia boleh dilihat sebagai sebahagian daripada cara untuk membantu pesakit kardiovaskular yang tersenarai antara kumpulan berisiko tinggi berhadapan komplikasi influenza.

“Bagaimanapun, tidak semua doktor di negara ini yang mengiktiraf kewujudan influenza di Malaysia, justeru ramai yang tidak menyarankan kepada pesakit untuk mengambil vaksin influenza,” katanya.

Serangan influenza sebenarnya berisiko tinggi menyebabkan mereka yang berhadapan dengan masalah kronik dalam sistem kardiovaskular dimasukkan ke wad atau berhadapan kematian. Kajian pada 1999 dan 2000 mendapati pengambilan vaksin influenza di kalangan jemaah haji Malaysia membantu mengurangkan jumlah kematian di kalangan mereka, iaitu daripada 5.6 peratus sebelum vaksin influenza diperkenalkan kepada 3.8 peratus setahun kemudian.

Di barat, vaksin influenza adalah sebahagian daripada rutin berhadapan dengan musim sejuk Kajian pada 2004 pula mendapati, vaksin influenza mampu mengurangkan 67 peratus risiko serangan jantung dengan pengurangan antara 20 hingga 70 peratus komplikasi jantung.

Kepentingan pengambilan vaksin influenza perlu diketahui kerana ia banyak membantu sekiranya penyakit itu menjadi pandemik. Sebagai contoh, di Indonesia hanya 300,000 vaksin diambil yang kebanyakannya oleh jemaah haji, tetapi apabila wabak selesema burung melanda negara itu, bekalan vaksin influenza meningkat mendadak hingga jumlahnya tidak mencukupi.

Oleh itu, tidak hairan angka korban selesema burung di Indonesia begitu ramai.

Vaksin influenza Ada dua jenis vaksin

1. Jenis suntikan yang disuntik di lengan. Diluluskan penggunaannya untuk mereka yang berusia enam bulan ke atas termasuk mereka yang berhadapan penyakit kronik.

2. Jenis semburan pula diperbuat daripada virus influenza yang dilemahkan dan tidak akan menyebabkan influenza.

Oleh kerana virus penyebab (strain) influenza berubah-ubah setiap tahun, vaksin influenza juga perlu diambil setiap tahun dengan formulasi berbeza.

Setiap tahun antara pertengahan Mac dan November vaksin baru akan dikeluarkan. Walau apapun jenamanya, formulanya hampir sama. Vaksin awal tahun dikenali sebagai formulasi virus hemisfera selatan manakala vaksin akhir tahun dikenali sebagai formulasi virus hemisfera utara.

Antara vaksin yang ada di pasaran penghujung Mac ialah Influvac dari Solvay Pharma.

Golongan yang berisiko berhadapan dengan komplikasi influenza

1) Pesakit diabetes mellitus
2) Mereka yang mengalami masalah sistem pernafasan dan lelah
3) Pesakit kardiovaskular
4) Pesakit buah pinggang
5) Pesakit dengan masalah sistem imun seperti pesakit HIV, mereka yang menerima rawatan barah atau yang menjalani pemindahan organ.
6) Kanak-kanak dan mereka yang berusia 65 tahun ke atas.

Antara komplikasi influenza

1) Radang paru-paru disebabkan jangkitan virus dan telinga tengah
4) Sawan (kanak-kanak)
5) Pendarahan di gastro usus