“APABILA sedar daripada pembedahan, saya buka selimut dan lihat ada beg kecil melekat atas perut saya. Waktu itu saya amat tertekan.
Persoalan pertama yang muncul di dalam fikiran saya, bolehkah isteri dan anak-anak serta rakan-rakan menerima keadaan saya ini. Maklumlah saya bawa najis di dalam beg ke sana ke mari,’’ kata Zainuddin Mohd. Tahir, 72, seorang pesakit yang terpaksa menjalani pembedahan ostomi.
Berikutan pembedahan akibat masalah usus yang dialami, hidup Zainuddin kini tidak boleh dipisahkan dengan beg yang digunakan bagi menyalurkan najis keluar.
Kini kalau dihitung sudah hampir 30 tahun beliau hidup dalam keadaan perut terbuka untuk menyalurkan najis keluar melalui beg yang dipakai di bahagian luar pinggang.
‘‘Saya tidak menanggap memakai beg stoma sebagai satu kekurangan untuk saya meneruskan kehidupan harian. Tiada apa yang membezakan saya dengan orang lain,’’ kata Zainuddin yang juga Presiden Stoma Care Malaysia, ketika dikunjungi di rumahnya, di Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menceritakan pengalamannya, segala-galanya bermula pada penghujung tahun 1978 apabila beliau ke tandas lebih kerap daripada kebiasaan.
Pada awalnya beliau tidak berasa apa-apa kelainan, sehinggalah selepas sebulan keadaan bertambah serius apabila terpaksa ke tandas enam hingga tujuh kali sehari.
Lebih membimbangkan, Zainuddin melihat perubahan berat badan yang turun sehingga 10 kilogram.
‘‘Atas nasihat seorang teman, saya ke hospital. Apa yang mengejutkan doktor memaklumkan saya ada barah rektum selepas membuat pemeriksaan rapi termasuk biopsi,’’ ujarnya,
Katanya, lepas pembedahan bermulalah episod baru dalam kehidupannya apabila terpaksa memakai beg untuk menyalurkan najis yang keluar.
Berkongsi pengalaman, kata Zainuddin, tahun pertama bagi seorang yang pernah menjalani pembedahan ostomi sepertinya, merupakan ujian paling mencabar kerana dalam tempoh itu terpaksa menanggung pelbagai perkara yang tidak diduga.
‘‘Saya terpaksa buat penyelidikan dan menjadikan diri sendiri sebagai kajian. Bukan sahaja jenis makanan yang boleh atau tidak boleh dimakan, tetapi juga bagaimana mahu menggunakan pad tersebut.
‘‘Masa itu tidak banyak maklumat. Kalau makan kacang atau benda-benda berangin, saya mudah sakit perut,’’ ujarnya.
Berbanding hari ini, kata Zainuddin, pesakit lebih mudah melakukan aktiviti harian kerana semakin banyak syarikat mengeluarkan beg untuk kegunaan golongan ini. Selain lebih bermutu, ia juga mudah digunakan dan agak praktikal.
Sementara itu, menurut Pakar Bedah Darul Ehsan Medical Centre (DEMC), Shah Alam, Dr. Jamaludin Yusak, ostomi bermakna mengeluarkan sebahagian saluran makanan ke permukaan kulit bagi mengalih aliran kumbahan.
Nama ostomi diambil sempena bahagian saluran makanan yang dikeluarkan seperti oesophagostomy, gastrostomy, jejunostomy (ini selalunya berbentuk ostomi sementara) ileostomy dan kolostomy.
‘‘Selain saluran makanan, penggunaan beg stoma juga bagi mengalihkan kencing keluar ke permukaan kulit. Ini termasuklah bagi masalah nephrostomy (buah pinggang) , ureterostomy (tiub ureter) dan cystostomy (pundi kencing),’’ katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, kaedah ostomi dilakukan bagi mengalih aliran kumbahan daripada melalui aliran asal bagi membolehkan pemulihan bahagian usus, menyambungkan usus akibat pembedahan fistula di dubur, jangkitan di usus seperti ulcerativ colitis, juga trauma di perut sekiranya melibatkan usus.
Selain itu, ia juga bagi melepaskan sekatan aliran kumbahan akibat kanser usus selepas pembuangan rektum dan dubur dalam pembedahan kanser kolokrektal, di samping mewujudkan aliran baru untuk kumbahan selepas pembuangan semua kolon berpenyakit polipsis koli atau kaedah alternatif untuk bayi yang tiada lubang dubur.
Ujar Dr. Jamaludin, sejak adanya peralatan untuk ostomi, penyeliaan menjadi lebih mudah dan bersih. Peralatan ini termasuk pelekat penutup kulit (stomahesive) dan beg-beg menampung kumbahan yang terkeluar.
Pada permulaannya, keluaran kumbahan ini memang tidak dapat dikawal dan memerlukan penukaran kerap beg penampung kumbahan atau beg stoma.
“Bagaimanapun, keadaan ini akan berubah mengikut masa di mana pengeluaran kumbahan berlaku hanya pada masa tertentu yang boleh diramalkan oleh pengguna,’’ ujarnya.
Pengguna stoma katanya, tidak perlu pada sebarang pakaian khas. Tiada sebarang mudarat berlaku sekiranya stoma tertekan akibat pakaian ketat atau sebagainya. Mereka boleh meneruskan pekerjaan seperti biasa.
Dari segi pemakanan pula katanya, setelah luka ostomi sembuh, pengguna dibenarkan memakan makanan seperti biasa. Tiada skim pemakanan tertentu yang dikhaskan untuk pengguna stoma.
Walaupun begitu, mengurangkan beberapa jenis makanan boleh membantu mengurangkan masalah seperti pembuangan angin atau makanan yang menyebabkan pengguna cirit atau sembelit. Makanan ini berbeza antara individu.
Sama seperti melakukan aktiviti lain, tidak ada halangan untuk pengguna stoma untuk aktif dalam sukan. Mereka boleh menjalani aktiviti sukan seperti biasa seperti berjoging, bermain badminton, bola dan sebagainya.
Namun katanya, mereka patut berhati-hati apabila mengambil bahagian dalam mengangkat berat kerana peningkatan tekanan di dalam perut boleh menyebabkan hernia pada ostomi.
Selain itu, penjagaan lebih diperlukan di dalam sukan seperti tinju, gusti dan sebagainya agar tidak mencederakan. Apabila mereka berenang, pastikan beg stoma kedap udara dan mantap, air tidak akan mendatangkan mudarat kepada ostomi, begitu juga penggunaan sabun.
Sementara itu katanya, mengikut fatwa yang ada, tiada halangan bagi mereka yang memakai beg stoma untuk beribadat. Pada ketika di mana pengeluaran kumbahan tidak terkawal, ia diisytiharkan sebagai ibadat dalam darurat.
Beliau berkata, setelah beberapa lama menggunakan beg stoma, pengeluaran kumbahan lebih terkawal mengikut masa, maka sebaiknya seseorang itu digalakkan beribadat ketika ostomi tidak mengeluarkan kumbahan.
Ditanya mengenai komplikasi yang akan dihadapi pengguna stoma, Jamaludin berkata, dengan teknik pembedahan ostomi yang teliti dan penjagaan yang baik, tidak banyak komplikasi yang berlaku. Kalau ada pun, perkara yang kerap berlaku ialah alahan pada kulit akibat kumbahan atau alahan kepada gam peralatan yang digunakan. Bagaimanapun, ia dapat dihindari dengan sentiasa memastikan kulit tidak terdedah kepada kumbahan.
Friday, May 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment