HARI Tanpa Tembakau Sedunia 2008 akan disambut untuk julung kalinya pada 31 Mei ini (Sabtu). Bagaimanapun, di manakah kita dalam usaha memerangi rokok dan produk tembakau kini?
Penolong Pengarah Kanan Kawalan Tembakau dan FCTC, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia Dr. Zarihah Mohd. Zain menjelaskan maklumat terkini menunjukkan Malaysia kini mempunyai kira-kira 2.73 juta perokok.
“Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2006 mencatatkan 2.61 juta perokok lelaki (95.6 peratus) dan 120,000 perokok wanita (4.4 peratus).
“Bilangan perokok juga lebih tinggi di bandar yang berjumlah 1.56 juta (57.1 peratus) sementara 1.17 juta perokok lagi dari kawasan luar bandar (42.9 peratus),” ujarnya.
Menurut Dr. Zarihah, kaum Melayu merupakan perokok paling ramai, berjumlah 1.66 juta (60.9 peratus) sementara kaum India paling sedikit dengan jumlah 150,000 perokok sahaja (5.5 peratus).
Namun, tahukah anda bahawa seorang perokok baru boleh mati jika menghisap lebih 40 batang rokok dalam masa satu hari?
Ahli Pengasas Persatuan Penyelidikan Nikotina dan Tembakau (SRNT), Profesor Dr. Karl Olov Fagerstrom menjelaskan otak perokok baru boleh ‘memberontak’ jika menerima terlalu banyak nikotina sebelum dapat menyesuaikan diri (adaptasi).
“Perokok ‘veteran’ dapat merokok sehingga lebih 40 batang rokok dalam satu hari kerana otak mereka telah menyesuaikan diri dengan jumlah nikotina yang banyak.
“Bagaimanapun, otak perokok veteran juga akan memberontak jika mereka berhenti merokok memandangkan otak perokok telah membentuk pergantungan terhadap jumlah nikotina yang tinggi,” katanya.
Menurut beliau, perokok memerlukan keazaman yang kuat untuk berhenti merokok jika telah membentuk pergantungan nikotina yang kuat.
Dr. Fagerstrom turut menjelaskan WHO menamakan tabiat merokok sebagai faktor utama punca penyakit boleh dicegah.
“Tembakau menjadi punca penyakit seperti kanser, penyakit vaskular serta masalah sistem pernafasan seperti bronkitis kronik dan penyakit paru-paru.
“Mengikut Klasifikasi Penyakit Antarabangsa, pergantungan kepada tembakau dikelaskan sebagai sejenis penyakit, sama seperti pergantungan kepada alkohol,” jelasnya.
Beliau turut mendedahkan seorang perokok, yang telah merokok seumur hidupnya, meninggal dunia setiap saat akibat penyakit berkaitan tembakau.
Penilaian pergantungan nikotina
Antara yang paling memeranjatkan Dr. Fagerstrom bila tiba di Malaysia adalah melihat ramai wanita (tempatan) yang merokok secara terbuka.
“Saya terperanjat melihatkan ramai wanita yang merokok di sebuah hotel tempatan tempat saya menginap baru-baru ini.
“Mungkin bagi sesetengah pihak yang mempunyai pandangan kuat dalam isu merokok (anti merokok), perokok dilihat sebagai golongan kelas bawahan. Namun, mereka adalah pesakit yang perlu dibantu mengatasi pergantungan terhadap nikotina,” jelasnya.
Melihatkan masalah pergantungan nikotina kurang dibangunkan secara amalan klinikal, beliau mengasaskan Ujian Pergantungan Kepada Nikotina Fagerstrom. Melalui enam soalan mudah, perokok dapat menentukan tahap pergantungan mereka terhadap nikotina.
Rasa terdesak untuk merokok pada waktu pagi selepas bangun dari tidur dan bilangan rokok yang dihisap dalam satu hari menjadi antara penanda aras utama pergantungan terhadap nikotina.
Dr. Fagerstrom menyatakan perokok sendiri setuju pergantungan nikotina merupakan satu masalah tetapi memilih untuk cuma menganggapnya sebagai satu tabiat buruk semata-mata.
“Nikotina memenuhi kriteria pergantungan (ketagihan) kepada sejenis dadah, dengan 50 hingga 60 peratus perokok diklasifikasikan mempunyai pergantungan nikotina.
“Pergantungan ini menyebabkan badan perokok perlu mendapatkan nikotina dalam jumlah tertentu selepas bangun tidur (dan secara berpanjangan) kerana nikotina digunakan dengan pantas (sekitar dua jam) oleh badan,” ujarnya.
Menurut Dr. Fagerstrom, rokok rendah nikotina akan menyebabkan perokok memerlukan lebih banyak rokok, sedutan yang lebih dalam serta lebih lama di dalam paru-paru bagi mendapatkan jumlah nikotina yang diperlukan otak.
“Perokok juga ditipu dengan dakwaan rokok tertentu kurang bahaya dan kurang tar sedangkan risiko mereka mendapat penyakit seperti kanser tetap sama.
“Penapis rokok yang didakwa kurang tar ditebuk supaya rokok dicairkan oleh udara. Namun, perokok dengan tidak sengaja akan menutup lubang tersebut ketika merokok, menyebabkan jumlah tar yang disedut tetap sama,” katanya.
Ingin berhenti
Nikotina tidak berbahaya tetapi membentuk pergantungan seperti yang berlaku kepada mereka yang gemar minum kopi atau teh (kafein). Namun, pergantungan ini menyebabkan perokok terus menyedut bahan kimia berbahaya di dalam tembakau.
Tabiat psikologi perokok juga akan memainkan peranan dalam usaha mereka berhenti merokok. Ubat tertentu boleh membantu tetapi bukannya penyembuh ajaib.
Menurut Dr. Fagerstrom, usaha berhenti merokok turut bergantung kepada persekitaran dan masyarakat.
“Jika semua orang merokok (seperti dalam penjara) atau sering melihat rakan atau iklan rokok, pasti lebih sukar untuk berhenti.
“Masyarakat perlu menjadi lebih negatif terhadap rokok dan produk tembakau sementara mereka yang tidak merokok perlu berani meminta perokok untuk tidak merokok di tempat awam,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan individu yang tidak merokok juga mempunyai risiko tiga kali ganda lebih tinggi menghidap kanser paru-paru jika pasangan mereka merokok.
Perokok yang merokok sebagai satu tabiat dan bukan kerana pergantungan pula dilihat lebih sukar berhenti merokok terutamanya jika persekitaran dipenuhi perokok lain atau iklan rokok. Perokok boleh cuba berhenti secara mendadak (cold turkey - kulit seperti kulit ayam dicabut bulu), tetapi 95 peratus yang mencuba kaedah ini akan gagal jika tidak mendapatkan bantuan dan sokongan.
Perokok itu pesakit
Perokok adalah pesakit saya! Itulah tanggapan Dr. Fagerstrom terhadap perokok yang ingin berhenti merokok.
“Orang ramai mungkin tertanya-tanya mengapa produk tembakau terus dijual jika ia mengambil satu nyawa setiap saat.
“Nikotina adalah sejenis dadah dan pergantungan terhadapnya serupa dengan ketagihan dadah. Kita sepatutnya membantu mereka,” jelasnya.
Menurut beliau otak sesetengah individu juga berfungsi lebih baik dengan adanya nikotina. AS menjadi contoh jelas di mana lima peratus doktor di sana merokok sedangkan banyak tekanan diberikan supaya penduduk negara itu berhenti merokok.
Apa yang sepatutnya kita dilakukan adalah membantu perokok berhenti merokok dan menyedarkan mereka merokok itu bukan hanya mencemar persekitaran tetapi juga badan mereka sendiri.
Sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Sabtu ini, mungkin perokok dapat memainkan peranan dengan mengurangkan atau tidak merokok, walaupun cuma untuk satu hari. Bagi mereka yang tidak merokok, jadikanlah hari tersebut untuk meminta kenalan dan orang tersayang mengurangkan atau tidak menggunakan produk tembakau. Elakkan rokok, dan mungkin saat berikutnya tidak meragut nyawa anda.
Wednesday, May 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment