Rawatan utama tangani demam ialah melegakan simptom, hapuskan bakteria dan cegah jangkitan berulang
DEMAM adalah antara masalah kesihatan yang kerap dialami anak kecil. Bagaimanapun, tidak semua demam itu demam biasa, sebaliknya jika anak anda alami demam diikuti dengan sakit sendi kemungkinan dia berhadapan dengan demam rheumatik.
Pakar Perunding Kanak-Kanak, Hospital Pusrawi Sdn Bhd, Dr Kamaruddin Ahmad, berkata demam rheumatik adalah masalah keradangan yang terjadi selepas jangkitan kuman ‘streptococcal’ (kumpulan A - kuman yang menyebabkan sakit tekak).
Beliau berkata, demam rheumatik boleh menyebabkan komplikasi pada jantung, sendi, kulit dan otak jika tidak dirawat dengan cepat.
“Demam rheumatik adalah reaksi autoimun kepada bakteria streptococcus. Justeru, simptomnya hanya muncul selepas jangkitan berlaku,” katanya. Beliau berkata, biasanya demam rhemuatik terjadi apabila kanak-kanak diserang sakit tekak yang tidak dirawat.
“Bagaimanapun, bukan semua sakit tekak yang tidak dirawat itu dikaitkan dengan demam rheumatik. Hanya tiga peratus daripada sakit tekak yang tidak dirawat itu berlanjutan menjadi demam rheumatik,” katanya.
Dr Kamaruddin berkata, walaupun kerap kali demam rheumatik ini dikesan pada kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun, ia juga boleh terjadi pada orang dewasa. Secara umum, katanya streptococcal kumpulan A memang punca yang biasa dalam masalah kesihatan kanak-kanak.
Selalunya ia menyebabkan masalah sakit tekak yang sedikit tetapi ia juga berkemampuan untuk menyebabkan masalah yang lebih besar seperti demam rheumatik. Beliau berkata, antara 1960 hingga 1970, demam rheumatik memang masalah utama di seluruh dunia, tetapi sejak pengenalan antibiotik, demam itu jarang berlaku. Namun, di negara-negara membangun kes demam rheumatik masih belum dapat dihapuskan.
“Di Malaysia, demam rheumatik masih berlaku. Tanpa rawatan yang cepat, demam itu boleh menyebabkan komplikasi pada jantung yang dikenali sebagai masalah jantung rheumatik. Ia selalunya menyebabkan kerosakan pada injap jantung dan mengganggu aliran darah normal ke jantung,” katanya.
Beliau berkata, walaupun demam rheumatik boleh disembuhkan, komplikasi pada jantung mungkin sukar sembuh dan ia bergantung pada sejauh mana jantung terjejas. Dr Kamaruddin berkata, demam rheumatik boleh melemahkan sel otot jantung dan mengganggu keupayaannya untuk mengepam. Radang yang berlaku juga boleh menjejaskan injap jantung, iaitu injap mengecut dan tidak boleh terbuka atau tertutup dengan sempurna.
Bagaimanapun, katanya masalah jantung bukan satu-satunya komplikasi demam rheumatik, sebaliknya ia juga boleh membabitkan; a) Sendi (bengkak, kemerahan dan rasa panas) b) Otak (hilang koordinasi dan pergerakan muka juga anggota badan yang tidak terkawal) c) Masalah pada kulit yang menyebabkannya kemerah-merahan selain bengkak-bengkak kecil.
Rawatan Jika anak anda berhadapan dengan serangan sakit tekak yang berulang, sukar bernafas, berasa sakit berdekatan jantung dan demam yang melebihi 101.5°F (walaupun mengambil antibiotik) anda perlu segera mendapatkan rawatan lanjut.
Berbanding dengan masalah lain, demam rheumatik tidak berlaku dengan sifat yang sama. Justeru, tidak ada ujian khas yang menentukan diagnosisnya.
Selalunya doktor akan menjalankan ujian penuh teliti membabitkan pemeriksaan degupan jantung, pemeriksaan kulit dan sendi.
Ujian darah diambil selain beberapa ujian membabitkan penilaian kriteria utama dan minor demam rheumatik.
Walau apapun, rawatan utama dalam menangani demam rheumatik untuk melegakan simptom, menghapuskan bakteria dan mencegah jangkitan berulang. Rawatan bergantung pada tahap keseriusan masalah yang dihadapi. Secara umum, pemberian antibiotik selalunya akan diberi bagi menyingkirkan bakteria sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment