Sunday, May 25, 2008

Penggunaan lebih meluas bahan beri kesan buruk

PENYELIDIKAN saintifik mengenai kesan bahan karsinogenik iaitu bahan penyebab barah, terutama plumbum kepada kesihatan sudah lama dilaksanakan beribu tahun dulu iaitu sejak tamadun Rom, Yunani dan China.

Ia berikutan wujud situasi di mana berlakunya keracunan plumbum di kalangan masyarakat pada zaman itu disebabkan pendedahan berterusan kepada unsur terbabit.

Plumbum mudah didapati, diekstrak dan senang berganding dengan campuran bahan lain. Ia termasuk menjadi bahan tambahan untuk melambatkan proses pembakaran bahan api seperti petrol.

Bagaimanapun, penggunaannya secara meluas memberi kesan tidak elok kepada kesihatan. Ia dibuktikan melalui penemuan saintifik yang masih lagi diteruskan saintis pada hari ini. Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) dan Agensi Perlindungan Persekitaran Amerika Syarikat (EPA) menyatakan seseorang itu dikira mengalami keracunan plumbum apabila paras plumbum darah adalah serendah 10 mikrogram bagi setiap 100 mililiter.

Kanak-kanak adalah golongan lebih mudah terdedah dengan pengaruh resapan plumbum kerana sistem saraf kanak-kanak masih berkembang hingga dewasa sangat mudah dipengaruhi persekitarannya.

Pada masa sama sistem saraf kanak-kanak masih belum sempurna untuk membaiki sebarang kerosakan disebabkan oleh toksin alam termasuk plumbum dan merkuri.

Kajian oleh pelajar sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002 mendapati paras plumbum minimum dalam rambut kanak-kanak di Malaysia adalah jauh lebih tinggi daripada kanak-kanak di Singapura iaitu 27.28 mikrogram per gram berbanding 2.79 mikrogram per gram. Malah, tidak mustahil kini paras berkenaan sudah meningkat berikutan penggunaan bahan mengandungi kandungan plumbum masih digalakkan.

Justeru, pemansuhan petrol berplumbum RON 92 disambut baik demi kepentingan semua khasnya dalam membantu mengurangkan paras plumbum dalam udara.

Pakar perubatan pekerjaan dari Persatuan Pengamal Perubatan Malaysia (MMA), Dr Nirmal Singh, berkata plumbum adalah sejenis unsur bertoksik yang terbukti boleh memberi impak negatif kepada alam dan kesihatan manusia.

Beliau berkata, pembakaran plumbum bersama bahan api seperti petrol dalam kenderaan akan menghasilkan pelbagai bahan yang keluar dari ekzos seperti plumbum oksida, plumbum sulfida dan plumbum karbonat yang akan mencemar udara dan seterusnya meresap ke dalam tanah.

"Tidak seperti bahan pencemar lain, plumbum mempunyai jangka hayat yang panjang dalam alam sekitar hingga boleh mengganggu rantaian makanan manusia.

"Justeru, apabila ia meresap ke dalam tanah, ia juga akan mencemar sumber air yang akhirnya menjadi sumber makanan manusia, tumbuhan dan haiwan sekali gus boleh menjejas kesihatan mereka," katanya.

Katanya, masalah kesihatan lebih serius akan berlaku apabila bahan seperti petrol berplumbum didedahkan secara konsisten kepada manusia. Ia akan masuk ke dalam sistem darah dan seterusnya ke bahagian tulang dan sistem saraf.

"Pendedahan jangka panjang kepada unsur itu boleh merosakkan sistem saraf pusat manusia secara kekal. Ia termasuk kegagalan fungsi otak dan gangguan perjalanan darah dan buah pinggang," katanya. Selain itu, katanya, penyakit seperti anemia, masalah kesuburan dan darah tinggi mudah terjadi jika paras plumbum dalam badan meningkat.

"Keracunan plumbum bukan saja boleh menyebabkan gangguan mental malah memendekkan jangka hayat manusia," katanya. Dr Nirmal berkata, kanak-kanak adalah kumpulan paling mudah dipengaruhi berbanding orang dewasa yang antara lain menyebabkan kegagalan fungsi kognitif kanak-kanak iaitu kegagalan minda untuk berfikir, mengingati dan memproses maklumat dengan tepat.

Beliau berkata, kadangkala pesakit tidak menyedari bahawa mereka mengalami gejala keracunan plumbum ini.

"Bagaimanapun, antara tanda-tanda yang sering berlaku ialah rasa loya, sakit perut, insomnia, mulut mempunyai rasa logam, kelesuan melampau dan hiperaktif; sakit kepala serta paling serius adalah serangan sakit secara tiba-tiba dan koma. Pesakit yang terkena keracunan plumbum sukar dipulihkan.

"Proses penyingkiran plumbum dalam badan mengambil masa lama iaitu sehingga berpuluh tahun dan jika ia serius, rawatan penyingkiran khas yang dipanggil terapi 'chelation' akan dilakukan terhadap pesakit," katanya.

No comments: