Tuesday, May 20, 2008

Senaman cerdaskan minda

KITA berjumpa lagi pada minggu ini dan saya ingin memperkatakan topik mengenai senaman dan kesihatan. Sama ada anda sedar atau tidak, badan anda sebenarnya bersenam ketika anda menjalankan kegiatan lazim anda seperti berjalan di sekitar pejabat, meregangkan badan untuk mencapai buku, mengangkat barang runcit atau mendukung anak berumur tiga tahun atau membongkok untuk mengutip sesuatu.

Namun, tahap senaman akan berbeza antara setiap individu, yakni antara mereka yang mengamalkan rutin senaman yang terjadual secara khusus atau yang bersukan dan mereka yang tidak membuat sebarang senaman tambahan.

Senaman memainkan peranan penting dalam hidup seharian kita. Senaman menentukan tahap kecergasan kita dan seterusnya menentukan tahap tenaga yang kita punyai untuk menjalankan kegiatan seharian.

Kecergasan boleh dibahagikan kepada kecergasan fizikal dan kecergasan mental. Secara amnya, seseorang dianggap cergas dari segi fizikal sekiranya dia masih bertenaga untuk menikmati masa lapangnya selepas seharian bekerja.

Kebanyakan eksekutif akan gagal ujian kecergasan mudah itu. Ini kerana mereka hanya duduk di depan meja selama lapan jam sehari menyebabkan suatu kelesuan yang tidak dapat dihilangkan pada akhir hari kerja dan dengan itu mereka tidak ada baki tenaga untuk menikmati masa lapang yang bermutu dengan keluarga.

Ada beberapa aspek kepada manfaat yang dapat diperoleh daripada senaman iaitu minda, kesihatan dan kecergasan fizikal di samping mendapat keseronokan. Peranan minda sering diabaikan dalam kegiatan seharian kita.

Kita bersusah payah menjaga rupa fizikal tetapi kita meluangkan sedikit masa atau langsung tidak peduli untuk menyediakan minda kita bagi menghadapi dan mengatasi dugaan dan tekanan hidup ini.

Kita lupa bahawa kebolehan seseorang untuk menghadapi dan mengatasi masalah pada hakikatnya bergantung kepada keadaan mindanya. Senaman adalah faktor penting dalam persediaan itu. Senaman dapat membantu seseorang menyediakan dirinya dari segi psikologi dan fisiologi. Untuk memahami ini, kita mesti terlebih dahulu memahami bagaimana organ yang mengagumkan itu, iaitu otak berfungsi.

Otak terdiri daripada kumpulan sel saraf khusus dan sel biasa yang menyokong dan menyuburkan neuron yang terdapat dalam sistem saraf. Maka, otak adalah suatu bahagian penting sistem saraf kita. Sistem saraf itu seperti rangkaian komunikasi yang menghubungkan segala bahagian badan, dengan otak sebagai pusat operasi.

Apabila anda bersenam, anda menambahkan bekalan darah kepada otak dan bersamanya bekalan oksigen. Ini membantu otak berfungsi dengan lebih berkesan. Kajian juga telah menunjukkan nilai senaman sebagai terapi bagi mereka yang menghidap penyakit mental.

Senaman juga merangsang badan meningkatkan pengeluaran unsur pemancar otak seperti endorfin dan lipotropin yang membantu badan menangani kesakitan, tekanan mental, kecemasan, ketegangan dan kemurungan. Edorfin juga dikeali sebagai ubat ‘rasa seronok’ kerana ia menyebabkan keadaan kesantaian dan kegembiraan.

Endorfin adalah pelali semula jadi badan. Pelari jarak jauh dan pejalan kaki biasanya akan mengalami ‘kekhayalan pelari’ itu selepas sesi latihan mereka. Mereka boleh ketagih padanya dan ramai pelari yang kuat merungut jika mereka terlepas atau tidak dapat menjalankan larian hariannya itu.

Selain aspek biologi yang dibincangkan di atas, senaman juga membantu membina keyakinan dan harga diri. Semangat kita akan dipertingkatkan andainya seseorang memuji kehilangan berat badan yang berlebihan, atau getaran otot badan yang diperkuatkan oleh senaman atau keserian wajah baru hasil penjagaan kesihatan.

Oleh itu, pada minggu ini, hanya sampai setakat ini saja saya boleh memperkatakan mengenai topik senaman dan kesihatan. Sehingga kita berjumpa dua minggu lagi dan pada kali itu saya ingin membincangkan mengenai kecergasan fizikal yang juga terletak di bawah topik yang sama.

No comments: