GOLONGAN ibu dan pekerja kesihatan kini memperoleh manfaat daripada satu kompilasi senarai yang memaparkan tujuh petanda berguna bagi memudahkan mereka mengenal pasti kesakitan serius bayi baru lahir dan memerlukan rawatan segera di hospital.
Setiap tahun, sekitar empat juta bayi mati di serata dunia sebelum mencecah usia sebulan. Tiga suku daripada angka tersebut meninggal dunia pada minggu pertama dan kebanyakannya akibat jangkitan bakteria, komplikasi kelahiran dan pramatang.
Sebuah artikel yang disiarkan dalam Lancet, menyebut para pengkaji berkata, senarai tersebut boleh membantu mengenal pasti penyakit serius yang dialami bayi berusia dua bulan ke bawah. Selain itu, ia juga mengemaskinikan maklumat yang sebelum ini tidak meliputi bayi berusia seminggu.
“Penjaga kanak-kanak atau ibu perlu peka jika si kecil tidak sihat kerana ia mungkin merupakan petanda satu penyakit serius. Jadi, mereka perlu lebih berhati-hati.
“Ia mungkin nampak ringkas tetapi inilah mesej yang ingin kita sampaikan agar lebih ramai sedar akan kepentingannya. “Misalnya, jika bayi anda hanya bergerak ketika disentuh, ia sepatutnya memberi petanda anak anda sedang menghadapi masalah,” kata Martin Weber dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Tujuh petanda klinikal yang disenaraikan termasuklah sejarah kesukaran makan dan sejarah mengalami konvulsi. Konvulsi adalah satu keadaan pengecutan tidak sengaja otot-otot yang menghasilkan peliukan tubuh dan anggota-anggota.
Selain itu, petanda lain seperti bayi hanya bergerak apabila dirangsang, kadar pernafasan (60 kali bernafas untuk seminit atau lebih), sakit dada dan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius atau suhu di bawah 35.5 darjah Celcius.
Sejumlah 8,889 bayi yang dimasukkan ke klinik-klinik di Bangladesh, India, Bolivia, Ghana, Pakistan dan Afrika Selatan telah dikaji sebelum senarai yang merangkumi 31 jenis petanda lazim untuk mengenal pasti penyakit-penyakit serius ini dikeluarkan.
Penilaian yang disifatkan ‘boleh diharap’ ini telah dibandingkan dengan keputusan yang dibuat oleh pakar-pakar pediatrik.
Weber turut menekankan, kadar kematian hanya boleh dikurangkan jika penjagaan kesihatan yang betul boleh diperoleh oleh kanak-kanak ini. – Reuters
No comments:
Post a Comment