Thursday, January 24, 2008

Tekanan akibat bekerja boleh bawa maut

LONDON: Kajian yang menunjukkan bukti kukuh bagaimana tekanan akibat bekerja meningkatkan risiko pada jantung dengan mengganggu sistem dalaman tubuh mendapati keadaan itu memang boleh membunuh. Kajian membabitkan lebih 10,000 kakitangan awam Britain juga menunjukkan perubahan biologi yang berlaku berikutan tekanan memainkan peranan penting secara langsung berbanding yang disangka sebelum ini, kata pakar epidemiologi di Kolej Universiti London, Tarani Chandola. “Ini adalah kajian populasi pada skala besar pertama yang melihat kesan tekanan yang diukur daripada kehidupan bekerja setiap hari ke atas penyakit jantung. Salah satu masalah ialah orang ramai masih ragu bahawa tekanan kerja benar-benar memberi kesan kepada seseorang secara biologi,” katanya yang mengetuai kajian.
Penyakit jantung adalah punca utama kematian di seluruh dunia. Ia disebabkan lebihan lemak yang menyukarkan dan menghalang arteri, tekanan darah tinggi yang merosakkan saluran darah dan faktor lain. Penyelidik mengukur tekanan di kalangan kakitangan awam dengan bertanya soalan mengenai desakan kerja mereka seperti sejauh mana mereka mengawal keadaan di tempat kerja, berapa kerap mengambil rehat, dan berapa kerap mereka tertekan sepanjang hari itu. Pasukan berkenaan mengendalikan tujuh tinjauan dalam masa 12 tahun dan mendapati pekerja yang tertekan secara kronik - mereka yang ditentukan berada dalam tekanan teruk dalam dua tinjauan pertama - berisiko 68 peratus menghidap penyakit jantung.
Kaitan itu paling kuat di kalangan responden berusia bawah 50 tahun. Chandola berkata: “Kajian ini menambah bukti bahawa ada kaitan penyakit jantung koronari dan tekanan kerja.” Kajian disiarkan dalam European Heart Journal. Tingkah laku dan perubahan biologi berkemungkinan dapat menjelaskan mengapa tekanan di tempat kerja menyebabkan sakit jantung, kata Chandola. Sebagai contoh, pekerja yang tertekan cenderung mengambil makanan tidak sihat, merokok, minum minuman keras dan tidak bersenam - semua tingkah laku yang dikaitkan dengan penyakit jantung. - Agensi

No comments: