Menguruskan tekanan mental yang anda hadapi
Tekanan mental dalam hidup seharian kita wujud dalam pelbagai bentuk dan saiz. Setiap orang menangani tekanan mental mengikut cara tersendiri. Ada yang menganggapnya sebagai dorongan untuk mengusahakan sesuatu tugasan. Bagi orang lain, tekanan mental boleh melumpuhkan semangat. Ada yang cuba menanganinya dengan makan mengikut nafsu manakala yang lain tunduk kepada godaan alkohol dan dadah. Sepatutnya, anda tidak boleh ditewaskan tekanan mental. Caranya ialah dengan mempelajari bagaimana menguruskan tekanan mental dengan berkesan.
Saya pernah ternampak plak di atas meja seorang pengarah syarikat berbunyi “Adakah anda datang membawa penyelesaian kepada masalah atau adakah anda sebahagian daripada masalah?” Kebanyakan majikan menggunakan kenyataan seperti itu untuk mengingatkan pekerja, khususnya di peringkat eksekutif, mengenai sumbangan atau ketiadaannya kepada organisasi itu. Ini kerana, majikan membayar gaji atas jangkaan kewajipan yang sudah dijanjikan itu akan dilaksanakan pekerja.
Suasana perniagaan hari ini pantas pergerakannya dan mencabar dengan tahap persaingan yang tinggi. Mereka yang cekap, memiliki dorongan dan tenaga secukupnya, mempunyai arah tuju yang jelas dan sasaran persendirian dan kerjaya yang jelas akan berjaya. Mereka yang kurang cekap atau kurang dorongan akan ketinggalan.
Ada eksekutif menetapkan sasaran amat tinggi dan tidak pernah goyah dalam usaha mencapainya, namun kejayaan tetap tidak dapat dikecapi. Kegagalan mereka itu disebabkan penetapan sasaran terlalu tinggi dengan mengambil kira masa dan bakat, masalah peribadi yang amat membebankan, pengurusan masa tidak cekap atau kerap tidak hadir bekerja disebabkan penyakit kronik.
Atau mungkin juga mereka sudah kehilangan hala tuju, dengan menganggapnya pula sebagai tekanan yang menelan tenaga. Mereka ini akhirnya akan begitu tertekan sehingga tidak lagi menjadi aset kepada organisasi malah beban. Sudah tentu majikan tidak inginkan eksekutifnya berasa tertekan kerana mereka sedar, tekanan mental itu boleh menyebabkan penyakit seperti hipertensi, penyakit jantung, migrain, sembelit, ulser gastrik, kelesuan, insomnia, permasalahan usus dan kemandulan, yang semuanya akan bermakna kurang masa dapat ditumpukan kepada kerja.
Tekanan mental adalah gerak balas kepada keadaan yang dirasai
Badan manusia mempunyai suatu set keadaan biokimia yang cuba menyesuaikannya dengan rangsangan dirasai sebagai tekanan, ketegangan dan tekanan mental. Ini menghasilkan perubahan psikologi dan fisiologi. Kelenjar pituitari, yang terletak di bawah otak, menghasilkan hormon yang kemudiannya merangsang pengeluaran hormon tambahan daripada kelenjar adrenal, yang terletak di sebelah buah pinggang, termasuklah hormon adrenalin dan kortisol.
Andainya badan manusia dikenakan tekanan, ketegangan dan tekanan mental sedemikian berulang kali, jumlah adrenalin dan kortisol yang dihasilkan akan melebihi had selamat kepada badan manusia.
Kelebihan adrenalin akan menambahkan risiko darah beku dan pengerasan arteri. Ini boleh menyebabkan pelbagai penyakit vaskular termasuk serangan jantung dan strok.
No comments:
Post a Comment