Thursday, January 31, 2008

Ubat tiruan terus berleluasa

UBAT, ubat, ubat. Boleh dikatakan ubat sudah seperti makanan ruji bukan sahaja untuk manusia malahan haiwan ternakan.

Bagaimanapun, tumpuan lebih diberikan kepada kesan terus pengambilan ubat tertentu kepada manusia terutamanya yang semakin banyak dan sering digunakan kini.
Bayangkan, ubat yang tulen, dalam dos bahan aktif yang terkawal serta mempunyai kesan sampingan tertentu walaupun ia amat berkesan.

Sekarang bayangkan ubat yang ‘sama’ tetapi merupakan ubat tiruan, dengan dos bahan aktif tidak diketahui tetapi dipromosikan penjual mempunyai kesan lebih cepat dan kuat serta harga yang lebih murah.

Secara logik, ramai akan berfikir pilihan pasti memihak kepada yang tulen tetapi sebaliknya lebih ramai yang rela mempertaruhkan nyawa sendiri dan keluarga semata-mata untuk menjimatkan duit.

Namun bukan semua pembeli begini. Ada juga yang tertipu akibat rupa ubat tiruan amat menyerupai yang tulen dan ada juga yang menjadi pembeli pertama kali ubat berkenaan yang tidak dapat membezakannya dari segi rupa, harga mahupun tahap keberkesanan.

Terus berleluasa

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan ubat tiruan sebagai produk yang ditiru dengan sengaja melalui penipuan label dan pengenalan untuk menampakkannya seperti ubat tulen.

Selain itu, ubat tiruan juga mempunyai kandungan dan kuantiti yang tidak sama dengan ubat tulen sama ada lebih banyak, kurang daripada sepatutnya atau tiada langsung bahan aktif.
WHO juga menganggarkan sebanyak enam hingga sepuluh peratus ubat-ubatan di pasaran seluruh dunia adalah tiruan dengan nilai mencecah AS$35 bilion (RM113.46 bilion) setahun dan angka ini dijangka lebih tinggi di negara-negara membangun.

Di Malaysia, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan melalui Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan bertanggungjawab mendaftar semua produk farmaseutikal yang ingin dipasarkan melalui peruntukan undang-undang sedia ada. Pendaftaran semua produk farmaseutikal dapat menjamin ianya selamat, berkualiti dan berkesan.

Pakar Runding Urologi Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Dr. Peter Ng mendakwa sesetengah orang ramai menyamakan pembelian ubat tiruan dengan cakera video digital (DVD) cetak rompak yang lebih murah dan tidak membawa mudarat kepada diri mereka.
“Pandangan umum bahawa ubat tiruan tidak akan membawa mudarat, murah dan tidak perlu berjumpa doktor untuk mendapatkannya adalah tidak benar sama sekali.

“Semua jenis ubat-ubatan merupakan ‘racun’ kepada badan manusia. Oleh itu, amat penting untuk kita memahami dan mematuhi cara penggunaannya yang berbeza mengikut masalah kesihatan individu,” katanya.

Beliau memberikan contoh ubat untuk masalah mati pucuk atau ubat tenaga batin yang merupakan antara jenis ubat tiruan yang paling banyak dijual kini.

“Ubat jenis ini hanya sesuai digunakan jika anda mempunyai masalah berkaitan mati pucuk dan mempunyai jantung yang sihat.

“Seseorang yang tiada masalah mati pucuk atau mempunyai jantung bermasalah tidak sepatutnya menggunakan ubat jenis ini. Jika ubat nitrat pesakit jantung dicampurkan dengan ubat berkenaan, tekanan darah pesakit akan menjunam dan boleh membawa maut,” jelasnya.
Selain kesan sampingan, Dr. Peter turut membangkitkan satu lagi masalah dengan pengambilan ubat iaitu penggunaan lebih daripada satu jenis pada satu-satu masa.

“Masalah mungkin timbul akibat pengambilan beberapa jenis ubat bagi pesakit yang mengalami bermacam jenis penyakit.

“Ubat-ubat yang berbeza ini juga mungkin bertindak balas di antara satu sama lain dan menyebabkan tindak balas tidak diingini.

“Ubat tulen mungkin telah melalui ujian untuk mengelakkan kesan campuran ubat-
ubat berkenaan tetapi berbeza pula bagi ubat tiruan yang tidak diketahui kandungan jenis dan jumlah bahan aktifnya,” ujar beliau.

Menurut beliau, bermacam ujian yang dijalankan bagi memastikan ubat tulen selamat digunakan menjadi punca ia jauh lebih mahal daripada ubat tiruan.

Tambahnya, ujian-ujian bukan sahaja memastikan piawaian tinggi untuk jaminan kesihatan pengguna malahan dapat menentukan kesan penggunaan ubat berkenaan.

Ubat tiruan bukan sahaja tidak ditetapkan jenis dan jumlah kandungan bahan aktifnya, malahan mungkin tercemar dengan bermacam bahan toksik akibat penghasilan yang dijalankan di tempat tidak bersih.

Ubat tiruan dapat dijual murah dengan proses penghasilan dijalankan di dapur, tandas mahupun belakang rumah di samping penggunaan alat dan bahan yang murah serta tidak bersesuaian.
Pilihan untuk membeli ubat tiruan mungkin akan menamatkan riwayat anda tetapi ini selalunya tidak berlaku serta-merta kecuali jika terdapat bahan cemar amat berbahaya atau jumlah bahan aktif terlalu banyak di ubat tiruan itu.

Pengguna

Dalam kebanyakan kes, pengguna yang memilih ubat tiruan akan mengalami kemerosotan kesihatan secara perlahan dan mengalami kesan lebih teruk mengikut tempoh pengambilan ubat berkenaan.

Dr. Peter turut menjelaskan kesan pengambilan ubat, terutamanya jenis tiruan ke atas buah pinggang yang mencuci badan daripada bahan di dalam ubat yang digunakan.
“Perlu diingat bahawa sesetengah ubat membahayakan kesihatan buah pinggang, terutamanya jika tidak diketahui kandungannya seperti ubat tiruan.

“Anda akan hanya merasakan kesakitan atau bermasalah dengan fungsi buah pinggang selepas hanya tinggal 15 peratus daripada struktur buah pinggang masih berfungsi,” ujarnya.
Menurut beliau, ini bermakna badan tidak akan menunjukkan sebarang masalah sehinggalah hanya tinggal sebahagian kecil organ ini masih berfungsi, selalunya sukar atau terlambat untuk diselamatkan lagi.

Tambahnya, organ hati yang turut mencuci badan daripada bahan toksik dapat bertahan lebih lama kerana lebih kuat daripada buah pinggang, tetapi organ ini juga pasti rosak jika pengambilan ubat secara berbahaya berterusan.
Dalam pada itu, ubat tiruan termasuk jenis herba turut dikatakan mengandungi kandungan steroid yang tinggi.

Menurut Dr. Peter, steroid akan menghasilkan rasa badan semakin kuat dan gembira jika diambil dengan banyak, menyebabkan pengguna memikirkan ubat berkenaan berkesan.
“Pengguna boleh mendapat sindrom steroid di mana sistem imuniti badan dan tekanan darah juga mungkin jatuh ketika menjalani pembedahan. Ini mendedahkan mereka kepada jangkitan kuman dan juga ulser peptik yang menyebabkan pesakit memuntahkan darah,” katanya.

No comments: