Penyakit katarak ataupun selaput mata merupakan masalah penglihatan yang paling kerap dihadapi oleh warga emas di seluruh dunia secara amnya. Penyakit katarak yang berlaku di kalangan warga emas dikenal pasti berpunca daripada proses peningkatan usia.
Kanta mata asal yang jernih telah bertukar secara perlahan-lahan menjadi keruh dan menyebabkan pandangan menjadi kabur.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit katarak yang disebabkan oleh faktor peningkatan usia menyumbang kepada 48 peratus kes-kes buta di seluruh dunia dan jumlah ini melibatkan seramai 18 juta penduduk dunia.
Senario yang sama juga turut berlaku di negara ini. Ramai kalangan warga emas yang mendapatkan rawatan di klinik-klinik pakar mata di hospital kerajaan atau swasta mengalami masalah katarak.
Penyakit katarak yang disebabkan faktor peningkatan usia biasanya berlaku pada individu yang berusia melebihi umur 60 tahun. Penyakit ini berlaku secara perlahan-lahan dan biasanya melibatkan kedua-dua belah mata. Penyakit ini juga berlaku tanpa mengira jantina lelaki atau perempuan.
Pesakit kencing manis, pendedahan kepada sinaran cahaya ultraviolet, merokok dan pengambilan alkohol meningkatkan risiko penyakit ini.
Tanda-tanda
Penyakit katarak akibat peningkatan faktor usia berlaku secara perlahan-lahan.
Antara tanda-tanda awal ialah penglihatan jauh menjadi kabur dan kerap menukar cermin mata.
Penyakit ini tidak menyebabkan rasa sakit pada bola mata ataupun menyebabkan bola mata menjadi merah.
Pesakit yang mengalami penyakit katarak pada peringkat yang hampir matang akan mengalami gangguan penglihatan yang ketara terutamanya pada jarak yang dekat.
Pesakit akan mengalami kesukaran untuk melihat ketika membaca, menulis dan memandu. Pesakit yang mengalami penyakit katarak matang pada kedua-dua belah mata pula akan mengalami kesukaran untuk menjalani aktiviti harian lain seperti makan, minum dan menjaga kebersihan diri.
Warga emas dengan masalah ini sebenarnya akan mengalami waktu yang sangat sukar kerana mereka memerlukan bantuan orang lain sepanjang masa untuk menguruskan diri sendiri.
Komplikasi Katarak Matang
Katarak yang matang boleh menyebabkan berlakunya keadaan yang dikenali sebagai glaukoma sekunder. Pesakit yang mengalami keadaan ini biasanya mengalami sakit yang kuat pada bola mata secara tiba-tiba.
Bola mata juga menjadi merah dan pesakit mungkin mengalami gejala seperti loya, muntah dan sakit kepala.
Keadaan ini berlaku disebabkan oleh gangguan kepada aliran cecair akuas di dalam mata yang disebabkan oleh katarak yang matang.
Tekanan di dalam bola mata menjadi tinggi dan pesakit perlu menjalani pembedahan kecemasan katarak sekiranya keadaan ini berlaku.
Pesakit dinasihatkan supaya menjalani pembedahan katarak mengikut nasihat yang diberikan oleh doktor pakar mata dan tidak bersikap ‘tunggu dulu’ sehingga keadaan glaukoma sekunder ini berlaku.
Potensi pesakit untuk melihat semula selepas pembedahan adalah jauh lebih baik sekiranya pembedahan katarak dilakukan secara elektif dan terancang berbanding pesakit yang hanya menjalani pembedahan setelah mengalami keadaan glaukoma sekunder.
Kaedah rawatan
Warga emas yang mengalami tanda-tanda seperti yang dinyatakan dinasihatkan berjumpa doktor pakar mata, sama ada di hospital kerajaan atau swasta. Pakar mata akan menjalankan pemeriksaan mata yang menyeluruh bagi memastikan diagnosis yang tepat ke atas pesakit.
Bagi pesakit yang mengalami penyakit katarak pada peringkat awal, biasanya akan disarankan menggunakan cermin mata bagi membantu penglihatan pesakit.
Pesakit mungkin memerlukan pemeriksaan mata secara berkala. Perkara ini bergantung kepada keadaan mata dan tahap penyakit katarak seseorang pesakit.
Warga emas yang didapati mengalami keupayaan penglihatan yang terjejas teruk akibat penyakit katarak, biasanya disarankan oleh doktor pakar mata supaya menjalani pembedahan katarak.
Para pesakit dinasihatkan supaya tidak menunggu sehingga penyakit katarak mencapai tahap matang, barulah mereka bersedia untuk menjalani pembedahan.
Pembedahan Katarak Secara Moden
Pembedahan katarak secara moden adalah selamat dan kemudahan ini disediakan di hospital-hospital kerajaan dan hospital swasta yang menawarkan kepakaran oftalmologi di seluruh Malaysia.
Kemudahan dan kepakaran yang ditawarkan di negara kita juga adalah setanding dengan negara-negara luar. Pembedahan katarak boleh dilakukan secara bius setempat atau bius am, bergantung kepada keperluan pesakit.
Pembedahan
Pesakit yang turut mengalami masalah perubatan yang lain seperti kencing manis, darah tinggi, asma, kegagalan buah pinggang dan masalah jantung perlu menjalani pemeriksaan fizikal secara menyeluruh bagi memastikan tahap kesihatan mereka memuaskan sebelum menjalani pembedahan katarak.
Semasa pembedahan katarak, kanta mata yang keruh akan dikeluarkan dan ia perlu diganti dengan kanta mata tiruan. Kanta mata tiruan akan dimasukkan ke dalam bola mata pesakit bagi menggantikan fungsi kanta mata yang asal dan membantu memulihkan keupayaan penglihatan setiap pesakit.
Pembedahan katarak secara ‘phacoemulsification’ boleh dilakukan ke atas pesakit yang belum mencapai tahap katarak matang.
Luka pada bola mata pesakit yang menjalani pembedahan secara teknik ini sangat kecil dan mungkin tidak memerlukan sebarang jahitan.
Keadaan ini membolehkan luka tersebut sembuh dengan kadar yang cepat dan kemungkinan berlakunya astigmatism (lekuk kornea) selepas pembedahan adalah sangat rendah.
Pesakit boleh menjalani aktiviti harian asalkan di dalam tempoh enam minggu hingga dua bulan selepas pembedahan.
Pesakit yang mengalami katarak pada peringkat matang biasanya perlu menjalani teknik pembedahan yang sedikit berbeza.
Teknik pembedahan ini dikenali sebagai pembedahan katarak secara ‘extracapsular’. Pembedahan secara ini melibatkan luka yang lebih besar berbanding luka yang dilakukan semasa pembedahan secara ‘phacoemulsification’.
Luka ini perlu dijahit dan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.
Pesakit biasanya dibenarkan menjalani aktiviti harian yang asal selepas tempoh dua atau tiga bulan.
Terdapat juga beberapa salah tanggapan mengenai rawatan katarak di kalangan warga emas dan anggota masyarakat kita seperti;
* Pembedahan katarak menyebabkan pesakit menjadi buta
* Pembedahan katarak tidak memerlukan penggunaan kanta tiruan
* Pembedahan katarak hanya boleh dilakukan setelah katarak mencapai tahap matang sahaja.
Pesanan penting
Berjumpalah doktor pakar mata untuk mendapatkan nasihat sekiranya ibu bapa, kaum keluarga atau warga emas yang anda kenali mengalami tanda-tanda katarak seperti yang dinyatakan.
Penyakit ini tidak seharusnya menyebabkan seseorang individu menjalani kehidupan yang kabur dan sukar.
Pastikan juga ibu bapa anda menghabiskan usia-usia emas mereka dengan kehidupan yang berkualiti dan bermakna.
Langkah-langkah pencegahan
Setakat ini tiada langkah pencegahan yang khusus untuk penyakit ini memandangkan puncanya dikenal pasti berlaku akibat peningkatan faktor usia.
Bagaimanapun, para penyelidik dan doktor menyarankan pesakit supaya berhenti merokok, mengelakkan pengambilan alkohol dan mengurangkan pendedahan kepada sinar ultraviolet bagi memperlahankan kadar proses katarak berlaku.
Pesakit kencing manis dan darah tinggi juga dinasihatkan supaya memastikan tahap kesihatan mereka terkawal dan memuaskan.
Oleh:DR. SHATRIAH ISMAIL (Pensyarah Kanan dan Pakar Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan, Kelantan)
Thursday, January 31, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Info yang berguna. Katarak boleh disebabkan oleh faktor usia dan faktor sekunder iaitu penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. Untuk mencegah katarak, mata perlu dijaga dari awal kerana proses pembentukan selaput pada kanta mata adalah satu proses yang perlahan dan berterusan. Bagi mencegah katarak, seseorang yang berisiko tinggi digalakkan untuk mengamalkan pemakanan yang kaya dengan Vitamin C, beta-carotene dan Vitamin E. Selain itu, bagi mereka yang menghidap penyakit-penyakit kronik, kawalan penyakit itu sangat penting. Merokok dan pengambilan minuman keras juga tidak digalakkan kerana ia boleh mengurangkan kandungan air di dalam kanta dan menyebabkan kanta menjadi kering dan tidak kenyal.
Post a Comment