Thursday, January 17, 2008

Bila mata anak juling

MATA juling yang dibiarkan tanpa rawatan sewajarnya boleh mengundang gejala ambliopia.
Ramai ibu bapa tidak tahu dan sedar tentang wujudnya cara terbaik untuk memulihkan masalah juling yang dialami anak-anak.
SUKAR dinafikan masalah juling yang menimpa kanak-kanak sering membangkitkan rasa bimbang dalam kalangan ibu bapa. Masih ingat lagi saya sewaktu bertemu dengan seorang kenalan rapat yang meluahkan keresahannya apabila mengesan masalah juling pada anak kecilnya baru-baru ini.

Meskipun dalam keresahan, ramai ibu bapa tidak tahu dan sedar adanya cara terbaik untuk memulihkan keadaan juling.

Masalah juling yang dikenali sebagai strabismus dalam kanak-kanak lazimnya dikesan apabila salah satu bola mata bergerak ke dalam atau terlalu ke luar. Strabismus terjadi apabila berlaku kekurangan koordinasi antara kedua-dua mata.

Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak dilihat lebih cenderung mendapat masalah juling yang dikenali sebagai esotropia. Kebiasaannya, esotropia yang merupakan strabismus hadir sebelum seseorang kanak-kanak mencecah usia empat tahun. Sesetengah masalah juling pula hadir sewaktu lahir.
Esotropia terjadi apabila kedua-dua mata gagal untuk memberi tumpuan kepada imej yang sama. Apabila ini berlaku, otak mungkin memperoleh petanda untuk mengendahkan ‘input’ daripada salah satu mata tersebut.

Keadaan ini jika dibiarkan berlanjutan dan lama-kelamaan, mata juling yang tidak menerima rawatan sewajarnya boleh menjurus kepada gejala ambliopia atau mata malas.

Seorang Pakar Oftalmologi, Dr. Yeoh Phee Liang yang ditemui KOSMO! berkata, biarpun ambliopia adalah satu keadaan yang serius, ia masih mempunyai peluang rawatan.
“Terdapat tiga faktor kemungkinan yang boleh menyebabkan mata juling. Pertama, genetik. Kedua, kesilapan refraktif dan ketiga, keabnormalan okular.

“Dalam kebanyakan kes juling, kegagalan mekanisme pusat yang mengawal perkembangan penglihatan binokular tunggal menjadi puncanya.

“Kegagalan ini boleh berlaku sama ada ekoran faktor keturunan ataupun lazimnya ditemui dalam kerosakan otak yang berlaku pada pesakit Sindrom Down,” katanya.
Menurutnya, masalah juling sebenarnya boleh dikesan menerusi beberapa langkah mudah. Ini termasuk menjalani pemeriksaan refleks kornea menggunakan lampu suluh dan ujian tutup. Ujian tutup dilakukan dengan menutup sesuatu mata yang terpaku melihat objek bagi menggerakkan mata juling agar mengisi tumpuan tersebut.

Jelasnya, adalah penting untuk masalah juling dan ambliopia yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dikesan seawal mungkin bagi mengelakkan kecacatan penglihatan tidak perlu.
Ibu bapa disarankan membawa anak berjumpa dengan pakar mata agar pemeriksaan rutin boleh dijalankan, selain mengesan risiko masalah juling.

“Biarpun dengan kekerapan berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan mata berjadual, ibu bapa perlu beritahu doktor andainya mereka mengesyaki sebarang simptom masalah juling,” tambahnya.
Bercerita lanjut, Dr. Yeoh menekankan ibu bapa tidak harus meremehkan pengurusan mata juling kerana terdapat beberapa langkah awal yang boleh membantu pesakit seumpama ini.
“Taksiran ketajaman penglihatan seseorang kanak-kanak (yang sangat muda) boleh diperoleh menerusi pemantauan. Ini bermaksud keupayaan kanak-kanak mengambil objek-objek kecil atau mengikut sasaran berayun akan dipantau bagi memeriksa ketajaman penglihatan setiap mata,” katanya.

Oftalmoskopi pula akan dijalankan bagi mengecualikan penyakit okular. Oftalmoskopi adalah satu pemeriksaan pada bahagian interior mata termasuk retina, diska optik, saluran darah dan koroid.

Jelasnya lanjut: “Retinoskopi digunakan untuk mendiagnosis kehadiran sebarang kesilapan pembiasan ketara. Pemeriksaan fundus (bahagian dalam mata yang terletak bertentangan dengan pupil) adalah dibantu dengan penggunaan titisan Atropine untuk mengembangkan anak mata kanak-kanak.”

Menurut Dr. Yeoh, antara langkah lain yang boleh dilakukan termasuk penggunaan cermin mata untuk memperbaiki kadar ketajaman penglihatan, selain menyeimbangkan semula tumpuan dengan akomodasi. Akomodasi merujuk kepada penyesuaian bentuk kanta untuk menukarkan fokus mata.

Beliau memberitahu, sesetengah kes penglihatan juling binokular boleh diperbaiki dengan membetulkan hipermetropia (rabun dekat) yang dialami.

“Andainya masalah juling sudah bertambah teruk dan akhirnya merosakkan penglihatan serta tidak boleh dibetulkan lagi, ini bermakna hadirnya ambliopia.

“Ambliopia boleh diperbetulkan dengan memaksa anak menggunakan sebelah mata yang lemah. Keadaan ini akan mendorong mengembangkan ketajaman penglihatan kepada normal. Perlu diingatkan, ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk memastikan rawatan berkesan,” jelasnya.

Dalam kes-kes tertentu, pembedahan mungkin diperlukan untuk membetulkan keadaan mata juling, di samping membantu mengembalikan penglihatan binokular sesetengah situasi.
Dr. Yeoh berkata, pembedahan ke atas masalah juling tercapah yang jarang berlaku pula boleh diperlambatkan kecuali percapahan mata sudah bertambah teruk.
Justeru, beliau menggesa agar ibu bapa lebih peka dan segera mendapatkan bantuan pakar seandainya mengesan simptom-simptom masalah juling pada anak-anak.

No comments: