Thursday, January 17, 2008

Teknologi keselamatan pemindahan darah

Setiap unit darah yang didermakan dapat menyelamatkan banyak nyawa

UMUM mengetahui betapa pentingnya darah dalam merawat pesakit yang cedera atau menghidapi pelbagai jenis penyakit. Seperti juga keperluan untuk penderma organ, penderma darah amat kritikal untuk membolehkan doktor menyelamatkan nyawa pesakit.
Namun, seperti juga isu organ, lebih ramai yang memberikan alasan daripada menampilkan diri sebagai penderma.

Orang ramai perlu memahami bahawa setiap unit darah yang didermakan mungkin digunakan oleh ramai pesakit sama ada dalam bentuk darah lengkap atau produk darah seperti platlet, plasma, sel darah, tapisan sel darah putih (untuk kes khas) dan cryoprecipitate yang mengandungi protein tertentu dan faktor pembekuan darah.

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tahun 2006 mencatatkan pendermaan 477,365 unit darah berbanding tahun 1996 yang hanya mencatatkan 202,241 unit darah didermakan.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa daripada jumlah unit didermakan itu, ada di antaranya adalah daripada penderma sama yang menderma beberapa kali dalam setahun.
Berdasarkan catatan unit didermakan pada 2006 ini juga, jumlah berkenaan cuma bersamaan dengan 1.8 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia ketika itu.

Ini bermakna jumlah tidak sampai 500,000 unit darah ini perlu dikongsi semua pusat perubatan seluruh negara untuk merawat lebih 26 juta penduduk Malaysia.

Ini menjadi masalah meruncing terutamanya kepada mereka yang menghidap penyakit seperti talasemia dan hemofilia yang memerlukan pemindahan darah berkali-kali serta kepada pesakit yang kehilangan banyak darah akibat kecederaan atau kemalangan.

Lebih memburukkan keadaan, darah yang didermakan juga bukan dapat disimpan lama.
Unit darah lengkap atau unit sel darah merah (RBC) hanya boleh disimpan sekitar 42 hari sementara produk darah seperti platlet dapat disimpan selama lima hari sahaja.

Walaupun stok darah sedia ada tidak digunakan, darah baru akan diperlukan setiap hari bagi menggantikan unit darah atau produk darah yang telah luput tarikhnya.

Untuk itu, KKM membuat sasaran jangka panjang untuk mencapai angka lima peratus penderma (kira-kira 1.3 juta orang) yang memungkinkan kutipan derma lebih dua juta unit darah setiap tahun bagi menampung keperluan rakyat negara ini yang semakin meningkat bilangannya setiap tahun.

Selalunya 80 peratus daripada bekalan darah yang didermakan ini digunakan untuk rawatan pesakit sementara yang selebihnya tamat tempoh sebelum dapat digunakan.

Sementara itu, KKM turut mencatatkan peningkatan peratusan penderma darah secara sukarela di Malaysia kepada 99.3 peratus pada 2006 berbanding hanya 52 peratus pada 1992.
Sebelum ini, kebanyakan pendermaan menggunakan cara penderma gantian iaitu pesakit yang telah sihat atau ahli keluarga pesakit mendermakan darah bagi menggantikan unit yang digunakan untuk rawatan.

Ini merupakan satu kejayaan sedangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan hanya 40 peratus penderma darah di negara membangun menderma secara sukarela.

Semenanjung Malaysia dilaporkan telah mencapai 100 peratus penderma secara sukarela sementara Sabah mencatatkan 93.7 peratus dan Sarawak 99.9 peratus.
Bertambah

KKM kini mempunyai sebanyak 114 bank darah di hospital kerajaan dan jumlah ini dijangka bertambah setiap tahun.

Tujuh lagi pusat pemindahan juga sedang dirancang untuk dibina di daerah Sungai Petani, Ipoh, Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu, Kuching dan Kota Kinabalu.


Pusat pemindahan darah ini akan menawarkan perkhidmatan seperti:

* Mengumpul, menyaring, memproses, menyimpan dan membekalkan darah yang diperlukan hospital.

* Khidmat nasihat mengenai pemindahan darah, masalah pendarahan dan hematologi (kaji darah).

* Latihan, didikan umum, penyelidikan dan jaminan kualiti.

* Pendaftaran penderma darah.

Kini 71 hospital swasta di Lembah Klang dan 189 lagi di seluruh negara telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan KKM untuk mendapatkan bekalan darah atau produk darah.

Mengikut Akta Bayaran yang digunakan sejak 1995 pula, kerajaan akan mengenakan caj RM20 atau sebahagian daripada kos memproses dan menyaring untuk setiap unit darah atau produk darah yang dibekalkan kepada hospital swasta.

Caj ini bukanlah untuk menjual bekalan darah tetapi bagi menampung kos beg darah, bahan kimia dan terutama sekali ujian saringan bagi memastikan darah berkenaan selamat untuk digunakan.

Kerajaan juga kini memperuntukkan lebih RM100 juta setahun bagi memastikan bekalan darah yang selamat untuk kegunaan semua pusat perubatan kerajaan dan swasta.
Bagaimanapun, terpulang kepada pihak hospital swasta untuk menentukan sebarang caj yang dikenakan kepada pesakit yang menerima pemindahan darah bagi menampung kos operasi mereka.

Caj ini juga tidak boleh melebihi daripada jumlah yang dibayar kepada kerajaan dan perlu dinyatakan dengan jelas di dalam resit bayaran pesakit bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.
Kerajaan juga boleh menamatkan perjanjian dan menghentikan bekalan darah dan produk darah kepada mana-mana hospital swasta didapati melanggar mana-mana syarat yang telah ditetapkan.

Menjamin darah selamat

Darah amatlah penting dan sering digunakan dalam pembedahan serta rawatan anemia (kurang darah) akibat penyakit, pendarahan teruk, denggi, ulser perut atau hasil diet kurang berkhasiat.
Pakar Runding Perubatan dan Rawatan Sistem Pernafasan, Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur, Dr. Ming Hui Ying menjelaskan hanya sejumlah kecil darah tercemar sudah cukup untuk menyebabkan jangkitan.

“Walaupun cuma luka daripada jarum tercemar, ini sudah cukup untuk menyebabkan jangkitan memandangkan saiz kuman atau virus yang amat kecil dan tidak memerlukan bilangan yang banyak untuk menyebabkan jangkitan kepada penerima darah.

“Oleh itu, darah dan semua produk darah berpotensi menyebarkan penyakit jika ia berasal daripada unit darah yang tercemar,” katanya.

Jelas beliau, bukan sahaja pesakit, doktor dan jururawat yang menguruskan darah juga berisiko dijangkiti agen jangkitan yang sama jika tidak berhati-hati.

Orang ramai pula selalunya tidak berisiko dijangkiti kuman atau virus daripada pesakit yang dijangkiti melalui pemindahan darah, kecuali melalui hubungan seksual atau melalui darah (dari luka pada pesakit kepada luka individu sihat).

Sehingga Disember 2006, KKM merekodkan 29 kes jangkitan akibat HIV/AIDS yang didakwa hasil daripada pemindahan darah tercemar.

Kebanyakan daripada mereka yang dijangkiti ini merupakan pesakit yang memerlukan pemindahan darah berkali-kali dan dijangkiti darah tercemar sebelum arahan ujian darah mula diperkenalkan pada 1986.

Rendah

Bilangan kes ini masih rendah jika dibandingkan kira-kira 6,000 kes di Eropah dan 8,000 di Amerika Syarikat dalam tempoh masa sama.

Untuk mengatasi sebarang risiko keselamatan darah, bermacam ujian ketat dijalankan di setiap peringkat dari pendermaan sehingga sebelum pemindahan darah kepada pesakit.

Bagaimanapun, risiko kecil darah yang didermakan itu tercemar tetap ada terutamanya ketika tempoh perantara iaitu tempoh dari penderma mula dijangkiti sehingga tempoh antigen (protein pada struktur sel atau virus) atau antibodi dihasilkan sistem imuniti badan bagi menentang jangkitan berkenaan mula dikesan.

Ketika tempoh ini, penderma sendiri mungkin tidak tahu dirinya telah dijangkiti kerana tidak mempunyai sebarang gejala penyakit sementara ujian makmal pula negatif.
Setiap tahun, satu peratus daripada jumlah unit darah yang didermakan didapati tercemar dengan kuman atau virus tertentu.

Pada 2006, 5,642 unit dikesan tercemar iaitu 4,125 unit dengan virus Hepatitis B (HBV), 739 unit dengan siflis, 655 unit dengan virus Hepatitis C (HCV) dan 123 unit dengan virus HIV.
Dalam pada itu, Dr. Hui Ying menyatakan, selain virus, ujian saringan darah juga dapat mengesan kebanyakan penyakit bawaan aktiviti seksual seperti siflis, gonorea dan chlamydia serta beberapa penyakit berjangkit lain.

“Secara peribadi, saya sendiri tidak pernah melalui kejadian pemindahan darah melibatkan darah tercemar sebelum ini.

“Kes seperti ini jarang berlaku memandangkan ujian saringan yang ketat dijalankan terhadap setiap unit darah yang didermakan sebelum digunakan untuk rawatan,” ujarnya.
Kata beliau, selain penyakit, beberapa jenis antibodi penderma juga mungkin memberi kesan kepada penerima darah, bergantung kepada jumlah dan tahap aktiviti antibodi yang dipindahkan itu.

Tambahnya, kebanyakan antibodi yang boleh membahayakan penerima kini sudah mula diuji makmal tabung darah bagi membolehkan doktor menilai penerimaan darah tersebut oleh badan pesakit sebelum pemindahan darah dijalankan.

Secara teorinya pula, dadah dan ubat juga boleh dipindahkan melalui darah.
Bagaimanapun individu yang menyalahgunakan dadah tidak dibenarkan menderma dan kebarangkalian ini berlaku adalah cuma jika mereka menipu dalam tapisan soal jawab sebelum menderma.

Individu yang mengambil ubat pula, seperti pesakit diabetes, biasanya tidak mengambil jumlah ubat yang besar dan memberi kesan kepada badan pesakit dan kebiasaannya badan pesakit sendiri dapat memetabolismekan bahan kimia ubat itu.

Bahan lain seperti gula, kolesterol atau protein berlebihan di dalam darah juga tidak akan meninggalkan kesan kepada individu yang mempunyai metabolisme normal kerana ia akan diuraikan sendiri badan pesakit.

Doktor juga tidak akan memberi darah sewenang-wenangnya serta akan menilai baik dan buruk kepada pesakit sebelum memilih untuk membuat pemindahan darah.

Jika tiada bekalan darah yang sesuai, doktor akan memberikan yang paling hampir dengan jenis darah pesakit dan menggunakan ubat tertentu untuk mengelakkan kesan sampingan serta mengurangkan kesan penolakan oleh sistem imuniti badan pesakit.

Keadaan ini mungkin berlaku terutamanya dalam kes kecemasan yang memerlukan pemindahan segera kepada pesakit.

Unit darah yang tercemar pula tidak akan digunakan dan akan dimusnahkan.
Buat masa ini, belum ada produk lain yang dapat menggantikan sepenuhnya penggunaan darah yang didermakan.

Sesetengah individu juga terpaksa menyimpan darah sendiri untuk kegunaan ketika kecemasan, seperti mereka yang mempunyai jenis darah yang jarang ditemui atau mengandungi antibodi tertentu.

Dr. Hui Ying juga menegaskan negara sememangnya kekurangan bekalan darah dan memerlukan lebih ramai penderma.

“Darah mempunyai pelbagai jenis kegunaan untuk merawat pesakit.
“Bagaimanapun, jika anda mengetahui diri berisiko atau mempunyai penyakit yang boleh disebarkan, janganlah menderma,” katanya.

Beliau menasihatkan semua individu yang ingin menderma menjawab borang soal jawab dengan jujur dan jika ragu-ragu atau tidak tahu perlulah bertanya kepada petugas perubatan.

Orang ramai yang berminat untuk menderma darah atau ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Darah Negara di talian 603-26933888 atau dengan melayari laman web www. pdn.gov.my.

Teknologi NAT

Saban tahun, kerajaan membelanjakan RM83 bagi menguji setiap unit darah untuk virus HIV, HBV, HCV dan siflis menggunakan ujian serologi yang mengesan antigen atau antibodi yang dikeluarkan sistem imuniti badan bagi menentang jangkitan.

Mulai tahun ini, satu teknologi baru digunakan bagi mengesan virus HIV, HBV dan HCV terutamanya dalam tempoh perantaraan.

Ujian dikenali sebagai Amplifikasi Asid Nukleik (NAT) ini bukan sahaja lebih tepat, sensitif dan spesifik, malahan dapat mengesan virus lebih awal berbanding ujian serologi.

Ujian ini juga tidak digunakan untuk mengesan antigen atau antibodi tetapi mengesan komponen genetik agen jangkitan (asid nukleik – DNA atau RNA).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad yang merasmikan teknologi NAT baru-baru ini menjelaskan kerajaan akan menambahkan peruntukan RM30 juta setahun bagi menggunakan NAT untuk menjamin tahap keselamatan darah yang digunakan.

“Ujian NAT akan menelan kos tambahan sebanyak RM70 untuk setiap unit darah yang didermakan.

“Kos ini tidak akan dipindahkan kepada pesakit tetapi adalah untuk memastikan darah dan produk darah selamat digunakan untuk merawat pesakit,” jelasnya.

Ujian ini dilakukan secara automatik sepenuhnya selain boleh mengesan untuk kuman siflis.
Ujian NAT juga dikatakan dapat menguji 100 sampel sekali gus setiap lima jam dan dianggarkan dapat menguji antara 700 hingga 800 sampel darah setiap hari.

Bagaimanapun, buat masa ini ujian NAT hanya dikhaskan untuk ujian unit darah yang didermakan sahaja dan belum digunakan untuk ujian diagnostik darah pesakit.

Dengan teknologi ini, kehadiran komponen genetik virus di dalam darah penderma dapat dikesan dengan lebih awal walaupun dengan bilangan virus yang sedikit, seperti berikut:

* HIV-1 dapat dikesan antara lima hingga enam hari (selepas penderma dijangkiti) berbanding dengan ujian serologi yang mengesan antibodi terhadap virus (anti-HIV) selepas 21 hari
* HCV dapat dikesan antara empat hingga lima hari berbanding dengan ujian serologi yang mengesan antibodi terhadap virus (anti-HCV) selepas 59 hari
* HBV dapat dikesan antara 35 hingga 36 hari berbanding dengan ujian serologi yang mengesan antigen virus (HBsAg) selepas 54 hari.

No comments: