Wednesday, May 28, 2008

Erb palsi boleh sebabkan lumpuh


KEADAAN bahu bayi yang mengalami Erb Palsi

Kecederaan pada saraf bayi boleh dielakkan sebelum proses kelahiran dengan mengelakkan saiz kandungan terlalu besar

ANDA biasa mendengar kisah bayi yang terkehel bahu ketika dilahirkan di hospital. Biasanya kes seperti ini akan diikuti dengan ibu bapa bayi terbabit mengambil tindakan mahkamah terhadap doktor yang menyambut kelahiran dan hospital tempat bayi itu dilahirkan.

Sebenarnya, kecederaan atau trauma pada saraf bayi ketika dilahirkan dikenali sebagai Erb Palsi. Ia bermaksud trauma waktu kelahiran yang menjejaskan satu atau lima saraf utama yang menjana pergerakan dan deria rasa pada lengan serta tangan bayi.

Saraf itu dikenali sebagai saraf 'Plexus Brachial' (BPI) adalah kumpulan saraf kompleks di leher. Ia mengawal otot untuk pergerakan bahu, siku, lengan dan tangan. Pakar Perunding dan Bedah, Ortopedik, Trauma dan Penggantian Sendi, Pusat Perubatan Columbia Asia Puchong, Dr Mohd Kamal Mohd Hisa, berkata kecederaan itu biasanya terjadi apabila cubaan terlalu kuat untuk menarik keluar kepala bayi yang terletak pada salur peranakan.

"Selalunya ia terjadi kerana proses kelahiran yang sukar seperti saiz bayi yang terlalu besar. Jika bahu yang tersangkut ia disebut sebagai shoulder dystocia," katanya.

Dalam kes seperti ini katanya, bahu bayi tidak boleh melalui salur peranakan dan doktor yang menyambut kelahiran perlu bijak dalam membantu mengeluarkan bayi untuk mengelakkan kecederaan pada saraf BPI.
Beliau berkata, dunia perubatan menggariskan beberapa teknik bagi membantu bayi yang berhadapan dengan keadaan bahu tersangkut antaranya McRobert's Maneuver. Dr Mohd Kamal berkata, umumnya dalam proses kelahiran saraf ini memang terjejas tetapi pada kadar yang sedikit dan tidak mendatangkan banyak masalah.
Bagaimanapun, katanya 20 peratus daripada kes Erb Palsi sangat serius malah ada kes hingga mengakibatkan saraf itu tercabut daripada titik yang menyambungkannya ke tulang belakang. Ia mungkin pecah sekali gus mengakibatkan lengan dan bahu lumpuh selama-lamanya.

"Erb Palsi boleh juga berlaku ketika kemalangan jalan raya, aktiviti sukan lasak dan sebagainya. Bagaimanapun, kebanyakan kecederaan pada saraf itu berlaku ketika proses kelahiran bayi yang sukar dan biasanya ia berkaitan dengan saiz bayi yang agak besar," katanya.
Erb palsi ketika kelahiran adalah tragedi, tetapi ia boleh dielakkan dengan beberapa langkah yang boleh diambil sebelum proses kelahiran antaranya ialah:
a) Menjaga kesihatan yang baik ketika mengandung seperti pengawalan kandungan gula dalam darah pada ibu yang mempunyai penyakit kencing manis untuk mengelakkan saiz kandungan terlalu besar hingga menyukarkan proses kelahiran secara biasa.
b) Perancangan yang baik sebelum melahirkan seperti melahirkan bayi pada peringkat awal jika saiz bayi terlalu besar atau melahirkan bayi melalui cara pembedahan. Dr Mohd Kamal berkata, kecederaan Erb palsi boleh menyebabkan kelemahan atau kelumpuhan pada bahu, siku dan tangan.
"Dalam kebanyakan kes, kecederaan pada saraf BPI adalah tidak teruk dan pergerakan tangan bayi akan kembali normal selepas beberapa bulan. Bagaimanapun, dalam 20 peratus kes, kecederaan pada saraf sangat teruk dan mungkin saraf terputus dan ini menyebabkan lumpuh yang berkekalan," katanya.
Jika keadaan bayi masih boleh diselamatkan, doktor akan menyarankan terapi fizikal dan senaman untuk mengembalikan pergerakan sendi serta kekuatan otot pada sendi bahu, siku dan tangan. Ia hendaklah dimulakan seawal umur bayi tiga minggu.
"Tujuannya untuk mengelakkan sendi menjadi kaku. Jika tiada apa-apa tanda perubahan dan pemulihan selepas antara tiga hingga enam bulan, pembedahan boleh dilakukan tetapi kejayaannya bergantung kepada tahap kecederaan saraf bayi itu dan mungkin proses pemulihan akan mengambil masa beberapa bulan hingga tahun," katanya.

Pleuroskopi untuk paru-paru berair

PLEUROSKOPI adalah pemeriksaan secara visual yang dijalankan oleh pakar respiratori di dalam ruang pleura (pleural space) iaitu ruang di antara paru-paru dan dinding dada. Prosedur ini dijalankan untuk memeriksa ruang pleura, mengesan sekiranya terdapat sebarang ketumbuhan, mengambil contoh air pleura (dipanggil pleural effusion) untuk analisa makmal dan mengambil biopsi tisu pleura untuk pemeriksaan patologi.
Pleura adalah lapisan selaput yang mengelilingi paru-paru di dalam dada. Sesaorang yang mengalami penyakit paru-paru berair berkemungkinan mempunyai selaput pleura yang tidak normal.
Pleuroskopi dijalankan dengan memasukkan trokar dan kanula plastik melalui dinding dada dan memasukkan tiub yang dipanggil flexi-rigid pleuroskop melalui kanula tersebut.
Pleuroskop mempunyai kamera mini pada bahagian hujungnya yang membolehkan gambar atau video diambil dan seterusnya dilihat di layar televisyen.
Pleuroskop juga mempunyai saluran khas bagi menyedut keluar air pleura untuk analisis selain mengambil biopsi tisu pleura yang tidak normal.
* Aplikasi
Pesakit perlu menjalani pleuroskopi untuk:
a) menyiasat punca adanya air di ruang pleura.
b) mengambil biopsi dari selaput yang mengelilingi paru-paru (dipanggil parietal pleura) bagi mengesan kanser paru-paru atau penyakit tuberkulosis (tibi).
c) menutup ruang pleura supaya tidak berulang lagi air atau udara bertakung di ruangnya (teknik dipanggil talc poudrage) di dalam kes ‘malignant pleural effusion’ dan ‘pneumothorax’.
Sebelum menjalani pleuroskopi, pesakit perlu berpuasa sekurang-kurangnya selama lapan jam.
Pesakit juga akan diberi ubat pelali dan penahan sakit yang akan menyebabkan pesakit merasa mengantuk dan tidak sakit semasa pleuroskopi dijalankan.
Pesakit masih bernafas secara spontan semasa prosedur dijalankan. Kelebihan prosedur ini ialah ianya tidak memerlukan ‘general anaesthesia’ (yang menyebabkan pesakit tidak sedar) atau bantuan mesin pernafasan (ventilator).
Semasa ujian pleuroskopi dijalankan, pesakit akan berbaring di sebelah kiri atau kanan bergantung kepada paru-paru mana yang mengandungi air pleura.
Alat untuk mengawasi fungsi badan (vital signs) akan dipasang (BP cuff, ECG monitor, tekanan darah dan O2 saturation monitor).
Selepas itu, kulit pesakit di mana terdapat air pleura akan dibersihkan dan dibalut dengan kain yang steril. Sedikit ubat bius akan disuntik di kulit sehingga ke lapisan pleura.
Selepas itu, satu potongan kecil sepanjang satu hingga 1.5 sentimeter akan dibuat di bahagian kulit yang sudah diberi bius tadi. Potongan itu akan dilebarkan ke ruang pleura. Selepas itu, trokar dan kanula plastik akan dimasukkan ke dalam potongan tersebut. Pada peringkat ini, pesakit mungkin akan berasa sedikit kurang selesa.
Kemudian, pleuroskop akan dimasukkan melalui kanula selepas trokar plastik dikeluarkan. Pada peringkat ini, paru-paru pesakit berada di dalam keadaan menguncup (collapsed) yang membolehkan doktor melihat ruang pleura dan paru-paru dengan jelas di layar televisyen.
Air pleura juga boleh disedut keluar dan dihantar untuk analisis makmal. Biopsi pula boleh diambil dari mana-mana bahagian selaput pleura yang kelihatan tidak normal.
Apabila selesai, pleuroskop akan dikeluarkan dan satu tiub dada (chest tube) akan dimasukkan ke dalam ruang pleura dan disambungkan ke botol berisi air untuk mengembangkan semula paru-paru.
Keseluruhan prosedur ini mengambil masa antara 30 hingga 45 minit sahaja. Satu gambar imbasan Sinar-X juga akan dibuat selepas pleuroskopi dijalankan. Setelah paru-paru mengembang semula sepenuhnya dan tiada lagi air keluar, tiub dada tadi akan dibuka.
l Diagnosis dan rawatan
Selepas prosedur pleuroskopi dijalankan, pesakit akan ditahan di wad kerana masih terdapat tiub dada di dalam paru-parunya. Pesakit juga perlu menunggu selama satu hingga dua jam sebelum mengambil apa-apa makanan atau minuman melalui mulut (apabila kesan ubat pelali sudah hilang).
Apabila paru-paru sudah mengembang sepenuhnya (selalunya mengambil masa antara dua hingga tiga hari), tiub dada akan dikeluarkan dan pesakit boleh pulang ke rumah.
Pesakit perlu berjumpa semula dengan doktor untuk melihat keputusan ujian pleuroskopi dalam masa seminggu.
Prosedur pleuroskopi adalah selamat. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa risiko biasa yang dikaitkan dengan prosedur ini seperti;
a) Udara boleh terlepas dari paru-paru ke dalam ruang pleura untuk masa yang lama (prolonged air leak).
b) Pendarahan.
c) Udara terlepas dari ruangan pleura dan terperangkap di bawah kulit (subcutaneous emphysaema).
d) Demam selepas prosedur.
e) Air di ruang pleura dijangkiti kuman dan menjadi bernanah (empyema).
f) Potongan kulit untuk memasukkan pleuroskop dijangkit kuman.
g) Denyutan jantung yang tidak normal (arrythmia).
h) Tekanan darah boleh jatuh (hypotension).
i) Untuk kes mesothelioma, sel barah boleh memasuki kulit mengikut arah kanula.
Jabatan Perubatan Respiratori, Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu telah menjalankan prosedur ini ke atas 148 pesakit yang mengalami penyakit paru-paru berair sejak bulan September 2006 hingga Februari 2008. Keseluruhannya, prosedur pleuroskopi dianggap dapat memberikan diagnosis penyakit dengan lebih tepat.
Antara penyakit-penyakit yang telah dikesan di Sabah melalui teknik pleuroskopi adalah seperti berikut:
* Adenocarcinoma (kanser paru-paru)
* Tuberculosis
* Malignant mesothelioma (kanser akibat pendedahan asbestos)
* Non-Hodgkin‘s lymphoma (kanser kelenjar)
* Small cell carcinoma (kanser paru- paru)

Sumbangan rokok kepada dunia

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan penggunaan tembakau mungkin menyebabkan lebih satu bilion kematian sepanjang abad ini, dengan China dan India masing-masing menganggarkan hampir satu juta rakyat mereka maut akibat tembakau setiap tahun.

Abad ke-20 telah mencatatkan 100 juta kematian akibat tembakau dan dijangka meningkat 10 kali ganda abad ini jika tindakan berkesan tidak diambil dengan segera.

Mengikut jangkaan WHO, kematian berkaitan tembakau mungkin meningkat kepada lapan juta orang setiap tahun menjelang 2030, 80 peratus daripadanya di negara membangun.

Satu laporan WHO juga mengenalpasti peningkatan bilangan perokok kini paling banyak berlaku di negara berpendapatan rendah yang dikaitkan dengan peningkatan bilangan penduduk.

Di India, hasil penyelidikan yang menunjukkan satu daripada 10 kematian di negara itu akan berpunca daripada penggunaan tembakau menjelang 2010.

Kumpulan penyelidikan berkenaan menjelaskan perokok bukan sahaja akan maut akibat kanser dan masalah paru-paru malahan juga akibat tuberkulosis (tibi) dan penyakit jantung.

Antara kaedah yang telah disarankan untuk mengawal tabiat merokok termasuk polisi mencegah (daripada mula merokok), melindungi orang ramai daripada asap rokok (perokok pasif), menawarkan bantuan untuk perokok berhenti merokok dan penguatkuasaan terhadap larangan iklan rokok serta meningkatkan cukai terhadap rokok.

Kos penggunaan tembakau di seluruh dunia pula dikatakan mencecah beratus bilion dollar setiap tahun dengan AS sahaja mencatatkan anggaran kerugian ekonomi AS$92 bilion (RM295.14 bilion) setiap tahun.

WHO baru-baru ini turut mengumumkan rancangan untuk satu perjanjian antarabangsa baru dalam menentang perdagangan tembakau secara haram menjelang 2010.

Perdagangan tembakau secara haram dianggarkan merangkumi 10 peratus jualan tahunan tembakau dunia yang menyebabkan kerugian antara AS$40 hingga AS$50 bilion (RM128.33 hingga RM160.40 bilion) setiap tahun.

Tindakan terhadap perdagangan haram tembakau dilihat amat penting bagi melindungi generasi muda daripada mula dan ketagih merokok berikutan harga rokok seludup yang jauh lebih murah.

Ketagihan masalah utama

HARI Tanpa Tembakau Sedunia 2008 akan disambut untuk julung kalinya pada 31 Mei ini (Sabtu). Bagaimanapun, di manakah kita dalam usaha memerangi rokok dan produk tembakau kini?
Penolong Pengarah Kanan Kawalan Tembakau dan FCTC, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia Dr. Zarihah Mohd. Zain menjelaskan maklumat terkini menunjukkan Malaysia kini mempunyai kira-kira 2.73 juta perokok.
“Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2006 mencatatkan 2.61 juta perokok lelaki (95.6 peratus) dan 120,000 perokok wanita (4.4 peratus).
“Bilangan perokok juga lebih tinggi di bandar yang berjumlah 1.56 juta (57.1 peratus) sementara 1.17 juta perokok lagi dari kawasan luar bandar (42.9 peratus),” ujarnya.
Menurut Dr. Zarihah, kaum Melayu merupakan perokok paling ramai, berjumlah 1.66 juta (60.9 peratus) sementara kaum India paling sedikit dengan jumlah 150,000 perokok sahaja (5.5 peratus).
Namun, tahukah anda bahawa seorang perokok baru boleh mati jika menghisap lebih 40 batang rokok dalam masa satu hari?
Ahli Pengasas Persatuan Penyelidikan Nikotina dan Tembakau (SRNT), Profesor Dr. Karl Olov Fagerstrom menjelaskan otak perokok baru boleh ‘memberontak’ jika menerima terlalu banyak nikotina sebelum dapat menyesuaikan diri (adaptasi).
“Perokok ‘veteran’ dapat merokok sehingga lebih 40 batang rokok dalam satu hari kerana otak mereka telah menyesuaikan diri dengan jumlah nikotina yang banyak.
“Bagaimanapun, otak perokok veteran juga akan memberontak jika mereka berhenti merokok memandangkan otak perokok telah membentuk pergantungan terhadap jumlah nikotina yang tinggi,” katanya.
Menurut beliau, perokok memerlukan keazaman yang kuat untuk berhenti merokok jika telah membentuk pergantungan nikotina yang kuat.
Dr. Fagerstrom turut menjelaskan WHO menamakan tabiat merokok sebagai faktor utama punca penyakit boleh dicegah.
“Tembakau menjadi punca penyakit seperti kanser, penyakit vaskular serta masalah sistem pernafasan seperti bronkitis kronik dan penyakit paru-paru.
“Mengikut Klasifikasi Penyakit Antarabangsa, pergantungan kepada tembakau dikelaskan sebagai sejenis penyakit, sama seperti pergantungan kepada alkohol,” jelasnya.
Beliau turut mendedahkan seorang perokok, yang telah merokok seumur hidupnya, meninggal dunia setiap saat akibat penyakit berkaitan tembakau.
Penilaian pergantungan nikotina
Antara yang paling memeranjatkan Dr. Fagerstrom bila tiba di Malaysia adalah melihat ramai wanita (tempatan) yang merokok secara terbuka.
“Saya terperanjat melihatkan ramai wanita yang merokok di sebuah hotel tempatan tempat saya menginap baru-baru ini.
“Mungkin bagi sesetengah pihak yang mempunyai pandangan kuat dalam isu merokok (anti merokok), perokok dilihat sebagai golongan kelas bawahan. Namun, mereka adalah pesakit yang perlu dibantu mengatasi pergantungan terhadap nikotina,” jelasnya.
Melihatkan masalah pergantungan nikotina kurang dibangunkan secara amalan klinikal, beliau mengasaskan Ujian Pergantungan Kepada Nikotina Fagerstrom. Melalui enam soalan mudah, perokok dapat menentukan tahap pergantungan mereka terhadap nikotina.
Rasa terdesak untuk merokok pada waktu pagi selepas bangun dari tidur dan bilangan rokok yang dihisap dalam satu hari menjadi antara penanda aras utama pergantungan terhadap nikotina.
Dr. Fagerstrom menyatakan perokok sendiri setuju pergantungan nikotina merupakan satu masalah tetapi memilih untuk cuma menganggapnya sebagai satu tabiat buruk semata-mata.
“Nikotina memenuhi kriteria pergantungan (ketagihan) kepada sejenis dadah, dengan 50 hingga 60 peratus perokok diklasifikasikan mempunyai pergantungan nikotina.
“Pergantungan ini menyebabkan badan perokok perlu mendapatkan nikotina dalam jumlah tertentu selepas bangun tidur (dan secara berpanjangan) kerana nikotina digunakan dengan pantas (sekitar dua jam) oleh badan,” ujarnya.
Menurut Dr. Fagerstrom, rokok rendah nikotina akan menyebabkan perokok memerlukan lebih banyak rokok, sedutan yang lebih dalam serta lebih lama di dalam paru-paru bagi mendapatkan jumlah nikotina yang diperlukan otak.
“Perokok juga ditipu dengan dakwaan rokok tertentu kurang bahaya dan kurang tar sedangkan risiko mereka mendapat penyakit seperti kanser tetap sama.
“Penapis rokok yang didakwa kurang tar ditebuk supaya rokok dicairkan oleh udara. Namun, perokok dengan tidak sengaja akan menutup lubang tersebut ketika merokok, menyebabkan jumlah tar yang disedut tetap sama,” katanya.
Ingin berhenti
Nikotina tidak berbahaya tetapi membentuk pergantungan seperti yang berlaku kepada mereka yang gemar minum kopi atau teh (kafein). Namun, pergantungan ini menyebabkan perokok terus menyedut bahan kimia berbahaya di dalam tembakau.
Tabiat psikologi perokok juga akan memainkan peranan dalam usaha mereka berhenti merokok. Ubat tertentu boleh membantu tetapi bukannya penyembuh ajaib.
Menurut Dr. Fagerstrom, usaha berhenti merokok turut bergantung kepada persekitaran dan masyarakat.
“Jika semua orang merokok (seperti dalam penjara) atau sering melihat rakan atau iklan rokok, pasti lebih sukar untuk berhenti.
“Masyarakat perlu menjadi lebih negatif terhadap rokok dan produk tembakau sementara mereka yang tidak merokok perlu berani meminta perokok untuk tidak merokok di tempat awam,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan individu yang tidak merokok juga mempunyai risiko tiga kali ganda lebih tinggi menghidap kanser paru-paru jika pasangan mereka merokok.
Perokok yang merokok sebagai satu tabiat dan bukan kerana pergantungan pula dilihat lebih sukar berhenti merokok terutamanya jika persekitaran dipenuhi perokok lain atau iklan rokok. Perokok boleh cuba berhenti secara mendadak (cold turkey - kulit seperti kulit ayam dicabut bulu), tetapi 95 peratus yang mencuba kaedah ini akan gagal jika tidak mendapatkan bantuan dan sokongan.
Perokok itu pesakit
Perokok adalah pesakit saya! Itulah tanggapan Dr. Fagerstrom terhadap perokok yang ingin berhenti merokok.
“Orang ramai mungkin tertanya-tanya mengapa produk tembakau terus dijual jika ia mengambil satu nyawa setiap saat.
“Nikotina adalah sejenis dadah dan pergantungan terhadapnya serupa dengan ketagihan dadah. Kita sepatutnya membantu mereka,” jelasnya.
Menurut beliau otak sesetengah individu juga berfungsi lebih baik dengan adanya nikotina. AS menjadi contoh jelas di mana lima peratus doktor di sana merokok sedangkan banyak tekanan diberikan supaya penduduk negara itu berhenti merokok.
Apa yang sepatutnya kita dilakukan adalah membantu perokok berhenti merokok dan menyedarkan mereka merokok itu bukan hanya mencemar persekitaran tetapi juga badan mereka sendiri.
Sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Sabtu ini, mungkin perokok dapat memainkan peranan dengan mengurangkan atau tidak merokok, walaupun cuma untuk satu hari. Bagi mereka yang tidak merokok, jadikanlah hari tersebut untuk meminta kenalan dan orang tersayang mengurangkan atau tidak menggunakan produk tembakau. Elakkan rokok, dan mungkin saat berikutnya tidak meragut nyawa anda.

Selulit cacatkan penampilan

TIDAK keterlaluan dikatakan bahawa selulit merupakan musuh utama bagi sebahagian wanita yang mementingkan penampilan diri. Kehadirannya menjadikan kulit di bahagian paha, pinggul serta perut merekah dan menggeleber.
Masalah tersebut kerap dikaitkan dengan keturunan kerana jika ibu mempunyai selulit, kemungkinan besar anaknya akan juga mengalami perkara sama. Begitupun, umur yang meningkat dan tidak menjaga tubuh turut mengundang selulit. Semakin usia bertambah, lemak dan selulit akan berkumpul sehingga mencacatkan penampilan.
Eksekutif Produk L’Oreal Paris, Irene Ng Ze Ann berkata, diet yang tidak dijaga seperti gemar mengambil alkohol, makanan berminyak dan berlemak, kafein dan gula, adalah antara penyebab timbulnya selulit.
Ini diburukkan lagi jika seseorang itu kurang menjalani aktiviti mengeluarkan peluh seperti berjoging dan bersenam, serta kerap menghadapi tekanan.
“Ketidakseimbangan antara penyimpanan lemak dengan penggunaan semula bukan sahaja menambah selulit, tetapi menjadikan ia degil dan sukar dihilangkan.
“Malah, seseorang yang berjaya mengurangkan lemak serta menguruskan badan belum tentu dapat menghapuskan selulit. Ini kerana tubuh yang langsing bukan jaminan tiada lemak dan selulit,’’ katanya pada pelancaran Perfect Slim Pro, produk baru oleh L’Oreal bagi membantu mengekang masalah selulit.
Menurut Irene, memang tiada jalan pintas bagi menghilangkan selulit, namun ada pelbagai produk rawatan secara dalaman dan luaran yang ada di pasaran.
Katanya, Perfect Slim Pro menawarkan rawatan berbeza dengan produk bagi menghilangkan selulit yang lain, di mana ia menggunakan alat urutan bagi memecahkan bahagian yang mempunyai selulit seperti paha, pinggul dan perut.
Penggunaan secara konsisten dapat membantu menghapuskan lemak-lemak yang terdapat di bawah kulit.
“Pegang alat urutan pada sudut 45 darjah dan urut ke arah kulit. Urut ke arah atas iaitu mengikut aliran darah (ke jantung) dan jangan sesekali ke arah belakang. Kemudian sapukan dengan body-contouring draining concentrate yang mengandungi Co-Caffeine Cx bagi menyingkirkan selulit yang degil. Hanya memerlukan lima minit setiap sesi dalam sehari, selulit akan lenyap dari diri anda,’’ jelasnya.
Tip menghilangkan selulit:
* Garam
Kurangkan pengambilan garam. Gantikan dengan buah dan sayuran segar, kacang buncis, tempe, daging tidak berlemak dan ikan.
* Kafein
Usahakan untuk minum maksimum hanya satu cawan kopi atau teh setiap hari. Kombinasi kafein yang banyak dan duduk lama di kerusi menyebabkan aliran darah tidak lancar.
* Gula
Gula yang berlebihan akan disimpan sebagai lemak. Kurangkan pengambilan makanan seperti biskut, coklat dan aiskrim.

Sandaran pesakit buah pinggang

APABILA buah pinggang rosak teruk antaranya berpunca daripada penyakit kronik lain seperti darah tinggi, diabetis mellitus dan sebagainya, ia akan gagal berfungsi untuk menapis bahan yang tidak diperlukan oleh tubuh.
Buah pinggang memainkan peranan penting bagi mengeluarkan kotoran dalam darah dan mengeluarkan air yang berlebihan dalam badan.
Di samping itu, ia turut membantu mengimbangi tekanan darah, menghasilkan hormon serta membantu tulang sum-sum menghasilkan sel-sel darah serta memelihara tulang yang sihat.
Antara gejala penghidap penyakit buah pinggang ialah terdapat darah dalam air kencing, bengkak sekeliling mata serta buku lali dan sering kencing pada waktu malam.
Selain pemindahan buah pinggang, rawatan dialisis adalah yang paling lazim dilakukan oleh pesakit buah pinggang bagi membolehkan mereka hidup secara normal.
Dalam tempoh lebih 20 tahun, jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dialisis di negara ini meningkat dengan begitu ketara.
Terpanggil dengan jumlah pesakit yang memerlukan dialisis bertambah saban tahun, Shahruddin Dali, mengambil langkah proaktif dengan membuka pusat dialisis persendirian bagi menampung jumlah pesakit yang semakin ramai.
Dorongan tersebut semakin kuat apabila mendapati kebanyakan pusat dialisis persendirian yang ada diusahakan oleh orang bukan Melayu, sedangkan lebih 50 peratus pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis di negara ini adalah orang Melayu.
Beliau berpendapat, jika ada pusat dialisis diusahakan orang Melayu, pasti pesakit mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan sepanjang hayat mereka dengan lebih selesa.
“Pada awalnya saya ingin membuka pusat dialisis yang mengenakan bayaran yang rendah sahaja dan cuba memohon tajaan daripada pihak-pihak yang berkemampuan.
“Bagaimanapun sambutan yang diterima tidak menggalakkan dan saya fikir saya tidak boleh lagi menangguhkan hasrat ini,’’ kata Shahruddin.
Melayan
Dengan modal sebanyak RM100,000 hasil simpanan sendiri serta pinjaman sebanyak RM350,000 daripada Bank Pembangunan, Shahruddin berjaya membuka Pusat Dialisis Bangi (BDC) pada tahun 2004.
Empat tahun beroperasi, BDC kini mempunyai empat buah mesin bagi mencuci darah di mana setiap sebuah mesin berharga RM40,000.
Menurut Shahruddin lagi, buat masa ini, BDC mempunyai seramai 37 orang pesakit berdaftar yang datang dari sekitar Bangi, Kajang, Serdang, Cheras, Hulu Langat, Dengkil dan Putrajaya.
“Tujuh puluh peratus daripada pesakit adalah bekas kakitangan kerajaan atau swasta berumur di antara 27 tahun hingga 70 tahun.
“Kami tidak mengambil pesakit yang berumur lebih 70 tahun kerana kebiasaannya golongan usia begini turut mempunyai penyakit kronik yang boleh membahayakan nyawa. Untuk mereka, rawatan mungkin lebih selamat jika dilakukan di hospital yang mempunyai peralatan lebih canggih,’’ jelasnya yang mengamalkan falsafah ‘Jaga Kualiti Kesihatan’.
Menurut beliau, BDC yang sering dipantau oleh Kementerian Kesihatan, amat berhati-hati memberikan rawatan dan perkhidmatan yang baik sepanjang pesakit berada di pusat itu.
“Kakitangan kami melayan pesakit seperti ahli keluarga supaya mereka berasa selesa sepanjang berada di sini,’’ tambahnya yang juga pengarah BDC bersama abangnya, Rahman Dali dan Dr. Siti Hawa Abdul Karim.
Pada masa ini, BDC yang dibuka daripada pukul 7 pagi hingga 9 malam, merupakan satu-satunya pusat dialisis yang terdapat di kawasan Bangi, Selangor.
Pusat tersebut dilengkapi dengan seorang pakar nefrologi, seorang doktor bertugas serta dua orang jururawat terlatih.
Perubahan emosi
Setiap kakitangan dilatih supaya mengamalkan sikap mesra dengan pesakit yang sememangnya mengharapkan jagaan dan rawatan terbaik.
Katanya, BDC mahu pesakit menganggap pusat tersebut sebagai rumah kedua kerana mereka menghabiskan masa kira-kira empat jam di situ bagi setiap kali rawatan.
Shahruddin berkata, setiap pesakit yang mendapat rawatan dialisis di BDC dikenakan bayaran antara RM150 hingga RM200 bagi sekali rawatan.
BDC akan cuba mendapatkan bantuan daripada pusat zakat untuk pesakit yang kurang berkemampuan, di mana melalui bantuan itu pesakit hanya perlu membayar caj minimum sahaja.
Katanya, lokasi yang dipilih amat bertepatan kerana jauh daripada kesesakan lalu lintas ,sekali gus dapat mengurangkan masalah yang dihadapi pesakit untuk datang mendapatkan rawatan dialisis.
Bagi pesakit yang tidak mempunyai kenderaan atau tidak mampu memandu sendiri, BDC menyediakan kenderaan yang akan menjemput dan menghantar pesakit pulang.
“Oleh itu, anak atau keluarga pesakit yang tidak dapat menghantar atau menjemput tidak perlu bimbang akan keselamatan ahli keluarga yang datang ke BDC,” katanya.
Berdasarkan pengalaman dan pengamatan beliau, pesakit buah pinggang biasanya mengalami perubahan emosi dan cara berfikir.
Mereka mudah marah dan keluarga perlu sentiasa memberikan sokongan.
Menurutnya, terdapat juga pesakit yang seperti putus asa dan tidak mahu datang untuk rawatan dialisis.
Beliau akan ke rumah pesakit, memujuk dan memberikan semangat kepada mereka agar tidak patah semangat untuk meneruskan kehidupan.
“Kita perlu faham bawah pesakit buah pinggang biasanya mudah tersentuh hati dan sensitif. Mereka berasa seperti menyusahkan anak-anak dan selalu sedih.
“Apa pun, pesakit buah pinggang harus mengubah persepsi bahawa mereka juga boleh hidup seperti orang lain. Jangan fikir bahawa hidup sudah musnah dan tidak berguna lagi,’’ ujarnya mengakhiri pertemuan.

Kepada pesakit buah pinggang yang tinggal di sekitar Bangi dan kawasan berdekatan yang ingin mendapatkan rawatan dialisis, boleh menghubungi talian 03-82100200.

Jangan diskriminasi pesakit mental

MASYARAKAT perlu memahami fakta sebenar mengenai penyakit mental sekali gus mengurangkan stigma yang menyebabkan diskriminasi terhadap orang yang menghidap penyakit tersebut.
Stigma tersebut tidak membawa kebaikan apa-apa sebaliknya memburukkan lagi keadaan sehingga kadang kala pesakit melakukan tindakan luar kawalan seperti cubaan membunuh diri.
Ketua Pusat Kaunseling dan Psikologi Pelajar Kolej Universiti Taylor’s, Dr. Adnan Omar, berkata, membunuh diri adalah isu yang tidak harus dipandang ringan dan memerlukan perhatian daripada masyarakat dan kerajaan.
“Kesakitan adalah sesuatu paling sukar ditangani dalam hidup kita.
“Justeru, penyakit psikologi dan mental adalah salah satu daripada punca yang mendorong manusia membunuh diri.
“Tiada sesiapa membunuh diri kerana seronok atau gembira. Apabila manusia mendapati sukar untuk memahami atau menerima kesakitan psikologi, mereka mengambil jalan mudah dengan membunuh diri,” katanya.
Dr. Adnan berkata, ketahanan diri bagi setiap individu adalah berbeza lebih-lebih lagi dalam mengadaptasi perubahan yang pesat berlaku di sekeliling dan dalam masyarakat.
Menurutnya, ada orang yang mendapati sukar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu mengakibatkan mereka lebih tertekan dengan pelbagai masalah hidup.
“Oleh yang demikian, ramai mendapati diri mereka dibelenggu kekeliruan apabila keadaan menjadi semakin kabur, hingga menyebabkan mereka tidak tahu apa yang patut dilakukan dan tidak patut dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ceramah sempena Minggu Kesedaran Kesihatan Mental anjuran Kolej Universiti Taylor's Petaling Jaya, Selangor, dengan kerjasama Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), baru-baru ini.
Bercakap mengenai sebab manusia membunuh diri, Dr. Adnan berkata, ramai orang menyangka tindakan membunuh diri berlaku tanpa amaran.
Hakikatnya, orang yang berhasrat untuk cuba membunuh diri biasanya memperlihatkan tanda menerusi percakapan, tingkah laku seperti lari dari rumah, pengambilan arak dan dadah.
Perubahan sikap
Perubahan sikap yang ketara seperti memberikan barang peribadi yang sangat dihargai kepada saudara mara atau kawan-kawan, juga tanda-tanda yang perlu diberi perhatian.
“Terdapat tiga dimensi bunuh diri, idea bunuh diri, percubaan bunuh diri dan perbuatan bunuh diri.
“Kira-kira 20 hingga 25 peratus daripada orang yang terfikir untuk membunuh diri akan meneruskan hasrat untuk cuba membunuh diri, manakala 10 hingga 15 peratus daripada mereka benar-benar melakukan perbuatan membunuh diri,” jelas Dr. Adnan.
Terdahulu dalam ucapan perasmian, Presiden MMHA, See Cheng Siang, berkata, minggu kesedaran yang dianjurkan adalah selaras dengan matlamat MMHA untuk meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan mental di kalangan masyarakat.
“Kesihatan mental adalah isu kesihatan awam penting yang tidak patut diabaikan atau diketepikan.
“Masyarakat yang berteraskan individu yang seimbang dan sihat sejahtera akan hanya berkembang maju apabila dimensi ekonomi dan sosial saling berpaut secara harmoni.”
Menurut Cheng Siang, setiap individu perlu menerima hakikat bahawa mustahil mencapai kesempurnaan dalam segala-galanya.
“Oleh itu, adalah sangat penting bagi kita mempelajari cara mengekalkan kesihatan mental dengan memastikan imbangan yang betul,” katanya.

Sunday, May 25, 2008

Petrol : Pengkaji mendakwa penggunaan RON 95, RON 99 beri kesan buruk ke atas kesihatan

JENGUKLAH ke mana saja, sama ada di tengah kepesatan bandar raya mahupun jauh di ceruk pedalaman, isu harga minyak yang sering tidak menentu dan kadangkala membebankan rakyat, pasti akan kedengaran. Isunya hampir sama. Pendapatan dan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan semua pihak sentiasa berharap harga minyak dapat dikurangkan dan apa saja janji kerajaan untuk menimbangkan harapan itu, pastinya menjadi buah tangan paling berharga untuk sesiapa saja, termasuk rakyat berpendapatan rendah dan tidak ketinggalan mereka yang berada. Justeru, apabila kerajaan memberi kejutan untuk menurunkan harga minyak dengan mengkaji cadangan penggunaan petrol RON 95 dan RON 99 bagi menggantikan petrol berplumbum RON 92 serta petrol tanpa plumbum RON 97, seumpama menyorongkan bantal kepada jutaan rakyat yang 'mengantuk' selama ini.

Namun, dalam keghairahan kerajaan untuk mempertimbangkan harapan seluruh rakyatnya, rupa-rupanya ada pula konflik lain yang pastinya akan menjadi pertikaian lebih hebat pada masa akan datang jika cadangan itu dilaksanakan. Apa tidaknya, baru saja cadangan itu disuarakan dan masih pada peringkat kajian, isu ini sudah menjadi satu isu nasional yang menerima pelbagai pandangan berbeza terutama daripada pakar perubatan, saintis, malah pengguna sendiri. Pastinya menjadi satu tamparan kepada kerajaan sendiri apabila usaha yang disifatkan untuk membantu meringankan beban rakyat, kini menjadi satu perdebatan apabila ramai pula yang tidak bersetuju, malah ada yang rela kekal derita dengan harga sekarang daripada terpaksa saban hari menyedut udara beracun.

Banyak pihak memberikan pendapat yang mempertikaikan cadangan itu walaupun ia masih pada peringkat kajian oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Bagi pihak kerajaan mungkin ia adalah satu usaha dan niat untuk membantu rakyat menangani bebanan harga petrol yang semakin meruncing di samping mengurangkan subsidi petrol yang kini menelan jutaan ringgit dengan mengehadkan kepada golongan yang lebih memerlukannya. Persoalannya, adakah ia berbaloi dilaksanakan memandangkan pendapat pakar yang berharap cadangan itu perlu diteliti dengan lebih mendalam supaya rakyat tidak menganggapnya sebagai jalan penyelesaian jangka pendek. Baru-baru ini, timbul persoalan adakah petrol yang dicadangkan kerajaan itu mengandungi plumbum kerana menurut pakar, RON 95 mempunyai kebarangkalian yang tinggi mengandungi bahan itu jika dipertingkatkan daripada RON 92 petrol berplumbum.

Jika benar, maka ia bertentangan usaha kerajaan untuk membawa negara bebas daripada plumbum. Malah, tindakan itu pastinya menjejaskan kesihatan rakyat selain menyumbang kepada pencemaran alam serta meningkatkan suhu dengan berlakunya pemanasan disebabkan penipisan ozon. Diakui, plumbum mempunyai kebaikan iaitu sebagai bahan tambahan untuk menaikkan RON mengikut nilai yang dikehendaki tetapi juga sebagai bahan anti-geseran jika dicampurkan untuk mengoptimumkan prestasi enjin ketika pembakaran. Perbincangan melalui laman blog berpendapat tumpuan rakyat akan beralih kepada RON 95 yang diberikan subsidi berbanding RON 99 walaupun ia mengandungi plumbum sekali gus menyebabkan peningkatan kuantiti bahan toksik itu di udara selain prestasi kurang memuaskan berbanding RON 97 yang sedia ada. Usaha kerajaan untuk memulihara alam sekitar perlu dipuji melalui hasrat memansuhkan penggunaan RON 92. Namun, cadangan penggunaan petrol berplumbum lain adalah tidak wajar dan hanya akan mengurangkan kualiti kesihatan rakyat. Bayangkan, menurut kajian yang dijalankan baru-baru ini, purata setiap isi rumah kini mempunyai sekurang-kurangnya dua kenderaan dan sekiranya mereka menggunakan petrol berplumbum, ia akan menjadi penyumbang terbesar bahan karsinogenik itu di udara. Negara kini sudah pun berada di tangga ke-26 pencemaran udara di dunia mengikut statistik. Usaha kerajaan mengurangkan pencemaran pastinya tergendala jika membenarkan pembebasan gas yang boleh mencemarkan alam sekitar tanpa pemantauan berkesan. Sekiranya ia benar-benar berlaku, perlukah rakyat diletakkan dalam dilema untuk memilih petrol yang murah sedikit, namun terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk kesihatan mereka atau terpaksa memilih petrol berharga tinggi yang lebih menyihatkan. Selain itu, pengguna mungkin tidak menyedari perbezaan kualiti petrol akan menyebabkan perbezaan jarak perjalanan kerana lebih banyak RON 95 diperlukan untuk mencapai jarak perjalanan yang ditempuhi RON 97 dan ia sangat merugikan walaupun petrol dicadangkan itu, diberi subsidi. Tiada guna jika petrol RON 95 yang diberi subsidi itu hanya murah di mata tetapi pada setiap hujung bulan, rakyat akan mendapati jumlah belanja petrol adalah sama, bahkan mungkin meningkat sedikit berbanding belanja petrol RON 97 yang digunakan kini. Ia belum termasuk kos baik pulih dan penyelenggaraan kenderaan kerana perbezaan kualiti itu akan memaksa enjin untuk bekerja lebih kuat bagi mencapai prestasi yang sama sebelum ini iaitu ketika menggunakan petrol RON 97. Tambahan pula sekiranya petrol berplumbum digunakan, kesannya pasti lebih membimbangkan kerana jangka hayat enjin akan menjadi lebih pendek disebabkan plumbum yang terhasil melalui pembakaran dalam enjin mampu merosakkan peralatan kenderaan. Sewajarnya pihak berwajib berusaha meredakan spekulasi ini dan memberikan penerangan lebih baik mengenai petrol yang akan digunakan nanti kerana rakyat juga berhak menilai serta menentukan yang terbaik untuk mereka. Rakyat tidak sesekali menyanggah rancangan kerajaan untuk membantu mengurangkan beban harga petrol, namun ia seharusnya diimbangi dengan usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat yang mementingkan kesihatan dan keselesaan. Pihak berwajib jangan hanya ingin menawan hati rakyat dengan pelbagai cadangan dan tawaran baru yang difikirkan sebagai jalan keluar untuk jangka masa yang pendek tanpa diteliti keberkesanannya, kerana rakyat adalah mangsa utama yang akan tertindas dalam percaturan ini. Tarik rambut dalam tepung, tepung tidak berselerak, rambut jangan pula terputus.


Nilai RON lebih rendah pertingkat pencemaran

SAINTIS bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menggunakan petrol RON 99 dan pemansuhan petrol RON 92. Namun, mereka bimbang cadangan penggunaan petrol jenis lain tidak menepati ciri pemuliharaan alam sekitar kerana dikhuatiri meningkatkan kuantiti bahan tercemar di udara khususnya plumbum. Ketua Laboratori Putra Sains dan Teknologi Pemangkin (PutraCAT), Jabatan Kimia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Taufiq Yap, berkata plumbum adalah sejenis bahan tambahan yang digunakan dalam petrol untuk menaikkan nilai RON bagi meningkatkan kualiti petrol yang dihasilkan. Katanya, penambahan plumbum adalah satu daripada tujuh kaedah menggunakan bahan tambahan untuk menaikkan jumlah RON atau research octane number. RON boleh diumpamakan sebagai berapa banyak tenaga terhasil daripada seliter petrol diperlukan bagi menggerakkan kenderaan.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengumumkan kaedah digunakan bagi menghasilkan petrol jenis baru iaitu petrol RON 95 yang akan diperkenalkan supaya dapat dinilai masyarakat umum memandangkan hampir semua bahan tambahan pada petrol untuk meningkatkan pembakaran dalam enjin bersifat karsinogenik seperti benzena dan plumbum. Katanya, ia adalah sebab utama kerajaan perlu mengekalkan RON 97 kerana pemilihan RON setaraf atau lebih tinggi akan membantu mengurangkan pembebasan bahan berbahaya itu ke udara. Lebih tinggi RON maka lebih jimat penggunaan petrol yang dibakar bagi menggerakkan kenderaan. "Nilai RON yang lebih rendah akan meningkatkan pembebasan bahan tercemar dan berbahaya itu ke udara. Kita juga bimbang peningkatan bahan tercemar lain yang turut dihasilkan daripada pembakaran petrol itu seperti sulfur, gas karbon dioksida, nitrogen dioksida dan karbon monoksida.

"Satu perempat daripada pembebasan gas rumah hijau yang menyebabkan penipisan ozon adalah daripada gas karbon dioksida yang turut terhasil daripada penggunaan petrol tanpa plumbum. Jadi tidak timbul isu penggunaan petrol tanpa plumbum atau berplumbum kerana kedua-duanya merugikan jika kerajaan bertindak menggunakan nilai RON yang lebih rendah," katanya. Sementara itu, mengulas kesan petrol berplumbum sekiranya digunakan, Taufiq berkata, petrol itu perlu dihapuskan kerana menyebabkan enjin cepat berkarat seperti di bahagian injap, palam pencucuh dan ekzos serta merosakkan alat pengubah bermangkin. Beliau berkata, penggunaan catalytic converter penting bagi menjaga alam sekitar tetapi di negara ini hanya kenderaan mewah saja yang dilengkapi alat itu dan ia tidak ada pada kenderaan lain kerana perlu dipasang sebagai alat tambahan. "Penggunaannya di Malaysia kurang mendapat sambutan kerana harganya mahal dan membebankan rakyat iaitu mencecah RM4,000 seunit serta memerlukan penyelenggaraan yang kerap. Namun alat ini hanya menapis 90 peratus gas berbahaya yang dibebaskan melalui ekzos," katanya.

Menurut laporan dikeluarkan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unep), satu perlima daripada pembebasan bahan berbahaya dan tercemar di udara disebabkan ekzos kenderaan. Sebanyak 1.5 bilion penduduk bandar terpaksa menghidu kualiti udara tercemar, menyebabkan peningkatan jumlah kematian lebih 800,00 orang setiap tahun dan kanak-kanak adalah golongan paling terjejas. "Malaysia kini sudah diiktiraf oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unep) sebagai negara yang bebas plumbum. Jadi, usaha berterusan sangat diperlukan bagi memastikan tiada lagi penggunaan petrol berplumbum dalam negara," katanya. Sementara itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar UPM, Dr Robiah Yunus, berkata kerajaan perlu memastikan RON 95 tidak dihasilkan melalui kaedah yang mengandungi plumbum dan memilih kaedah alternatif yang lebih selamat bagi menaikkan RON. Katanya, jumlah plumbum yang ada dalam petrol berplumbum sekiranya ia terus dihasilkan daripada ekzos kenderaan di Malaysia cukup untuk menyebabkan pencemaran udara dan alam sekitar serta berbahaya kepada kesihatan rakyat kerana plumbum sejenis logam berat yang sangat bertoksik "Kerajaan perlu menghapuskan petrol 92 dan memastikan petrol yang dicadangkan iaitu RON 95 bebas plumbum kerana ia penting bagi memastikan kesihatan rakyat berada pada tahap yang optimum selain memastikan mekanisma yang selamat menyekat pembebasan gas merbahaya lain secara berlebihan," katanya.


Bahan api alternatif Amerika lebih merugikan

SUMBER bahan api seperti petroleum semakin berkurangan, manakala harganya terus melambung. Pengeluaran bahan bakar ini, sama ada dari perut bumi atau dasar laut sudah tiba ke tahap puncak kerana sudah diguna untuk tujuan pembangunan dan pengangkutan oleh semua negara. Manusia sedang mencari sumber alternatif kepada bahan bakar minyak. Salah satunya ialah minyak (etanol) yang diproses daripada tanaman jagung. Amerika Syarikat (AS) yakin bahawa dengan penghasilan etanol daripada tumbuhan jagung adalah satu strategi untuk mengelak negara itu terus bergantung pada minyak dari luar negara.

Soalnya, apakah industri menghasilkan etanol daripada jagung itu sesuatu yang berbaloi dan selamat? Kita jelaskan konsep apa itu bahan bakar bio atau biofuel. Biofuel dihasilkan menerusi bahan biologikal atau biomass. Etanol adalah sejenis bahan bakar daripada produk pertanian yang kandungan gula dan kanjinya tinggi. Bahan bakar bio juga digelar sebagai bahan bakar pertanian. Biofuel berasaskan daripada tumbuh-tumbuhan. Pada 2005, Akta Dasar Tenaga AS sudah mensasarkan mengeluarkan 12 bilion gelen etanol menjelang 2012. Pada 2006, AS menggunakan hampir lima bilion gelen etanol bagi tujuan pengangkutan berbanding dengan 140 bilion gelen gasolin.

Pada tahun sama juga peningkatan sebanyak 50 peratus pada etanol daripada jagung dihasilkan. Presiden George W Bush mahukan pengeluaran tahunan etanol mencapai 35 bilion gelen daripada bahan bakar bio ini menjelang 2017. Sehingga 2006 ada 110 loji pembuatan etanol di AS dan loji biofuel tambahan akan menyusuli dalam dekad mendatang. Begitu rancak sekali perancangan Amerika terhadap pembinaan loji berkenaan dan ada kalangan pencinta alam mengalu-alukan projek sedemikian dan yakin bahawa kebergantungan AS terhadap gasolin akan digantikan bahan bakar bio menjelang 2050. Namun, ada di kalangan pencinta alam sekitar yang lain mempersoalkan tindakan itu kerana ragu akan kesannya akibat daripada pembabitan dalam pengeluaran berskala besar. Ada beberapa isu yang dibangkitkan kumpulan terbabit, iaitu The International Forum On Globalization And The Institute For Policy Studies(IFG) yang berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat. IFG melontarkan sekurang-kurangnya lapan soalan untuk memastikan sama ada pengeluaran etanol boleh menghasilkan lebih banyak tenaga:

Apakah pengeluaran etanol sebenarnya menghasilkan banyak lagi tenaga sedia ada daripada lebih banyak lagi tenaga diperlukan untuk menghasilkannya?
Apakah kesan menggunakan jagung untuk mendapatkan etanol terhadap pembekalan dan kos makanan?
Adakah air yang sedia ada itu memadai bagi menghasilkan etanol pada skala besar?
Apakah kesan pengeluaran etanol terhadap kesuburan tanah?
Apakah kesan pengeluaran etanol ke atas perhutanan?
Apakah etanol akan mengurangkan pelepasan emisi gas rumah hijau dan pencemaran lain?
Apakah kesan pengeluaran etanol terhadap golongan miskin dan kumpulan orang asli yang lain?
Apakah pengeluaran etanol itu baik dari segi perekonomian? Tidak dinafikan bahawa etanol boleh diguna sebagai bahan tenaga untuk pembakaran dalaman enjin. Ia boleh dicampur dalam beberapa nisbah dengan gasolin. Jika dalam jumlah yang kecil seperti 10 peratus, kita tidak perlu membuat pengubahsuaian terhadap enjin kenderaan, tetapi dalam jumlah yang besar seperti 85 peratus kandungan atau lebih, ubah suai pada reka bentuk enjin perlu dibuat. Persoalan besar di sini ialah apakah pengeluaran etanol sebagai sumber alternatif kepada gasolin itu berbaloi, bermaksud apakah pengeluarannya pada skala besar memberi lebih banyak kos faedah? Dengan perkataan lain, apakah tenaga bersih diperoleh itu selepas kos pengeluaran yang besar dilabur untuk mendapatkan etanol daripada jagung. Kita perlu tenaga untuk menghasilkan tenaga. Ini lumrah. Tenaga output tolak tenaga input memberi tenaga bersih. Tenaga input untuk gasolin misalnya terdiri antara lainnya daripada kos tenaga seperti proses menggali, pembinaan, pengangkutan, dan proses pembuatan bahan lain. Tenaga bersih daripada pelaburan mendapatkan gasolin itu adalah tenaga lebihan yang diperoleh selepas semua tenaga input tadi diambil kira. Tenaga bersih memberi satu ukuran 'keuntungan yang berbaloi' apabila semua kos terbabit dalam proses penghasilan biofuel itu diambil kira. Bagaimanapun, ada perdebatan mengenai tenaga bersih untuk menghasilkan etanol dalam proses jagung ke etanol. Ada yang setuju bahawa projek menghasilkan etanol adalah berbaloi baik dari segi kesan terhadap alam sekitar mahupun ekonomi. Tidak kurang juga yang kurang yakin yang projek itu memberi faedah yang diingini. Ketika ini hampir 18 peratus daripada tanaman jagung AS ditukar menjadi lima bilion gelen etanol. Ini menggantikan hampir tiga peratus daripada penggunaan gasolin AS. Jika semua pengeluaran kini etanol daripada jagung digunakan, ini bermakna ia dapat menggantikan lebih kurang 16 peratus daripada penggunaan gasolin di AS. Jika senario ini berlaku bermakna tiada jagung yang tinggal untuk makanan sama ada bagi rakyatnya atau ternakan. Jadi dari segi tenaga bersih dan jumlah berpotensi pengeluaran, etanol mempunyai batasan serius sebagai gantian kepada gasolin. Satu gelen etanol mengandungi cuma kira-kira dua pertiga tenaga dalam satu gelen gasolin, jumlah etanol yang lebih banyak diperlukan bagi mengganti gasolin. Hujah sama boleh diguna bagi bahan bakar pertanian lain. Isu ini berkait rapat dengan isu bahan bakar dengan isu makanan.

Penggunaan lebih meluas bahan beri kesan buruk

PENYELIDIKAN saintifik mengenai kesan bahan karsinogenik iaitu bahan penyebab barah, terutama plumbum kepada kesihatan sudah lama dilaksanakan beribu tahun dulu iaitu sejak tamadun Rom, Yunani dan China.

Ia berikutan wujud situasi di mana berlakunya keracunan plumbum di kalangan masyarakat pada zaman itu disebabkan pendedahan berterusan kepada unsur terbabit.

Plumbum mudah didapati, diekstrak dan senang berganding dengan campuran bahan lain. Ia termasuk menjadi bahan tambahan untuk melambatkan proses pembakaran bahan api seperti petrol.

Bagaimanapun, penggunaannya secara meluas memberi kesan tidak elok kepada kesihatan. Ia dibuktikan melalui penemuan saintifik yang masih lagi diteruskan saintis pada hari ini. Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) dan Agensi Perlindungan Persekitaran Amerika Syarikat (EPA) menyatakan seseorang itu dikira mengalami keracunan plumbum apabila paras plumbum darah adalah serendah 10 mikrogram bagi setiap 100 mililiter.

Kanak-kanak adalah golongan lebih mudah terdedah dengan pengaruh resapan plumbum kerana sistem saraf kanak-kanak masih berkembang hingga dewasa sangat mudah dipengaruhi persekitarannya.

Pada masa sama sistem saraf kanak-kanak masih belum sempurna untuk membaiki sebarang kerosakan disebabkan oleh toksin alam termasuk plumbum dan merkuri.

Kajian oleh pelajar sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002 mendapati paras plumbum minimum dalam rambut kanak-kanak di Malaysia adalah jauh lebih tinggi daripada kanak-kanak di Singapura iaitu 27.28 mikrogram per gram berbanding 2.79 mikrogram per gram. Malah, tidak mustahil kini paras berkenaan sudah meningkat berikutan penggunaan bahan mengandungi kandungan plumbum masih digalakkan.

Justeru, pemansuhan petrol berplumbum RON 92 disambut baik demi kepentingan semua khasnya dalam membantu mengurangkan paras plumbum dalam udara.

Pakar perubatan pekerjaan dari Persatuan Pengamal Perubatan Malaysia (MMA), Dr Nirmal Singh, berkata plumbum adalah sejenis unsur bertoksik yang terbukti boleh memberi impak negatif kepada alam dan kesihatan manusia.

Beliau berkata, pembakaran plumbum bersama bahan api seperti petrol dalam kenderaan akan menghasilkan pelbagai bahan yang keluar dari ekzos seperti plumbum oksida, plumbum sulfida dan plumbum karbonat yang akan mencemar udara dan seterusnya meresap ke dalam tanah.

"Tidak seperti bahan pencemar lain, plumbum mempunyai jangka hayat yang panjang dalam alam sekitar hingga boleh mengganggu rantaian makanan manusia.

"Justeru, apabila ia meresap ke dalam tanah, ia juga akan mencemar sumber air yang akhirnya menjadi sumber makanan manusia, tumbuhan dan haiwan sekali gus boleh menjejas kesihatan mereka," katanya.

Katanya, masalah kesihatan lebih serius akan berlaku apabila bahan seperti petrol berplumbum didedahkan secara konsisten kepada manusia. Ia akan masuk ke dalam sistem darah dan seterusnya ke bahagian tulang dan sistem saraf.

"Pendedahan jangka panjang kepada unsur itu boleh merosakkan sistem saraf pusat manusia secara kekal. Ia termasuk kegagalan fungsi otak dan gangguan perjalanan darah dan buah pinggang," katanya. Selain itu, katanya, penyakit seperti anemia, masalah kesuburan dan darah tinggi mudah terjadi jika paras plumbum dalam badan meningkat.

"Keracunan plumbum bukan saja boleh menyebabkan gangguan mental malah memendekkan jangka hayat manusia," katanya. Dr Nirmal berkata, kanak-kanak adalah kumpulan paling mudah dipengaruhi berbanding orang dewasa yang antara lain menyebabkan kegagalan fungsi kognitif kanak-kanak iaitu kegagalan minda untuk berfikir, mengingati dan memproses maklumat dengan tepat.

Beliau berkata, kadangkala pesakit tidak menyedari bahawa mereka mengalami gejala keracunan plumbum ini.

"Bagaimanapun, antara tanda-tanda yang sering berlaku ialah rasa loya, sakit perut, insomnia, mulut mempunyai rasa logam, kelesuan melampau dan hiperaktif; sakit kepala serta paling serius adalah serangan sakit secara tiba-tiba dan koma. Pesakit yang terkena keracunan plumbum sukar dipulihkan.

"Proses penyingkiran plumbum dalam badan mengambil masa lama iaitu sehingga berpuluh tahun dan jika ia serius, rawatan penyingkiran khas yang dipanggil terapi 'chelation' akan dilakukan terhadap pesakit," katanya.

Tuesday, May 20, 2008

Tali pusat boleh dipotong pada pangkal


Pemotongan dibuat pada pangkal tali pusat jika bayi perlu menjalani rawatan rapi untuk masalah teruk yang dialaminya
UMUMNYA, tali pusat bayi yang baru lahir akan dibiarkan kering dan ia akan tertanggal sendiri. Malah, di kalangan orang Melayu, ada yang menganggap anak akan menjadi degil jika tali pusat tertanggal awal. Apapun, dari sudut perubatan apabila seseorang bayi dilahirkan, tali pusat tidak mempunyai fungsi lagi. Ia akan dibiarkan kering dengan sendirinya manakala salur darah di dalamnya juga akan tertutup.

Justeru, apabila tali pusat tertanggal sendiri, ia bermaksud tisu tali pusat dan salur darahnya telah mati dan tidak ada komplikasi perdarahan akan berlaku. Ketua Jabatan Farmakologi dan Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Mohd Suhaimi Ab Wahab, berkata apabila bayi dilahirkan, secara umum tali pusat akan dikepit atau diikat sebelum dipotong antara tiga hingga lima sentimeter (sm) daripada abdomen bayi.
Beliau berkata, kepitan menggunakan alat penyepit khas bertujuan menghalang berlakunya perdarahan. Pada hari pertama bayi lahir, tisu tali pusat masih hidup dan sukar untuk tercabut atau terputus daripada badan bayi. Tisu akan mula mati dan mengering secara perlahan pada hari berikutnya.

Katanya, dalam keadaan normal, tali pusat perlu dibiarkan pada bayi sehingga ia tertanggal sendiri. Biasanya, ia akan mengambil masa antara satu hingga tiga minggu.
Bagaimanapun, kadangkala ia boleh tertanggal dalam masa kurang daripada seminggu atau melebihi tiga minggu malah mungkin hingga lapan minggu. Secara lebih terperinci, tali pusat kerap dirujuk sebagai talian hayat kepada janin kerana ia membekalkan darah secara berulang alik antara janin dan plasenta. Ia juga membawa nutrisi dan oksigen kepada janin dan menyingkirkan bahan buangan janin.
“Tali pusat mula terbentuk pada lima minggu kehamilan. Ia kemudian memanjang hingga minggu ke 28 kehamilan yang mencapai antara 22 hingga 24 inci.
“Tidak kiralah sama ada tali pusat itu panjang atau pendek, ada kalanya ukuran tali pusat membawa kesan kepada kandungan. Ia mungkin tidak bersambung dengan baik ke plasenta atau mungkin tersimpul atau termampat,” katanya.
Keabnormalan tali pusat boleh mendatangkan masalah ketika hamil atau ketika proses melahirkan, tetapi ada kalanya keabnormalan tali pusat boleh dikesan melalui mesin imbasan.

Dr Suhaimi berkata, di dalam tali pusat terdapat tiga salur darah, dua salur darah arteri dan satu vena. Justeru, kepitan atau ikatan pada tali pusat yang dibuat sebaik bayi lahir akan menghalang perdarahan daripada berlaku. “Sekiranya tali pusat dipotong pada pangkalnya, ikatan atau kepitan tidak dapat dibuat dan bayi boleh mengalami perdarahan yang teruk,” katanya.
Bagaimanapun, jelas Dr Suhaimi ada kalanya doktor sengaja memotong tali pusat bayi pada pangkalnya jika bayi perlu menjalani rawatan rapi untuk masalah teruk yang dialaminya.
“Ia dibuat bagi memasukkan kateter (kateter umbilikal) melalui saluran darah tali pusat. Prosedur ini perkara biasa dijalankan di wad rawatan rapi neonat,” katanya. Dr Suhaimi berkata, kateter yang dimasukkan melalui salur darah tali pusat akan lebih bertahan lama berbanding dengan kateter yang dimasukkan melalui salur darah periferi seperti di tangan atau kaki bayi.
Penggunaan kateter tali pusat ini akan mengurangkan kekerapan membuat cucukan atau tusukan jarum pada bahagian tangan dan kaki bayi bagi mengambil darah atau memasukkan cecair. Dalam keadaan normal, tali pusat perlu dibiarkan pada bayi sehingga ia tertanggal dengan sendiri.
Biasanya ia akan mengambil masa antara satu hingga tiga minggu. Bagaimanapun, kadangkala ia boleh tertanggal dalam masa kurang daripada seminggu atau melebihi tiga minggu malah mungkin hingga lapan minggu. Secara lebih terperinci, tali pusat kerap dirujuk sebagai talian hayat kepada janin kerana ia membekalkan darah secara berulang alik antara janin dan plasenta.
Ia juga membawa nutrisi dan oksigen kepada janin dan menyingkirkan bahan buangan janin. Dr Suhaimi berkata, bagi bayi yang baru dilahirkan, tali pusat atau pangkalnya boleh mengalami jangkitan.
“Ia boleh dikenali apabila tali pusat atau kulit di sekeliling pangkalnya menjadi merah, bernanah atau berbau busuk.
“Sekiranya ia berlaku, bayi perlu segera mendapat rawatan perubatan. Untuk mengelak jangkitan tali pusat, elakkan daripada basah atau terkena air. Jika terkena air, ia mesti dikeringkan segera dengan cara mengelap dengan kain atau tisu yang bersih dan mendedahkan tali pusat kepada udara,” katanya.
Jelasnya lagi, jika tali pusat tertutup dengan lampin (dibedung), risiko jangkitan akan bertambah. Justeru, sapuan dengan kapas yang mengandungi alkohol yang biasanya diberikan oleh hospital dapat mengurangkan risiko jangkitan.
Info
Tali pusat bayi

Dipotong antara tiga hingga lima sm sebelum disepit dengan pengepit khas.
Ia akan dibiarkan kering dan gugur sendiri
Ada kalanya doktor sengaja memotong tali pusat hingga ke pangkal pusat bagi memudahkan rawatan dan mengelak bayi kerap disuntik untuk mengambil darah.
Tali pusat akan gugur antara satu hingga tiga minggu.
Tali pusat yang terkena jangkitan akan merah, bengkak dan bernanah.
Tiada sebarang saraf di tali pusat, justeru pemotongan tali pusat tidak mendatangkan rasa sakit.

Senaman cerdaskan minda

KITA berjumpa lagi pada minggu ini dan saya ingin memperkatakan topik mengenai senaman dan kesihatan. Sama ada anda sedar atau tidak, badan anda sebenarnya bersenam ketika anda menjalankan kegiatan lazim anda seperti berjalan di sekitar pejabat, meregangkan badan untuk mencapai buku, mengangkat barang runcit atau mendukung anak berumur tiga tahun atau membongkok untuk mengutip sesuatu.

Namun, tahap senaman akan berbeza antara setiap individu, yakni antara mereka yang mengamalkan rutin senaman yang terjadual secara khusus atau yang bersukan dan mereka yang tidak membuat sebarang senaman tambahan.

Senaman memainkan peranan penting dalam hidup seharian kita. Senaman menentukan tahap kecergasan kita dan seterusnya menentukan tahap tenaga yang kita punyai untuk menjalankan kegiatan seharian.

Kecergasan boleh dibahagikan kepada kecergasan fizikal dan kecergasan mental. Secara amnya, seseorang dianggap cergas dari segi fizikal sekiranya dia masih bertenaga untuk menikmati masa lapangnya selepas seharian bekerja.

Kebanyakan eksekutif akan gagal ujian kecergasan mudah itu. Ini kerana mereka hanya duduk di depan meja selama lapan jam sehari menyebabkan suatu kelesuan yang tidak dapat dihilangkan pada akhir hari kerja dan dengan itu mereka tidak ada baki tenaga untuk menikmati masa lapang yang bermutu dengan keluarga.

Ada beberapa aspek kepada manfaat yang dapat diperoleh daripada senaman iaitu minda, kesihatan dan kecergasan fizikal di samping mendapat keseronokan. Peranan minda sering diabaikan dalam kegiatan seharian kita.

Kita bersusah payah menjaga rupa fizikal tetapi kita meluangkan sedikit masa atau langsung tidak peduli untuk menyediakan minda kita bagi menghadapi dan mengatasi dugaan dan tekanan hidup ini.

Kita lupa bahawa kebolehan seseorang untuk menghadapi dan mengatasi masalah pada hakikatnya bergantung kepada keadaan mindanya. Senaman adalah faktor penting dalam persediaan itu. Senaman dapat membantu seseorang menyediakan dirinya dari segi psikologi dan fisiologi. Untuk memahami ini, kita mesti terlebih dahulu memahami bagaimana organ yang mengagumkan itu, iaitu otak berfungsi.

Otak terdiri daripada kumpulan sel saraf khusus dan sel biasa yang menyokong dan menyuburkan neuron yang terdapat dalam sistem saraf. Maka, otak adalah suatu bahagian penting sistem saraf kita. Sistem saraf itu seperti rangkaian komunikasi yang menghubungkan segala bahagian badan, dengan otak sebagai pusat operasi.

Apabila anda bersenam, anda menambahkan bekalan darah kepada otak dan bersamanya bekalan oksigen. Ini membantu otak berfungsi dengan lebih berkesan. Kajian juga telah menunjukkan nilai senaman sebagai terapi bagi mereka yang menghidap penyakit mental.

Senaman juga merangsang badan meningkatkan pengeluaran unsur pemancar otak seperti endorfin dan lipotropin yang membantu badan menangani kesakitan, tekanan mental, kecemasan, ketegangan dan kemurungan. Edorfin juga dikeali sebagai ubat ‘rasa seronok’ kerana ia menyebabkan keadaan kesantaian dan kegembiraan.

Endorfin adalah pelali semula jadi badan. Pelari jarak jauh dan pejalan kaki biasanya akan mengalami ‘kekhayalan pelari’ itu selepas sesi latihan mereka. Mereka boleh ketagih padanya dan ramai pelari yang kuat merungut jika mereka terlepas atau tidak dapat menjalankan larian hariannya itu.

Selain aspek biologi yang dibincangkan di atas, senaman juga membantu membina keyakinan dan harga diri. Semangat kita akan dipertingkatkan andainya seseorang memuji kehilangan berat badan yang berlebihan, atau getaran otot badan yang diperkuatkan oleh senaman atau keserian wajah baru hasil penjagaan kesihatan.

Oleh itu, pada minggu ini, hanya sampai setakat ini saja saya boleh memperkatakan mengenai topik senaman dan kesihatan. Sehingga kita berjumpa dua minggu lagi dan pada kali itu saya ingin membincangkan mengenai kecergasan fizikal yang juga terletak di bawah topik yang sama.

Monday, May 12, 2008

Olivenol mampu rungkai masalah kulit

OLIVENOL adalah bahan makanan sampingan 100 peratus dihasilkan daripada buah zaitun. Ia dikenal pasti mengandungi semua elemen diperlukan anggota badan dalaman dan luaran serta memainkan peranan bertindak sebagai rangsangan membakar lemak atau bahagian yang tidak diperlukan badan. Selain itu, bahan makanan sampingan itu juga mampu melambatkan proses penuaan dan kerosakan kulit kerana pancaran matahari serta mengurangkan tekanan atau stress sekiranya dihambat kesibukan kerja. Pencipta produk itu, Prof Dr Roberto Crea mengambil masa selama 10 tahun membuat kajian dan penyelidikan terhadap buah zaitun sekali gus berjaya membuktikan sari pati buah itu mampu merungkai permasalahan kulit yang dialami pengguna.
Katanya, produk itu sudah lama bertapak di Barat malah banyak bukti menunjukkan kehebatannya kerana ia membantu mengurangkan pertumbuhan sel kulit dan tisu badan sekali gus merawat luka dan parut lama. “Saya tidak cakap kosong, produk ini membuktikan masalah kulit seperti melecur boleh dikembalikan kepada struktur kulit asal selepas beberapa bulan pengambilan pil atau ubat titik secara berterusan. “Kandungan buah zaitun juga didapati mampu menguatkan kulit kepala dan kuku malah membantu mengembalikan warna kulit asal kerana pancaran UV,” katanya.
Olivenol juga bakal menjadi tumpuan mereka yang ingin kelihatan menarik kerana sebatian di dalam buah zaitun juga dikenal pasti mengandungi sel yang mampu membuatkan seseorang itu lebih muda daripada usia sebenar. Bahan makanan sampingan itu juga mampu mengurangkan tekanan selepas penat bekerja dan adalah satu produk yang meliputi semua elemen yang diperlukan anggota badan terutama dalam aspek kecantikan dan kesihatan. Ia juga sesuai kepada mereka yang mempunyai masalah kolesterol. Produk itu akan bertindak menjadikan kolesterol dalam badan kembali stabil sekali gus bertindak menurunkan atau menaikkannya ke tahap yang bersesuaian dengan tubuh seseorang. Olivenol adalah jawapan kepada semua masalah kepada mereka yang mementingkan kecantikan dan kesihatan kerana mengandungi semua bahan diperlukan tubuh badan tanpa perlu mengambilnya dalam kuantiti yang banyak.
Penggunanya bukan saja yang menghadapi masalah kulit malah ia sesuai dijadikan bahan makanan sampingan kepada mereka yang mengamalkan rutin kerja yang tidak menentu. Mereka yang berminat boleh mendapatkan produk ini di semua farmasi di Malaysia dalam bentuk kapsul dan ubat titik dengan harga antara RM130 dan RM160.

Rawatan sinusitis tanpa pembedahan

Teknologi terbaru menggunakan belon sinusplasti yang hanya ambil masa sejam setengah

BIASANYA masalah sinusitis yang tidak boleh dirawat dengan antibiotik terpaksa ditangani dengan pembedahan.

Bagaimanapun, prosedur itu akan membabitkan proses membesarkan laluan sinus yang tersumbat dengan mengikis sekitar tulang dan mengeluarkan tisu yang terjejas.

Kini, teknologi terbaru dalam rawatan sinusitis tidak memerlukan pembedahan sebaliknya hanya menggunakan belon dan kateter seperti rawatan sakit jantung.

Prosedur yang dikenali sebagai belon sinusplasti bertindak membuka rongga sinus sama seperti prosedur pakar kardiologi membuka arteri yang tersumbat (belon angioplasti)
Paka
r Perunding Telinga, Hidung dan Tekak, Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Abdul Razak Rahman Hamzah, berkata rawatan belon sinusplasti tidak membabitkan pembedahan, sebaliknya pesakit yang menjalani rawatan akan dibenarkan pulang dalam masa yang singkat.

“Berbanding pembedahan, belon sinusplasti tidak membabitkan pendarahan dan prosedurnya hanya mengambil masa paling lama sejam setengah,” katanya.

Dr Abd Razak berkata, dalam prosedur belon sinusplasti, pesakit akan dibius sebelum belon dimasukkan ke dalam rongga sinus hingga ke kawasan yang terjejas.

Secara lebih terperinci, ia akan membabitkan penerokaan secara keseluruhan pada bahagian rongga hidung menggunakan belon kateter yang direka khusus untuk keseluruhan sistem rongga hidung yang kompleks.

Belon itu akan menstruktur semula tulang atau membuka dinding laluan yang tersekat membenarkan fungsi sinus normal.

“Belon akan bertindak menstrukturkan semula tulang yang menjejaskan rongga sinus dengan memberi tekanan yang sesuai pada tulang-tulang berkenaan. Binaan tulang-tulang pada sinus yang lembut memudahkan ia distrukturkan semula dengan tidak mendatangkan rasa sakit,” katanya.

Katanya, secara umum prosedur ini hanya mengambil masa 30 minit jika membabitkan satu sinus, tetapi prosedur belon sinusplasti umumnya membabitkan empat atau lima sinus yang tersekat.

Belon sinusplasti mula dikenali apabila penggunaannya dalam rawatan sinusitis diluluskan oleh Pentadbiran Dadah Amerika (FDA) pada 2005. Berbanding dengan instrumen standard yang digunakan dalam pembedahan sinus, belon sinusplasti tidak memerlukan pemotongan atau pembuangan tisu yang terjejas.

Justeru, tempoh pemulihan walaupun banyak bergantung kepada keadaan pesakit itu sendiri tetapi secara umum pesakit boleh pulang ke rumah dalam tempoh 24 jam selepas prosedur. Malah, ia disifatkan oleh ramai pengamal perubatan sebagai prosedur dengan risiko yang sangat minimum.

Prosedur ini popular di Amerika dan kini merekodkan pesakit sinusitis seramai 37 juta orang. Dr Abd Razak berkata, setiap masalah sinusitis tidak sama dan apabila belon sinusplasti hendak dilakukan, perbincangan serta pemeriksaan teliti diperlukan. Katanya, prosedur ini hanya dilakukan kepada mereka yang berusia 17 tahun ke atas.

Mengenali sinusitis Kerap kali sinusitis disamakan dengan resdung. Bagaimanapun, dari sudut perubatan, ia adalah dua perkara yang berbeza. Malah, kedua-duanya juga tidak berkongsi simptom yang sama. Secara umum, sinusitis adalah jangkitan pada sinus.

Mengenali simptom sinusitis adalah mudah, iaitu pesakit akan mengalami selesema berterusan hingga 10 hari dan hingus yang jernih bertukar menjadi hijau atau kuning. Sinus dalam istilah anotomi merujuk pada rongga dalam tengkorak, bersambung ke hidung pada bahagian tulang muka di mana laluan udara dan mukus keluar.

ebenarnya, fungsi sinus tidak diketahui tetapi pakar anatomi percaya ia dijadikan untuk meringankan tengkorak dan membantu suara berdengung dengan baik. Setiap orang memiliki empat pasang sinus iaitu ethmoid (sinus antara mata), sphenoid (sinus bahagian hidung), frontal (sinus pada bahagian dahi) dan maxillary (sinus di bawah pipi).

Apabila sinusitis terjadi, hingus menjadi kotor, berdarah dan berubah warna menjadi hijau atau kuning manakala hidung sentiasa sakit, batuk berpanjangan dan banyak berkahak. Ada banyak faktor terjadinya sinusitis, ia mungkin kerana alahan, habuk, pemakanan selain ketumbuhan dalam hidung dan tulang hidung yang membengkak.

Malah, lahir dalam keluarga yang menderitai asma atau masalah alahan juga berisiko menghidap sinusitis. Selalunya, sinusitis yang kronik dikaitkan dengan halangan dalam sinus. Ia mungkin berpunca daripada sinus yang bengkak atau membran di laluan sinus yang radang. Selalunya sinus boleh menghasilkan suku gelen mukus sehari.

Justeru, apabila sinus tersekat, ia tidak boleh kering dengan sempurna dan cecair yang terkumpul mengalami jangkitan.

Dalam keadaan ini prosedur belon sinusplasti akan menstrukturkan semula garisan tulang di laluan sinus dengan membukanya semula membolehkan cecair itu kering dan berfungsi secara normal.

Info: Prosedur belon sinusplasti

Dengan sistem belon sinusplasti, tiub panduan dan wayar panduan yang fleksibel akan dimasukkan ke rongga hidung. Ia diikuti dengan memasukkan belon di hujung wayar panduan.

Tiub belon sinus diletkkan di kawasan sinus yang tersekat

Penstrukturan semula sinus dengan mengembangkan tulang di kawasan sinus membolehkan laluan dibuka dan berfungsi secara normal.

Saturday, May 10, 2008

Herba untuk diabetes

‘‘Setahun yang lalu saya disahkan menghidap kencing manis. Saya sedang mengambil ubat seperti yang disarankan doktor serta mengawal pemakanan serta membuat pemeriksaan gula darah secara berkala. Bacaannya yang diperolehi biasanya tidak melebihi 8.0 mmol/L (tanpa makan). Selain ubat-ubatan, saya ingin mencuba suplemen herba yang dikatakan berkesan untuk mengawal peningkatan paras gula. Apakah yang boleh saya cuba?’’
Jawapan: Diabetes adalah penyakit yang tidak boleh disembuhkan, namun dengan penjagaan dan rawatan yang baik ia boleh dikawal dengan lebih berkesan, seterusnya mengurangkan kesan jangka panjang diabetes. Apabila disahkan menghidap diabetes, pengambilan ubat seperti yang disarankan adalah sangat penting.
Antara herba popular yang telah digunakan sejak sekian lama untuk mengawal peningkatan paras gula termasuklah fenugreek (halba). Halba atau trigonella foenum-graecum telah digunakan secara tradisional sebagai emolien yang mengurangkan keradangan kulit. Pengambilan secara oral akan mengurangkan paras gula darah akibat kesan hipoglisemiknya. Kandungan pentingnya seperti trigolline, komarin dan serat membantu mengurangkan paras gula.
Bahan aktif dalam gymnema membantu menjana semula sel beta yang merembeskan insulin dalam pankreas dan meningkatkan pengeluaran insulin. Ia juga meningkatkan aktiviti enzim untuk menyenangkan penggunaan glukosa dan meningkatkan penukaran glukosa kepada glikogen dalam hati, buah pinggang dan otot.
Ekstrak gymnema memberi kesan positif kepada diabetes jenis kedua. Dalam kajian yang melibatkan dua puluh dua pesakit diabetes jenis kedua yang diberikan ekstrak gymnema berserta dengan ubat oral hipoglisemia mendapati kesemua pesakit memperoleh kawalan gula darah yang lebih baik, dengan 21 daripada 22 subjek boleh mengurangkan dos ubat mereka. Lima subjek pula boleh menghentikan pengambilan ubat dan mengawal gula darah dengan menggunakan ekstrak gymnema sahaja.
Dua herba bermanfaat ini digabungkan dengan holy basil (Ocimum sanctum) dan peria (Momordica charantia) untuk kesan sinergistik. Sekiranya anda disahkan menghidap diabetes dan memilih untuk mengambil gymnema, pastikan anda membuat ujian gula darah dengan lebih kerap untuk mengawasi paras gula anda.

Pendekatan asuhan yang sihat

Pemakanan yang baik hanya merupakan satu aspek asuhan yang baik. Anda juga patut menggalakkan anak-

anak supaya bermain, belajar perkara-

perkara baru dan menimba pengalaman baru. Pendekatan asuhan yang sihat akan membolehkan anak-anak anda dan anda sendiri mengakui bahawa zaman mereka semasa kanak-kanak adalah zaman paling indah dalam hidup mereka!

Kegiatan fizikal, digabungkan dengan pemakanan yang sihat, lazat dan berkhasiat, menambah kecergasan, menguatkan tulang dan otot, dan membantu anak-anak anda mengekalkan berat badan yang sihat. Ia juga menambah tenaga, agar anak sentiasa aktif dan tidak terkurungdalam rumah. Jadi, kurangkan masa di depan TV atau komputer, bawa anak-anak keluar berjalan-jalan dan bermain!

Kesihatan mental dan emosi juga penting untuk memupuk keyakinan dan nilai (harga) diri anak-anak. Jika mereka kurang cemerlang di sekolah atau menghadapi masalah dalam pergaulan dengan kawan-kawan, cubalah berbual dengan mereka.

Jangan berleter atau meninggikan suara, tetapi sebaliknya jadikan perbualan dengan mereka hubungan dua hala yang menyeronokkan. (Dan) sentiasa bersikap positif apabila membantu anak-anak menangani situasi yang sukar agar mereka juga akan menangani cabaran pada masa hadapan dengan sikap yang positif.

Satu cara yang baik untuk mengeratkan hubungan dan bertanyakan hal anak-anak ialah dengan duduk dan makan bersama. Ini juga menggalakkan anak-anak makan dengan lebih mudah dan memberi peluang kepada anda untuk mengamalkan tabiat makan yang sihat dan pasti akan menjadi sebahagian daripada cara hidup mereka apabila mereka dewasa.

Sebagai ibu bapa, anda memainkan peranan penting kepada anak anda. Anak anak perlu tahu sebab-sebab anda menjaga serta mengasuh dengan baik. Kanak-kanak yang sihat pada masa kini akan menjadi dewasa sihat pada masa depan kelak.

Makanan kanak-kanak aktif!


KANAK-KANAK zaman sekarang tak ubah seperti orang dewasa. Mereka sentiasa sibuk dengan tanggungjawab dan tugas yang perlu dilakukan! Sama ada berada di tadika atau sekolah rendah, kanak-kanak mempunyai pelbagai aktiviti dari kokurikulum hinggalah ke masa bermain – mereka juga sibuk sama seperti ibu bapa mereka.

Bagi memastikan anak anda sentiasa sihat dan cergas untuk berlari, belajar dan bermain dengan aktif, mereka memerlukan pemakanan yang betul. Pada tahun-tahun awal ini, pemakanan yang betul sangat penting bagi tumbesaran anak anda. Ini termasuk berat dan ketinggian badan; pembinaan tulang, otot dan gigi yang kuat; dan perkembangan otak, sistem saraf dan psikologi yang sihat.

Pemakanan yang baik membantu anak anda membesar dengan sihat dan sempurna, dan mencapai potensi penuh mereka, sama ada semasa bermain atau belajar. Ia juga memberi perlindungan apabila anak anda mendapat selesema atau jangkitan lain dan mempercepat penyembuhannya.

Namun, langkah memastikan anak anda mengambil makanan yang betul bermula daripada anda. Anda perlu berusaha mempelajari amalan pemakanan yang baik, khususnya jenis dan kuantiti makanan yang patut diberikan. Untuk berfungsi dengan sebaik mungkin dan memastikan anak anda sentiasa riang sepanjang zaman tumbesarannya, dia memerlukan tenaga secukupnya. Tenaga ini diperoleh daripada makanan berkhasiat yang anda pilih untuk mereka.

Pemakanan yang betul

Pemakanan yang betul bermakna, memberi anak anda makanan yang betul dalam kuantiti yang betul dan pada masa yang betul. Tiga faktor penting yang perlu diingati tentang makanan dan pemakanan adalah:

1. Makanan yang berlainan membekalkan nutrien yang berlainan, dan dalam kuantiti yang berlainan
2. Tiada satu pun makanan yang boleh memenuhi segala keperluan pemakanan anak anda
3. Pelbagai jenis makanan diperlukan untuk memastikan anak anda mendapat nutrien harian yang diperlukan

Nutrien utama

Karbohidrat diuraikan menjadi glukosa, bahan bakar yang diperlukan oleh tubuh kecil (dan otak) anak anda. Sumber karbohidrat termasuk nasi, mi, dan bijirin.

Protein diperlukan untuk membaiki dan menggantikan tisu apabila anak anda terluka di tangan,lutut atau kaki. Ia juga membina otot agar anak anda dapat bangun dengan cepat apabila terjatuh. Sumber protein termasuk ikan, daging, susu dan produk susu. Produk susu juga kaya dengan kalsium (untuk tulang yang kuat). Jadi, pastikan anak anda minum susu secukupnya setiap hari!

Lemak membekalkan tenaga dan asid lemak perlu yang diperlukan. Ingatlah, bukan semua lemak tidak sihat, melainkan jika diambil secara berlebihan. Diet yang seimbang dan meliputi pelbagai jenis makanan membekalkan jumlah lemak yang diperlukan oleh anak anda.
Vitamin dan zat galian penting kerana ia memainkan peranan khas dalam fungsi tubuh dan membantu dalam sistem pertahanan badan.

Membuat pilihan yang sihat

Sama ada sarapan pagi, makan tengah hari, makan malam atau snek, pilihan makanan yang sihat memainkan peranan penting supaya anak-anak sentiasa cergas dan bertenaga. Pastikan mereka makan setiap kali tiba waktu makan kerana setiap sajian membekalkan nutrien dan tenaga yang diperlukan.

Cubalah idea berikut untuk memastikan anak anda mendapat pelbagai jenis makanan dan segala nutrien yang memberi uumph untuk membolehkan mereka berkelakuan seperti kanak-kanak!
Tenaga daripada sarapan pagi

Sarapan bukan sahaja mengisi perut dan memberi tenaga untuk setengah hari pertama, tetapi juga menjadikan anak anda lebih peka dan membaiki daya ingatan agar mereka dapat memberi lebih tumpuan kepada pelajaran dalam kelas.
Cuba berikan:
l Sarapan bijirin dengan susu
l Kacang panggang, telur dadar dan roti bakar
l Bubur ayam/ikan dengan sayuran

Waktu rehat!

Di sekolah, jangan biarkan anak anda mengisi perut mereka dengan makanan ringan yang tidak berkhasiat dan minuman berkarbonat. Sebaliknya, bekalkan mereka dengan makanan berkhasiat, seperti:
l Buah-buahan seperti pisang, epal
l Sandwic tuna/sardin/ayam/telur
l Roti/biskut tawar dengan keju/marjerin/jem
l Sekotak susu, miniman malta, susu soya atau jus buah-buahan

Makan tengah hari!

Makanan tengah hari mengisi semula bekalan nutrien dan tenaga daripada sarapan yang telah digunakan, untuk mencergaskan badan dan minda anak agar lebih bersedia mengharungi setengah lagi hari.
Pilihlah:
l Nasi dengan sayuran dihidangkan bersama ayam/ikan/daging yang dimasak dengan kicap cair atau tauhu kukus dengan daging cincang
l Mi sup dengan daging ayam tanpa lemak dan sayuran
l Nasi ayam kukus dengan salad

Waktu belajar

Sama ada anak anda mengulang kaji di rumah, pusat tuisyen atau mengikuti kelas piano, mereka memerlukan makanan berkhasiat untuk mencerdaskan fikiran dan badan agar mereka boleh memberi tumpuan kepada mata pelajaran matematik dan muzik! Berikan:
l Pau kaya/kacang merah
l Sandwic tuna/sardin/ayam/telur

Makan malam

Makan malam memberi peluang kepada anak anda untuk melengkapkan kuantiti nutrien harian mereka. Galakkan mereka duduk makan bersama keluarga kerana waktu makan malam adalah masa yang baik untuk seisi keluarga berbual mesra. Cuba hidangkan:
l Spageti/makaroni dengan ayam, sayuran dan keju serta sos tomato
l Burger ayam masakan rumah dengan roti ban gandum penuh dan sayuran

Snek antara waktu makan

Makanan snek dapat menenangkan perut yang berkeroncong antara waktu makan. Minuman seperti susu, minuman malta, jus buahan-buahan dan susu soya yang diberikan bersama makanan ringan dapat membantu menambah nilai pemakanan makanan snek! Pilihan yang sihat termasuk:
l Bungkusan atau kotak kecil bijirin
l Biskut separuh manis atau biskut tawar
l Roti ban atau roti dengan keju

Sebaik-baiknya, jadikan waktu makan anak anda masa yang selesa, santai dan menyeronokkan. Pastikan sajian makanan dihidangkan dengan gaya yang menarik, dalam suasana ceria yang menggalakkannya untuk makan. Ingatlah, zaman kanak-kanak yang riang gembira adalah asas kehidupan yang sihat apabila mereka dewasa, dan pemakanan yang betul adalah asas pembinaan badan dan minda yang kuat!

Lebih 400 juta pesakit asma menjelang 2025

PESAKIT asma mengalami masalah salur udara menjadi sempit hasil inflamasi keradangan sehingga mengganggu aliran udara ke paru-paru

ASMA atau lelah adalah penyakit saluran udara kronik. Tanda-tanda atau simptom penyakit asma adalah seperti sesak nafas, nafas berbunyi, ketat dada dan batuk.

Bukan semua pesakit asma yang akan mengalami semua simptom yang disebutkan di atas. Hampir 20 peratus pesakit hanya mengalami batuk yang berlanjutan.

Simptom asma adalah disebabkan oleh penyempitan dan inflamasi saluran udara yang boleh berlaku akibat alahan kepada persekitaran, salah makan, ubat-ubatan dan tekanan apabila pesakit terdedah kepada punca-punca yang disenaraikan tadi.

Serangan asma berlaku apabila saluran udara menjadi sempit akibat pengecutan otot di sekeliling saluran udara serta tersumbat kerana inflamasi dan rembesan cecair yang banyak dari saluran udara yang membengkak tadi.

Ini akan menyebabkan serangan asma akan berterusan dari beberapa jam sehinggalah kadangkala berbulan-bulan.

Simptom-simptom ini juga mungkin lebih teruk pada waktu subuh dan malam.
Walaupun asma tidak boleh sembuh, ia boleh dikawal dengan ubat-ubatan yang ada pada masa sekarang.
Setiap pesakit boleh menjalankan aktiviti seperti biasa seperti orang lain jika mereka mematuhi arahan doktor dengan baik.
l Punca asma
Punca sebenar asma masih belum diketahui. Kaitan faktor genetik atau keturunan merupakan salah satu sebab penting dan ini dapat dilihat di mana di kalangan keluarga pesakit asma biasanya terdapat ahli keluarga lain yang menghidap asma, resdung (rhinitis) atau dermatitis (atopy skin disease).
Walaupun punca sebenar asma tidak diketahui, namun punca serangan asma lebih diketahui seperti inflamasi dan saluran udara pesakit asma yang menjadi sempit disebabkan oleh beberapa faktor.
Antara faktor yang menyebabkan serangan asma adalah pesakit menyedut kutu debu, debunga, bulu kucing atau anjing, pencemaran udara, asap rokok, kurang senaman dan kesan beberapa ubat-ubatan.
Adalah penting supaya pesakit asma mengelak dari terdedah kepada semua faktor tersebut. Pesakit juga perlu mengetahui jenis alahan (alergi) masing-masing kerana ia berbeza mengikut individu.
l Beban asma
Dijangka sebanyak 300 juta penduduk dunia kini menghidap asma. Asma selalunya bermula dari zaman kanak-kanak dan akan terus menyerang pesakit untuk jangka masa yang panjang, mungkin sepanjang hayat.
Penyakit kronik ini akan mengakibatkan pelajar tidak dapat menghadiri sekolah atau pekerja terpaksa bercuti sekiranya asma pesakit tidak dikawal dengan baik.
Beberapa kajian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa mendapati hampir 50 peratus pesakit asma mengalami beban asma kerana tidak dapat menjalankan tugas-tugas harian, bersenam, bersukan dan bersosial.
Di banyak negara yang kurang maju, penyakit ini kurang dikesan dan mengakibatkan banyak kematian dan kemasukan ke hospital.
Terdapat banyak negara yang tidak mampu memberi rawatan asma yang berkesan supaya ia dikawal dengan baik yang kemudiannya mengakibatkan beban terhadap negara.
Di Malaysia, satu kajian menunjukkan hampir 10 peratus pesakit asma dimasukkan ke wad akibat serangan akut asma dalam masa setahun dan 40 peratus lagi menerima rawatan kecemasan di klinik-klinik swasta dan jabatan kecemasan hospital.
Laporan, Global Burden of Asthma Report juga meramalkan bahawa 100 juta lagi penduduk dunia akan dikesan menghidap penyakit ini sebelum tahun 2025.
l Diagnosis asma
Simptom-simptom, pemeriksaan fizikal dan ujian fungsi paru-paru adalah penting untuk mengesan penyakit asma.
Ujian fungsi paru-paru yang terdiri daripada penggunaan alat spirometri dan “peak flow meter” adalah sangat penting untuk mengesahkan penyakit ini dan juga melihat tahap teruknya penyakit asma.
Di Malaysia, kebanyakan pesakit tidak menjalani ujian-ujian ini semasa lawatan susulan dan juga untuk diagnosis.
Ujian-ujian ini amat penting untuk melihat tahap asma setiap pesakit bagi menentukan kaedah rawatan bersesuaian dan paling berkesan.
l Rawatan asma
Inflamasi saluran udara dan pengecutan otot saluran udara yang merupakan dua mekanisma utama serangan asma mengakibatkan pesakit sesak nafas, batuk dan nafas berbunyi. Oleh itu, adalah penting untuk mengurangkan atau memulihkan keadaan ini kepada normal.
Pada masa ini, terdapat banyak ubat untuk mengubati penyakit asma dan kebanyakannya adalah secara sedutan.
Ubat sedutan adalah cara yang sangat berkesan kerana ubat yang diberi secara sedutan hanya memerlukan dos yang sangat rendah dan ia akan masuk terus ke dalam saluran udara dan bertindak dengan cepat tanpa memberikan kesan sampingan sistemik.
Ubat rawatan asma boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu ubat sedutan penahan (reliever) dan ubat sedutan pencegah (preventor).
Kedua kumpulan ubat ini biasanya dijual di dalam pelbagai warna tetapi amat penting bagi pesakit mengenal kedua-dua kumpulan ini.
Ubat penahan biasanya mengandungi ubat yang bertindak bagi mengembangkan saluran udara ketika pesakit mengalami serangan akut manakala ubat untuk mencegah (preventor) mengandungi dos steroid yang agak rendah dan berfungsi sebagai anti-inflamasi bagi mencegah serangan akut asma.
Kandungan steroid yang rendah dalam sedutan ini tidak akan memberi kesan sampingan yang teruk kepada pesakit sekiranya digunakan mengikut arahan doktor berbanding ubat steroid yang diambil secara oral.
Banyak kajian telah membuktikan bahawa ubat steroid boleh mengurangkan serangan akut dan juga kematian akibat asma.
Ramai orang yang takut menggunakan steroid disebabkan oleh kesan sampingannya tetapi anggapan ini adalah kurang tepat kerana hanya dos yang rendah terdapat di dalam ubat sedutan.
Apabila pesakit tidak menggunakan ubat sedutan steroid seperti yang diarahkan, ini akan mengakibatkan kurangnya kawalan terhadap penyakit asma.
Ini berbeza dengan ubat menahan (reliever). Jika pesakit kerap menggunakan ubat menahan (reliever), terdapat banyak kesan sampingan dan asma juga tidak dapat dikawal dengan baik.
Kajian membuktikan lebih banyak kematian dikesan di kalangan pesakit sekiranya ubat penahan (reliever) digunakan lebih banyak dari ubat pencegah (preventor).
Jika seseorang pesakit asma mengalami serangan asma lebih dari dua kali seminggu, pesakit perlu menggunakan kedua-dua jenis ubat sedutan tersebut.
Yang penting adalah penggunaan ubat sedutan pencegah (preventor) setiap hari, walaupun jika tiada tanda-tanda serangan asma.
Dos dan kekerapan pengambilan ubat mungkin perlu ditingkatkan bergantung kepada kawalan asma pesakit.
Kemajuan sains dan teknologi terkini juga telah membawa kepada kombinasi ubat penahan (reliever) dan pencegah (preventor) dalam satu alat sedutan.
Di samping itu, terdapat beberapa jenis ubat sedutan dan ubatan biji baru yang sangat berkesan untuk mengawal serangan asma.
Selain itu, cara pemberian sedutan (inhaler device) juga telah dipelbagaikan bagi memudahkan pesakit dari setiap peringkat umur menggunakannya.
l Hari Asma Sedunia 2008
Setiap tahun, Hari Asma Sedunia diraikan pada hari Selasa pertama setiap bulan Mei. Pada tahun ini, ia jatuh pada 6 Mei 2008.
Tema pada tahun ini adalah sama seperti tahun lepas iaitu, “Anda boleh mengawal asma anda” (You can control your asthma).
Kawalan asma boleh dicapai oleh hampir semua pesakit dengan rawatan yang tepat. Untuk itu, adalah penting supaya empat strategi di bawah diikuti:
l Perkongsian antara pesakit dan doktor (Develop patient/ doctor partnership )
l Mengetahui dan mengelak alahan atau faktor risiko serangan asma akut
l Merawat dan memantau asma
l Merawat serangan akut asma dengan segera
Dengan adanya empat strategi ini dan ubat-ubatan yang berkesan, setiap pesakit boleh mengawal asma mereka dengan baik.
Tema tahun ini juga memastikan setiap golongan, terdiri daripada pesakit, doktor, orang awam dan kerajaan memainkan peranan masing-masing supaya kawalan penyakit asma terus ditingkatkan.

Friday, May 9, 2008

Kembalikan keremajaan kulit

KULIT wajah yang dimamah usia akan mula menunjukkan kesuraman, tidak segar, kusam dan tidak bermaya.

Walaupun ini merupakan proses alam yang harus diterima oleh setiap manusia dengan hati yang reda namun sebagai manusia juga kita disuruh berusaha untuk memperbaiki keadaan yang ada.

Terdapat banyak cara rawatan moden yang disediakan oleh pakar-pakar kecantikan seperti suntikan vitamin C, suntikan botox, pembedahan plastik atau ada juga yang memilih pemulihan secara rawatan alternatif seperti menanam susuk.

Namun tidak semua orang mampu atau mahu melakukan rawatan yang disebutkan di atas kerana beberapa faktor.

Di antaranya mungkin kerana faktor kewangan, takut tersilap rawatan yang boleh memudaratkan, tidak tahan menanggung kesakitan dan lebih penting kerana faktor agama.

Bagaimanapun, masih terdapat rawatan yang dapat membantu anda bagi mengembalikan keremajaan atau keaslian kulit wajah dengan cara yang selamat dan kos yang anda mampu.

Untuk mendapatkan hasil yang menggembirakan, anda harus melakukan rawatan ini secara konsisten.

Beg stoma bantu pesakit berkaitan usus

“APABILA sedar daripada pembedahan, saya buka selimut dan lihat ada beg kecil melekat atas perut saya. Waktu itu saya amat tertekan.

Persoalan pertama yang muncul di dalam fikiran saya, bolehkah isteri dan anak-anak serta rakan-rakan menerima keadaan saya ini. Maklumlah saya bawa najis di dalam beg ke sana ke mari,’’ kata Zainuddin Mohd. Tahir, 72, seorang pesakit yang terpaksa menjalani pembedahan ostomi.

Berikutan pembedahan akibat masalah usus yang dialami, hidup Zainuddin kini tidak boleh dipisahkan dengan beg yang digunakan bagi menyalurkan najis keluar.

Kini kalau dihitung sudah hampir 30 tahun beliau hidup dalam keadaan perut terbuka untuk menyalurkan najis keluar melalui beg yang dipakai di bahagian luar pinggang.

‘‘Saya tidak menanggap memakai beg stoma sebagai satu kekurangan untuk saya meneruskan kehidupan harian. Tiada apa yang membezakan saya dengan orang lain,’’ kata Zainuddin yang juga Presiden Stoma Care Malaysia, ketika dikunjungi di rumahnya, di Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menceritakan pengalamannya, segala-galanya bermula pada penghujung tahun 1978 apabila beliau ke tandas lebih kerap daripada kebiasaan.

Pada awalnya beliau tidak berasa apa-apa kelainan, sehinggalah selepas sebulan keadaan bertambah serius apabila terpaksa ke tandas enam hingga tujuh kali sehari.

Lebih membimbangkan, Zainuddin melihat perubahan berat badan yang turun sehingga 10 kilogram.

‘‘Atas nasihat seorang teman, saya ke hospital. Apa yang mengejutkan doktor memaklumkan saya ada barah rektum selepas membuat pemeriksaan rapi termasuk biopsi,’’ ujarnya,
Katanya, lepas pembedahan bermulalah episod baru dalam kehidupannya apabila terpaksa memakai beg untuk menyalurkan najis yang keluar.

Berkongsi pengalaman, kata Zainuddin, tahun pertama bagi seorang yang pernah menjalani pembedahan ostomi sepertinya, merupakan ujian paling mencabar kerana dalam tempoh itu terpaksa menanggung pelbagai perkara yang tidak diduga.

‘‘Saya terpaksa buat penyelidikan dan menjadikan diri sendiri sebagai kajian. Bukan sahaja jenis makanan yang boleh atau tidak boleh dimakan, tetapi juga bagaimana mahu menggunakan pad tersebut.

‘‘Masa itu tidak banyak maklumat. Kalau makan kacang atau benda-benda berangin, saya mudah sakit perut,’’ ujarnya.

Berbanding hari ini, kata Zainuddin, pesakit lebih mudah melakukan aktiviti harian kerana semakin banyak syarikat mengeluarkan beg untuk kegunaan golongan ini. Selain lebih bermutu, ia juga mudah digunakan dan agak praktikal.

Sementara itu, menurut Pakar Bedah Darul Ehsan Medical Centre (DEMC), Shah Alam, Dr. Jamaludin Yusak, ostomi bermakna mengeluarkan sebahagian saluran makanan ke permukaan kulit bagi mengalih aliran kumbahan.

Nama ostomi diambil sempena bahagian saluran makanan yang dikeluarkan seperti oesophagostomy, gastrostomy, jejunostomy (ini selalunya berbentuk ostomi sementara) ileostomy dan kolostomy.

‘‘Selain saluran makanan, penggunaan beg stoma juga bagi mengalihkan kencing keluar ke permukaan kulit. Ini termasuklah bagi masalah nephrostomy (buah pinggang) , ureterostomy (tiub ureter) dan cystostomy (pundi kencing),’’ katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, kaedah ostomi dilakukan bagi mengalih aliran kumbahan daripada melalui aliran asal bagi membolehkan pemulihan bahagian usus, menyambungkan usus akibat pembedahan fistula di dubur, jangkitan di usus seperti ulcerativ colitis, juga trauma di perut sekiranya melibatkan usus.

Selain itu, ia juga bagi melepaskan sekatan aliran kumbahan akibat kanser usus selepas pembuangan rektum dan dubur dalam pembedahan kanser kolokrektal, di samping mewujudkan aliran baru untuk kumbahan selepas pembuangan semua kolon berpenyakit polipsis koli atau kaedah alternatif untuk bayi yang tiada lubang dubur.

Ujar Dr. Jamaludin, sejak adanya peralatan untuk ostomi, penyeliaan menjadi lebih mudah dan bersih. Peralatan ini termasuk pelekat penutup kulit (stomahesive) dan beg-beg menampung kumbahan yang terkeluar.
Pada permulaannya, keluaran kumbahan ini memang tidak dapat dikawal dan memerlukan penukaran kerap beg penampung kumbahan atau beg stoma.

“Bagaimanapun, keadaan ini akan berubah mengikut masa di mana pengeluaran kumbahan berlaku hanya pada masa tertentu yang boleh diramalkan oleh pengguna,’’ ujarnya.
Pengguna stoma katanya, tidak perlu pada sebarang pakaian khas. Tiada sebarang mudarat berlaku sekiranya stoma tertekan akibat pakaian ketat atau sebagainya. Mereka boleh meneruskan pekerjaan seperti biasa.

Dari segi pemakanan pula katanya, setelah luka ostomi sembuh, pengguna dibenarkan memakan makanan seperti biasa. Tiada skim pemakanan tertentu yang dikhaskan untuk pengguna stoma.
Walaupun begitu, mengurangkan beberapa jenis makanan boleh membantu mengurangkan masalah seperti pembuangan angin atau makanan yang menyebabkan pengguna cirit atau sembelit. Makanan ini berbeza antara individu.

Sama seperti melakukan aktiviti lain, tidak ada halangan untuk pengguna stoma untuk aktif dalam sukan. Mereka boleh menjalani aktiviti sukan seperti biasa seperti berjoging, bermain badminton, bola dan sebagainya.

Namun katanya, mereka patut berhati-hati apabila mengambil bahagian dalam mengangkat berat kerana peningkatan tekanan di dalam perut boleh menyebabkan hernia pada ostomi.
Selain itu, penjagaan lebih diperlukan di dalam sukan seperti tinju, gusti dan sebagainya agar tidak mencederakan. Apabila mereka berenang, pastikan beg stoma kedap udara dan mantap, air tidak akan mendatangkan mudarat kepada ostomi, begitu juga penggunaan sabun.

Sementara itu katanya, mengikut fatwa yang ada, tiada halangan bagi mereka yang memakai beg stoma untuk beribadat. Pada ketika di mana pengeluaran kumbahan tidak terkawal, ia diisytiharkan sebagai ibadat dalam darurat.

Beliau berkata, setelah beberapa lama menggunakan beg stoma, pengeluaran kumbahan lebih terkawal mengikut masa, maka sebaiknya seseorang itu digalakkan beribadat ketika ostomi tidak mengeluarkan kumbahan.

Ditanya mengenai komplikasi yang akan dihadapi pengguna stoma, Jamaludin berkata, dengan teknik pembedahan ostomi yang teliti dan penjagaan yang baik, tidak banyak komplikasi yang berlaku. Kalau ada pun, perkara yang kerap berlaku ialah alahan pada kulit akibat kumbahan atau alahan kepada gam peralatan yang digunakan. Bagaimanapun, ia dapat dihindari dengan sentiasa memastikan kulit tidak terdedah kepada kumbahan.