Thursday, January 31, 2008

Bahaya Apnea tidur dan rawatan terkini

BILA disebut mengenai tidur, pasti anda terbayang waktu untuk merehatkan otak dan badan serta membolehkan fungsi sistem badan diseimbangkan semula sebelum bermula hari baru keesokannya.

Tetapi sedarkah anda perkara sebaliknya yang berlaku dan waktu tidur mungkin menjadi tempoh paling berbahaya kepada badan anda.

Tidur dan dengkur kini makin menjadi kebiasaan dan diterima ramai sebagai satu perkara yang normal di kalangan lelaki dan wanita.

Tanpa mengira punca daripada berat badan berlebihan, diwarisi daripada ibu bapa atau masalah struktur salur pernafasan, terlalu ramai yang mengambil ringan masalah dengkur dan tidak berusaha mendapatkan rawatan.

Masalah dengkur hadir dalam dua bentuk iaitu dengkur tabiat atau dengkur lembut dengan bunyi perlahan seperti bunyi dekus kucing, tiada halangan laluan udara dan tidak berbahaya.
Jenis kedua adalah dengkur halangan saluran udara iaitu dengkur kuat akibat laluan udara tersekat yang menyukarkan udara masuk ke paru-paru dan sangat berbahaya.

Namun, tumpuan di sini bukan kepada dengkur itu sendiri tetapi punca seseorang berdengkur iaitu halangan pada saluran pernafasan, sehinggakan berlakunya apnea tidur. Perkataan apnea sendiri membawa makna ‘tiada nafas’.

Nafas terhenti

Dengkur kuat bermakna anda berisiko tinggi menghidap apnea tidur akibat salur pernafasan terhalang (OSA).

Penghidap OSA akan mengalami nafas terhenti antara 10 hingga 60 saat setiap kali, sehingga 400 kali setiap malam.

Penghidap OSA juga mungkin akan beberapa kali terjaga secara tidak sedar setiap malam akibat tidak dapat bernafas.

Mereka juga selalunya berada dalam keadaan separa sedar dan biasanya tidak mengingati peristiwa tersebut walaupun tidurnya terganggu berulang kali sepanjang malam.

Bunyi dengkur ini akan menjadi lebih kuat dan tiba-tiba akan terhenti untuk seketika akibat pernafasan telah terhenti berikutan saluran pernafasan dihalang (tertutup).

Halangan pada bekalan udara ke paru-paru ini akan menyebabkan kekurangan oksigen di dalam darah dan otak yang dikhuatiri akan membawa kepada banyak masalah kesihatan lain.

Menurut Bekas Setiausaha dan Bendahari Kehormat Persatuan Farmasi Malaysia, Yap Ming Tian, mereka yang menghidap OSA juga akan berasa letih selepas bangun tidur, berasa sangat mengantuk serta kelihatan seperti mengalami masalah kemurungan.

“Kekurangan oksigen, terutamanya ke otak bukan sahaja boleh membawa kepada masalah kesihatan malahan boleh membawa maut jika dibiarkan berterusan.

“Oleh itu, anda perlu faham bahawa kitaran tidur, dengkur dan OSA ini amat berbahaya dan tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja,” katanya.

Selain OSA, terdapat juga jenis apnea lain seperti apnea tengah di mana otot dada dan diafram berhenti bergerak seterusnya menyebabkan nafas terhenti serta apnea campuran yang juga dikenali sebagai Apnea kompleks di mana penghidap mengalami kedua-dua OSA dan juga apnea tengah.

Bilangan kes OSA adalah yang paling tinggi iaitu lebih 84 peratus, 0.4 peratus untuk apnea tengah dan 15 peratus lagi adalah kes apnea campuran.

Selain itu, masalah hypopnea adalah satu lagi masalah berkait rapat dengan apnea iaitu keadaan di mana terdapat penurunan sehingga 50 peratus jumlah udara yang masuk ke paru-paru dalam setiap nafas.

Mengimbas kembali, Ming Tian menceritakan bagaimana dirinya menderita bertahun-tahun lamanya akibat OSA.

“Saya berdengkur dengan kuat akibat OSA sehinggakan pernah berlaku saya langsung tidak boleh bernafas, terjaga daripada tidur dan terpaksa mengejutkan isteri untuk membantu.

“Rasa mengantuk yang amat sangat ketika memandu pula menjadi satu kebiasaan akibat tidur yang terganggu, sehinggakan pernah tertidur untuk beberapa saat di dalam kereta,” katanya.
Beliau cuba mengamalkan meditasi pagi untuk mengatasi rasa letih dan mengantuk ini tetapi itu tetap tidak membantu masalah OSA yang dihadapinya.

“Pernah terjadi saya merasakan seperti terapung selepas terjaga dari tidur. Saya juga selalu merasakan tekanan pada bebola mata dan amat letih selepas bangun tidur,” ujarnya.

Beliau juga pernah mencuba bermacam jenis rawatan termasuk penyembur hidung dan kepingan plastik hidung untuk merawat OSA yang dihidapinya tetapi tetap tidak berkesan.
Beliau kemudian menggunakan sejenis alat mudah alih makmal tidur dikenali sebagai Sleep Doc Porti untuk memantau pernafasan, kedudukan berbaring, tahap oksigen darah serta pergerakan dada dan abdomen ketika tidur.

Maklumat yang dikumpulkan alat itu selama beberapa malam membuktikan dirinya mengalami OSA, apnea campuran dan juga Hypopnea.

Bekalan oksigen di dalam darah Ming Tian juga semakin berkurangan bukan sahaja akibat nafas terhenti (apnea) malahan akibat kurangnya jumlah udara yang masuk ke paru-
paru setiap kali menarik nafas (hypopnea).

Hasil penyelidikannya, Ming Tian mendapati ramai tidak menyedari masalah apnea tidur kini telah menjadi kebiasaan dan jumlahnya mungkin sama banyak dengan diabetes golongan dewasa.

Rawatan terkini OSA

Masalah OSA Ming Tian berlanjutan sehingga beliau melawat anaknya yang merupakan seorang doktor di London pada awal 2007.

Ketika tertidur, beliau mula berdengkur dengan kuat dan tidak lama kemudian tiba-
tiba terjaga secara menyentak.

Anaknya yang terkejut membuat diagnosis beliau menghidap OSA dan memperkenalkannya kepada sejenis alat baru yang mungkin dapat membantu dikenali sebagai SomnoGuard.
SomnoGuard merupakan sejenia alat menggerakkan mandibular (MAD) iaitu sekumpulan alat-alat untuk menggerakkan tulang rahang bawah ke depan supaya selari dengan rahang atas.
Ini akan menggerakkan tisu dan lidah yang sering menghalang salur pernafasan ke depan dan membuka semula laluan udara ketika tidur.

Pertama kali menggunakannya, Ming Tian mula berasa lebih segar selepas bangun dari tidur dan dapat membiasakan diri memakai alat ini selepas seminggu.

“Saya kini berasa lebih segar selepas tidur untuk lima atau enam jam. Alat bantuan seperti MAD sangat popular di Eropah kini sebagai rawatan alternatif untuk masalah OSA.

“Dengan membuka semula laluan udara dan mengelakkan halangan terbentuk semula ketika tidur, pengguna MAD juga kurang atau tidak lagi berdengkur,” jelasnya.

Beliau mendakwa MAD menjadi pilihan ramai berbanding cara rawatan lain berikutan reka bentuknya yang ringkas, berkesan, tidak memerlukan pembedahan dan jauh lebih murah daripada cara rawatan sedia ada untuk OSA.

Alat terbaru MAD, SomnoGuard AP juga boleh digerakkan ke sisi bagi membolehkan pengguna berbaring di sisi atau bagi mereka yang mengeritkan gigi sewaktu tidur.
Alat ini juga meninggalkan ruang di belakang lidah bagi membolehkan udara keluar masuk secara semula jadi dan tanpa paksaan sepanjang malam.

Menurut Ming Tian, rawatan awal perlu diambil untuk masalah OSA dan halangan salur udara supaya tidak melarat kepada masalah kesihatan lain.

“Antara cara rawatan lain yang sedia ada kini adalah alat Tekanan Salur Udara Positif Berterusan Nasal (n-CPAP) yang memaksa oksigen masuk ke paru-paru melalui tiub hidung.
“Cara rawatan ini digunakan dengan andaian rahang pesakit adalah selari. Tekanan udara yang tinggi pula digunakan untuk membolehkan udara menembusi halangan yang terbentuk, menyebabkan rasa tidak selesa dan kering tekak apabila bangun tidur,” katanya.

Tambahnya, terdapat banyak cara rawatan tetapi adalah lebih baik untuk memilih cara yang merawat punca masalah halangan salur pernafasan berlaku.

Selain MAD dan n-CPAP, pembedahan boleh dilakukan untuk mengeluarkan tonsil besar selain prosedur pillar untuk memberikan sokongan mengeraskan lelangit lembut, mengurangkan getaran dan mengelakkan halangan saluran udara oleh lelangit.

Selain kos dan risiko tinggi melibatkan penggunaan bius dalam pembedahan, CPAP pula tidak menjadi pilihan ramai pesakit yang tidak mahu tidur dengan memakai tiub hidung.
Ming Tian menjelaskan terdapat juga pilihan seperti semburan tonik herba dan atau ubat-ubat tertentu untuk masalah OSA.

“Selain alat bantuan seperti MAD, mengubah cara hidup lebih sihat melalui pemakanan seimbang dan senaman juga dapat membantu masalah OSA, terutamanya bagi kanak-kanak.
“Elakkan pengambilan alkohol dan merokok serta dapatkan rawatan segera untuk alahan, demam selesema atau resdung supaya tidak membawa kepada OSA,” ujarnya.

Masalah berkaitan OSA

* Penghidap OSA akan mengalami kekeringan mulut, pening dan rasa tidur yang tidak puas.
* Emosi juga akan terganggu akibat keletihan daripada tidur tidak nyenyak menyebabkan penghidap OSA kelihatan murung, enggan berkomunikasi dan cepat marah.
* Tindak balas dan fungsi kognitif penghidap akan menjadi perlahan dan terjejas. Ini meningkatkan risiko bagi mereka yang mengendalikan mesin-mesin berat atau berbahaya.
* Rasa mengantuk yang melampau pada waktu siang yang menandakan pesakit mengalami OSA dan kekurangan oksigen ketika tidur.
* Tertidur ketika sedang membaca, berbual, menonton televisyen, duduk, menaiki kenderaan dan juga ketika memandu. Kajian juga menunjukkan penghidap apnea mempunyai risko enam kali ganda lebih tinggi terlibat dalam kemalangan jalan raya.
* Apnea berpanjangan boleh menyebabkan peningkatan tahap karbon dioksida dan perubahan pH darah sehingga berlakunya asidosis metabolik.
* OSA yang menyebabkan tidur tidak nyenyak untuk lebih tiga malam berturut-turut akan meningkatkan risiko diabetes secara mendadak. Keadaan ini berpunca daripada keupayaan badan memproses glukosa (gula) di dalam darah yang didapati jatuh mendadak sejajar dengan kadar tidur nyenyak tidak diperoleh.
* Selain itu penurunan oksigen di dalam darah juga mungkin menyebabkan berlakunya sawan walaupun jika tidak pernah mengalami masalah epilepsi.
* OSA di kalangan kanak-kanak berdengkur jauh lebih berbahaya dan meninggalkan kesan lebih teruk kepada kesihatan dan pertumbuhan mereka. Kekurangan oksigen ketika membesar (sewaktu tidur) juga akan membantutkan perkembangan otak menyebabkan masalah pembelajaran dan kognitif diri.
* Kekurangan oksigen ke otak turut meningkatkan risiko penyakit Alzheimer apabila usia penghidap OSA semakin meningkat.
* Terdapat juga teori berlakunya Sindrom Kematian Mengejut Bayi berkaitan dengan apnea tidur.
* Sebahagian daripada individu yang mengalami OSA mengalami peningkatan tekanan darah yang seterusnya meningkatkan risiko sakit jantung dan juga strok.
* Komplikasi paling teruk OSA adalah kegagalan fungsi jantung. Bagi golongan dewasa dengan masalah jantung, kekurangan oksigen boleh membawa kepada masalah angina, arithmia dan serangan jantung.

Dengkur akibat halangan salur udara

Bunyi dengkur berlaku akibat getaran udara yang cuba menembusi halangan pada salur pernafasan ketika menarik nafas.

Bunyi dengkur terhasil daripada tisu lembut di dalam tekak yang bergetar apabila salur pernafasan menjadi lebih sempit (terhalang) seterusnya menyebabkan kelajuan dan tekanan udara semakin meningkat.

Halangan pada salur pernafasan ini mungkin berpunca daripada beberapa sebab yang sama ada diwarisi atau berpunca daripada masalah lain.

Pengambilan ubat penenang, pelali atau ubat tidur juga boleh menyebabkan tisu tertentu mengendur dan menghalang laluan udara.

Selain itu, tisu di sekitar tekak juga boleh dipenuhi tisu lemak akibat berat badan berlebihan yang akan menyebabkan salur udara mengecil.

Saluran pernafasan melalui hidung yang tersekat disebabkan alahan, demam selesema, resdung dan sebagainya juga boleh menyebabkan berlakunya getaran dengkur.

Tabiat tidur secara terlentang juga mungkin memburukkan lagi halangan saluran udara menyebabkan bunyi dengkur lebih kuat.

Pengambilan alkohol juga mendorong tisu-tisu di sekitar tekak mengendur ke dalam sementara tabiat merokok pula menyebabkan kerosakan tisu sehingga menjadi kendur dan menghalang laluan udara.

Masalah dengkur juga tidak mengira usia dan jantina dengan terdapatnya sebilangan kes di kalangan kanak-kanak sementara 32 peratus golongan lelaki dewasa dan 14 peratus golongan wanita dewasa menghidap dengkur tabiat.

Bagaimanapun, usia turut memainkan peranan memandangkan otot-otot tekak golongan berusia semakin lemah, mengendur ke dalam dan membentuk halangan pada salur pernafasan.
Terdapat kajian yang menunjukkan ukur lilit leher lebih memainkan peranan daripada indeks jisim badan di dalam terbentuknya halangan salur pernafasan, dengkur dan OSA.

Ukur lilit leher yang melebihi 17 inci dikaitkan dengan peningkatan risiko halangan salur udara kerana longgokan lemak di leher mungkin menekan saluran pernafasan.

Struktur tulang muka turut meningkatkan risiko halangan salur udara, termasuklah tulang rahang atas dan bawah yang tidak selari, seperti rahang bawah yang lebih pendek atau lebih kecil sehingga menyempitkan saluran pernafasan.

Penyakit katarak kalangan warga emas

Penyakit katarak ataupun selaput mata merupakan masalah penglihatan yang paling kerap dihadapi oleh warga emas di seluruh dunia secara amnya. Penyakit katarak yang berlaku di kalangan warga emas dikenal pasti berpunca daripada proses peningkatan usia.

Kanta mata asal yang jernih telah bertukar secara perlahan-lahan menjadi keruh dan menyebabkan pandangan menjadi kabur.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit katarak yang disebabkan oleh faktor peningkatan usia menyumbang kepada 48 peratus kes-kes buta di seluruh dunia dan jumlah ini melibatkan seramai 18 juta penduduk dunia.

Senario yang sama juga turut berlaku di negara ini. Ramai kalangan warga emas yang mendapatkan rawatan di klinik-klinik pakar mata di hospital kerajaan atau swasta mengalami masalah katarak.

Penyakit katarak yang disebabkan faktor peningkatan usia biasanya berlaku pada individu yang berusia melebihi umur 60 tahun. Penyakit ini berlaku secara perlahan-lahan dan biasanya melibatkan kedua-dua belah mata. Penyakit ini juga berlaku tanpa mengira jantina lelaki atau perempuan.

Pesakit kencing manis, pendedahan kepada sinaran cahaya ultraviolet, merokok dan pengambilan alkohol meningkatkan risiko penyakit ini.

Tanda-tanda

Penyakit katarak akibat peningkatan faktor usia berlaku secara perlahan-lahan.
Antara tanda-tanda awal ialah penglihatan jauh menjadi kabur dan kerap menukar cermin mata.
Penyakit ini tidak menyebabkan rasa sakit pada bola mata ataupun menyebabkan bola mata menjadi merah.

Pesakit yang mengalami penyakit katarak pada peringkat yang hampir matang akan mengalami gangguan penglihatan yang ketara terutamanya pada jarak yang dekat.

Pesakit akan mengalami kesukaran untuk melihat ketika membaca, menulis dan memandu. Pesakit yang mengalami penyakit katarak matang pada kedua-dua belah mata pula akan mengalami kesukaran untuk menjalani aktiviti harian lain seperti makan, minum dan menjaga kebersihan diri.

Warga emas dengan masalah ini sebenarnya akan mengalami waktu yang sangat sukar kerana mereka memerlukan bantuan orang lain sepanjang masa untuk menguruskan diri sendiri.

Komplikasi Katarak Matang

Katarak yang matang boleh menyebabkan berlakunya keadaan yang dikenali sebagai glaukoma sekunder. Pesakit yang mengalami keadaan ini biasanya mengalami sakit yang kuat pada bola mata secara tiba-tiba.

Bola mata juga menjadi merah dan pesakit mungkin mengalami gejala seperti loya, muntah dan sakit kepala.

Keadaan ini berlaku disebabkan oleh gangguan kepada aliran cecair akuas di dalam mata yang disebabkan oleh katarak yang matang.

Tekanan di dalam bola mata menjadi tinggi dan pesakit perlu menjalani pembedahan kecemasan katarak sekiranya keadaan ini berlaku.

Pesakit dinasihatkan supaya menjalani pembedahan katarak mengikut nasihat yang diberikan oleh doktor pakar mata dan tidak bersikap ‘tunggu dulu’ sehingga keadaan glaukoma sekunder ini berlaku.

Potensi pesakit untuk melihat semula selepas pembedahan adalah jauh lebih baik sekiranya pembedahan katarak dilakukan secara elektif dan terancang berbanding pesakit yang hanya menjalani pembedahan setelah mengalami keadaan glaukoma sekunder.

Kaedah rawatan

Warga emas yang mengalami tanda-tanda seperti yang dinyatakan dinasihatkan berjumpa doktor pakar mata, sama ada di hospital kerajaan atau swasta. Pakar mata akan menjalankan pemeriksaan mata yang menyeluruh bagi memastikan diagnosis yang tepat ke atas pesakit.
Bagi pesakit yang mengalami penyakit katarak pada peringkat awal, biasanya akan disarankan menggunakan cermin mata bagi membantu penglihatan pesakit.

Pesakit mungkin memerlukan pemeriksaan mata secara berkala. Perkara ini bergantung kepada keadaan mata dan tahap penyakit katarak seseorang pesakit.

Warga emas yang didapati mengalami keupayaan penglihatan yang terjejas teruk akibat penyakit katarak, biasanya disarankan oleh doktor pakar mata supaya menjalani pembedahan katarak.

Para pesakit dinasihatkan supaya tidak menunggu sehingga penyakit katarak mencapai tahap matang, barulah mereka bersedia untuk menjalani pembedahan.

Pembedahan Katarak Secara Moden

Pembedahan katarak secara moden adalah selamat dan kemudahan ini disediakan di hospital-hospital kerajaan dan hospital swasta yang menawarkan kepakaran oftalmologi di seluruh Malaysia.

Kemudahan dan kepakaran yang ditawarkan di negara kita juga adalah setanding dengan negara-negara luar. Pembedahan katarak boleh dilakukan secara bius setempat atau bius am, bergantung kepada keperluan pesakit.

Pembedahan

Pesakit yang turut mengalami masalah perubatan yang lain seperti kencing manis, darah tinggi, asma, kegagalan buah pinggang dan masalah jantung perlu menjalani pemeriksaan fizikal secara menyeluruh bagi memastikan tahap kesihatan mereka memuaskan sebelum menjalani pembedahan katarak.

Semasa pembedahan katarak, kanta mata yang keruh akan dikeluarkan dan ia perlu diganti dengan kanta mata tiruan. Kanta mata tiruan akan dimasukkan ke dalam bola mata pesakit bagi menggantikan fungsi kanta mata yang asal dan membantu memulihkan keupayaan penglihatan setiap pesakit.

Pembedahan katarak secara ‘phacoemulsification’ boleh dilakukan ke atas pesakit yang belum mencapai tahap katarak matang.

Luka pada bola mata pesakit yang menjalani pembedahan secara teknik ini sangat kecil dan mungkin tidak memerlukan sebarang jahitan.

Keadaan ini membolehkan luka tersebut sembuh dengan kadar yang cepat dan kemungkinan berlakunya astigmatism (lekuk kornea) selepas pembedahan adalah sangat rendah.
Pesakit boleh menjalani aktiviti harian asalkan di dalam tempoh enam minggu hingga dua bulan selepas pembedahan.

Pesakit yang mengalami katarak pada peringkat matang biasanya perlu menjalani teknik pembedahan yang sedikit berbeza.

Teknik pembedahan ini dikenali sebagai pembedahan katarak secara ‘extracapsular’. Pembedahan secara ini melibatkan luka yang lebih besar berbanding luka yang dilakukan semasa pembedahan secara ‘phacoemulsification’.

Luka ini perlu dijahit dan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.
Pesakit biasanya dibenarkan menjalani aktiviti harian yang asal selepas tempoh dua atau tiga bulan.

Terdapat juga beberapa salah tanggapan mengenai rawatan katarak di kalangan warga emas dan anggota masyarakat kita seperti;

* Pembedahan katarak menyebabkan pesakit menjadi buta
* Pembedahan katarak tidak memerlukan penggunaan kanta tiruan
* Pembedahan katarak hanya boleh dilakukan setelah katarak mencapai tahap matang sahaja.

Pesanan penting

Berjumpalah doktor pakar mata untuk mendapatkan nasihat sekiranya ibu bapa, kaum keluarga atau warga emas yang anda kenali mengalami tanda-tanda katarak seperti yang dinyatakan.
Penyakit ini tidak seharusnya menyebabkan seseorang individu menjalani kehidupan yang kabur dan sukar.

Pastikan juga ibu bapa anda menghabiskan usia-usia emas mereka dengan kehidupan yang berkualiti dan bermakna.

Langkah-langkah pencegahan

Setakat ini tiada langkah pencegahan yang khusus untuk penyakit ini memandangkan puncanya dikenal pasti berlaku akibat peningkatan faktor usia.

Bagaimanapun, para penyelidik dan doktor menyarankan pesakit supaya berhenti merokok, mengelakkan pengambilan alkohol dan mengurangkan pendedahan kepada sinar ultraviolet bagi memperlahankan kadar proses katarak berlaku.

Pesakit kencing manis dan darah tinggi juga dinasihatkan supaya memastikan tahap kesihatan mereka terkawal dan memuaskan.

Oleh:DR. SHATRIAH ISMAIL (Pensyarah Kanan dan Pakar Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan, Kelantan)

Ubat tiruan terus berleluasa

UBAT, ubat, ubat. Boleh dikatakan ubat sudah seperti makanan ruji bukan sahaja untuk manusia malahan haiwan ternakan.

Bagaimanapun, tumpuan lebih diberikan kepada kesan terus pengambilan ubat tertentu kepada manusia terutamanya yang semakin banyak dan sering digunakan kini.
Bayangkan, ubat yang tulen, dalam dos bahan aktif yang terkawal serta mempunyai kesan sampingan tertentu walaupun ia amat berkesan.

Sekarang bayangkan ubat yang ‘sama’ tetapi merupakan ubat tiruan, dengan dos bahan aktif tidak diketahui tetapi dipromosikan penjual mempunyai kesan lebih cepat dan kuat serta harga yang lebih murah.

Secara logik, ramai akan berfikir pilihan pasti memihak kepada yang tulen tetapi sebaliknya lebih ramai yang rela mempertaruhkan nyawa sendiri dan keluarga semata-mata untuk menjimatkan duit.

Namun bukan semua pembeli begini. Ada juga yang tertipu akibat rupa ubat tiruan amat menyerupai yang tulen dan ada juga yang menjadi pembeli pertama kali ubat berkenaan yang tidak dapat membezakannya dari segi rupa, harga mahupun tahap keberkesanan.

Terus berleluasa

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan ubat tiruan sebagai produk yang ditiru dengan sengaja melalui penipuan label dan pengenalan untuk menampakkannya seperti ubat tulen.

Selain itu, ubat tiruan juga mempunyai kandungan dan kuantiti yang tidak sama dengan ubat tulen sama ada lebih banyak, kurang daripada sepatutnya atau tiada langsung bahan aktif.
WHO juga menganggarkan sebanyak enam hingga sepuluh peratus ubat-ubatan di pasaran seluruh dunia adalah tiruan dengan nilai mencecah AS$35 bilion (RM113.46 bilion) setahun dan angka ini dijangka lebih tinggi di negara-negara membangun.

Di Malaysia, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan melalui Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan bertanggungjawab mendaftar semua produk farmaseutikal yang ingin dipasarkan melalui peruntukan undang-undang sedia ada. Pendaftaran semua produk farmaseutikal dapat menjamin ianya selamat, berkualiti dan berkesan.

Pakar Runding Urologi Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Dr. Peter Ng mendakwa sesetengah orang ramai menyamakan pembelian ubat tiruan dengan cakera video digital (DVD) cetak rompak yang lebih murah dan tidak membawa mudarat kepada diri mereka.
“Pandangan umum bahawa ubat tiruan tidak akan membawa mudarat, murah dan tidak perlu berjumpa doktor untuk mendapatkannya adalah tidak benar sama sekali.

“Semua jenis ubat-ubatan merupakan ‘racun’ kepada badan manusia. Oleh itu, amat penting untuk kita memahami dan mematuhi cara penggunaannya yang berbeza mengikut masalah kesihatan individu,” katanya.

Beliau memberikan contoh ubat untuk masalah mati pucuk atau ubat tenaga batin yang merupakan antara jenis ubat tiruan yang paling banyak dijual kini.

“Ubat jenis ini hanya sesuai digunakan jika anda mempunyai masalah berkaitan mati pucuk dan mempunyai jantung yang sihat.

“Seseorang yang tiada masalah mati pucuk atau mempunyai jantung bermasalah tidak sepatutnya menggunakan ubat jenis ini. Jika ubat nitrat pesakit jantung dicampurkan dengan ubat berkenaan, tekanan darah pesakit akan menjunam dan boleh membawa maut,” jelasnya.
Selain kesan sampingan, Dr. Peter turut membangkitkan satu lagi masalah dengan pengambilan ubat iaitu penggunaan lebih daripada satu jenis pada satu-satu masa.

“Masalah mungkin timbul akibat pengambilan beberapa jenis ubat bagi pesakit yang mengalami bermacam jenis penyakit.

“Ubat-ubat yang berbeza ini juga mungkin bertindak balas di antara satu sama lain dan menyebabkan tindak balas tidak diingini.

“Ubat tulen mungkin telah melalui ujian untuk mengelakkan kesan campuran ubat-
ubat berkenaan tetapi berbeza pula bagi ubat tiruan yang tidak diketahui kandungan jenis dan jumlah bahan aktifnya,” ujar beliau.

Menurut beliau, bermacam ujian yang dijalankan bagi memastikan ubat tulen selamat digunakan menjadi punca ia jauh lebih mahal daripada ubat tiruan.

Tambahnya, ujian-ujian bukan sahaja memastikan piawaian tinggi untuk jaminan kesihatan pengguna malahan dapat menentukan kesan penggunaan ubat berkenaan.

Ubat tiruan bukan sahaja tidak ditetapkan jenis dan jumlah kandungan bahan aktifnya, malahan mungkin tercemar dengan bermacam bahan toksik akibat penghasilan yang dijalankan di tempat tidak bersih.

Ubat tiruan dapat dijual murah dengan proses penghasilan dijalankan di dapur, tandas mahupun belakang rumah di samping penggunaan alat dan bahan yang murah serta tidak bersesuaian.
Pilihan untuk membeli ubat tiruan mungkin akan menamatkan riwayat anda tetapi ini selalunya tidak berlaku serta-merta kecuali jika terdapat bahan cemar amat berbahaya atau jumlah bahan aktif terlalu banyak di ubat tiruan itu.

Pengguna

Dalam kebanyakan kes, pengguna yang memilih ubat tiruan akan mengalami kemerosotan kesihatan secara perlahan dan mengalami kesan lebih teruk mengikut tempoh pengambilan ubat berkenaan.

Dr. Peter turut menjelaskan kesan pengambilan ubat, terutamanya jenis tiruan ke atas buah pinggang yang mencuci badan daripada bahan di dalam ubat yang digunakan.
“Perlu diingat bahawa sesetengah ubat membahayakan kesihatan buah pinggang, terutamanya jika tidak diketahui kandungannya seperti ubat tiruan.

“Anda akan hanya merasakan kesakitan atau bermasalah dengan fungsi buah pinggang selepas hanya tinggal 15 peratus daripada struktur buah pinggang masih berfungsi,” ujarnya.
Menurut beliau, ini bermakna badan tidak akan menunjukkan sebarang masalah sehinggalah hanya tinggal sebahagian kecil organ ini masih berfungsi, selalunya sukar atau terlambat untuk diselamatkan lagi.

Tambahnya, organ hati yang turut mencuci badan daripada bahan toksik dapat bertahan lebih lama kerana lebih kuat daripada buah pinggang, tetapi organ ini juga pasti rosak jika pengambilan ubat secara berbahaya berterusan.
Dalam pada itu, ubat tiruan termasuk jenis herba turut dikatakan mengandungi kandungan steroid yang tinggi.

Menurut Dr. Peter, steroid akan menghasilkan rasa badan semakin kuat dan gembira jika diambil dengan banyak, menyebabkan pengguna memikirkan ubat berkenaan berkesan.
“Pengguna boleh mendapat sindrom steroid di mana sistem imuniti badan dan tekanan darah juga mungkin jatuh ketika menjalani pembedahan. Ini mendedahkan mereka kepada jangkitan kuman dan juga ulser peptik yang menyebabkan pesakit memuntahkan darah,” katanya.

Dapat anak guna sperma sumsum tulang

LONDON 31 Jan. 2008 – Wanita dijangka berpeluang untuk memiliki anak tanpa ‘kehadiran’ lelaki, menggunakan sperma yang dihasilkan melalui sumsum tulang.

Penemuan ini dilihat sebagai satu kaedah rawatan yang mampu mengatasi masalah kemandulan.
Bagaimanapun, pasangan yang menggunakan kaedah itu hanya boleh melahirkan anak perempuan.

Sungguhpun begitu, pengkritik memberikan amaran bahawa perkembangan itu akan meminggirkan lelaki dan membawa prospek kelahiran bayi secara tiruan sepenuhnya tanpa proses semula jadi.

Menurut majalah New Scientist yang dipetik oleh akhbar dalam talian Daily Mail, ahli-ahli sains mahu mengambil sel stem dari tubuh seorang wanita penderma sumsum tulang dan mengubahnya menjadi sperma dengan bantuan bahan-bahan kimia khas dan vitamin.
Profesor Karim Nayernia dari Universiti Tyne, Newcastle telah memohon kebenaran untuk menjalankan kajian itu dan bersedia memulakannya dalam tempoh dua bulan ini.

Beliau, seorang pakar biologi yang merintis kaedah itu melalui ujian terhadap tikus, percaya sperma perempuan di peringkat awal boleh dihasilkan dalam masa dua tahun, manakala sperma matang pula selama tiga tahun.

Sperma peringkat awal telah pun dihasilkan daripada sumsum tulang.
Penggunaan sel stem daripada seorang penderma dewasa kemungkinannya pesakit barah boleh menghapuskan persoalan etika yang dikaitkan dengan penggunaan embrio.

Sementara itu, para penyelidik di Institut Butantan di Brazil pula mendakwa mereka berjaya menggunakan sel stem embrio tikus jantan menjadi sperma dan juga telur.

Malah, mereka kini sedang menjalankan kajian ke atas sel-sel kulit yang kononnya boleh menghasilkan telur manusia.

Bagaimanapun, ahli-ahli saintis lain memberi amaran bahawa penyelidikan masih di peringkat awal dan sebarang rawatan mengambil masa bertahun-tahun sebelum boleh diperoleh di hospital dan juga klinik.

Malah, mereka juga bimbang kanak-kanak yang lahir dari telur dan sperma tiruan akan mengalami masalah kesihatan yang teruk seperti tikus-tikus yang menjadi bahan uji kaji di Newscastle itu.

“Penggunaan kaedah ini akan melahirkan anak perempuan sahaja kerana sperma ini tidak mempunyai kromosom Y yang diperlukan bagi melahirkan anak lelaki,” kata mereka.

Wednesday, January 30, 2008

Didik anak pilih makanan berkhasiat

BEBERAPA insiden di sekolah rendah baru-baru ini cukup memberikan pelbagai reaksi kepada masyarakat. Kes–kes yang melibatkan keracunan, baik makanan mahupun bahan kimia walaupun muncul sekali-sekali tetap memerlukan perhatian serius semua pihak.

Antara kes terbaru adalah melibatkan kes keracunan makanan di dua buah sekolah di Terengganu. Segelintir pelajar terpaksa dibawa ke hospital kerana berasa mual dan muntah setelah mendapat makanan di kantin sekolah. Nyata, insiden tersebut sedikit menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran mereka dan juga pelajar lain di sekolah berkenaan.

Antara faktor biasa terjadinya insiden sedemikian ialaha faktor kecuaian manusia di samping proses penyediaan yang tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Mengikut kes keracunan terdahulu, ada sesetengah pengusaha kantin gagal untuk menyediakan makanan yang bersih dan berkhasiat, akibat daripada terlalu mendahulukan keuntungan. Malah ada sesetengah pekerja di kantin mengambil sikap sambil lewa apabila berhadapan dengan aspek kebersihan makanan.

Dalam masa yang sama, ada juga yang telah mengambil kesempatan dengan menjual makanan dan minuman ringan yang sepatutnya tidak dijual kepada murid-murid. Kandungan makanan ringan yang tidak berkhasiat dan mempunyai komplikasi terhadap kesihatan ini wajar dielakkan daripada menjadi santapan generasi muda kita.

Di sini, saya ingin mengesyorkan supaya ibu bapa, guru dan pihak berkuasa turut bersama-sama memastikan pelajar mendapat makanan yang berkhasiat.

Pemantauan

Pemantauan terhadap kebersihan dan makanan yang dijual wajar dilaksanakan secara berkala. Hal ini penting bagi mengelakkan berlakunya kecuaian di dalam proses penyediaan makanan. Perbincangan mengenai menu yang bersesuaian, juga wajar dilaksanakan di kalangan pengusaha dan pihak sekolah.

Pengusaha pula perlu menyediakan satu piawaian dalam penyediaan makanan. Elakkan daripada menjual makanan tidak berkhasiat di kantin, sebaliknya banyakkan makanan yang berkhasiat seperti buah–buahan dan sayur-sayuran. Sekiranya memerlukan khidmat nasihat terutama dalam penyediaan makanan yang berkhasiat, pengusaha boleh mendapatkannya melalui pegawai kesihatan daerah.

Sekiranya amalan pemakanan sihat dan berkhasiat ini dapat dilaksanakan di sekolah, ia pasti dapat mengelakkan daripada berlakunya lagi masalah keracunan makanan. Malah, ia merupakan satu pendidikan kepada murid-murid untuk memilih makanan yang berkualiti untuk badan mereka.

NAT jamin darah bebas virus

PENDERMA darah kadang kala tidak tahu mereka dijangkiti penyakit.
Kaedah lebih canggih mengesan jangkitan dalam darah terutama HIV, Hepatitis B ANDA mungkin masih ingat beberapa kes kecuaian dalam prosedur pemindahan darah di hospital sehingga dibawa ke mahkamah. Kes-kes seperti itu memang wujud tetapi angkanya kecil berbanding jumlah penerima darah setiap hari di negara ini. Pemindahan darah yang tidak dilakukan dengan prosedur keselamatan yang sempurna bukan saja menyebabkan penerima berhadapan dengan jangkitan HIV, malah hepatitis B (HBV) dan hepatitis C (HCV).

Pada peringkat global misalnya 2 bilion orang dikesan pernah dijangkiti hepatitis B (HBV) manakala 360 juta adalah pembawa HBV yang kronik. HBV juga menyebabkan 600,000 orang meninggal dunia setiap tahun disebabkan komplikasi seperti masalah hati yang kronik.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula merekodkan di seluruh dunia, 170 juta dijangkiti HCV manakala 40 juta dijangkiti HIV. Di Malaysia pula, setiap tahun satu peratus penderma darah didapati positif terhadap pelbagai jangkitan penyakit. Pada 2006 misalnya, 4,125 didapati positif dengan HBV, 739 (siplis), 655 (HCV) dan 123 (HIV). Sebenarnya, sepanjang sejarah perbankan darah pelbagai usaha dibuat bagi mengurangkan kesilapan dan meningkatkan keselamatan penerima produk darah dan komponennya.

Pelbagai peraturan diperkenalkan bagi memastikan semua penderma disaring dan diuji dengan betul bagi menghalang 'penghijrahan' penyakit berjangkit daripada darah yang didermakan serta produk berasaskan darah. Walaupun ujian saringan asas diwajibkan, perkembangan teknologi terbaru menawarkan kaedah lebih canggih bagi menyaring jangkitan dalam darah yang didermakan. Antaranya ialah ujian amplifikasi asid nukleik (NAT).
Ujian ini menggunakan teknologi yang mengesan genetik virus seperti HBV, HCV dan virus HIV. Teknologi ini mengesan kewujudan DNA dan RNA (molekul asid nukleik yang seakan sama dengan DNA) virus pada kuantiti terendah yang mungkin wujud dalam darah yang didermakan. Justeru, ia membantu mengenalpasti jangkitan pada peringkat awal dan mampu menghalang jangkitan kepada penerima.
Bagi penderma ada kalanya mereka langsung tidak menyedari kewujudan virus dalam diri mereka jika tiada pemeriksaan lanjut. Jangkitan virus ini selalunya dipindahkan melalui pertukaran cecair badan seperti darah dan cecair vagina. Dalam industri pendermaan dan penerimaan darah, walaupun Aids yang disebabkan virus HIV kekal sebagai jangkitan paling digeruni, hepatitis B sebenarnya lebih mudah dipindahkan dan lazimnya berlaku di Asia Tenggara.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad ketika melancarkan teknologi NAT, baru-baru ini, berkata teknologi ini sedang digunakan di Pusat Darah Negara bagi menyaring sampel darah yang didermakan di seluruh negara.
"Ujian ini bakal menentukan masa depan darah, produk berasaskan darah dan keselamatan bekalan darah untuk orang awam. Ia adalah detik bersejarah dalam perubatan pemindahan darah dan menyediakan bekalan darah yang lebih selamat untuk negara," katanya.
Katanya, isu keselamatan bekalan darah adalah keutamaan di Kementerian Kesihatan. Malah, ia ibarat tulang belakang dalam menyokong sistem penjagaan kesihatan masyarakat. Sebagai contoh pada 1979, sebelum Aids muncul sebagai epidemik, satu polisi melatih sekumpulan penderma darah sukarela sudah dibentuk walaupun masih menerima pendermaan darah oleh orang awam lain.
"Darah yang didermakan oleh kumpulan penderma sukarela ini lebih selamat dan kurang risiko jangkitan penyakit," katanya. Dr Latiff berkata, di Pusat Darah Negara, darah diproses mengikut standard antarabangsa yang diterima pakai oleh Majlis Eropah, WHO, Persatuan Bank Darah Amerika selain Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika (FDA).
"Keutamaan kita adalah memastikan ketepatan dan keselamatan tahap darah itu membantu bukan saja pesakit tetapi penderma," katanya. Pada 2006 saja, seramai 477,365 orang menderma darah manakala 253,968 lagi adalah penerima.
Ketika ini Kementerian Kesihatan memiliki 114 bank darah di seluruh negara. Jumlah itu seiring dengan peningkatan kesedaran orang awam terhadap kepentingan menderma darah. Pada 1992 misalnya, 202,241 unit darah dikumpulkan manakala untuk tahun lalu, 477, 365 unit darah direkodkan.
Info: NAT

Ujian terkini dalam mengesan kewujudan DNA dan RNA virus yang mungkin wujud dalam darah yang didermakan. Ia sangat sensitif dan spesifik.

Ia membantu diagnosis jangkitan pada tahap awal dan berupaya menghalang jangkitan dipindahkan kepada penerima.

NAT membantu mengurangkan kes jangkitan HBV, HCV dan HIV.



Senaman, diet sesuai kaedah terbaik kekal cergas

SESIAPA inginkan kesihatan dan kecergasan pada tahap terbaik, mereka mesti bersedia melakukan sedikit pengorbanan dalam gaya hidup.

Senaman lasak secara konsisten dan disiplin dalam mengekalkan diet memang perlu bagi tubuh yang cergas dan sihat. Kedua-duanya memainkan peranan penting dalam mewujudkan faktor 'rasa bagus' bagi individu dalam membantu meningkatkan keyakinan diri.

"Tetapi kesihatan yang baik tidak menjamin tubuh yang anggun. Orang yang sihat tidak semestinya mempunyai tubuh cantik. Isu kecergasan ini banyak berkait dengan pandangan peribadi, dengan setiap orang dengan pendapat masing-masing," kata Kevin Zahri Abdul Ghaffar, seorang jurulatih dan penceramah berkaitan kecergasan dan kini muncul sebagai penulis dengan bukunya Cergas 24/7. Kevin, 29, ialah jurulatih peribadi dengan kelayakan Latihan Kecergasan Atlit Amerika (Afta) dan juga pakar pemakanan. Beliau adalah selebriti kecergasan bagi musim keempat Akademi Fantasia, program hiburan realiti paling diminati pada 2007.

"Ia mengambil masa tiga bulan untuk menulis buku ini dan saya memahami tujuan buku ini. Ini bukan buku yang unggul tetapi sebaliknya sebuah buku praktikal yang mengajar anda bagaimana mengamalkan gaya hidup praktikal," kata beliau dalam temubual dengan Bernama, baru-baru ini. Kevin berkata, kandungan buku itu menyimpulkan bahawa kecergasan adalah isu gaya hidup.

Buku itu adalah buku kecergasan pertama yang ditulis khusus untuk gaya hidup orang Malaysia dan Asia. Pelancaran sulung diadakan di Malaysia, Singapura dan Brunei, diikuti dengan Indonesia dan Thailand.

Diterbitkan oleh Marshall Cavendish Editions, buku ini dijual pada harga RM59.90. Juga boleh didapati dalam versi bahasa Inggeris (Fitness 24/7), dengan 10,000 salinan buku itu akan memasuki pasaran tempatan dan Asia bermula Isnin lalu. "Ia mendedahkan pembaca kepada dunia rahsia praktikal saya bagi gaya hidup cergas dan sihat. Ia juga memperkenalkan petua praktikal mengenai khasiat makanan dan kecergasan yang sesiapapun boleh amalkan," katanya. Beliau berkata, ada rancangan untuk melancarkan buku itu di Asia Barat.

Topik yang dibincangkan Kevin dalam bukunya adalah mengenai khasiat makanan secara umum, mengurang atau menambah berat badan, latihan mengawal berat badan, mengatur program senaman, mengamalkan satu diet praktikal, bagaimana mengempiskan abdomen, petua kecergasan dan makanan penjagaan kesihatan.

"Tidak kira anda penuntut, profesional yang bekerja atau atlit, asas khasiat makanan dan kecergasan tidak berubah. Perbezaannya ialah bagaimana anda mengamalkannya.

"Di Asia, tidak wajar meminta sesiapa mengamalkan diet berasaskan kepada salad dan sandwic. Sebenarnya, semua bergantung kepada pilihan dan keupayaan untuk membezakan antara keputusan baik dan buruk," kata Kevin.

Beliau berkata, kejayaan mengawal berat badan akan membawa kepada perubahan berkekalan dalam gaya hidup dan berhubung dengan kecergasan, isunya bukan kuantiti tetapi kualiti. "Sebagai contoh, menjalani senaman secara berlebihan, mungkin tidak membawa keputusan diharapkan dan begitu juga memakan buah-buahan secara berlebihan juga boleh menyebabkan seseorang mengalami kenaikan berat badan," katanya.

Kevin berkata, rahsia pemakanan adalah seseorang itu perlu bersikap memilih apa yang dimakan. "Saya tidak boleh memberikan anda satu pelan pemakanan yang memaksa anda memakan roti, ayam atau ikan tanpa mengetahui terlebih dulu apa makanan yang anda gemar dan tidak gemar. Anda perlu belajar membuat pilihan lebih bijak berdasarkan apa yang anda gemar."

Beliau berkata, sebagai contoh, di sebalik memakan nasi lemak yang memberikan tenaga sebanyak 925.1 kalori setiap hari, adalah wajar untuk beralih kepada nasi putih.

"Teh tarik rasanya hebat tetapi itu tidak bermakna seseorang itu perlu minum secawan penuh," katanya. Kevin berkata, membaca label kandungan makanan adalah satu lagi tabiat yang mesti diterapkan untuk memastikan seseorang itu mendapat segala maklumat perlu mengenai produk makanan yang dibungkus.

Dalam Cergas 24/7, Kevin juga menjelaskan beberapa mitos berhubung dengan senaman. Sebagai contoh, menahan lapar adalah cara terbaik untuk mengurangkan berat badan dan jika bersenam, seseorang itu bebas untuk makan apa saja yang digemarinya

"Dengan mengurangkan kalori, anda akan kehilangan berat badan tetapi menahan lapar juga adalah cara paling cepat untuk tubuh mengurangkan kadar metabolisme dan paras tenaga. Tetapi, mengurangkan kalori dengan drastik boleh membawa kepada kemerosotan otot dan masalah kesihatan. Bagi dewasa, tiada guna mereka mengambil kurang daripada 1,000 kalori setiap hari. "Apabila anda mula bersenam, apa yang anda makan lebih penting.

Anda memerlukan pemakanan yang sihat dan bukan kalori kosong daripada lemak dan gula. Anda bukan saja akan berasa lebih bagus, malah akan tidur lena dan dapat melawan selesema serta jangkitan."

Kementerian Kesihatan perlu tingkat amaran bahaya botox

WALAUPUN Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan penggunaan suntikan kosmetik botox untuk tujuan kecantikan adalah haram, masih ramai umat Islam khususnya wanita membelakangkan fatwa itu kerana taksub dengan keinginan untuk kelihatan cantik dan muda. Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahab sekali lagi menasihatkan mereka yang sudah menggunakannya supaya segera bertaubat dan mengingatkan orang lain tidak membuat suntikan itu kerana ia bukan saja bertentangan dengan Islam, tetapi boleh menggadai nyawa. Malangnya masih ramai yang berdegil, termasuk wanita berpurdah menggunakan suntikan itu yang dikatakan mampu mengembalikan keremajaan kulit walaupun sesetengahnya menyedari bahan suntikan itu mengandungi unsur yang meragukan dari segi kesuciannya dan syarak.

Bagi kebanyakan wanita, suntikan kosmetik botox menjadi cara paling mudah untuk mengekalkan kejelitaan kerana prosedur melakukannya hanya mengambil masa beberapa minit. Mereka lupa penggunaan suntikan botox untuk tujuan kecantikan akan memberi kesan jangka panjang jika diambil secara berterusan, apatah lagi pemakaiannya hanya mampu bertahan selama tiga hingga enam bulan. Selain itu, kebimbangan pakar perubatan terhadap suntikan kosmetik botox juga mengambil kira pelbagai masalah membabitkan bahan yang digunakan, termasuk toksin atau racun. Botox adalah larutan protein Botulinum Toxin Type A yang ditulenkan dan dihasilkan daripada Clostridium botulinum, sejenis bakteria yang menyebabkan botulisme atau keracunan makanan serius. Toksin ini dikatakan mempengaruhi sistem saraf pusat dan dalam beberapa kes, ada yang menyebabkan kematian. Asalnya suntikan botox digunakan untuk merawat penyakit seperti palsi serebrum, masalah peluh berlebihan, migrain, pengecutan otot dan sakit belakang, sebelum Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) meluluskannya pada 2002 untuk tujuan kecantikan. Ini berikutan kajian pelbagai pihak termasuk Allergen Inc, syarikat pertama menghasilkan larutan botox, menunjukkan penggunaannya untuk menghilangkan kedutan adalah selamat.

Suntikan botox untuk tujuan kecantikan sudah mula diguna sejak 1980-an lagi, terutama di kalangan selebriti dan golongan berada di Barat. Walaupun pada mulanya penggunaan lebih terhad kepada menghilangkan kedutan terutama pada bahagian dahi, kini suntikan kosmetik botox turut digunakan pada bahagian tepi mata dan mulut. Begitu pun, mengambil kira pengharamannya dan kebarangkalian kesan sampingan kepada kesihatan, wanita perlu berfikir panjang sebelum menggunakannya. Jangan hanya kerana terlalu taksub untuk kelihatan cantik dan muda sanggup mengabaikan larangan berkenaan. Adalah diharap Kementerian Kesihatan meningkatkan program pendidikan dan kesedaran mengenai kesan buruk suntikan botox. Selain itu, setiap bahan beracun perlu disertakan maklumat lengkap dan telus, termasuk dalam bahasa Malaysia. Maklumat seperti itu bukan eksklusif untuk pengendali dan pelanggan rawatan botox, malah untuk orang ramai secara keseluruhannya. Kecantikan paras rupa adalah bersifat sementara dan kekedutan pada wajah adalah lumrah apabila usia meningkat dan wanita harus menerima hakikat ini. Apa yang lebih penting, mereka harus sedar kecantikan sebenar adalah daripada dalam diri yang kemudian diterjemahkan melalui tingkat lalu dan adab sopan.

Saturday, January 26, 2008

G6PD penyakit kurang enzim

'GLUCOSE 6 Phosphate Dehydrogenase deficiency' atau lebih dikenali sebagai G6PD adalah sejenis penyakit yang kerap berlaku.

Dianggarkan 400 juta penduduk dunia mengalami masalah itu. G6PD sejenis penyakit yang dikaitkan dengan kromosom X, justeru masalah ini lazimnya berlaku kepada lelaki. Dalam kes G6PD, enzim penting untuk melindungi sel darah merah pecah disebabkan proses oksidasi (proses menghasilkan oksigen dengan menggabungkan oksigen atau menyingkirkan hidrogen).

Justeru, kekurangan enzim berkenaan menyebabkan sel darah merah mudah pecah. Tahap keseriusan penyakit G6PD ini bergantung kepada tahap kekurangan enzim itu.

Bagaimana masalah ini dikesan? Penyakit ini dapat dikesan melalui ujian darah sebaik saja seorang bayi itu dilahirkan. Ujian darah itu akan mengesan keberkesanan enzim berkenaan.

Melakukan ujian darah sebaik saja dilahirkan sudah diamalkan di Malaysia sejak sekian lama. Ini kerana masalah G6PD kerap berlaku di Malaysia dan boleh menyebabkan masalah di kalangan bayi baru lahir.

Antara masalah yang mungkin timbul di kalangan bayi baru lahir adalah jaundis. Disebabkan kekurangan enzim itu, sel darah merah bayi mudah pecah. Ini menghasilkan kandungan bilirubin yang tinggi.

Kandungan bilirubin yang terlalu tinggi boleh menyebabkan keadaan toksik kepada otak. Jika tidak diubati boleh menyebabkan kecacatan kepada bayi. Oleh kerana kemungkinan masalah besar yang mungkin timbul kepada bayi yang mengalami G6PD, kebanyakan institusi perubatan akan menahan bayi berkenaan di wad sekurang-kurangnya lima hari sebelum dibenarkan pulang.

Selain itu, bayi G6PD ini juga boleh berhadapan keadaan dinamakan “acute hemolysis”, iaitu keadaan wujudnya sel darah merah pecah pada kuantiti terlalu banyak. Ini menyebabkan bayi itu berasa penat dan kelihatan pucat dengan tiba tiba.

Simptom lain yang mungkin dialami adalah sakit perut, jaundis, kencing bertukar berwarna gelap dan sakit pinggang. Keadaan ini berlaku disebabkan jangkitan, memakan kacang parang jenis “fava beans” ataupun memakan ubatan yang boleh meninggikan proses oksidasi. Bukan semua jenis jangkitan akan menyebabkan masalah itu. Sebaliknya jangkitan yang selalu dikaitkan dengan acute hemolysis adalah jangkitan oleh bakteria.

Banyak ubat-ubatan yang tidak dapat diambil oleh mereka yang mengalami masalah G6PD. Senarai ubatan ini panjang dan apa yang perlu dilakukan adalah selalu memberitahu doktor yang merawat anak mengenai masalah anak anda yang mengalami G6PD.

Ini dapat mengelakkan mereka menggunakan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan komplikasi. Di antara ubat-ubatan yang boleh membawa komplikasi Ubat-ubatan penyakit malaria dan antibiotik yang mengandungi kandungan sulfur.

Selain daripada ubat, kacang parang jenis “fava beans “ juga boleh menyebabkan oksidasi sel darah merah. Selain itu juga komplikasi G6PD juga dikaitkan dengan penggunaan ubat serangga. Rawatan Cara rawatan yang utama adalah mengelakkan daripada perkara yang boleh menyebabkan acute hemolysis seperti yang dinyatakan di atas.

Kadangkala sel darah merah yang pecah secara keterlaluan menyebabkan bayi itu pucat. Ini mungkin memerlukan pemindahan darah. Perlu diingatkan juga, masalah G6PD ini disebabkan kekurangan penghasilan enzim dan ini adalah masalah yang akan kekal buat selamanya.

Vaksin bina sistem imuniti kanak-kanak

Imuniti penting untuk hasilkan antibodi melawan virus, bakteria bawa penyakit

APAKAH vaksin masih relevan untuk kanak-kanak? Dalam dunia moden dengan seribu satu macam ubat di pasaran, masihkah vaksin perlu dipertimbangkan? Di Malaysia kes batuk kokol (pertusis) meningkat daripada 27 kes 2003 kepada 42 kes (termasuk empat kematian) pada 2004 manakala 65 kes dicatatkan pada 2005 termasuk satu kematian.

Malah secara umum, pada 2001 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan 2 juta kematian kanak-kanak seluruh dunia disebabkan penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin.

Justeru, WHO menyarankan vaksin yang sudah dibangunkan bagi mencegah pelbagai jenis penyakit yang boleh mengancam nyawa diberikan kepada kanak-kanak.

Walaupun di satu pihak lain, pemberian vaksin dilihat sebagai kontroversi tetapi bagi WHO ia adalah cara yang terbukti boleh mengawal penyakit. Pakar Pediatrik dan Neonatal, Hospital Pakar Damansara, Dr Musa Mohd Nordin, berkata vaksin penting untuk kanak-kanak kerana mereka tidak memiliki imuniti yang diperlukan dan antibodi menentang penyakit.

“Kanak-kanak yang mendapat imunisasi membantu melindungi kesihatan komunitinya terutama mereka yang tidak mendapat imuniti. Selain itu, imunisasi juga boleh memperlahankan atau menghentikan wabak penyakit,” katanya.

Sebagai contoh, polio misalnya satu ketika dulu penyakit paling ditakuti di Amerika menyebabkan kematian dan lumpuh. Mangsa polio terkenal tentu saja Presiden Amerika, Franklin Roossevelt. Selepas polio diperkenalkan pada 1955, polio bukan lagi masalah kesihatan yang mengancam nyawa.

Di Malaysia, kes terakhir polio dicatatkan pada pertengahan 1980an. Kemudian, negara bebas polio melalui pemberian imunisasi yang diwajibkan menerusi jadual pemberian vaksin kebangsaan. Hanya pada awal 1990an, tiga kes polio dicatatkan di Malaysia.

Bagaimanapun semua kes itu membabitkan warga asing. Dr Musa berkata, di sesetengah negara apabila sesuatu penyakit itu tidak lagi menjadi kebiasaan masyarakat mula mempersoalkan kewajaran pemberian vaksin itu. Antaranya pertikaian dan desakan antara orang awam di United Kingdom (UK) dengan kementerian kesihatannya mengenai pemberian vaksin batuk kokol pada 1970an.

Berikutan desakan awam, UK menghentikan pemberian vaksin pencegah batuk kokol. Hanya dalam tempoh beberapa tahun, epidemik batuk kokol muncul semula dengan membabitkan 100,000 kes termasuk 36 kematian. Mengapa vaksin untuk kanak-kanak sangat penting? a) Bayi yang baru lahir imun terhadap banyak jenis penyakit kerana antibodi yang diperoleh daripada ibu mereka.

Bagaimanapun, durasi imuniti ini hanya bertahan antara sebulan hingga setahun. Apatah lagi kanak-kanak tidak memiliki imuniti ‘maternal’ melawan sesetengah penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin seperti batuk kokol. b)

Jika kanak-kanak tidak menerima imunisasi dan terdedah kepada bakteria membawa penyakit, tubuhnya mungkin tidak cukup kuat untuk melawan penyakit. Sebelum adanya vaksin, kebanyakan kanak-kanak meninggal dunia disebabkan penyakit seperti batuk kokol, campak dan polio.

Walaupun penyakit itu masih wujud hingga kini, ia sudah boleh ditangani dengan vaksin. Bagaimana vaksin melindungi kanak-kanak dari penyakit? Setiap kanak-kanak lahir dengan sistem imun yang terdiri daripada sel, kelenjar, organ dan cecair yang terletak di seluruh tubuhnya dan berupaya melawan bakteria dan virus.

Sistem imun yang sihat dan normal memiliki keupayaan menghasilkan berjuta-juta antibodi untuk menentang serangan bakteria setiap hari. Banyak antibodi akan ‘hilang’ selepas ia memusnahkan sel asing tetapi sel yang terbabit dalam penghasilan antibodi (disebut memori sel) akan kekal. Sel ini akan mengingati antigen (sebatian luar yang merangsang penghasilan antibodi) asal dan akan mempertahankan sistem tubuh jika ia cuba menyerang lagi. Perlindungan itu dinamakan imuniti.

Vaksin memiliki antigen yang sama atau sebahagian antigen yang menyebabkan penyakit tetapi antigen dalam vaksin adalah sama ada yang sudah dilemahkan atau sudah dimatikan. Apabila ia disuntik dalam tisu lemak atau otot, antigen vaksin tidak cukup kuat untuk menghasilkan simptom dan tanda penyakit tetapi cukup kuat untuk sistem imun menghasilkan antibodi menentangnya.

Memori sel yang ada mencegah jangkitan sekali lagi jika ia berlaku pada masa depan. Justeru melalui vaksinasi, kanak-kanak membina imuniti tanpa menderita penyakit sebenar. Contoh paling mudah yang diberikan Dr Musa adalah demam pelentung. Ali mengambil vaksin manakala Ah Chong menderita demam pelentung. Ali tidak diserang pelentung begitu juga Ah Chong tetapi imuniti yang dibina Ah Chong perlu dibayar dengan harga kesakitan dan kesengsaraan manakala harga vaksin Ali mungkin kurang daripada RM100 saja.

PnD pembunuh kanak-kanak

PENYAKIT pneumokokal boleh dicegah dengan vaksin.

MENINGITIS, radang paru-paru dan jangkitan telinga tengah mempunyai satu persamaan. Semuanya dikategorikan sebagai penyakit pneumokokal (PnD) yang disebabkan bakteria ‘streptococcus pneumoniae’.

Ada lebih 90 jenis bakteria PnD dan ia adalah satu daripada penyakit pembawa maut yang paling mudah berjangkit. Setiap tahun antara 700,000 dan 1 juta kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah mati akibat PnD.

Untuk setiap jam, antara 80 hingga 112 kanak-kanak mati akibat penyakit maut ini atau secara kasarnya antara 1,900 hingga 2,700 kanak-kanak mati setiap hari di seluruh dunia manakala di negara membangun, PnD dianggap sebagai punca utama kematian kanak-kanak.

Pengerusi Perikatan Strategik Asia Demi Mencegah Penyakit Pneumokokal (ASAP) yang juga Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit Pediatrik di Kolej Perubatan Universiti Filipina, Dr Lulu Bravo, berkata perjuangan untuk mencegah lebih ramai kanak-kanak daripada meninggal dunia akibat PnD di Asia Pasifik harus ditingkatkan kerana angka kematian semakin meningkat.

“Sebagai doktor dan ibu bapa, saya tahu betapa hancurnya hati ibu bapa yang kematian anak. Namun, anda mungkin tidak dapat memahami derita dan kehilangan itu sehingga ia berlaku kepada anak anda. Saya ingin menjelaskan keadaan ini boleh dielakkan,” katanya.

Dr Lulu berkata, antara penyakit yang dirujuk sebagai PnD termasuk meningitis, pneumonia, bakteremia dan otitis media akut. Ia dianggarkan mengakibatkan sehingga sejuta kematian di kalangan kanak-kanak yang kebanyakannya tinggal di negara sedang membangun.

Simptom Simptom PnD berbeza mengikut usia kanak-kanak dan bergantung kepada masalah yang dihadapinya, sama ada meningitis, radang paru-paru atau jangkitan telinga tengah. Bagaimanapun, jika anda merasakan anak anda mengalami jangkitan serius, bawa mereka berjumpa doktor dengan segera. Penyakit pneumokokal sebenarnya boleh dicegah melalui vaksin. Buat masa ini, vaksin yang dikenali sebagai ‘vaksin berkonjugat pneumokokal sakarida’ atau ringkasnya PCV-7 adalah vaksin yang pertama dan satu-satunya vaksin untuk mencegah penyakit pneumokokal invasif di kalangan bayi dan anak kecil yang berusia di bawah 24 bulan.

Vaksin ini juga membantu melindungi kanak-kanak yang sudah mencecah usia sembilan tahun. PCV-7 digunakan untuk imunisasi yang aktif dan membantu melindungi daripada penyakit yang disebabkan oleh tujuh serotip (jenis) bakteria streptococcus pneumoniae, yang juga dikenali sebagai pneumokokus.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan kemasukan PCV-7 dalam program imunisasi kebangsaan terutama di negara yang mencatatkan kadar kematian kanak-kanak di bawah usia lima tahun mencatat hingga 50,000 setahun.

Thursday, January 24, 2008

Petua Mengatasi Stres garap empat elemen menangani tekanan

DALAM meniti kehidupan sebagai khalifah Allah s.w.t. di muka bumi ini, cabaran dan dugaan adalah dua perkara yang tidak mungkin dapat dielakkan. Ini kerana, kemampuan manusia menangani cabaran dan dugaan secara berhikmah merupakan salah satu kayu pengukur bagaimana Allah s.w.t. menilai tahap keimanan seseorang.

Kegagalan manusia menguruskan dua perkara tersebut secara berkesan, secara langsung akan membuatkan diri mereka mudah dikuasai amarah dan dipengaruhi syaitan, seterusnya memberi kesan yang tidak baik kepada keimanan diri.

Ia akan membangkitkan satu tekanan dalam diri yang dipanggil oleh kebanyakan ahli psikologi sebagai stres - suatu reaksi negatif mental dan fizikal terhadap semua permasalahan yang dihadapi dalam kehidupan.

Ia juga boleh ditakrifkan sebagai tekanan atau desakan yang berpunca daripada bebanan, konflik, keletihan, ketegangan, panik, perasaan gemuruh, kemurungan, hilang daya serta tenaga dan sebagainya.

Menurut kajian, gejala stres terhasil berikutan ketidakseimbangan yang berlaku di antara keperluan dan keupayaan seseorang. Secara umum, apabila seseorang mendapati keperluannya melebihi keupayaannya sendiri, maka stres secara tidak langsung juga akan terhasil.
Terdapat beberapa faktor yang menjadi punca utama berlakunya stres iaitu; sifat semula jadi, ilmu dan pendidikan, suasana dan persekitaran, tanggungjawab dan kerjaya, sosial (hubungan sesama manusia), hubungan dengan Allah serta gangguan perasaan.

Sebagai contoh, sifat semula jadi yang tidak sukakan kekalahan, terlalu inginkan kesempurnaan total (perfectionist), suka mendesak, kuat cemburu, risau yang keterlaluan dan tidak suka ditegur akan membuatkan seseorang mudah paranoid terhadap orang lain dan keadaan sekeliling.

Kurangnya ilmu pengetahuan pula membuatkan seseorang mudah melatah dan melenting serta berasa rendah diri, manakala suasana sekeliling yang tidak aman akan hanya mengusutkan fikiran dan menjauhkan ketenangan.

Seterusnya, bebanan kerja dan kegagalan menguruskan tanggungjawab juga merupakan antara punca berlakunya stres. Tanggapan bahawa tanggungjawab yang dipikul terlalu banyak atau terlalu sedikit, terlalu banyak keputusan perlu dibuat, harapan yang terlalu tinggi untuk digalas, kerja yang membosankan serta jawatan yang statik dan terbatas adalah antara alasan yang biasa didengar oleh kebanyakan daripada kita, pada hari ini.

Pun begitu, ramai yang tidak menyedari bahawa Allah sebenarnya sangat mengasihi mereka yang selalu bersyukur dan akan menganugerahkan rezeki yang melimpah ruah kepada mereka yang istiqamah dan berterima kasih kepada-Nya. Malah, rasa syukur juga secara tidak langsung dapat menghilangkan stres kerana syukur terbukti menghilangkan perasaan tamak, cemburu, kerisauan yang melampau dan sebagainya yang boleh menambahkan tekanan ke atas seseorang insan.

Hubungan sosial dan hubungan dengan Allah s.w.t. yang diuruskan dengan baik juga boleh menghindarkan stres. Contohnya, hubungan yang baik dengan keluarga, sahabat dan jiran tetangga bukan sahaja dapat memberikan kehidupan yang aman malah dapat menghindarkan konflik seterusnya mengurangkan stres dalam kehidupan.

Hubungan baik dengan Allah s.w.t. pula dapat memberikan ketenangan dalam menjalani kehidupan seharian. Ramai yang beranggapan ia sukar dilakukan secara menyeluruh tanpa menyedari Allah s.w.t. hanya mahukan hamba-Nya untuk menegakkan kebenaran dan menghindarkan kemungkaran.

Sekiranya kita berjaya memahami konsep ini, Insya-Allah kita tidak akan berasa susah dan tertekan dalam mengamalkan segala ajaran yang dituntut oleh Islam kerana Islam itu sendiri adalah agama yang mudah dan tidak akan menyusahkan umatnya.

Namun, adalah sangat menyedihkan apabila didapati pada hari ini, semakin ramai penduduk Malaysia yang sanggup membunuh diri lantaran gagal mengawal tekanan yang dihadapi. Semuanya kerana kurangnya ilmu pengetahuan mengenai stres.

Ramai beranggapan stres tidak boleh disembuhkan serta memandang remah mengenainya. Sedangkan hakikatnya, tanggan dan sikap sebegini menatijahkan satu keadaan yang boleh diibaratkan sebuah bom jangka yang menanti saat untuk meletup.

Gemuk dan gendut


GEMUK perkataan yang sangat ditakuti wanita manakala gendut senario biasa pada lelaki. Kebanyakan orang percaya selepas berkahwin, perempuan mudah menjadi gemuk dan lelaki cenderung untuk gendut.
Bagaimanapun, ia sebenarnya sekadar cakap kosong yang tidak pernah disertai dengan kajian saintifik. Walaupun genetik memainkan peranan penting tetapi masalah itu ia juga berkaitan dengan aktiviti fizikal dan pemakanan individu.

Gemuk sebenarnya trend yang semakin meningkat bukan saja di Malaysia tetapi seluruh dunia yang dikaitkan dengan proses urbanisasi dan globalisasi. Ramai orang tidak bergiat aktif, tidak bersenam dan mengamalkan gaya pemakanan tidak sihat.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengakui obesiti adalah epidemik yang mewarnai peta dunia. Hampir satu bilion orang dewasa di seluruh dunia terlebih berat dan satu pertiga daripadanya gemuk. Ironinya, negara seperti India yang dicatatkan sebagai negara yang memiliki kes kekurangan nutrisi yang tinggi juga menghadapi masalah ini. Lahirkan anak ramai bukan punca gemuk

WANITA berisi juga menarik.

DI BARAT, gemuk dan terlebih berat badan memang perkara biasa. Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan pola peningkatannya lebih cepat berbanding negara membangun. Bagaimanapun WHO memberi jawapan yang sama kepada punca masalah ini iaitu pengambilan makanan yang tinggi gula, lemak tepu dan kurang khasiat digabung dengan sikap malas bersenam.
Justeru, kepercayaan wanita mudah menjadi gemuk selepas kahwin adalah mitos belaka. Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan, Dr Noor Azah Daud, berkata logiknya selagi menjaga pemakanan dan rajin bersenam, jumlah kekerapan melahirkan anak bukanlah soalnya kerana ada juga perempuan yang tidak berkahwin juga gemuk.

“Sebenarnya apabila umur meningkat iaitu bermula usia 40 tahun, fisiologi otot mengecil atau mengecut secara perlahan-lahan dan ia boleh diisi dengan lemak. Keadaan ini bukan terhad pada wanita saja tetapi juga lelaki,” katanya.
Simpanan tenaga utama adalah lemak. Apabila pengambilan tenaga lebih banyak daripada tenaga yang digunakan, tisu berlemak (adipose tissue) semakin bertambah. Keadaan itu selalunya seiring dengan peningkatan BMI justeru berat badan. Penggunaan tenaga tubuh sebenarnya sepadan dengan berat badan. Peningkatan tenaga yang tidak seimbang menyebabkan pertambahan berat badan. Saya sentiasa sibuk di pejabat dan rumah, mengapa saya masih gemuk?
Ini mungkin soalan biasa di kalangan wanita. Jawabnya mudah, kata Dr Noor Azah, secara relatifnya lelaki lebih aktif justeru mereka lebih berupaya mengawal berat badan berbanding wanita. “Memang wanita juga aktif. Bagaimanapun keaktifan itu tidak termasuk bersenam. Selalunya wanita ‘aktif’ dengan urusan pejabat dan sibuk dengan rumah tangga tetapi secara realiti wanita tidak banyak bergerak,” katanya.
Maksudnya, dalam melakukan kerja pejabat dan kerja rumah kekuatan tangan yang lebih diperlukan. Pergerakan tangan digunakan untuk menaip dan memasak atau melipat pakaian. Pergerakan tangan tidak termasuk dalam kategori penggunaan otot besar. Penggunaan jari atau otot kecil bermaksud kurang mengeluarkan tenaga. Berbanding otot besar seperti bahu, paha dan pinggul, setiap pergerakan otot besar lebih dari 10 minit membantu mengeluarkan tenaga.
Kerana itu setiap kali melakukan aktiviti fizikal ia mesti lebih dari jangka masa itu. Anologi paling mudah, mentega yang dikeluarkan dari peti sejuk mengambil masa 10 minit untuk mencair. Justeru, jika mahu kurus perlu ada keseimbangan antara tenaga yang diambil dan digunakan.
“Ada wanita mengambil jalan pintas untuk kurus. Mengambil pil pelansing dan mengamalkan diet tidak sihat. Apa yang perlu mereka tahu, pil pelansing ada pelbagai cara tindakannya. Ada berfungsi mengurangkan penyerapan makanan dan ada mengurangkan selera makan.
“Cara betul kurangkan berat badan adalah amalan bersenam dan makan makanan sihat. Jangan makan pil kurus kerana sebaik saja berhenti mengambilnya, berat badan akan naik dua kali ganda daripada asal. Malah ada kes ia juga boleh menjejaskan buah pinggang kerana ia sudah tidak boleh lagi berfungsi sebagai penapis,” katanya. Dr Noor Azah berkata, ubat menguruskan badan tidak banyak membantu dan ia bergantung pada fungsinya. Paling utama pengguna perlu pastikan ia diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Gemuk sepatutnya tidak boleh menjadi trend. Obesiti adalah penyakit. Walau apapun kepercayaan, sama ada normal untuk wanita gemuk selepas kahwin atau biasalah kalau lelaki gendut selepas berkahwin ia harus dihapuskan sama sekali,” Antara komplikasi gemuk adalah barah. Memang penyakit barah itu sebenarnya disebabkan banyak faktor, tetapi kalau banyak lemak risiko barah lebih tinggi.
Justeru, mereka yang obes lebih cenderung diserang barah. Genetik memang memainkan peranan tetapi ia tidak sehebat penangan tabiat pemakanan tidak betul dan sikap malas bersenam. Genetik hanya memberi sumbangan yang kecil saja dalam epidemik gemuk.
“Jika seseorang itu gemuk sejak kecil, sel lemaknya lebih besar dan banyak. Walaupun apabila dewasa, kegemukannya tidak bertambah, bilangan sel lemak tidak berkurang. Maksudnya, dia susah untuk menjadi kurus berbanding mereka yang gemuk selepas dewasa,” katanya.
Antara wanita dan lelaki malah antara satu individu dengan individu lain, tidak ada satu kadar pembakaran lemak (BMR) sama. Ada individu yang makan kerap tetapi tidak gemuk. Mereka ini tergolong dalam kelompok BMR tinggi. Merujuk pada kajian pemakanan di kalangan dewasa Malaysia (MANS) pada 2003 mendapati prevelan obesiti dan terlebih berat lebih tinggi di kalangan wanita berbanding lelaki.
Perbandingan antara kaum pada 1995 pula mendapati prevelan obesiti lebih tinggi di kalangan orang Melayu diikuti India dan Cina manakala kajian MANS menunjukkan obesiti tertinggi adalah di kalangan masyarakat India. Kajian MANS juga mendapati pengambilan tenaga penduduk Malaysia adalah 70 peratus daripada pengambilan makanan yang dicadangkan.
Cadangan pengambilan tenaga penduduk Malaysia dewasa adalah antara 1,200 hingga 1,800 kalori (kcal) sehari tetapi ia berbeza mengikut umur dan jantina. Kajian itu juga menunjukkan sebahagian besar rakyat Malaysia (85.5 peratus) mengamalkan gaya hidup sedentari (lebih banyak duduk) manakala hanya 14.4 saja bersenam.
Kata Dr Noor Azah, secara umum bagi wanita tisu lemak berlebihan tersimpan di pinggul, kaki dan paha manakala bagi lelaki lebihan itu lebih banyak berkumpul di perut. Secara umum, senaman untuk menguatkan jantung adalah berlari 30 minit tetapi jika ingin menguruskan badan, cukup dengan berjalan-jalan santai tanpa berhenti bagi tempoh satu jam. Lelaki mudah gendut bila usia meningkat
APA punca gemuk dan gendut? Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan, Dr Noor Azah Daud, berkata puncanya adalah ketidakseimbangan dalam pengambilan tenaga dengan penggunaan tenaga. Ini ditambah dengan tiada perubahan dalam tabiat dan pengambilan makanan berlemak dan tinggi kalori.
“Kombinasi pengambilan nutrisi berlebihan ditambah pula dengan gaya hidup lebih banyak duduk adalah punca utama obesiti epidemik,” katanya. Selain malas bersenam, perubahan persekitaran fizikal (obesogenic environment) juga mempengaruhi keadaan ini.
Antara lelaki dan perempuan, lelaki cenderung untuk menjadi gendut apabila usia semakin meningkat. Lelaki seperti juga perempuan ‘bergelut’ dengan isu pertambahan berat badan atau gemuk sepanjang usia. Begitupun, ada yang tidak menyedari pertambahan dalam ukur lilit perut mereka. Gemuk atau gendut sebenarnya boleh dicegah dengan pengambilan diet yang betul dan senaman. Senaman untuk setiap individu, tua dan muda tidak sama.
Apabila usia meningkat misalnya, selain mengubah menu makanan anda juga perlu tahu senaman sesuai untuk terus kekal langsing atau menurunkan berat badan. Secara umum, untuk menurunkan berat badan anda perlu ‘membakar’ sebanyak mana kalori yang anda ambil. Maksudnya elak makanan tinggi lemak dan karbohidrat dan makan dalam kuantiti yang kecil. Jadikan ‘pembakaran’ lemak sebagai aktiviti rutin. Walau di mana anda berada di rumah atau pejabat, lakukan bila berkesempatan.
Misalnya, gunakan tangga untuk ke kantin atau ke surau. Begitupun turun naik tangga lakukan dengan menggunakan kasut bertapak rendah bukan kasut bertumit tinggi.
Info
Dalam sesetengah budaya, gemuk dikaitkan dengan tarikan fizikal, kekuatan dan kesuburan. Artifak lama dikenali sebagai “Venus figurines” iaitu statut bersaiz poket adalah model perempuan gemuk. Walaupun signifikan budaya ini tidak direkodkan tetapi ia dikatakan popular di zaman prasejarah di Mediterranean. Dalam budaya Eropah pula, perempuan gemuk dikaitkan dengan ritual magis dan kesuburan.

Gemuk juga diiktiraf sebagai simbol kekayaan dan status sosial terutama dalam kelompok masyarakat yang mengalami masalah kekurangan makanan. Dalam sejarah awal Eropah moden juga gemuk dikaitkan sebagai simbol kekayaan sebelum akhirnya ia dikaitkan dengan keghairahan, selera dan erotik.

Dalam seni halus, perempuan gemuk juga mendapat tempat. Misalnya dalam karya pelukis era baroque, Peter Paul Rubens (1577-1640) sehingga timbulnya istilah 'Rubenesque'. Ia dilihat sebagai simbol prestij.




Tekanan akibat bekerja boleh bawa maut

LONDON: Kajian yang menunjukkan bukti kukuh bagaimana tekanan akibat bekerja meningkatkan risiko pada jantung dengan mengganggu sistem dalaman tubuh mendapati keadaan itu memang boleh membunuh. Kajian membabitkan lebih 10,000 kakitangan awam Britain juga menunjukkan perubahan biologi yang berlaku berikutan tekanan memainkan peranan penting secara langsung berbanding yang disangka sebelum ini, kata pakar epidemiologi di Kolej Universiti London, Tarani Chandola. “Ini adalah kajian populasi pada skala besar pertama yang melihat kesan tekanan yang diukur daripada kehidupan bekerja setiap hari ke atas penyakit jantung. Salah satu masalah ialah orang ramai masih ragu bahawa tekanan kerja benar-benar memberi kesan kepada seseorang secara biologi,” katanya yang mengetuai kajian.
Penyakit jantung adalah punca utama kematian di seluruh dunia. Ia disebabkan lebihan lemak yang menyukarkan dan menghalang arteri, tekanan darah tinggi yang merosakkan saluran darah dan faktor lain. Penyelidik mengukur tekanan di kalangan kakitangan awam dengan bertanya soalan mengenai desakan kerja mereka seperti sejauh mana mereka mengawal keadaan di tempat kerja, berapa kerap mengambil rehat, dan berapa kerap mereka tertekan sepanjang hari itu. Pasukan berkenaan mengendalikan tujuh tinjauan dalam masa 12 tahun dan mendapati pekerja yang tertekan secara kronik - mereka yang ditentukan berada dalam tekanan teruk dalam dua tinjauan pertama - berisiko 68 peratus menghidap penyakit jantung.
Kaitan itu paling kuat di kalangan responden berusia bawah 50 tahun. Chandola berkata: “Kajian ini menambah bukti bahawa ada kaitan penyakit jantung koronari dan tekanan kerja.” Kajian disiarkan dalam European Heart Journal. Tingkah laku dan perubahan biologi berkemungkinan dapat menjelaskan mengapa tekanan di tempat kerja menyebabkan sakit jantung, kata Chandola. Sebagai contoh, pekerja yang tertekan cenderung mengambil makanan tidak sihat, merokok, minum minuman keras dan tidak bersenam - semua tingkah laku yang dikaitkan dengan penyakit jantung. - Agensi

Sunday, January 20, 2008

PELBAGAI: PENERANGAN PENYAKIT

GOUT

Gout merupakan sejenis artritis yang disebabkan oleh kandungan asid urik yang berlebihan dalam darah. Akibatnya, ia berkumpul pada bahagian sendi dan membentuk kristal yang mendatangkan kesakitan kepada penghidapnya.

Ia sebenarnya bukan sekadar menyerang bahagian kaki, tetapi juga sendi lain termasuk pergelangan tangan dan juga jari.

Diet yang tidak seimbang merupakan faktor penting yang menyumbang kepada kejadian gout.
Mereka yang mengambil alkohol secara berlebihan, kegemukan dan kekurangan enzim urinase juga boleh mendapat masalah ini.

Ia tidak hanya menyerang kaum lelaki, tetapi juga kaum wanita tetapi sering dialami pada usia yang lebih lewat, kebanyakannya selepas menopaus berbanding dengan kaum lelaki yang mendapatnya pada usia yang lebih muda.

Penghidap gout seharusnya mengelakkan makanan yang tinggi dengan kandungan purin seperti daging merah, organ dalaman haiwan, sesetengah kekacang dan juga makanan laut.
Sebaiknya, kurangkan juga pengambilan lemak haiwan, lemak tepu dan lemak trans yang akan meningkatkan penghasilan dan kandungan asid urik.

Dalam masa yang sama, tingkatkan pengambilan serat yang boleh merangsang persekitaran yang lebih bersifat alkali dan meningkatkan kecairan asid urik.

Amalkan pengambilan air secukupnya untuk mengekalkan tahap pencairan urin dan menggalakkan penyingkiran asid urik.

Dari segi herba, biji saderi boleh dianggap sebagai bahan diuretik dan membantu pembersihan darah. Ia boleh memainkan peranan dalam penyingkiran asid urik melalui ginjal.

Antara herba lain yang turut bermanfaat termasuklah Guaiacum, capsicum dan juga kunyit yang mempunyai bahan antikeradangan dan bermanfaat untuk kejang dan sakit sendi.
Sarsaparilla pula boleh digunakan untuk membersihkan toksin daripada sistem tubuh.
Halia membantu menghangatkan, melegakan kesakitan serta memperbaiki peredaran darah, bersesuaian untuk mereka yang menghidap masalah berkaitan dengan keradangan.

KESAKITAN SENDI

Masalah kesakitan sendi banyak dialami oleh golongan berusia.

Ia juga dikenali sebagai masalah kemerosotan rawan atau dikenali sebagai osteoartritis.
Penipisan atau koyakan pada rawan ini akan menyebabkan tulang keras akan bergeseran antara satu sama lain apabila adanya pergerakan. Keadaan ini akan menyebabkan kesakitan, pembengkakan dan seterusnya menjejaskan kemampuan pergerakan sendi.
Lama-kelamaan, sendi juga mungkin akan kehilangan bentuk asalnya.

Sebenarnya, ia juga boleh menjejaskan sendi-sendi lain, seperti pinggul dan tangan.
Selain penuaan faktor risiko lain termasuklah berat badan berlebihan, kecederaan sendi dan juga mereka yang terlibat dalam aktiviti yang memberikan tekanan berlebihan kepada sendi seperti ahli sukan.

Pada peringkat permulaan, kesakitan pada sendi boleh dirasai selepas aktiviti fizikal atau senaman. Kekejangan sendi terutamanya pada waktu pagi juga memberi petanda awal kepada osteoartritis.

Glukosamin yang diambil secara oral banyak digunakan untuk merawat osteoartritis.
Pengambilan glukosamin bermanfaat dalam membantu membina semula rawan dan merawat artritis. Dos yang biasa digunakan untuk rawatan osteoartritis adalah sekitar 1500 miligram sehari.

Kesan positifnya termasuklah melegakan kesakitan, yang berkemungkinan besar disebabkan oleh bahan antiradang untuk memudahkan pergerakan.

Bagi mereka yang mempunyai masalah keradangan, pengambilan minyak ikan juga menawarkan cara mudah untuk memperolehi jumlah omega 3 secukupnya, yang terdiri daripada asid eikosapentaneoik (EPA) dan asid dokosaheksanoid (DHA).
Asid-asid lemak poli-tidak tepu ini juga turut berperanan dalam pengawalan masalah keradangan seperti osteoartritis.

Manakala pengambilan ubat penahan sakit seharusnya dikurangkan dan hanya diambil apabila keadaan memerlukan.


REHAT ELAK KELETIHAN

Rehat secukupnya merupakan ubat yang mujarab untuk mengatasi keletihan. Kelesuan anda mungkin disumbangkan oleh kedua-dua faktor iaitu keletihan fizikal dan stres emosi akibat tuntutan kerja.

Oleh itu, adalah penting bagi anda untuk merancang dan meluangkan masa sebaik mungkin agar anda mempunyai masa untuk berehat secukupnya. Selain pemakanan yang seimbang, peranan suplemen kini turut diperakui dalam membantu kesejahteraan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan.

Vitamin B kompleks contohnya terkenal kerana fungsinya dalam membantu menangani stres, keletihan dan meningkatkan kesihatan saraf.

Begitu dengan herba tradisi, yang telah diperakui sejak sekian lama, malah sejak beribu tahun seperti gingko dan ginseng.

Kedua-dua herba ini membantu meningkatkan kecergasan. Herba yang bersifat afrodisia seperti Horny goat weed, Damiana, Tribulus territis, Withania dan Muira puama juga telah lama dikenali dan digunakan oleh masyarakat terdahulu kerana kebanyakan daripada herba-herba ini juga bersifat adaptogen yang membantu melawan tekanan dan merehatkan saraf-saraf.

Ekzema Atopik: Kanak-kanak mangsa utama

EKZEMA, perkataan yang berasal daripada perkataan Greek (Yunani) membawa maksud menggelegak atau mendidih, satu perumpamaan tepat terhadap perasaan yang dirasai pada kulit penghidap ekzema.

Penyakit ini melibatkan kaitan genetik yang memberi kesan kepada sejenis sel imuniti badan iaitu sel T.

Sel T pada pesakit ekzema akan memberikan tindak balas yang terlampau kepada alergen (bahan punca radang) dan membawa kepada inflamasi (bengkak) kulit yang merengsakan serta berkudis.

Dalam bentuk lemah atau sederhana, ekzema cuma akan menyebabkan kulit menjadi kering, kepanasan dan gatal.

Bagi kes yang teruk pula, kulit pesakit mungkin boleh merekah, melecet dan luka.

Sebahagian masalah ini dikatakan berpunca daripada perubahan faktor persekitaran seperti peningkatan suhu dan kelembapan bumi akibat perubahan iklim dunia.

Selain itu, peningkatan jumlah bahan pencemar alam sekitar seperti bahan kimia, detergen kasar, logam dan bahan kosmetik yang boleh menyebabkan alahan (alergi) juga boleh memburukkan keadaan individu dengan masalah ekzema.

Penyakit ini dianggarkan menjejaskan kehidupan satu peratus rakyat negara ini dan 14 peratus daripada golongan kanak-kanak di Malaysia.

Satu kajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dilihat mengesahkan bilangan pesakit ekzema yang jauh lebih tinggi kini di kalangan kanak-kanak antara umur lima hingga tujuh tahun berbanding kelompok berumur antara 12 hingga 14 tahun.

Kebelakangan ini, pakar kulit (dermatologi) dunia juga melihat peningkatan kepada permintaan untuk rawatan ekzema, dengan Malaysia sendiri telah mencatatkan peningkatan sehingga 20 peratus.

Kesan

Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Bersekutu Malaysia (FPMPAM), Dr. Steven Chow menjelaskan gejala fizikal penyakit ini memberikan kesan mendalam kepada kualiti hidup penghidapnya, terutamanya kanak-kanak.

“Dalam kes melibatkan kanak-kanak, kesan kepada psikologi dan emosi akibat ekzema mungkin amat membimbangkan.

“Kita perlu mengambil perhatian kepada masalah ini, terutamanya ekzema atopik yang lebih banyak menyerang kanak-kanak berbanding golongan dewasa serta boleh meninggalkan kesan emosional yang akan mempengaruhi pergaulan sosial mereka kelak,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan pelembap juga dapat mengurangkan penggantungan kepada ubat steroid untuk rawatan ekzema.

Beberapa kajian di United Kingdom (UK) juga telah menunjukkan kanak-kanak yang menghidap ekzema lebih cenderung menyendiri, diejek atau dibuli oleh rakan sebaya akibat daripada perbezaan pada rupa kulit mereka.

Ini mungkin akan membawa kepada kurang keyakinan diri, sifat pemalu yang dalam dan merendah diri apabila mereka dewasa kelak.

Menghadapi kesan ekzema

Memandangkan tiada ubat untuk menyembuhkan sepenuhnya penyakit kronik ini, penekanan kini diberikan kepada rawatan dan pengurusan penyakit ekzema untuk jangka panjang.

Pengurusan penyakit ini melibatkan pemuliharaan dan mengekalkan lapisan pelindung kulit daripada terjejas, mengurangkan kebengkakan serta menghentikan kitaran ‘gatal-garu’ pada kulit pesakit.

Penghidratan dan melembapkan kulit dengan penggunaan ubat corticosteroid pada kekuatan berbeza kini menjadi asas kebanyakan rejim rawatan untuk penyakit ini.

Pakar Runding Pediatrik dan Dermatologi Pediatrik, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr. Mardziah Alias menegaskan perkara utama dengan ekzema adalah mengekalkan kulit yang lembap dan selembut mungkin.

“Jika tidak, kulit akan menjadi kering dan lebih merengsakan, menyebabkan pesakit menggaru lebih banyak dan lebih kuat.

“Untuk mengekalkan kelembapan kulit bagi mengelakkan kegatalan, anda perlu memilih pencuci kulit bukan sabun yang bersesuaian serta mengamalkan rejim rawatan yang baik dan melembapkan kulit,” ujarnya.

Dr. Mardziah menjelaskan penggunaan produk pembersih kulit yang tidak sesuai juga boleh menyebabkan lapisan pelindung semula jadi kulit rosak dan memulakan kitaran keradangan kulit.

Di Amerika Syarikat (AS), salah satu faktor utama yang dikaitkan dengan masalah ekzema adalah pengunaan sabun, detergen dan barang kosmetik kasar yang menghakis lapisan lemak di antara sel-sel kulit.

Dr. Mardiah turut mendedahkan kulit ramai kanak-kanak di negara ini yang dilihat tidak dijaga dengan elok akibat kurang penggunaan pelembap untuk mengelakkan ekzema bermula.
“Ibu bapa yang menjaga bayi mereka perlu mengambil perhatian kepada penggunaan produk kulit bersesuaian, terutamanya di kalangan bayi dengan sejarah ekzema memandangkan kulit bayi adalah lima kali ganda lebih nipis berbanding orang dewasa dan memerlukan rawatan yang amat lembut.

“Ini menjadi sebab utama mengapa krim emolien memainkan peranan penting dalam mengelakkan kerengsaan kerana ia berupaya membaiki lapisan pelindung kulit sementara bahan aktif permukaan (surfactant) pula terus melindungi kulit,” jelasnya.

Katanya lagi, ibu bapa perlu mengambil berat keadaan kulit anak supaya mereka cukup selesa dengan kulit sendiri untuk meneruskan aktiviti harian secara normal.

Dalam pada itu, satu tinjauan pendapat bebas di AS turut menunjukkan 23 peratus individu dengan dermatitis (ekzema) atopik tidak menggunakan krim pelembap sementara 29 peratus lagi tidak menggunakan pembersih yang sesuai.

Dr. Mardziah menyatakan emolien yang lebih dikenali sebagai krim pelembap (moisturizer) juga kini boleh didapatkan dalam bentuk krim dengan kepekatan berbeza, losen atau salap.

“Krim yang bebas daripada steroid dan pewangi adalah yang terbaik untuk rawatan kesan
melecet berair ekzema, menjadikannya jenis emolien pilihan untuk melembapkan kulit bayi.

“Terdapat pelbagai jenis krim pelembap di pasaran tetapi tidak semua sesuai digunakan kerana mungkin mengandungi bahan pengawet dan pewangi tambahan,” katanya.

Menurut beliau, emolien mengandungi bahan yang menghalang pembengkakan dan juga bahan seperti ‘saccharide isomerate’ yang dapat memberikan kelembapan dan pengurangan gejala (gatal) dengan lebih baik.

Mengawal

Saccharide isomerate didakwa mengandungi unsur yang menyerupai faktor pelembap semula jadi kulit.

Selain itu, bahan ini juga dikatakan dapat menarik, mengekalkan dan mengawal tahap kelembapan di dalam kulit selain bebas daripada kesan persekitaran luar.

Penggunaan sulap pelembap, yang lebih kuat kesannya berbanding krim tetapi kelihatan seperti berminyak, mungkin lebih sesuai untuk kawasan kulit yang kering, bersisik atau menebal (keras).

Losen pula secara umumnya tidak mempunyai sifat penghidratan yang diperlukan untuk merawat ekzema atopik.

Dr. Mardziah menyatakan individu yang cenderung mendapat ekzema atau mempunyai kulit yang sensitif perlu mendapatkan nasihat doktor untuk mendapatkan rawatan yang sesuai untuk kulit mereka.

“Ramai penghidap ekzema tidak mengetahui bagaimana untuk memilih dan menggunakan krim pelembap dengan betul.

“Bergantung kepada berapa teruk keadaan kulit pesakit, krim pelembap sepatutnya digunakan sekerap dan sebanyak yang diperlukan untuk mengekalkan kelembapan dan kelembutan kulit,” ujarnya.

Tambahnya, amalan penggunaan krim pelembap ini perlu diteruskan setiap hari, walaupun jika keradangan pada kawasan kulit berkenaan sudah hilang.

Ini adalah sebagai langkah kawalan jangka panjang terhadap ekzema dan juga bagi mengelakkan kesan sampingan yang mungkin timbul daripada penggunaan ubat steroid.

Selain rawatan fizikal, kaunseling juga diperlukan untuk sesetengah pesakit yang mengalami masalah keyakinan dan harga diri akibat parut hodoh ekzema pada kulit.


LANGKAH PENJAGAAN KULIT SENSITIF DAN CENDERUNG HADAPI EKZEMA

* KURANGKAN pendedahan kepada bahan yang boleh menyebabkan keradangan kepada kulit anda. Antara bahan yang boleh menyebabkan keradangan termasuk pembersih rumah, detergen, losen selepas bercukur, sabun, gasolin, turpentin dan larutan-larutan lain.

Cuba elakkan pendedahan kepada bahan-bahan yang boleh menyebabkan ekzema bermula. Memandangkan sabun dan keadaan lembap (basah) boleh menyebabkan radang kulit, basuh tangan atau bahagian kulit lain hanya mengikut keperluan terutamanya jika anda mempunyai ekzema pada kawasan kulit berkenaan. Pastikan juga untuk mengeringkan tangan (atau kulit basah) dengan elok.

* GUNAKAN sarung tangan untuk melindungi kulit tangan. Gunakan sarung tangan plastik atau vinil untuk kerja yang menggunakan air atau kerja yang terdedah kepada bahan yang boleh menyebabkan radang kulit.

Gunakan juga sarung tangan kapas di bawah sarung tangan plastik bagi menyerap peluh pada kulit tangan. Berehat seketika dan buang sarung tangan jika melakukan kerja yang mengambil masa panjang bagi mengelakkan pengumpulan peluh di dalam sarung tangan.

* GUNAKAN pakaian yang dibuat daripada kain kapas atau campuran kapas. Kebanyakan individu dengan kulit sensitif lebih selesa dengan pakaian kain kapas atau campuran kapas memandangkan kain bulu biri-biri dan fabrik sintetik mungkin boleh menyebabkan radang kulit.

* JAGA kulit anda ketika mandi. Gunakan sabun lembut bebas bahan pembersih ketika mandi, yang boleh digunakan dengan atau tanpa air. Kekalkan suhu air yang sejuk, suam atau pada suhu bilik tetapi tidak terlalu panas.

Merendamkan diri di dalam tab mandi untuk satu jangka masa pendek (antara 15 hingga 20 minit) mungkin baik untuk kulit memandangkan lapisan luar kulit dapat menyerap air bagi mengurangkan kekeringan.

Gunakan tuala lembut untuk mengeringkan kulit sehingga kering dan elakkan menggosok kawasan kulit dengan kuat selepas kulit kering. Gunakan krim pelembap untuk mengekalkan kelembapan kulit.

* GUNAKAN ubat yang diberikan doktor untuk merawat ekzema pada kulit. Ubat yang diberikan doktor selalunya adalah jenis steroid yang elok disapukan selepas mandi.
Ikut panduan penggunaan ubat oleh doktor atau mengikut label produk. Hubungi doktor anda sekiranya tiada perubahan keadaan kulit selepas tiga minggu menggunakan ubat berkenaan.

* GUNAKAN krim pelembap pada kulit anda setiap hari. Pelembap membantu mengekalkan kelembutan dan keanjalan kulit. Elakkan penggunaan pelembap yang mempunyai terlalu banyak bahan tambahan atau pewangi.

* ELAKKAN menggaru atau menggosok bahagian kulit yang gatal. Cuba kawal diri untuk tidak menggaru kawasan kulit radang dan gatal kerana menggaru boleh menyebabkan kulit merekah dan memburukkan keadaan kulit. Bakteria boleh masuk ke dalam badan melalui kawasan kulit yang merekah atau luka ini dan menyebabkan jangkitan sampingan.
Penggunaan pelembap atau ais mungkin dapat membantu mengurangkan kegatalan. Ibu bapa boleh meletakkan sarung tangan bayi bagi mengelakkan anak anda menggaru kawasan yang gatal.

* ELAKKAN aktiviti yang menyebabkan anda kepanasan atau berpeluh terlalu banyak. Peluh dan haba yang terlalu banyak boleh menyebabkan radang kulit semakin teruk dan lebih gatal.

* BELAJAR menguruskan tekanan (stres) dalam kehidupan seharian. Ekzema boleh menjadi lebih teruk jika anda menghadapi banyak tekanan. Belajar teknik untuk mengurangkan tekanan atau ubah aktiviti harian untuk mengurangkan stres.

* TERUSKAN penjagaan kulit walaupun jika kulit kelihatan telah pulih sepenuhnya. Kawasan yang mengalami ekzema mungkin lebih mudah radang semula, oleh itu penjagaan lebih rapi diperlukan.

Jenis-jenis kanser yang menyerang wanita

PENGURANGAN risiko kanser boleh dilakukan dengan mengubah gaya dan tatacara kehidupan.
Perhatian perlu diberi pada keadaan badan, perasaan tahap kesihatan diri dan juga bentuk serta rupa struktur badan. Ujian saringan juga perlu ditekankan bagi mengesan kanser dengan lebih awal.

Sel-sel normal yang membina tisu badan mengalami tumbesaran, membahagi serta penggantian secara teratur dan tenteram. Kadangkala sel-sel tua yang sepatutnya digantikan, masih meneruskan tumbesarannya. Pertumbuhan ini mungkin tidak teratur dan bercelaru, akhirnya mereka menjadi luar kawalan dan seterusnya bertukar pada ketumbuhan yang ganas (malignan) ataupun yang tidak ganas (benign).

Ketumbuhan yang tidak ganas (benign) tidak merebak ke bahagian lain dan lazimnya tidak membimbangkan. Pembedahan terpaksa dilakukan jika saiz ketumbuhan terlalu besar dan memberi tekanan kepada organ-organ berhampirannya.

Ketumbuhan yang ganas pula (malignan), akan menakluk, merosakkan dan merebak pada organ-organ berhampiran dan juga organ yang jauh serta boleh menyebabkan ketumbuhan baru di tempat lain.

Faktor keturunan (kehadiran gen-gen tertentu) juga boleh menyebabkan ketumbuhan berlaku selain pendedahan kepada sinar-sinar tertentu, bahan kimia, virus dan bermacam jenis faktor persekitaran lain.

Jenis-jenis kanser bergantung pada bahagian anatomi badan yang terlibat seperti paru-paru, payudara, kulit, ovari, rahim, pangkal rahim, faraj, vulva, usus besar dan rektum.
Semua penyakit boleh dicegah atau dirawat sekiranya pengesanan dapat dilakukan pada peringkat awal.

Lazimnya terdapat tanda-tanda awal yang harus diamati dan diperhatikan. Juga sebagai satu bentuk pencegahan, golongan wanita dinasihatkan supaya menjalani penyaringan secara berkala untuk mengenal pasti kanser di peringkat awal.

Petanda awal

Di antara petanda-petanda awal kanser pada bahagian badan berkenaan adalah perubahan pada tabiat kebiasaan pundi kencing dan juga usus besar.

Selain itu, luka-luka yang tidak sembuh, pendarahan ataupun discaj yang tidak pernah dialami, penebalan ataupun tongkol-tongkol pada payudara ataupun bahagian kulit yang lain serta perubahan pada tahi lalat atau mana-mana tompok kulit juga mungkin menjadi petanda awal kanser tertentu.Pesakit juga perlu peka untuk ujian masalah kesusahan menelan serta keabnormalan pencernaan makanan atau minuman selain batuk yang tidak hilang dan juga perubahan pada suara.

Perlu diingat bahawa ini bukanlah petanda mutlak kanser tetapi hanya kehadiran gejala berkenaan sepatutnya dirujuk kepada doktor.

Kesakitan biasanya bukan tanda-tanda awal kanser. Walau bagaimanapun, jangan ditunggu sehingga kesakitan menjelma, barulah rujukan mahu dibuat kerana ketika itu mungkin sudah terlambat.

Kanser paru-paru

Majoriti pesakit mendapat kanser paru-paru dari aktiviti merokok. Wanita yang merokok mempunyai risiko 12 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat kanser paru-paru jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok.

Walaupun jika anda bukan perokok, tapi menyedut asap rokok secara pasif juga dapat menambahkan risiko kanser paru-paru.

Lazimnya tanda-tanda kanser paru-paru hanya jelas kelihatan apabila penyakit tersebut sudah pun di peringkat yang teruk.

Pesakit pada kebiasaannya mengalami batuk yang tidak sembuh-sembuh, kahak bercampur darah, sakit dada, berbunyi apabila menghembus nafas (wheezing), stamina pernafasan yang cetek serta keserakan suara.

Selain itu, penghidap kanser jenis ini juga mengalami episod berulang-ulang penyakit pneumonia dan juga bronkitis, kurang selera makan serta jatuh berat badan dan selalu mendapat demam.
Untuk mengelak kanser paru-paru, jangan mulakan merokok serta jauhkan diri dari asap rokok. Untuk mereka yang sudah pun mula merokok, carilah pertolongan supaya dapat membuang tabiat tersebut.

Kanser payudara

Kanser ini adalah antara penyebab kematian utama di kalangan wanita. Kebarangkalian untuk seorang wanita mendapat kanser ini pula adalah satu dalam lapan (1:8).

Di antara faktor-faktor yang dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser jenis ini termasuk peningkatan umur, sejarah keluarga dengan kanser payudara (terutamanya di sebelah ibu atau saudara perempuan) serta pembawa gen genetik abnormal BCRA1 dan BCRA2.

Selain itu, penggunaan hormon gantian tanpa pengawasan doktor, pendedahan kepada radiasi serta sejarah menghidap kanser payudara juga meningkat risiko anda.

Penyusuan badan, pengurangan berat badan serta bersenam dapat mengurangkan risiko kanser ini.

Seperti juga mana-mana kanser lain, pengesanan awal dapat mencegah dan mungkin menyembuhkan dengan rawatan awal.

Di antara perubahan awal yang perlu diperhatikan termasuk pembengkakan, tonjolan, kekerasan, penebalan dan juga pengecutan kulit pada payudara.

Kerengsaan pada kulit payudara serta puting yang tenggelam ke dalam, bersisik, berdarah, mengalami discaj, sakit serta tidak selesa perlu disiasat untuk kemungkinan kanser.
Anda dinasihatkan supaya menjalani ujian mammografi sekurang-kurangnya setahun sekali terutamanya sekiranya sudah menjangkau umur 50 tahun.

Selain itu, anda juga harus proaktif dalam memeriksa payudara sendiri kerana diri sendiri lebih tahu perubahan awal badan.

Kanser usus dan rektum (kanser kolorektal)

Kanser kolorektal ini perlahan tumbesarannya dan pada kebiasaannya bermula dengan polip di usus sebelum menjadi kanser. Anda dikategorikan sebagai berisiko sekiranya mempunyai waris terdekat (ibu, ayah, adik-beradik) dengan polip atau kanser kolorektal semasa berumur kurang dari 60 tahun, mempunyai penyakit yang melibatkan usus atau diri sendiri mempunyai polip di usus.

Lazimnya kanser kolorektal tidak mempunyai apa-apa petanda peringkat awal, tetapi selalunya didiagnosis pada peringkat lewat.

Antara petanda kanser jenis ini adalah perubahan dari kebiasaan tabiat usus, pendarahan dari rektum, darah di dalam najis ataupun najis berwarna hitam, najis menjadi panjang dan bergaris pusat kecil serta ketidakselesaan abdomen (kembung, kejang dan sering kentut atau sedawa).
Selain itu, selera makan juga menurun, rasa lemah serta letih tanpa sebab juga mungkin menjadi petanda kanser kolorektal yang akan memerlukan pemeriksaan lanjutan.

Bagi mereka yang telah melangkau umur 50 tahun, anda boleh menjalani ujian saringan seperti ujian darah di dalam najis setahun sekali, ujian sigmoidoskopi fleksibel setiap 5 tahun, ujian barium enema berkontras setiap 5 tahun serta ujian kolonoskopi setiap 10 tahun.

Walau bagaimanapun, ini bergantung pada faktor berlakunya kanser kolorektal setempat. Sekiranya statistik kejadian kanser kolorektal di tempat anda tinggi, makan anda juga berisiko dan lebih baik mengambil langkah berjaga-jaga.

Kanser kulit

Walaupun sebagai orang asia kulit kita lebih berpigmen, anda juga berkemungkinan boleh terkena kanser kulit.

Jenis-jenis kanser kulit termasuk jenis sel basal (kulit nampak seperti lilin, pucat warnanya, mungkin timbul seperti mutiara dan kadangkala tompok bersisik), jenis sel skuamos (kehadirannya juga menyerupai sel basal) atau jenis melanoma (seperti tahi lalat, hanya membesar dengan perimeter tidak sekata, bertambah hitam dan senang berdarah).

Terdapat beberapa tanda pada kulit yang boleh diperhatikan seperti perubahan pada saiz tahi lalat, bersisik, berdarah dan juga seakan melecur.

Selain itu, perhatikan juga perubahan pada warna dan juga kehadiran tompok-tompok pada kulit, kegatalan, kesakitan dan juga ketidakselesaan pada biji-biji ataupun tahi lalat serta kudis yang tidak sembuh.

Pastikan yang anda juga memeriksa pada semua tempat sama ada yang terdedah atau terlindung daripada cahaya matahari.

Kanser ovari

Risiko untuk mendapat kanser telur adalah kecil, tetapi kebarangkaliannya meningkat dengan peningkatan usia terutamanya selepas melangkau usia 60 tahun. Faktor-faktor yang meningkatkan risiko kanser jenis ini termasuklah kemandulan, makanan kaya dengan lemak, sejarah kanser usus dan payudara, endometriosis serta pembawa gen abnormal BRCA1 dan BRCA2.

Mereka yang kurang risikonya termasuklah mereka yang mengambil pil perancang keluarga, pernah melahirkan anak walaupun sekali dan mereka yang pernah menyusu badan.

Kanser ovari, bila dikesan, mungkin sudah pun terlambat. Oleh itu, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjutan seperti ultrasound memandangkan tidak ada ujian saringan khas untuk kanser ini.

Berjumpalah dengan doktor sekiranya anda mengalami ketidakselesaan di kawasan pinggul, kembung, sendawa, bergas, kesukaran pencernaan yang tidak dapat dijelaskan, pendarahan abnormal melalui faraj serta pembengkakan abdomen.

Kanser rahim

Risiko kanser rahim meningkat selepas umur 55 tahun, terutamanya mereka di dalam julat di antara 60 hingga 75 tahun dan jarang berlaku di kalangan mereka di bawah 40 tahun.

Mereka yang menggunakan pil perancang keluarga juga mempunyai risiko yang rendah.
Faktor-faktor yang meningkatkan risiko kanser rahim termasuklah penggunaan hormon gantian estrogen sahaja (tanpa progesteron), tidak pernah melahirkan anak, putus haid selepas umur 52 tahun, lebih berat badan, darah tinggi, kencing manis serta penyakit lain seperti masalah tiroid dan hempedu.

Penggunaan ubat Tamoxifen, Hiperplasia lapisan dalaman rahim, penyakit keturunan seperti kanser usus juga meningkat risiko kanser rahim.

Anda juga berisiko sekiranya mempunyai haid tidak teratur dan kerap kali tidak datang haid.
Tanda-tanda amaran kanser rahim termasuklah pendarahan selepas menopaus, discaj atau lelehan di antara tempoh haid dan haid yang berpanjangan dengan kehadiran darah yang banyak.

Biasanya doktor tidak menjalankan saringan untuk kanser rahim, tetapi sekiranya disyaki, anda mungkin dikehendaki menjalani ujian-ujian seperti:

“Biopsi endometrial – pensampelan tisu dari dalaman rahim untuk kajian.

“Pemeriksaan ultrasound – terutamanya ultrasound melalui faraj, mengukur ketebalan dinding endometrium.

“Penkuretan dan dilatasi – pangkal rahim di buka, dan dalam rahim disedut ataupun dicalit untuk kajian lanjutan.

“Histeroskopi – penggunaan peralatan optik untuk melihat secara langsung dengan pembesaran imej dan persekitaran di dalam rahim.

Kanser pangkal rahim (serviks)

Ujian saringan PAP dapat mengesan keabnormalan pangkal rahim pada peringkat awal. Ujian lanjutan seperti kolposkopi mungkin dijalankan untuk kepastian. Contoh tisu pangkal rahim diambil untuk kepastian jika ianya kanser rahim.

Puan berisiko tinggi untuk kanser pangkal rahim sekiranya mempunyai infeksi virus HIV (Human Immunodeficeincy Virus), virus HPV (Human Papilloma Virus), sistem imuniti badan yang lemah atau terdedah pada ubat diethylstilbesterol (DES) semasa anda di dalam kandungan (ubat ini tidak lagi digunakan sekarang).

Peringkat awal kanser ini lazimnya tidak menunjukkan sebarang petanda tetapi sekiranya mengalami mengalami masalah berikut, segeralah berjumpa dengan doktor.

“Discaj atau lelehan abnormal melalui faraj

“Pendarahan abnormal melalui faraj

“Pendarahan selepas hubungan kelamin

Sekarang terdapat imunisasi terhadap kanser pangkal rahim yang disebabkan oleh HPV dan ianya dinasihatkan diberikan pada anak-anak perempuan yang berumur antara sembilan hingga 26 tahun. Vaksin ini diberikan dalam tiga dos.

Walaupun divaksinasi, ujian saringan PAP masih perlu dilakukan kerana terdapat beberapa jenis lagi virus HPV yang tidak dapat dilindungi melalui vaksinasi.

Kanser faraj dan vulva

Kebanyakan kanser jenis ini berlaku pada mereka berusia melebihi 60 tahun. Sekiranya anda mengalami perkara-perkara berikut di sekitar alat kelamin, dinasihatkan supaya berjumpa dengan doktor dengan segera.

“Kudis, pembengkakan yang tidak hilang-hilang

“Kegatalan
“Pendarahan yang abnormal

“Perubahan pada kulit-kulit di sekitar, seperti perubahan pada tahi lalat

Perokok dan mereka yang dijangkiti virus HPV berisiko tinggi. Biopsi tisu pada luka-luka yang timbul mungkin perlu diambil untuk ujian saringan lanjutan.

Secara umumnya, terdapat beberapa cara untuk mengurangkan risiko kanser terhadap diri anda seperti:
- Tidak merokok atau berhenti merokok
- Kurangkan pengambilan makanan dengan lemak tepu atau lemak trans
- Banyakkan makanan berserat tinggi
- Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala
- Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari
- Sekiranya anda berkulit cerah atau kurang pigmen kulit, hadkan pendedahan pada cahaya matahari
- Tumpuan dan perhatian pada sebarang perubahan pada badan anda
- Jangan amalkan tatacara serta gaya hidup seksual secara bebas
- Amalkan ujian tertentu yang patut dilakukan pada umur serta julat tahun tertentu
- Kurangkan pengambilan minuman beralkohol.