Wednesday, December 19, 2007

100. Barah mulut akibat kimia di tempat kerja


RAHANG Ali berlubang kerana barah mulut

IMBASAN rahang Ali sebelum pembedahan

Pekerja kilang tak sedar pendedahan terhadap bahan 'naphta' punca dapat kanser

BAGI Ali Hamzah Abdul Karim, 49 tahun, pekerjaan di kilang membuat tayar sejak usianya 22 tahun adalah punca rezeki utama. Selama bekerja di situ dia tidak pernah ditimpa sakit teruk.

Bagaimanapun, genap tahun ke 27 usia perkhidmatannya, mulutnya terasa sengal. Dia juga menyedari gusi bengkak dan ada bintil kecil tumbuh di hujung gusi. Bintil itu tidak sakit tetapi Ali terasa ia tidak normal, menyebabkan dia bertemu doktor.

Dua kali berulang ke klinik, dia hanya dibekalkan antibiotik. Bagaimanapun bintil kecil di hujung gusi masih bengkak malah pecah. Doktor merujuknya kepada pakar maksilofasial di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sedikit pun dia tidak menjangka, bintil kecil yang membengkak tetapi tidak sakit itu sebenarnya simptom barah mulut.

Malah, barah itu sebenarnya bermula di dalam sinus hidungnya dan merebak ke rahang kiri. Mujur, barah itu merebak keluar dari sinus dan turun ke gusi jika tidak mungkin Ali perlu menunggu setahun lagi untuk mengetahui dia menghidap barah. Mujur juga, barah mulut yang dideritai Ali disedari pada pada peringkat awal.

Pakar Perunding Kanan Pembedahan Maxilofasial, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Zainal Ariff Abdul Rahman berkata, walaupun kes barah mulut biasa ditemui di Malaysia, kes membabitkan Ali adalah pertama kali membabitkan pendedahan terhadap bahan kimia.

"Ali tidak merokok, tidak minum arak dan tidak mengunyah sirih, jadi satu-satunya punca barah mulut yang dideritai Ali adalah pendedahan kepada bahan kimia 'naphta' yang digunakan dalam pembuatan tayar," katanya.

Di peringkat antarabangsa, naphta memang diketahui sebagai faktor risiko barah. Justeru pengendaliannya harus dibuat dengan selamat dan berhati-hati. Ali adalah contoh kes risiko barah dalam persekitaran pekerjaan (occupational hazards). Satu lagi pekerjaan yang boleh mendedahkan kepada barah di sekitar hidung dan rahang ialah pekerjaan di industri pembuatan perabot dan kilang kayu.

"Selama saya bekerja, saya tidak pernah ketahui tahap bahaya jenis bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan tayar. Saya tahu ia bahaya tapi tidak tahu ia boleh menyebabkan barah. Malah saya dan kawan-kawan kerap membasuh muka dengan naphta. Hanya selepas saya disahkan menghidap barah mulut, baru saya tahu,"


RAHANG Ali berlubang kerana barah mulut.

"Saya tidak pernah tahu mulut juga boleh diserang barah. Saya fikir, barah mungkin hanya terhad pada barah payu dara, barah paru-paru dan barah darah," katanya.

Prof Zainal menjelaskan, barah mulut jarang dihebohkan berbanding barah lain. Bagaimanapun, barah mulut adalah barah yang bukan saja mencabar pesakit tetapi doktor. Ini kerana apabila mulut diserang barah, fungsi asas seperti bertutur, mengunyah, menelan dan bernafas turut terjejas.

Bagi Ali, walaupun barahnya masih pada peringkat awal dan masih boleh dirawat ia sudah menjejaskan rahang sebelah kiri.

Rahang yang terjejas itu dibuang melalui pembedahan yang mengambil masa tiga jam. Pembedahan berkenaan turut membuang sel sihat yang jaraknya satu sentimeter dari kawasan yang diserang barah. Ia menyebabkan Ali tiada lelangit dan rahang sebelah kiri.

Ketiadaan lelangit itu menyebabkan ruang kiri dalam mulutnya berlubang. Dia juga sukar bercakap malah pendengarannya turut terjejas. Matanya juga berair sepanjang masa kerana saluran air matanya tersumbat disebabkan separuh daripada saluran itu turut dibuang.

Prof Zainal berkata, komplikasi seperti pendengaran dan saluran air mata yang terjejas itu akan diperbaiki dalam satu pembedahan lain tidak lama lagi.

Untuk sementara waktu, Ali diberi rahang palsu yang dibuat daripada plastik sementara menunggu rahang yang dibuat khas untuknya siap. Ia membantu 'menyempurnakan' bentuk lelangit Ali dan membolehkan dia bertutur seperti biasa.

Ali bernasib baik kerana barah itu merebak turun ke gusi atas kirinya. Jika ia berkumpul di hidung dan naik ke bahagian pipi, ia mungkin mengambil masa setahun sebelum dapat didiagnos.

"Seperti kebanyakan kes barah yang lain, simptom barah tidak mendatangkan kesakitan. Kerana itu pesakit tidak berjumpa doktor. Bagi kebanyakan orang, apabila sakit barulah dinamakan penyakit, kalau tidak sakit walaupun ia ketumbuhan atau situasi abnormal, tidak perlu dapatkan rawatan kerana ia tidak sakit," kata Prof Zainal.

Mengenai barah mulut

Prof Zainal berkata, secara umumnya barah mulut kurang dikenali di Malaysia berbanding jenis barah lain. Bagaimanapun ia tidak bermaksud kes barah mulut tidak wujud atau jarang berlaku di Malaysia. Dalam Pendaftar Barah kebangsaan (NCR), dicatatkan, barah mulut berada di tangga ke enam paling biasa di Malaysia.

Di negara ini juga, barah mulut lebih cenderung terjadi di kalangan masyarakat India iaitu 5.2 peratus bagi lelaki dan 7.7 peratus wanita daripada jumlah semua jenis barah.

Manakala kajian daripada pelbagai hospital di Malaysia pada 1994 dan 1998 menunjukkan barah mulut dilaporkan paling tinggi di kalangan masyarakat India, diikuti peribumi di Sarawak dan Sabah sebelum diikuti dengan Melayu dan Cina.

Di Semenanjung Malaysia, masyarakat India paling utama diserang barah mulut di Kelantan, Negeri Sembilan dan Perak, sementara Kadazan/Dusun dan Iban adalah kaum yang lebih kerap diserang barah mulut di Sabah dan Sarawak.

Prof Zainal berkata, barah mulut merujuk pada ketumbuhan di mulut sama ada di kawasan dalam pipi, lidah, lantai mulut atau bibir. Untuk sebahagian pesakit, barah mulut kadang kalanya bermula sebagai pra barah yang berkemungkinan berkembang menjadi barah.

"Ia terjadi dalam tompok putih, kemerahan dan ulser dalam mulut. Akan tetapi tidak semua pra barah ini berkembang menjadi barah dan tidak semua barah wujud daripada pra barah ini," katanya.

Pada peringkat global, barah mulut adalah barah ke enam paling kerap di dunia dengan anggaran sebanyak 405,318 kes baru setiap tahun. Walaupun tidak begitu dikenali ramai kadar survival barah mulut lebih rendah berbanding barah pangkal rahim atau barah payu dara.

Barah mulut adalah dua kali ganda lebih biasa di kalangan lelaki berbanding wanita. Untuk setiap 100,000 orang, 6.3 lelaki dan 3.2 wanita berkemungkinan mendapat barah mulut," katanya.

Prof Zainal berkata, sebenarnya kes barah mulut lebih tinggi di kalangan negara membangun berbanding negara maju. Di Eropah sebagai contoh, dianggarkan 100,800 pesakit didiagnos menghidap barah di kawasan kepala dan leher dengan hampir 40,000 kematian direkodkan setiap tahun sementara di Amerika saja, 30,000 pesakit disahkan menghidap barah mulut.

Di kalangan negara Asia Selatan, India dan Sri Lanka adalah negara yang mencatatkan kes tertinggi. Manakala insiden dan kematian disebabkan barah mulut juga dilaporkan meningkat di Taiwan, Jepun dan Australia.

Faktor barah mulut

Data dari Pangkalan Data Barah Oral Malaysia dan Bank Sistem Tisu (MOCDTBS) yang dibina oleh Inisiatif Penyelidikan Barah Oral Malaysia (MOCRI) menunjukkan daripada 156 pesakit barah mulut, pengunyahan sireh menjadi 59.9 peratus puncanya terjadi barah mulut, rokok (36.1 peratus) manakala pengambilan alkohol berlebihan 35.2 peratus.

Manakala faktor lain termasuklah, usia melebihi 40 tahun (bagi golongan muda yang diserang barah mulut punca biasanya tidak diketahui), ketidaknormalan genetik selain pendedahan kepada sesetengah jenis bahan kimia (contohnya naphta yang digunakan dalam proses pembuatan tayar)


Simptom

Ulser mulut yang tidak sakit dan tidak sembuh selepas tiga minggu

Pembentukan segumpal tisu di mana-mana bahagian mulut

Tompok putih atau merah pada gusi, lidah dan lain-lain bahagian mulut

Sukar menelan, mengunyah, bercakap, menggerakkan rahang atau lidah

Rasa kebas pada lidah dan kawasan di sekitar mulut

Sakit kerongkong berpanjangan untuk lebih enam minggu terutama bagi perokok berusia 50 tahun ke atas

Bengkak rahang

Bengkak leher yang lebih tiga minggu

Sakit telinga yang kronik

Kehilangan berat badan

Langkah mencegah barah mulut

Elak merokok dan mengunyah sireh

Elak mengambil alkohol

Elakkan pendedahan berlebihan pada matahari untuk elak barah bibir

Mengambil lebih sayur dan buah-buahan dalam diet seharian

Mengekalkan berat badan ideal melalui pengambilan makanan seimbang dan senaman rutin


Rawatan

Pembedahan - rawatan biasa bagi merawat semua peringkat barah mulut. Bagaimanapun pembedahan itu terdapat beberapa jenis bergantung pada saiz tumor, jumlah tisu yang terjejas dan kedudukannya.

Terapi radiasi - rawatan menggunakan tenaga x ray tinggi bagi membunuh sel barah. Ia terbahagi kepada dua jenis radiasi luaran (external) dan radiasi dalaman (internal).

Kemoterapi - rawatan bagi menyekat pertumbuhan sel barah sama ada dengan membunuh sel itu atau menghentikannya daripada merebak.

No comments: