Ada banyak sebab seorang kanak-kanak muntah. Muntah yang akut atau tiba-tiba terjadi selalunya lebih serius dari muntah yang selalu berlaku iaitu sudah makan berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya.
Muntah yang digambarkan oleh puan menerusi e-mel ini di mana seseorang kanak-kanak muntah selepas kuat bermain berkemungkinan besar disebabkan oleh injap gastroesofageal (IGE) yang lemah.
Injap ini terletak di antara esofagus (kerongkong) dan perut. Setiap kali kita makan, injap ini akan terbuka supaya makanan turun dari kerongkong ke perut.
Bagi mereka yang injapnya berfungsi dengan betul, ia cuma membenarkan makanan turun sehala iaitu dari kerongkong ke perut sahaja dan bukan sebaliknya (tidak membenarkan makanan itu keluar semula dari perut ke kerongkong).
Tetapi, untuk mereka yang mempunyai injap lemah, makanan boleh turun ke perut dan naik ke kerongkong dan kemudian memuntahkan bahan yang belum tercerna itu – dinamakan regurgitasi.
Ini terjadi apabila tekanan di dalam perut tinggi – bila anak itu lari atau bermain dengan banyak selepas makan, batuk, menangis atau ketawa.
Injap lemah ini adalah semula jadi, itulah sebab kebiasaannya tiada rawatan yang sesuai atau perlu bagi masalah ini.
Ada beberapa cara yang boleh puan lakukan untuk mengelakkan perkara ini berlaku. Pertama, biarkan anak rehat selepas kenyang menikmati makanannya selama sekurang-kurangnya dua jam.
Kedua, biar anak makan atau minum dalam kuantiti yang kurang tetapi acap. Ini bagi membolehkan perutnya tidak terlalu sarat dengan makanan atau susu.
Selalunya, apabila anak ini membesar, dia boleh mengawal muntah atau regurgitasi itu dengan sendirinya. Selagi muntah itu tidak menjejaskan pembesarannya, rawatan ubat- ubatan mahupun pembedahan, tidak diperlukan.
Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru, Johor, Dr. Catherine Tham Sabapathy.
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment